Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-227-09/2015 ANTARA MUSA BIN YUNUS … PERAYU DENGAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perbicaraan Jenayah di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam dalam Perbicaraan Jenayah No : 45B-120-05/2013 Antara Pendakwa Raya Lawan Musa Bin Yunus) KORUM: MOHTARUDIN BAKI, HMR LIM YEE LAN, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR 2 PENGHAKIMAN Mukadimah [1] Musa (perayu) telah didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan pertuduhan seperti yang berikut: “Bahawa kamu pada 23 Disember 2012, jam lebih kurang 3.00 pagi di rumah Jalan 43, Selayang Baru, di dalam Daerah Gombak, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan,telah membunuh KUMARAN A/L RAJANARAM, (NO K/P: 811112-08-5395) dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan “ [2] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Mahkamah Tinggi (YA Hakim bicara) mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Perayu dengan itu telah didapati bersalah, disabitkan dan dikenakan hukuman gantung mati mandatori. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu ke Mahkamah ini. [3] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod, kami mendapati sabitan dan hukuman oleh YA Hakim bicara adalah tidak selamat. Oleh yang demikian, kami membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan hukuman tersebut. [4] Di sini, kami perjelaskan alasan-alasan kami membenarkan rayuan perayu itu. 3 Kes Pendakwaan [5] Ikhtisarnya, pada malam 23.12.2012 sekitar pukul lebih kurang pukul 2.00 pagi, si mati telah keluar membeli makanan untuk kakaknya yang tinggal di rumah ibunya. Risau tentang suaminya (si mati) yang masih tidak pulang, Krishnaven A/P Bangar Naidu, SP11 ( isteri si mati), yang tinggal di rumah flat Jalan 42, Selayang Baru, telah menelefon (telefon awam) suaminya untuk bertanyakan di mana dia berada. Si mati telah menjawab panggilan tersebut dan memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke rumah selepas menghantar makanan ke rumah ibunya. [6] Si mati telah tiba di kawasan bawah rumahnya sekitar pukul 2.20 pagi dan kemudian memaklumkan SP11 bahawa dia ingin kembali semula ke rumah ibunya kerana ada sambutan perayaan di Taman rumah ibunya iaitu Taman Selayang Baru, Lorong 43 dan menyuruh SP11 naik semula ke atas ke rumah mereka. [7] Ketika SP11 hendak naik semula ke rumahnya (di tingkat 4 flat tersebut), SP11 telah melihat sebuah kereta jenis Saga berhenti di sebelah motosikal suaminya dan SP11 melihat ada seorang budak dalam lingkungan umur 18-19 tahun berlari keluar dari kereta itu dengan memegang kayu sambil menjerit dan berlari ke arah rumah Visvarawaran a/l Segaran, SP19. [8] SP11 bergegas turun ke tingkat 2 dan ketika berjalan turun SP11 telah ternampak seorang lelaki Melayu berbadan gempal dan memakai baju jaket hitam dan berseluar hitam keluar dari kereta berkenaan. 4 SP11 menyatakan bahawa dia terdengar, ketika lelaki Melayu itu (perayu) keluar dari kereta, perayu telah meminta si mati untuk meminta budak-budak India yang duduk di kawasan perumahan yang turut didiami oleh si mati supaya keluar. Namun si mati menyuruh perayu sendiri yang memberitahu mereka. [9] Selanjutnya, SP11 menyatakan perayu kemudiannya telah bertindak menyepak motosikal si mati dan menyebabkan si mati dan motosikalnya terjatuh. Si mati kemudiannya telah bangun kembali dan bertanyakan kepada perayu tentang sebab dia menyepak motosikalnya, namun perayu menyepak perut si mati dan si mati kemudiannya telah terjatuh berdekatan dengan kereta adik si mati (yang digunakan oleh SP11 sebelum itu). [10] Lelaki Melayu tersebut terus memukul si mati dengan tangan dan secara tiba-tiba SP11 menyedari bahawa lelaki Melayu tersebut telah mengambil sebilah pisau dan telah menikam si mati di bahagian dada sebelah kiri. Selepas si mati ditikam, si mati telah lari ke belakang SP11, dan pada ketika itu, SP11 ada bertanyakan kepada lelaki Melayu itu akan sebab dia memukul suaminya dan lelaki Melayu itu menjawab “kamu nak sekarang?”. [11] Pada ketika itu juga budak-budak lelaki Melayu yang berlari ke rumah SP19 tersebut telah datang balik dan berlari ke arah kereta jenis Saga yang baru sampai dan perayu juga mengikuti budak lelaki Melayu itu dan masuk ke dalam kereta tersebut dan beredar dari situ. 5 [12] Menyedari keadaan suaminya yang telah ditikam, SP11 telah cuba meminta bantuan daripada jiran tetangganya dan menjerit meminta pertolongan namun tidak ada sesiapa yang datang membantu. Apabila gagal mendapat pertolongan daripada jiran tetangga, SP11 kemudiannya telah membawa si mati ke rumah ibunya di sebuah kawasan perumahan untuk meminta pertolongan. [13] Ketika sampai di kawasan perumahan ibunya, SP11 telah memberhentikan kereta di suatu lorong untuk masuk ke rumah ibunya kerana pada ketika itu ada khemah yang telah didirikan. SP11 telah meminta pertolongan daripada salah seorang daripada individu yang duduk di kawasan perumahan tersebut dan seorang lelaki bernama Ramadass a/l Ayyanar (SP6) telah membawa suaminya ke Hospital Selayang. [14] SP11 telah mengikuti kereta yang dipandu oleh SP6 dari belakang dengan menaiki kereta kakaknya. Apabila tiba di Hospital Selayang, si mati kemudiannya telah dibawa masuk ke dalam unit kecemasan. Ketika si mati berada dalam Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Selayang, si mati telah disahkan meninggal dunia pada lebih kurang pukul 3.10 pagi. [15] SP10, Dr Amir Saad Abdul Rahim, mengesahkan dalam laporan bedah siasatnya bahawa si mati telah meninggal dunia akibat daripada kecederaan yang serius akibat tikaman pada bahagian dadanya. 6 [16] Si mati telah dibedah siasat, dan dalam keterangannya, SP10 menjelaskan kecederaan tersebut seperti mana yang berikut: “1. A superficial incised wound (labelled 1) on the upper left forehead was measured 5x0.2 cm, 3 cm distance from midline and 156 cm above left heel.