kegagalan SP6 menyiasat penama “Zaidi” telah memprejudis Perayu. [25] YA HMT kemudiannya telah membuat penilaian dan dapatan seperti berikut: “Mengenai sama ada beg mengandungi dadah dijumpai dalam tangan Tertuduh [14] Pihak Pembelaan telah mencadangkan bahawa beg plastik yang mengandungi dadah itu dijumpai oleh anggota serbuan dari satu tempat lain dan bukan dari tangan kanan Tertuduh. Semasa Pemeriksaan Balas, pihak Pembelaan telah beberapa kali mencadangkan kepada SP4 bahawa sebenarnya Tertuduh telah ditahan dalam keadaan beliau sedang duduk di atas motorsikal. Kemudian Tertuduh dibawa 10 meter dari tempat dia ditahan dan lalu satu beg dibawa oleh anggota serbuan dari satu tempat lain yang kemudiannya ditunjukkan kepada Tertuduh. SP4 menafikan semua cadangan itu dan Mahkamah mendapati penafian SP4 adalah konsisten dan tidak berubah-ubah mengenai perkara itu. [15] Semasa Pemeriksaan Balas SP6, pihak Pembelaan telah mencadangkan bahawa barang dadah sebenarnya telah dijumpai dalam motorsikal PNL 3392 yang telah ditunggang oleh Tertuduh ke tempat kejadian. [16] Perbandingan kedua-dua cadangan itu menunjukkan versi pembelaan yang tidak konsisten tentang di mana dadah sebenarnya dijumpai jika ianya tidak dijumpai pada tangan Tertuduh. [17] Seterusnya semasa Pemeriksaan Balas SP4, pihak Pembelaan telah mencadangkan bahawa Tertuduh telah dipanggil oleh penama “Zaidi” pergi ke tempat kejadian untuk makan pada jam 7.30 malam. [18] Manakala semasa Pemeriksaan Balas SP6, pihak Pembelaan telah mencadangkan Tertuduh telah pergi ke tempat kejadian dari rumah “Zaidi” dengan menunggang motorsikal PNL 3392 dan kemudiannya Tertuduh telah pergi ke tempat kejadian kerana beliau menerima panggilan daripada penama “Zaidi” untuk membawa sebuah motorsikal ke tempat kejadian. [19] Perbandingan semua cadangan itu, sekali lagi ia menunjukkan versi pembelaan yang tidak konsisten, semasa Pemeriksaan Balas SP4 cadangan dibuat bahawa Tertuduh ke tempat kejadian kerana telah dipanggil oleh “Zaidi” untuk makan malam tetapi apabila SP6 diperiksa balas, cadangan yang dibuat adalah Tertuduh ke tempat kejadian untuk membawa motorsikal itu ke sana. Persoalan yang timbul, jika benar Tertuduh telah ke tempat “Zaidi” terlebih awal ini bererti Tertuduh telah pun berjumpa dengan “Zaidi”, maka apakah munasabah “Zaidi” memanggil Tertuduh lagi melalui telefon untuk meminta Tertuduh ke tempat untuk makan malam atau untuk menghantar motorsikal itu? [20] Walaupun seperti yang diputuskan di dalam kes Public Prosecutor v Amrizal Bin Abdullah [2016] 1 MLRHU 108 / [2016] MLJU 1206 / [2016] 1 LNS 191 seorang tertuduh tidak perlu untuk mengemukakan cadangan pembelaan yang terperinci semasa menyoal saksi Pendakwaan namun seperti yang diputuskan oleh kes Wong Swee Chin v Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 212 [1980] 1 LNS 138, cadangan atau cabaran yang material kepada pembelaan tertuduh hendaklah dibuat semasa Pemeriksaan Balas saksi pendakwaan. Berpandukan keputusan itu, Mahkamah mendapati pihak Pembelaan telah gagal membuat cadangan yang jelas mengenai apakah sebenarnya teras pembelaan Tertuduh. [21] Setelah menilai keseluruhan keterangan SP4 dan SP6 semasa Pemeriksaan Balas mengenai di mana beg plastik mengandungi dadah dijumpai Mahkamah tidak mendapati keterangan SP4 berkenaan pemantauan selama 10 minit dan melihat Tertuduh berdiri sambil memegang beg mengandungi dadah adalah satu keterangan yang tidak munsabah. Mahkamah mendapati cabaran-cabaran yang dibuat oleh pihak Pembelaan tidak berjaya membangkitkan keraguan terhadap kredibiliti keterangan SP4. Mengenai penilaian kredibiliti saksi, khususnya saksi polis, Mahkamah di dalam kes PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No. 3) [1999] 2 CLJ 215 / [1999] 2 MLJ 1 telah memutuskan: The Privy Council has stated that the real tests for either accepting or rejecting the evidence of a witness are how consistent the story is with itself, how it stands the test of cross-examination, and how far it fits in with the rest of the evidence and the circumstances of the case (see Bhojraj v. Sitaram 1936 AIR PC 60). It must, however, be observed that being unshaken in cross-examination is not per se an all-sufficient acid test of credibility. The inherent probability or improbability of a fact in issue must be the prime consideration (see Muniandy & Ors v. PP [1966] 1 LNS 110; [1966] 1 MLJ 257). It has been held that if a witness demonstrably tells lies, his evidence must be locked upon with suspicion and treated with caution, but to say that it should be entirely rejected would be to go too far (see Khoon Chye Hin v. PP [1961] 1 LNS 41; [1961] MLJ 105). It has also been held that discrepancies and contradictions there will always be in a case. In considering them, what the court has to decide is whether they are of such a nature as to discredit the witness entirely and render the whole of his evidence worthless and untrustworthy (see De Silva v. PP [1964] 1 LNS 32; [1964] MLJ 81). The Indian Supreme Court has pointed out that one hardly comes across a witness whose evidence does not contain a grain of untruth or at any rate exaggerations, embroideries or embellishments (see Ugar v. State Of Bihar 1965 AIR SC 277). It is useful to refer to PP v Datuk Haji Harun Bin Haji Idris (No 2) [1976] 1 LNS 184; [1977] 1 MLJ 15 where Raja Azlan Shah FJ (as His Highness then was said at p.19: …In my opinion, discrepancies there will always be, because in the circumstances in which the events happened, every witness does not remember the same thing and he does not remember accurately every single thing that happened…The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility. There is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirety or not at all. A court is full competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other.In the absence of any contradiction, however, and in the absence of any element of inherent improbability, the evidence of any witness, whether a police witness or not, who gives evidence on affirmation, should normally be accepted (see PP v. Mohamed Ali [1962] 1 LNS 129; 1 [1962] MLJ 257). [22] Mahkamah juga tidak bersetuju bahawa keterangan yang menyatakan Tertuduh sedang berdiri memegang beg plastik mengandungi dadah di tempat awam sebagai satu keadaan yang tidak munasabah. Terdapat banyak keputusan yang tidak mendapati keadaan seperti itu sebagai satu yang tidak munasabah. Rujukan dibuat kepada keputusan di dalam PP v Tan Tatt Eek [2005] 2MLJ 685 / [205] 1 CLJ 713 (dadah dijumpai dalam beg berwarna oren dalam pegangan tertuduh), Raman a/l Kujiraman v PP [2018] Supp MLJ 86 (dadah dijumpai di dalam plastik terletak di atas riba tertuduh) Collins Chigbo Chima v PP [2019] 1 LNS 107/ [2019] MLJU 84 (dadah dijumpai di dalam satu kotak yang terkandung dalam plastik putih dalam pegangan tertuduh). [23] Di atas dapatan itu, Mahkamah tidak mendapati ada kegagalan pihak Pendakwaan memanggil anggota serbuan yang lain untuk menyokong keterangan tunggal SP4. Cabaran dan cadangan tidak konsisten oleh pihak Pembelaan tidak menimbulkan satu keperluan keterangan SP4 perlu disokong dengan keterangan anggota serbuan yang lain. Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa pihak Pendakwaan mempunyai hak untuk tidak memanggil mana-mana jumlah saksi atau saksi tertentu dalam membuktikan kesnya. Pertimbangan utama adalah sama ada saksi yang tidak dipanggil itu adalah saksi yang penting dan ketiadaan keterangan saksi itu akan menyebabkan kelompongan di dalam kes Pendakwaan (Collins Chigbo Chima v PP (supra)). [24] Di samping itu, Mahkamah mendapati tidak ada apa-apa keterangan yang dapat menunjukkan bahawa SP4 dan anggota serbuan telah membuat penganiayaan ke atas Tertuduh atau mempunyai apa-apa motif untuk menganiaya Tertuduh. Di dalam kes Sahrul Mazlee Mohd Khalid v. PP [2022] 1 LNS 4 / [2022] 3 MLJ 919 dalam mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan telah membuat dapatan berikut: [55] There was no evidence of any prior relationship or any evidence that the appellant knew any members of the police raiding team or vice versa. Thus, the learned trial judge concluded that there was nothing to suggest that the police might have had any motive to frame the appellant. In the absence of any such motive, or evidence, the learned trial judge found that despite the assertion by the defence that the white plastic bag with the drugs was found on the roof of the Viva car outside the house, the evidence established the fact that the appellant was holding the white plastic bag in his hand when apprehended. Mengenai keterangan SP4 mengenai rampasan motorsikal PNL 3392 [25] Pihak Pembelaan menghujahkan keterangan SP4 tidak kredibel atas alasan SP4 gagal memberi keterangan yang jelas mengenai rampasan motorsikal PNL 3392. Fakta mengenai rampasan motorsikal itu hanya timbul semasa Pemeriksaan Balas terhadap SP4 dan tidak dinyatakan oleh pihak Pendakwaan semasa Pemeriksaan Utama. Pihak Pembelaan menghujahkan fakta bahawa motorsikal itu dirampas menyokong versi Pembelaan bahawa dadah dijumpai pada motorsikal dan bukan pada Tertuduh. [26] Setelah menilai keterangan SP4, SP5 dan SP6 Mahkamah ini mendapati rampasan motorsikal itu hanyalah semata-mata kerana ia disyaki diperolehi hasil dari aktiviti pengedaran dadah. Ia merupakan satu rampasan berasingan dari rampasan dadah yang dijumpai pada tangan Tertuduh dan bukan pada motorsikal itu. Sekiranya dadah dijumpai pada motorsikal dan bukan pada badan Tertuduh maka sudah pasti rampasan motorsikal itu menjadi sebahagian dari barang kes dan akan disenaraikan di dalam Borang Senarai Geledah (ekshibit P3). Oleh sebab rampasan dadah itu tidak terkait dengan penggunaan motorsikal itu, Mahkamah ini tidak mendapati tiadanya keterangan mengenai rampasan motorsikal itu semasa Pemeriksaan Utama menimbulkan apa-apa keraguan terhadap kredibiliti SP4. Pada hemat Mahkamah, keterangan SP4 semasa Pemeriksaan Utama adalah berpadanan dengan soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh pihak Pendakwaan dan semasa Pemeriksaan Balas SP4 telah menjawab soalan mengenai rampasan itu dengan jelas. Dengan itu, Mahkamah tidak melihat dari perilaku SP4 bahawa telah menyembunyikan apa-apa keterangan atau melakukan pembohongan. Di dalam kes Lee Ing Chin v Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 MLJ 97 / [2003] 2 CLJ 19, HMR Gopal Sri Ram telah menyatakan: A judge who is required to adjudicate upon a dispute must arrive at his decision on an issue of fact by assessing, weighing and, for good reasons, either accepting or rejecting the whole or any part of the evidence placed before him. He must, when deciding whether to accept or to reject the evidence of a witness, test it against relevant criteria. Thus, he must take into account the presence or absence of any motive that a witness may have in giving his evidence. If there are contemporary documents, then he must test the oral evidence of a witness against these. He must also test the evidence of a particular witness against the possibilities of the case. A trier of fact who makes findings based purely upon the demeanour of a witness without undertaking a critical analysis of that witness’ evidence runs the risk of having his findings corrected on appeal. It does not matter whether the issue for decision is one that arises in a civil or criminal case: the approach to judicial appreciation of evidence is the same. [27] Dengan yang demikian, Mahkamah ini tidak mendapati cabaran ke atas SP4 menyebabkan keterangnnya mengenai rampasan dadah dari badan Tertuduh adalah tidak kredibel dan tidak boleh diterima oleh Mahkamah ini. [28] Di atas alasan itu, Mahkamah tidak mendapati apa-apa percanggahan mengenai di mana lokasi sebenar motorsikal dijumpai walaupun pihak Pembelaan telah mencadangkan motorsikal itu telah dirampas dari satu lokasi yang lain. Mengenai penama “Zaidi” [29] Nama “Zaidi” telah dibangkitkan oleh pihak Pembelaan semasa Pemeriksaan Balas ke atas SP4 dan SP6. Pihak Pembelaan telah mencadangkan bahawa semasa tangkapan Tertuduh memberitahu SP4 mengenai “Zaidi” dan bahawa “Zaidi” telah meminta Tertuduh ke tempat kejadian untuk makan malam. Pada ketika itu, tidak ada apa-apa cadangan dibuat kepada SP4 bahawa Tertuduh telah memaklumkan kepada SP4 bahawa dadah itu adalah milik “Zaidi”. [30] Seterusnya, semasa Pemeriksaan Balas SP6 pihak Pembelaan telah mencadangkan dadah sebenarnya dijumpai di dalam motorsikal PNL 3392 dan dadah itu adalah milik “Zaidi”. SP6 bersetuju bahawa Tertuduh telah menyatakan semasa rakaman percakapan diambil Tertuduh telah membangkitkan nama “Zaidi” dan bahawa dadah itu adalah milik “Zaidi”. [31] Pihak Pendakwaan menghujahkan bahawa penama “Zaidi” itu adalah satu rekaan dan tidak wujud berdasarkan kegagalan Tertuduh memberi apa-apa maklumat mengenai “Zaidi”. Bahkan, SP6 mengatakan beliau telah meminta Tertuduh menunjukkan rumah “Zaidi” tetapi Tertuduh telah enggan bekerjasama. [32] Pihak Pembelaan pula menghujahkan adalah menjadi tugas dan beban SP6 untuk membuat siasatan yang menyeluruh berdasarkan carian senarai panggilan dan penerimaan panggilan telefon dari nombor telefon Tertuduh. [33] Setelah menilai isu ini, Mahkamah mendapati tidak ada kegagalan SP6 dalam menyiasat penama “Zaidi” berdasarkan keterangan SP6 bahawa Tertuduh telah enggan memberi kerjasama dalam siasatan. Tertuduh telah memiliki peluang paling baik untuk membuktikan kewujudan “Zaidi” dengan berkerjasama dengan SP6 dan menunjukkan kediaman “Zaidi” tetapi Tertuduh telah enggan berbuat demikian. Ini merupakan peluang paling mudah untuk Tertuduh melepaskan dirinya dari satu pertuduhan di bawah ADB yang kemungkinan disabitkan dengan satu kesalahan dan dihukum gantung tetapi beliau tidak mengambil peluang itu. Dalam keadaan sebegini, Mahkamah tidak bersetuju bahawa kegagalan menyiasat nombor telefon Tertuduh menyebabkan siasatan SP6 tidak lengkap dan telah memprejudis Tertuduh. [34] Fakta dalam kes ini hendaklah dibezakan dari fakta di mana tertuduh adalah warga asing dan pihak yang dikatakan sebenarnya miliki dadah berada di luar Malaysia yang mana penyiasatan banyak bergantung kepada keterangan butiran mesej atau panggilan telefon. Dalam kes ini penama “Zaidi” berada di dalam negeri Pulau Pinang maka adalah mudah untuk Tertuduh memberi kerjasama mengenai di mana “Zaidi” tinggal apatah lagi dalam keadaan di mana cadangan telah dibuat bahawa Tertuduh telah ke rumah “Zaidi” untuk mengambil motorsikal. Terkait dengan isu ini, Mahkamah tidak mendapati terdapat merit dalam hujahan bahawa SP6 sendiri telah gagal merakam percakapan Tertuduh. SP6 telah memberi penjelasan bahawa beliau tidak merakam percakapan Tertuduh kerana beliau ingin berlaku adil kepada Tertuduh sebagai Pegawai Penyiasat. [35] Mahkamah juga mendapati tidak ada keterangan yang mengaitkan “Zaidi” dengan motorsikal PNL 3392 dan juga tiada keterangan menunjukkan bahawa “Zaidi” telah mempunyai milikan atau penggunaan ke atas motorsikal itu sehingga boleh meminta Tertuduh menghantar motorsikal itu ke tempat kejadian. Di atas pertimbangan itu, Mahkamah tidak mendapati cadangan bahawa Tertuduh telah diminta oleh “Zaidi” bahawa motorsikal itu ke tempat kejadian dapat menimbulkan keraguan munasabah mengenai milikan ke atas barang dadah. Di dalam kes Tobechi Chinonsu Madu v PP [2015] MLJU 2038, Mahkamah Rayuan telah memutuskan: [16] The mere fact that Ossy’s name was mentioned during the police investigation is not evidence that Ossy actually exists. How were the police to investigate the existence of this person when the appellant did not even give his full name and his residential address? The poor investigating officer may end up chasing a wild goose. We therefore found no merit in the appellant’s argument that the police’s failure to investigate the existence of Ossy must be held against the Prosecution. [36] Mahkamah juga mempertimbangkan keterangan SP4 yang mengatakan telah berlaku pergelutan di mana Tertuduh telah cuba melepaskan diri. Ini menimbulkan inferens yang kuat bahawa Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kandungan dadah di dalam beg plastik itu (Parlan Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717 / [2008] 6 MLJ 19).” [26] Kami mendapati Perayu gagal menunjukkan bahawa YA HMT telah terkhilaf dalam dapatan beliau berhubung dengan kawalan, milikan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut kerana elemen-elemen tersebut telah dibuktikan selari dengan keterangan yang telah dikemukakan. Kami juga mendapati pembelaan yang diutarakan oleh Perayu melalui soalan balas saksi-saksi pendakwaan adalah tidak konsisten dan bukanlah satu pembelaan yang telah menimbulkan keraguan yang munasabah kepada kes pendakwaan. [27] Kami juga telah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP4. Tidak ada apa-apa yang “incredible” mengenai keterangan SP4 dan tidak ada sebab mengapa keterangan seorang saksi polis perlu disokong oleh saksi polis atau mana-mana saksi yang lain. Kes PP v Mohamed Ali [1962] 28 MLJ 258 adalah satu penghakiman yang bernas pernah diberikan oleh Mahkamah di mana Hakim Thompson telah menyatakan: “When a police witness says something that is not inherently improbable his evidence must in the first instance be accepted. If he saw a cow jumping over the moon, his evidence is, of course not to be accepted, But if he saw a cow wandering along one of the main streets of Kuala Lumpur (the sort of thing we all see every day of our lives) there is not the slightest justification for refusing to believe him. Of course his evidence if contradicted by other evidence or is shaken by cross-examination, then it becomes the business of the Magistrate to decide whether or not it should be accepted. In the absence of contradiction, however and in the absence of any element of inherent probability the evidence of any witness, whether a police witness or not, who gives evidence on affirmation, should normally be accepted.” [Penekanan diberikan] [28] Kami juga berpendapat bahawa walaupun ahli pasukan serbuan yang lain tidak dipanggil untuk memberi keterangan, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah mencukupi dan boleh dipercayai. SP4 adalah seorang pegawai polis yang hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dan bukanlah seorang saksi berkepentingan. Laporan tangkapan yang dibuat oleh SP4 jelas menyatakan ahli-ahli pasukannya semasa serbuan dibuat dan kami mendapati tidak ada penyembunyian fakta material oleh pihak pendakwaan. Tidak ada sebab juga untuk pemakaian seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap pendakwaan dan tidak ada keterangan yang menzahirkan terdapatnya sebarang motif di pihak polis untuk menganiaya Perayu (sila lihat kes Yusri Maimi v PP [2010] 6 CLJ 878) [29] Sekali lagi kami menekankan bahawa berdasarkan penilaian fakta serta keterangan yang telah dikemukakan dan dinilai oleh YA HMT, Perayu mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan mengenai dadah berbahaya yang dijumpai bersamanya di dalam beg plastik yang dipegang di tangan kanannya. Kami juga mendapati YA HMT tidak terkhilaf dalam menggunakan anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37 (da) ADB setelah mendapati Perayu mempunyai milikan ke atas dadah berbahaya tersebut. [30] Isu terakhir yang ditimbulkan oleh pihak peguambela Perayu ialah mengenai YA HMT yang dikatakan khilaf apabila gagal menilai pembelaan Perayu yang disokong oleh bapa Perayu (SD2) mengenai dadah yang dikatakan milik seorang individu yang bernama Zaidi. YA HMT juga dikatakan khilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa dadah tersebut dijumpai di dalam raga motosikal yang dipandu oleh Perayu dan bukannya dipegang oleh Perayu dalam satu beg di tangan kanannya. [31] Di peringkat pembelaan, Perayu telah mengutarakan pembelaannya sepertimana yang dinyatakan oleh YA HMT dalam penghakimannya: “KES DI PERINGKAT PEMBELAAN” [40] Pihak Pihak Pembelaan telah memanggil 2 saksi termasuk SD1 (Tertuduh) dan SD2 (Ishak bin Eusope, ayah kepada Tertuduh). [41] Keterangan SD1 memberi naratif bahawa beliau telah menerima panggilan daripada penama “Zaidi” yang telah mengajaknya makan malam. Oleh sebab Tertuduh tidak mempunyai kenderannya sendiri “Zaidi” telah menyuruhnya menggunakan sebuah motorsikal yang terletak di rumah “Zaidi”. SD2 telah menghantar Tertuduh ke rumah “Zaidi” dan apabila sampai di rumah itu kunci motorsikal telah berada di motorsikal itu. Kemudian Tertuduh telah menuju ke Saujana Heights Apartment untuk mengambil “Zaidi”. Tertuduh telah berhenti di hadapan pos pengawal keselamatan Saujana Heights Apartment untuk memanggil “Zaidi” melalui telefon bimbit. Selang 3 hingga 4 minit Tertuduh telah ditahan. Menurut Tertuduh, beg plastik yang mengandungi dadah telah dirampas oleh pihak polis dari motorsikal itu dan bukan dari dalam pegangannya. [42] SD2 pula memberi keterangan beliau telah menghantar Tertuduh ke rumah “Zaidi” kerana Tetuduh memberitahunya dia ingin mengambil motorsikal dari rumah “Zaidi”. SD2 mengatakan pengetahuan beliau bahawa rumah itu adalah rumah “Zaidi” hanya berdasarkan apa yang diberitahu oleh Tertuduh. [43] Sebagai kesimpulan pembelaan Tertuduh adalah: (a) beliau telah menunggang motorsial yang diambil dari rumah “Zaidi”; (b) beg plastik yang mengandungi dadah adalah milik “Zaidi” kerana polis menjumpainya di motorsikal itu dan bukan pada tangannya; dan (c) Tertuduh telah memaklumkan polis mengenai “Zaidi” tetapi tiada tindakan diambil.” [32] YA HMT telah menilai pembelaan Perayu seperti berikut: “Mengenai di mana dadah di jumpai [51] Setelah meneliti keterangan Tertuduh, Mahkamah mendapati walaupun pada peringkat kes Pendakwaan penafian telah dibuat bahawa beg plastik mengandungi dadah tidak dijumpai pada tangan Tertuduh, namun tidak ada cadangan yang jelas bahawa beg plastik itu sebenarnya ditemui pada raga motorsikal seperti yang dinyatakan oleh Tertuduh pada peringkat kes Pembelaan. Cadangan yang dibuat pada peringkat kes Pendakwaan adalah seorang pegawai serbuan telah membawa satu beg plastik dari tempat lain dan menunjukkannya kepada Tertuduh. [52] Tertuduh sendiri telah mengakui semasa Pemeriksaan Utama dan kemudian semasa Pemeriksaan Balas bahawa beliau tidak melihat apa-apa bungkusan di dalam raga motorsikal itu. Ini merupakan satu percanggahan material di dalam keterangan Tertuduh sendiri bahawa beg plastik mengandungi dadah dijumpai oleh polis di dalam raga motorsikal. [53] Seperkara lagi, adalah mustahil jika benar beg plastik itu berada di dalam raga motorsikal itu, Tertuduh tidak melihat selama tempoh Tertuduh mengambil motorsikal dari rumah “Zaidi” kemudian menuju ke Saujana Heights Apartment dan semasa menunggu di pos keselamatan Saujana Heights. Oleh sebab tidak ada keterangan dikemukakan bahawa raga itu bertutup yang mungkin menyebabkan Tertuduh tidak dapat melihat beg plastik itu, maka Mahkamah mendapati keterangan Tertuduh bahawa beg plastik itu telah ditemui oleh polis di dalam raga motorsikal adalah satu keterangan yang tidak kredibel. Mengenai penama “Zaidi” [54] Mengenai hubungan Tertuduh dengan “Zaidi”, Mahkamah mendapati keterangan bahawa apabila sampai di rumah “Zaidi” kunci sudah berada di motorsikal itu adalah tidak munasabah. Jika motor itu milik “Zaidi” mengapa “Zaidi” tidak sendiri mengambil Tertuduh untuk pergi makan seperti apa yang Tertuduh katakan tetapi meninggalkan motor di rumah untuk diambil oleh Tertuduh. Adalah susah untuk Mahkamah ini menerima sebagai suatu keterangan yang berkemungkinan benar bahawa penama “Zaidi” telah keluar, meninggalkan motorsikalnya bersekali dengan kunci. Jika “Zaidi” telah keluar, bila pula dia meninggalkan kunci di motorsikal itu untuk diambil oleh Tertuduh? [55] Seperkara lagi, jika “Zaidi” ingin mengajak Tertuduh makan maka kenapa SD2 tidak boleh menghantar Tertuduh terus ke tempat makan. Mengapa Tertuduh tidak boleh meminjam motorsikal SD2 dan mengapa Tertuduh perlu mengambil motorsikal “Zaidi” terlebih dahulu dan kemudian ke Saujana Heights Apartment. Perkara ini tidak dijelaskan dalam keterangan Tertuduh dan ini tidak membantu dalam mengemukakan satu naratif Pembelaan yang munasabah dan kredibel. [56] Mahkamah juga mendapati keterangan Tertuduh tidak menjelaskan bagaimana motorsikal PNL 3392 yang didaftar milik atas nama Mohd Alif Alzahwani berada di rumah “Zaidi”. Seterusnya, Tertuduh tidak memberi keterangan mencabar keterangan SP5 yang mengatakan Tetuduh merupakan salah satu daripada 4 pihak yang telah membuat tuntutan ke atas motorsikal itu selepas dirampas bersangkut Laporan FOP Teluk Kumbar Report 578/19 (ekshibit P19). Jika benar motorsikal itu diambil dari rumah “Zaidi” maka mengapa perlu Tertuduh membuat tuntutan itu? Kegagalan pihak Pembelaan mengemukakan penjelasan daripada Tertuduh mengenai perkara itu menimbulkan keraguan mengenai kebenaran keterangan Tertuduh bahawa beliau telah mengambil motorsikal itu di rumah “Zaidi”. Rentetan dari itu, ia juga menimbulkan keraguan mengenai kebenaran keterangan SD2 yang mengatakan beliau telah menghantar Tertuduh untuk mengambil motorsikal di rumah “Zaidi”. [57] Di atas pertimbangan yang sama, Mahkamah ini tidak mendapati keterangan SD2 bahawa penama “Zaidi” itu benar wujud dan bahawa “Zaidi” beliau enggan beri kerjasama untuk memberi keterangan dalam kes ini adalah suatu yang benar. Mengenai “Zaidi” [58] Di dalam keterangannya Tertuduh menyatakan beliau telah memaklumkan polis mengenai “Zaidi” dan telah meminta polis memanggil “Zaidi” menggunakan telefon bimbitnya semasa serbuan dan kemudian beliau juga telah memberikan maklumat mengenai “Zaidi” kepada pegawai rakaman Inspektor Limau Anak Ujang. [59] Setelah meneliti keterangan Tertuduh, walaupun Tertuduh telah mengatakan beliau telah memberi kerjasama kepada polis, Mahkamah mendapati keterangan itu tidak dapat mencabar keterangan SP6 yang telah mengatakan tidak ada butir-butir mengenai “Zaidi” telah diberikan dan bahawa Tertuduh telah enggan memberi kerjasama untuk mengenal pasti rumah “Zaidi”. Mahkamah tidak mendapati ada keterangan yang menunjukkan satu kegagalan atau keengganan yang disengajakan untuk menyiasat penama “Zaidi”. Mahkamah tidak mendapati ada keterangan daripada pihak Pembelaan yang menunjukkan SP4 dan SP6 mempunyai apa-apa niat buruk untuk menganiaya Tertuduh. Terdapat anggapan di bawah Seksyen 114 Misalan (e) Akta Keterangan 1950 bahawa anggota pihak berkuasa awam melaksanakan tugas secara sah dan mengikut undang-undang. Maka adalah menjadi beban Tertuduh untuk mematahkan anggapan itu melalui keterangan yang jelas (lihat keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Dickson Levy a/l Maria George v. Public Prosecutor [2018] 1 LNS 135 / [2018] MLJU 98 dan kes PP v. Aluma Mark Chinonso & Another Appeal [2020] 1 LNS 584 / [2020] MLJU 741). Di dalam kes Aluma Mark Chinonso (supra) Mahkamah Rayuan membuat dapatan: …In this regard too, consideration must be made to the legal proposition which has been accepted by the court that unless there is evidence to show bad motive or other cogent reason why the police witnesses – here it is primarily PW5 and PW3 – would want to lie and fabricate evidence against the 1st accused, then their evidence must be accepted by the court. [60] Maka, dalam keadaan tidak ada keterangan yang dapat menunjukkan SP4 atau SP6 telah dengan sengaja enggan menyiasat penama “Zaidi” untuk menganiaya Tertuduh atas sesuatu motif tersembunyi Mahkamah tidak mempunyai alasan untuk mempercayai Tertuduh dan menolak keterangan mereka. [61] Mahkamah juga berpendapat hujahan pihak Pembelaan mengenai percanggahan keterangan antara SP4 dan Tertuduh berkenaan di mana Tertuduh sedang berada semasa serbuan dan di mana beg plastik mengandungi dadah dijumpai bukan tergolong sebagai satu percanggahan tetapi hanya versi yang berlawanan kerana sudah pasti seorang tertuduh yang tidak mengakui pertuduhan terhadapnya akan mengemukakan versi kejadian yang berlawanan dengan versi kes Pendakwaan dalam usaha melepaskan diri dari sabitan. Tugas Mahkamah adalah untuk menilai 2 versi itu dan membuat dapatan sama ada versi Tertuduh berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. [62] Mahkamah juga berpendapat hujahan pihak Pembelaan mengenai keterangan Tertuduh tentang geledahan yang berlaku di rumah Tertuduh dan bahawa fakta itu tidak dinyatakan di dalam laporan polis SP4 dan dalam keterangan SP4 tidak membantu Tertuduh dalam menjelaskan isu utama di dalam perbicaraan ini iaitu mengenai milikan beg plastik pada tangannya. Mahkamah mengambil pertimbangan bahawa tiada penjelasan telah dibuat oleh Tertuduh semasa Pemeriksaan Utama mengenai sama ada beliau telah cuba melepaskan diri semasa ditahan oleh SP4. Ini menyebabkan keterangan SP4 mengenai perkara itu tidak dicabar oleh Tertuduh. Dengan demikian, inferens bahawa Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kandungan dadah di dalam beg plastik itu tetap kekal berlaku terhadap Tertuduh. Maka, Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak Pembelaan bahawa keterangan SP4 telah menyebabkan kelompongan dalam pembuktian kes melampaui keraguan munasabah oleh pihak Pendakwaan terhadap Tertuduh. [63] Tambahan pula, Mahkamah tidak boleh pada peringkat kes Pembelaan menilai semula keterangan SP4 dan SP6 mengenai rampasan motorsikal PNL 3392, di mana barang kes dijumpai dan siasatan yang dibuat oleh SP6 serta kegagalan pihak Pendakwaan memanggil sebagai saksi anggota serbuan yang lain kerana Mahkamah telah menilai keterangan SP4 dan SP6, menerimanya sebagai keterangan yang kredibel dan membuat dapatan prima facie di akhir kes Pendakwaan.” [33] Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan dan penilaian yang dibuat oleh YA HMT di peringkat pembelaan. Kami juga telah meneliti pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu di peringkat pendakwaan dan juga di peringkat pembelaan. Kami mendapati tidak ada cadangan yang jelas yang dikemukakan melalui pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan bahawa beg plastik telah dijumpai di dalam raga motosikal yang dinaiki oleh Perayu dan Perayu sendiri dalam keterangannya di peringkat pembelaan menyatakan dia tidak nampak beg plastik merah itu dalam raga motosikal. Apa yang lebih penting ialah watak “Zaidi” sebagai pemilik motosikal tidak ada dicadangkan di peringkat pendakwaan. [34] Pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu tidak boleh dikategorikan sebagai keterangan yang menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu juga gagal mematahkan anggapan perbuatan mengedar dadah di bawah seksyen 37 (da) di atas imbangan kebarangkalian. Jumlah berat dadah yang jauh melebihi dari yang dibenarkan oleh peruntukan undang-undang yang berada dalam milikan Perayu memberikan indikasi bahawa dadah-dadah tersebut tersedia untuk dihantar atau diedarkan atau dijual kepada orang lain. Oleh yang demikian, tidak ada keraguan yang munasabah telah timbul terhadap kebersalahan Perayu mengedar dadah berbahaya di bawah s 39B (1) (a) ADB. Hukuman [35] Berhubung dengan rayuan terhadap hukuman, setelah kami mempertimbangkan rayuan oleh peguambela dan juga mendengar hujahan pihak pendakwaan, kami mendapati terdapat merit dalam rayuan terhadap hukuman dan selaras dengan itu, kami membenarkan rayuan terhadap hukuman. Hukuman gantung sampai mati yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan dengan hukuman berikut: Perayu dijatuhkan dengan hukuman selama 30 tahun penjara dari tarikh tangkap (7.3.2019) dan 12 sebatan. Tarikh: 20 Disember 2025 Sgd NOORIN BINTI BADARUDDIN HAKIM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA Peguam Perayu: 1) Rajit Singh A/L Tara Singh 2) Kabir Singh [Rajit Gill & Co. (Ipoh)] Pendakwa Raya 1) Mohd Fuad Bin Abdul Aziz [Jabatan Peguam Negara]