Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-42-11/ 2024 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83RS-42-11/2024
Magistrates Court of Malaysia16 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-83RS-42-11/ 2024 PENDAKWARAYA LAWAN MUHAMMAD NUR TASHRIQ BIN ABD MALEK (No. K/P: 910723-08-5005) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Muhammad Nur Tashriq bin Abd Malek (“Tertuduh”) pada 19 November 2024 telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
2
Walau bagaimana pun, pada 16 Julai 2025 dimana tarikh yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan, Tertuduh telah memaklumkan mahu menukar pengakuan. Pada tarikh tersebut, pertuduhan dibacakan sekali lagi dan Tertuduh yang memaklumkan tidak mahu diwakili peguam, telah mengaku bersalah atas pertuduhan yang telah dibaca dan diterangkan. Akuan salah Tertuduh telah diterima dan direkodkan sebelum Tertuduh disabitkan dan dijatuhkan hukuman untuk kesalahan tersebut. [B] Pertuduhan [3] Pertuduhan telah dibacakan dan difahami oleh Tertuduh dalam bahasa Malaysia. Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti di bawah: Bahawa kamu pada 04/08/2024 jam lebih kurang 3.00 petang, di Simpang Pulai dalam daerah Ipoh, dalam negeri Perak Darul Ridzuan, dengan sengaja telah melupuskan harta curi iaitu sebuah motosikal no pendaftaran BNJ1703, no casis : JKBZR800AADA15914, no enjin :ZR800AEA23906 jenis Kawasaki ZR800-A milikan Muhammad Amin Bin Mohamed Sabri Kpt: 970703-08-5213 dengan ada sebab mempercayai harta iaitu harta curi dengan itu kamu melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan. [C] Fakta kes [4] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 28/07/2024 jam lebih kurang 6.00 petang semasa pengadu Muhammad Amin Bin Моhamed Sabri no kpt: 970703-08-5213 sampai dirumah alamat: No 52 Jalan Ipoh Padang Ampang Kuala Kangsar Perak. Pengadu sedari motosikal nombor pendaftaran: BNJ 1703 jenis Kawasaki Z800 warna biru hitam yang pengadu letak dihadapan rumah telah tiada. Pengadu juga sedari (2) buah helmet jenis KYT dan kunci motosikal tersebut yang pengadu letak dalam rumah juga telah tiada. Pengadu telah syaki bahawa motosikal dan helmet milik pengadu telah dicuri oleh orang. Laporan polis sebagaimana Kuala Kangsar Repot 3693/24. Pada 05/11/2024 jam lebih kurang 2.30 petang Insp Ahmad Ariff Bin Rasidi bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar telah tahan tertuduh di Pejabat Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar. Laporan tangkapan telah di buat sebagaimana Kuala Kangsar Repot 5487/24. Hasil siasatan mendapati, laporan tangkapan / rampasan sebagaimana Tambun Repot 2157/24 di mana seorang lelaki bernama Muhammad Asyraf Bin Abdullah Zawani no kp: 920206-08-5807 telah di tangkap bersama barang rampasan iaitu motosikal jenis Kawasaki ZR800-A., no chasis: JKBZR800AADA15914, no. Enjin: ZR800AEA23906. Soal siasat yang dijalankan terhadap lelaki tersebut mendedahkan motosikal yang di gunakan semasa tangkapan bersangkut Tambun Repot 2157/24 adalah diserahkan oleh rakannya nama samaran Ahfat atau nama sebenar Muhammad Nur Tasriq Bin Abd Malek No Kpt: 910733-08-5005 pada 04/08/2024 jam lebih kurang 3.00 petang di Simpang Pulai. Lelaki tersebut juga mengetahui yang motosikal tersebut adalah motosikal curi. Hasil siasatan mendapati, tertuduh ada sebab mempercayai harta itu sebagai harta curi dengan sengaja telah melupuskan sebuah motosikal no pendaftaran: BNJ1703 jenis Kawasaki Z800-A milik Muhammad Amin Bin Mohamed Sabri No.Kp: 970703- 08-5213 kераda individu iaitu Muhammad Asyraf Bin Abdullah Zawawi No Kp: 920206- 08-5807 (Yap). Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 414 Kanun Keseksaan. [D] Prosiding di mahkamah
5
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 3693/ 24 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 5487/ 24 P4- Borang bongkar P5- Gambar barang kes (A-H) P6- Gambar tempat kejadian (A-D) P7- Borang serah terima barang kes
6
Kesemua eksibit telah ditunjukkan kepada Tertuduh dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat. Tertuduh juga bersetuju pengecaman barang kes melalui gambar sahaja.
7
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya ini telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
8
Tertuduh telah diberikan ruang untuk mengemukakan rayuan mitigasi. Tertuduh memaklumkan bahawa kakaknya tidak mampu lagi membayar peguam selepas kematian abang iparnya minggu sebelumnya. Tertuduh juga memaklumkan bekerja sebagai wiring man dengan arwah abang iparnya. Tertuduh yang merupakan seorang bujang juga tinggal dengan ibu bapa dan turut menanggung mereka. Tertuduh juga memohon hukuman penjara kerana tiada duit untuk membayar denda.
9
Puan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang terpelajar sebaliknya memohon kepada mahkamah ini agar menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran ke atas Tertuduh.
10
Prosiding pada 16 Julai 2025 ini telah dikendalikan dengan teratur. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Begitu juga hukuman dan fakta kes bagi kes ini yang telah diterangkan dan dijelaskan serta diakui sendiri oleh Tertuduh. Oleh yang demikian, saya telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
11
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
12
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
13
Pada pandangan saya, hukuman yang dijatuhkan terhadap Tertuduh hendaklah mencerminkan sifat dan tahap keseriusan kesalahan yang telah dilakukannya, di samping memenuhi matlamat penghukuman dari sudut pencegahan, pembalasan dan kepentingan awam. Kesalahan melibatkan harta benda seperti rompakan, kecurian, penerimaan barang curi dan kesalahan-kesalahan seumpamanya semakin membimbangkan serta memberi kesan langsung terhadap rasa selamat dan kesejahteraan masyarakat. Justeru, badan kehakiman tidak boleh mengambil pendekatan yang terlalu ringan dalam menangani kesalahan sedemikian.
14
Dalam kes ini juga, walaupun tiada bukti bahawa Tertuduh pelaku utama yang mencuri motosikal tersebut, tindakan Tertuduh dengan sengaja melupuskan motosikal yang mempunyai sebab untuk dipercayai sebagai harta curi telah memudahkan harta curi itu dipindahkan kepada pihak lain. Perbuatan sedemikian menyukarkan pengesanan dan pemulangan harta kepada pemilik sebenar serta menggalakkan berlakunya jenayah curi. Mahkamah tidak boleh membenarkan mana-mana pihak yang membantu menyembunyikan atau melupuskan harta hasil jenayah menganggap peranan mereka sebagai kurang serius berbanding pelaku utama. Kedua-dua kategori pelaku memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memastikan hasil jenayah terus dapat dinikmati.
15
Kesalahan yang dilakukan oleh Tertuduh bukan sahaja menjejaskan hak milik mangsa, malah mewujudkan pasaran bagi harta curi. Perbuatan melupuskan harta curi turut menyebabkan mangsa kehilangan peluang untuk mendapatkan semula hartanya. Semakin sukar harta tersebut dikesan, semakin besar kerugian yang ditanggung oleh mangsa. Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang mempunyai unsur pencegahan (deterrent) supaya memberi mesej yang jelas bahawa mana-mana pihak yang sengaja membantu melupuskan harta curi akan berdepan hukuman yang setimpal.
16
Selain itu, walaupun tidak dinyatakan dalam laporan polis, nilai harta yang terlibat perlu diambil pertimbangan sewajarnya. Harta yang dilupuskan ialah sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 yang mana diketahui umum merupakan motosikal berkuasa tinggi dan sering bernilai besar. Kesalahan melibatkan harta yang mempunyai nilai yang besar menyebabkan kerugian yang signifikan kepada mangsa dan justeru memerlukan hukuman yang mencerminkan tahap keseriusan kesalahan.
17
Saya juga telah mempertimbangkan hujahan mitigasi bagi peringanan hukuman ke atas Tertuduh. Saya mengambil kira bahawa Tertuduh mempunyai tanggungan keluarga, khususnya ibu bapanya yang tinggal bersamanya dan menerima bantuan kewangan daripadanya. Hukuman yang dijatuhkan berpotensi memberi kesan kepada kebajikan ahli keluarganya.
18
Saya turut mengambil kira latar belakang pekerjaan Tertuduh sebagai seorang wiring man. Perkara ini menunjukkan Tertuduh mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan sebelum kejadian, dan bukan seseorang yang tidak mempunyai mata pencarian.
19
Saya juga mengambil kira bahawa pengakuan bersalah Tertuduh dibuat tanpa perbicaraan penuh, sekali gus menjimatkan masa dan sumber mahkamah serta pihak pendakwaan. Oleh itu, segala pertimbangan yang relevan, termasuk faktor-faktor mitigasi yang memihak kepada Tertuduh, telah diberikan pemberatan yang sangat serius dalam pelaksanaan budi bicara dalam menentukan hukuman.
20
Justeru, selepas mempertimbangkan segala faktor yang telah dinyatakan dalam alasan penghakiman ini serta hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan ini, saya menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas Tertuduh selama 1 tahun yang bermula dari tarikh sabitan, 16 Julai 2025. Penetapan tarikh kuat kuasa tersebut turut mengambil kira kedudukan bahawa Tertuduh sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan bagi pertuduhan ini. Saya berpendapat bahawa tempoh pemenjaraan ini adalah adil, setimpal dan mencerminkan keseimbangan antara faktor mitigasi Tertuduh dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Bertarikh 2 Julai 2026 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Negeri Perak Tarikh keputusan: 16 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Nur Mirza Zulaikha binti Mohd Fadzly
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.