(152). [Plaintif juga ada memfailkan satu Notis Rayuan kepada Hakim Dalam Kamar di kandungan (150) tetapi di atas persetujuan pihak-pihak di kandungan (181) pendengaran kandungan (150) ini ditangguhkan]. [3] Namun demikian, oleh kerana Notis Rayuan yang hendak dimasukkan Defendan di kandungan (152) tersebut adalah difailkan diluar masa, maka Plaintif telah membuat bantahan awal. Justeru itu Defendan telah memfailkan kandungan (169) untuk perlanjutan masa untuk memfailkan Notis Rayuan (kandungan 152) tersebut. Pada 20hb Ogos 2017, setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah ini telah memutuskan untuk menolak kandungan (169) tersebut, sekaligus menyebabkan kandungan (152) terbatal. [4] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Defendan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut dan kandungan (152) terbatal secara otomatis. [5] Ini merupakan alasan terhadap keputusan mahkamah untuk menolak permohonan Defendan di kandungan (169) tersebut. B. FAKTA KES [6] Plaintif adalah pada sepanjang masa yang material merupakan seorang pemilik tunggal “Anura Hane”, sebuah perniagaan yang memperolehi lesen dan kebenaran daripada Defendan untuk mengendalikan Stesen Minyak Shell, Guchil yang terletak di Lot 2066-2069 3 Bandar Baru Kuala Krai, Lebuhraya Gua Musang, 18000 Kuala Krai, Kelantan. [7] Defendan adalah pada sepanjang masa merupakan sebuah syarikat yang mengendalikan jualan dan melesenkan stesen minyak Shell di stesen-stesen minyak Shell seluruh Malaysia. [8] Akibat daripada pecah kontrak secara salah, Plaintif telah membawa tindakan terhadap Defendan dan mahkamah ini (melalui Y.A Dato’ Ahmad Zaidi) setelah perbicaraan penuh, telah pada 25/4/2011 memutuskan untuk mengawardkan beberapa gantirugi am, untuk ditaksirkan oleh Timbalan Pendaftar. [9] Setelah mengadakan perbicaraan taksiran, Timbalan Pendaftar pada 7/3/2017 telah mengawardkan Plaintif beberapa gantirugi bagi pemecahan kontrak secara salah tersebut. [10] Defendan yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah memasukkan Notis Rayuan bertarikh 20hb Mac 2017 kepada Hakim Dalam Kamar (kandungan 152) tetapi mengikut rekod mahkamah, ianya difailkan pada 27hb Mac 2017, iaitu di luar tempoh masa yang dibenarkan. [Plaintif juga memfailkan rayuan mereka di kandungan (150)]. [11] Melalui kandungan (169), Defendan telah membuat permohonan untuk melanjutkan masa bagi memfailkan Notis Rayuan berkenaan i.e. (kandungan 152). 4 [12] Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, pada 20/8/2017 mahkamah (Hakim Dalam Kamar) telah memutuskan untuk menolak permohonan Defendan di (kandungan 169) ini. Maka inilah rayuan pihak Defendan terhadap kandungan (169) dan (152). C. HUJAHAN PIHAK-PIHAK [13] Pihak Defendan antara lain menghujahkan bahawa mereka telah memfailkan rayuan di dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum tamatnya tempoh pemfailan Notis Rayuan pada 21/3/2017. [14] Menurut Defendan, pihak mereka telah menghantar Notis Rayuan (kandungan 152) yang bertarikh 20/3/2017 melalui kurier ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu melalui surat iringan yang mengepilkan 5 salinan Notis Rayuan bertarikh 21/3/2017 dan 1 keping cek CIMB 179163 bertarikh 20/3/2017 berjumlah RM40.00 sebagai fee pemfailan tersebut. [15] Menurut Defendan lagi, Mahkamah Tinggi Kota Bharu hanya memproseskan pemfailan dan/atau mengendorsekan tarikh Notis Rayuan tersebut pada 27/3/2017. [16] Pihak Defendan hanya mengetahui wujudnya bantahan apabila semasa pengurusan kes pada 3/7/2017, di mana Peguamcara Plaintif, Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz (“Tetuan SHM”) telah membangkitkan isu kelewatan pemfailan Notis Rayuan tersebut di dalam Hujahan bertulis Plaintif. 5 [17] Pihak Plaintif pula menghujahkan bahawa permohonan Defendan adalah tidak teratur dan cacat kerana Defendan sepatutnya memohon kebenaran Mahkamah menfailkan Notis Rayuan Kepada Hakim Dalam Kamar (NRKHDK) di luar tempoh masa tetapi permohonan Defendan (kandungan 169) ini hanyalah untuk diberikan lanjutan masa untuk memfailkan suatu Rayuan terhadap keputusan Timbalan Pendaftar (TP) Mahkamah Tinggi. [18] Pihak Defendan sepatutnya mengambil serius berhubung tempoh masa menfailkan NRKHDK yang mana mestilah DIFAILKAN dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Timbalan Pendaftar pada 07/03/2017 iaitu tamat pada 21/03/2017. [19] Menurut Plaintif lagi, Defendan sepatutnya membuat tindakan susulan dengan pihak Mahkamah pada 21/03/2017 sama ada cek yang dibekalkan tersebut telah ditunaikan, bukannya hantar ke Mahkamah cek tersebut tanpa membuat tindakan susulan. [20] Defendan juga mengetahui bahawa bagi maksud penunaian cek, ianya akan mengambil masa yang lama dan sepatutnya Defendan kemukakan cek pembayaran seminggu lebih awal sebelum tamat tempoh penfailan NRKHDK. [21] Plaintif pula berhujah bahawa walaupun tidak ada bantahan sekalipun daripada pihak Plaintif, NRKHDK yang difailkan oleh Defendan pada 27/3/2017 tetap di luar tempoh masa, dan ianya tidak sah dan tidak teratur, cacat dan adalah sewajarnya ditolak mahkamah. 6 D. PENGANALISAAN DAN DAPATAN MAHKAMAH [22] Mahkamah telah meneliti kertas-kertas kausa dan telah juga meneliti hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah berpendapat bahawa permohonan Defendan tidak bermerit di atas alasan-alasan di bawah ini. [23] Sebelum itu, mahkamah telah meneliti permohonan Defendan dan mahkamah mendapati ianya adalah teratur i.e. permohonan ialah untuk mendapatkan kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Timbalan Pendaftar di luar masa. [24] Mahkamah ini merujuk kepada Aturan 3 kaedah 5 di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 yang mana ia memperuntukkan mengenai perlanjutan tempoh “extension of time”: