Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO.:JA-24NCVC-113-01/2026 Dalam perkara mengenai Seksyen 465
JA-24NCvC-113-01/2026
High Court of Malaysia30 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO.:JA-24NCVC-113-01/2026 Dalam perkara mengenai Seksyen 465
1
(1)(e) dan 466 Akta Syarikat 2016 Dan Dalam perkara mengenai satu Notis Berkanun bertarikh 18.12.2025 menurut Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 Dan Dalam perkara mengenai Seksyen 50, 51 dan 52 Akta Relif Spesifik,1950 ANTARA MULTIMODAL FREIGHT SDN BHD [NO SYARIKAT: 198801006916 (174274-D)] …...PLAINTIF DAN PRAKASH MANIAM (menjalankan perniagaan dibawah nama dan gaya U OCEAN TANK No Pendaftaran Perniagaan: 201203250494) .…DEFENDAN 23/04/2026 16:43:56 JA-24NCvC-113-01/2026 Kand. 26 ALASAN PENGHAKIMAN [Lampiran 1] PENGENALAN
1
Ini adalah suatu permohonan melalui Saman Pemula oleh Plaintif untuk mendapatkan relif injunksi bagi menghalang Defendan daripada memfailkan, meneruskan, mengiklankan atau mengambil apa-apa langkah berkaitan dengan suatu Petisyen Penggulungan berdasarkan Notis Berkanun bertarikh
18
18.12.2025.
2
Secara khususnya, Plaintif memohon agar sebarang tindakan penggulungan hanya boleh dimulakan selepas Defendan memperoleh suatu penghakiman muktamad terhadap hutang yang didakwa.
3
Permohonan ini adalah berasaskan prinsip yang telah lama diterima bahawa prosiding penggulungan tidak boleh digunakan sebagai alat tekanan untuk mengutip hutang yang dipertikaikan secara ‘bona fide’.
4
Setelah meneliti keseluruhan afidavit, hujahan bertulis Pemohon, dan autoriti yang dikemukakan, Mahkamah ini membenarkan permohonan dengan kos RM6,000.00 dibayar oleh Defendan. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan ini Defendan telah memfailkan Notis Rayuan pada
14
14.4.2026. Alasan Penghakiman adalah seperti berikut.
5
Plaintif adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pengangkutan kargo dan logistik, manakala Defendan menjalankan perniagaan penyewaan tangki ISO.
6
Pertikaian timbul daripada suatu urusan penyewaan tangki ISO bagi projek melibatkan LG Petronas Chemicals dan Hartalega. Plaintif menegaskan bahawa Perjanjian tidak pernah dimuktamadkan, terdapat caj tambahan yang dipertikaikan dan hutang yang dituntut tidak jelas dan tidak disahkan.
7
Sebaliknya, Defendan mendakwa bahawa Perjanjian penyewaan telah dimeterai dan dilaksanakan, Plaintif telah menggunakan sepenuhnya 88 unit tangki dan Hutang sebanyak RM1,308,765.00 adalah sah dan perlu dibayar.
8
Defendan kemudiannya mengeluarkan Notis Berkanun di bawah s.466 Akta Syarikat 2016 dan seterusnya memfailkan Petisyen Penggulungan. Plaintif memfailkan tindakan ini untuk menghalang tindakan tersebut atas alasan hutang dipertikaikan secara serius.
i
Hujahan Plaintif 9. Plaintif berhujah bahawa hutang yang dituntut adalah dipertikaikan secara ‘bona fide’ atas asas:
a
Tiada perjanjian bertulis yang dimuktamadkan;
b
Caj-caj tambahan tidak dipersetujui;
c
Terdapat ketidakkonsistenan dalam invois;
d
Defendan sendiri telah memfailkan saman terdahulu dan telah ditarik baliknya.
10
Plaintif menegaskan bahawa penggunaan prosiding penggulungan dalam keadaan ini adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah. Plaintif bergantung kepada autoriti seperti: a) Fortuna Holdings Pty Ltd v Deputy Federal Commissioner of Taxation (1976) 2 ACLR 349 b) Tan Kok Tong v Hoe Hong Trading Co Sdn Bhd [2007] 4 MLJ 355 c) Mobikom Sdn Bhd v Inmiss Communications Sdn
II
(ii) Kedudukan Defendan 11. Defendan tidak memfailkan hujahan bertulis sebagaimana arahan oleh Mahkamah yang telah diberikan pada 25.2.26 bahawa Hujahan serentak perlu di failkan pada atau sebelum
13
13.3.2026 dan hanya bergantung kepada Afidavit Jawapan.
12
Intipati pembelaan Defendan adalah:
a
Hutang adalah sah dan diakui;
b
Perkhidmatan telah dilaksanakan sepenuhnya;
c
Plaintif gagal membayar selepas tempoh Notis Berkanun;
d
Oleh itu, Petisyen Penggulungan adalah wajar. ISU UNTUK DIPUTUSKAN
13
Mahkamah ini merumuskan pertikaian kepada tiga isu utama: Isu (1) - Sama ada hutang yang dituntut adalah dipertikaikan secara ‘bona fide’ atas alasan substantif. Isu (2) - Sama ada penggunaan prosiding penggulungan dalam keadaan ini merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah. Isu (3) - Sama ada Plaintif memenuhi keperluan untuk mendapatkan injunksi Fortuna. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (1): Sama ada hutang yang dituntut adalah dipertikaikan secara ‘bona fide’ atas alasan substantif 14. Mahkamah ini memulakan analisis dengan prinsip asas bahawa bidang kuasa penggulungan di bawah Seksyen 465 dan 466 Akta Syarikat 2016 bukanlah suatu mekanisme untuk menguatkuasakan hutang yang dipertikaikan, sebaliknya ia adalah suatu remedi kolektif bagi melindungi kepentingan pemiutang secara keseluruhan.
15
Oleh itu, persoalan utama bukanlah sama ada hutang itu akhirnya boleh dibuktikan, tetapi sama ada terdapat suatu pertikaian yang tulen dan berasas (‘genuine dispute on substantial grounds’).
16
Dalam kes Tan Kok Tong v Hoe Hong Trading Co Sdn Bhd [2007] 4 MLJ 355, Mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa: “If the debt is bona fide disputed on substantial grounds, the court will not wind up the company.” [Penekanan ditambah]
17
Prinsip ini telah lama menjadi asas kepada undang-undang penggulungan dan berfungsi sebagai benteng terhadap penyalahgunaan proses Mahkamah.
18
Dalam menilai sama ada wujud pertikaian ‘bona fide’, Mahkamah ini meneliti secara menyeluruh kandungan Afidavit Sokongan Plaintif. Daripada rekod tersebut, jelas bahawa Plaintif tidak sekadar membuat penafian kosong, tetapi telah mengemukakan asas faktual yang terperinci.
19
Pertama, Plaintif menegaskan bahawa tiada perjanjian bertulis yang dimuktamadkan antara pihak-pihak. Walaupun terdapat suatu draf perjanjian bertarikh 16.5.2025, Plaintif menyatakan bahawa dokumen tersebut hanya diterima kemudian dan tidak pernah ditandatangani atau dipersetujui secara formal.
20
Fakta ini, jika benar, memberi implikasi yang serius terhadap asas tuntutan Defendan kerana ia menyentuh kewujudan kontrak itu sendiri iaitu suatu isu undang-undang yang tidak boleh diselesaikan secara ringkas melalui prosiding penggulungan.
21
Kedua, Plaintif mempertikaikan skop dan tempoh perkhidmatan. Plaintif menyatakan bahawa tempoh perkhidmatan adalah hanya tiga bulan, manakala Defendan mendakwa tempoh tersebut adalah enam bulan. Pertikaian ini bukan bersifat remeh, tetapi merupakan isu teras yang memberi kesan langsung kepada jumlah hutang yang didakwa.
22
Ketiga, Plaintif mencabar komponen tuntutan, khususnya caj tambahan seperti ‘lift-on lift-off’ (LOLO)”, caj tinjauan dan kos pembersihan, yang menurut Plaintif tidak pernah dipersetujui. Ini menunjukkan bahawa pertikaian bukan sahaja terhadap liabiliti, tetapi juga terhadap kuantum dan ianya suatu lagi indikator kuat bahawa hutang tersebut tidak ‘plain and undisputed’.
23
Keempat, Mahkamah memberi perhatian kepada fakta bahawa Defendan sebelum ini telah memfailkan saman sivil bagi menuntut hutang yang sama, tetapi kemudiannya menarik balik tindakan tersebut tanpa sebarang penghakiman.
24
Tindakan ini, pada pandangan Mahkamah, adalah signifikan kerana ia menunjukkan bahawa Defendan sendiri pada satu ketika mengiktiraf bahawa pertikaian tersebut memerlukan penentuan melalui proses perbicaraan biasa.
25
Dalam keadaan sedemikian, perubahan strategi kepada prosiding penggulungan menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan untuk memintas proses litigasi biasa.
26
Mahkamah ini juga meneliti Afidavit Jawapan Defendan. Walaupun Defendan menegaskan bahawa hutang adalah sah dan telah diakui, dakwaan tersebut adalah dipertikaikan secara langsung oleh Plaintif. Lebih penting, Mahkamah mendapati bahawa dakwaan “pengakuan hutang” oleh Plaintif tidak disokong oleh dokumen yang jelas dan tidak dipertikaikan.
27
Dalam konteks ini, Mahkamah tidak dipanggil untuk menentukan siapa yang benar, tetapi hanya untuk menentukan sama ada pertikaian itu wujud secara ‘bona fide’.
28
Berdasarkan keseluruhan affidavit yang difailkan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa: i. pertikaian adalah nyata dan bukan rekaan; ii. pertikaian melibatkan isu kontrak dan kuantum yang substantif; iii. pertikaian memerlukan perbicaraan penuh dengan keterangan lisan. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa hutang yang dituntut adalah dipertikaikan secara ‘bona fide’ atas alasan yang kukuh dan substantif. Isu (2): Sama ada penggunaan prosiding penggulungan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah.
29
Setelah Mahkamah mendapati bahawa hutang tersebut dipertikaikan secara ‘bona fide’, persoalan seterusnya ialah sama ada tindakan Defendan menggunakan prosiding penggulungan merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah.
30
Prinsip ini telah dirumuskan dengan jelas dalam kes klasik Fortuna Holdings Pty Ltd v Deputy Federal Commissioner of Taxation (1976) 2 ACLR 349, di mana Mahkamah menyatakan: “The presentation of a winding up petition where the debt is disputed is an abuse of the process of the court.” [Penekanan ditambah]
31
Prinsip ini telah diterima pakai secara konsisten dalam bidang kuasa tempatan dan membentuk asas kepada apa yang dikenali sebagai ‘Fortuna injunction’. Rasional di sebalik prinsip ini adalah jelas iaitu prosiding penggulungan membawa implikasi serius terhadap reputasi dan kelangsungan sesebuah syarikat, dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat tekanan komersial.
32
Dalam kes ini, Mahkamah mendapati beberapa faktor penting yang menunjukkan unsur penyalahgunaan: i. Pertama, Defendan telah memilih untuk mengeluarkan Notis Berkanun walaupun mengetahui bahawa hutang tersebut dipertikaikan oleh Plaintif. ii. Kedua, Defendan telah memfailkan petisyen penggulungan selepas tamat tempoh notis tanpa menunggu penentuan mahkamah terhadap pertikaian tersebut. iii. Ketiga, seperti yang telah dihuraikan di bawah Isu (1), Defendan sebelum ini telah memfailkan saman sivil dan kemudian menarik baliknya.
33
Urutan tindakan ini menunjukkan suatu corak yang konsisten iaitu penggunaan pelbagai saluran untuk menekan Plaintif agar membuat pembayaran tanpa melalui proses perbicaraan penuh. Mahkamah ini menegaskan bahawa pendekatan sedemikian adalah bertentangan dengan prinsip keadilan asasi dan integriti proses kehakiman.
34
Dalam kes Mobikom Sdn Bhd v Inmiss Communications Sdn Bhd [2006] 2 MLRA 700, Mahkamah menegaskan bahawa prosiding penggulungan tidak boleh digunakan sebagai ‘shortcut debt recovery mechanism’. Prinsip yang sama terpakai dalam kes ini.
35
Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa jika petisyen penggulungan dibenarkan diteruskan, ia berpotensi menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dipulihkan kepada Plaintif, termasuk kerosakan reputasi, kehilangan keyakinan komersial dan gangguan operasi perniagaan. Kesan-kesan ini berlaku walaupun sebelum sebarang penentuan muktamad dibuat terhadap kewujudan hutang tersebut.
36
Oleh itu, Mahkamah ini berpendirian bahawa penggunaan prosiding penggulungan dalam keadaan ini adalah tidak wajar dan merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah. Isu (3): Sama ada plaintif memenuhi ujian untuk mendapatkan
37
Setelah mendapati bahawa terdapat pertikaian ‘bona fide’ dan penyalahgunaan proses, Mahkamah kini meneliti sama ada Plaintif memenuhi kehendak undang-undang untuk mendapatkan Injunksi ‘Fortuna’.
38
Dalam kes terkini V Medical Services M Sdn Bhd v Swissray Asia Healthcare Co Ltd [2025] 3 MLRA 360, Mahkamah Rayuan memberikan penjelasan yang komprehensif mengenai pendekatan yang perlu diambil: “The threshold is whether there is a genuine dispute on substantial grounds… the court should not delve into the merits but only whether the dispute is bona fide.” [Penekanan ditambah]
39
Mahkamah Rayuan seterusnya menegaskan bahawa: “An unjustified petition where the debt is disputed would be an abuse and should be restrained.” [Penekanan ditambah]
40
Daripada petikan ini, jelas bahawa ujian ‘Fortuna’ mengandungi dua komponen utama:
a
kewujudan pertikaian ‘bona fide’;
b
keperluan untuk menghalang penyalahgunaan proses. Dalam kes ini, kedua-dua komponen tersebut telah dipenuhi seperti yang telah dihuraikan di bawah Isu (1) dan (2).
41
Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa injunksi ‘Fortuna’ berbeza daripada injunksi biasa kerana ia tidak memerlukan analisis mendalam mengenai ‘balance of convenience’ dalam erti kata tradisional. Sebaliknya, fokus utama adalah untuk melindungi integriti proses Mahkamah daripada disalahgunakan.
42
Dalam konteks ini, Mahkamah mendapati bahawa jika injunksi tidak diberikan Defendan akan terus menggunakan petisyen penggulungan sebagai tekanan, Plaintif akan mengalami prejudis yang serius dan proses kehakiman akan dipintas.
43
Sebaliknya, jika injunksi diberikan Defendan masih mempunyai remedi melalui tindakan sivil biasa dan pertikaian boleh ditentukan secara adil melalui perbicaraan penuh. Oleh itu, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pemberian injunksi adalah selaras dengan keadilan dan prinsip undang-undang yang mantap. Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa Plaintif telah berjaya memenuhi kesemua keperluan bagi mendapatkan Injunksi ‘Fortuna’.
44
Mahkamah ini menegaskan bahawa dapatan di bawah Isu (1) hingga (3) adalah saling berkait dan membentuk suatu kesimpulan yang tidak boleh dipisahkan, iaitu bahawa prosiding penggulungan dalam kes ini adalah tidak sesuai sebagai forum untuk menentukan pertikaian yang kompleks dan substantif.
45
Sebarang cubaan untuk membenarkan petisyen penggulungan diteruskan dalam keadaan ini akan menjejaskan prinsip asas undang-undang penggulungan dan membuka ruang kepada penyalahgunaan proses secara sistematik.
46
Setelah Mahkamah ini meneliti keseluruhan afidavit, hujahan Pemohon serta autoriti yang dikemukakan, dapatan Mahkamah ini boleh dirumuskan secara tersusun berdasarkan tiga isu utama yang telah dikenal pasti.
47
Berhubung dengan Isu (1), Mahkamah ini mendapati bahawa hutang yang didakwa oleh Defendan bukanlah suatu hutang yang jelas dan tidak dipertikaikan. Sebaliknya, terdapat pertikaian yang nyata, ‘bona fide’ dan berasas yang melibatkan isu-isu teras termasuk kewujudan kontrak, tempoh perkhidmatan, serta komponen tuntutan yang dikenakan. Pertikaian-pertikaian ini bukan sahaja bersifat material, malah memerlukan penentuan melalui perbicaraan penuh dengan keterangan lisan dan pemeriksaan balas saksi. Dengan itu, Mahkamah ini berpuas hati bahawa keperluan undang-undang bagi membuktikan suatu pertikaian bona fide telah dipenuhi sepenuhnya.
48
Berhubung dengan Isu (2), Mahkamah ini seterusnya mendapati bahawa tindakan Defendan untuk meneruskan prosiding penggulungan dalam keadaan hutang yang dipertikaikan tersebut adalah tidak wajar dan menyalahi prinsip asas undang-undang penggulungan.
49
Penggunaan Notis Berkanun dan Petisyen Penggulungan dalam keadaan ini tidak boleh dilihat sebagai suatu usaha ‘bona fide’ untuk melindungi kepentingan pemiutang, sebaliknya menjurus kepada suatu bentuk tekanan komersial terhadap Plaintif. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa tindakan Defendan tersebut merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah yang perlu dibendung.
50
Berhubung dengan Isu (3), Mahkamah ini mendapati bahawa Plaintif telah berjaya memenuhi kesemua keperluan bagi mendapatkan injunksi jenis Fortuna. Pertikaian ‘bona fide’ yang telah dibuktikan, digabungkan dengan risiko penyalahgunaan proses melalui prosiding penggulungan, adalah mencukupi untuk membolehkan Mahkamah ini menjalankan bidang kuasanya untuk menghalang tindakan tersebut. Dalam hal ini, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pemberian injunksi adalah perlu bagi memastikan bahawa pertikaian antara pihak-pihak diselesaikan melalui saluran litigasi yang sewajarnya.
51
Secara kumulatif, dapatan di bawah ketiga-tiga isu ini membawa kepada satu kesimpulan yang tidak dapat dielakkan, iaitu bahawa prosiding penggulungan bukanlah forum yang sesuai untuk menentukan pertikaian dalam kes ini, dan sebarang percubaan untuk meneruskan prosiding tersebut akan menjejaskan keadilan serta integriti proses kehakiman.
52
Mahkamah ini menegaskan bahawa Defendan tidak dihalang daripada menuntut hutang yang didakwa melalui tindakan sivil biasa. Walau bagaimanapun, Defendan tidak boleh menggunakan mekanisme penggulungan sebagai jalan pintas untuk memaksa pembayaran terhadap suatu hutang yang masih belum diputuskan secara muktamad.
53
Mahkamah ini menegaskan bahawa dapatan bahawa hutang adalah dipertikaikan secara ‘bona fide’ adalah suatu dapatan fakta yang berasaskan penilaian menyeluruh terhadap keterangan afidavit dan dokumen yang dikemukakan. Selaras dengan prinsip campur tangan Mahkamah Rayuan, dapatan sedemikian tidak seharusnya diganggu kecuali terbukti terdapat kesilapan yang nyata atau salah arah undang-undang.
54
Mahkamah ini juga menegaskan bahawa penentuan ini tidak melibatkan penilaian muktamad terhadap merit tuntutan hutang tersebut, tetapi terhad kepada persoalan sama ada forum penggulungan boleh digunakan dalam keadaan fakta kes ini. Justeru, keputusan ini tidak menjejaskan hak mana-mana pihak untuk menuntut atau mempertahankan hak mereka dalam prosiding sivil yang sewajarnya.
55
Dengan itu, Mahkamah ini berpuas hati bahawa campur tangan melalui injunksi adalah wajar, perlu dan selaras dengan prinsip undang-undang yang mantap.
56
Berdasarkan keseluruhan dapatan di atas, Mahkamah ini dengan ini memerintahkan seperti berikut:
1
Suatu Perintah bahawa Defendan, sama ada melalui dirinya sendiri dan/atau melalui peguamcara, pekerja, ejen atau mana-mana pihak lain, adalah dihalang daripada memfailkan dan/atau meneruskan sebarang Petisyen Penggulungan terhadap Plaintif berdasarkan Notis Berkanun bertarikh 18.12.2025 sehingga Defendan memperoleh suatu penghakiman atau perintah muktamad berhubung dengan hutang yang didakwa;
2
Suatu Perintah bahawa sekiranya terdapat apa-apa Petisyen Penggulungan yang telah difailkan, Defendan adalah dihalang daripada mengambil apa-apa langkah lanjut termasuk menyampaikan, mengiklankan, mewartakan atau menerbitkan Petisyen tersebut kepada mana-mana pihak ketiga sehingga penentuan muktamad diperolehi melalui prosiding yang sewajarnya;
3
Kos permohonan ini sebanyak RM6,000.00 adalah diperintahkan dibayar oleh Defendan kepada Plaintif; PENUTUP
57
Mahkamah ini menegaskan bahawa keadilan dalam konteks undang-undang penggulungan memerlukan keseimbangan antara hak pemiutang untuk menuntut hutang dan hak syarikat untuk tidak dikenakan tekanan yang tidak wajar melalui prosiding yang bersifat drastik. Dalam kes ini, keseimbangan tersebut jelas memihak kepada pemberian injunksi. Dengan Keputusan Lampiran 1 ini maka Lampiran 4 adalah menjadi akademik dan tarikh 25.5.2026 adalah dilapangkan. BERTARIKH: 20 APRIL 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Tetuan Jayadeep Hari & Jamil Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.