(iii) OKT mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis tersebut. [26] Seterusnya HMT telah menganalisis elemen-elemen tersebut seperti berikut: 'Cannabis' merupakan dadah berbahaya yang tersenarai menurut ADB 1952 [27] HMT mengatakan bahawa elemen ini dibuktikan berdasarkan keterangan SP5 iaitu Ahli Kimia yang menjalankan analisis ke atas barang kes yang disyaki dadah jenis ganja seperti yang dirampas oleh SP6. [28] HMT mengatakan bahawa SP5 telah mengesahkan bahawa barang kes yang diserahkan kepadanya oleh pihak polis tersebut merupakan dadah berbahaya jenis Cannabis dengan berat bersih 1900.9 gram sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Kimia. [29] HMT juga telah berpendapat berdasarkan keterangan SP6, SP8 dan SP5 bahawa tidak ada pertikaian mengenai identiti dadah berbahaya tersebut. Cannabis tersebut berada di dalam milikan OKT yakni OKT mempunyai jagaan atau kawalan serta pengetahuan ke atas dadah tersebut [30] Berkenaan elemen ini, HMT telah berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikannya berdasarkan anggapan di bawah Seksyen 37 (d) ADB 1952. [31] HMT telah berpuas hati bahawa OKT mempunyai kawalan (control) atau jagaan (custody) serta pengetahuan (knowledge) terhadap dadah berbahaya jenis Cannabis sebagaimana pertuduhan ke atas OKT dalam kes ini. [32] Untuk menyokong dapatan HMT berkenaan perkara ini, HMT telah bergantung kepada fakta bahawa penemuan dadah berbahaya jenis Cannabis tersebut adalah dari dalam kereta tersebut di mana OKT mempunyai kawalan dan jagaan ke atasnya. [33] HMT berpendapat bahawa fakta ini disokong oleh penemuan (1) kunci kawalan jauh kereta (Ekshibit P32) dan carian yang dibuat oleh pegawai penyiasat ("SP8") berhubung pemilikan kereta tersebut (Ekshibit P35C) yang membuktikan bahawa OKT adalah pemilik kereta tersebut. [34] HMT juga menyatakan bahawa daripada keterangan, hasil pemeriksaan SP6 terhadap kereta tersebut juga telah menjumpai barangan peribadi OKT seperti lesen memandu atas nama OKT (Ekshibit P25), kad pelajar Universiti Tenaga Nasional No. ID: EN105250 atas nama OKT (Ekshibit P26) dan sekeping service note atas nama OKT (Ekshibit P27). [35] HMT nyatakan bahawa berdasarkan kepada keterangan yang ada, dia berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa kereta tersebut adalah di bawah kawalan atau jagaan OKT, lebih-lebih lagi apabila bukti jelas menunjukkan bahawa OKT juga merupakan pemilik kereta di mana dadah berbahaya jenis Cannabis dijumpai di dalamnya. [36] HMT kemudian membuat kesimpulan bahawa berdasarkan keterangan yang ada, dia tidak dapat menerima cadangan pihak pembelaan yang mengatakan bahawa terdapat individu lain bersama OKT di dalam kereta tersebut pada hari kejadian. [37] HMT juga telah nyatakan bahawa SP6 di dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa selepas beliau berjaya membuka kereta tersebut, beliau telah terbau dadah ganja yang kuat dari dalam kereta tersebut dan ini adalah berdasarkan pengalaman beliau dalam penyiasatan kes-kes narkotik. [38] Seterusnya, HMT telah menyatakan bahawa keterangan tersebut jelas menunjukkan bahawa dadah berbahaya jenis Cannabis yang dijumpai denganbau yang kuat di dalam kereta tersebut yang mana tidak jauh dari tempat duduk pemandu, sememangnya berada dalam pengetahuan OKT. [39] HMT juga menyatakan bahawa kedudukan dadah yang berada dalam kereta tersebut yang begitu dekat dengan tempat duduk pemandu ditambah pula dengan baunya yang kuat, pada pendapatnya mustahil tidak disedari oleh OKT. [40] Kesimpulannya, HMT telah menyatakan bahawa dari keseluruhan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan terutama sekali SP6 dan SP7 serta SP8, dia berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa OKT mempunyai kawalan (control) atau jagaan (custody) serta pengetahuan (knowledge) atas dadah berbahaya jenis Cannabis yang dijumpai di dalam kereta tersebut. [41] Seterusnya HMT berpendapat bahawa pihak pendakwaantelah berjaya membuktikan pemilikan dan pengetahuanberdasarkan anggapan statutori menurut Seksyen 37(d) ADB 1952. OKT mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis tersebut [42] Untuk elemen ini, HMT dengan secara tepat menyatakan bahawa berdasarkan keterangan pendakwaan yang menunjukkan OKT menyimpan (keeping) dadah jenis Cannabis seberat 1900.9 gram di dalam kereta tersebut, beliau berpuas hati bahawa perbuatan tersebut merupakan suatu perbuatan yang terjumlah kepada pengedaran secara langsung (direct trafficking) sebagaimana yang didefinisikan menurut Seksyen 2 ADB 1952. Ulasan kami mengenai penilaan keterangan Pendakwaan oleh HMT [43] HMT telah meneliti secara mendalam setiap elemen yang perlu di buktikan oleh pendakwaan dan telah memberikan alasan-alasannya kenapa berpendapat begitu. [44] Isu pemilikan adalah suatu perkara yang dibangkitkan secara khususnya di hadapan kami oleh peguam cara yang bijaksana. [45] Setelah meneliti alasan penghakiman HMT, kami mendapati bahawa isu pemilikan telah diteliti secara mendalam oleh beliau. [46] Di antaranya, HMT telah nyatakan bahawa barang barang yang mengandungi dadah berbahaya tersebut dijumpai di dalam kereta yang mana OKT mempunyai jagaan dan kawalan ke atasnya. [47] HMT telah mengatakan bahawa fakta ini disokong oleh penemuan (1) kunci kawalan jauh kereta (Ekshibit P32) dan carian yang dibuat oleh pegawai penyiasat ("SP8") berhubung pemilikan kereta tersebut (Ekshibit P35C) yang membuktikan bahawa OKT adalah pemilik kereta tersebut. [48] OKT juga telah membawa anggota serbuan ke kereta tersebut yang mana dia mempunyai kunci serta alat kawalan jauh. Keterangan juga menunjukan bahawa apabila pintu kereta dibuka terdapatbau ganja dan mengenai perkara ini HMT telah memerhatikan bahawa tidak mungkin OKT tidak tahu berkenaanbau yang kuat itu. [49] Keterangan juga jelas menunjukan bahawa OKT seorang yang berada di situ dan tiada orang lain yang terlibat. [50] HMT juga menyatakan bahawa daripada keterangan, hasil pemeriksaan SP6 terhadap kereta tersebut juga telah menjumpai barangan peribadi OKT seperti lesen memandu atas nama OKT (Ekshibit P25), kad pelajar Universiti Tenaga Nasional No. ID: EN105250 atas nama OKT (Ekshibit P26) dan sekeping service note atas nama OKT (Ekshibit P27). [51] Berdasarkan keterangan keterangan tersebut, HMT membuat kesimpulan bahawa anggapan stautori di bawah Seksyen 37 (d) ADB 1952 terpakai tehadap OKT. [52] Kami mendapati bahawa berdasarkan perkara perkara yang disebut di atas, HMT tidak terkhilaf apabila mendapati bahawa OKT ada pengetahuan dan mempunyai milikan ke atas dadah tersebut mengikut Seksyen 37(d) ADB. [53] Kami juga berpendapat bahawa HMT sebagai hakim perbicaraan mempunyai kelebihan "audio dan visual" sesuatu kelebihan yang tidak wujud pada mahkamah rayuan. [54] Oleh yang demikian dapatan-dapatan fakta fakta yang diputuskan oleh HMT tidak sepatutnya di usik tanpa alasan yang baik. [55] Kami tidak mempunyai apa apa alasan baik untuk mengusik dapatan-dapatan fakta HMT tersebut. [56] Malah HMT juga telah mengutarakan beberapa kes yang menyokong dapatannya. [57] Dalam semua keadaan, kami berpendapat bahawa HMT telah dengan tepat dan betul membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap OKT berkenaan pertuduhan tersebut dan seterusnya memangil OKT untuk membela diri tehadap pertuduhan. [58] Susulan daripada itu, HMT telah menerangkan pilihan-pilihan yang ada kepada OKT dan selepas itu OKT telah membuat pilihan untuk membela diri seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 173 Kanun Acara Jenayah dengan memberi keterangan secara bersumpah di dalam kandang saksi. Pembelaan OKT [59] OKT di dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah memandu kereta tersebut dengan ditemani oleh Mohamad Mirza Hanim Bin Mohamed Tajul ("SD2") iaitu kawan sekuliahnya dari Shah Alam hendak ke Seremban untuk mengambil seorang kenalan SD2 yang bernama Nadiy. [60] Setibanya di Seremban, SD2 telah menghubungi Nadiy dan Nadiy memberitahunya yang dia masih sedang bersiap. Nadiy menyuruh mereka menunggu dahulu di Pasaraya AEON. [61] OKT memandu kereta tersebut ke Pasaraya AEON dan meletakkan kereta di kawasan meletak kereta Pasaraya AEON. Di Pasaraya AEON, OKT telah mengambil kesempatan mencari pakaian memandangkan dia kekurangan pakaian untuk ke kuliah. [62] Semasa OKT dan SD2 berjalan-jalan di dalam Pasaraya AEON, Nadiy menghubungi SD2 memaklumkan bahawa Nadiy sudah sedia untuk dijemput. OKT menyuruh SD2 pergi bersendirian dan menyerahkan kunci keretanya kepada SD2 untuk menjemput Nadiy kerana OKT masih belum dapat mencari pakaian yang hendak dibeli. [63] Sementara menunggu SD2 dan Nadiy datang, OKT telah duduk di atas kerusi kayu berdekatan kedai Baskin Robbins. Pada jam lebih kurang 5.15 petang, SD2 telah datang semula ke Pasaraya AEON dan memaklumkan kepada OKT yang dia ingin ke tandas. [64] Pada masa yang sama, SD2 juga telah menyerahkan semula kunci kereta tersebut kepada OKT. OKT telah bertanya kepada SD2 di mana dia meletakkan kereta tersebut dan SD2 menyatakan bahawa kereta tersebut diletakkan di sebelah pintu masuk tempat letak kereta Pasaraya AEON. [65] OKT tidak melihat kelibat Nadiy dan bertanyakan kepada SD2 di mana Nadiy. SD2 memberitahu OKT yang Nadiy sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon di luar Pasaraya AEON. [66] Semasa OKT duduk semula di atas kerusi kayu berdekatan kedai Baskin Robbins sambil menunggu SD2 dan Nadiy, tibatiba OKT telah diserbu oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali menyebabkan OKT terperanjat dan terkejut kerana gaya mereka seperti ingin memukul atau menyamun OKT. [67] OKT terus berdiri dan cuba mengelak daripada mereka namun mereka telah memegang OKT dan mengheret OKT ke bahagian dinding kedai Baskin Robbins. Salah seorang dari mereka menyatakan bahawa mereka polis dan terus menyelak poket seluar OKT dan mengeluarkan kunci kereta OKT manakala seorang lagi telaki menggari kedua-dua belah tangan OKT. [68] Mereka bertanyakan kepada OKT di mana kereta OKT diletakkan dan OKT memberitahu mereka ia terletak di bahagian hadapan pintu masuk tempat letak kereta. [69] OKT terus dibawa ke keretanya dan polis membuka kereta tersebut dengan menggunakan kunci kereta yang diambil dari poket seluar OKT. OKT mengatakan bahawa polis telah mengeluarkan satu beg kertas warna coklat dari bahagian kaki penumpang hadapan keretanya dan dalam masa yang sama polis juga telah mengeluarkan satu beg jinjit berwarna merah putih serta satu beg galas berwarna kelabu dari bahagian bonet kereta OKT. [70] Polis telah membuka beg-beg tersebut dan mengeluarkan beberapa ketulan daun-daun kering yang dibalut dengan pita pelekat. Polis memberitahu OKT ketulan-ketulan mampat daun-daun tersebut merupakan dadah jenis ganja dan OKT akan ditahan. [71] OKT menafikan dadah-dadah tersebut miliknya dan begitu juga dengan beg-beg yang berada di dalam keretanya bukanlah miliknya. Selain itu, OKT mengatakan bahawa dia tidak tahu dari bila beg-beg tersebut berada di dalam kereta tersebut. [72] SD2 yang merupakan rakan OKT, di dalam keterangannya menyatakan bahawa dia mengajak OKT untuk memandu ke Seremban bagi menjemput seorang kawannya bernama Nadiy. SD2 juga mengatakan bahawa tiada sebarang beg yang diletakkan di bahagian penumpang hadapan ketika dia menaiki kereta bersama OKT. [73] Semasa SD2 pergi mengambil Nadiy di rumahnya di Seremban, Nadiy telah meletakkan beg sandang berwarna gelap dan merah di dalam bahagian bonet kereta manakala beg kertas berwarna coklat diletakkan di bahagian kaki penumpang hadapan. [74] Pada waktu tersebut, SD2 tidak mengesyaki apa-apa terhadap beg yang dibawa Nadiy dan menganggap ia adalah barang peribadi Nadiy untuk dibawa ke rumah bujang yang hendak dituju. [75] Seterusnya, SD2 mengatakan bahawa selepas Nadiy masuk ke dalam kereta OKT, SD2 memandu semula ke Pasaraya AEON dan meletakkan kereta tersebut di tempat yang sama berhampiran boom gate. Semasa mereka turun dari kereta untuk bertemu OKT dalam Pasaraya AEON, SD2 mengatakan bahawa Nadiy tidak membawa turun sebarang beg. [76] Semasa SD2 sampai di dalam Pasaraya AEON, SD2 dapati OKT sedang duduk di bangku kayu berhadapan dengan kedai Baskin Robbins dan SD2 menyerahkan semula kunci kereta tersebut kepada OKT. OKT ada bertanya SD2 di mana SD2 meletakkan kereta OKT dan SD2 menjawab di tempat yang sama berhampiran boom gate Pasaraya AEON. [77] Selepas menyerahkan kunci kereta, SD2 telah ke tandas dan apabila keluar dari tandas, SD2 mendapati OKT tidak lagi berada di bangku kayu di hadapan kedai Baskin Robbins. SD2 menyangka bahawa kemungkinan OKT pergi ke tandas. [78] Selepas 10 minit, SD2 cuba menelefon OKT namun panggilan tidak dijawab. SD2 juga cuba menghantar mesej kepada OKT tetapi tidak dibalas. SD2 kemudiannya cuba mencari Nadiy di luar Pasaraya AEON namun Nadiy juga tidak kelihatan. [79] Nadiy juga tidak menjawab panggilan telefon dari SD2. Selepas hampir 1 jam lebih mencari OKT dan Nadiy, SD2 buat keputusan untuk pulang sendiri ke Shah Alam dengan memesan kereta melalui aplikasi Grab. [80] Pada keesokan harinya, SD2 telah mendapat panggilan telefon daripada ibu OKT yang memaklumkan kepadanya OKT telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes dadah. Selepas bercakap dengan ibu OKT, SD2 menelefon ibunya dan menceritakan perkara yang terjadi. [81] Ibu SD2 memberitahu dengan tegasnya agar SD2 tidak masuk campur dan membiarkan polis melakukan siasatan. SD2 telah dihubungi oleh keluarga OKT beberapa minggu sebelum kehadiran SD2 di Mahkamah bagi memberi keterangan untuk kes ini. [82] Setelah pihak pembelaan memberi keterangan, HMT telah membuat beberapa peniliaan pembelaan. [83] HMT telah merujuk kepada fakta bahawa nama SD2 tidak pernah disebut oleh OKT semasa siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat kes dan bahawa SD2 sendiri di dalam keterangannya mengakui bahawa dia tidak pernah di panggil pada bila-bila masa oleh pihak polis berkaitan dengan kes terhadap OKT ini. [84] HMT seterusnya merujuk kepada keterangan SD2 yang mengatakan bahawa bahawa dia keluar dari tandas dan ke kerusi tempat OKT menunggu tetapi tidak nampak OKT dan telah mencari OKT selama 1 jam termasuk di tempat letak kereta namun tidak nampak OKT dan hanya selepas 1 jam tersebut, barulah SD2 pulang sendiri ke Shah Alam dengan menggunakan perkhidmatan Grab. [85] HMT bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang mengatakan bahawa sekiranya benar SD2 berada di sana, sudah pasti SD2 sempat untuk berjumpa dengan OKT sepanjang masa tersebut bersama dengan pihak polis di hadapan Baskin Robbins dan juga di kawasan parking kereta. [86] HMT telah mengatakan bahawa oleh itu, keterangan SD2 adalah tidak munasabah. [87] HMT berpandangan bahawa jangka masa 1 jam adalah lama dan sekiranya benar SD2 berada di tempat kejadian, maka SD2 sudah tentu sempat berjumpa OKT yang sepanjang masa itu berada dengan pihak polis di dalam kawasan hadapan Baskin Robbins dan juga di kawasan parking kereta kerana pasukan serbuan dan OKT hanya bergerak keluar dari Pasaraya AEON pada jam lebih kurang 6.30 petang. [88] HMT seterusnya telah menilaikan keterangan pembelaan secara khususnya keterangan SD2 yang memberitahu bahawa terdapat pengawal keselamatan warganegara asing berasal dari Bangladesh tetapi pengawal keselamatan tersebut sebenarnya merupakan seorang warganegara Malaysia. [89] HMT telah mengatakan bahawa watak Nadiy juga adalah rekaan OKT dan SD2 semata-mata kerana mereka cuba mengemukakan keterangan bahawa barang kes dadah yang dirampas adalah milik Nadiy tetapi Nadiy tidak dipanggil oleh pihak pembelaan untuk memberi keterangan di Mahkamah. [90] HMT seterusnya telah menyifatkan pembelaan sebagai suatu penafian semata mata oleh kerana mendapati bahawa watak Nadiy yang di katakan telah membawa kedua dua beg yang mengandungi dadah berbahaya yang di rampas watak rekaan saja. [91] HMT mengatakan bahawa ini adalah kerana OKT dan SD2 semasa di peringkat siasatan dijalankan oleh SP8, langsung tidak pernah membangkitkan nama individu tersebut mahupun memberi apa-apa butiran atau maklumat yang jelas tentang Nadiy. [92] HMT juga telah membuat perhatian bahawa SD2 dari keterangannya mengakui bahawa dia tidak pernah memberitahu kepada ibubapa OKT tentang kehadiran Nadiy yang kononnya dijemput oleh SD2 dari rumahnya di Seremban ke Pasaraya AEON selepas kejadian yang berlaku di Pasaraya AEON. [93] HMT seterusnya mengatakan dari fakta, SD2 didapati tidak pernah pergi berjumpa pegawai penyiasat kes ini atau manamana polis bagi membuat laporan tentang kehilangan OKT selepas SD2 gagal menemui OKT di Pasaraya Aeon dan juga tidak pernah berhubung atau jumpa dengan ibubapa OKT berkenaan kehilangan OKT. [94] HMT juga membuat perhatian bahawa keterangan SD2 apabila di soal balas oleh pihak pendakwaraya telah goyah dan cuba mengelak atau mengubah keterangannya dan dengan itu telah berpendapat bahawa credibility SD1 dan juga SD2 amat di ragui kesahihannya. [95] Seterusnya HMT telah membuat dapatan bahawa tidak ada unsur penganiayaan oleh polis terhadap OKT oleh kerana tidak ada keterangan yang menunjukan bahawa OKT ada mengenali mana mana anggota polis di dalam pasukan serbuan. [96] HMT membuat dapatan bahawa demeanour saksi-saksi polis yang ada dalam pasukan serbuan tidak dapat dicabar dan kekal kukuh sepanjang perbicaraan. [97] Berkenaan isu peranan pegawai penyiasat yang dikatakan telah gagal menjalankan siasatan dengan sempurna, kami mendapati bahawa di dalam keadaan kes yang mana dadah berbahaya dijumpai di dalam kereta yang mana juga OKT mempunyai milikan dan seterusnya berdasarkan anggapan statutory di bawah seksyen 37(d) ADB, IO telah membuat penyiasatan yang memadai di dalam kes ini. Oleh yang demikian kami mendapati isu ini tiada merit. [98] OKT mahupun SD2 tidak pernah memberi maklumat terperinci watak Nadiy dan oleh yang demikian boleh disifatkan sebagai "no or insufficient Alcontara Notice" untuk membolehkan pegawai penyiasat menjalankan siasatan yang bermakna. [99] Perkara seperti mana yang dirujuk di atas jelas menunjukan bahawa HMT telah membuat penilaian yang menyeluruh ke atas kedua dua kes pendakwaan dan juga pembelaan dan perkara ini telah pun dinyatakan dengan jelas di dalam alasan penghakiman HMT. [100] Penilaian ini juga mengikuti prinsip yang diutarakan di dalam kes Prasit Punyang v PP [2014] 7 CLJ 392. [101] Dapatan dapatan oleh HMT adalah berdasarkan perananya sebagai penimbang tara tunggal ("sole judge of fact") bagi undang-undang dan fakta yang mana beliau mendapat kelebihan "audio-visual" yang tidak terdapat pada mahkamah rayuan. [102] Adalah jelas dapat diperhatikan daripada alasan penghakiman bahawa, HMT telah memberikan sebab-sebab dan alasan yang terperinci serta mendalam mengapa beliau tidak dapat menerima keterangan OKT sebagai kredible yang boleh mematahkan anggapan statutori di bawah Seksyen 37 (d) Akta Dadah Berbahaya 1952 ("ADB") di atas imbangan kebarangkalian dan bahawa pembelaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan seterusnya bermakna bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membukitan kesnya melampaui keraguan yang munasabah atas pertuduhan terhadap OKT. [103] lanya adalah jelas bahawa dapatan-dapatan fakta oleh hakim perbicaraan tidak seharusnya diusik oleh mahkamah ini di peringkat rayuan melainkan terdapat sebab sebab yang jelas untuk mengusiknya. [104] Kami secara sebulat suara mendapati bahawa tidak terdapat apa apa sebab untuk mengusik dapatan dapatan hakim perbicaraan dalam kes ini. [105] Oleh yang demikian dan di dalam apa jua keadaan, kami mendapati bahawa sabitan OKT ke atas pertuduhan adalah selamat. [106] Dengan itu, kami menolak rayuan OKT terhadap sabitan dan mengekalkan keputusan HMT di atas sabitan tersebut. D) HUKUMAN [107] HMT selepas mendengar dan menimbang rayuan mitigasi OKT dan hujahan pemberat pihak pendakwaan, telah memutuskan bahawa OKT dijatuhkan hukuman penjara (30) tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan dengan rotan. [108] HMT dengan itu telah menggunakan budi bicara nya untuk menjatuhkan hukuman tersebut berdasarkan Seksyen 54 Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023 (Akta 846) ("Akta 846"), di mana hukuman di bawah Seksyen 39B (2) ADB 1952 telah dipinda di mana Mahkamah kini diberi budibicara untuk menjatuhkan hukuman ke atas seorang tertuduh itu sama ada gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. [109] Jika Mahkamah memilih untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup, maka tertuduh itu akan dikenakan juga sekurang-kurangnya 12 kali sebatan dengan rotan. [110] Kami secara sebulat suara mendapati bahawa HMT di dalam memerintahkan hukuman sedemikian ke atas OKT telah mangikuti prinsip undang undang yang tepat dan betul dan kami tidak mempunyai apa-apa alasan untuk mengusik hukuman yang dikenakan terhadap OKT. [111] Oleh itu kami menolak rayuan terhadap hukuman dan mengekalkan hukuman yang di perintah oleh HMT. [112] Deraf alasan penghakiman ini telahpun disemak oleh YA Dato' Che Mohd Ruzima Bin Ghazali selaku pengerusi Mahkamah dan YA Dato' Azmi Bin Ariffin yang telahpun bersetuju dengan alasan penghakiman ini. Dated 30 Oktober 2025 (COLLIN LAWRENCE SEQUERAH) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Peguam Perayu: