Tertuduh telah mengedar dadah berbahaya tersebut. [12] Walau bagaimanapun, dalam alasan penghakiman ini, saya hanya membincangkan elemen pertama dan kedua sahaja, memandangkan saya telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen kedua lalu melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri. Kegagalan pihak pendakwaan membuktikan elemen kedua, menyebabkan pembuktian elemen ketiga iaitu “pengedaran” menjadi tidak signifikan lagi. Elemen Pertama: Dadah tersebut tersenarai di bawah ADB [13] Di dalam kes ini, tiada keraguan bahawa rampasan dadah seberat 615.2 gram telah dibuktikan adalah dadah berbahaya jenis cannabis seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 2 ADB dan disahkan oleh SP4 dan laporan kimia yang telah ditandakan sebagai P31. [14] Saya juga mendapati tidak terdapat lompang dalam rantaian keterangan berkenaan identiti barang kes dadah semenjak ia dirampas sehinggalah ia dikemukakan di mahkamah. Saksi-saksi telah mengenal pasti kesemua barang kes dadah yang dirampas dengan tandaan-tandaan yang dibuat oleh mereka. Setiap saksi telah membuat pengecaman yang positif terhadap barang kes tersebut di Mahkamah. Elemen Kedua: Tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan terhadap dadah berbahaya tersebut. [15] Tugas pihak pendakwaan adalah untuk membuktikan elemen penting iaitu milikan dan pengetahuan tertuduh terhadap dadah berbahaya dalam pertuduhan ini. Dadah berbahaya itu dikatakan berada dalam milikan tertuduh apabila ia berada dalam kedudukan, sama ada dari segi fizikal dan mental (mens rea) yang membolehkan dia berurusan dengannya sebagai pemilik dengan mengecualikan semua orang lain. Saya merujuk kepada kes Chan Pean Leon v PP (1956) 22 MLJ 237;PP v Danish Madhavan [2009] 2 CLJ 209. [16] Namun begitu, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri menunjukkan terdapat keraguan munasabah dalam pembuktian elemen ini. Ini adalah kerana semasa tertuduh menunjukkan bekas plastik lutsinar yang berisi dadah, terdapat juga kehadiran SP5 yang sedang duduk berdekatan dan bersebelahan dengan bekas tersebut. SP5 bukan sekadar duduk, tetapi juga SP5 sedang menghisap dadah cannabis dalam bilik tersebut. Terdapat botol bercorong iaitu alat untuk menghisap dadah dan satu bekas plastik berwarna kelabu yang mengandungi leraian-leraian dadah jenis yang sama iaitu cannabis. Keterangan juga menunjukkan bahawa SP5 telah dituduh bagi kesalahan memiliki dadah jenis cannabis dan kesalahan urin iaitu memasukkan dadah ke dalam badan sendiri dan dia telah pun membayar denda di mahkamah. [17] Kewujudan SP5 dalam bilik tersebut dan sedang berurusan dengan dadah jenis yang sama iaitu cannabis telah menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Apatah lagi, bekas bertutup berisi dadah cannabis yang ditunjukkan oleh tertuduh tersebut, adalah bekas yang boleh dibuka oleh sesiapa pada bila-bila masa sahaja kerana ia adalah sebuah bekas biasa yang bertutup tanpa boleh dikunci. Ia juga diletakkan di rak yang terbuka dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuk SP5. [18] Fakta ini telah menimbulkan keraguan sama ada tertuduh mempunyai milikan ekslusif iaitu kuasa untuk mengecualikan orang lain termasuk SP5, terhadap dadah yang dirampas itu. Ia juga menimbulkan keraguan, sama ada SP5 juga mempunyai kuasa berurusan dengan dadah tersebut, memandangkan pada masa itu dia juga sedang menghisap dadah jenis cannabis dengan 1 bekas kelabu yang terdapat di dalamnya leraian-leraian dadah jenis cannabis. Terdapat persoalan sama ada leraian-leraian cannabis tersebut datang dari dadah yang terdapat dalam bekas lutsinar tersebut? Apatah lagi, terdapat juga alat pengisar yang juga dijumpai dalam bekas lutsinar itu. [19] Saya juga mendapati keputusan DNA tidak membantu kes pendakwaan. Malah, keputusan itu telah menimbulkan keraguan munasabah memandangkan DNA yang dijumpai dari dalam bilik air dalam bilik di mana dadah dijumpai, adalah DNA yang bercampur dengan DNA tertuduh. Keputusan laporan kimia juga menunjukkan, terdapat DNA tertuduh yang dijumpai di bilik air lain dalam rumah itu. [20] Kesimpulannya, setelah saya mendengar dan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan secara maksimum dan meneliti hujahan pihak-pihak, saya memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Keraguan-keraguan yang timbul menyebabkan saya memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh kerana saya tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh bersalah jika dia memilih untuk berdiam diri. Bertarikh pada 24 Februari 2026 Roszianayati Ahmad Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam, Selangor Perayu / Pendakwa Raya Rosnee Mohd Radzuan Timbalan Pendakwa Raya Kamar Peguam Negara Aras 5, No 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya Responden / Peguambela Tertuduh Abdul Halem Bin Mohamad Husin Bersama Mohd Khainis Bin Yussof Tetuan Halem & Co. Peguam Bela & Peguam Cara No. 37-G, Jalan Makmur I, Taman Makmur Tanjong Karang 45500 Kuala Selangor Selangor.