Preamble
Menurut peruntukan di bawah seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya 1952, OKT mestilah orang yang ditangkap sebelum pemeriksaan ujian saringan awal air kencing dilakukan ke atasnya. Mahkamah ini juga merujuk kepada kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan iaitu PP lwn Mohd Safwan Ismail [2017] 7 CLJ 685 yang menyatakan isu bagi penentuan sama ada terdapatnya tangkapan atau pun tidak adalah bergantung kepada fakta dan keadaan sesuatu kes termasuklah juga konsep tangkapan konstruktif. [12] Berkenaan dengan isu ini, pihak pembelaan telah berhujah bahawa penahanan OKT pada 5.1.2024 jam 9.47 malam tersebut tidak terjumlah kepada satu tangkapan kerana walaupun dinyatakan OKT disyaki penagih dadah namun tiada sebarang keterangan atau justifikasi yang menunjukkan bahawa OKT adalah seorang penagih dadah. Pihak pembelaan turut menghujahkan bahawa SP1 sendiri mengakui bahawa berdasarkan Laporan Polis P1, OKT tidak ditangkap dan OKT tidak melakukan apa-apa kesalahan semasa ditahan. Pihak pembelaan berhujah bahawa tangkapan ke atas OKT dibuat selepas ujian saringan awal air kencing diperolehi. [13] Manakala, pihak pendakwaan pula telah berhujah bahawa OKT telah ditangkap dengan mengambil kira keadaan bahawa OKT telah ditahan di hadapan sebuah rumah dan di bawa ke pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Sepanjang ujian saringan awal air kencing OKT dikawal selia oleh 2 pegawai polis yang turut telah eskot OKT ke tandas. Dapatan Mahkamah [14] Setelah mempertimbangkan keterangan saksi-saksi, mahkamah ini mendapati terdapatnya cukup fakta dan keadaan yang menunjukkan bahawa OKT telah ditangkap sebelum ujian saringan awal dilakukan. Fakta bahawa OKT telah ditahan di hadapan sebuah rumah No. 122A, Batu 9, Jalan Kangkong, Simpang Empat 06650 Alor Setar Kedah dan menurut keterangan SP2, OKT kemudian telah di bawa ke Berek Polis Simpang Empat untuk dibuat pemeriksaan menunjukkan bahawa kebebasan OKT telah disekat. OKT juga telah mengikut arahan SP1 dan SP2 semasa menjalani ujian saringan awal air kencing dan telah dikawal oleh mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun OKT seorang anggota polis namun OKT telah dipaksa untuk mengikuti arahan dan kebebasan OKT telah disekat. [15] Mahkamah ini juga mendapati terdapatnya cukup fakta dan keterangan untuk membuat penangkapan ke atas OKT di bawah seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya 1952. Laporan Polis P1 menyatakan dengan jelas bahawa SP1 dan pasukannya telah bertindak atas maklumat dadah dan membuat serbuan dan penahanan ke atas OKT kerana disyaki penagih dadah. Keterangan SP1 dan SP2 juga jelas menyatakan bahawa OKT ditahan kerana disyaki penagih dadah. Manakala keterangan SP4 menyatakan hasil risikan daripada SP1 OKT ada terlibat dengan dadah. Mahkamah ini tidak bersetuju dengan hujahan pembelaan yang menyatakan tiada sebarang justifikasi dan keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan untuk menunjukkan atau mencadangkan bahawa OKT merupakan seorang penagih dadah. Fakta yang menunjukkan bahawa SP1 dan pasukannya telah bertindak atas maklumat dadah dan seterusnya telah menahan OKT kerana disyaki penagih dadah dan terus membawa OKT bagi menjalani ujian saringan awal air kencing adalah cukup untuk membuat penangkapan di bawah seksyen 31 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana SP1 telah bertindak atas maklumat dadah dan terdapat kepercayaan munasabah bahawa satu-satu kesalahan di bawah ADB telah dilakukan atau akan dilakukan. [16] Berkenaan dengan hujahan peguam bahawa SP1 sendiri mengakui bahawa berdasarkan laporan polis P1, OKT tidak ditangkap, mahkamah ini merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan Ahmad Syahir Mohd Fauzi v. PP [2024] 1 CLJ 187, dengan jelas menyatakan: [20] Pemohon menghujahkan bahawa beliau tidak ditangkap semasa air kencingnya diambil. Ini bersandarkan kepada keterangan SP1 yang mengakui bahawa tangkapan terhadap pemohon hanya dibuat selepas keputusan ujian awal sampel air kencing pemohon diperolehi. [21] Dengan hormatnya, penghujahan yang dimajukan ini tidak bermerit. Penentuan sama ada berlaku satu tangkapan atau tidak sebelum atau semasa air kencing pemohon diambil adalah bergantung kepada fakta dan keadaan sesuatu kes. [17] Selain itu, mahkamah ini juga merujuk kepada kes Mahkamah Tinggi Taiping, Mohammad Syukri Ramli v. PP [2024] CLJU 1045, yang menyatakan: [17] Mengenai isu penahanan OKT untuk kesalahan samun dan pengambilan sampel urin yang tidak sah di bawah s. 31A ADB 1952, Mahkamah bersetuju dengan hujahan TPR bahawa pada masa OKT dibawa kepada SP2, dia telah berada dalam tahanan polis setelah ditahan untuk siasatan kes samun tersebut (rujuk P7 yang menyebut Spg. Jalong Rpt 93/22) kerana fakta OKT ditangkap untuk siasatan kes samun tersebut tidak dipertikaikan. Walaupun dia ditahan untuk kesalahan lain pada mulanya dan bukan kesalahan dadah, Mahkamah ini mendapati tiada merit dalam hujahan Perayu kerana jika begitu, tidak perlulah Kerajaan menggubal kesalahan memasukkan dadah dalam badan seseorang individu jika peruntukan s. 31A hanya boleh digunakan untuk membuat ujian saringan ke atas saspek dalam kes dadah sahaja. Isu: Sama ada terdapatnya percanggahan material dan kelompangan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang memberikan kesan ke atas rantaian keterangan kes. [18] Pihak pembelaan telah dengan panjang lebar menghujahkan mengenai isu paket test strip iaitu P11 dan 2 test strip iaitu ID12A dan B yang telah timbul semasa perbicaraan kes dan percanggahaan keterangan saksi-saksi pendakwaan manakala hujahan pihak pendakwaan menyatakan rantaian keterangan adalah tidak terputus. Mahkamah mendapati bahawa isu berkenaan paket test strip dan 2 test strip ini tidak disentuh oleh pihak pendakwaan dalam hujahan mereka. Dapatan Mahkamah [19] Keterangan mengenai paket test strip P11 telah muncul semasa pemeriksaan balas oleh pihak peguam. Semasa pemeriksaan utama, SP1 telah menyatakan bahawa test strip yang digunakan bagi ujian saringan awal air kencing tersebut telah dibuang. Namun, semasa pemeriksaan balas, pihak pembelaan telah meminta SP1 menyatakan apakah yang terdapat dalam plastik urin container package, yang mana SP1 telah mengeluarkan dari plastik urin container package tersebut packet test strip P11 yang menandungi test strip di mana kedua-duanya tidak mempunyai tandaan. Apabila diperiksa semula oleh pihak pendakwaan SP1 menyatakan tidak ingat sama ada test strip ada diserahkan kepada IO atau pun tidak. [20] Manakala keterangan SP2 pula semasa pemeriksaan utama ada menyatakan bahawa SP1 ada menyerahkan plastik urin container package yang di dalamnya terdapat test strip meth yang telah dicelupkan. Manakala, semasa pemeriksaan balas, SP2 telah bersetuju terdapat 2 test strip dan tidak mempunyai idea tentang kewujudan 2 test strip tersebut. Apabila diperiksa semula oleh pihak pendakwaan, SP2 menyatakan bahawa SP1 menjawab hanya 1 test strip kerana laporan menunjukkan hanya positif dadah metamphetamine. [21] Keterangan pegawai penyiasat kes SP4 menyatakan telah menerima packet test strip P11 dan 2 test strip ID12A-B daripada SP1 secara amalan dan tiada dokumen serah menyerah antara mereka. SP4 turut menyatakan 2 test strip yang wujud tersebut adalah test strip amphetamine dan methamphetamine yang menunjukkan kesan positif. Apabila diperiksa semula pihak pendakwaan berkenaan test strip amphetamine dan methamphetamine yang positif, SP4 telah memberi jawapan kemungkinan test strip mengalami kerosakan kerana penyimpanan yang lama. [22] Berdasarkan keterangan saksi-saksi ini, mahkamah mendapati terdapat percanggahan material mengenai kewujudan test strip yang telah menyebabkan kelompangan dalam kes pendakwaan. Mahkamah juga mendapati wujudnya lebih dari satu anggapan akibat percanggahan keterangan ini. Sekiranya packet test strip dan 2 test strip tersebut bukan bagi kes ini maka mengapa barang kes ini dimasukkan dalam urin container package milik botol urin OKT? Sekiranya benar packet test strip dan 2 test strip ini adalah bagi ujian saringan awal ke atas urin OKT, maka mengapa terdapat perbezaan keputusan 2 test strip tersebut menunjukkan hasil positif tetapi laporan polis P7, dan label pada botol urin OKT hanya menunjukkan positif methamphetamine? [23] Mahkamah ini juga mendapati keterangan SP1, SP2 dan SP4 berkenaan paket test strip dan 2 test strip ini hanya cuba untuk menutupi kelompangan yang telah terbuka tersebut namun akhirnya masih tewas. [24] Selain itu, mahkamah juga mendapati terdapatnya percanggahan mengenai lokasi di mana OKT telah memberikan sampel air kencingnya. Percanggahan ini dapat dilihat apabila SP1 menyatakan bahawa OKT telah memasukkan air kencingnya di dalam botol urin di tandas berdiri manakala SP4 menyatakan OKT memasukkan air kencingnya di tandas duduk. SP1 pula telah menyatakan telah melihat OKT memasukkan air kencingnya dalam botol urin di tempat bertanda Y yang ditanda pada gambar P8E namun keterangan SP2 menyatakan SP1 berada di luar tandas kerana ruang tandas yang sempit dan hanya SP1 yang berada dalam tandas. Malah, sekiranya OKT memasukkan air kencing di tandas duduk, bagaimana SP1 boleh melihat OKT memasukkan air kencingnya ke dalam botol tersebut dengan keadaan tandas yang sempit, jarak yang jauh dan SP2 yang berada dalam tandas? Perbezaan keterangan ini telah menimbulkan keraguan ke atas kredibiliti saksi-saksi pendakwaan. KEPUTUSAN MAHKAMAH [25] Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penuh, Mahkamah ini mendapati terdapatnya kelompangan keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan dalam membuktikan elemen-elemen pertuduhan. [26] Mahkamah juga mendapati bahawa percanggahan-percanggahan ini adalah percanggahan material yang telah menimbulkan lebih dari satu inferen yang mana mahkamah ini memutuskan bahawa benefit of doubt seharusnya diberikan kepada OKT. [27] Mahkamah juga mengambil panduan dan pendekatan daripada kes Tai Chai Keh v. PP (1948-1949) MLJ Supp 105 yang diputuskan seperti berikut: ‘where there is more than one inference which can reasonably be drawn from a set of facts in a criminal case we are of the opinion that the inference most favourable to the accused should be adopted’ Dapatan yang sama juga dapat dilihat di dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 6 MLJ 393, bahawa: “… if the evidence admits on two or more inferences, then the inference that is most favourable to the accused should be adopted” [28] Justeru itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie ke atas OKT dan OKT diperintahkan untuk dilepaskan dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk membela diri. Bertarikh: 3.8.2025 Disediakan oleh …………………………………………………………… NUR SYIFA BINTI MOHD HAMZAH Majistret Mahkamah Majistret (3) Alor Setar Pihak – Pihak Bagi Pihak Pendakwa Raya Nur Huda Diyanah binti Amir Hamzah Bagi Pihak Tertuduh Mohd Khairul Hafizuddin bin Ramli, Ilyana Syafiqa binti Md Saad