Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-24-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83RS-24-07/2025
Magistrates Court of Malaysia29 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“adil, seimbang dan setimpal. [22] Disamping itu, saya turut merujuk kepada peruntukan subseskyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah serta prinsip-prinsip dalam beberapa kes seperti PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629), Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 ML”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-24-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Muhammad Nur Tashriq bin Abd Malek (“Tertuduh”) pada 29 Julai 2025 telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. Tertuduh telah mengaku bersalah dan kes telah dipanggil pada 30 Julai 2025 di hadapan saya di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar untuk fakta dan hukuman.
2
Pertuduhan telah dibacakan dan difahami oleh Tertuduh dalam bahasa Malaysia. Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti di bawah: Pertuduhan: Bahawa kamu pada 16/07/2025 jam lebih kurang 1500 hrs bertempat di rumah Lot. 3484, TL KM25A/23A, Kg. Buaya Menora, di dalam daerah Kuala Kangsar, di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, dengan niat curang didapati telah menyimpan harta curi iaitu (1) unit mesin gerudi tanah milik Suzilan Bin Su kpt: 731220-09- 5013 dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh di hukum di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. [B] Fakta kes [3] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 07/07/2025 jam lebih kurang 9.00 pagi semasa pengadu iaitu Suzilan Bin Su kpt: 731220-09-5013 sampai di kebun pengadu alamat Lot. 3468, Kampung Buaya Menora, Kuala Kangsar, Perak dapati (1) unit mesin gerudi tanah telah tiada. Pengadu telah pergi ke belakang rumah dan dapati pintu belakang rumah telah terbuka. Pengadu syaki rumah kebun pengadu telah dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali. Laporan pengadu sepertimana Kuala Kangsar rpt 3444/25. Pada 15/07/2025 jam lebih kurang 0300 hrs, pegawai tangkapan mengetuai sepasukan anggota JSJ Ipd Kuala Kangsar dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar dan anggota MPV PK 18 telah tahan tertuduh di tepi jalan Kampung Sayong Hulu, Kuala Kangsar, Perak. Pengadu kemudiannya telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa serta terangkan tujuan kehadiran polis dan minta penama kemukakan pengenalan diri. Seterusnya pengadu tangkap tertuduh tersebut disyaki bersangkut Kuala Kangsar rpt: 3584/25. Laporan tangkapan sepertimana Kuala Kangsar rpt: 3585/25. Pada 16/07/2025 jam lebih kurang 1430 hrs, bertempat di Pejabat Siasatan Jenayah Ipd Kuala Kangsar, Perak, pegawai tangkapan telah temubual tertuduh. Sebelum temubual dijalankan, pegawai tangkapan terlebih dahulu membacakan peruntukkan di bawah seksyen 27 Akta Keterangan kepada tertuduh di dalam Bahasa Malaysia yang mudah difahami tanpa apa-aрa paksaan, pujukan, ugutan, rayuan, kekerasan, imbuhan dan sebarang janji serta diakui faham oleh tertuduh. Semasa temubual dijalankan, tertuduh telah memberitahu kepada pegawai tangkapan yang berbunyi "barang-barang kebun, ATV dan lori yang saya curi di sekitar kawasan Kuala Kangsar Perak ada saya simpan di kawasan Kampung Buaya Menora dan Kampung Kuala Cermin, Kuala Kangsar Perak, saya boleh tunjuk kepada tuan". Temubual dijalankan adalah untuk siasatan lanjut. Laporan sepertimana Kuala Kangsar rpt: 3619/25. Bertindak atas maklumat bersangkut Kuala Kangsar rpt: 3619/25, pada 16/07/2025 jam lebih kurang 1500 hrs, pegawai tangkapan mengetuai sepasukan anggota Jsj Ipd Kuala Kangsar Perak dengan dipandu arah oleh tertuduh telah pergi ke rumah alamat noт. 3484, TL KM25A/23A, Kg. Buaya Menora, Kuala Kangsar, Perak, dan apabila sampai di tepi rumah tersebut, dengan dipandu arah tertuduh telah menunjukkan kepada pegawai tangkapan (1) unit mesin gerudi tanah tersebut sambil berkata "inilah barang-barang yang saya curi di sekitar kawasan Kuala Kangsar Perak". Seterusnya pegawai tangkapan rampas (1) unit mesin gerudi tanah bersabit Kuala Kangsar Rpt: 3444/25. Laporan rampasan barang kes sepertimana Kuala Kangsar Rpt: 3621/25. Pengecaman barang kes telah dibuat oleh pengadu dan pengadu daраt camkan barang kes milik pengadu iaitu (1) unit mesin gerudi tanah berdasarkan ada kesan cat putih pada bilah gerudi. Siasatan dijalankan oleh Sjn Mohd Hashimie Bin Mohd Nor selaku Pegawai Penyiasat dan hasil siasatan menunjukkan bahawa tertuduh dengan niat curang didapati telah menyimpan harta curi iaitu (1) unit mesin gerudi tanah milik Suzilan Bin Su Kpt: 731220-09-5013 dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi. Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. [C] Prosiding di mahkamah
4
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 3444/ 25 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 3585/ 25 P4- Laporan polis Kuala Kangsar 3621/ 25 P5- Gambar tempat kejadian kecurian (A-K) P6- Gambar tempat barang kes dijumpai P7- Gambar barang kes P8- Borang bongkar P9- Borang serah menyerah P10- Barang kes tandaan XB2 Kesemua eksibit telah ditunjukkan kepada Tertuduh dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat.
5
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
6
Tertuduh, yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan mitigasi. Peguam telah menggunapakai rayuan yang sama bagi kes AG-83RS-30-07/ 2025 yang telah dipanggil lebih awal dimana dalam kes tersebut, Mahkamah telah dimaklumkan bahawa Tertuduh bekerja sebagai wiring man dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1500 sebulan. Dalam kes tersebut juga, peguam telah memohon untuk Tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani oleh Tertuduh sekarang memandangkan Tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai. Pengakuan salah Tertuduh juga dihujahkan sebagai faktor mitigasi bagi hukuman yang bakal dikenakan ke atas Tertuduh.
7
Puan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terpelajar sebaliknya memohon kepada mahkamah ini agar menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran bagi kesalahan yang dilakukan Tertuduh.
8
Prosiding pada 30 Julai 2025 ini telah dikendalikan dengan teratur. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Begitu juga hukuman dan fakta kes bagi kes ini yang telah diterangkan dan dijelaskan serta diakui sendiri oleh Tertuduh. Oleh yang demikian, saya ini telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
9
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
10
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
11
Saya mengambil kira bahawa kesalahan melibatkan harta benda seperti pecah rumah, kecurian, penerimaan dan penyimpanan harta curi semakin membimbangkan serta memberi kesan langsung kepada rasa selamat dalam kalangan masyarakat. Dalam tempoh 5 tahun berkhidmat di Kuala Kangsar, saya mendapati kejadian seperti ini semakin menjadi-jadi di daerah ini. Oleh itu, saya tidak wajar mengambil pendekatan yang terlalu ringan terhadap kesalahan sedemikian. Hukuman yang dikenakan hendaklah mempunyai kesan pencegahan yang jelas bagi membendung peningkatan jenayah terhadap harta benda serta melindungi kepentingan awam.
12
Selain itu, saya juga mengambil kira cara kesalahan ini dilakukan. Walaupun Tertuduh tidak dipertuduhkan sebagai pelaku utama yang melakukan kecurian, tindakannya dengan sengaja menyimpan harta yang mempunyai sebab untuk dipercayai sebagai harta curi telah menyebabkan harta tersebut terus berada di luar pemilikan mangsa yang merupakan pemilik yang sah. Perbuatan sedemikian bukan sahaja memanjangkan kerugian yang dialami oleh mangsa, malah menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk mengesan dan mendapatkan semula harta tersebut.
13
Harta yang terlibat dalam kes ini merupakan sebuah mesin gerudi tanah yang lazim digunakan bagi kerja-kerja pertanian atau kebun. Kehilangan peralatan sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerugian dari sudut nilai harta, malah menghalang pemilik daripada menikmati penggunaan dan manfaat peralatan tersebut sepanjang tempoh ia tidak dapat diperoleh semula. Hak milik mangsa terhadap hartanya merupakan hak yang dilindungi oleh undang-undang dan wajar diberikan perlindungan melalui pengenaan hukuman yang setimpal.
14
Saya juga mengambil kira bahawa Tertuduh baru disabitkan sebentar tadi atas dua lagi pertuduhan yang melibatkan kesalahan seumpama sebelum hukuman bagi kes ini dijatuhkan (kes AG-83RS-42-11/ 2024 yang disabitkan pada 16 Julai 2025 dan kes AG-83RS-30-07/2025 yang baru disabitkan sebelum kes ini dipanggil). Penglibatan Tertuduh tidak terhad kepada satu jenis harta atau satu kejadian semata-mata, sebaliknya melibatkan harta yang berbeza dalam kejadian yang berasingan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Tertuduh bukanlah suatu tindakan yang bersifat kebetulan atau terdesak, malah menunjukkan suatu corak penglibatan yang berulang dalam kesalahan berkaitan harta curi. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa kepentingan pencegahan khas (specific deterrence) dan perlindungan masyarakat perlu diberikan penekanan yang lebih besar dalam menentukan hukuman yang setimpal.
15
Dalam menentukan hukuman yang sesuai, saya turut memberikan pertimbangan terhadap faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan bagi pihak Tertuduh sebagaimana yang dikemukakan sewaktu prosiding kes AG-83RS-30-07/ 2025. Antaranya ialah Tertuduh mempunyai tanggungan keluarga. Saya menyedari bahawa hukuman pemenjaraan yang dikenakan bukan sahaja memberi kesan kepada Tertuduh, malah turut memberi implikasi terhadap kebajikan ahli-ahli keluarganya yang bergantung harap kepadanya.
16
Saya juga mengambil perhatian terhadap latar belakang Tertuduh yang bekerja sebagai seorang wiring man dengan pendapatan kira-kira RM1500 sebulan. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa Tertuduh mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan yang sah sebelum kejadian dan pernah menyumbang kebolehannya kepada masyarakat.
17
Disamping itu, saya perlu memberikan kredit terhadap pengakuan bersalah Tertuduh yang dibuat pada peringkat awal prosiding. Pengakuan tersebut telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain mengelakkan pihak pendakwaan daripada perlu memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan serta membuktikan kes di perbicaraan.
18
Setelah menimbangkan keseluruhan fakta kes, faktor-faktor pemberat dan faktor-faktor mitigasi yang memihak kepada Tertuduh, serta mengambil kira kepentingan awam dan prinsip-prinsip penghukuman yang terpakai, saya memerintahkan Tertuduh untuk menjalani hukuman berbentuk pemenjaraan selama 8 bulan.
19
Sebelum kes ini dipanggil, Mahkamah terlebih dahulu telah mendengar dan memutuskan kes melibatkan Tertuduh di bawah nombor AG-83RS-30-07/ 2025 dan AG- 83-121-07/ 2025 pada hari yang sama. Sebagaimana yang dinyatakan dalam alasan penghakiman bagi kes-kes tersebut, Mahkamah turut mengambil maklum bahawa Tertuduh dihadapkan di hadapan saya dalam keadaan sedang menjalani hukuman pemenjaraan bagi suatu kes lain iaitu kes AG-83RS-42-11/ 2024 bagi suatu kesalahan di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan, dengan hukuman pemenjaraan selama satu tahun bermula pada tarikh sabitan iaitu 16 Julai 2025.
20
Berdasarkan rekod tersebut, kedudukan hukuman pemenjaraan yang perlu dijalani oleh Tertuduh setakat ini adalah seperti berikut: i. kes AG-83RS-42-11/2024 – disabitkan pada 16 Julai 2025 dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama satu tahun bermula pada 16 Julai 2025; ii. kes AG-83RS-30-07/2025 – disabitkan pada hari ini (30 Julai 2025) dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 25 bulan, yang diperintahkan berjalan selepas Tertuduh selesai menjalani hukuman dalam kes (i); dan iii. kes AG-83-121-07/2025 – disabitkan pada hari ini (30 Julai 2025) dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 6 bulan, yang diperintahkan berjalan selepas Tertuduh selesai menjalani hukuman dalam kes (i) dan (ii).
21
Rekod-rekod tersebut perlu dipertimbangkan bagi membolehkan saya menentukan sama ada hukuman yang akan dijatuhkan dalam kes ini wajar diperintahkan berjalan secara serentak dengan hukuman sedia ada atau secara berturutan. Penentuan tersebut hendaklah dibuat berdasarkan keseluruhan fakta dan keadaan kes, selaras dengan prinsip-prinsip undang-undang yang terpakai, bagi memastikan hukuman yang dikenakan adalah adil, seimbang dan setimpal.
22
Disamping itu, saya turut merujuk kepada peruntukan subseskyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah serta prinsip-prinsip dalam beberapa kes seperti PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629), Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 MLJ 182 dan Bachik Abdul Rahman v PP [2004] 2 CLJ 572 dalam penentuan tarikh hukuman bagi kes ini bermula.
23
Mengaplikasikan prinsip yang digariskan dalam kes-kes tersebut kepada fakta kes ini, saya mendapati bahawa kes AG-83RS-42-11/2024, kes AG-83RS-30-07/2025, kes AG-83-121-07/2025 dan kes ini bukanlah sebahagian daripada transaksi yang sama. Keempat-empat kes melibatkan kesalahan yang berasingan, fakta yang berbeza serta laporan polis yang berasingan, terutamanya bagi kes AG-83-121-07/2025. Apa yang lebih membimbangkan ialah rekod Tertuduh memperlihatkan bahawa dalam tempoh masa yang singkat, Tertuduh telah berulang kali melibatkan dirinya dalam pelbagai kesalahan jenayah terutamanya yang melibatkan harta benda. Corak perlakuan sedemikian menunjukkan bahawa penglibatan Tertuduh dalam aktiviti jenayah bukanlah suatu kejadian yang bersifat terpencil atau lahir daripada keadaan yang terdesak, sebaliknya mencerminkan suatu kecenderungan yang berterusan untuk mengingkari undang-undang dan kehidupan Tertuduh dalam perbuatan jenayah. Dalam keadaan sedemikian, kepentingan pencegahan am dan pencegahan khusus hendaklah diberi keutamaan agar hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, malah turut menyampaikan mesej yang jelas bahawa setiap kesalahan jenayah yang berasingan akan menerima akibatnya yang tersendiri. Hukuman yang dilaksanakan secara serentak akan menyebabkan kesan kumulatif daripada setiap kesalahan tersebut tidak tergambar dengan sewajarnya.
24
Dari sudut prinsip totality, saya juga berpendapat bahawa sekiranya perintah hukuman pemenjaraan dijalankan secara berturutan diberikan, ianya masih tidak bercanggah dengan prinsip tersebut. Tempoh pemenjaraan keseluruhannya tidak boleh dianggap sebagai keterlaluan atau sehingga menimbulkan crushing effect, memandangkan jumlah tempoh hukuman masih berada dalam lingkungan yang munasabah berbanding hukuman maksimum yang diperuntukkan bagi semua kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan. Pada masa yang sama, hukuman tersebut masih memberi ruang yang realistik kepada Tertuduh untuk menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi.
25
Justeru, setelah mempertimbangkan keseluruhan fakta kes, faktor mitigasi dan pemberatan, serta prinsip-prinsip hukuman yang terpakai, saya memerintahkan supaya hukuman pemenjaraan selama 8 bulan dalam kes ini bermula selepas Tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan dalam kes AG-83RS-42-11/ 2024, kes AG- 83RS-30-07/ 2025 dan kes AG-83-121-07/ 2025.
26
Saya percaya bahawa perintah yang diberikan ini mencerminkan keseluruhan tahap kebersalahan Tertuduh disamping mengekalkan keseimbangan antara kepentingan Tertuduh dan kepentingan awam. Bertarikh 4 Julai 2026 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Negeri Perak Tarikh keputusan: 30 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Nur Mirza Zulaikha binti Mohd Fadzly Peguam YBGK: Hennie Soraya binti Hanafi
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.