Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-30-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83RS-30-07/2025
Magistrates Court of Malaysia30 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“epati kehendak undang-undang. [20] Disamping itu, saya turut merujuk kepada peruntukan subseskyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah serta prinsip-prinsip dalam beberapa kes seperti PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629), Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 M”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-30-07/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Muhammad Nur Tashriq bin Abd Malek (“Tertuduh”) pada 30 Julai 2025 telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan. Tertuduh telah mengaku bersalah.
2
Pertuduhan telah dibacakan dan difahami oleh Tertuduh dalam bahasa Malaysia. Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti di bawah: Pertuduhan: Bahawa pada 16/07/2025 jam lebih kurang 4.00 petang bertempat di kawasan semak Kampung Kuala Cermin Kuala Kangsar, di dalam daerah Kuala Kangsar, di dalam Negeri Perak, dengan niat curang telah menyimpan harta curi iaitu motolori buatan Mitsubishi, no. pendaftaran AEA7933, no. enjin 4D34-G04720, no. casis FE639E-A01962 kepunyaan Syarikat Arus Agro Sdn Bhd milik Leow Fah Yong (No. Kpt: 720301086561) dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan. [B] Fakta kes [3] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 30/06/2025 jam lebih kurang 7.00 petang semasa pengadu iaitu Jamil Bin Ahmad Husin (No. Kpt: 860202085541) berada di kebun sawit Kampung Dangla 33020 Kuala Kangsar mendapati sebuah motolori yang diletakkan di kawasan tersebut telah hilang. Pengadu syaki motolori yang diletakkan di tepi Jalan Kebun Sawit Kampung Dangla telah dicuri. Kemudian pengadu membuat laporan polis sepertimana Kati/591/2025. Pada 16/07/2025 jam lebih kurang 4.00 petang bertempat di Pejabat JSJ IPD Kuala Kangsar, pegawai tangkapan iaitu bersama-sama dengan anggota BSJ Ipd Kuala Kangsar telah menjalankan temubual terhadap Muhammad Nur Tashriq Bin Abd Malek (No. Kpt: 910723085005) iaitu tertuduh berkaitan kejadian kes curi motolori sepertimana laporan polis Kati/591/2025. Semasa temubual dijalankan, tertuduh telah memberitahu kepada pagawai tangkapan yang berbunyi barang yang dicuri sebuah motolori ada diletakkan di kawasan semak Kampung Kuala Cermin Kuala Kangsar, Perak. Dipandu arah oleh tangkapan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 telah pergi ke kawasan semak dan mendapati terdapat sebuah motolori yang telah dicuri berada di dalam kawasan semak Kampung Kuala Cermin. Kemudian laporan rampasan barang kes sepertimana Kuala Kangsar/3627/2025. Pada 24/07/2025 jam lebih kurang 2.30 petang, pegawai tangkapan bersama sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ipd Kuala Kangsar semasa berada di Pejabat Siasatan Jenayah Ipd Kuala Kangsar, 33000 Kuala Kangsar, Perak, telah tahan (4) lelaki melayu dan (1) perempuan termasuk tertuduh dan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada tertuduh dengan menunjukkan kad kuasa polis. Tertuduh sebelum ini telah ditahan pada 15/07/2025 kerana terlibat dengan kes kecurian kabel Telekom Malaysia. Kemudian, pegawai tangkapan telah bertindak menangkap semula tertuduh sepertimana laporan polis Kuala Kangsar/3795/25. Siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat Sjn Mohd Faizal Bin Juraimi dan hasil siasatan mendaраті bаhawa tertuduh telah dengan niat curang menyimpan harta curi iaitu motolori milik Leow Fah Yong (No. Kpt: 720301086561) iaitu pemilik lori diatas Syarikat Arus Agro Sdn Bhd dengan mengetahui bahawa harta tersebut merupakan harta curi yang diletakkan di tepi jalan kawasan kebun sawit Kampung Dangla 33020 Kuala Kangsar Perak. Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen yang sama. [C] Prosiding di mahkamah
4
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 591/ 25 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 3795/ 25 P4- Laporan polis Kuala Kangsar 3627/ 25 P5- Gambar tempat kejadian (A-B) P6- Gambar barang kes P7- Borang bongkar P8- Borang serah menyerah barang kes Barang kes dicamkan melalui gambar sahaja dan Tertuduh bersetuju. Barang kes adalah besar dan sukar dibawa. Kesemua eksibit telah ditunjukkan kepada Tertuduh dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat.
5
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
6
Tertuduh, yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan mitigasi. Peguam memaklumkan bahawa Tertuduh bekerja sebagai wiring man dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1500 sebulan. Peguam juga memohon untuk Tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani oleh Tertuduh sekarang memandangkan Tertuduh mempunyai tanggungan. Pengakuan salah Tertuduh juga dihujahkan sebagai faktor mitigasi bagi hukuman yang bakal dikenakan ke atas Tertuduh.
7
Puan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terpelajar sebaliknya memohon kepada mahkamah ini agar menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran ke atas Tertuduh.
8
Prosiding pada 30 Julai 2025 ini telah dikendalikan dengan teratur. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Begitu juga hukuman dan fakta kes bagi kes ini yang telah diterangkan dan dijelaskan serta diakui sendiri oleh Tertuduh. Oleh yang demikian, saya ini telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
9
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
10
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
11
Menjadi pendirian saya bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap Tertuduh hendaklah mencerminkan sifat dan tahap keseriusan kesalahan yang telah dilakukannya serta memenuhi matlamat penghukuman dari sudut pembalasan, pencegahan dan perlindungan kepentingan awam. Saya tidak boleh menutup mata terhadap peningkatan kesalahan melibatkan harta benda seperti rompakan, kecurian, penerimaan, penyimpanan dan pelupusan harta curi yang terus memberi kesan kepada keselamatan serta ketenteraman masyarakat terutamanya di Kuala Kangsar. Walaupun saya mengambil maklum bahawa sebahagian masyarakat berhadapan dengan tekanan ekonomi akibat peningkatan kos sara hidup, kadar inflasi dan kenaikan harga barangan keperluan, faktor-faktor tersebut tidak sekali-kali boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah. Menjadi tanggungjawab badan kehakiman untuk menegaskan bahawa apa jua kesulitan ekonomi yang dihadapi tidak menghalalkan perbuatan yang melanggar undang-undang sehingga menyebabkan kerugian kepada orang lain dan menggugat keyakinan masyarakat terhadap perlindungan undang-undang.
12
Dalam kes ini juga, walaupun tiada bukti bahawa Tertuduh merupakan pelaku utama yang mencuri motolori tersebut, tindakan Tertuduh dengan sengaja menyimpan barang kes tersebut yang mempunyai sebab untuk dipercayai sebagai harta curi telah membantu mengekalkan rantaian jenayah harta benda. Tanpa pihak yang sanggup menerima, menyimpan atau melupuskan harta curi, jenayah mencuri tidak akan dapat memberikan pulangan kepada pelakunya. Kesalahan yang dilakukan Tertuduh secara tidak langsung menggalakkan berlakunya jenayah mencuri kerana ia mewujudkan permintaan atau saluran bagi harta yang diperoleh secara jenayah. Saya perlu mengambil kira bahawa kesalahan seperti ini memberi kesan yang lebih luas kepada ketenteraman awam dan hak pemilikan masyarakat.
13
Selain itu, walaupun tidak dinyatakan dalam laporan polis, nilai harta yang terlibat perlu diambil pertimbangan sewajarnya. Kenderaan yang terlibat dalam kes ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan merupakan aset penting kepada pemiliknya yang juga merupakan sebuah entiti perniagaan. Kehilangan motolori tersebut berpotensi mengganggu operasi perniagaan, termasuk urusan penghantaran, logistik atau aktiviti komersial yang bergantung kepada penggunaan kenderaan tersebut. Kesan sedemikian merupakan suatu bentuk kerugian yang melangkaui nilai pasaran kenderaan itu sendiri. Penglibatan Tertuduh ini dalam menyimpan harta curi telah membantu mengekalkan keadaan dimana mangsa terus terhalang daripada mendapatkan semula harta dan haknya.
14
Saya juga telah mempertimbangkan hujahan mitigasi bagi peringanan hukuman ke atas Tertuduh. Saya mengambil kira bahawa Tertuduh mempunyai tanggungan yang ramai, yang mana hukuman yang dijatuhkan berpotensi memberi kesan kepada kebajikan ahli keluarganya.
15
Saya turut mengambil kira latar belakang pekerjaan Tertuduh sebagai seorang wiring man yang mempunyai pendapatan berjumlah RM1500 sebulan. Perkara ini menunjukkan Tertuduh mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan sebelum kejadian yang turut menyumbang kepada masyarakat melalui pekerjaan yang dilakukannya.
16
Saya juga mengambil kira bahawa pengakuan bersalah Tertuduh seawal tarikh Tertuduh dipertuduhkan di mahkamah, sekali gus menjimatkan masa dan sumber mahkamah serta pihak pendakwaan.
17
Justeru, selepas mempertimbangkan segala faktor yang telah dinyatakan dalam alasan penghakiman ini, juga hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan ini iaitu pemenjaraan tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun; saya menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas Tertuduh selama 25 bulan.
18
Saya turut mengambil maklum bahawa Tertuduh dihadapkan ke mahkamah dalam keadaan sedang menjalani hukuman pemenjaraan bagi kes lain. Sehubungan itu, saya telah membuat semakan terhadap rekod prosiding Tertuduh dalam Case Management System (“CMS”) dan mendapati bahawa Tertuduh telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah ini pada 16 Julai 2025 di bawah kes seksyen 414 Kanun Keseksaan (AG- 83RS-42-11/ 2024) yang mana Tertuduh telah dikenakan pemenjaraan selama tempoh 1 tahun bermula 16 Julai 2025. Dan perkara ini telah ditanya kepada Tertuduh dan turut diakui olehnya sendiri.
19
Semakan tersebut adalah relevan bagi membolehkan saya menentukan sama ada hukuman dalam kes ini wajar berkuat kuasa dari tarikh yang sama, berjalan serentak, atau bermula selepas tamat hukuman yang sedang dijalani oleh Tertuduh. Penentuan tersebut perlu dibuat berdasarkan keseluruhan fakta dan keadaan kedua-dua kes bagi memastikan hukuman yang dijatuhkan adalah adil, seimbang dan menepati kehendak undang-undang.
20
Disamping itu, saya turut merujuk kepada peruntukan subseskyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah serta prinsip-prinsip dalam beberapa kes seperti PP v Mohamad Ramadzan [2021] MLJU 1629), Wan Azman Atan v PP [2006] 7 CLJ 281, Kanagasuntharam v PP [1992] 1 SLR 81, Noor Azmi v PP [2023] 12 MLJ 182 dan Bachik Abdul Rahman v PP [2004] 2 CLJ 572 dalam penentuan tarikh hukuman bagi kes ini bermula.
21
Mengaplikasikan prinsip yang digariskan dalam kes-kes tersebut kepada fakta kes ini, saya mendapati bahawa kes AG-83RS-42-11/ 2024 dan kes ini bukanlah sebahagian daripada transaksi yang sama. Kedua-duanya melibatkan kesalahan yang berasingan, fakta yang berbeza, laporan polis yang berasingan, barang kes yang berbeza serta mangsa yang berlainan.
22
Rekod tersebut juga menunjukkan suatu corak perlakuan jenayah yang berterusan, iaitu Tertuduh terus melibatkan dirinya dalam kesalahan yang hampir serupa dari satu kejadian ke satu kejadian. Keadaan ini melemahkan sebarang tanggapan bahawa perbuatan Tertuduh dilakukan secara kebetulan atau akibat suatu desakan yang bersifat sementara. Sebaliknya, ia menunjukkan kecenderungan dan tabiat Tertuduh untuk terus terlibat dalam perlakuan jenayah yang hampir sama, sekali gus menjadikan kepentingan pencegahan am dan pencegahan khusus sebagai pertimbangan utama saya dalam menentukan tarikh permulaan hukuman.
21
Dari sudut prinsip totality, saya juga berpendapat bahawa sekiranya perintah hukuman pemenjaraan dijalankan secara berturutan diberikan, ianya tidak bercanggah dengan prinsip tersebut. Tempoh pemenjaraan keseluruhannya tidak boleh dianggap sebagai keterlaluan atau sehingga menimbulkan crushing effect, memandangkan jumlah tempoh hukuman masih berada dalam lingkungan yang munasabah berbanding hukuman maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan yang dipertuduhkan. Pada masa yang sama, hukuman tersebut masih memberi ruang yang realistik kepada Tertuduh untuk menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi.
22
Justeru, setelah mempertimbangkan keseluruhan fakta kes, faktor mitigasi dan pemberatan, serta prinsip-prinsip hukuman yang terpakai, saya memerintahkan supaya hukuman pemenjaraan selama 25 bulan dalam kes ini bermula selepas Tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan dalam kes AG-83RS-42-11/2024. Perintah ini mencerminkan tahap keseriusan kedua-dua kesalahan yang dilakukan, disamping memastikan hukuman yang dikenakan adalah setimpal, adil dan selaras dengan kepentingan keadilan awam. Bertarikh 2 Julai 2026 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Negeri Perak Tarikh keputusan: 30 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Nur Mirza Zulaikha binti Mohd Fadzly Peguam YBGK: Hennie Soraya binti Hanafi
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.