butiran kecacatan telah diperincikan dalam Penyata Tuntutan. [26] Malah, sebagaimana dihujahkan oleh Responden, perenggan 14 hingga 16 Penyata Tuntutan telah memperincikan kategori kerja yang tidak disiapkan, kerja pembaikan yang diperlukan serta kerugian yang ditanggung. Isu mengenai kecacatan kerja, kerja yang tidak siap dan kos pembaikan bukanlah isu yang muncul buat kali pertama semasa perbicaraan. la merupakan teras kepada tindakan Plaintif sejak awal lagi. [27] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa pelantikan SP3 hanyalah mekanisme atau kaedah bagaimana Responden membuktikan bahawa kerja-kerja pembaikan tersebut benar-benar telah dijalankan. Begitu juga laporan yang diediakan oleh SP3, gambar-gambar yang diambil olehnya serta keterangannya mengenai keadaan premis selepas Perayu meninggalkan tapak projek. [28] Kesemua perkara tersebut adalah keterangan yang menyokong fakta material yang telah diplidkan, bukannya fakta material baharu yang mengubah asas tuntutan. [29] Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa Perayu tidak pernah mendakwa bahawa beliau telah dikejutkan semasa perbicaraan. Sebaliknya, SP3 telah dipanggil sebagai saksi, memberi keterangan secara terbuka, diperiksa balas secara panjang lebar oleh peguam Perayu dan setiap laporan, gambar serta invois yang dikemukakan olehnya telah dicabar secara menyeluruh semasa pemeriksaan balas. [30] Perayu dengan itu telah diberi peluang sepenuhnya untuk mencabar kredibiliti SP3, mempertikaikan ketepatan laporan yang disediakannya, mencabar gambar-gambar yang dikemukakan serta mengemukakan versi Perayu sendiri mengenai keadaan sebenar tapak projek. [31] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak melihat bagaimana Perayu boleh dikatakan mengalami apa-apa prejudis akibat keterangan SP3 diterima semasa perbicaraan. [32] Malah, jika diperhatikan dengan teliti, hujah Perayu sendiri sebenarnya mengakui bahawa semua isu tersebut telah menjadi subjek pemeriksaan balas yang sangat terperinci. Ini menunjukkan bahawa Perayu mengetahui dengan tepat apakah kes yang perlu dijawab dan tidak pernah berada dalam keadaan tidak bersedia. [33] Mahkamah turut berpendapat bahawa pendekatan yang dicadangkan oleh Perayu akan membawa kepada satu keadaan yang terlalu teknikal sehingga tidak lagi selari dengan tujuan sebenar pliding. Sekiranya setiap saksi yang bakal dipanggil, setiap laporan yang bakal dikemukakan atau setiap gambar yang bakal digunakan semasa perbicaraan diwajibkan diplidkan terlebih dahulu, maka fungsi pliding akan berubah daripada mengenal pasti isu sebenar kepada suatu senarai lengkap semua keterangan yang bakal dikemukakan, sesuatu yang tidak pernah dikehendaki oleh undang-undang. [34] Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf apabila menerima keterangan SP3 serta dokumen-dokumen berkaitan sebagai sebahagian daripada pembuktian fakta-fakta material yang telah pun diplidkan oleh Responden. [35] Oleh yang demikian, alasan-alasan rayuan Perayu yang berkaitan dengan isu pliding tidak mempunyai merit dan dengan ini ditolak. ISU KEDUA Sama ada Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memutuskan bahawa Perayu gagal menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian dalam tempoh yang dipersetujui serta meninggalkan pelbagai kerja yang tidak siap dan kecacatan di premis tersebut [36] Setelah Mahkamah meneliti keseluruhan rekod rayuan, Mahkamah mendapati bahawa isu sebenar di bawah tajuk ini bukanlah sama ada terdapat sedikit kelewatan atau sedikit kecacatan dalam kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Perayu. [37] Sebaliknya, persoalan yang perlu diputuskan ialah sama ada dapatan Mahkamah Sesyen bahawa Perayu telah melakukan kemungkiran kontrak melalui kegagalannya menyiapkan kerja dalam tempoh yang dipersetujui serta meninggalkan pelbagai kerja yang tidak sempurna adalah suatu dapatan yang tidak lagi boleh dipertahankan berdasarkan keseluruhan keterangan. Pada hemat Mahkamah, jawapan kepada persoalan tersebut adalah tidak. [38] Mahkamah mendapati bahawa dapatan Mahkamah Sesyen bukan sahaja disokong oleh keterangan lisan saksi-saksi Responden, malah lebih penting lagi disokong oleh bukti-bukti kontemporari yang diwujudkan semasa projek tersebut masih berjalan. [39] Mahkamah memberikan perhatian khusus kepada eksibit P4 dan P5 yang mengandungi perbualan WhatsApp di antara SP1 dengan SD1 serta SD2 sepanjang tempoh pelaksanaan projek. Pada pandangan Mahkamah, eksibit P4 dan P5 merupakan antara keterangan yang paling penting dalam keseluruhan rayuan ini. [40] Tidak seperti keterangan lisan yang diberikan bertahun-tahun selepas sesuatu peristiwa berlaku, komunikasi melalui WhatsApp tersebut diwujudkan secara spontan semasa projek masih berjalan. la mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi oleh pihak-pihak pada masa itu tanpa dipengaruhi oleh pertikaian yang kemudiannya dibawa ke mahkamah. [41] Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa ketulenan kandungan WhatsApp tersebut tidak pernah dipertikaikan oleh Perayu. Tiada dakwaan bahawa perbualan tersebut telah diubah suai, dipalsukan atau dimanipulasi. Sebaliknya, kedua-dua SD1 dan SD2 mengakui komunikasi tersebut berlaku. [42] Daripada keseluruhan kandungan P4 dan P5, beberapa perkara menjadi jelas. [43] Pertama, Responden berulang kali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan kerja serta mutu kerja yang dilaksanakan oleh Perayu. Aduan tersebut bukan berlaku sekali atau dua kali, sebaliknya berterusan sepanjang projek berjalan. [44] Kedua, SD1 dan SD2 sendiri tidak pernah menafikan bahawa kerja-kerja masih belum siap. Sebaliknya, kandungan WhatsApp menunjukkan mereka berulang kali memohon maaf kepada Responden atas kelewatan tersebut serta meminta lanjutan masa untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih berbaki. [45] Ketiga, terdapat pengakuan bahawa masih banyak kerja yang perlu disiapkan walaupun tempoh kontrak yang dipersetujui telah lama berlalu. [46] Mahkamah berpandangan bahawa pengakuan-pengakuan sedemikian mempunyai nilai probatif yang tinggi kerana ia dibuat secara sukarela semasa projek masih berjalan dan jauh sebelum pertikaian ini dibawa ke mahkamah. [47] Perayu berhujah bahawa kelewatan tersebut berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mahkamah tidak dapat menerima hujah tersebut. [48] Pertamanya, sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Sesyen, keterangan SD1 dan SD2 sendiri menunjukkan bahawa kerja masih diteruskan semasa tempoh PKP. [49] Keduanya, rekod menunjukkan bahawa Responden masih membuat pembayaran kepada Perayu sepanjang tempoh tersebut bagi membolehkan kerja-kerja diteruskan. [50] Sekiranya benar PKP merupakan satu-satunya sebab kelewatan, sudah tentu perkara tersebut akan dizahirkan secara konsisten dalam komunikasi di antara pihak-pihak. Sebaliknya, apa yang jelas daripada P4 dan P5 ialah kelewatan tersebut sentiasa dikaitkan dengan masalah dalaman Perayu, kekurangan pekerja, mutu kerja yang tidak memuaskan serta kegagalan menyiapkan kerja mengikut janji yang diberikan. [51] Perayu juga berhujah bahawa kelewatan adalah berpunca daripada pelbagai arahan kerja tambahan (variation works) yang diberikan oleh Responden dari semasa ke semasa. Mahkamah turut tidak menerima hujah tersebut. [52] Adalah benar bahawa terdapat beberapa sebut harga tambahan yang dikeluarkan sepanjang projek berjalan. Walau bagaimanapun, kewujudan kerja tambahan dengan sendirinya tidak membawa maksud bahawa keseluruhan kelewatan adalah berpunca daripada Responden. [53] Perkara yang lebih penting ialah sama ada Perayu berjaya membuktikan bahawa kerja-kerja tambahan tersebut telah mengubah secara asas skop asal projek sehingga menyebabkan tempoh kontrak yang dipersetujui tidak lagi boleh dipatuhi. [54] Setelah meneliti keseluruhan rekod, Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa pihak-pihak pernah bersetuju untuk membatalkan atau menggantikan tempoh siap asal semata-mata kerana kerja-kerja tambahan tersebut. [55] Sebaliknya, komunikasi WhatsApp yang sama masih menunjukkan Responden terus mendesak supaya kerja-kerja disiapkan dengan segera, manakala Perayu pula terus meminta masa tambahan. [56] Keadaan ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak sendiri masih memahami bahawa kewajipan untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh yang munasabah terus kekal walaupun terdapat beberapa kerja tambahan. [57] Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa sepanjang perbicaraan, Perayu gagal mengemukakan sebarang jadual kerja, revised work programme, persetujuan lanjutan masa atau apa-apa dokumen lain yang menunjukkan bahawa pihak-pihak telah secara bersama bersetuju bahawa tarikh siap projek telah dipinda kepada November 2020 sebagaimana dihujahkan oleh Perayu. [58] Sebaliknya, hujah tersebut hanya disokong melalui tafsiran Perayu sendiri terhadap beberapa sebut harga yang dikeluarkan kemudian. [59] Pada hemat Mahkamah, kewujudan sebut harga tambahan tidak semestinya membawa kepada kesimpulan bahawa keseluruhan kontrak telah berubah sehingga membolehkan Perayu melanjutkan tempoh projek secara unilateral. [60] Mahkamah turut meneliti hujah Perayu bahawa SP1 kononnya telah mengaku semasa pemeriksaan balas bahawa tidak berlaku kelewatan kerana premis hanya dijangka dibuka pada bulan Disember 2020. Mahkamah tidak bersetuju dengan tafsiran tersebut. [61] Sesuatu keterangan tidak boleh dipetik secara terpisah daripada keseluruhan konteks soal jawab. Apabila keseluruhan rekod dibaca secara menyeluruh, adalah jelas bahawa SP1 sedang menerangkan keputusan Responden untuk mula menerima tempahan dan membuka sebahagian operasi pada Disember 2020 selepas kerja-kerja pembaikan oleh pihak ketiga dijalankan, sebagai satu langkah untuk mengurangkan kerugian yang telah ditanggung. [62] Keterangan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai satu pengakuan bahawa Perayu sebenarnya telah menyiapkan projek mengikut tempoh yang dipersetujui atau bahawa tiada kelewatan berlaku. [63] Sebaliknya, keseluruhan rekod menunjukkan bahawa Responden mengambil keputusan komersial untuk mula beroperasi sebaik sahaja sebahagian premis boleh digunakan, walaupun kerja-kerja asal yang sepatutnya disiapkan oleh Perayu telah lama tertangguh. [64] Mahkamah seterusnya mendapati bahawa keterangan mengenai keadaan fizikal premis selepas Perayu meninggalkan tapak projek turut menyokong dapatan Mahkamah Sesyen. [65] Eksibit P10 yang mengandungi gambar-gambar keadaan premis selepas 17 November 2020 menunjukkan masih terdapat pelbagai kerja yang belum siap serta pelbagai kecacatan yang memerlukan pembaikan. [66] Perkara yang lebih penting ialah Perayu tidak mengemukakan apa-apa bukti teknikal, laporan pakar ataupun gambar-gambar lain yang menunjukkan bahawa kerja-kerja tersebut sebenarnya telah disiapkan sebelum beliau meninggalkan tapak projek. [67] Malah semasa pemeriksaan balas, SD1 sendiri mengakui bahawa gambar-gambar tersebut diambil selepas Perayu meninggalkan tapak projek. [68] Walaupun Perayu mencadangkan bahawa sesetengah gambar mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar semasa beliau masih berada di tapak, cadangan tersebut kekal sebagai suatu dakwaan semata-mata tanpa disokong oleh apa-apa keterangan bebas. Mahkamah tidak boleh mengenepikan keseluruhan keterangan Responden hanya berdasarkan andaian sedemikian. [69] Apabila semua keterangan tersebut dinilai secara menyeluruh, Mahkamah berpuas hati bahawa dapatan Mahkamah Sesyen bahawa Perayu telah gagal menyiapkan kerja-kerja sebagaimana dipersetujui serta meninggalkan pelbagai kerja yang tidak sempurna adalah disokong oleh keseluruhan rekod keterangan dan tidak menunjukkan sebarang salah arah undang-undang ataupun salah penilaian fakta yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan. [70] Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa alasan alasan rayuan Perayu yang mencabar dapatan mengenai kelewatan, kegagalan menyiapkan kerja serta kewujudan kecacatan adalah tidak berasas dan hendaklah ditolak. ISU KETIGA Sama ada Responden telah berjaya membuktikan tuntutan kos kerja-kerja pembaikan berjumlah RM104,128.00 mengikut kehendak undang-undang [71] Isu seterusnya berkaitan dengan tuntutan Responden bagi kos kerja-kerja pembaikan berjumlah RM104,128.00. [72] Perayu berhujah bahawa tuntutan tersebut sepatutnya ditolak kerana gagal memenuhi prinsip bahawa gantirugi khas hendaklah bukan sahaja diplidkan secara khusus (specifically pleaded) malah dibuktikan secara ketat (strictly proved). [73] Hujah Perayu pada asasnya boleh dirumuskan seperti berikut. [74] Pertama, tiada bukti pembayaran seperti slip pindahan bank, penyata akaun atau resit dikemukakan bagi membuktikan bahawa pembayaran RM104,128.00 benar-benar telah dibuat kepada SP3. [75] Kedua, Perayu berhujah bahawa invois semata-mata tidak membuktikan sesuatu pembayaran telah dibuat. [76] Ketiga, Perayu turut berhujah bahawa SP3 sendiri tidak mengemukakan apa-apa dokumen yang menunjukkan beliau menerima bayaran tersebut. [77] Keempat, oleh kerana tuntutan tersebut merupakan gantirugi khas, kegagalan mengemukakan dokumen-dokumen tersebut sepatutnya membawa kepada penolakan keseluruhan tuntutan. [78] Mahkamah menerima sebagai prinsip undang-undang bahawa gantirugi khas hendaklah dibuktikan secara ketat. Prinsip tersebut telah lama diterima dalam pelbagai keputusan mahkamah dan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam rayuan ini. [79] Walau bagaimanapun, persoalan sebenar yang perlu diputuskan bukanlah sama ada prinsip tersebut terpakai. Persoalan sebenar ialah apakah yang dimaksudkan oleh undang-undang dengan ungkapan "strict proof". [80] Pada hemat Mahkamah, sebahagian besar hujah Perayu dibina atas suatu premis bahawa strict proof bermaksud sesuatu pembayaran hanya boleh dibuktikan melalui dokumen tertentu seperti slip pindahan bank, penyata akaun atau resit rasmi. Mahkamah tidak dapat menerima tafsiran sedemikian. [81] Undang-undang tidak pernah menetapkan bahawa sesuatu tuntutan gantirugi khas hanya boleh dibuktikan melalui satu kategori dokumen tertentu. [82] Sebaliknya, prinsip strict proof menuntut supaya Mahkamah diyakinkan bahawa kerugian yang dituntut benar-benar telah berlaku, jumlahnya dapat dipastikan dengan munasabah dan terdapat hubungan sebab akibat yang jelas di antara kerugian tersebut dengan kemungkiran yang dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. [83] Dengan kata lain, apa yang diwajibkan ialah kualiti pembuktian, bukannya bentuk pembuktian. [84] Setiap kes hendaklah diputuskan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan. Dalam sesuatu kes, pembayaran mungkin dibuktikan melalui resit. Dalam kes yang lain, ia mungkin dibuktikan melalui rekod perakaunan. [85] Dalam keadaan tertentu, pembayaran juga boleh dibuktikan melalui gabungan keterangan lisan yang dipercayai, invois, dokumen kontemporari serta keadaan keseluruhan transaksi. Tiada satu kaedah pembuktian yang bersifat mandatori dalam semua keadaan. [86] Mahkamah kini beralih kepada fakta kes ini. [87] Daripada rekod rayuan, Mahkamah mendapati bahawa tuntutan RM104,128.00 tidak diasaskan kepada satu dokumen sahaja. Sebaliknya, ia disokong oleh beberapa kategori keterangan yang saling melengkapi antara satu sama lain. [88] Pertamanya ialah keterangan SP1 selaku pemilik premis. SP1 memberi keterangan bahawa setelah Perayu meninggalkan tapak projek, beliau terpaksa melantik SP3 bagi menyiapkan kerja-kerja yang masih belum disiapkan serta memperbaiki pelbagai kecacatan yang ditinggalkan oleh Perayu. [89] Keterangan tersebut bukan sahaja tidak berganjak semasa pemeriksaan balas, malah kekal konsisten dengan keseluruhan kes Plaintif sejak awal prosiding. [90] Keduanya ialah keterangan SP3 sendiri. SP3 bukan sekadar hadir untuk mengesahkan bahawa beliau pernah berada di tapak projek. [91] Sebaliknya beliau memberikan keterangan secara terperinci mengenai keadaan premis selepas Perayu meninggalkan tapak projek, jenis-jenis kerja yang masih belum disiapkan, kecacatan yang ditemui serta kerja-kerja pembaikan yang kemudiannya dilaksanakan olehnya. [92] Mahkamah juga mengambil perhatian bahawa SP3 telah diperiksa balas secara panjang lebar oleh peguam Perayu. Walaupun pelbagai cadangan dikemukakan bagi mencabar keterangannya, Mahkamah Sesyen akhirnya menerima keterangan beliau sebagai boleh dipercayai. [93] Sebagaimana yang telah dihuraikan terdahulu, Mahkamah di peringkat rayuan lazimnya tidak akan mengganggu penilaian kredibiliti tersebut tanpa alasan yang kukuh. [94] Ketiganya ialah eksibit P10 yang mengandungi gambar-gambar keadaan premis selepas Perayu meninggalkan tapak projek. Gambar-gambar tersebut bukan sahaja menyokong keterangan SP3 mengenai keadaan fizikal premis, malah turut menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan memang perlu dijalankan. [95] Perkara ini penting kerana ia menunjukkan bahawa tuntutan RM104,128.00 bukanlah satu angka yang muncul tanpa asas, tetapi berkait secara langsung dengan keadaan sebenar premis yang dibuktikan melalui gambar-gambar tersebut. [96] Keempat ialah eksibit P13 yang mengandungi butiran tuntutan kos kerja-kerja pembaikan. [97] Perayu berhujah bahawa P13 hanyalah invois dan oleh itu tidak membuktikan pembayaran. [98] Mahkamah menerima bahawa secara prinsipnya sesuatu invois tidak semestinya membuktikan sesuatu pembayaran telah dibuat. Namun demikian, sesuatu invois juga tidak boleh dinilai secara terasing daripada keseluruhan keterangan. [99] Dalam kes ini, P13 tidak berdiri bersendirian. la disokong oleh keterangan SP1 bahawa pembayaran telah dibuat. la disokong oleh keterangan SP3 bahawa kerja-kerja tersebut telah dilaksanakan dan beliau menerima bayaran bagi kerja-kerja tersebut. la turut disokong oleh keadaan fizikal premis yang menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan sememangnya telah dilakukan. [100] Yang lebih penting lagi, Perayu tidak pernah mengemukakan apa-apa keterangan bahawa kerja-kerja yang disenaraikan di dalam P13 sebenarnya telah disiapkan sendiri oleh Perayu sebelum beliau meninggalkan tapak projek. [101] Perayu juga tidak mengemukakan apa-apa keterangan bahawa kerja-kerja yang dinyatakan di dalam P13 adalah rekaan, tidak pernah dilakukan ataupun jumlah yang dituntut itu tidak munasabah. [102] Cabaran Perayu tertumpu semata-mata kepada bentuk dokumen pembayaran yang dikemukakan. Pada hemat Mahkamah, cabaran sedemikian tidak memadai untuk menolak keseluruhan tuntutan apabila keseluruhan keterangan lain menunjukkan bahawa kerja-kerja pembaikan tersebut benarbenar telah dijalankan. [103] Mahkamah juga tidak dapat menerima hujah bahawa kegagalan mengemukakan slip pindahan bank secara automatik mewujudkan inferens buruk di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. [104] Inferens sedemikian bukanlah suatu akibat yang timbul secara automatik setiap kali sesuatu dokumen tidak dikemukakan. Sesuatu inferens buruk hanya wajar dibuat apabila Mahkamah berpuas hati bahawa dokumen tersebut sememangnya berada dalam milikan eksklusif sesuatu pihak, dokumen itu sengaja disembunyikan dan kegagalan mengemukakannya tidak mempunyai penjelasan yang munasabah. [105] Dalam rayuan ini, Mahkamah tidak mendapati keadaan sedemikian wujud. Tambahan pula, Perayu sendiri tidak memohon supaya dokumen-dokumen tersebut dizahirkan melalui proses penzahiran dokumen dan tidak juga membuktikan bahawa kegagalan mengemukakannya telah menyebabkan sebarang prejudis terhadap pembelaan Perayu. [106] Mahkamah juga mengambil kira satu faktor yang penting. Sekiranya benar kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Perayu telah disiapkan sepenuhnya sebagaimana dihujahkan oleh Perayu, maka sudah tentu tidak timbul keperluan untuk Responden melantik pihak lain menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan kos melebihi RM100,000.00. [107] Hakikat bahawa kerja-kerja pembaikan tersebut benar-benar dijalankan telah disokong bukan sahaja melalui keterangan SP3, malah melalui gambar-gambar keadaan premis, komunikasi WhatsApp serta keseluruhan keadaan kes. [108] Apabila semua keterangan tersebut dinilai secara keseluruhannya dan bukan secara berasingan, Mahkamah berpuas hati bahawa Responden telah berjaya membuktikan tuntutan kos pembaikan sebanyak RM104,128.00 di atas imbangan kebarangkalian. [109] Mahkamah seterusnya mendapati bahawa dapatan Mahkamah Sesyen mengenai isu ini adalah selaras dengan keseluruhan rekod keterangan dan tidak menunjukkan sebarang salah arah undang-undang ataupun salah penilaian fakta yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan. [110] Oleh yang demikian, alasan-alasan rayuan Perayu yang mencabar pembuktian tuntutan RM104,128.00 adalah dengan ini ditolak. ISU KEEMPAT Sama ada Responden telah berjaya membuktikan tuntutan gantirugi khas bagi kehilangan pendapatan serta kos operasi [111] Seterusnya Mahkamah beralih kepada isu terakhir yang menjadi teras rayuan ini, iaitu sama ada Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila membenarkan tuntutan gantirugi khas bagi kehilangan pendapatan hotel serta kos operasi yang keseluruhannya berjumlah RM147,142.44. [112] Tuntutan tersebut terdiri daripada dua komponen utama, iaitu: