Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. : DA-23CY-4-07/2022 ANTARA NANYQISH LEGACY SDN BHD (NO. SYARIKAT: 1377058-V) … PERAYU
DA-23CY-4-07/2022
High Court of Malaysia18 Mar 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“t 3 elemen yang memerlukan penilaian Mahkamah sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Ayob Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ 321 seperti berikut; “In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show (1) the words are defamatory; (2) the words refer”
“sibly in gathering and publishing the information. And that may indeed take into account some of the tests set out by Lord Nicholls in the Reynolds case [Reyn-olds v Times Newspapers [2001] 2 AC 127; [1999] UKHL 45 (28 October 1999)]. In particular ... whether the article contained the gist of the Plaintiffs side of th”
“tif harus membuktikan bahawa perkataan-perkataan yang diadukan adalah fitnah terhadap dirinya. Ini berdasarkan kepada keputusan di dalam kes Sivabalan P Asapathy V The New Straits Times Press (M) Bhd [2010] MLJU 360 675 di mana Mahkamah menyatakan: “Learned counsel of the plaintiff submits that in deciding whether or n”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. : DA-23CY-4-07/2022 ANTARA NANYQISH LEGACY SDN BHD (NO. SYARIKAT: 1377058-V) … PERAYU
1
ADILA SHARINNI BINTI WAHID
2
RUZY ADILA BINTI IDRIS
3
SINAR KARANGKRAF SDN BHD … RESPONDEN – (NO. SYARIKAT: 200401012066/650569-D) RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini adalah merupakan satu kes tort fitnah yang melibatkan tuntutan Plaintif ke atas Defendan-defendan. Ia berdasarkan kepada satu artikel di P1 bertajuk “Produk Kurus Dipercayai Mengandungi Racun Sibutramine Dirampas” yang telah dilaporkan di dalam akhbar Sinar Harian. [2] Plaintif adalah merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang menjalankan barangan produk kesihatan dan kosmetik. [3] Defendan Pertama merupakan wartawan akhbar Sinar Harian yang bertanggungjawab menulis artikel bertarikh 14/4/2021 di laman sesawang Sinar Harian. Defendan Kedua pula merupakan Pengarang Sinar Harian Digital yang bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan penerbitan Sinar Online bertarikh 14/4/2021 manakala Defendan Ketiga adalah merupakan sebuah syarikat penerbitan akhbar Sinar Harian yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Fakta Kes [4] Pada 14/4/2021, Defendan Pertama telah menulis satu artikel bergambar di atas talian dan telah disiarkan oleh Defendan Kedua dan Ketiga (selepas ini disebut sebagai “Artikel tersebut”) yang didakwa oleh Plaintif sebagai berbentuk memfitnah kepadanya melalui pautan laman sesawang rasmi akhbar Sinar Harian. [5] Di dalam Artikel tersebut, Defendan-Defendan telah menggunakan gambar produk Plaintif iaitu “Secret Super Slimming” atau dikenali sebagai “3S” (selepas ini disebut sebagai “produk Plaintif”) bersama logo “No Symbol” yang disertakan dengan tajuk artikel yang dipaparkan seperti berikut: “Produk kurus dipercayai mengandungi racun sibutramine dirampas” [6] Artikel tersebut mengandungi kenyataan-kenyataan bahawa produk kurus tersebut dikatakan mengandungi “Sibutramine” yang boleh membawa kemudaratan kepada pengguna seperti berikut: a) Pil-pil yang mengandungi sibutramine boleh menyebabkan penggunanya mengalami gangguan mental.; dan b) Mereka juga terdedah dengan risiko masalah jantung, penyakit sawan malah boleh mengundang maut. [7] Artikel tersebut turut memaparkan gambar suatu produk yang didakwa Plaintif sebagai produknya dan turut menyatakan bahawa sebanyak empat produk kurus telah dirampas oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKN). Tuntutan Plaintif [8] Plaintif telah memplidkan dalam Pernyataan Tuntutan seperti berikut: a) Defendan-Defendan telah menggunakan gambar produk Plaintif iaitu “Secret Super Slimming” bersama “No Symbol” [sepertimana di perenggan 6 Pernyataan Tuntutan]; b) Kenyataan-kenyataan di dalam Artikel tersebut yang memfitnahkan Plaintif [sepertimana di perenggan 8 Pernyataan Tuntutan] adalah:-
i
“Pil-Pil yang boleh mengandungi sibutramine boleh menyebabkan penggunanya mengalami gangguan mental”; dan
II
(ii) “Mereka terdedah dengan risiko masalah jantung, penyakit sawan malah boleh mengundang maut” Isu-isu untuk diputuskan [9] Pihak-pihak telah bersetuju semasa pengurusan kes sebelum perbicaraan bahawa isu-isu untuk diputuskan oleh Mahkamah adalah seperti berikut: a) sama ada artikel tersebut bersifat memfitnah dan memenuhi elemen fitnah; b) sama ada pembelaan Defendan-defendan iaitu ia suatu ulasan saksama dan perlindungan adalah terpakai; dan c) sama ada Plaintif telah mengalami kerugian akibat dari artikel tersebut dan berhak ke atas ganti rugi Analisis dan dapatan Mahkamah Isu (a); sama ada artikel tersebut bersifat memfitnah dan memenuhi elemen fitnah [10] Bagi isu ini, Mahkamah berpegang kepada kes-kes berikut sebagai panduan apa yang dimaksudkan sebagai fitnah serta elemen-elemen yang perlu dibuktikan: a) Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd V. Hue Shieh Lee [2019] 3 CLJ 729; b) Chok Foo Choo @ Chok Kee Lian V The China Press Bhd [1999] 1 MLJ 371; c) Dato’ Sri Dr Mohamad Salleh Ismail & Anor V. Nurul Izzah Anwar & Anor [2021] 4 CLJ 327; dan d) Ayob Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ 321 [11] Secara amnya undang-undang berkenaan fitnah adalah, secara amnya sesuatu imputasi oleh Defendan akan menjadi fitnah jika kesannya adalah untuk mendedahkan Plaintif, dalam mata masyarakat, kepada kebencian, ejekan atau penghinaan atau untuk merendahkan martabatnya. [12] Terdapat 3 elemen yang memerlukan penilaian Mahkamah sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Ayob Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ 321 seperti berikut; “In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show (1) the words are defamatory; (2) the words refer to the plaintiff; and (3) the words were published. Where a defence of qualified privilege is set up, as in the present case, the burden lies on the defendant to prove that he made the statement honestly, and without any indirect or improper motive. Then, if he succeeds in establishing qualified privilege, the burden is shifted to the plaintiff in this case to show actual or express malice which upon proof thereof, communication made under qualified privilege could no longer be regarded as privileged. (Rajagopal v. Rajam [1972] 1 MLJ
45
45.)” [13] Di atas penilaian ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah merumuskan fakta-fakta berikut: a) P1 merupakan satu laporan akhbar atas talian berdasarkan kepada kenyataan media oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Kota Bharu; b) P1 tersebut tidak menyebut nama Plaintif iaitu Nanyqish Legacy Sdn Bhd dan ini diakui oleh Plaintif (SP2); c) tiada sebarang keterangan dokumen yang dikemukakan oleh Plaintif untuk membuktikan bahawa produk 3S yang menjadi teras tuntutan Plantif adalah produk milik Plantif; d) P1 telah memuatnaik gambar dari Risalah Kementerian Kesihatan Malaysia (Risalah KKM) dari akaun Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan; dan e) Risalah KKM tersebut menyatakan dengan jelas – “Risalah KKM yang melarang penggunaan ubat kurus atau pil pelangsingan mengandungi sibutramine kerana boleh menyebabkan gangguan mental, jantung, sawan hingga maut”. [14] Berdasarkan rumusan ini, pertamanya Mahkamah perlu mempertimbangkan bahawa sama ada terdapat kenyataan di dalam P1 tersebut yang memfitnah Plaintif. Di dalam pliding dan hujahan Plaintif telah menyatakan bahawa gambar Risalah KKM yang disiarkan tersebutlah yang telah memfitnah Plantif. [15] Adalah jelas dari keterangan SP2 bahawa P1 tersebut, yang merangkumi perkataan-perkataan yang diadukan namun ianya tidak mengandungi sebarang kenyataan yang menyebut secara langsungnya nama Plaintif. [16] Malahan SP2 semasa pemeriksaan balas, mengakui bahawa SP2 mempunyai pengetahuan berkaitan Risalah KKM tersebut kerana agen dan stokis Plaintif telah memberikan pautan (link) ke akaun- akaun Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan dan saksi SP2 telah melawat akaun-akaun Facebook tersebut. [17] SP2 turut mengakui di dalam P1 tersebut terdapat kapsyen yang menyatakan bahawa ianya adalah Risalah KKM yang melarang penggunaan ubat kurus. [18] Selain itu, Mahkamah turut mendapati SP2 tidak membuat sebarang tuntutan atau tindakan terhadap Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan. Ini kerana Plaintif adalah di dalam proses untuk mendaftarkan produk 3S miliknya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. [19] Sehubungan dengan itu, Mahkamah berpandangan bahawa melalui tindakannya yang tidak membuat sebarang aduan, tuntutan atau mengambil sebarang tindakan sehingga kini terhadap pihak yang bertanggungjawab yang telah mencipta, mereka dan menyiarkan Risalah KKM, maka Plaintif telah bersetuju bahawa sebenarnya Risalah KKM tersebut tidak merujuk kepada Plaintif dan tidak boleh difahami merujuk kepada Plaintif dan juga tidak memfitnah Plaintif. [20] Sehubungan dengan itu, Mahkamah merumuskan bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa P1 tersebut mengandungi kenyataan yang merujuk kepada Plaintif. [21] Di dalam kes Shah Latif Sdn Bhd & Satu Lagi V Karam Singh Walia & Yang Lain [2012] 1 CLJ 542 Hakim Rosilah Yop PK (pada ketika itu) telah menegaskan 2 cara membuktikan sama ada sesuatu pernyataan tersebut ditujukan kepada Plaintif, seperti berikut: “Terdapat dua cara bagi membuktikan identiti. Ianya seperti berikut: a. Dengan kemukakan saksi-saksi untuk memberi keterangan mengenai pernyataan yang menjadi persoalan yang membawa maksud atau kefahaman bahawa penyataan-penyataan tersebut merujuk pada plaintif-plaintif; atau b. Penonton-penonton TV3 yang menyiarkan pernyataan berunsur fitnah berkenaan (P2) secara munasabah memahami bahawa penyataan-penyaatan tersebut merujuk kepada plaintif-plaintif.” [22] Manakala di dalam kes Morgan V Odhams Press Ltd & Another Case [1971] 1 WLR 1239 House of Lords telah menyatakan seperti berikut: “But here the question is not whether that words are defamatory. It is conceded that they were, if they refer to the appellant. The question is one of purely of identity. ‘Are the words capable of being understood to refer to the appellant? In my view, a somewhat more exacting test should be predicated where the question is one of identity. It is not sufficient for the reader to say “I wonder if the article refers to Johnny Morgan’ nor is pure speculation sufficient. Nor is it sufficient that a reasonable person believe that the words refer to the plaintiff. The test is an objective one. The ordinary reader must be fair-minded and not avid to scandal. He must not be unduly suspicious. The ordinary reader must have rational grounds for his belief that the words refer to the plaintiff.” [23] Plaintif melalui SP1 dan SP2 telah memberi keterangan untuk menyokong tuntutan mereka. SP1 adalah merupakan Ahli Kimia manakala SP2 adalah merupakan pemegang saham ke atas Plaintif. Tiada saksi-saksi lain yang dipanggil. Sehubungan itu, tiada keterangan bebas yang boleh dinilai oleh Mahkamah untuk menentukan elemen bahawa artikel tersebut merujuk kepada Plaintif. [24] Mahkamah telah menilai keterangan yang diberikan oleh SP2 dan berpandangan bahawa keterangan SP2 adalah bersifat berat sebelah di dalam menentukan bahawa artikel tersebut merujuk kepada Plaintif. Apatah lagi, asas bagi SP2 membuat penilaian adalah ke atas gambar di P1 yang tidak jelas bagi menunjukkan bahawa gambar produk tersebut adalah gambar produk Plaintif. [25] Bagi Mahkamah adalah penting saksi-saksi bebas yang lain dipanggil sama ada di kalangan pembaca yang lain maupun ejen atau stokis Plaintif yang dapat menyokong dakwaan SP2 tersebut. [26] Sehubungan dengan itu, Mahkamah merumuskan bahawa Plaintif dengan itu telah gagal memanggil sebarang saksi bebas untuk memberikan keterangan bahawa perkataan-perkataan yang diadukan di dalam Artikel tersebut adalah berkenaan dengan atau merujuk atau ditujukan kepada Plaintif, sekaligus Mahkamah memutuskan bahawa Plantif telah gagal untuk membuktikan elemen yang teras di dalam tuntutannya. [27] Persoalan seterusnya adalah Plaintif harus membuktikan bahawa perkataan-perkataan yang diadukan adalah fitnah terhadap dirinya. Ini berdasarkan kepada keputusan di dalam kes Sivabalan P Asapathy V The New Straits Times Press (M) Bhd [2010] MLJU 360 675 di mana Mahkamah menyatakan: “Learned counsel of the plaintiff submits that in deciding whether or not the words complained of are defamatory, one must take into account not only the actual words used, but the context of the words. The plaintiff cannot pick and choose parts of the publication standing in isolation and claim they are defamatory. The whole article or news report must be considered in its entirety. Learned counsel of the defendants further submits that when read as a whole and in its context, the news report does not convey the defamatory meanings which the plaintiff claims. I am entirely in agreement with the submission of learned counsel of the defendants that the court must construe the entirety of Exhibit P1 and ask if an ordinary, reasonable and fair-minded person who reads the whole of Exhibit P1 would discern the meaning as alleged by the plaintiff. There is a passage in the judgment of Ramly Ali J. (as he then was) in the case Soh Chun Seng v C Tos-Emr Sdn Bhd [2004] 5 CLJ 46 at page 53 - 55 that merits reproduction. There, his lordship had this to say: ".... In construing the meanings of the words complained of as pleaded by the Appellants, the court must do so in the context the entirety of the contents of exh. P2. In Gatley on Libel and Slander, 9th edn at p. 96 the learned author states: It is necessary to take into consideration, not only the actual words used, but the context of the words. At p. 97, the learned author continues: It follows from the fact that the context and circumstances of the publication must be taken into account and that the appellants cannot pick and choose parts of the publication which, standing alone, would be defamatory. This or that sentence may be considered defamatory, but there may be other passages which take away the sting.” [28] Manakala di dalam kes Keluarga Communication Sdn Bhd V Normala Samsudin & Another Appeal [2006] 2 CLJ 46 Mahkamah menyatakan: “[16] At the outset we would state that the test to be applied when considering whether a statement is defamatory of an Appellant is well settled in that it is an objective one in which it must be given a meaning a reasonable man would understand it and for that purpose, that is, in considering whether the words complained of contained any defamatory imputation, it is necessary to consider the whole article. Gatley on Libel & Slander, 10th edn on this point at pp. 108 and 110 inter alia states as follows: It is necessary to take into consideration, not only the actual words used, but the context of the words. It follows from the fact that the context and circumstances of the publication must be taken into account, that the Appellant cannot pick and choose parts of the publication which, standing alone, would be defamatory. This or that sentence may be considered defamatory, but there may be other passages which take away the sting. (emphasis added). [17] Still on the same point in the case of Charleston v. News Group Newspapers Ltd. [1995] 2 AC 65, Lord Bridge of Harwich in delivering the speech of the House of Lords at p. 70 had quoted this passage as follows: ... the question here is, whether the matter be slanderous or not, which is a question for the jury; who are to take the whole together, and say whether the result of the whole is calculated to injure the Appellant’s character. In one part of this publication, something disreputable to the Appellant is stated, but that is removed by the conclusion; the bane and the antidote must be taken together. (emphasis added).” [29] Sekali lagi, Mahkamah menegaskan bahawa berdasarkan kepada keterangan-keterangan oleh SP2, tidak wujud sebarang kenyataan yang pada pandangan Mahkamah ini yang memfitnah Plaintif. Ini kerana apa yang dirujuk oleh SP2 bukanlah kenyataan di dalam Artikel tersebut. Sebaliknya perkataan-perkataan yang diadukan dan yang diplidkan adalah berkaitan Risalah KKM yang dimuatnaik bersama artikel tersebut. [30] Defendan sebaliknya melalui keterangan SD3, telah memberikan keterangan bahawa di dalam kepasitinya sebagai pegawai yang bertanggungjawab, telah menyiarkan D10 serta Risalah KKM di atas arahan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. Selain itu, SD3 turut di dalam keterangannya menyatakan bahawa kedua-dua hantaran (postings) di D9 dan D10 adalah terbuka kepada umum dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja, serta hantaran-hantaran tersebut masih tersiar setakat tarikh perbicaraan. [31] Mahkamah berpandangan bahawa apa yang disiarkan di P1 hanyalah merupakan laporan dari sidang media sahaja. Risalah yang dimuatnaik bagi pandangan Mahkamah hanya merupakan Risalah KKM yang bertujuan untuk pemakluman kepada masyarakat awam secara keseluruhannya. [32] Apabila dibaca dalam konteksnya dan secara keseluruhan secara semula jadi dan makna biasa, perkataan yang diadukan tersebut adalah pada pandangan Mahkamah tidak akan menyebabkan mereka yang membacanya membentuk pandangan bahawa Plaintif telah bersalah mengeluarkan produk yang salah. [33] Risalah KKM jika di baca bersama dengan kenyataan-kenyataan di dalam Artikel tersebut, secara keseluruhan dan di dalam konteks ianya ditulis, memboleh satu rumusan bahawa pembaca-pembaca tidak akan mendapati bahawa Artikel tersebut memfitnah Plaintif atau membawa maksud-maksud sepertimana yang diplidkan di dalam Pernyataan Tuntutan. [34] Sehubungan dengan itu, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif di atas imbangan keberangkalian gagal membuktikan bahawa artikel tersebut bersifat memfitnah dan memenuhi elemen fitnah. Isu (b); sama ada pembelaan Defendan-defendan iaitu ia suatu ulasan saksama dan perlindungan adalah terpakai [35] Memulakan analisis Mahkamah berkaitan isu ini, diperturunkan seksyen 9 Akta Fitnah 1957 yang memperuntukkan seperti berikut; “In an action for libel or slander in respect of words consisting partly of allegations of facts and partly expression of opinion, a defence of fair comment shall not fail by reason only that the truth of every allegation of fact is not proved if the expression of opinion is fair comment having regard to such of the facts alleged or referred to in the words complained of as are proved.” [36] Bagi memahami prinsip berkaitan pembelaan ulasan saksama dan perlindungan, Mahkamah merujuk kepada nas-nas berikut: a) S Ashok Kandiah & Anor v Dato' Yalumallai Muthusamy & Anor [2011] 1 CLJ 460; dan b) Joshua Benjamin Jeyaratnam v Goh Chok Tong [1989] 3 MLJ 1 [37] Mahkamah mendapati secara amnya P1 adalah antara lainnya berhubung dengan amaran berkenaan penggunaan produk-produk pelangsingan yang mengandungi racun Sibutramine dan kesannya kepada kesihatan pengguna-pengguna dan berkenaan dengan ubat-ubat yang tidak berdaftar. Ia adalah rumusan kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan berkenaan dengan perampasan produk-produk pelangsingan yang dipercayai mengandungi racun Sibutramine. [38] Artikel tersebut juga adalah berita berkenaan perkara berkepentingan awam dan perlu di sampaikan kepada masyarakat umum, iaitu pil-pil yang mengandungi Sibutramine tidak diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan penggunaannya boleh mengakibatkan penyakit yang serius kepada pengguna. Ini disokong oleh keterangan saksi SD1 semasa perbicaraan. [39] Ia juga adalah berdasarkan kepada perkara-perkara yang dinyatakan di dalam akaun-akaun Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan yang telah memuatnaik hantaran Risalah KKM yang sama pada 11/4/2021, yang boleh diakses oleh masyarakat umum. [40] Sehubungan itu, P1 adalah pada pandangan Mahkamah mengandungi fakta-fakta dan maklumat benar berdasarkan sumber yang sahih, iaitu daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan dan akaun sosial media rasmi milik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan. [41] Adalah menjadi satu yang bersifat kepentingan awam bagi Defendan-defendan untuk memaklumkan perkara ini kepada masyarakat keseluruhannya. Di dalam kes Sivabalan P Asapathy (Supra) Mahkamah telah merujuk kepada kes Reynolds v Times Newspapers Ltd, [1999] 4 All E.R. 609 yang telah menyatakan seperti berikut: “[36] Again, on Reynolds privilege, Charlton J in Leech v Independent Newspapers [2007] 1 EHC 223 decided: “a public interest defence can arise where the subject matter of a publication, be it an article or radio or television report, considered as a whole, was a matter of public interest. ... there is a professional duty on the part of journalists to both seek out information that is of public interest and to impart it to the public and that while that is a matter of for professional skill and training, that it is also a matter of responsibility. And once a public interest is established in terms of the information the subject matter of the article, there is a second test to be met, which is as to whether on the evidence the steps taken to gather and publish the information were re-sponsible and fair. The question may need to be put as to whether a newspaper, or a television channel or radio channel, on the evidence behaved fairly and responsibly in gathering and publishing the information. And that may indeed take into account some of the tests set out by Lord Nicholls in the Reynolds case [Reyn-olds v Times Newspapers [2001] 2 AC 127; [1999] UKHL 45 (28 October 1999)]. In particular ... whether the article contained the gist of the Plaintiffs side of the story, and whether there was fair and responsible conduct ... the decision-maker ... has to have regard to the practical realities of news gathering. In that regard, I note what Lord Nichols says ... that urgency can be a matter of importance in news reporting, which is, of course, dealing with a perishable commodity.” [42] Adalah jelas, P1 merujuk kepada sumber dari kenyataan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan akaun sosial media rasmi milik Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Negeri Kelantan serta Bahagian Perkhidmatan Farmasi. Ia jelas merupakan sumber maklumat yang boleh dipercayai. Oleh itu, Mahkamah berpandangan bahawa tiada keperluan bagi Defendan-defendan menemubual atau mendapatkan apa-apa maklumbalas daripada Plaintif. [43] Tambahan pula, sumber-sumber tersebut tidak langsung merujuk secara langsung atau menyebut nama Plaintif. [44] Ini selaras dengan apa yang diputuskan di dalam kes Tan Sri Dato’ Tan Kok Ping, Jp Lwn The New Straits Times Press (M) Bhd Dan Lain-Lain Dan Satu Lagi Guaman [2010] 2 MLJ 694 apabila Mahkamah menjelaskan seperti berikut: “[45] Memandangkan bahawa sumber itu diperolehi daripada Dato’ Maizan orang yang berkuasa dan berhak untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan siasatan ini, maka bukanlah tugas Defendan-defendan, khususnya Defendan Ketiga untuk menghubungi Plaintif bagi mendapatkan komen beliau berkaitan dengan kebenaran berita itu ini jelas memenuhi kehendak s 5, Bahagian Kedua, Jadual kepada Akta Fitnah 1957 yang berbunyi: A copy of a fair and accurate report or summary of any notice or other matter issued for the information of the public by or on behalf of any Government in Malaysia or by any public officer or local authority.” [45] Sebagai pihak akhbar dan wartawan, Defendan-defendan mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang serta moral untuk memaklumkan kepada masyarakat umum dengan menyiarkan berita berkenaan produk-produk yang mengandungi racun yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Defendan-defendan turut bertanggungjawab untuk menguar-uarkan tentang kepentingan untuk memastikan produk-produk yang digunakan adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan selamat digunakan. Di dalam masa yang sama, masyarakat awam juga berkepentingan dari segi undang-undang dan moral untuk menerima berita tersebut. [46] Berdasarkan kepada analisis ini, Mahkamah berpandangan bahawa Plaintif layak untuk bergantung kepada pembelaan ulasan saksama dan perlindungan. Dengan kata yang lain, jika sekalipun Mahkamah tersilap berkaitan dapatan ke atas isu (a), Defendan-defendan masih boleh bergantung sepenuhnya kepada pembelaan tersebut. [47] Apatah lagi di dalam kes ini, Plaintif turut gagal membuktikan bahawa wujud sebarang niat jahat oleh Defendan-defendan ke atas Plaintif. Isu (c); sama ada Plaintif telah mengalami kerugian akibat dari artikel tersebut dan berhak ke atas ganti rugi [48] Selain dari isu ini adalah tidak lagi relevan, Mahkamah turut berpandangan bahawa bagi membolehkan Plaintif menuntut ganti rugi ke atas apa yang kononnya menjejaskan reputasi serta nama baik Plaintif sebagai pemegang cap dagangan produk 3S, Plaintif harus membuktikan terlebih dahulu bahawa Plaintif adalah pemilik dan pemegang cap dagangan produk 3S. [49] Setakat keterangan yang dikemukakan, Mahkamah berpandangan bahawa Plaintif telah gagal melunaskan tanggungjawab untuk membuktikan perkara asas ini. Di dalam masa yang sama berdasarkan kepada perkara-perkara yang dinyatakan di atas, Plaintif telah gagal untuk membuktikan sebarang kerugian yang kononnya ditanggung oleh Plaintif setelah Artikel tersebut diterbitkan. Kesimpulan [50] Secara kesimpulannya, di atas imbangan keberangkalian, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya. Sehubungan itu, tuntutan Plaintif adalah ditolak dengan kos sebanyak RM20,000.00 tertakluk kepada fi alokatur. Bertarikh : 7hb. Mei, 2024 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Plaintif : Mohd Nasir Bin Abdullah Tetuan Mohd Nasair & CO. PT311-1, Wisma Jaza Seksyen 22, Jalan Kuala Krai 15200 Kota Bharu Kelantan Bagi Pihak Responden : Zuwita Binti Kamaruzaman Tetuan Kamaruzaman No.22, Jalan PJU 3/38A Sunway Damansara 47810 Petaling Jaya Selangor Tarikh Bicara : 29hb. November, 2023 Tarikh Keputusan : 18hb. Mac, 2024 Perundangan Yang Dirujuk: Akta Syarikat 1965 Akta Fitnah 1957 Kes-Kes Yang Dirujuk: Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd V. Hue Shieh Lee [2019] 3 CLJ 729; Chok Foo Choo @ Chok Kee Lian V The China Press Bhd [1999] 1 MLJ 371; Dato’ Sri Dr Mohamad Salleh Ismail & Anor V. Nurul Izzah Anwar & Anor [2021] 4 CLJ 327 Ayob Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ 321 Shah Latif Sdn Bhd & Satu Lagi V Karam Singh Walia & Yang Lain [2012] 1 CLJ 542 Morgan V Odhams Press Ltd & Another Case [1971] 1 WLR 1239 Sivabalan P Asapathy V The New Straits Times Press (M) Bhd [2010] MLJU 360 675 Keluarga Communication Sdn Bhd V Normala Samsudin & Another Appeal [2006] 2 CLJ 46 S Ashok Kandiah & Anor v Dato' Yalumallai Muthusamy & Anor [2011] 1 CLJ 460 Joshua Benjamin Jeyaratnam v Goh Chok Tong [1989] 3 MLJ 1 Sivabalan P Asapathy (Supra) Reynolds v Times Newspapers Ltd, [1999] 4 All E.R. Tan Sri Dato’ Tan Kok Ping, Jp Lwn The New Straits Times Press (M) Bhd Dan Lain-Lain Dan Satu Lagi Guaman [2010] 2 MLJ 694
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.