(c)bahawa Hakim bicara telah khilaf apabila memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes sedangkan terdapat keraguan terhadap pengecaman barang kes. Keputusan Mahkamah ini [19] Kami menimbangkan isu-isu tersebut secara berasingan walau pun ketiga-tiga isu tersebut saling berkaitan sifatnya. Percanggahan berat dadah [20] Peguamcara perayu menegaskan terdapat percanggahan terhadap berat kasar dadah yang gagal diperjelaskan oleh pihak pendakwaan. Peguamcara merujuk kepada keterangan SP12, SP15 dan SP21. SP15 iaitu pegawai serbuan mengatakan berat kasar keseluruhan 66 ketulan kapsul ialah 990 gram (perenggan 20 muka surat 135 Rekod Rayuan [2B]). SP21 iaitu pegawai penyiasat kes mengatakan jumlah keseluruhan berat kasar dadah ialah 990 gram (muka surat 133 Rekod Rayuan [3C]). SP12 ahli kimia pula mengatakan berat kasar keseluruhan dadah ialah 1323.8 gram (muka surat 111 Rekod Rayuan [2B]). Peguamcara menghujahkan terdapat perbezaan berat kasar dadah sebanyak 333.3 gram antara timbangan SP15 dan timbangan SP12. Maka itu terdapat perbezaan yang besar atas berat kasar dadah dan oleh itu terdapat keraguan terhadap kes pendakwaan. [21] Kami meneliti alasan penghakiman YA Hakim bicara dalam isu ini. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan isu perbezaan berat kasar dadah seperti mana yang dizahirkan pada perenggan [21], [34] dan [35] alasan penghakiman beliau. Menurut SP15, jumlah berat kasar sebanyak 990 gram diperolehi oleh SP15 apabila SP15 menimbang ketulan kapsul yang SP12 tandakan sebagai A1 dengan menggunakan alat timbangan mudah alih. Pada timbangan kapsul bertanda A1 tersebut, SP15 mendapati berat kasar adalah 15 gram. Berdasarkan kepada berat kasar A1 ialah 15 gram, SP15 membuat andaian bahawa ketulan kapsul selebihnya yang SP15 tandakan sebagai A2 hingga A66, yang sama bentuk dan saiznya juga sekitar 15 gram berat setiap satu, menjadikan jumlah kasar keseluruhan 66 ketulan kapsul tersebut dianggarkan seberat 990 gram. Dengan kata lain SP15 hanya menimbang satu ketulan kapsul bertanda A1 dan mengambil berat A1 sebagai berat yang sama untuk ketulan kapsul A2 hingga A66, masing-masingnya. Formula kiraan SP15 ialah 15 gram x 66 kapsul = 990 gram. SP12 pula mengatakan beliau telah membuat timbangan terhadap keseluruhan 66 ketulan kapsul bersama paket-paket plastik yang membungkus 66 ketulan kapsul tersebut secara menggunakan alat timbangan Jabatan Kimia yang berfungsi sempurna dan telah ditentu ukur ketepatannya dan mendapati besar kasar 66 ketulan kapsul bersama paket-paket plastik ialah 1,323.8 gram. [22] Peguamcara terpelajar merujuk kepada kes Hasbala Mohd Sarong v Public Prosecutor (supra) bagi menyokong hujahan beliau tentang keperluan eksibit dadah dibuktikan tanpa keraguan. Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan perayu tersebut disebabkan terdapat percanggahan material keterangan ahli kimia PW3 yang mengatakan eksibit dadah cannabis yang diterimanya berbalut keranjang aluminium yang diikat dengan pita pelekat yang berbeza dengan keterangan pegawai tangkapan (SP4) dan pegawai siasatan (SP6) yang mengatakan eksibit-eksibit tersebut dibalut dengan plastik lut sinar. Pihak pendakwan gagal menjelaskan perbezaan tersebut. Perbezaan juga berlaku kepada jumlah bilangan ketulan mampat dadah yang juga gagal diperjelaskan oleh pihak pendakwaan. Kami dapati kes tersebut boleh dibezakan dengan rayuan di hadapan kami di mana 66 ketulan kapsul tersebut telah dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi SP7, SP8, SP11, SP12, SP15 dan SP21. Saksi SP15 dan SP12 juga telah menjelaskan bagaimana mereka mendapat berat kasar dadah terlibat. Dalam kes Hasbala Mohd Sarong (supra), Mahkamah Persekutuan bagaimana pun menolak alasan rayuan perayu berkaitan perbezaan berat kasar timbangan yang dikatakan menimbulkan keraguan ke atas dadah eksibit. Mahkamah Persekutuan sebaliknya memutuskan perbezaan dalam berat kasar dadah yang dicatatkan adalah tidak dapat dielakkan kerana kaedah timbangan yang berbeza dan alat timbang yang berbeza yang digunakan oleh polis dan ahli kimia. [23] Peguamcara perayu juga merujuk kepada kes Zaifull bin Muhammad v Public Prosecutor and another appeal [2013] 2 MLJ 348 bagi menyokong hujahannya dalam isu perbezaan berat dadah. Dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan atas alasan pihak pendakwaan tidak dapat menjelaskan bagaimana boleh berlaku perbezaan dalam jumlah ketulan ganja yang menjadi perkara pertuduhan terhadap perayu. Terdapat percanggahan apabila saksi-saksi pendakwaan sendiri iaitu pegawai serbuan (PW4), pegawai penyiasat (PW8) dan ahli kimia mengatakan hanya dua ketulan ganja yang dijumpai dan dibuat serahan sedangkan pertuduhan kes menyebut enam ketulan ganja menjadikan berat dadah cannabis tersebut juga berbeza. Percanggahan jumlah bilangan ketulan ganja amat ketara "dua ketulan" atau "enam ketulan" dan perkara itu telah gagal dijelaskan oleh pihak pendakwaan menyebabkan keraguan serius identiti dadah terlibat. Bagaimana pun, kami dapati kecacatan serius yang berlaku dalam kes tersebut tidak terdapat dalam kes rayuan di hadapan kami ini di mana saksi-saksi pendakwaan SP15, SP21 dan SP12 telah memberikan penjelasan terhadap isu perbezaan berat kasar dadah dan membuat pengecaman atas semua 66 ketulan kapsul serta rantaian keterangan pengendalian eksibit dadah tersebut yang tidak terputus. [24] YA Hakim bicara telah menerima keterangan SP12 dan SP15 terhadap berat kasar 66 ketulan kapsul dadah dan berpuas hati dengan penjelasan SP12 dan SP15 berkaitan perbezaan berat kasar dadah tersebut. SP15 tidak menggunakan kaedah timbangan yang sama dengan kaedah timbangan SP12 serta alat timbang yang berbeza dan perkara tersebut telah membawa kepada perbezaan berat kasar. Tiada cabaran terhadap SP12 berkenaan berat bersih dadah. YA Hakim bicara berpuas hati terhadap identiti 66 ketulan kapsul yang bertanda A1 hingga A66 telah dibuat timbangan berat kasar dan berat bersih oleh SP12. Berdasarkan kepada pendekatan yang telah diambil oleh YA Hakim bicara terhadap isu berat kasar dadah, kami dapati dapatan Hakim bicara adalah teratur dan tidak terdapat apa-apa khilaf atau salaharahan terhadapnya. Keterangan dan penjelasan SP12 dan SP15 adalah nyata dan jelas tentang bagaimana jumlah berat kasar dadah tersebut dicapai masing-masingnya. Semua 66 ketulan kapsul mempunyai tandaan A1 hingga A66 yang dibuat oleh SP15 dan dicamkan oleh SP15. SP12 membuat timbangan terhadap ketulan kapsul A1 hingga A66. Oleh itu tidak terdapat kurang jumlah atau lebih jumlah atas jumlah ketulan kapsul yang dibuat timbangan berat kasar oleh SP12 dan SP15. Mencadangkan kemungkinan kapsul dan kandungan dalam kapsul tersebut telah diganggu (tampered) adalah tersasar dari logik jika penelitian dibuat bahawa kapsul tersebut mudah pecah jika diganggu seperti mana keterangan SP12. Tidak terdapat apa-apa keterangan bahawa berlaku gangguan (tampering) terhadap 66 ketulan kapsul tersebut oleh saksi-saksi pendakwaan sebelum SP21 membuat serahan kepada SP12 untuk dibuat analisis. Keterangan SP15 bahawa beliau tidak membuat tandaan atas ketulan kapsul itu sendiri adalah munasabah atas kekhuatiran ketulan kapsul tersebut akan pecah jika beliau berbuat demikian. Kami mengambil perhatian bahawa ketulan kapsul tersebut telah berada berjam lamanya dalam perut perayu sejak dari ditelan oleh perayu di Nigeria hingga kemudiannya perayu ditahan di wad hospital sebelum perayu mengeluarkan melalui dubur semasa buang air besar pada tarikh-tarikh dan masa yang disebutkan oleh saksi-saksi SP7, SP8, SP11 dan SP15. Oleh itu hujahan peguamcara perayu untuk isu ini tidak mempunyai merit. Sama ada terdapat lompangan dalam pengendalian barang kes [25] Kami menimbangkan pula isu kedua yang dibangkitkan oleh peguamcara perayu bahawa terdapat lompangan (gap) dalam pengendalian barang kes, iaitu dadah terlibat. Peguamcara menghujahkan terdapat percanggahan keterangan antara SP12 dan SP21 berkenaan serah terima 66 ketulan kapsul. Peguamcara juga menghujahkan terdapat keraguan berkenaan jagaan dan penyimpanan 66 ketulan kapsul tersebut. Mengikut keterangan SP15, setelah SP15 menerima serahan ketulan kapsul daripada pegawai yang ditugaskan mengawal perayu masing-masingnya, SP15 telah menyerahkan ketulan dan kapsul tersebut kepada SP21 di hospital. SP21 pula dalam keterangannya tidak menyatakan semua 66 ketulan kapsul tersebut diserah terima daripada SP15 semasa SP21 berada di hospital. Peguamcara selanjutnya menghujahkan ketiadaan borang serah terima 66 ketulan kapsul antara SP15 dan SP21 telah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran versi keterangan SP15 dan SP21 dan dadah tersebut. [26] Kami meneliti alasan penghakiman Hakim bicara dalam isu ini. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan isu ini seperti yang terdapat pada perenggan [21], [22], [23], [24], [26], [27], [28], [29] dan [30] penghakiman beliau. Hakim bicara berpuas hati "tidak ada putusnya rantaian keterangan identiti dadah-dadah tersebut" (muka surat 24 Rekod Rayuan [1]). Kami meneliti adakah terdapat asas yang kukuh melalui keterangan yang ada untuk Hakim bicara membuat dapatan sedemikian. Keluaran pertama ketulan kapsul daripada dubur perayu bermula daripada keterangan Ahmad Yazid Khan (SP7). Pada 10.2.2012 jam 8.15 pagi, SP7 menerima arahan daripada SP15 untuk mengetuai pengawasan terhadap perayu yang ditahan di Wad 6C, Bilik No. 27, Hospital Serdang. Turut hadir di Wad 6C, Bilik 27 ialah SP15 (pegawai serbuan), SP21 (pegawai penyiasat) dan SP5 yang membantu SP7 berkawal di Wad 6C tersebut. SP5 juga bertindak sebagai juruphoto atas arahan SP15. Pada jam 10.2.2012, jam 11.24 pagi, SP7 dan SP5 mengiringi perayu ke tandas yang terdapat dalam Bilik No.27 kerana perayu memberitahu ingin buang air besar. Perayu selesai buang air besar jam 11.40 pagi. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP7 melihat terdapat 13 ketulan kapsul dipercayai keluar dari dubur perayu. SP7 telah mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP7. SP7 memasukkan 13 ketulan kapsul tersebut ke dalam paket plastik lut sinar dan membuat serahan kepada SP15 yang berada di bilik No. 27 tersebut. Pada jam 3.00 petang, perayu sekali lagi memberitahu SP7 yang perayu ingin buang air besar. SP7 dan SP5 mengiringi perayu ke bilik air yang sama di Bilik 27 itu. Perayu selesai buang air besar, SP7 melihat 8 ketulan kapsul dipercayai keluar dari dubur perayu. SP7 telah mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP7. SP7 telah memasukkan 8 ketulan kapsul tersebut ke dalam paket plastik lut sinar dan menyerahkan kepada SP15 yang berada di bilik No. 27 tersebut. Tugasan SP7 tamat jam 3.20 petang dan SP7 menyerah tugasan pengawasan terhadap perayu kepada pasukan pengawasan seterusnya yang diketuai oleh pegawai kastam Kamarulzaman bin Che Hamid (SP8). SP8 mengesahkan mengambil alih tugas mengawal perayu daripada SP7 pada 10.2.2012 sekitar jam 3.20 petang di atas arahan SP15. SP8 melakukan tugas mengawal perayu di Wad 6C, Bilik No. 27 bersama tiga lagi pegawai kastam. Turut hadir di bilik tersebut ialah SP5. Pada jam 7.55 petang, perayu ingin buang air besar. SP7 dan SP5 mengiringi perayu ke bilik air. Perayu selesai buang air besar jam 8.20 malam. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP8 melihat 14 ketulan kapsul dipercayai keluar dari dubur perayu. SP8 mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP8. SP8 memasukkan 14 ketulan kapsul tersebut ke dalam plastik lut sinar dan menyerahkan kepada SP15 di bilik No. 27 tersebut. SP8 tamat tugas pada 11.2.2012 jam 12.30 pagi dan membuat serah tugas kepada pasukan kumpulan bertugas giliran selanjutnya yang diketuai oleh pegawai kastam Abdul Malek bin Pilos (SP10). SP8 telah membuat laporan polis berkaitan 14 ketulan kapsul yang keluar daripada dubur perayu (P31). Pada 11.2.2012, jam 8.40 pagi, SP8 dan pasukannya yang sama mengambil alih semula tugas mengawal perayu dari pasukan SP10 yang selesai giliran bertugas. Pada jam 2.10 petang, perayu memberitahu SP8 yang perayu ingin buang air besar. SP8 dan pasukannya termasuk SP5 mengiringi perayu ke bilik air yang sama. Perayu selesai buang air besar jam 2.30 petang. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP8 melihat 11 ketulan kapsul dipercayai keluar dari dubur perayu. SP8 mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP8. SP8 memasukkan 11 ketulan kapsul ke dalam plastik lut sinar dan menyerahkan kepada SP15 di bilik No. 27 tersebut. Pada jam 5.05 petang, perayu sekali lagi ingin buang air besar. SP8 mengiringi perayu bersama SP5 ke bilik air yang sama. Perayu selesai buang air besar jam 5.30 petang. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP8 melihat 7 ketulan kapsul dipercayai keluar dari dubur perayu. SP8 telah mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP8. SP8 telah memasukkan 7 ketulan kapsul tersebut ke dalam paket plastik lut sinar dan menyerahkan kepada SP15 di bilik No. 27 tersebut. Pada 12.2.2012, jam 9.15 pagi, SP8 membuat serahan tugas giliran mengawal perayu kepada pasukan bertugas giliran selanjutnya. SP8 telah membuat laporan polis terhadap 11 ketulan kapsul dan 8 ketulan kapsul yang dipercayai keluar daripada dubur perayu (P33). SP11 (Wan Othaman bin Wan Daud) mengatakan telah menerima giliran tugas mengawal perayu mulai jam 7.30 petang 11.2.2012. Pada jam 9.00 malam, perayu memberitahu SP11 yang perayu ingin buang air besar. SP11 dan SP5 yang ada bersama di Bilik No. 27 tersebut telah mengiringi perayu ke bilik air yang sama. Perayu selesai buang air besar jam 8.20 malam. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP11 melihat 8 ketulan kapsul yang dipercayai keluar daripada dubur perayu. SP11 mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP11. SP11 memasukkan 8 ketulan kapsul ke dalam paket plastik lutsinar dan menyerahkan kepada SP15 di bilik No. 27 tersebut. Pada jam 11.30 malam, SP11 menyerahkan tugas pengawasan kepada pasukan giliran bertugas seterusnya. SP11 telah membuat laporan polis untuk 8 ketulan kapsul yang dipercayai keluar dari dubur perayu (P34). Pada 12.2.2012, jam 9.15 pagi, SP11 dan pasukannya mengambil alih semula tugas pengawasan terhadap perayu. Pada jam 2.30 petang perayu memberitahu SP11 yang perayu ingin buang air besar. SP11 dan SP5 mengiringi perayu ke bilik air yang sama. Perayu selesai buang air besar jam 2.40 petang. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP11 melihat terdapat 3 ketulan kapsul yang dipercayai keluar daripada dubur perayu. SP11 mengarahkan perayu membersihkan setiap ketulan kapsul tersebut dan memberikan kepada SP11. SP11 memasukkan 3 ketulan kapsul tersebut ke dalam paket plastik lut sinar dan menyerahkannya kepada SP15 di Bilik 27 tersebut. Pada jam 3.35 petang, perayu sekali lagi memberitahu SP11 yang perayu ingin buang air besar. SP11 dan SP5 mengiringi perayu ke bilik air yang sama. Perayu selesai buang air besar jam 3.40 petang. Sebaik perayu selesai buang air besar, SP11 melihat terdapat 1 ketulan kapsul yang dipercayai keluar dari dubur perayu. SP11 telah memasukkan 1 ketulan kapsul tersebut ke dalam paket plastik lut sinar dan menyerahkan kepada SP15 di bilik No. 27 tersebut. Pada jam 4.10 petang, SP11 dan pasukannnya tamat tugas giliran dan menyerahkan kepada pasukan tugas giliran seterusnya. SP11 telah membuat laporan polis atas 1 ketulan kapsul yang dipercayai keluar dari dubur perayu (P35). SP5 (pegawai kastam Mohd Ezany bin Mat Zin) mengatakan beliau bertugas sebagai juru photo atas arahan SP15 untuk mengambil gambar perayu sejak tarikh perayu ditangkap hingga perayu ditahan di Wad 6C, Bilik No. 27 Hospital Serdang. SP5 juga ditugaskan oleh SP15 untuk mengambil semua gambar 66 ketulan kapsul yang dibuat serahan oleh SP7, SP8 dan SP11, masing-masingnya kepada SP15. SP15 mengatakan gambar-gambar yang diambilnya termasuk gambar-gambar ketulan kapsul yang keluar disyaki daripada dubur perayu dan setelah ketulan kapsul tersebut dibersihkan dan dimasukkan ke dalam paket plastik lut sinar masing-masing oleh pegawai kastam yang bertugas mengiringi perayu. SP5 mengecamkan kesemua gambar-gambar yang diambilnya (lihat muka surat 21 hingga 62 Rekod Rayuan [3A] dan muka surat 64 hingga 106 Rekod Rayuan [3B]). SP5 mengatakan paket-paket plastik lut sinar yang terdapat jumlah ketulan-ketulan kapsul masing-masingnya telah dibuat tandaan-tandaan oleh SP15. SP5 juga mengatakan selain daripada tandaan oleh SP15, SP21 juga membuat tandaan ke atas paket-paket plastik lut sinar yang terdapat jumlah ketulan kapsul masing-masing. SP15 Ahmad Rusdi bin Hj. Hussain (penolong kanan pengarah kastam II/ketua operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam KLIA) mengatakan beliau telah membuat tandaan pengenalan ke atas paket-paket plastik lut sinar yang berisi ketulan-ketulan kapsul daripada SP7, SP8 dan SP11. Bagi kumpulan 13 ketulan kapsul yang pertama diterima daripada SP7, SP15 membuat tandaan A1- A13 dan menurunkan tandatangan beliau dan tarikh pada paket plastik lut sinar. SP15 menjelaskan beliau tidak membuat tandaan pada ketulan kapsul itu sendiri kerana keadaan ketulan kapsul itu yang akan mudah pecah jika berbuat demikian. Untuk 8 ketulan kapsul selanjutnya SP15 membuat tandaan A14-A21. 14 ketulan kapsul selanjutnya A22-A35. 11 ketulan kapsul selanjutnya A22-A35. 11 ketulan kapsul selanjutnya A36-A46. 7 ketulan kapsul selanjutnya A36-A46. 7 ketulan kapsul selanjutnya A47-A53. 8 ketulan kapsul selanjutnya A54-A61. 1 ketulan kapsul selanjutnya A62. 3 ketulan kapsul selanjutnya A63-A65. 1 ketulan kapsul terakhir ditandakan sebagai A66. Ketika membuat timbangan berat, SP15 telah mengambil satu ketulan kapsul sahaja daripada 13 ketulan kapsul pertama dan memasukkannya semula selepas ditimbang. SP15 telah membuat laporan polis bagi setiap serahan ketulan-ketulan kapsul yang diterimanya. SP15 mengatakan beliau telah membuat serahan barang kes ketulan-ketulan kapsul dalam paket-paket plastik lut sinar yang telah dibuat tandaan oleh beliau kepada SP21, masing-masingnya dibuat pada tarikh dan masa terlibat seperti yang terdapat dalam Borang Serahan Barang Kes, masing-masingya ditandakan sebagai P43 (13 ketulan kapsul A1-A13), P44 (8 ketulan A14-A21), P46 (14 ketulan A22-A35), P47 (11 ketulan A36-A46), P48 (7 ketulan A47-A53), P49 (8 ketulan A54-A61), P50 (1 ketulan A62), P51 (3 ketulan A63-A65) dan P52 (1 ketulan A66). SP15 mengecamkan setiap satu tandaan yang dibuatnya. SP21 (penolong kanan kastam) iaitu pegawai penyiasat kes ini mengatakan beliau telah menerima semua ketulan kapsul dalam paket-pekat plastik lut sinar yang terdapat tandatangan dan tandaan oleh SP15 sebagai A1-A21, A22-A35, A36-A46, A47-A53, A54-A61, A62, A63-A65 dan A66, masing-masing mengikut hari dan masa seperti yang terdapat dalam Borang Serahan Barang Kes P43, P44, P46, P47, P48, P49, P50, P51 dan P52. SP21 juga turut sama menurunkan tandatangan dan tarikh pada paket-paket plastik lut sinar tersebut dan mengecamkan setiap satunya (muka surat 191-192 Rekod Rayuan [2C]). SP21 mengatakan semua paket-paket plastik yang berisi ketulan kapsul diterima oleh SP21 daripada SP15 di hospital mengikut tarikh dan masa ketulan kapsul keluar daripada dubur perayu. SP21 mengatakan beliau berada bersama SP15 di hospital pada setiap tarikh dan masa ketulan kapsul yang dibuat serahan. Pada 15.2.2012, SP21 mengarahkan SP5 mengambil gambar proses pembungkusan eksibit disyaki dadah untuk dihantar ke Jabatan Kimia. Pada 16.2.2012, SP21 membuat serahan barang kes kepada Jabatan Kimia Malaysia dan diakui terima oleh ahli kimia Suhana binti Ismail (SP12) dan menerima resit akui terima P36. SP12 ahli kimia mengatakan beliau telah melakukan analisis terhadap bahan kristal jernih yang terdapat dalam ketulan berbentuk kapsul bertanda A1 hingga A66. Perkara ini disebutkan juga oleh SP12 dalam keterangan lisan dan laporan analisis beliau di P37 (muka surat 111 Rekod Rayuan [2B] dan muka surat 141 Rekod Rayuan [3C]). Di hadapan mahkamah, saksi-saksi SP12, SP15 dan SP21 telah mengecamkan paket-paket plastik bertanda A1 hingga A66 yang dimaksudkan. Kesemua jumlah dadah terlibat yang telah dihomogen dan dilakukan analisis oleh SP12 telah diisikan oleh SP12 ke dalam paket plastik yang dibekalkan oleh SP12 bertanda ZT dan nombor makmal (PJ)FOR2249/12-0. Kotak ZT berisi eksibit tersebut telah dikembalikan kepada penolong kanan pengarah kastam Mohammad Rushdi bin Abdul Majid (SP17) pada 14.8.2012 (P37). SP17 mengatakan beliau ialah pegawai penyiasat pengganti kes ini dan mengambil alih siasatan daripada SP21 yang bertukar stesyen bertugas pada 20.6.2012. SP17 telah menerima semula barang kes dalam kotak bertanda ZT dengan meterai Jabatan Kimia Malaysia daripada SP12 pada 14.8.2012. Pada 16.8.2012, SP17 membuat serahan barang kes yang terdapat dalam kotak bertanda ZT (P6) kepada penjaga setor eksibit Zulkifli bin Zainal (SP1) untuk simpanan selamat. Pada 12.9.2014, SP17 telah membawa kotak ZT (P6) yang terdapat barang kes dadah dan satu lagi kotak bertanda A (P2) yang mengandungi barang kes bukan dadah ke mahkamah. Kotak bertanda ZT dengan meterai Jabatan Kimia telah didapati masih sempurna oleh Hakim bicara semasa ianya dibuka oleh saksi (perenggan 26 muka surat 20 Rekod Rayuan [1]). [27] Dalam kes Lew Wai Loon v Public Prosecutor [2014] 3 MLJ 325, perayu dalam kes tersebut membangkitkan isu perbezaan berat kasar dadah timbangan oleh pegawai forensik polis berbanding dengan ahli kimia. Perayu menghujahkan oleh kerana terdapat perbezaan berat dadah maka berlaku keraguan serius terhadap identiti dadah. Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan perayu tersebut. Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya mengatakan Hakim bicara telah menimbangkan isu perbezaan berat eksibit dadah sebelum hakim bicara memutuskan bahawa rantaian keterangan tidak terputus dan oleh itu menyebabkan isu berat tidak lagi penting. Dengan kata lain, sekiranya rantaian keterangan pengendalian barang kes telah dipertimbangkan oleh Hakim bicara dan Hakim bicara berpuas hati rantaian keterangan tersebut tidak putus, maka isu berkaitan perbezaan berat dadah tidak lagi menjadi penting dalam perkara identiti eksibit dadah terlibat. [28] Berdasarkan kepada keterangan yang terdapat yang kami juga telah membuat penelitian seperti yang kami nyatakan di perenggan [25] di atas, kami dapati Hakim bicara telah membuat dapatan yang betul bahawa tidak berlaku apa-apa lompangan (gap) dalam pengendalian barang kes dadah tersebut. Oleh itu isu kedua yang dibangkitkan oleh peguamcara tidak mempunyai merit. Isu pengecaman barang kes [29] Peguamcara perayu menghujahkan oleh kerana SP15 tidak membuat tandaan atas 66 bungkusan ketulan kapsul itu sendiri, maka terdapat keraguan sama ada dadah yang dikemukakan di mahkamah yang menjadi perkara pertuduhan adalah dadah yang sama yang keluar daripada dubur perayu. Peguamcara selanjutnya menghujahkan oleh kerana tiada borang bongkar dikeluarkan oleh SP15, maka tiada keterangan sokongan daripada mana 66 ketulan kapsul tersebut dirampas oleh SP15. [30] Kami telah meneliti alasan penghakiman YA Hakim bicara untuk isu ini. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan isu ini seperti yang terdapat pada perenggan [21], [23], [24], [25], [26], [27], [29], [31], [32] dan [36] alasan penghakiman beliau. YA Hakim bicara berpuas hati dan membuat dapatan bahawa walau pun tiada tandaan dibuat atas 66 ketulan kapsul dadah itu sendiri, tetapi melalui tanda-tanda yang telah dibuat oleh SP15 dan SP21 dan penjelasan saksi-saksi, maka "mahkamah ini tidak ada sebab untuk meragui pengecaman yang telah dibuat oleh saksi-saksi" (perenggan 36 Rekod Rayuan [1]). Hakim bicara berpuas hati bahawa dadah yang dikemukakan di mahkamah adalah dadah yang sama yang telah dirampas daripada perayu dan telah dicamkan saksi-saksi (perenggan 27 muka surat 22 Rekod Rayuan [1]). Kami telah meneliti keterangan yang disandarkan oleh Hakim bicara dalam membuat dapatan sedemikian. Keterangan berkaitan pengendalian barang kes terlibat juga telah kami butirkan dalam perenggan [25] di atas. Kami dapati Hakim bicara betul dalam membuat dapatan bahawa pengecaman barang kes telah dibuat dengan sempurna oleh saksi-saksi terlibat. Kami bersetuju dengan Hakim bicara. Oleh itu hujahan peguamcara untuk isu ini juga tidak mempunyai apa-apa merit. [31] Kami juga mendapati Hakim bicara telah dengan teliti menimbangkan pembelaan perayu khususnya pembelaan bahawa perayu menyangkakan 66 kapsul yang ditelannya adalah ubat tradisional untuk memberi tenaga dan kecergasan supaya perayu berjaya terpilih bermain bola sepak di Malaysia. Hakim bicara telah memutuskan watak "lfeanyi" yang dikatakan oleh perayu dalam pembelaannya sebagai orang yang memberitahu perayu kapsul tersebut adalah ubat kecergasan adalah watak rekaan oleh perayu. Perayu tidak ada memberikan nama penuh lfeanyi, alamat, nombor telefon atau maklumat lain yang boleh dilakukan siasatan lanjut oleh SP21 supaya versi pembelaan perayu dapat dibuat verifikasi kebenarannya. Perayu tidak dapat memberikan kelab atau pasukan mana yang akan disertainya dan bila tarikh pemilihan. Perayu tidak dapat memberitahu atau mengemukakan sebarang maklumat atau keterangan bahawa perayu ada mendapat jemputan bagi menjalani sesi pemilihan pemain. Perayu tidak membawa apa-apa peralatan sukan yang dapat memperlihatkan bahawa perayu seorang pemain bola sepak. Jelasnya pembelaan perayu jauh dari tergolong kepada prinsip "Alcontara Notice". [32] Dalam kes Phiri Mailesi v Public Prosecutor [2013] 5 MLJ 780 diputuskan: It is pertinent to note that the "Alcontara Notice" must have a sufficient particulars in the right perspective and not a vague notice where the prosecution will not be able to advance their investigation to rebut the defence story or version. It must also be given at the earliest opportunity at the material time of arrest or at least upon counsel taking instruction from the accused to conduct its defence. [33] Berdasarkan kepada alasan-alasan yang telah diberikan oleh Hakim bicara, kami dapati Hakim bicara tidak melakukan sebarang salah arahan apabila menolak pembelaan perayu sebagai gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaan perayu juga bersifat penafian semata-mata. [34] Hakim bicara juga mendapati perayu bukan seorang "innocent carrier" kerana perayu mempunyai ruang dan peluang untuk memeriksa dan mengambil tahu apa yang ditelan ke dalam perutnya pada satu jumlah yang sangat banyak, iaitu 66 ketulan kapsul. Perayu sewajarnya mempunyai sebab untuk mengesyaki (suspicion) mengapa terlalu banyak kapsul yang perlu ditelan dan memeriksanya tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian. Kami dapati Hakim bicara tidak khilaf atau salaharahan dalam dapatan tersebut (kes Hoh Bon Tong v PP [2010] 5 CLJ 240, PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499). [35] Adalah undang-undang mantap bahawa mahkamah di peringkat rayuan sangat perlahan dan tidak boleh sewenangnya mencampuri dan mengubah dapatan fakta oleh Hakim bicara yang mempunyai faedah audio-visual ke atas saksi-saksi yang memberi keterangan di hadapannya. Dalam kes Md Zainudin Raujan v PP [2013] 4 CLJ 21 Mahkamah Persekutuan memutuskan: [38] Assessing credibility is difficult and is best left to the trial judge who has the audio-visual advantage of a witness in action. In this case, the learned trial judge, in our view, had correctly evaluated PW5's evidence and found him to be a credible witness. The Court of Appeal had further assessed the learned trial judge's evaluation of that evidence and agreed with the learned judge's conclusion. [39] We have gone through the evidence thoroughly ourselves and have come to the same conclusion that PW5 is a credible witness. Having said that we found no compelling reasons which require our appellate interference." Kesimpulan [36] Berdasarkan kepada alasan-alasan yang telah kami huraikan, kami dapati YA Hakim bicara telah mengarahkan mindanya dengan betul mengenai undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini selari dengan keperluan yang diperuntukkan di bawah seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah. Sabitan terhadap perayu adalah selamat. Rayuan perayu ditolak. [37] Justeru, Mahkamah ini mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. (YAACOB BIN HAJI MD. SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh September 2020 Peguamcara bagi pihak Perayu: V. Jayamurugan Tetuan Jayamurugan Vadivelu & Partner Peguambela & Peguamcara No. 6-3, $ 2^{\mathrm{nd}} $ Floor, Jalan PJS 6/5F, Desa Mentari 46150 Petaling Jaya Selangor Peguamcara bagi pihak Responden: Nahra Dollah Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya