Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA (BAHAGIAN SIVIL) GUAMAN NO.: WA-23NCVC-87-09/2025 ANTARA NAVEEN CHANDER A/L PRAKASH CHANDER (NO. K/P: 560113-10-6027) ... PLAINTIF
/akn/my/judgment/high-court/2026/8646979d-11f5-4b11-895b-15e49b63db50
High Court of Malaysia14 Apr 2026WA-23NCvC-87-09/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA (BAHAGIAN SIVIL) GUAMAN NO.: WA-23NCVC-87-09/2025 ANTARA NAVEEN CHANDER A/L PRAKASH CHANDER (NO. K/P: 560113-10-6027) ... PLAINTIF
1
RAJESH KUMAR A/L GEJINDER NATH
2
KHEMCHAND NATHERMAL THADANI
3
NIRMAL KUMAR A/L MOTIRAM (NO. K/P: 530505-10-6109) … DEFENDAN-DEFENDAN
1
PAVAN KHARBANDA A/L OM PARKASH (NO. K/P: 730201-10-5031) [DIDAKWA SEBAGAI SETIAUSAHA SENATAN DHARAM SABHA KUALA LUMPUR (NO. PENDAFTARAN: PPM-004-14- 24031970)] 23/06/2026 16:44:58 WA-23NCvC-87-09/2025 Kand. 88
2
DHARAM PRAKASH A/L WADHAWAN MAL (NO. K/P: 430810-71-5033) [DIDAKWA SEBAGAI SETIAUSAHA SANATAN DHARAM SABHA KUALA LUMPUR (NO. PENDAFTARAN: PPM-004-14- 24031970)] ... PIHAK KETIGA-PIHAK KETIGA ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ketiga-tiga Notis Rayuan ini telah difailkan oleh Defendan-Defendan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah ini pada 14 April 2026 yang telah membenarkan Notis Permohonan Pihak-Pihak Ketiga. [2] Mahkamah telah mendengar Lampiran 30, Lampiran 31 dan
Lampiran
Lampiran 32 yang difailkan oleh Pihak-Pihak Ketiga untuk mengetepikan dan/atau membatalkan Notis-Notis Pihak Ketiga yang dikeluarkan masing-masing oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga menurut Aturan 16 Kaedah 6 dan/atau Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. [3] Selepas meneliti afidavit-afidavit yang difailkan, pliding-pliding pihak-pihak, hujahan bertulis serta autoriti yang dirujuk, Mahkamah membenarkan ketiga-tiga permohonan tersebut dan membatalkan Notis-Notis Pihak Ketiga yang telah dikeluarkan oleh Defendan-Defendan. Fakta Kes [4] Tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan adalah suatu tindakan fitnah. Asas tuntutan Plaintif ialah bahawa Defendan-Defendan telah membuat dan menerbitkan kenyataan-kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Plaintif berkaitan dengan urusan Sanatan Dharam Sabha Kuala Lumpur (“SDSKL”). [5] Melalui Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan, Plaintif menuntut antara lain gantirugi am, gantirugi teruk, gantirugi teladan, permohonan maaf dan kos terhadap Defendan-Defendan. [6] Selepas tindakan utama difailkan oleh Plaintif, seterusnya Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga pula telah mengeluarkan Notis-Notis Pihak Ketiga terhadap Pavan Kharbanda dan Dharam Prakash yang didakwa masing-masing merupakan Pengerusi dan Setiausaha SDSKL. [7] Melalui prosiding Pihak Ketiga tersebut, Defendan-Defendan pada asasnya menuntut supaya Pihak-Pihak Ketiga menanggung rugi, memberi indemniti atau menyumbang terhadap apa-apa liabiliti yang mungkin dikenakan ke atas Defendan-Defendan dalam tindakan utama. [8] Pihak-Pihak Ketiga kemudiannya memfailkan Permohonan Lampiran 30, 31 dan 32 bagi mengetepikan Notis-Notis Pihak Ketiga atas alasan bahawa tuntutan Pihak Ketiga tersebut tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah. Isu Untuk Diputuskan [9] Isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah sama ada Notis-Notis Pihak Ketiga dan tuntutan Pihak Ketiga yang difailkan oleh Defendan-Defendan mendedahkan suatu kausa tindakan yang munasabah terhadap Pihak-Pihak Ketiga serta sama ada terdapat asas undang-undang bagi tuntutan indemniti atau sumbangan tersebut. Prinsip Asas Dalam Prosiding Pihak Ketiga [10] Peruntukkan bagi prosiding Pihak Ketiga di bawah Aturan 16, Kaedah 1, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang berbunyi: “Third party notice (O. 16, r. 1) 1. (1) Where in any action a defendant who has entered an appearance— (a) claims against a person not already a party to the action any contribution or indemnity; (b) claims against such a person any relief or remedy relating to or connected with the original subject matter of the action and substantially the same as some relief or remedy claimed by the plaintiff;...” [11] Seterusnya permohonan bagi prosiding pembatalan adalah di bawah Aturan 16, Kaedah 6 yang menyatakan: “Setting aside third party proceedings (O. 16, r. 6) 6. Proceedings on a third party notice may, at any stage of the proceedings, be set aside by the Court.” [12] Kewujudan prosiding Pihak Ketiga bukanlah suatu hak yang automatik. Pihak yang mengeluarkan Notis Pihak-Pihak Ketiga seperti di dalam kes ini adalah Defendan-Defendan. Justeru, Defendan-Defendan hendaklah menunjukkan bahawa terdapat asas yang munasabah untuk mengaitkan Pihak Ketiga dengan tuntutan utama. [13] Sekiranya pliding yang difailkan telah gagal untuk menunjukkan bagaimana Pihak Ketiga mempunyai tanggungan terhadap Defendan-Defendan di dalam tuntutan asal, justeru Notis Pihak Ketiga tersebut boleh diketepikan. [14] Bagi tuntutan indemniti atau sumbangan dalam tindakan tort pula memerlukan penglibatan mencukupi bagi mengaitkan peranan Pihak Ketiga dalam perlakuan tort yang didakwa. Justeru, fakta-fakta perlu menunjukkan bahawa Pihak Ketiga tersebut merupakan Pelaku Tort Bersama (Joint Tortfeasor), bagi membuktikan kewujudan tanggungjawab untuk menanggung rugi Defendan-Defendan. Dapatan dan Penemuan Mahkamah A. Sama ada Pihak-Pihak Ketiga Pelaku Tort Bersama? [15] Dalam isu ini Mahkamah perlu memutuskan sama ada Pihak Ketiga tersebut adalah Pelaku Tort Bersama. Justeru, Mahkamah perlu menilai peranan Pihak-Pihak Ketiga dan sewajarnya prosiding Pihak Ketiga tidak boleh diputuskan tanpa penelitian fakta kes semasa. Sekiranya Mahkamah mendapati prosiding Pihak Ketiga tidak wajar dikekalkan, maka ujian yang terpakai adalah ujian yang sama seperti permohonan pembatalan pliding di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Rujukan dibuat dalam kes Sime Darby Bhd & Ors v. Dato' Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir bin Hj Murshid & Ors (Tun Musa Hitam & Ors, third parties) [2012] 9 MLJ 464, prinsip yang terpakai bagi pembatalan Notis Pihak Ketiga adalah sama seperti prinsip pembatalan pliding secara umum. [16] Mahkamah juga akur prinsip-prinsip yang digariskan dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd & Ors v. United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36 dan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim v. Perdana Menteri Malaysia & Anor [2010] 3 MLJ 174 bahawa kuasa pembatalan hendaklah digunakan hanya dalam kes-kes yang terang dan jelas yang mana tuntutan tersebut pada dasarnya adalah “obviously unsustainable”. [17] Justeru, Mahkamah perlu membuat dapatan sama ada pliding yang difailkan menunjukkan suatu asas undang-undang yang munasabah untuk mengaitkan Pihak-Pihak Ketiga dengan liabiliti yang dituntut. [18] Justeru, adakah Pihak-Pihak Ketiga merupakan Pelaku Tort Bersama? Setelah meneliti Pernyataan Tuntutan Plaintif, Mahkamah mendapati bahawa asas tindakan utama adalah berkaitan tindakan Defendan-Defendan sendiri. [19] Sebagaimana yang dinyatakan di awal tadi, tuntutan utama kes Plaintif terhadap Defendan-Defendan adalah tuntutan fitnah, namun dari penelitian Mahkamah ini, tiada satu pun dakwaan dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif yang menyatakan bahawa Pihak-Pihak Ketiga telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah tersebut. [20] Tiada juga dakwaan bahawa Pihak-Pihak Ketiga telah menerbit, mengulangi, mengarah, melulus atau mengesahkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang menjadi subjek tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan. [21] Sebaliknya, tuntutan Plaintif adalah secara khusus ditujukan terhadap Defendan-Defendan atas kapasiti dan tindakan mereka sendiri dan tidak sama sekali disebut peranan Pihak-Pihak Ketiga. B. Prosiding Pihak Ketiga – Kegagalan Memplid Pelaku Tort Bersama [22] Setelah meneliti Pernyataan Tuntutan Defendan-Defendan terhadap Pihak-Pihak Ketiga, Mahkamah mendapati Defendan-Defendan telah gagal memplidkan fakta-fakta material yang menunjukkan bahawa Pihak-Pihak Ketiga merupakan Pelaku Tort Bersama dalam perlakuan fitnah yang didakwa. [23] Dalam sesuatu tindakan fitnah, liabiliti seseorang tidak timbul semata-mata kerana beliau memegang jawatan dalam sesebuah pertubuhan atau organisasi. Sebaliknya, perlu terdapat fakta yang menunjukkan bahawa pihak tersebut terlibat dalam membuat, mengarah, melulus, mengesah atau menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah. [24] Dalam kes semasa, Plaintif menyaman Defendan-Defendan atas kenyataan-kenyataan yang didakwa dibuat oleh Defendan-Defendan sendiri. Tiada sama sekali dakwaan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut dibuat oleh Pihak-Pihak Ketiga. Tiada juga dakwaan bahawa Pihak-Pihak Ketiga mengarahkan Defendan-Defendan untuk membuat kenyataan tersebut. [25] Oleh itu, Defendan-Defendan gagal memplidkan siapakah Pelaku Tort yang hendak dipertanggungkan ke atas tindakan Pihak-Pihak Ketiga dan apakah peranan sebenar Pihak-Pihak Ketiga dalam penerbitan kenyataan fitnah tersebut. C. Tiada Asas Bagi Imdemniti Dan Sumbangan [26] Adalah menjadi fakta yang tidak dinafikan bahawa hak indemniti boleh timbul sama ada secara nyata atau tersirat bergantung kepada hubungan dan peranan antara pihak-pihak. Namun demikian, pihak yang menuntut indemniti hendaklah terlebih dahulu memplidkan bagi menunjukkan asas hubung kait bagi menuntut hak indemniti tersebut. [27] Kedudukan yang sama terpakai kepada tuntutan sumbangan. Untuk menuntut sumbangan, Defendan-Defendan perlu menunjukkan bahawa Pihak-Pihak Ketiga mempunyai tanggungan bersama atau sekurang-kurangnya tanggungan yang berkait rapat dengan tort yang didakwa. [28] Dalam kes semasa, Mahkamah mendapati Defendan-Defendan gagal menunjukkan bagaimana Pihak-Pihak Ketiga secara peribadi terikat untuk menanggung rugi Defendan-Defendan terhadap tuntutan fitnah yang difailkan oleh Plaintif. [29] Mahkamah ini berpandangan bahawa prinsip yang mudah adalah sebelum seseorang boleh diminta menanggung sebahagian gantirugi, mestilah terlebih dahulu ditunjukkan bahawa orang tersebut mempunyai penglibatan dalam perlakuan yang menyebabkan gantirugi itu timbul. Dalam kes semasa, penglibatan tersebut langsung tidak diplidkan. [30] Seterusnya, jika sekalipun dalam Perkara 18 Perlembagaan SDSKL memperuntukkan indemniti tertentu kepada ahli jawatankuasa pengurusan SDSKL, namun peruntukkan tersebut tidak terpakai dalam tindakan peribadi apalagi jika ingin menuntut terhadap individu-individu yang dinamakan sebagai Pihak-Pihak Ketiga dalam prosiding ini. [31] Mahkamah mendapati terdapat jurang yang nyata antara hak indemniti yang didakwa wujud dengan liabiliti peribadi yang cuba dipertanggungkan ke atas Pihak-Pihak Ketiga. D. Kes Yang Terang Dan Jelas Dalam Prinsip Pembatalan Prosiding [32] Meneliti keseluruhan keadaan kes ini, Mahkamah berpendapat kes semasa adalah satu kes yang terang dan jelas sebagaimana yang dimaksudkan dalam kes Bandar Builder yang telah menggariskan prinsip panduan dalam kes-kes pembatalan prosiding. [33] Pada hakikatnya, Mahkamah kebiasaannya enggan membatalkan sesuatu prosiding pada peringkat awal, namun Mahkamah ini tidak boleh membenarkan sesuatu Notis Pihak Ketiga diteruskan semata-mata berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas. [34] Berdasarkan pliding di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah mendapati tidak terdapat fakta yang mampu mewujudkan kausa tindakan yang munasabah terhadap Pihak-Pihak Ketiga. [35] Dalam keadaan sedemikian, penerusan prosiding Pihak Ketiga hanya akan menyebabkan proses litigasi menjadi lebih panjang, lebih kompleks dan membebankan pihak-pihak yang tidak mempunyai kaitan yang mencukupi dengan pertikaian utama. Keputusan [36] Berdasarkan keseluruhan keadaan kes, Mahkamah berpuas hati bahawa tuntutan Pihak Ketiga yang difailkan oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah terhadap Pihak-Pihak Ketiga. [37] Mahkamah juga mendapati Defendan-Defendan telah gagal menunjukkan bahawa Pihak-Pihak Ketiga merupakan Pelaku Tort Bersama atau mempunyai apa-apa tanggungjawab undang-undang untuk menanggung rugi atau menyumbang terhadap sebarang liabiliti yang mungkin timbul dalam tindakan utama. [38] Mahkamah juga berpuas hati ini adalah kes yang terang dan jelas untuk diputuskan di peringkat ini. [39] Dengan itu, Lampiran 30, Lampiran 31 dan Lampiran 32 adalah dibenarkan. [40] Notis-Notis Pihak Ketiga yang dikeluarkan oleh Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga dibatalkan. [41] Susulan pembatalan tersebut, Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap Pihak-Pihak Ketiga turut dibatalkan. [42] Tiada perintah berhubung kos. Bertarikh: 14 April 2026 t.t. (RIHAIDA BINTI RAFIE) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil NCvC 5 Kuala Lumpur Peguamcara Plaintif: Sivashangary Shreema Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co. Kuala Lumpur Peguamcara Defendan Eric Toh Kah Yung Pertama: (Jessy Wan dan Diana Sharma bersamanya) Tetuan LY Chong & Eric Toh Kuala Lumpur Peguamcara Defendan Krishna Dalluma Kedua: (Yong Yoong Hui bersamanya) Tetuan Krishna Dallumah & Indran Kuala Lumpur Peguamcara Defendan Cheong Su Yin Ketiga: (Tan Zhi Ching bersamanya) Tetuan Cheong Su Yin & Co. Kuala Lumpur Peguamcara Pihak Ketiga Ashok Kandiah (Pertama dan Kedua): (Celine Teh bersamanya) Tetuan Haris Ibrahim Kandiah Partnership Petaling Jaya
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.