Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-07-111-12/2024 ANTARA HEMANATHAN A/L SELVARAJAH (NO. K/P: 930913-10-6143) … PEMOHON DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi di Klang Permohonan Jenayah No. BL-44-12-08/2024 Antara Hemanathan a/l Servarajah Dan Pendakwa Raya) DIDENGAR BERSAMA DENGAN DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-07-113-12/2024 ANTARA NITHIYAN A/L NAGARAJAN (NO. K/P: 851017-08-6599) … PEMOHON DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi di Klang Permohonan Jenayah No. BL-44-11-08/2024 Antara Nithiyan a/l Nagarajan Dan Pendakwa Raya) KORAM CHE MOHD RUZIMA BIN GHAZALI, HMR AZMI BIN ARIFFIN, HMR MOHD FIRUZ BIN JAFFRIL, HMR PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Hemanathan A/L Selvarajah (Hemanathan) dan Nithiyan A/L Nagarajan (Nithiyan) telah ditahan pada 3.5.2024 dan kemudiannya dituduh dengan pertuduhan melakukan kesalahan menganggotai kumpulan jenayah terancang menurut subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (KK) di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor pada 29.5.2024. Oleh kerana kesalahan menurut subseksyen 130V(1) KK telah disenaraikan sebagai kesalahan keselamatan di dalam Jadual Pertama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA), Hemanathan dan Nithiyan tidak boleh diberikan jaminan menurut s 13(1) SOSMA, dan telah berada dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh semenjak ditahan sementara menunggu perbicaraan. Kes terhadap Hemanathan dan Nithiyan kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang untuk dibicarakan. [2] Di Mahkamah Tinggi Klang, Hemanathan dan Nithiyan telah membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan menurut subseksyen 13(2) SOSMA. Alasan yang disandarkan ialah bahawa mereka tergolong dalam kategori orang yang sakit atau uzur, iaitu alasan berdasarkan perenggan 13(2)(c) SOSMA. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) telah menolak permohonan mereka. Hemanathan dan Nithiyan kemudiannya mengemukakan permohonan melalui satu Notis Usul ke Mahkamah ini bagi memohon kebenaran untuk dilepaskan dengan ditetapkan suatu kadar jaminan yang munasabah serta boleh dikenakan apa-apa syarat tambahan oleh Mahkamah sementara menunggu perbicaraan. [3] Di hadapan kami, permohonan Hemanathan disenaraikan sebagai NU10 dan permohonan Nithiyan disenaraikan sebagai NU11. Kedua-dua permohonan tersebut telah dipanggil dan didengar secara bersama. Untuk memudahkan sebutan, kedua-dua pemohon akan dirujuk dengan menggunakan nama mereka secara individu dan secara jamaknya akan dirujuk sebagai “pemohon-pemohon”. Pendengaran Permohonan di Hadapan Kami [4] Permohonan pemohon-pemohon telah ditetapkan untuk pendengaran pada 14.1.2025. Setelah membuat pemerhatian berkaitan dengan keadaan fizikal pemohon-pemohon yang kelihatan seperti tiada masalah kesihatan, dan setelah mengemukakan beberapa soalan berhubung dengan kesihatan pemohon-pemohon, kami dimaklumkan oleh peguam pemohon-pemohon bahawa mereka tidak dapat mengemukakan status terkini keadaan kesihatan anak guamnya kerana kesukaran mendapatkan kebenaran daripada pihak Jabatan Penjara untuk membawa keluar pemohon-pemohon bagi menjalani pemeriksaan perubatan di mana-mana hospital swasta atau pun hospital kerajaan. [5] Oleh kerana ketiadaan maklumat terkini untuk menentukan tahap kesihatan pemohon-pemohon, kami telah memutuskan untuk menangguhkan pendengaran permohonan dan telah memberikan arahan kepada pihak Jabatan Penjara untuk membawa pemohon-pemohon ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh yang munasabah. Satu tarikh pengurusan kes telah ditetapkan pada 28.1.2025. [6] Pemohon-pemohon telah dibawa ke HSB oleh pihak Jabatan Penjara untuk pemeriksaan kesihatan dan pihak HSB telah pun menyediakan dua laporan perubatan. Laporan perubatan untuk Hemanathan bertarikh 27.1.2025 disediakan oleh Dr. Benedict Sim Lim Heng dan laporan perubatan Nithiyan bertarikh 6.2.2025 disediakan oleh Dr. Mohd Abd Hafiz bin Mohd Abd Rahim telah dikemukakan kepada Mahkamah dan juga kepada peguam pemohon-pemohon. Permohonan pemohon-pemohon didengar di hadapan kami pada 26.2.2025. Permohonan Pemohon-Pemohon Pemohon-pemohon telah mengemukakan alasan-alasan permohonan melalui afidavit-afidavit yang difailkan di dalam permohonan masing-masing. Kami perhatikan bahawa alasan-alasan yang diberikan di dalam kedua-dua afidavit adalah hampir sama kecuali di bahagian keterangan berkaitan dengan penyakit yang dihadapi pemohon-pemohon. i. Hemanathan [7] Keterangan berkaitan dengan keadaan kesihatan Hemanathan boleh dilihat di perenggan 7 hingga 13 afidavit sokongan. Hemanathan juga menyatakan bahawa semasa di dalam tahanan reman di penjara dia mengalami sakit bisul yang agak serius seperti keterangan di perenggan 16 afidavit sokongan. [8] Secara ringkasnya, Hemanathan mendakwa bahawa dia ialah pesakit kencing manis “Type 2”, pesakit darah tinggi dan juga ada masalah kolesterol yang agak tinggi. Dia menyedari telah mengalami penyakit-penyakit tersebut apabila menjalani pembedahan radang resdung di Pusat Rawatan Pakar Sri Kota (PPSK) pada tahun 2019 dan telah dijadualkan tarikh temu janji untuk rawatan penyakit-penyakit tersebut. [9] Hemanathan mendakwa bahawa dia juga perlu mengikuti diet makanan yang ketat serta harus bergantung dengan ubat-ubatan yang telah ditetapkan oleh pihak doktor yang merawatnya. Hemanathan turut mendakwa bahawa di antara kesan sampingan penyakit kencing manis yang kini dihidapinya ialah epilepsi yang boleh menyerang pada bila-bila masa, dan sekiranya tidak mendapat rawatan sewajarnya, dia juga berisiko tinggi untuk mendapat strok. Temu janji untuk rawatan lanjut di PPSK tidak dapat diteruskan kerana telah ditahan reman. [10] Selain itu, Hemanathan juga khuatir bahawa penyakit bisul yang dialaminya semasa dalam tahanan akan memudaratkan keadaan kesihatan atau mungkin nyawanya lebih-lebih lagi dia ialah pesakit kencing manis. Hemanathan menyimpulkan bahawa dia merupakan seorang pesakit yang sedang menghadapi penyakit-penyakit kronik yang memerlukan jagaan dan rawatan serta program diet yang ketat bagi mengelakkan risiko-risiko penyakit lain yang boleh memudaratkan kesihatannya. [11] Hemanathan menyatakan kesediaannya untuk menerima apa-apa syarat tambahan yang akan dikenakan oleh Mahkamah, termasuklah untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan secara berkala atau apa-apa syarat lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. ii. Nithiyan [12] Keterangan berkaitan dengan keadaan kesihatan Nithiyan boleh dilihat di perenggan 7 afidavit sokongan. Menurut Nithiyan, dia tergolong di dalam kategori orang yang sakit dan uzur kerana telah menghidapi penyakit jantung sejak bulan April tahun 2024 lagi. Nithiyan juga menyatakan bahawa terdapat kesukaran dan kekangan untuk mendapatkan rawatan sewajarnya sewaktu dalam tahanan. Situasi tersebut telah menjejaskan tahap kesihatannya dan terdapat banyak komplikasi lain telah berlaku kepadanya akibat dari kelewatan mendapatkan rawatan. [13] Di perenggan 9 afidavit sokongan, Nithiyan menyatakan bahawa dia pernah di bawa ke Bahagian Kemalangan dan Kecemasan di Hospital Pakar Regency (HPR) pada 25.4.2024 setelah mengadu sesak nafas dan sakit di bahagian dadanya. Dia telah dirawat dan diberikan ubat-ubatan bagi menstabilkan keadaannya. Seterusnya, doktor telah memulakan rawatan dengan menjalankan prosedur angiogram terhadapnya. Temu janji seterusnya dengan doktor di HPR tidak dapat diteruskan setelah Nithiyan ditahan dan didakwa. [14] Atas usaha isterinya, Nithiyan telah di bawa ke PPSK pada 10.5.2024 semasa dalam tahanan reman. Dia telah menjalani beberapa ujian bagi menentukan kestabilan jantung dan tahap kesihatannya. Nithiyan telah diarahkan untuk meneruskan ubat-ubatan wajib yang perlu diambil sepertimana preskripsi daripada HPR serta doktor juga telah mengarahkan dia mengikuti diet makanan yang ketat serta bersenam. Pihak Penjara Sungai Buloh telah gagal untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan kepada Nithiyan dan perkara tersebut meninggikan risiko ancaman kesihatan terhadapnya. [15] Oleh kerana pihak Penjara Sungai Buloh gagal memastikan pemberian ubat-ubatan dan juga rawatan kesihatan sewajarnya, Nithiyan telah dimasukkan ke Bahagian Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh pada 4.9.2024. [16] Nithiyan menyatakan bahawa dia ialah seorang pesakit kronik yang memerlukan jagaan dan rawatan serta program diet yang ketat bagi mengelakkan risiko yang boleh membawa mudarat kepada kesihatannya. Nithiyan menyatakan kesediaannya untuk menerima apa-apa syarat tambahan yang akan dikenakan oleh Mahkamah, termasuklah untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan secara berkala atau apa-apa syarat lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. Analisis dan Dapatan Kami [17] Permohonan pemohon-pemohon berasaskan kepada alasan bahawa mereka adalah tergolong dalam kategori orang yang sakit atau uzur, iaitu salah satu daripada tiga kategori orang boleh dilepaskan dengan jaminan menurut subseksyen 13(2) SOSMA. Untuk memudahkan rujukan, diperturunkan keseluruhan peruntukan s 13 SOSMA sepertimana berikut: