Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi, saksi Nor Izuwan telah ditawarkan kepada pihak pembelaan oleh pihak pendakwaan. Tambahan lagi, berdasarkan Rekod Rayuan khususnya nota-nota keterangan di hadapan kami, kami mendapati bahawa di sepanjang prosiding perbicaraan, tiada sebarang cadangan atau hujahan dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi mengaitkan dadah yang ditemui tersebut dengan Nor Izuwan. Dalam erti kata lain, tiada lansung sebarang cubaan daripada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa dadah seberat 381.4 gram di dalam sampul coklat (P39) itu adalah milik Nor Izuwan atau di bawah kawalannya. Oleh yang demikian, memandangkan tiada sebarang isu atau cadangan pembelaan yang mengaitkan dadah tersebut dengan Nor Izuwan, keputusan pihak pembelaan untuk tidak memanggil saksi yang telah ditawarkan ini adalah atas risiko mereka sendiri. Atas dapatan ini, kami berpuas hati bahawa prinsip dalam kes Rosli Yusuf (supra) tidak terpakai dalam rayuan di hadapan kami ini. Standard Beban Pembuktian yang digalas oleh Pihak Pembelaan 22. Peguam bela Perayu juga membangkitkan isu bahawa YA HMT telah tersalah arah dari segi undang-undang apabila tidak menyatakan secara khusus di dalam Alasan Penghakimannya; bahawa pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan “atas beban imbangan kebarangkalian” (on the balance of probabilities). Kami mendapati, di dalam Alasan Pengakiman beliau, YA HMT yang bijaksana telah menyatakan seperti berikut: “The accused failed to satisfactorily rebut the evidence of trafficking in the dangerous drugs adduced by the prosecution. This court finds that the prosecution had successfully established a case beyond reasonable doubt against the accused on the charge preferred against him”.