PENGUASA KANAN PUSAT PEMULIHAN AKHLAK SIMPANG RENGGAM ... RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini adalah satu permohonan oleh pemohon melalui Notis Usul bertarikh 06.11.2025 untuk mendapatkan satu perintah habeas corpus terhadap keesahan Perintah Tahanan bertarikh 17.06.2025 yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat, Timbalan Menteri Dalam Negeri (“YB TMDN”). [2] YB TMDN telah menjalankan kuasa di bawah subseksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (“Akta 316”) dan memerintahkan pemohon ditahan selama tempoh dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor ("PPA"). [3] Pemohon memohon Mahkamah ini mengisytiharkan Perintah Tahanan tersebut sebagai tidak sah dan terbatal, dan seterusnya supaya satu writ habeas corpus dikeluarkan terhadap pemohon untuk pembebasan serta merta daripada tahanan di PPA Simpang Renggam. [4] Setelah meneliti dengan mendalam Notis Usul, afidavit-afidavit sokongan dan balasan, serta hujah bertulis kedua-dua pihak, Mahkamah ini menolak permohonan pemohon. Berikut adalah alasan penghakiman Mahkamah ini. Latar belakang fakta [5] Pemohon telah ditangkap pada 21.04.2025 di bawah subseksyen 3(1) Akta 316 oleh Sub-Inspektor Azril bin Mohd Shah. Pada 22.04.2025, penahanan pemohon telah dilanjutkan oleh Inspektor Mohd Hafizudin bin Ismaail di bawah subseksyen 3(2)(a) Akta 316 dan penahanan seterusnya pada 23.04.2025 oleh ASP Rushaidi bin Arshad di bawah subseksyen 3(2)(b) Akta 316. [6] Pada 23.04.2025, Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor Mohd Hafizudin bin Ismaail telah merakam percakapan pemohon di bawah seksyen 4 Akta 316 dengan dibantu oleh Detektif Lans Koperal Mohd Najib bin Junaidy sebagai pencatat. [7] Pada 30.04.2025, laporan mengenai hal keadaan penangkapan pemohon telah dikemukakan kepada ACP Abdul Hamid bin Allah Bukksh oleh DSP Mohd Syamsuri bin Mohamad di bawah subseksyen 3(2)(c) Akta 316. Seterusnya, ACP Abdul Hamid telah mengemukakan hal keadaan penangkapan pemohon kepada YB TMDN pada 02.05.2025. [8] Pada 13.05.2025, Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hafizudin bin Ismaail telah mengemukakan laporan penyiasatan lengkap kepada YB TMDN dan Pegawai Siasatan di bawah subseksyen 3(3) Akta 316. Pada 21.05.2025, Pegawai Siasatan iaitu Nur Syakirin binti Yaccob daripada Kementerian Dalam Negeri telah menjalankan siasatan terhadap pemohon di bawah seksyen 5 Akta 316. Pada 05.06.2025, Pegawai Siasatan tersebut telah mengemukakan laporan siasatannya kepada YB TMDN di bawah subseksyen 5(4) Akta 316. [9] Pada 17.06.2025, setelah meneliti laporan-laporan yang dikemukakan, TMDN iaitu YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah telah mengeluarkan Perintah Tahanan di bawah subseksyen 6(1) Akta 316, memerintahkan pemohon ditahan selama dua tahun di PPA Simpang Renggam berkuat kuasa serta-merta. [10] Perintah Tahanan, alasan-alasan penahanan, pernyataan fakta dan tiga salinan Borang I telah diserah kepada pemohon dan diterangkan kepadanya. [11] Pemohon kemudiannya telah membuat representasi kepada Lembaga Penasihat. Pada 26.08.2025, Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh Dato’ Yong Zarida binti Sazali telah mengadakan pendengaran representasi pemohon di PPA Simpang Renggam. [12] Pemohon hadir dan diwakili oleh peguam. Setiausaha Lembaga Penasihat ialah Encik Zaharuddin bin Osman. Pada 09.09.2025, Lembaga Penasihat telah mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong (“YDPA”) di bawah subseksyen 10(1) Akta 316. [13] Pada 24.09.2025, YDPA telah memperkenankan untuk meneruskan Perintah Tahanan yang dibuat oleh YB TMDN. Analisis dan dapatan [14] Pada dasarnya, pemohon telah membangkitkan empat isu utama sebagai asas permohonannya. Mahkamah ini akan menangani setiap isu tersebut secara berasingan. [15] Sebelum menangani isu-isu tersebut, adalah wajar untuk Mahkamah ini mengingatkan tentang parameter bidang kuasa Mahkamah dalam permohonan seumpama ini. Seksyen 11C(1) Akta 316 memperuntukkan bahawa tiada semakan kehakiman boleh dilakukan terhadap apa-apa tindakan atau keputusan YDPA atau Menteri dalam melaksanakan kuasa budi bicara mereka menurut Akta tersebut, kecuali berkenaan dengan apa-apa persoalan mengenai pematuhan mana-mana kehendak tatacara dalam Akta tersebut. [16] Dalam kes Lee Kew Sang v. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2005] 3 CLJ 914, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ahmad Fairuz KHN, dengan persetujuan Yang Amat Arif Siti Norma Yaakob HBM dan Yang Arif Abdul Hamid Mohamad HMP, telah memutuskan bahawa dalam permohonan habeas corpus, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Mahkamah ialah menentukan sama ada alasan yang dikemukakan termasuk dalam maksud ketidakpatuhan tatacara atau sebaliknya. Untuk menentukan persoalan tersebut, Mahkamah hendaklah merujuk kepada peruntukan undang-undang atau kaedah-kaedah yang menetapkan kehendak tatacara. Adalah bukan fungsi Mahkamah untuk mewujudkan kehendak tatacara kerana ianya bukan fungsi Mahkamah untuk menggubal undang-undang atau kaedah-kaedah. Sekiranya tiada kehendak tatacara sedemikian, maka tidak mungkin wujud ketidakpatuhan terhadapnya. Perintah tahanan dan pernyataan fakta tidak dikeluarkan menurut subseksyen 4(1) dibaca bersama perenggan 9(2)(b) Akta 316 [17] Pemohon berhujah bahawa YB TMDN telah gagal mempertimbangkan pernyataan di bawah subseksyen 4(1) sebelum mengeluarkan Perintah Tahanan. Pemohon merujuk kepada afidavit TMDN iaitu YB DS Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah di perenggan 8 hingga 10 yang hanya merujuk kepada laporan di bawah subseksyen 3(3) dan laporan Pegawai Siasatan di bawah subseksyen 5(4), tanpa sebarang rujukan nyata kepada pernyataan di bawah subseksyen 4(1). Pemohon bergantung kepada kes-kes Lei Meng v. Insp Wayandiana Abdullah & Ors and other appeals [2022] 3 CLJ 177 dan Poh Chin Kay v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Anor [1990] 2 MLJ 297 bagi menyokong hujahan bahawa kuasa untuk menahan tidak boleh diandaikan secara inferens semata-mata. [18] Mahkamah ini telah meneliti hujah pemohon berkenaan isu ini dengan teliti. Responden-responden berhujah bahawa YB TMDN telah mempertimbangkan kedua-dua laporan di bawah subseksyen 6(1) iaitu laporan penyiasatan lengkap di bawah subseksyen 3(3) dan laporan Pegawai Siasatan di bawah subseksyen 5(4). Responden-responden menegaskan bahawa pernyataan yang dirakam di bawah subseksyen 4(1) membentuk sebahagian daripada laporan penyiasatan lengkap di bawah subseksyen 3(3), dan oleh itu pertimbangan laporan tersebut secara semestinya merangkumi bahan-bahan yang diperoleh melalui pemeriksaan di bawah seksyen 4. [19] Mahkamah ini bersetuju dengan hujah responden-responden. Subseksyen 3(3) Akta 316 menghendaki Pegawai Penyiasat mengemukakan laporan penyiasatan lengkap kepada YB Menteri. Sifat laporan tersebut yang lengkap secara munasabahnya merangkumi segala bahan yang diperoleh semasa penyiasatan termasuk pernyataan yang dirakamkan di bawah seksyen 4. Ketiadaan rujukan nyata kepada subseksyen 4(1) dalam afidavit YB TMDN tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa pernyataan tersebut tidak dipertimbangkan. Ia merupakan satu kekurangan perincian dalam afidavit dan bukan bukti ketidakpatuhan. [20] Menggunakan prinsip yang ditetapkan dalam kes Lee Kew Sang (supra.), Mahkamah ini mendapati bahawa hujah pemohon pada dasarnya meminta Mahkamah mewujudkan satu kehendak tatacara yang tidak wujud secara nyata dalam Akta 316, iaitu kehendak supaya Menteri menyatakan secara spesifik dalam afidavitnya setiap dokumen yang dipertimbangkan. Tiada peruntukan sedemikian dalam Akta tersebut. Oleh itu, pada hemat Mahkamah isu ini tidak bermerit. Ketidakpatuhan seksyen 4(1) dan subseksyen 4(5) dalam rakaman percakapan [21] Pemohon berhujah bahawa rakaman percakapan bertarikh 23.04.2025 (Ekshibit “NM-1”) adalah cacat kerana: