ADB 1952. Oleh yang demikian dihujahkan oleh peguam Perayu bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dengan gagal mengambil faktor-faktor peringanan dalam menjatuhkan hukuman. [5] Sebaliknya, pihak Responden menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah selaras dengan peruntukan undang-undang. Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kepentingan awam dan juga mempertimbangkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Pada masa yang sama Hakim Mahkamah Sesyen juga mengambil kira faktor kepentingan awam mengatasi faktor kepentingan Perayu. Di samping itu Pendakwa Raya juga berhujah bahawa Mahkamah ini tidak sewajarnya campur tangan dalam keputusan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Analisa dan Keputusan [6] Penentuan satu hukuman bagi kesalahan jenayah adalah proses terakhir di dalam sesuatu erbicaraan jenayah. Prinsip berkenaan dengan dengan hukuman telah mantap dalam sistem perundangan jenayah. Adalah tidak wajar untuk diulangi lagi di sini kerana ia adalah satu perkara yang sudah termaklum. Apa yang menjadi isu dalam kes ini ialah pemakaian prinsip tersebut kepada hukuman dalam kes ini. [7] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa hakim yang mendengar rayuan tidak sewajarnya campur tangan di dalam hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara semata-mata disebabkan tidak bersetuju dengan jumlah kadar hukuman yang telah diberikan oleh hakim bicara. [8] Dalam kes ini Mahkamah telah meneliti alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen dan mendapati bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Perayu adalah melibatkan penyalahgunaan dadah yang berulang. Peruntukan undang-undang adalah jelas dan nyata menunjukkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah sekiranya Tertuduh disabitkan dengan pertuduhan penyalahgunaan dadah yang berulang. [9] Mahkamah ini juga mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman dalam kes ini. Ia dapat dilihat melalui perenggan 15, 16 dan 17 alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen yang menyatakan bahawa hukuman pemenjaraan 6 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah selari dengan hasrat penggubalan undang-undang dan dengan menjatuhkan hukuman sedemikian ia mempunyai kesan pencegahan. Hakim Mahkamah Sesyen juga berpendapat ia boleh bertindak sebagai serampang dua mata iaitu memberi pengajaran kepada Perayu serta memberi mesej yang jelas kepada masyarakat berkenaan dengan kesan penyalahgunaan dadah berbahaya. [10] Hakim Mahkamah Sesyen juga menyatakan bahawa Mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan penyalahgunaan dadah berbahaya yang berulang. Mahkamah ini berpendapat tiada alasan untuk tidak bersetuju dengan alasan Hakim Mahkamah Sesyen berkenaan dengan kepentingan awam tersebut. [11] Seterusnya berkenaan dengan rekod sabitan lampau. Hakim Mahkamah Sesyen menyatakan bahawa rekod kesalahan lampau tersebut menunjukkan Perayu seolah-olah tidak insaf dengan hukuman yang telah dijatuhkan pada masa lalu. Ini tidak mewajarkan hukuman yang lebih ringan dijatuhkan. Mahkamah juga berpendapat pertimbangan yang sewajarnya telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen berkenaan dengan dengan rekod kesalahan lampau tersebut dan tiada alasan untuk Mahkamah ini mengingkari keputusan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut. [12] Seterusnya, berkenaan dengan pengakuan salah Perayu juga telah diambil kira oleh Hakim Mahkamah Sesyen sebagai faktor peringanan hukuman di dalam kes ini. Ia juga sukar untuk tidak dipersetujui oleh Mahkamah ini. [13] Selain daripada itu Hakim Mahkamah Sesyen juga telah mempertimbangkan rayuan mitigasi Perayu dan mempertimbangkan sewajarnya bagi menjatuhkan hukuman yang bersesuaian dalam kes ini. Ia adalah sejajar dengan prinsip penghukuman yang tiada alasan untuk Mahkamah ini campur tangan atau mengganggu hukuman Hakim Mahkamah Sesyen tersebut. [14] Akhirnya, Mahkamah ini berpendapat setelah meneliti alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen, hujahan pihak-pihak Perayu dan Responden serta prinsip undang-undang berkenaan dengan dengan hukuman Mahkamah menolak rayuan Perayu dan mengesahkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Bertarikh: 04 hb. Jun 2025 (ROSLAN BIN MAT NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA TEMERLOH, PAHANG DARUL MAKMUR PIHAK-PIHAK: Bagi Pihak Perayu Khairul Anuar bin Abu Hassan Ashaari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Temerloh, Pahang Darul Makmur Bagi Pihak Responden TPR Intan Nor Hilwani binti Mat Rifin Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Pahang Temerloh, Pahang Darul Makmur