Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-26-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83RS-26-07/2025
Magistrates Court of Malaysia29 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“lan secara serentak atau berturutan, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta prinsip yang terpakai. Dalam hal ini, prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam kes PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629, Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 M”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-26-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Muhammad Nur Tashriq bin Abd Malek (“Tertuduh”) pada 29 Julai 2025 telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. Tertuduh telah mengaku bersalah dan kes telah ditetapkan pada 30 Julai 2025 di hadapan saya di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar untuk fakta dan hukuman.
2
Pertuduhan telah dibacakan dan difahami oleh Tertuduh dalam bahasa Malaysia. Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti di bawah: Pertuduhan: Bahawa kamu pada 16/7/2025 jam lebih kurang 3.00 petang, bertempat di rumah Lot 3484, TL KM25A/23A Kg Buaya Menora, Kuala Kangsar di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, dengan niat curang didapati telah menyimpan harta curi iaitu sebuah ATV 200cc warna kuning milik Mohamad Kamal Noh bin Safiee, (KPT : 851007-08-5277) dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh di hukum di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. [B] Fakta kes [3] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 19/5/2025 jam lebih kurang 5.00 petang semasa pengadu nama Mohamad Kamal Noh Bin Safiee (Kpt: 851007-08-5277) sampai di Homestay Dango Cakcibor No 6291 Kampung Geliong Kuala Kangsar dapati sebuah ATV miliknya telah tiada. Pengadu syak ATV tersebut telah hilang kena curi. Pengadu telah membuat laporan polis sepertimana Kuala Kangsar Report 2604/25. Pada 15/7/2025 jam lebih kurang 3.00 petang Insp Ahmad Ariff Bin Rasidi bersama pasukan dari Bsj Ipd Kuala Kangsar di bantu oleh anggota Balai Polis Kuala Kangsar dan MPV PK 18 telah tahan tertuduh Iaitu Muhammad Tashriq Bin Abd Malek (kpt: 910723-08-5005) di tepi Jalan Sayong Hulu Kuala Kangsar Perak. Insp Ahmad Ariff telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa serta terangkan tujuan kehadiran polis dan minta tertuduh mengemukakan pengenalan diri. Seterusnya Insp Ahmad Ariff telah membuat tangkapan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kecurian bersabit Kuala Kangsar Report 3584/25. Report tangkapan sepertimana Kuala Kangsar Report 3585/25. Pada 16/7/2025 jam lebih kurang 2.30 petang bertempat di Pejabat Siasatan Jenayah Ipd Kuala Kangsar, Insp Ahmad Ariff telah temubual tertuduh. Semasa temubual dijalankan tertuduh telah memberitahu kepada pegawai tangkapan yang berbunyi "barang-barang kebun, ATV dan lori yang saya curi, di sekitar kawasan Kuala Kangsar, ada saya simpan di kawasan Kampung Buaya Menora dan Kampung Kuala Cermin Kuala Kangsar. Saya boleh tunjukkan kepada tuan”. Temubual awal dijalankan adalah untuk siasatan lanjut. Laporan temubual awal sepertimana Kuala Kangsar Report 3619/25. Bertindak atas maklumat bersangkut Kuala Kangsar Report 3619/25, pada 16/7/2025 jam lebih kurang 3.00 petang pegawai tangkapan Insp Ahmad Ariff mengetuai sepasukan anggota Bsj Ipd Kuala Kangsar, Perak dengan dipandu arah oleh tertuduh telah pergi ke rumah alamat Lot 3484 TL KM25A/23A Kampung Buaya Menora Kuala Kangsar, Perak. Apabila sampai di tepi rumah tersebut dengan dipandu arah oleh tertuduh telah menunjukkan kepada pegawai tangkapan sebuah ATV bewarna gelap sambil berkata "ini ATV yang saya curi di Kampung Geliong, Kuala Kangsar". Seterusnya pegawai tangkapan rampas sebuah ATV bersabit Kuala Kangsar Report 2604/25. Report rampasan sepertimana Kuala Kangsar Report 3621/25. Pengecaman barang kes oleh telah dibuat oleh pengadu dan pengadu dapat camkan ATV tersebut adalah miliknya berdasarkan terdapat lagi kesan warna asal iaitu warna kuning, selain itu juga pengadu telah membuat perubahan pada karburator ATV tersebut iaitu pengadu telah menggunakan karburator m/sikal jenis skuter VS125 pada ATV tersebut dan ekzos ATV yang telah patah sama dengan ATV yang telah dirampas oleh pihak polis. Terdapat juga sticker yang di tampal oleh pengadu pada badan ATV tersebut. Siasatan telah dijalankan oleh Sjn Rosmawati Binti Saleh dan hasil siasatan dapati bahawa tertuduh dengan curangnya telah menyimpan harta curi iaitu sebuah ATV yang mempunyai sebаb mempercayai bahawa barang tersebut adalah harta curi. Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan dan tertuduh boleh di hukum di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. [C] Prosiding di mahkamah
4
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 2604/ 25 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 3585/ 25 P4- Laporan polis Kuala Kangsar 3621/ 25 P5- Gambar tempat kejadian (A-C) P6- Gambar tempat barang kes dijumpai (A-H) P7- Borang bongkar P8- Borang serah menyerah barang kes (Pengecaman barang kes iaitu ATV adalah melalui gambar sahaja kerana sukar dibawa dan peguam yang mewakili Tertuduh dan Tertuduh bersetuju serta tidak mempunyai sebarang bantahan) Kesemua eksibit telah ditunjukkan kepada Tertuduh dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat.
5
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
6
Tertuduh, yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan mitigasi. Peguam telah mengguna pakai rayuan yang sama bagi kes AG-83RS-30-07/ 2025 yang telah dipanggil lebih awal dimana dalam kes tersebut, Mahkamah telah dimaklumkan bahawa Tertuduh bekerja sebagai wiring man dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1500 sebulan. Dalam kes tersebut juga, peguam telah memohon untuk Tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani oleh Tertuduh sekarang memandangkan Tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai. Pengakuan salah Tertuduh juga dihujahkan sebagai faktor mitigasi bagi hukuman yang bakal dikenakan ke atas Tertuduh.
7
Puan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terpelajar sebaliknya memohon kepada mahkamah ini agar menjatuhkan ke atas Tertuduh hukuman setimpal yang bersifat pengajaran.
8
Prosiding pada 30 Julai 2025 ini telah dikendalikan dengan teratur. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Begitu juga hukuman dan fakta kes bagi kes ini yang telah diterangkan dan dijelaskan serta diakui sendiri oleh Tertuduh. Oleh yang demikian, saya ini telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
9
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
10
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
11
Pada pandangan saya, kesalahan yang melibatkan harta benda wajar diberikan perhatian yang serius oleh pihak badan kehakiman kerana kesannya bukan sahaja terhad kepada mangsa, tetapi turut memberi impak kepada ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan undang-undang. Jenayah seperti kecurian serta kesalahan berkaitan penerimaan dan penyimpanan harta curi masih berleluasa dan memberi kesan berterusan kepada rasa selamat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, pendekatan yang terlalu ringan tidak wajar diambil, sebaliknya hukuman yang dikenakan hendaklah berupaya menyampaikan mesej yang jelas bahawa setiap penglibatan dalam kesalahan berkaitan harta benda akan membawa akibat yang serius dan setimpal.
12
Dalam kes ini, walaupun Tertuduh tidak terlibat sebagai pelaku utama dalam kejadian kecurian ATV tersebut, tindakannya yang dengan sengaja menyimpan harta yang mempunyai sebab untuk dipercayai sebagai harta curi tetap merupakan suatu bentuk penglibatan yang aktif. Perbuatan tersebut telah menafikan mangsa daripada mendapatkan semula hartanya. Pada masa yang sama, ia turut memanjangkan tempoh kehilangan dan kerugian yang dialami oleh mangsa. Selain itu, penyimpanan harta curi juga menghalang serta menyukarkan usaha pihak berkuasa dalam mengesan dan memulangkan semula harta berkenaan, sekali gus menyumbang kepada kesinambungan aktiviti jenayah.
13
Saya seterusnya mengambil kira sifat harta yang menjadi subjek kes ini, iaitu sebuah kenderaan khusus yang lazimnya digunakan bagi tujuan pertanian, perladangan serta aktiviti di kawasan berbentuk dan sukar diakses. Oleh itu, kehilangan kenderaan jenis ini bukan sekadar melibatkan nilai pasaran semata-mata, tetapi turut mengakibatkan kehilangan fungsi dan manfaat penggunaannya kepada mangsa.
14
Disamping itu, sebelum hukuman dalam kes ini dijatuhkan, Tertuduh telah pun disabitkan atas beberapa pertuduhan lain yang melibatkan kesalahan seumpama, iaitu kes AG-83RS-42-11/2024 yang telah diputuskan pada 16 Julai 2025 serta kes AG-83RS- 30-07/2025 dan kes AG-83RS-24-07/2025 yang diputuskan lebih awal pada hari yang sama dengan kes ini. Kesemua kes tersebut melibatkan penglibatan Tertuduh dalam kesalahan berkaitan harta benda, namun berlaku dalam kejadian yang berasingan serta melibatkan harta yang berbeza. Keadaan ini menunjukkan bahawa penglibatan Tertuduh bukan bersifat kebetulan atau di bawah desakan, sebaliknya memperlihatkan suatu pola penglibatan yang berulang dalam kesalahan berkaitan harta benda. Justeru, kepentingan pencegahan khas (specific deterrence) serta perlindungan masyarakat menuntut agar diberikan penekanan yang lebih berat dalam penentuan hukuman yang sesuai.
15
Dalam menjatuhkan hukuman, saya turut meneliti faktor mitigasi yang dikemukakan bagi pihak Tertuduh sebagaimana yang dihujahkan dalam prosiding kes AG-83RS-30-07/2025. Antara faktor yang diambil kira ialah Tertuduh mempunyai tanggungan keluarga yang ramai, dan oleh itu hukuman pemenjaraan yang dikenakan turut memberi kesan kepada kebajikan ahli keluarga yang bergantung kepadanya.
16
Saya juga mempertimbangkan latar belakang pekerjaan Tertuduh sebagai seorang wiring man dengan pendapatan sekitar RM1500 sebulan. Keadaan ini menunjukkan bahawa Tertuduh mempunyai pekerjaan serta sumber pendapatan yang agak baik sebelum kejadian, sekaligus menyumbang kebolehannya kepada masyarakat. Saya turut memberikan kredit terhadap pengakuan bersalah Tertuduh pada peringkat awal prosiding yang telah menjimatkan masa serta kos perbicaraan, disamping mengelakkan keperluan pemanggilan saksi-saksi oleh pihak pendakwaan.
17
Setelah mengambil kira keseluruhan keadaan kes termasuk faktor pemberatan dan mitigasi, serta prinsip-prinsip penghukuman yang terpakai, juga hukuman yang diperuntukkan untuk kesalahan ini iaitu minimum 6 bulan pemenjaraan dan maksimum adalah 5 tahun pemenjaraan; saya berpendapat bahawa pengenaan hukuman pemenjaraan selama lapan 8 bulan adalah wajar, adil dan seimbang dengan tahap kesalahan yang dilakukan oleh Tertuduh.
18
Sebelum kes ini diputuskan, saya telah terlebih dahulu mendengar dan memutuskan beberapa kes melibatkan Tertuduh iaitu AG-83RS-30-07/ 2025, AG-83- 121-07/2025 dan AG-83RS-24-07/ 2025. Saya juga telah mengambil maklum bahawa Tertuduh sedang menjalani hukuman pemenjaraan bagi kes AG-83RS-42-11/ 2024 setelah dijatuhi hukuman selama satu 1 tahun pada 16 Julai 2025. Justeru, saya perlu menentukan sama ada hukuman dalam kes ini wajar dijalankan secara serentak atau berturutan dengan hukuman-hukuman kes-kes tersebut.
19
Kedudukan hukuman pemenjaraan yang sedang dan akan dijalani oleh Tertuduh (setakat ini), adalah seperti berikut: i) AG-83RS-42-11/2024 – hukuman setahun penjara bermula 16 Julai 2025; ii) AG-83RS-30-07/2025 – hukuman 25 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i); iii) AG-83-121-07/2025 – hukuman 6 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i) dan (ii); dan iv) AG-83RS-24-07/2025 – hukuman 8 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i), (ii) dan (iii).
20
Rekod-rekod di atas adalah relevan bagi membantu saya menentukan sama ada hukuman bagi kes ini patut berjalan secara serentak atau berturutan, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta prinsip yang terpakai. Dalam hal ini, prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam kes PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629, Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 MLJ 182 dan Bachik Abdul Rahman v PP [2004] 2 CLJ 572 berkaitan penentuan tarikh kuat kuasa hukuman, telah dirujuk dengan teliti.
21
Berdasarkan prinsip-prinsip dalam kes-kes tersebut, saya mendapati bahawa kes AG-83RS-42-11/2024, AG-83RS-30-07/2025 dan AG-83-121-07/2025 melibatkan kejadian, fakta serta laporan polis yang berasingan dan tidak membentuk satu transaksi yang sama dengan kes ini. Terutamanya bagi kes AG-83-121-07/ 2025 yang tidak langsung berkaitan dengan jenayah harta benda.
22
Walau bagaimana pun, berbeza halnya dengan kes AG-83RS-24-07/2025, dimana kedua-dua kes tersebut dan kes semasa berkait rapat dari segi penemuan dan rampasan barang kes, yang dibuat dalam operasi yang sama di lokasi yang sama hasil maklumat yang diberikan oleh Tertuduh. Keadaan ini menunjukkan wujudnya hubungan fakta antara kedua-dua kes tersebut.
23
Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa hukuman dalam kes ini wajar dijalankan secara serentak dengan hukuman dalam kes AG-83RS-24-07/ 2025. Walaupun pertuduhan melibatkan harta yang berbeza, namun kedua-duanya berpunca daripada operasi siasatan yang sama serta penemuan di lokasi penyimpanan yang sama. Hubungan fakta yang rapat ini membezakan kedudukan kes tersebut daripada kes-kes lain yang bersifat sepenuhnya berasingan.
24
Meskipun begitu, saya tidak berpendapat bahawa hukuman dalam kes ini wajar dijalankan secara serentak dengan hukuman dalam kes AG-83RS-42-11/2024, AG- 83RS-30-07/2025 dan AG-83-121-07/2025 memandangkan kesemua kes tersebut melibatkan kes berlainan (terutamanya kes AG-83-121-07/2025), kejadian, harta serta laporan polis yang berasingan. Justeru, kepentingan pencegahan am dan khas menghendaki setiap kesalahan dikenakan hukuman yang tersendiri.
25
Sehubungan itu, setelah menilai keseluruhan keadaan kes, faktor pemberatan dan mitigasi serta prinsip penghukuman yang terpakai, saya memerintahkan supaya hukuman pemenjaraan selama lapan 8 bulan dalam kes ini hendaklah dijalankan secara serentak dengan hukuman dalam kes AG-83RS-24-07/ 2025, tetapi secara berasingan dengan hukuman kes AG-83RS-42-11/ 2024, AG-83RS-30-07/ 2025 dan AG-83-121-07/ 2025.
26
Perintah ini mencapai keseimbangan yang wajar. Perintah serentak dengan kes AG-83RS-24-07/2025 adalah berasaskan hubungan fakta yang rapat antara kedua-dua kes tersebut, manakala pelaksanaan berasingan bagi kes-kes lain memastikan keseluruhan tahap kebersalahan Tertuduh tetap dihukum dengan seadilnya. Bertarikh 4 Julai 2026 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Negeri Perak Tarikh keputusan: 30 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Nur Mirza Zulaikha binti Mohd Fadzly Peguam YBGK: Hennie Soraya binti Hanafi
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.