(vi) Pembedahan masa hadapan. Plaintif Defendant RM13,000.00 Mahkamah mendapati award RM70,000.00 oleh HSM bagi kos pembedahan masa hadapan adalah terlalu tinggi dan gagal menggunapakai prinsip kemunasabahan (reasonableness). Di dalam kes Inas Faiqah Mohd Helmi (A Child Suing Through Her Father And Next Friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v. Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 2 CLJ 885, hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong dengan jelas menyatakan bahawa dalam menentukan sesuatu tuntutan bagi rawatan perubatan masa hadapan, sama ada di hospital swasta atau kerajaan, pertimbangan utama mestilah soal kewajaran. Plaintif bukan sahaja perlu memberikan justifikasi mengapa rawatan swasta lebih diutamakan berbanding kemudahan awam, tetapi juga perlu membuktikan bahawa jumlah yang dituntut adalah munasabah. Justifikasi tersebut hendaklah disokong dengan keterangan yang kukuh dan boleh dipercayai. Tuntutan bagi kos pembedahan masa hadapan tidak dinyatakan dalam mana-mana laporan Pakar Plaintif. Pakar Plaintif (SP1) hanya memberi anggaran sejumlah RM70,000.00 bagi kos pembedahan masa hadapan bagi kecederaan PCL. Walau bagaimanapun, SP1 bersetuju beliau hanya mengesyorkan Plaintif untuk menjalani ACL reconstruction (melalui eksibit P3) yang berjumlah RM40,000.00. Tiada keterangan Plaintif perlu menjalani pembedahan PCL reconstruction berbanding ACL reconstruction. Merujuk kepada kes Peraganathan a/l Karpaya v. Choong Yuk Sang [1996] 1 CLJ 622, mahkamah telah memutuskan bahawa sekiranya Plaintif tidak dapat menunjukkan reasonableness untuk beliau mendapatkan rawatan tersebut di hospital swasta berbanding hospital Kerajaan, Plaintif hanya berhak kepada 1/3 daripada kos tersebut. Laporan Pakar Defendan dari Pantai Hospital bertarikh 1/7/2024, mengesahkan ACL intact dan repot MRI mendapati terdapat koyakan pada PCL tetapi stabil. Maka Mahkamah menerima cadangan Pantai Medical Centre iaitu kos untuk baiki meniscus adalah RM30,000.00. Dengan penolakkan 2/3 kerana kos pembedahan yang dicadangkan adalah di hospital swasta, maka awad HMS diketepikan dan diganti dengan RM10,000.00.