Pada 18.02.2020, setelah semua dokumen disempurnakan, Defendan telah membuat pengeluaran pinjaman sebanyak RM50,000.00 ke dalam akaun ASB si Mati dan RM267.00 kepada Takaful Malaysia Berhad. [7] Si mati meninggal dunia pada 15.02.2020 dan Defendan hanya mengetahui tentang si Mati telah meninggal dunia 10 bulan kemudian melalui surat Plaintif bertarikh 10.12.2020. [8] Perlindungan GRTT itu menjadi tidak sah laku oleh kerana si Mati telah meninggal dunia. [9] Oleh kerana tiada bayaran dibuat terhadap Kemudahan tersebut oleh Plaintif dan/atau si Mati selepas Kemudahan tersebut diluluskan oleh Defendan, pihak Defendan telah mengeluarkan suatu Notis Tuntutan bertarikh 28.12.2020 terhadap si Mati. [10] Defendan telah memaklumkan bahawa atas kegagalan mengawal selia Pembiayaan tersebut, Defendan telah menjual semula Sijil ASB yang dicagarkan kepada Defendan. [11] Namun, hasil jualan Sijil ASB tersebut tidak mencukupi untuk menyelesaikan baki Pembiayaan si Mati tersebut. Jumlah baki yang perlu dijelaskan selepas pelupusan Saham ASB setakat 21.12.2020 adalah sebanyak RM1,840.65. [12] Penjualan semula Sijil ASB tersebut telah dibuat bertujuan untuk menanggung baki Pembiayaan Kemudahan tersebut seperti yang telah ditetapkan di bawah terma-terma dan syarat-syarat Permohonan tersebut. TUNTUTAN PLAINTIF [13] Asas tuntutan Plaintif adalah bahawa Defendan telah gagal memenuhi kewajipan kontraktual berdasarkan Piawaian Tahap Perkhidmatan (Service Level Standard) antara Defendan dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dalam memastikan perlindungan GRTT untuk si mati daripada Takaful Malaysia dengan segera dan dalam tempoh masa yang munasabah bagi pembiayaan tersebut [14] Adalah menjadi terma tersirat antara pihak-pihak berhubung Perjanjian Pembiayaan tersebut dan/atau tanggungjawab berhati-hati bahawa:- a. Defendan bertanggungjawab untuk membelikan atau mendapatkan perlindungan GRTT tersebut bagi pihak Si Mati daripada panel takaful pilihan Defendan dengan kadar segera dalam tempoh masa yang munasabah. b. Defendan bertindak dengan kadar yang segera dan munasabah bagi menjaga kepentingan Si Mati untuk mendapatkan perlindungan GRTT bagi jumlah pembiayaan di bawah Perjanjian Pembiayaan tersebut. c. Memastikan permohonan Si Mati dalam keadaan lengkap dan di hantar kepada pengendali operator takaful pilihan Defendan bagi mendapatkan perlindungan GRTT dengan kadar segera dan munasabah wujudnya satu Perjanjian Tahap Khidmat Standard (“Service Level Standard”) di antara Defendan dan Takaful Malaysia yang antara lain telah memperuntukkan bahawa :- a. Permohonan untuk perlindungan perlu di hantar oleh Defendan kepada Takaful Malaysia pada hari pertama dalam setiap minggu. b. Selanjutnya, Takaful Malaysia dalam masa tujuh (7) hari daripada penerimaan permohonan yang lengkap daripada Defendan akan mengeluarkan sijil perlindungan GRTT kepada pemohon. [15] Selanjutnya, Si Mati telah terlibat di dalam satu kemalangan pada 15.02.2020 iaitu lebih kurang seminggu selepas tarikh Perjanjian Pembiayaan tersebut. Si Mati telah meninggal dunia pada hari yang sama [16] Tuntutan Plaintif terhadap Defendan adalah untuk ganti rugi, faedah dan kos atas alasan kecuaian dan/atau kemungkiran terma kontraktual Defendan yang tersurat atau tersirat dalam mendapatkan perlindungan GRTT tersebut bagi pihak Si Mati daripada panel takaful pilihan Defendan dengan kadar segera dalam tempoh masa yang munasabah bagi pembiayaan tersebut . [17] Plaintif menyatakan bahawa kecuaian dan kemungkiran terma-terma kontraktual sedemikian telah menyebabkan atau menyumbangkan secara material kepada kerugian yang dialami oleh Plaintif. ANALISA DAN DAPATAN [18] Tanggungjawab kontraktual Defendan adalah berdasarkan Surat Tawaran Bersyarat (conditional letter offer) yang mana Permohonan Pembiayaan si Mati tersebut hanya akan berkuat kuasa setelah mendapat kelulusan Defendan. [19] Klausa G Surat Tawaran tersebut menyatakan seperti berikut:- “G – Butir-butir Perlindungan Takaful Berjangka Pengurangan Berkelompok (GRTT) – ““…Saya, sebagai Pemohon mengetahui bahawa enrolmen dalam GRTT adalah tertakluk kepada penerimaan Bank terhadap permohonan Pembiayaan Berjangka-i Bercagarkan Sijil ASB...” [14] Permohonan Pembiayaan Si Mati itu sendiri perlulah diproses terlebih dahulu sebelum enrolmen terhadap pelan perlindungan Takaful GRTT itu dapat dilaksanakan [15] Surat Tawaran Bersyarat diterima oleh si mati dan ditandatangani pada 06.02.2020, namun Permohonan Pembiayaan tersebut belum lagi sempurna tanpa mendapat kelulusan Defendan. [16] Permohonan Pembiayaan si Mati mula diproses dari tarikh 07.02.2020 yang mana jatuh pada hari Jumaat. tarikh 08.02.2020 dan 09.02.2020 jatuh pada hari minggu. [17] Pada 14.02.2020, si Mati turut mempunyai pengetahuan bahawa Permohonan Pembiayaan tersebut telah pun diluluskan setelah semakan dan penilaian oleh Defendan. Pada hari yang sama, pihak Defendan telah menghantar permohonan si Mati kepada PNB untuk tujuan pengesahan kelayakan. [18] Tarikh pada 15.02.2020 dan 16.02.2020 juga jatuh pada hari minggu. Oleh itu, sudah tentulah pihak PNB akan meluluskan kelayakan si Mati pada hari bekerja seterusnya iaitu pada 17.02.2020. [19] Setelah mendapat kelulusan pihak PNB, pada 18.02.2020, pihak Defendan telah membuat pengeluaran pinjaman sebanyak RM50,000.00 ke dalam akaun ASB si Mati dan RM267.00 kepada Takaful Malaysia Berhad. [20] Kematian Si Mati pada 15.02.2020 bukanlah suatu perkara yang dapat dikawal mahupun dijangkakan oleh pihak Defendan. Pihak Defendan hanya mengetahui tentang si Mati telah meninggal dunia 10 bulan kemudian melalui surat Plaintif bertarikh 10.12.2020. [21] Perlindungan GRTT itu menjadi tidak sah laku oleh kerana si Mati telah meninggal dunia. [22] Kelulusan Permohonan Pembiayaan oleh pihak Defendan dilakukan mengikut waktu yang munasabah dan telah melalui proses yang wajar sebelum Pembiayaan sebanyak RM267.00 dapat dibuat terhadap pihak Takaful Malaysia. [23] Pihak Defendan berhak untuk mengambil masa yang munasabah untuk menentu sahkan kelayakan (eligibility) si Mati dengan membuat penilaian kredit dalaman pihak Defendan sehinggalah Defendan berpuas hati sebelum Pembiayaan tersebut dapat diluluskan kepada si Mati. [24] Di dalam kes Public Bank Bhd v Anor v Exporaya Sdn Bhd [2013] 1 MLJ 507, Mahkamah Rayuan menyatakan seperti berikut: “The correct test, in our opinion, must be whether a reasonably prudent banker, faced with the same circumstances, would regard the course of action taken on the facts justifiable. In each fact situation, common sense must prevail. In every case, we must determine the bank’s obligations against the background of day-to-day commercial activity. We are in full agreement with the above authorities in that faced with what appears to be a genuine mandate presented by agent acting within his authority, when the respondent applied to change the mandate or signatories in respect of the account in question. The bank’s duty of care does not require it to do anything other than to honour the mandate in the absence of circumstances which put the bank on enquiry. The same principle was adopted by the Singapore Court of Appeal in the case of Yogambikai Nagarajah v Indian Overseas Bank. [25] Saya mendapati Defendan telah melaksanakan kontrak dan menjalankan tanggungjawab berhati-hati untuk memproses Permohonan si Mati sehinggalah pembelian saham ASB tersebut dan pembelian Skim Perlindungan GRTT tersebut dalam tempoh masa yang segera seperti kelaziman amalan perbankan. [26] Setelah meneliti permohonan dan afidavit-afidavit serta hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati bahawa masa yang diambil oleh pihak defendan untuk memproses permohonan si mati dan mendapatkan perlindungan takaful dilakukan dalam masa yang munasabah. [27] Oleh yang demikian, saya mendapati bahawa pihak plaintif tidak mempunyai asas tuntutan yang munasabah terhadap defendan. Maka, permohonan defendan untuk membatalkan tuntutan plaintif dibenarkan dengan kos sebanyak RM3,000.00 Bertarikh pada hari ini 10hb. April , 2025.