Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-27-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83RS-27-07/2025
Magistrates Court of Malaysia29 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“berturutan, selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai serta prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Dalam hal ini, saya turut merujuk kepada prinsip-prinsip dalam kes PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629, Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 M”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-27-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Muhammad Nur Tashriq bin Abd Malek (“Tertuduh”) pada 29 Julai 2025 telah dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan. Tertuduh telah mengaku bersalah dan kes telah ditetapkan pada 30 Julai 2025 di hadapan saya di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar untuk fakta dan hukuman.
2
Pertuduhan telah dibacakan dan difahami oleh Tertuduh dalam bahasa Malaysia. Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti di bawah: Pertuduhan: Bahawa kamu pada 7/7/2025 jam lebih kurang 1.45 petang bertempat di Kedai Besi Buruk Chop Sin Hor Kee Lot 1121 Stor Rmlm 4, Ladang Lawin Simpang Lawin, Kuala Kangsar, di dalam Daerah Kuala Kangsar, di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, dengan sengaja telah melupuskan sebuah generator yang telah di leraikan yang kamu ketahui sebagai harta curi. Oleh itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh di hukum di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh di hukum di bawah peruntukan seksyen yang sama [B] Fakta kes [3] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 23/6/2025 jam lebih kurang 9.00 pagi semasa pengadu nama Mohd Fairus Bin Mohamed (Kpt: 810702-08-5913) berada di rumahnya di Lot 9864 Kampung Rambai Tujuh Kuala Kangsar telah dapati 2 buah generator milik yang di letakkan di dalam stor telah tiada. Pengadu syak generator tersebut telah hilang di curi. Pengadu telah membuat laporan polis sepertimana Kuala Kangsar Report 3185/25 Pada 23/7/2025 jam lebih kurang 2.30 petang bertempat di Pejabat Siasatan Jenayah Ipd Kuala Kangsar Insp Ahmad Ariff telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa. Insp Ahmad Ariff telah minta tertuduh mengemukakan pengenalan diri dan dapati tertuduh nama Muhammad Nur Tashriq Bin Abd Malek (No.Kp: 910723-08-5005). Seterusnya Insp Ahmad Ariff telah membuat tangkapan ke atas tertuduh bersabit Kuala Kangsar Report 3185/25. Report tangkapan sepertimana kuala kangsar 3772/25 Siasatan telah di dijalankan oleh Sjn Rosmawati Binti Saleh dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah generator jenama Ogawa dengan cara meleraikan dan menjual kepada kedai besi buruk. Yang mana tertuduh mengetahui bahawa ianya adalah harta curi. Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 414 kanun keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. [C] Prosiding di mahkamah
4
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 3185/25 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 3772/25 P4- Gambar CCTC di tempat kejadian (A-B) P5- Resit pelupusan atas nama Tertuduh Kesemua eksibit telah ditunjukkan kepada Tertuduh dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat.
5
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya ini telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
6
Tertuduh, yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan mitigasi. Peguam telah menggunapakai rayuan yang sama bagi kes AG-83RS-30-07/ 2025 yang telah dipanggil lebih awal dimana dalam kes tersebut, Mahkamah telah dimaklumkan bahawa Tertuduh bekerja sebagai wiring man dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1500 sebulan. Dalam kes tersebut juga, peguam telah memohon untuk Tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani oleh Tertuduh sekarang memandangkan Tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai. Pengakuan salah Tertuduh juga dihujahkan sebagai faktor mitigasi bagi hukuman yang bakal dikenakan ke atas Tertuduh.
7
Puan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terpelajar sebaliknya memohon kepada mahkamah ini agar menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran ke atas Tertuduh.
8
Prosiding pada 30 Julai 2025 ini telah dikendalikan dengan teratur. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Begitu juga hukuman dan fakta kes bagi kes ini yang telah diterangkan dan dijelaskan serta diakui sendiri oleh Tertuduh. Oleh yang demikian, saya ini telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
9
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
10
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
11
Pada pandangan saya, kesalahan berkaitan harta benda perlu ditangani dengan pendekatan yang tegas oleh Mahkamah memandangkan impaknya yang bukan sahaja dirasai oleh mangsa secara individu, malah turut memberi kesan kepada ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan perlindungan undang-undang. Kesalahan seperti kecurian, penerimaan dan penyimpanan serta pelupusan harta curi masih berleluasa dan memberi kesan berterusan terhadap rasa selamat dalam kalangan masyarakat. Justeru, hukuman yang dijatuhkan hendaklah berupaya memberi kesan pencegahan yang jelas agar ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan yang boleh dilakukan tanpa akibat yang serius.
12
Dalam kes ini, penglibatan Tertuduh tidak terhenti setakat mengetahui barang kes dalam kes ini sebagai harta curi, malah turut meliputi tindakan melupuskan harta tersebut melalui penjualan kepada sebuah kedai besi buruk. Lebih ketara, transaksi tersebut disertai dengan resit jualan yang menunjukkan wujud keuntungan hasil daripada pelupusan harta yang diperoleh secara tidak sah. Tindakan ini bukan sahaja menafikan hak pemilik sebenar untuk mendapatkan semula hartanya, malah mengubah harta curi tersebut kepada bentuk keuntungan peribadi, sekali gus memperkukuhkan lagi penglibatan Tertuduh dalam rantaian aktiviti jenayah harta benda.
13
Saya juga mengambil kira bahawa perbuatan pelupusan tersebut telah mengakibatkan harta berkenaan bukan sahaja hilang daripada pemilikan sah, tetapi turut dimusnahkan daripada bentuk asalnya apabila ia telah ditukar bentuk melalui proses jual beli besi buruk. Keadaan ini secara langsung menyukarkan usaha pengesanan semula oleh pihak berkuasa dan menjejaskan kemungkinan pemulangan semula harta kepada pemilik asal. Oleh itu, kesan perbuatan ini adalah lebih serius berbanding sekadar penyimpanan harta curi semata-mata.
14
Selain itu, sebelum prosiding untuk kes ini bermula, saya turut mengambil maklum bahawa Tertuduh telah pun disabitkan atas beberapa pertuduhan lain yang melibatkan kesalahan seumpama, iaitu kes AG-83RS-42-11/2024 yang diputuskan pada 16 Julai 2025 serta kes AG-83RS-30-07/2025, AG-83-121-07/2025, AG-83RS-24-07/2025 dan AG-83RS-26-07/2025 yang diputuskan lebih awal pada hari yang sama. Kesemua kes tersebut (kecuali kes AG-83-121-07/2025) melibatkan penglibatan Tertuduh dalam kesalahan berkaitan harta benda, namun berlaku dalam kejadian yang berasingan serta melibatkan harta yang berbeza. Keadaan ini menunjukkan bahawa penglibatan Tertuduh bukan bersifat kebetulan, sebaliknya memperlihatkan satu pola tingkah laku yang berulang dan sangat terancang dalam kesalahan berkaitan harta benda. Kejadian dalam kes ini juga berlaku dalam saat ketika Tertuduh masih dalam peringkat bakal dibicarakan bagi kes melibatkan harta benda yang lain iaitu kes AG-83RS-42-11/ 2024. Justeru, kepentingan pencegahan khas (specific deterrence) serta perlindungan masyarakat wajar diberi penekanan yang lebih ketara dalam menentukan hukuman yang sesuai.
15
Dalam menjatuhkan hukuman, saya telah turut meneliti faktor mitigasi yang dikemukakan bagi pihak Tertuduh sebagaimana dihujahkan dalam prosiding kes AG- 83RS-30-07/2025. Antaranya ialah Tertuduh mempunyai tanggungan keluarga yang ramai, yang mana hukuman pemenjaraan yang dikenakan turut memberi kesan kepada kebajikan ahli keluarga yang bergantung kepadanya.
16
Saya juga mengambil kira latar belakang pekerjaan Tertuduh sebagai seorang wiring man dengan pendapatan sekitar RM1500 sebulan. Ini menunjukkan bahawa Tertuduh mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan yang sah sebelum kejadian. Saya turut memberikan kredit terhadap pengakuan bersalah Tertuduh pada peringkat awal prosiding yang telah menjimatkan masa serta kos perbicaraan, selain mengelakkan keperluan pemanggilan saksi oleh pihak pendakwaan.
17
Setelah menilai keseluruhan fakta kes termasuk faktor pemberatan dan mitigasi, serta prinsip-prinsip penghukuman yang terpakai, saya memutuskan bahawa hukuman pemenjaraan selama lapan 8 bulan ke atas Tertuduh adalah difikirkan wajar, adil dan setimpal dengan tahap kesalahan yang dilakukan oleh Tertuduh.
18
Sebelum kes ini diputuskan, seperti yang telah dinyatakan, saya telah terlebih dahulu mendengar dan memutuskan beberapa kes melibatkan Tertuduh iaitu AG-83RS- 30-07/2025, AG-83-121-07/2025, AG-83RS-24-07/2025 dan AG-83RS-26-07/2025 pada hari yang sama. Saya juga mengambil maklum bahawa Tertuduh sedang menjalani hukuman pemenjaraan bagi kes AG-83RS-42-11/2024 setelah dijatuhi hukuman selama setahun pada 16 Julai 2025, yang mana ianya diakui oleh Tertuduh semasa prosiding kes AG-83RS-30-07/2025. Justeru, saya perlu menentukan sama ada hukuman dalam kes ini wajar dijalankan secara serentak atau berturutan dengan hukuman-hukuman kes-kes tersebut.
19
Kedudukan hukuman pemenjaraan yang sedang dan akan dijalani oleh Tertuduh setakat ini adalah seperti berikut: i) AG-83RS-42-11/2024 – hukuman setahun penjara bermula 16 Julai 2025; ii) AG-83RS-30-07/2025 – hukuman 25 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i); iii) AG-83-121-07/2025 – hukuman 6 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i) dan (ii); iv) AG-83RS-24-07/2025 – hukuman 8 bulan penjara yang diperintahkan berjalan selepas kes (i), (ii) dan (iii); dan v) AG-83RS-26-07/2025 – hukuman 8 bulan penjara yang diperintahkan berjalan serentak dengan kes (iv) tetapi berasingan daripada kes (i), (ii) dan (iii).
20
Rekod-rekod tersebut adalah relevan bagi membantu saya dalam menentukan mod pelaksanaan hukuman sama ada secara serentak atau berturutan, selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai serta prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Dalam hal ini, saya turut merujuk kepada prinsip-prinsip dalam kes PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629, Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 MLJ 182 dan Bachik Abdul Rahman v PP [2004] 2 CLJ 572 berkaitan penentuan tarikh kuat kuasa hukuman.
21
Berdasarkan penilaian saya dan rujukan ke atas kes-kes tersebut, saya mendapati bahawa kes AG-83RS-42-11/2024, AG-83RS-30-07/2025, AG-83-121-07/2025 dan AG- 83RS-24-07/ 2025 dan AG-83RS-26-07/ 2025 melibatkan kesalahan, kejadian, fakta serta laporan polis yang berasingan dan tidak langsung membentuk satu transaksi yang sama dengan kes ini. Tambahan pula, kes semasa adalah berbeza secara material kerana melibatkan pelupusan barang kes melalui kaedah jual beli, yang tidak selari dengan keadaan fakta dalam kes-kes yang dirujuk tersebut. Oleh itu, hukuman kes-kes tersebut wajar dilaksanakan secara berasingan daripada kes ini.
22
Sehubungan itu, setelah menilai keseluruhan keadaan kes, faktor pemberatan dan mitigasi serta prinsip penghukuman yang terpakai, saya memerintahkan bahawa hukuman pemenjaraan selama 8 bulan dalam kes ini hendaklah dijalankan secara berasingan daripada kes AG-83RS-42-11/ 2024, AG-83RS-30-07/ 2025, AG-83-121- 07/ 2025, AG-83RS-24-07/ 2025 dan AG-83RS-26-07/ 2025.
23
Dalam menilai keseluruhan struktur hukuman yang akan dihadapi oleh Tertuduh, saya telah turut mengambil kira prinsip totality, dan berpuas hati bahawa jumlah keseluruhan tempoh pemenjaraan yang telah dijatuhkan tidak langsung membawa kepada kesan yang keterlaluan atau crushing effect, serta masih berada dalam lingkungan yang munasabah dan setimpal dengan keseluruhan kesalahan-kesalahan yang telah disabitkan. Bertarikh 5 Julai 2026 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Negeri Perak Tarikh keputusan: 30 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Nur Mirza Zulaikha binti Mohd Fadzly Peguam YBGK: Hennie Soraya binti Hanafi
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.