KERAJAAN MALAYSIA … RESPONDEN-RESPONDEN PENGHAKIMAN Latar belakang kes [1] Pemohon telah memfailkan suatu Notis Usul untuk suatu Perintah Writ Habeas Corpus dikeluarkan oleh Mahkamah Yang Mulia ini bagi membebaskan Pemohon dari tahanan yang didakwa tidak sah yang dibuat oleh Responden-Responden. [2] Afidavit-afidavit berikut menjadi pertimbangan Mahkamah ini dalam membuat keputusan: a) Afidavit Sokongan Pemohon diikrarkan pada 26.05.2024, b) Afidavit Jawapan Koperal Shafikuzairi bin Norizan diikrar pada 13.06.2024, c) Afidavit Jawapan Sarjan Mejar Lidawati binti Ismail diikrar pada 24.06.2024, d) Afidavit Jawapan Muhammad Adham bin Ab Rahim diikrar pada 13.06.2024, e) Afidavit Jawapan Muhammad bin Mohd Yusoff diikrar pada 13.06.2024, f) Afidavit Jawapan Muhammad Hafiz bin Abd Rahim diikrar pada 13.06.2024. Afidavit sokongan pemohon [3] Pemohon menyatakan bahawa pada pertengahan tahun 2023 beliau ditangkap di Tumpat, Kelantan dan pada masa tersebut beliau tidak mempunyai kad UNHCR berdaftar di Malaysia namun mempunyai kad UNHCR Bangladesh. Pemohon dituduh di bawah s. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 lalu mengaku salah pada 08.08.2023. Pemohon dijatuhkan hukuman 5 bulan penjara di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah Kelantan yang berakhir pada Januari 2024. [4] Semasa dalam tahanan pemohon ditemuduga oleh UNHCR Malaysia yang mendaftar pemohon sebagai seorang pelarian UNHCR di Malaysia dengan nombor pengenalan dikeluarkan melalui surat bertarikh 02/02/2024 dan setelah menjalani hukuman yang dijatuhkan Tuan Majistret, pemohon tidak dilepaskan tanpa alasan yang sah. [5] Pada 27.02.2024 peguam pemohon merayu kepada Menteri Dalam Negeri supaya dilepaskan di bawah s. 33(2) Akta Imigresen 1959 namun tiada maklumbalas diterima sehingga Notis Usul difailkan. [6] Rayuan turut dibuat peguam pemohon kepada Ketua Pengarah Imigresen di bawah s. 34(1) Akta Imigresen 1959 untuk mendapat pelepasan sementara dalam menunggu jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri. Rayuan ini juga tiada maklumbalas diterima sehingga Notis Usul difailkan. [7] Pemohon percaya bahawa Ketua Pengarah Imigresen mempunyai budibicara untuk melepaskan pemohon dengan bersyarat jaminan yang sesuai dan tidak munasabah untuk pemohon terus ditahan sedangkan pemohon berdaftar sebagai seorang pelarian di Malaysia. [8] Pemohon juga percaya bahawa hak asasinya telah dicabul dan penahanan ini tidak mengikut peruntukan undang-undang. Tambahan pula pemohon merupakan kanak-kanak perempuan dan golongan yang lemah. Naratif responden-responden [9] Pada 25.05.2023 jam 7.15 petang Koperal Shafikuzairi bin Norizan bersama pasukannya dan pasukan bantuan telah menahan sebuah motorvan dengan no. pendaftaran BKN 5893 jenis Nissan Vanette berwarna putih dan menangkap pemohon bersama-sama beberapa individu lain iaitu 13 lelaki warganegara Myanmar dan 5 perempuan warganegara Myanmar, termasuk pemohon di Tumpat, Kelantan. [10] Mereka diserahkan kepada Pegawai Siasatan iaitu Sarjan Mejar Lidawati binti Ismail pada hari tangkapan tersebut dibuat. Kesemua tangkapan termasuk pemohon gagal mengemukakan sebarang dokumen diri yang sah dan disyaki masuk ke Malaysia dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan. Pemohon diterima Sarjan Mejar Lidawati daripada Koperal Shafikuzairi pada pukul 11 malam. [11] Reman terhadap pemohon untuk tempoh 14 hari dibenarkan sehingga 08.06.2023 setelah permohonan reman ditandatangani oleh ASP Md Sani bin Md Saleh. Pada jam 3.30 hingga 4 petang Sarjan Mejar Lidawati telah mengambil rakaman percakapan ke atas pemohon di Lokap Balai Polis Palekbang dengan Muhammad Tohir (UNHCR: 354- 10C04776) menterjemahkan segala penerangan Sarjan Mejar Lidawati daripada Bahasa Malaysia ke Bahasa Myanmar semasa rakaman percakapan dibuat. [12] Sarjan Mejar Lidawati telah membuat pemohonan Pemeriksaan Pergigian bagi pengesahan umur PATI (termasuk pemohon) ke Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Tumpat, Kelantan. Pada jam 10.00 pagi Doktor Pergigian telah hadir ke Dewan di Ibu Pejabat Polis Daerah, Tumpat, Kelantan untuk membuat pemeriksaan lanjut berkenaan gigi tersebut. Sarjan Mejar Lidawati kemudiannya telah mengambil laporan pemeriksaan tersebut yang mendapati bahawa pemohon berumur 18 hingga 21 tahun. [13] Sarjan Mejar Lidawati telah berjumpa dengan Timbalan Pendakwa Raya pada 07.06.2023 jam lebih kurang 8.30 pagi untuk arahan lanjut dan arahan diterima adalah untuk pemohon dituduh di bawah seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63. [14] Pemohon dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat untuk pertuduhan tersebut dengan pemohon tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan. Pemohon dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa sementara menunggu tarikh Serahan Dokumen berkaitan pemohon pada 12.07.2023. [15] Pemohon telah mengaku salah pada 08.08.2023 dan dikenakan hukuman denda RM 4,000.00 dan 5 bulan penjara dari tarikh tangkapan. Muhammad Adham bin Ab Rahim telah menggunakan budi bicaranya untuk mengeluarkan Order of Detention di bawah seksyen 35 Akta Imigresen 1959/63 ke atas pemohon bertarikh 19.11.2023. [16] Pada tarikh yang sama jam 5 petang pemohon diambil Muhammad bin Mohd Yusoff untuk tindakan imigresen berdasarkan Order of Detention dengan pemohon akan diserahkan dan ditempatkan ke Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan untuk ditahan selama tempoh tidak melebihi 30 hari. [17] Order of Detention yang asal tersebut telah diserahkan oleh Muhammad bin Mohd Yusoff kepada pemohon dan isi kandungannya diterangkan dalam Bahasa Malaysia yang mudah difahami serta bahasa isyarat dan difahami pemohon. Pemohon telah memahami dan mengakui kedua-dua kandungan dokumen tersebut lalu menurunkan cap jari ke atas kedua-dua dokumen. Salinan asal Perintah juga diserah kepada Pegawai yang menjaga Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan. [18] Muhammad Adham bin Ab Rahim telah mengeluarkan Order of Removal bertarikh 19.11.2023 di bawah seksyen 33(1) Akta tersebut ke atas pemohon dan juga Order of Detention di bawah seksyen 34(1) Akta tersebut. [19] Laporan polis Pengkalan Chepa/008287/23 bertarikh 20.11.2023 telah dibuat Muhammad bin Mohd Yusoff berhubung penahanan pemohon dan pemohon dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah pada hari yang sama. [20] Muhammad Hafiz bin Abd Rahim telah menerima pemohon daripada Muhammad bin Mohd Yusoff dan beliau juga telah diserahkan mengikut seksyen 35 Akta tersebut dengan Order of Detention dan Order of Removal untuk tujuan rekod. Pemohon telah dibawa dan didaftarkan di Unit Rekod Depot Imigresen Tanah Merah dan pemohon diberikan nombor badan. Pemohon telah ditahan berdasarkan Order of Detention di bawah seksyen 34(1) Akta Imigresen 1959/63 sehingga hari ni. Pertimbangan Mahkamah Bantahan awal oleh responden-responden [21] Atas isu ini Afidavit Jawapan pemohon (kandungan 11) yang diikrarkan pada 26.05.2024 dan Afidavit Balasan dan Bantahan Muhammad Hafiz bin Abd Rahim (Komandan dan Pegawai Menjaga Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan) yang diikrarkan pada 24.07.2024 adalah dirujuk. [22] Ekoran daripada pemfailan 5 Afidavit Jawapan oleh Afidavit Jawapan Koperal Shafikuzairi bin Norizan diikrar pada 13.06.2024, Afidavit Jawapan Sarjan Mejar Lidawati binti Ismail diikrar pada 24.06.2024, Afidavit Jawapan Muhammad Adham bin Ab Rahim diikrar pada 13.06.2024, Afidavit Jawapan Muhammad bin Mohd Yusoff diikrar pada 13.06.2024 dan Afidavit Jawapan Muhammad Hafiz bin Abd Rahim diikrar pada 13.06.2024, pemohon telah memfailkan Afidavit Jawapan yang diikrarkan pada 26.05.2024 (kandungan 11). Pengemukaan Afidavit Jawapan pemohon ini dibantah oleh Responden-Responden. [23] Mengikut pemerhatian Mahkamah secara kronologi Afidavit kandungan 11 ini jelas “incoherent” dari segi tarikh kerana mana mungkin affidavit jawapan disediakan dan diikrarkan sebelum 5 afidavit pihak responden tersebut dibuat. Adalah sesuatu yang ganjil Afidavit Jawapan terhadap 5 afidavit pihak responden disediakan/diikrarkan pada bulan Mei 2024 sedangkan kesemua 5 afidavit tersebut adalah difailkan dalam bulan Jun 2024. [24] Tambahan lagi apabila diteliti ekshibit MHAR-A1 di dalam Afidavit Balasan dan Bantahan Muhammad Hafiz bin Abd Rahim yang diikrarkan pada 24.07.2024, boleh disangsikan samada Afidavit Jawapan pemohon tersebut diikrarkan di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah kerana surat peguam pemohon bertarikh 08.07.2024 kepada pihak Depot Imigresen Tanah Merah hanya memohon kebenaran untuk peguam berjumpa dengan pemohon dan tidak disebut tentang kebenaran untuk Pesuruhjaya Sumpah turut ikut serta. [25] Di dalam Borang Permohonan Lawatan bertarikh 11.07.2024 juga hanya nama peguam pemohon yang tertulis untuk lawatan berjumpa pemohon dan tidak disebut tentang Pesuruhjaya sumpah akan ikut bersama. [26] Di bahagian surat pula tidak tercatat di manakah afidavit tersebut diikrarkan. Dengan keadaan yang demikian Mahkamah ini berpendapat bahawa affidavit ini jelas defektif dan tidak patut digunakan sebagai keterangan di dalam perbicaraan ini. [27] Peguam pemohon memaklumkan telah memfailkan suatu Notis Usul untuk membawa masuk Afidavit Jawapan peguam sendiri iaitu Nik Nasrun Nazmi bin Nik Mohamad yang diikrarkan pada 29.07.2024 (yang mana kandungannya adalah saling tidak tumpah sama dengan Afidavit Jawapan pemohon yang dibantah oleh responden-responden). Notis Usul ini bertujuan untuk memohon perlanjutan masa bagi mengemukakan afidavit tersebut bagi tujuan menjawab 5 afidavit responden yang difailkan dalam bulan Jun 2024. Mahkamah tidak melayan permintaan peguam pemohon ini yang bersifat “an attempt at a second bite of the cherry” kerana pada tarikh perbicaraan pada 30.07.2024 Notis Usul ini belum berada di dalam rekod Mahkamah. Isu kad UNHCR pemohon [28] Di dalam Afidavit Sokongan yang diikrarkan pada 26.05.2024 pemohon cuba menjelaskan bahawa pemohon mempunyai kad UNHCR yang sah dan tahanannya dengan itu adalah tidak sah. [29] Bagi isu ini Mahkamah merujuk dan berpuas hati dengan penjelasan di dalam Afidavit Balasan dan Bantahan Muhammad Hafiz bin Abd Rahim yang diikrarkan pada 24.07.2024 yang kandungannya sepertimana berikut: