Schedule
Jadual Pertama ADB dengan berat bersih 424.78 gram. KES PEMBELAAN [11] 2 orang saksi dipanggil untuk kes Pembelaan iaitu Tertuduh sendiri dan Inspektor Nor Badrul (SD2). Ringkasan keterangan kes Pembelaan adalah seperti berikut. [12] Pada sekitar jam 7.15 pagi pada hari kejadian, Perayu telah pergi ke Bavani Store menaiki kereta jenama BMW. Apabila sampai di lokasi itu, Perayu telah melihat sebuah kereta Proton Wira No. AEU 1006 (‘Wira’) di parkir di hadapan kedai itu. Perayu mengecam kereta Proton itu sebagai kereta milik kawannya Kamotenu a/l Mokhan (‘Kamotenu’). Tertuduh mengatakan dia mencari Kamotenu tetapi tidak menjumpainya. Setelah itu, Perayu telah naik ke tingkat 1 untuk upacara sembahyang dan kemudiannya ke tingkat 2 dimana terletaknya bilik pejabat dan setor. Perayu kemudiannya menjalankan aktiviti perniagaanya bersama isterinya. [13] Lebih kurang jam 9.30 pagi, Kamotenu telah berjumpa dengan Perayu di tingkat 2 kedai itu untuk memulangkan kereta Wira milik ayah Perayu iaitu Subramaniam a/l Sinniah. Menurut Perayu, Kamotenu telah cuba menghubungi ayah Perayu untuk memulangkan kereta Wira tadi tetapi gagal. Oleh kerana itu, Kamotenu telah menghantar kereta Wira itu ke kedai dan kemudiannya menyerahkan kunci Wira itu kepada Perayu. [14] Tidak sampai selepas 5 minit Kamotenu dikatakan beredar dari situ, Perayu telah dengar bunyi tapak kaki dan beliau kemudiannya berhadapan dengan satu serbuan oleh sekumpulan 5-6 orang lelaki. Salah seorang daripada mereka kemudiannya memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang telah melakukan pemeriksaan badan ke atasnya dan menjumpai kunci kereta Proton. Setelah disoal, Perayu mengatakan kereta Proton itu milik ayahnya bernama Subramaniam dan kereta itu dikembalikan oleh Kamotenu dan parkir di luar kedai. Ketika itu, Perayu dengar salah seorang anggota serbuan bercakap melalui alat “walkie talkie” sambil membuat arahan “Cari itu India dan tangkap”. [15] Pasukan serbuan kemudiannya telah membawa Perayu turun ke kereta Proton yang dibuka menggunakan kunci yang dirampas daripada Perayu. Pegawai polis itu kemudiannya menjumpai beg kertas yang dibuka di hadapannya. Perayu mengatakan beliau terkejut apabila melihat terdapat plastik lutsinar disyaki dadah dan telah memaklumkan Polis bahawa kereta itu milik ayahnya dan telah dipinjam oleh Kamotenu. Menurut Perayu, pihak Polis tidak mengendahkan penjelasannya dan tetap membawanya ke Balai Polis. [16] Semasa berada di dalam kereta pasukan Polis, Perayu mengatakan beliau telah berjumpa dengan Kamotenu dan telah bertanya kepada Kamotenu tentang dadah itu tetapi Kamotenu enggan bercakap dengannya. [17] SD2 merupakan pegawai Polis yang telah menangkap Kamotenu. Keterangan menunjukkan SD2 juga seperti SP4 adalah pegawai dari Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman yang telah bertolak ke Johor secara berasingan. SD2 telah menuju ke Bandar Seri Alam, Johor Bahru. Setelah tiba di lokasi, SD2 menerima arahan dari SP4 untuk mengesan sebuah kereta Proton Wira AEU 1006. SD2 dan pasukannya berjaya mengesan kereta itu yang terletak di hadapan Restoran Afrin yang jaraknya antara 150-200 meter dari di mana SP4 dan Bavani Store berada. [18] SD2 dan pasukannya kemudiannya menyerbu kereta dan mendapati Kamotenu sedang berada di dalam kereta itu. Pemeriksaan ke atas Kamotenu dan kereta itu tidak membawa kepada penemuan apa-apa barang salah. Kamotenu telah dibawa ke IPD Seri Alam di mana SD2 telah diarahkan oleh SP4 untuk membuat laporan polis mengenai tangkapan Kamotenu dan bahawa tangkapan itu adalah terkait dengan tangkapan Perayu oleh SP4 (ekshibit D19). SP4 serta pasukannya dan Perayu telah tiba di IPD Seri Alam selepas SD2 dan tangkapan Kamotenu sampai di IPD tersebut. KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI [19] HMT telah berpuas hati berdasarkan keterangan bahawa pihak Pendakwaan telah membuktikan elemen identiti barang kes dadah dan milikan di bawah Pertuduhan. [20] Mengenai elemen milikan, HMT telah menerima keterangan pihak Pendakwaan bahawa: (i) penama Kamotenu tidak terkait dengan barang dadah di dalam beg kertas yang dirampas daripada kereta Proton; (ii) pemerhatian SP4 dan pasukannya selama 45 minit sebelum serbuan tidak menunjukkan Kamotenu telah menghantar kereta Proton itu ke lokasi tempat kejadian; (iii) keterangan SP4 melihat Perayu meletakkan beg kertas mengandungi dadah ke dalam kereta Proton tidak dicabar oleh pihak Pembelaan; (iv) perbuatan Perayu membawa SP4 dan pasukannya ke kereta Proton adalah keterangan yang releven di bawah seksyen 8 dan 27 Akta Keterangan 1950 menunjukkan milikan dan pengetahuan Perayu terhadap barang dadah; (v) penemuan kunci dan alat kawalan jarak jauh daripada seluar Perayu menunjukkan Perayu mempunyai kawalan dan akses kepada kereta Proton itu serta milikan dan pengetahuan ke atas barang dadah di dalam beg kertas itu; (vi) kegagalan pihak Pendakwaan memanggil pemilik berdaftar kereta Proton iaitu Subramaniam tidak menjejas pembuktian kes Pendakwaan kerana bukan menjadi kes Pembelaan bahawa kereta itu telah dipandu dan diparkir di lokasi tempat kejadian oleh Subramaniam tetapi hanya bahawa kereta itu dipinjam oleh Kamotenu; (vii) ketiadaan keterangan DNA atau cap jari Perayu pada beg kertas mengandungi barang dadah tidak menyebabkan kelompangan di dalam kes Pendakwaan kerana keterangan SP4 adalah cukup kuat membuktikan Perayu telah meletakkan beg itu di dalam kereta Proton; dan (viii) perbezaan warna bahan dadah ketika dirampas, dianalisa dan dikemukakan di Mahkamah tidak menunjukkan terputusnya rantaian keterangan kes Pendakwaan kerana proses penghomogenan semasa proses analisis bakal menyebabkan perubahan warna. [21] Mengenai perbuatan mengedar dadah berbahaya, HMT telah menggunapakai anggapan perbuatan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da) ADB berdasarkan jumlah berat bersih barang dadah. [22] Di akhir kes Pendakwaan, HMT telah membuat dapatan pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu. [23] Rujukan telah dibuat kepada keputusan keputusan, di antaranya, di dalam kes Mohd Bismill bin Ahmad & Anor v PP [2017] 1 LNS 3, [2017] MLJU 10; Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212, [1980] 1 LNS 138; Jason Hew Kiong Chew v PP [2024] MLJU 3858, [2024] CLJU 3350; PP v Basri bin Salihin [1994] 2 MLJ 476, [1993] 1 CLJ 420; Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492, [1987] CLJ 221; Tee Hock Keong v PP [2021] 1 LNS 497, [2021] MLJU 566; Shamugam s/o Kanapathy v Pappah d/o Chinniah Nadar [1994] 2 CLJ 269; Roichan bin Massum v PP [2022] MLJU 99, [2022] 1 LNS 129; PP v Mansor Md. Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233, [1996] MLJU 445; dan PP v Md Nur Hidayat bin Mohd Ali [2012] MLJU 1352. [24] Di akhir kes Pembelaan, HMT mendapati Perayu hanya mengulangi pembelaan yang telah dicadangkan pada peringkat Pendakwaan. Setelah mempertimbang keterangan kes Pembelaan, HMT mendapati Perayu gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes Pendakwaan dan gagal mengakas anggapan perbuatan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da) ADB di atas imbangan kebarangkalian berdasarkan pertimbangan dan dapatan: (i) isu kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Subramaniam sebagai saksi tidak memihak kepada Perayu kerana pembelaan Perayu lebih tertumpu kepada penggunaan kereta Proton oleh Kamotenu; (ii) Perayu tidak boleh berbolak-balik dalam pembelaannya apabila mencabar kes Pendakwaan atas kegagalan memanggil Subramaniam sebagai pemilik kereta Proton itu tetapi pada masa yang sama, menunding jari kepada Kamotenu sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas barang dadah itu kerana telah meminjam kereta Proton daripada Subramaniam dan menggunakannya; (iii) percanggahan keterangan di antara SD2 dan SP4 dimana SD2 mengakui berjumpa dengan SP4 sedangkan SP4 menafikannya tidak menjejas pembuktian kes Pendakwaan kerana penglibatan SD2 hanya terhad kepada tangkapan Kamotenu yang sedang berada di dalam kereta Wira dan tidak melibatkan tangkapan Perayu; dan (iv) adalah tidak munasabah untuk Kamotenu terus berada di dalam keretanya yang hanya 150-200 meter dari lokasi tangkapan Perayu sekiranya tujuan dia berjumpa Perayu hanyalah untuk menyerahkan kunci Proton dan sekiranya Kamotenu bertanggungjawab meletakkan barang dadah di dalam kereta Proton itu, mengapa Kamotenu tidak terus beredar dari lokasi tangkapan. [25] Di antara kes yang dirujuk adalah Cheah Theam Kheng v City Centre Sdn Bhd (In Liquidation) & Other Appeals [2012] 2 CLJ 16, [2012] 1 MLJ 761; Adiswaran a/l Tharumaputrintar v PP & Other Appeals [2014] 3 MLJ 228, [2014] 3 CLJ 813; Lim Heng Boon v PP [2014] 5 MLJ 259, [2012] 1 LNS 1455 dan Azhar Lazim v PP [2012] 5 MLJ 1, [2012] 1 LNS 262. ISU RAYUAN DAN HUJAHAN Pihak Perayu [26] Perayu membangkitkan isu-isu berikut di dalam Rayuan ini: (i) kegagalan SP4 sebagai ketua serbuan dan pengadu menyatakan fakta pemerhatian selama 45 minit sebelum serbuan dibuat di dalam Laporan Polis ekshibit P8A dan Penyata Saksi ekshibit PSP4 menyebabkan keterangan mengenai pemerhatian itu disangsikan kebenarannya; (ii) percanggahan keterangan SP4 dan SP2 dimana SP2 mengatakan beliau tidak mengetahui sama ada Perayu telah membawa dan meletakkan beg kertas ekshibit P16 ke dalam kereta Proton; (iii) kebolehpercayaan keterangan SP4 yang mengatakan beliau melihat Perayu turun dari tingkat 2 bangunan Bavani Store dengan beg kertas mengandungi dadah sedangkan SP4 dan pasukannya membuat pemerhatian dari luar bangunan pada jarak 30 meter; (iv) kegagalan HMT mempertimbang fakta bahawa SP4 telah membuat arahan tangkapan seorang lelaki India selepas Perayu memaklumkan mengenai Kamotenu menunjukkan pihak Polis telah menyedari tentang Kamotenu pada peluang terawal; (v) Perayu tidak ditangkap berada di dalam kereta Proton itu tetapi ditangkap di tingkat 2 Bavani Store dan tambahan pula, Perayu bukan pemilik berdaftar kereta itu, maka tiada kaitan Perayu dengan kereta itu; (vi) kegagalan pihak Pendakwaan memanggil pemilik berdaftar kereta sebagai saksi untuk mengecualikan akses kepada kereta itu mewajarkan pemakaian seksyen 114(g) Akta Keterangan terhadap pihak Pendakwaan; dan (vii) tiada keterangan DNA atau cap jari Perayu yang dapat mengaitkan Perayu dengan beg kertas berisi dadah. [27] Di antara semua isu-isu tadi, Perayu telah memberi penekanan terhadap isu: (i) kebolehpercayaan keterangan SP4; (ii) mengenai kewujudan penama Kamotenu yang terkait rapat dengan tangkapan Perayu; dan (iii) kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Kamotenu dan Subramaniam sebagai saksi untuk mengecualikan akses dan penggunaan kereta Proton oleh pihak selain daripada Perayu. [28] Di atas isu pertama, Perayu menghujahkan HMT telah khilaf apabila terlalu bergantung dan menerima tanpa waspada keterangan SP4 sedangkan terdapat isu-isu yang mempengaruhi kebolehpercayaan keterangan saksi itu. Dihujahkan, SP4 langsung tidak menyebut di dalam Laporan Polisnya mengenai pemerhatian selama 45 minit di hadapan kedai Bavani Store dan bahawa beliau melihat Perayu membawa turun beg kertas dan meletakkannya di dalam kereta Proton sedangkan kedua-dua perkara itu adalah fakta material yang membawa kepada tangkapan Perayu. Kedua dua perkara ditimbulkan hanya semasa keterangan lisan saksi SP4. Kebenaran keterangan itu menjadi sangsi apabila SP2 sebagai Pegawai Penyiasat langsung tidak menyebut di dalam keterangannya bahawa Perayu telah dilihat membawa beg kertas berisi dadah dan meletakkannya ke dalam kereta Proton. Keterangan SP2 itu dengan sendirinya menyebabkan keraguan terhadap keterangan SP4. [29] Selain itu, SP4 telah secara sedar menyembunyikan fakta bahawa SD2 terlibat secara langsung dalam operasi bersama dengan SP4 sebagai pegawai tangkapan Kamotenu. Keterangan SD2 menunjukkan Kamotenu ditangkap hasil dari arahan SP4, manakala, arahan SP4 itu berikutan maklumat daripada Perayu mengenai Kamotenu semasa ditangkap di lokasi tempat kejadian. Selain itu, SP4 telah mengarahkan SD2 membuat laporan polis mengenai tangkapan Kamotenu dan SD2 mengatakan SP4 mengarahkan laporan tangkapan itu harus dikaitkan dengan tangkapan Perayu. Maka, semua keterangan ini menunjukkan kaitan antara Kamotenu dan Perayu dan kemungkinan Kamotenu adalah pihak yang bertanggungjawab ke atas beg kertas di dalam kereta Proton itu. [30] Kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Kamotenu telah memprejudis Perayu kerana penama Kamotenu bukan watak rekaan tetapi watak yang benar wujud dan terkait dengan tangkapan Perayu. Keterangan SD2 menunjukkan Kamotenu ditangkap atas arahan SP4, Kamotenu ditangkap berhampiran dengan lokasi tangkapan Perayu dan tangkapan Kamotenu disebut di dalam Laporan Polis ekshibit D17 sebagai terkait dengan tangkapan Perayu. Di atas pertimbangan semua fakta itu, pihak Pendakwaan seharusnya memanggil Kamotenu. [31] Seterusnya dihujahkan, pihak Pendakwaan seharusnya memanggil juga pemilik berdaftar kereta Proton iaitu Subramaniam bagi mengecualikan penggunaan dan akses kepada kereta tersebut pada masa yang relevan. Kegagalan berbuat demikian sepertimana kegagalan memanggil Kamotenu mengundang pemakaian seksyen 114(g) Akta Keterangan dan satu inferens negatif wajar dibangkitkan terhadap Pendakwaan. Walaupun HMT telah menolak permohonan pihak Pendakwaan mengemukakan keterangan rakaman percakapan Subramaniam di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah melalui pemakaian seksyen 32 Akta Keterangan dan keterangan rakaman percakapan itu tidak dipertimbang dalam mencapai keputusan, namun kegagalan itu tetap telah memprejudis Perayu. [32] Rujukan telah dibuat kepada keputusan di dalam kes, di antaranya: PP v Mohamad Nasir Shaharuddin & Anor [1992] 1 LNS 8; Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [2010] 1 MLJ 775, [2010] 3 CLJ 938; Mahmod Yary Mohammad & 2 Yang Lain v PP [2019] 1 LNS 208, [2019] 4 MLJ 221; PP v Md Syahirul Hafifi bin Mazlan [2019] 1 LNS 2124, [2019] MLJU 1746; Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113, [2011] MLJU 1491; Iproheng Yeetuwa & Anor v PP [2014] 1 LNS 1928, [2011] MLJU 1283; PP v Mok Kar Poh [2001] 5 CLJ 206; dan Tai Chai Keh v PP [1948] 1 LNS 122, [1948-1949] Supp MLJ 105b. Pihak Pendakwaan [33] Pihak Pendakwaan menghujahkan keterangan SP4 sebagai ketua pasukan serbuan yang menangkap Perayu dan merampas beg kertas mengandungi dadah berbahaya daripada kereta Proton adalah jelas dan kredibel. Walaupun terdapat percanggahan keterangan mengenai peranan SD2, perkara itu telah dinilai oleh HMT dan dapatan HMT bahawa percanggahan itu tidak menjejaskan pembuktian kes Pendakwaan adalah tepat dan betul. Pihak Pendakwaan menghujahkan tidak ada percanggahan material di dalam keterangan SP4 yang memberi kesan kepada kebolehpercayaan keterangan SP4 keseluruhannya. [34] Mengenai isu kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Kamotenu dan Subramaniam, pihak Pendakwaan menghujahkan keterangan SP4 jelas menunjukkan SP4 telah melihat Perayu turun dari kedai Bavani Store membawa beg kertas, SP4 mengakses kereta Proton dan kemudiannya meletakkan beg itu ke dalam kereta. Maka, bukan menjadi satu keperluan untuk memanggil Subramaniam untuk memberi keterangan kerana isu akses tidak menjadi relevan di dalam fakta Rayuan ini. Begitu juga dengan Kamotenu, dimana tangkapan Kamotenu adalah pada satu lokasi berbeza dan barang dadah yang menjadi subjek pertuduhan bukan dirampas bersama-sama Kamotenu. Di atas pertimbangan itu, seksyen 114(g) Akta Keterangan tidak terpakai. [35] Dihujahkan lagi, semasa pemeriksaan balas SP4, tumpuan soalan pihak Pembelaan hanyalah mengenai dari mana datangnya beg kertas itu dan tidak terhadap keterangan SP4 yang telah melihat Perayu memegang beg kertas dan meletakkannya di dalam kereta Proton. Kegagalan memeriksa balas SP4 di atas isu sangat material itu menyebabkan keterangan itu kekal sebagai keterangan utuh kes Pendakwaan. [36] Mengenai isu DNA dan cap jari pula, pihak Pendakwaan menghujahkan kedua-dua keterangan itu hanya bersifat koroboratif dan ketiadaan keterangan itu tidak menjejaskan pembuktian kes Pendakwaan. Keterangan SP4 jelas menunjukkan peranan Perayu dalam meletakkan beg kertas mengandungi dadah ke dalam kereta Proton dan dengan demikian keterangan DNA dan cap jari tidak menjadi terlalu penting. [37] Rujukan telah dibuat kepada keputusan, di antaranya: Amri Ibrahim v PP [2017] 1 CLJ 617, [2017] 1 MLJ 1; Nasarudin Mohd Nopiah v PP [2015] 1 MLJ 856, [2014] CLJU 968; PP v Datuk Hj Harun Idris [1977] 1 MLJ 15; Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492, [1987] CLJ 221; Ghazalee Kassim & Ors v PP [2009] 4 CLJ 737, [2009] MLJU 402; Tan Kim Ho & Anor v PP [2009] 3 MLJ 151, [2009] 3 CLJ 236; PP v Mansor Md. Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233, [1996] MLJU 445; dan Gunalan A/L Ramachandran & Ors v PP [2004] 4 CLJ 551, [2004] 4 MLJ 489. PERTIMBANGAN DAN DAPATAN MAHKAMAH [38] Terlebih dahulu perlu disebut sebagai satu ketetapan undang-undang bahawa bidangkuasa Mahkamah yang mendengar suatu rayuan jenayah termasuklah kuasa untuk menilai semula semua keterangan dan menentukan sama ada Mahkamah perbicaraan telah khilaf dalam membuat dapatan fakta atau undang-undang yang mewajarkan dapatan itu diketepikan. Di dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737, [2004] 3 MLJ 405, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan seperti berikut: “Clearly, an appellate court does not and should not put the brake and not go any further the moment it sees that the trial judge says that it is his finding of facts. It should go further and examine the evidence and circumstances under which the finding was made to see whether, to borrow the words of HT Ong (CJ Malaya) in Herchun Singh's case (supra) "there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding". Otherwise, no judgment would ever be reversed on the question of fact and the provision of s. 87 CJA 1964 that an appeal may lie not only on a question of law but also on a question of mixed fact and law would be meaningless.” [39] Setelah mempertimbang semua hujahan, Mahkamah ini mendapati isu-isu utama di dalam Rayuan ini berkisar kepada isu: (i) kredibiliti keterangan SP4; (ii) penangkapan Kamotenu dan kaitannya dengan tangkapan Perayu; dan (iii) kesan kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Kamotenu dan Subramaniam sebagai saksi dalam membuktikan kes Pendakwaan. Mengenai kredibiliti keterangan SP4 [40] Sebelum menilai hujahan pihak-pihak dan dapatan HMT berkenaan isu ini, adalah perlu untuk Mahkamah ini sebagai panduan memetik perbincangan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan melalui Abu Bakar Jais HMP (pada ketika itu) di dalam kes Suthakar Sivakumar v PP & Rayuan Yang Lain [2024] 10 CLJ 335, [2025] 1 MLJ 263; mengenai pendekatan yang harus dipakai oleh Mahkamah dalam menilai kredibiliti seorang saksi: [50] Oleh itu, keterangan ketiga-tiga saksi ini adalah mencukupi untuk menunjukkan penglibatan setiap perayu sehingga menyebabkan kematian si mati. Tidak boleh dikatakan terdapat percanggahan antara saksi SP18, SP19 dan SP21 ini mengenai kejadian yang menimpa mangsa sehingga menyebabkan kematiannya. Pada hemat kami, jika terdapat percanggahan keterangan sekalipun, percanggahan tersebut adalah kecil dan tidak menjejaskan keseluruhan kes yang dibawa terhadap semua perayu. Berkaitan perkara ini, terdapat beberapa kes yang telah diputuskan terdahulu untuk menunjukkan prinsip yang harus ditekankan apabila isu seperti ini ditimbulkan dalam perbicaraan. [51] Dalam kes PP v. Datuk Haji Harun Haji Idris (No 2) [1976] CLJU 184; [1976] 1 LNS 184, Raja Azlan Shah HMP (ketika itu) telah menyatakan: In this case different witnesses have testified to different parts of what had happened or what had been said and also there are, in the evidence of the witnesses for the prosecution, some discrepancies, as would be expected of witnesses giving their recollections of a series of events that took place in 1971-1973. In my opinion discrepancies there will always be, because in the circumstances in which the events happened, every witness does not remember the same thing and he does not remember accurately every single thing that happened. It may be open to criticism, or it might be better if they took down a notebook and wrote down every single thing that happened and every single thing that was said. But they did not know that they are going to be witnesses at this trial. I shall be almost inclined to think that if there are no discrepancies, it might be suggested that they have concocted their accounts of what had happened or what had been said because their versions are too consistent. The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility. There is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirety or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinize each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in particular circumstances. [52] Begitu juga dalam kes Ong Teng For & Anor v. PP [2013] 1 CLJ 39, Raus Sharif PMR (ketika itu) menjelaskan: [33] It is settled law that the credibility of a particular witness and the weight to be given to his other evidence is manifestly within the province of a trial judge. In Andy Bagindah v. PP [2000] 3 CLJ 289, Shaik Daud JCA said that: There is no dearth of authorities to say that in every case, there are bound to be contradictions and discrepancies. The question to be decided by the trial judge is whether those contradictions and/or discrepancies are material ones so as to strike at the very root of the charge. It is for the trial judge to consider this since he was the one who saw and heard the evidence. In the present case the learned judge concluded that there were discrepancies but those discrepancies were not material ones. Since this involved the credibility of witnesses, we held that the learned judge was a better person to decide and an appellate court ought not to interfere with such findings. [34] Further, in PP v. Datuk Harun Haji Idris & Ors [1976] CLJU 184; [1976] 1 LNS 184, Raja Azlan Shah FJ (as His Royal Highness then was) said: In my opinion discrepancies there will always be, because in the circumstances in which the events happened, every witness does not remember accurately every single thing that happened. It may be open to criticism, or it might be better if they took down a notebook and wrote down every single thing that happened and every single thing that was said. But they did not know that they are going to be witnesses at this trial. I shall be almost inclined to think that if there are no discrepancies, it might be suggested that they have concocted their accounts of what had happened or what had been said because their versions are too consistent. The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility. There is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirety or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinized each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in a particular circumstance. [35] In the final determination of issues, it is incumbent on the trial court to decide, having regard to the probabilities of the case and based on contemporaneous facts and documents, whether the witnesses or set of witnesses are speaking the truth on matters of central importance. [53] Pendekatan yang sama telah juga diputuskan oleh Abdul Rahman Sebli HMP (ketika ini HBSS) dalam kes Puganeswaran Ganesan & Ors v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 326 yang antara lain menegaskan: [82] The proper approach to deal with discrepancies in evidence is well settled by case law. In Khoon Chye Hin v. PP [1961] CLJU 41; [1961] 1 LNS 41; [1961] MLJ 105b it was held that even where a witness demonstrably lies, it would be to go too far to say that his evidence must be rejected entirely. The proper way to deal with the evidence of such witness is to treat it with suspicion and caution. In considering them, what the court has to decide is whether they are of such a nature as to discredit the witness entirely and render the whale of his evidence worthless and untrustworthy: see De Silva v. PP [1964] CLJU 32; [1964] 1 LNS 32; [1964] MLJ 81.” [41] Meneruskan perbincangan, pihak Perayu menyerang kredibiliti SP4 daripada beberapa sudut termasuk: (i) kegagalan SP4 menyatakan fakta pemerhatian dan bahawa Perayu dilihat membawa beg kertas di dalam Laporan Polis ekshibit P8A tetapi hanya membangkitkannya di dalam keterangan lisan di perbicaraan; (ii) kemusykilan mengenai keupayaan SP4 melihat Perayu turun dari tingkat 2 Bavani Store dengan membawa beg kertas sedangkan pemerhatian dibuat dari luar bangunan dari jarak 30 meter berbanding dengan keterangannya bahawa beliau tidak tahu dari mana beg kertas itu diperolehi; (iii) penafian pengetahuan SP4 mengenai keberadaan SD2 hampir dengan lokasi tangkapan Perayu dalam operasi penangkapan Kamotenu; dan (iv) percanggahan di antara keterangan SP4 dan SP2 dimana SP2 langsung tidak memberi keterangan mengenai perbuatan Perayu yang dikatakan dilihat meletakkan beg kertas mengandungi dadah di dalam kereta Proton. [42] Di atas perkara pertama, kami mendapati HMT telah membuat penilaian yang betul dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Mohd Bismill bin Ahmad & Anor v PP [supra] bahawa satu laporan polis itu adalah dokumen yang bersifat koroboratif dan pertimbangan utama harus diberikan kepada keterangan lisan saksi di perbicaraan. Kalaupun terdapat percanggahan, adalah menjadi tugas Hakim perbicaraan yang telah mendapat manfaat penilaian “audio-visual” saksi untuk membuat penilaian sama ada percanggahan itu adalah satu percanggahan yang material yang mewajarkan keterangan itu ditolak: “[36] In our view, the discrepancies in PW-5’s police report, D2, and his oral testimony in court can never amount to giving rise to two sets of evidence. It is trite that a police report is not substantive evidence. More so when D2 is merely an arrest report and not a first information report. A police report is only an instrument that triggers the process of investigation. The substantive evidence must come from the testimonies of witnesses which are subjected to the vagaries of cross-examination to determine its veracity and finally its admissibility in evidence. However, such police report can always be employed to corroborate one’s testimony or to discredit him. Whether one’s credibility is blemished on account of his inconsistent testimony vis-à-vis his police report, and hence rejected, is for the trial judge alone to decide, who had the advantage of seeing and hearing him. To treat discrepancies in one’s police report with his oral testimony as amounting to giving rise to another set of evidence is stretching the rule too far.” … [39] The learned trial judge found as a fact that PW-2, PW-3 and PW-5 were credible and truthful witnesses inspite of the aforesaid discrepancies. This of course is purely within the province of the learned trial judge’s jurisdiction who had the audio visual advantage of seeing and hearing the witnesses testifying before him. We have indeed no business to disturb the aforesaid factual findings unless of course it can be shown that the testimonies of the said witnesses were inherently inconsistent with the facts and circumstances adduced therein.” [43] Rujukan juga dibuat kepada keputusan di dalam kes Herchun Singh v PP [1969] CLJU 52; [1969] 2 MLJ 209 yang sering dipetik di atas isu ini di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan: “As regards omissions in the first information report, we would endorse Sohoni's commentary on s. 154 of the Indian Criminal Procedure Code (16th Edn., Vol. I, p. 750), which is similar to s. 107 of our Criminal Procedure Code, as follows: It is a mistake to believe that a person cannot be the accused unless his name appears in the first information report. The provisions of the Code lay down no such stipulation. All that is required for purpose of this section is that there should be clear, definite information about the commission of a cognizable offence to set the investigation machinery in motion. Further, the information required need not contain the circumstances of the commission of the offence, nor the names of the offenders or the witnesses, for the main purpose of investigation is to ascertain these matters.... The first information report is not an Encyclopedia. It is not the beginning and ending of every case. It is only a complaint to set the affairs of law and order in motion. It is only at the investigation stage that all the details can be gathered and filled up. But it cannot be said that omissions in the first information report would always be of no significance. The report is not substantive evidence and omissions in it will not ipso facto lead to the case being thrown out. But it is a piece of corroborative evidence; omissions in it will, other things being the same, deprive the prosecution of the most valuable corroboration and thereby make the story suspicious. When a first information report contains an omission as to an important fact relied upon by the prosecution, the omission is important and in the absence of any other evidence, the Court may in a given case refuse to consider the evidence of the informant on that fact because of such omission. For a correct appraisal of the effect of omission as contradicting the informant it is essential to keep in view the circumstances in which the report was lodged. For instance, an omission in a report hurriedly lodged under the press of events should not have the same significance as one in a report lodged after cool calculation. In short, it is wrong to hold up the first information report as a sure touchstone by which the complainant's credit may invariably be impeached. It can only be used for that purpose with discrimination, in much the same way as previous statements by the witness are used, so that irrelevant errors in detail are not given exaggerated importance, nor omissions, objectively considered in the light of surrounding circumstances.” [44] Berpandukan kes-kes tadi, kami mendapati HMT tidak khilaf di dalam membuat penilaian itu dan menerima keterangan lisan SP4 mengenai apa yang beliau telah lihat, lebih-lebih lagi apabila satu pemerhatian telah dibuat untuk satu tempoh yang lama iaitu 45 minit. Kami tidak mendapati Perayu telah membangkitkan satu dakwaan semasa perbicaraan bahawa Perayu telah dianiaya oleh SP4 dengan satu keterangan palsu. Dengan yang demikian, kami tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengganggu dapatan fakta HMT di atas isu ini. [45] Seterusnya, mengenai perkara kedua, walaupun kami boleh bersetuju bahawa adalah tidak mungkin SP4 dapat melihat Perayu turun dari tingkat 2 kedai Bavani Store itu dari posisi luar bangunan dan dari jarak 30 meter, namun pertimbangan harus diberikan kepada tiadanya keraguan dalam keterangan SP4 bahawa beliau telah melihat Perayu mundar-mandir di luar kedai sambil menghisap rokok, kemudian masuk semula ke kedai dan selepas itu, keluar semula dari bangunan kedai itu dengan membawa beg kertas dan beg itu kemudiannya diletakkan di dalam kereta Proton. Beg sama itulah yang kemudiannya dijumpai mengandungi barang dadah berbahaya di dalam kes ini. Pada pandangan kami, bukanlah menjadi isu utama dari mana beg kertas itu datang sama ada dari tingkat 2 kedai itu atau dari seorang lain tetapi siapakah yang mempunyai kawalan dan jagaan ke atasnya pada masa yang material. [46] Keterangan menunjukkan kunci dan alat kawalan jarak jauh kereta Proton telah dijumpai pada poket seluar Perayu dan Perayu telah membawa SP4 dan pasukan serbuan ke kereta Proton itu. Maka, apabila fakta itu dipertimbang bersama-sama keterangan pemerhatian selama 45 minit itu, maka tiada keraguan bahawa hanya Perayu yang mempunyai milikan ke atas beg kertas itu. [47] Selanjutnya mengenai penafian SP4 terhadap pengetahuannya tentang posisi SD2 semasa tangkapan Kamotenu, kami mendapati HMT telah membuat penilaian yang wajar di atas isu itu. Walaupun HMT mendapati satu kejanggalan dalam jawapan SP4 apabila beliau mengatakan tidak mengetahui tentang peranan SD2 dan lokasi SD2 semasa tangkapan terhadap Kamotenu dibuat, namun HMT tidak mendapati perkara itu telah memberi kesan kepada keterangan kes Pendakwaan. [48] Berdasarkan keterangan, tangkapan Kamotenu adalah pada lokasi yang berbeza, tidak ada rampasan barang dadah bersama Kamotenu dan tidak ada keterangan yang menunjukkan tangkapan Perayu adalah berdasarkan apa-apa maklumat dari Kamotenu. Peranan SD2 hanyalah sebagai pegawai penangkap Kamotenu yang kemudiannya dibawa ke IPD Seri Alam. Maka, kami bersetuju dengan dapatan HMT bahawa apa jua kejanggalan di dalam keterangan SP4 mengenai SD2 tidak memberi kesan kepada fakta penangkapan Perayu dan rampasan barang dadah dari kereta Proton. [49] Mengenai percanggahan di antara keterangan SP4 dan SP2, kami mendapati sebenarnya tidak timbul apa-apa percanggahan keterangan. Semasa Pemeriksaan Balas, SP2 sebagai Pegawai Penyiasat hanya mengesahkan Laporan Polis ekshibit P8A (pada peringkat itu masih ID8A) tidak menyebut mengenai fakta pemerhatian oleh SP4. Selain itu, tidak dicadangkan bahawa Perayu tidak dilihat turun dari Bavani Store membawa beg kertas dan kemudian meletakkan beg itu di dalam kereta Proton. Perkara bahawa SP4 telah membuat pemerhatian dan semasa pemerhatian Perayu dilihat membawa beg kertas hanya timbul semasa keterangan lisan SP4 yang dipanggil selepas SP2 memberi keterangan. Maka, kami mendapati tidak ada merit di atas isu ini yang mewajarkan pertimbangan yang memihak kepada Perayu. Mengenai Kamotenu dan kaitannya dengan tangkapan Perayu [50] Seterusnya mengenai tangkapan Kamotenu, keterangan SP4 dan SD2 jelas menunjukkan tangkapan Kamotenu dibuat pada satu lokasi lain walaupun hanya dalam sekitar 150-200 meter dari lokasi tangkapan Perayu. Tidak ada di dalam keterangan SP2, SP4 atau SD2 bahawa tangkapan Kamotenu itu adalah hasil daripada maklumat yang diberikan oleh Perayu kepada SP4. Perkara itu hanya dibangkitkan oleh Perayu di dalam keterangannya. Pada pendapat Mahkamah ini, kalaupun benar, maklumat itu datang dari Perayu, fakta yang tidak boleh disangkal adalah keterangan SP4 mengenai fakta pemerhatian dan pergerakan Perayu tidak dicabar secera langsung. Perayu menghujahkan cabaran itu dibuat melalui cabaran kepada kandungan Laporan Polis ekshibit P8A yang gagal menyebutkan perkara pemerhatian dan perlakuan Perayu yang dilihat memegang beg kertas dan meletakkannya di dalam kereta Proton. [51] Pada pendapat kami, cabaran tidak langsung itu adalah tidak memadai dalam mencabar versi kes Pendakwaan kerana SP4 telah memberi keterangan lisan yang panjang lebar dan terperinci mengenai apa yang beliau lihat selama tempoh pemerhatian, khususnya mengenai Perayu dilihat mundar-mandir di luar kedai Bavani Store, Perayu dilihat menghisap rokok, Perayu dilihat masuk kembali ke dalam kedai dan kemudian Perayu dilihat turun semula membawa beg kertas mengandungi dadah dan meletakkannya di dalam kereta Proton. Oleh kerana keterangan itu merupakan keterangan langsung dari SP4 sebagai tambahan dan perincian kepada Laporan Polisnya, maka menjadi tanggungjawab Perayu untuk mencabar secara spesifik semua keterangan tadi. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan keterangan itu dianggap diterima sebagai benar atau paling kurang, keterangan itu kekal mempunyai nilai berat yang memihak kepada pihak Pendakwaan. [52] Mahkamah merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Wong Swee Chin v PP [supra] mengenai kesan kegagalan memeriksa balas saksi di atas isu yang sangat penting: "SP2 was not an interested witness, but a police officer performing his duties. He had related what he actually saw and did on that day. SP2's evidence is credible and ought to be believed. (See the cases of PP v. Mohamed Ali [1962] CLJU 129; [1962] 1 CLJU 129 and PP v. Teh Cheng Poh [1979] CLJU 82).... It is also to be noted that there is no challenge by the defence on the evidence of SP2 of any ulterior motive that he might have to concoct evidence against the appellant. On this point there is a principle of law which states that failure to cross-examine a witness on a crucial part of the case will amount to an acceptance of the witness' testimony." [53] Rujukan juga dibuat kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [supra] yang telah memutuskan seperti berikut: “This police arrest report is thus merely a brief account of what had transpired in room 808. It is a formal procedure undertaken by the police following the arrest of a suspect to a crime. It is a first information report to facilitate further investigation. It puts the wheels of investigation into a crime in action. It need not, in our view, particularise all the details of actions taken or observations made by the arresting officer. A first information report or any police report need not contain the entire case for the prosecution. Its main purpose is merely to give information of an offence. The information contained in the police report, thus may only state the brief details of the time, and place of the alleged offence and the particulars of the offenders if available. Further details will surely be recorded later by the investigating officer in any statements recorded from potential witnesses including that of the arresting officer himself. Thus any omission or shortcomings in that police report cannot in our view be fatal to the prosecution’s case or be held to be materially inconsistent with its narration of the facts during the trial. … We thus hold that no exaggerated importance should be placed to the omission by the complainant in his police report of each and every detail of the events surrounding the raid on room 808 and the subsequent arrest of the appellants. We also hold that although P12 did not contain elaborate details of what transpired at the time of arrest in room 808, this is not fatal to the prosecution’s case. There is nothing in Inspector Willie’s testimony and his statement in P12 that cannot stand together or be said to be contradictory. We found no discrepancy in P12 as compared to his evidence. … It is trite that if the defence had any misgivings on the authenticity or suspicious nature of any narration of the evidence by the prosecutions’ witness, then that witness should have been cross-examined on that disputed fact so that an explanation can be given to be properly assessed by the trial court. More so here when the defence is now submitting that the evidence given by the prosecution had been fabricated and not supported by the police report. To merely advert to the omission to details in the police report at the submission stage would amount to springing a surprise on the prosecution. Essential justice requires that the defence should be put during the cross-examination of any witness that part of the evidence which is disputed. An early exposition of the defence, even at the prosecution’s stage has become an essential feature in the adversarial system of criminal trials in the common law jurisdictions.” [54] Perlu disebut, walaupun fakta di dalam kes Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [supra] itu menunjukkan pihak pembelaan langsung tidak memeriksa balas saksi Pendakwaan di atas kekurangan butiran di dalam laporan polis tetapi hanya membangkitkannya di peringkat hujahan setelah perbicaraan tamat, namun pada pendapat kami, kes itu menyokong keperluan untuk memeriksa balas mengenai keterangan spesifik yang dikemukakan sebagai penambahan atau pembutiran daripada Laporan Polis yang dibuat. Pemeriksaan balas tidak sepatutnya terhad hanya kepada apa yang tidak terkandung di dalam Laporan Polis itu tetapi harus juga meliputi keterangan yang menambah kekurangan di dalam laporan itu supaya saksi itu berpeluang memberi penjelasan ke atas keterangan tambahan itu. [55] Sebagai dapatan tambahan, Mahkamah ini berpendapat adalah tidak munasabah untuk Kamotenu mengembalikan kereta Proton itu kepada Perayu tetapi meninggalkan beg berisi dadah berbahaya di dalam kereta itu. Sekiranya beg dan dadah itu milik Kamotenu, maka sudah pasti dia telah mengambilnya dan terus beredar dari kawasan itu tetapi apa yang berlaku adalah Kamotenu ditangkap berada di dalam keretanya tanpa apa-apa barang salah tidak jauh dari lokasi tangkapan Perayu. [56] Di samping itu, berpandukan kepada keterangan Perayu, serbuan dan tangkapan ke atasnya berlaku tidak sampai 5 minit setelah Kamotenu berjumpanya dan menyerahkan kunci kereta Proton, maka SP4 boleh terus menahan Kamotenu bersesama Perayu selepas kereta Proton itu diparkir kerana maklumat yang diterima oleh SP4 menjurus kepada aktiviti pengedaran dadah di Bavani Store. Tetapi, keterangan menunjukkan Perayu ditahan tanpa Kamotenu bersamanya dan ini menunjukkan hanya Perayu seorang yang terlibat dengan beg kertas yang mengandungi dadah itu. Mengenai kegagalan memanggil Subramaniam [57] Mengenai kegagalan pihak Pendakwaan memanggil Subramaniam, Mahkamah ini merujuk terlebih dahulu kepada keputusan Mahkamah Rayuan didalam kes Collins Chigbo Chima v PP [2019] CLJU 107; [2019] MLJU 84 yang telah menetapkan tidak ada tugas ke atas pihak Pendakwaan memanggil saksi yang tidak relevan kepada naratif kesnya: “[46] We were of the considered view that the discretion whether to call or not to call a particular witness lies solely with the prosecution, albeit with certain conditions such as that there should be no oblique motive; no suppression of evidence; the full narrative is fully discharge and the materiality or essentiality of the witnesses to the prosecution (see Khoon Chye Hin v PP [1966] 27 MLJ 105; Abdullah Zawawi v PP [1985] 2 MLJ 16). [47] It was the evidence of SP-2 that when he first saw the appellant loitering around the swimming pool area, the appellant was holding a white coloured plastic bag containing the drugs. When the appellant walked towards the staircase and at the staircase, he was still holding the said plastic bag. When the appellant was apprehended at the parking lot, the appellant was still holding the said plastic bag. It was never the narrative of SP- 2 that the said plastic bag at all times was in the possession of Nabuuma Lucky. [48] It is apparent, therefore, that the prosecution’s case was grounded firmly upon the testimonies of SP-2 and the others called by the prosecution. Nabuuma Lucky’s evidence was neither material nor essential for the prosecution to unfold its narrative and establish its case. The prosecution was content with SP-2’s evidence to prove its case against the appellant without the need to call Nabuuma Lucky to testify. In our view, on the facts, the non-calling of Nabuuma Lucky does not create a gap in the prosecution’s case. [49] As long as SP-2 was able to give evidence of the commission of the offence by the appellant, there is no reason why Nabuuma Lucky should be called to testify nor the presumption should be invoked against the prosecution. We reckoned that Nabuuma Lucky was not called because the essentiality and materiality of her evidence was of no significance and was never part of the prosecution’s case. [50] It is trite law that where the witnesses not produced are not material or where the evidence to be given is largely redundant, no presumption under section 114, illustration (g), of the Evidence Act 1950, operates against the prosecution-see Chua Keen Long v PP [1996]1 SLR 510. Further, the Supreme Court in Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492, had stated clearly that adverse inference can only be drawn for non-production of not just any witness but an important and material witness.” [58] Berbalik kepada keterangan di dalam Rayuan ini, beg kertas mengandungi dadah itu bukan dijumpai dalam kereta yang tidak dilihat siapa yang telah mengaksesnya tetapi keterangan SP4 menunjukkan Perayulah yang telah dilihat membawa beg itu dari dalam Bavani Store dan meletakkannya di dalam kereta Proton itu. Maka, tidak ada keperluan memanggil Subramaniam untuk mengecualikan kemungkinan Subramaniam mempunyai akses kepada kereta Proton itu. Seperti yang telah dinilai oleh HMT bukan Subramaniam yang dilihat menghampiri kereta itu, dan bukan menjadi pembelaan Perayu bahawa Subramaniam yang telah memandu dan memarkir kereta itu di hadapan Bavani Store. Maka kami bersetuju dengan dapatan HMT bahawa seksyen 114(g) Akta Keterangan tidak terpakai di dalam keadaan ini. Subramaniam bukan saksi yang penting kepada pembuktian naratif kes Pendakwaan dan pihak Pendakwaan berhak bergantung kepada keterangan tunggal SP4 sebagai pegawai tangkapan dan ketua pasukan serbuan. KESIMPULAN DAN KEPUTUSAN [59] Sebagai kesimpulan, kami tidak mendapati terdapat percanggahan di dalam keterangan SP4 yang telah mencemar kebenaran versi kes Pendakwaan mengenai rampasan barang dadah yang terkandung dalam beg kertas yang telah dibawa oleh Perayu dan disimpan di dalam kereta Proton. Dalam apa keadaan sekalipun, adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa kalaupun timbulnya percanggahan, ia tidak semestinya menyebabkan keterangan saksi itu harus ditolak selagi mana percanggahan itu tidak menyentuh akar umbi Pertuduhan (lihat PP v Datuk Haji Harun bin Idris (No 2) [1977] 1 MLJ 15; [1976] 1 LNS 19). Kami bersependapat bahawa keterangan SP4 kekal sebagai keterangan yang kredibel. [60] Seterusnya, kami tidak mendapati Perayu berjaya membangkitkan isu bermerit yang mewajarkan Mahkamah ini mengganggu dapatan fakta dan undang-undang HMT serta mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan. Kami bersetuju dengan keputusan HMT dalam membuat dapatan prima facie di akhir kes Pendakwaan dan seterusnya membuat dapatan bahawa Perayu gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes Pendakwaan dan gagal mengakas anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB di akhir kes Pembelaan di akhir perbicaraan.