Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) SELAYANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA NO. KES JENAYAH: BD-83-1800-11/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
BD-83-1800-11/2024
Magistrates Court of Malaysia29 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“(b) PP v Les Mary & Another [2015] CLJU 1360 - Mahkamah Tinggi Shah Alam **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 9 Dalam kes berkenaan, hukuman Mahkamah adalah penjara selama empat (4”
“(a) PP v Mohd Syahmeel Mazlan & Ors [2015] CLJU 1377 - Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam kes ini, hukuman Mahkamah adalah penjara selama lima (5) tahun di bawah seksyen 363 dibaca bersama seksyen 34 KK, berikutan kesalahan menculik seorang individu bagi”
“(c) Pendakwa Raya v Mohamad Shariza Othman [2024] MLJU 2009 - Majistret Kuala Selangor / Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam kes ini, Mahkamah Majistret pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 bagi kesalahan menculik dua kanak-kanak p”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) SELAYANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA NO. KES JENAYAH: BD-83-1800-11/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Rayuan kes ini telah difailkan pihak pembelaan melalui notis rayuan bertarikh 11.11.2025 (Kand. 15) terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah ini pada 29.10.2025 yang mana telah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan belas (18) bulan dari tarikh tangkap iaitu 22.10.2024 dan denda sebanyak RM10,000.00 di mana sekiranya gagal dibayar, dua belas (12) bulan penjara dikenakan terhadap Nadaph Israphil [No. Paspot: PA2358549) (“OKT”) seorang warganeraga Nepal bagi satu kesalahan di bawah seksyen 363 Kanun Keseksaan (“KK”) yang dibaca bersama-sama seksyen 511 KK– “PERTUDUHAN BAHAWA KAMU PADA 22.10.2024 JAM LEBIH KURANG 12.30 PETANG DI NO 125 KG BUNGA RAYA KUANG, DI DALAM DAERAH SELAYANG, DI DALAM NEGERI SELANGOR TELAH DENGAN NIAT CURANG CUBA MENCULIK MITHIRAN A/L TAMILSELVAN K/P: 220923-10-2801 DARI MALAYSIA. DENGAN ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SUATU KESALAHAN YANG BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 363 KANUN KESEKSAAN DAN DI BACA BERSAMA SEKSYEN 511 KANUN KESEKSAAN. HUKUMAN: SEKSYEN 363 KK - DI PENJARA SELAMA TUJUH TAHUN DAN DENDA HUKUMAN: SEKSYEN 511 KK - DIPENJARAKAN TIDAK BOLEH MELEBIHI SETENGAH DARIPADA TEMPOH TERPANJANG YANG DIPERUNTUKKAN BAGI KESALAHAN ITU.
2
Pada 29.10.2025, apabila kes ini dipanggil untuk sebutan pada kali ke lapan, OKT yang diwakili seorang peguambela, telah memohon pertuduhan di bawah seksyen 363 KK dibaca bersama seksyen 511 KK dibacakan semula kepadanya.
3
Pertuduhan telah dibacakan dan/atau diterangkan kepada OKT oleh jurubahasa Urdu (“JB Urdu”) dan OKT menyatakan bahawa beliau faham pertuduhan, faham sifat dan akibat pengakuan bersalah serta hukuman bagi kesalahan tersebut dan OKT kemudiannya mengaku bersalah secara sukarela di depan Mahkamah.
4
Mahkamah ini menerima pengakuan salah OKT dan seterusnya fakta kes telah dibacakan kepada OKT oleh JB Urdu dan OKT faham dan mengakui kebenaran fakta kes tersebut yang mana ditandakan Lampiran A oleh Mahkamah.
5
Eksibit-eksibit P1 hingga P3 (laporan pengadu, laporan tangkap dan gambar tempat tempat kejadian) telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk ditandakan Mahkamah dan turut ditunjukkan/diterangkan kepada OKT oleh JB Urdu, OKT mengakui kebenaran eksibit-eksibit tersebut.
6
Hujahan mitigasi peguambela OKT selanjutnya adalah seperti berikut: “Dengan izin Tuan Majistret. Tuan Majistret OKT pada hari ini, nama beliau adalah Nadaph Israphil dan OKT merupakan seorang warga negara Nepal. OKT telah menetap dan bekerja di Malaysia selama tujuh tahun sebagai pengawal keselamatan Tuan Majistret. Saya pohon Tuan Majistret merujuk kepada muka surat enam dan tujuh dimana pihak kami telah melampirkan gambar-gambar yang menunjukkan pekerjaan OKT di Malaysia. Sepanjang perkhidmatannya, OKT telah menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab amanah dan tanpa sebarang masalah disiplin. Penempatan terakhir OKT adalah di Hong Leong Tower, Jalan Damanlela, Kuala Lumpur Tuan Majistret. OKT juga merupakan bapa kepada dua orang anak kecil, yang masing-masing berumur tujuh dan lapan tahun. Anak-anak OKT ini, kini berada di Nepal. OKT juga adalah, pencari nafkah tunggal keluarga Tuan Majistret. Selain daripada isteri dan anak-anaknya, kedua-dua ibu bapa OKT juga, sudah berusia turut bergantung sepenuhnya kepada OKT daripada aspek kewangan. Seluruh keluarganya bergantung kepada pendapatan OKT sebagai seorang pengawal keselamatan yang sederhana untuk menyara hidup di Nepal Tuan Majistret. Sejak OKT ditangkap dan direman iaitu dari tarikh 22 haribulan 10 2024, sehingga pada hari ini 29 haribulan 10 2025, iaitu ia berjumlah selama satu tahun dan lapan hari. Keluarga OKT mengalami kesusahan kewangan tanpa punca rezeki utama keluarga OKT berdepan dengan kesukaran untuk menyara kehidupan seharian Tuan Majistret. Namun begitu Tuan Majistret, rakan sekerja OKT serta majikan-majikan OKT yang turut hadir pada mahkamah pada hari ini, atas rasa simpati telah memberikan derma kepada keluarga OKT Tuan Majistret. Saya pohon mahkamah untuk merujuk kepada muka surat sembilan yang menunjukkan derma yang telah diberikan oleh rakan sekerja OKT serta majikan OKT Tuan Majistret. Perkara ini, jelas menunjukkan bahawa OKT seorang pekerja yang disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya serta majikannya Tuan Majistret. OKT tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini. OKT merupakan pesalah kali pertama. Latar belakang pekerjaan OKT dan sokongan daripada majikan OKT sendiri membuktikan bahawa OKT bukanlah seorang yang berniat jahat, sebaliknya OKT merupakan seorang pekerja yang rajin dan bertanggungjawab. OKT kini menyesal dengan kesilapan yang telah dilakukannya Tuan Majistret. Berdasarkan alasan-alasan yang telah saya nyatakan, kami merayu agar suatu hukuman yang ringan dipertimbangkan oleh Mahkamah ini. Hukuman penjara yang panjang hanya akan menambah penderitaan keluarga OKT di Nepal yang tidak bersalah dan sedang menanggung kesusahan. Kami merayu agar Tuan Majistret mengambil kira peranan OKT sebagai pencari nafkah tunggal keluarga, tingkah lakunya yang baik serta sifat OKT yang telah menyesal akan apa yang telah dilakukan olenya apabila Tuan Majistret memutuskan hukuman OKT. Tuan Majistret satu lagi fakta bahawa majikan OKT juga bersedia untuk menanggung kos pemulangan OKT ke Nepal Tuan Majistret, itu sahaja daripada saya.”
7
Hujahan pemberatan pihak pendakwaan, memohon agar satu hukuman yang setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada OKT mengambil kira sifat kesalahan.
8
Mahkamah ini setelah membuat pertimbangan ke atas pengakuan salah OKT, fakta kes, eksibit, hujahan mitigasi dan pemberatan, kepentingan awam serta faktor-faktor lain berpandukan kepada prinsip-prinsip undang-undang, telah mensabitkan OKT berdasarkan pengakuan bersalah oleh OKT atas kesalahan di bawah seksyen 363 dibaca bersama seksyen 511 KK, dan menjatuhkan hukuman, denda RM10,000.00 jika gagal bayar dua belan (12) bulan penjara dan hukuman penjara lapan belas (18) bulan dari tarikh tangkap 22.10.2024.
9
Tidak berpuas-hati dengan keputusan Mahkamah ini, OKT telah merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah ini sebagaimana Notis Rayuan di Kand. 15.
10
Mahkamah ini merujuk kepada prinsip-prinsip jatuh hukum, faktor-faktor pemberatan dan mitigasi plea of guilt, keseimbangan antara kepentingan awam dan kesalahan OKT, sebagaimana dalam kes P v Morah Chekwube Chukwudi [2017] 1 LNS 864; Sau Soo Kim v PP [1975] 2 MLJ 137; Hasanuddin Abd Hamid v PP [2002] 3 CLJ 495 dalam membuat keputusan berkenaan sabitan kesalahan dan penghukuman terhadap OKT.
11
Mahkamah juga telah mengambil kira faktor-faktor yang relevan dan signifikan bagi memastikan keputusan yang dijatuhkan adalah wajar, adil dan selaras dengan prinsip undang-undang jatuh hukum serta kepentingan awam.
12
Kedudukan OKT sebagai pesalah pertama kali bagi kesalahan ini juga dipertimbangkan dengan teliti, kerana perkara ini memberikan peluang untuk pemulihan, pendidikan dan pengajaran terhadap OKT.
13
Pengakuan salah OKT pada peringkat awal sebelum bicara turut diambil kira sebagai faktor meringankan hukuman yang penting, kerana ia mencerminkan kesediaan OKT untuk menjimatkan masa serta kos.
14
Kepentingan awam juga diberikan penekanan yang tinggi dalam kes ini, memandangkan kesalahan ini melibatkan perlindungan masyarakat, khususnya kanak-kanak, dan menuntut mesej pencegahan yang jelas agar kejadian seumpama ini tidak berulang serta memberi kesan positif terhadap ketenteraman dan keselamatan masyarakat.
15
Selain itu, Mahkamah juga menilai sifat dan keseriusan kesalahan, iaitu apa-apa percubaan berkenaan penganiayaan atau penculikan kanak-kanak, yang mempunyai implikasi serius terhadap keselamatan, kesejahteraan dan keyakinan masyarakat terhadap perlindungan undang-undang untuk kanak-kanak.
16
Mahkamah membuat pertimbangan ke atas impak terhadap mangsa dan komuniti adalah besar, manakala faktor pemberatan termasuklah penglibatan mangsa kanak-kanak, OKT sebagai seorang warga asing, serta potensi risiko terhadap keselamatan awam.
17
Secara keseluruhannya, mahkamah menyeimbangkan faktor-faktor pemberatan dan mitigasi, termasuk pengakuan salah dan status OKT sebagai pesalah pertama, bagi memastikan hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja wajar dan adil, tetapi juga memberi mesej pencegahan yang jelas, melindungi kepentingan awam, dan mencapai tujuan penghukuman undang-undang yang berkesan.
18
Mahkamah telah meneliti beberapa kes serupa yang melibatkan kesalahan menculik di bawah seksyen 363 KK sebagai panduan dalam menentukan hukuman yang wajar dan bersesuaian dengan kepentingan awam.
19
Kes-kes tersebut adalah seperti berikut:
a
PP v Mohd Syahmeel Mazlan & Ors [2015] CLJU 1377 - Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam kes ini, hukuman Mahkamah adalah penjara selama lima (5) tahun di bawah seksyen 363 dibaca bersama seksyen 34 KK, berikutan kesalahan menculik seorang individu bagi tujuan menuntut wang tebusan.
b
PP v Les Mary & Another [2015] CLJU 1360 - Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam kes berkenaan, hukuman Mahkamah adalah penjara selama empat (4) tahun berserta denda sebanyak RM5,000. Hukuman ini dijatuhkan setelah menilai fakta bahawa kedua-dua tertuduh adalah pesalah kali pertama yang mengaku bersalah, namun kesalahan tetap melibatkan keselamatan kanak-kanak dan kepentingan awam yang tinggi.
c
Pendakwa Raya v Mohamad Shariza Othman [2024] MLJU 2009 - Majistret Kuala Selangor / Mahkamah Tinggi Shah Alam Dalam kes ini, Mahkamah Majistret pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 bagi kesalahan menculik dua kanak-kanak perempuan. Mahkamah Tinggi kemudian meningkatkan hukuman kepada 36 bulan penjara dan denda RM6,000, memerintahkan agar hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh sabitan di Mahkamah Majistret. Keputusan ini menekankan bahawa kesalahan menculik kanak-kanak perlu dihukum dengan lebih tegas kerana melibatkan golongan yang yang kurang berkemampuan untuk melindungi diri. [20] Mahkamah ini juga ingin tekankan bahawa kanak-kanak adalah golongan yang sangat rentan dan memerlukan perlindungan khas daripada masyarakat dan sistem undang-undang dan perbuatan kesalahan berkaitan penculikan walaupun dalam kes ini mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal, tetap merupakan satu jenayah yang serius kerana ia menimbulkan trauma psikologi yang mendalam, bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada keluarga mangsa. [21] Perlu ditegaskan jua bahawa kesan psikologi ini boleh menjejaskan perkembangan mental, emosi dan sosial kanak-kanak tersebut untuk jangka masa panjang. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat hukuman tegas terhadap kesalahan sedemikian adalah wajar dikenakan bagi memastikan keselamatan golongan rentan ini sentiasa terpelihara. [22] Selain itu, laporan berkenaan kes-kes penculikan kanak-kanak juga menunjukkan bahawa jenayah ini semakin berleluasa dan menjadi isu keselamatan awam yang serius dan perbuatan OKT yang merupakan seorang warga asing dalam melakukan kesalahan tersebut di negara ini menambahkan risiko keselamatan kepada masyarakat dan menimbulkan kebimbangan awam yang meluas. [23] Mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat dan pihak berpotensi melakukan jenayah bahawa apa-apa perbuatan penculikan kanak-kanak tidak akan ditoleransi dalam apa jua keadaan. [24] Oleh itu, kepentingan awam dan perlindungan masyarakat sepenuhnya menjustifikasi hukuman yang bersifat pencegahan (deterrent) dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah ini terhadap OKT bukan sahaja bertujuan untuk memberi suatu pengajaran kepada OKT sebagai pesalah, tetapi juga bertujuan mencegah individu lain daripada meniru jenayah ini, khususnya dalam konteks kanak-kanak sebagai mangsa dan ini adalah selaras dengan prinsip bahawa sistem kehakiman mesti menyeimbangkan kepentingan pesalah dan kepentingan masyarakat. [25] Mahkamah ini telah mengambil kira faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan oleh pembelaan, faktor-faktor pemberatan termasuk status OKT sebagai pesalah kali pertama, latar belakang pekerjaan yang stabil sebagai pengawal keselamatan, sokongan kewangan terhadap keluarga di Negara Nepal yang bergantung kepadanya, pengakuan bersalah awal, serta tiada rekod apa-apa jenayah terdahulu. [26] Faktor-faktor ini telah diberikan pertimbangan yang wajar oleh Mahkamah ini dan selanjutnya diimbangi dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan serta kepentingan awam. [27] Selain itu, Mahkamah ini juga menekankan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah sepadan dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan OKT, tidak bersifat keterlaluan atau membebankan secara tidak wajar dan tidak terlalu ringan sehingga gagal memberi kesan pencegahan yang diperlukan. [28] Kesimpulan [29] Oleh itu, Mahkamah ini menegaskan bahawa keseluruhan keputusan Mahkamah ini adalah adil, wajar dan sah di sisi undang-undang selaras prinsip bahawa hukuman, walaupun tegas, mestilah seimbang dan adil. Bertarikh: 1.12.2025 t.t (CHAI GUAN HOCK) Majistret Selayang (2) Selangor Peguam / TPR Timbalan Pendakwaraya: Birr Zamier Bin Abu Bakar Peguambela: Arvin Kumar Mohan (Tetuan Nekoo Kuala Lumpur)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.