Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA TERENGGANU DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: TA-21NCvC-16-10/2025 ANTARA NORAINI BINTI YUSOF (NO. K/P: 820407-11-5058) ...PLAINTIF
TA-21NCvC-16-10/2025
High Court of Malaysia15 Jun 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA TERENGGANU DALAM NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: TA-21NCvC-16-10/2025 ANTARA NORAINI BINTI YUSOF (NO. K/P: 820407-11-5058) ...PLAINTIF
1
1.
2
2.
3
PENGARAH JABATAN PENGUATKUASAAN MAJLIS
4
PERBADANAN MEMAJUKAN IKTISAD NEGERI
5
PENOLONG PENGURUS BAHAGIAN PERUMAHAN RAKR, PMINT (TAHUN 2022) SHEIKHUL INSAN BIN ISMAIL @ ALI 19/07/2026 11:39:23
6
PENGURUS BAHAGIAN PERUMAHAN RAKR, PMINT
7
7.
8
8.
9
MOHD RADHIE BIN MOHD YUSOFF
10
ROSQISTINA WARDINA BINTI ROSLI @ MAHMUD …DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN
1
1.
Lampiran
Lampiran 23 adalah notis permohonan Defendan Kelapan, Kerajaan Negeri Terengganu (“Kerajaan Negeri”), yang difailkan pada 18 Disember 2025. Ia difailkan untuk membatalkan Writ Saman Terpinda dan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif bertarikh 13 Oktober 2025 berdasarkan peruntukan Aturan 18 Kaedah 19(1)(a), (b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 2012”) dan/atau di bawah bidang kuasa sedia ada Mahkamah ini di bawah Aturan 92 Kaedah 4 KKM 2012. Defendan Kelapan juga memohon penangguhan prosiding terhadapnya sehingga permohonan ini dilupuskan. 2. Plaintif, yang bertindak secara sendiri, menentang permohonan ini. Setelah meneliti hujahan-hujahan pihak-pihak, pliding, afidavit, hujahan bertulis, dan autoriti-otoriti yang dikemukakan, Mahkamah kini menyampaikan alasan penghakiman berkenaan permohonan tersebut. FAKTA-FAKTA LATAR BELAKANG 3. Plaintif adalah peserta dalam skim “Rumah Mampu Milik” (RMM) di bawah perjanjian sewa beli dengan Defendan Keempat, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (“PMINT”), sebuah badan berkanun negeri. Defendan Kesembilan dan Kesepuluh adalah jiran-jiran Plaintif di skim RMM yang sama. Defendan Pertama ialah Majlis Perbandaran Dungun (“MPD”), sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Defendan Kedua dan Ketiga adalah pegawai-pegawainya. Defendan Kelima, Keenam, dan Ketujuh adalah pegawai-pegawai PMINT. 4. Tuntutan Plaintif timbul daripada beberapa aduan yang dibuat. Pertama, beliau mengadu tentang kacau ganggu yang disebabkan oleh penternakan ayam dan bengkel kenderaan tanpa lesen yang dikendalikan oleh atau berkaitan dengan Defendan Kesembilan dan Kesepuluh; dan mendakwa bahawa Defendan Pertama, Kedua, dan Ketiga (MPD dan pegawai-pegawainya) gagal mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya walaupun beliau telah membuat aduan. Kedua, beliau mendakwa bahawa Defendan Keempat, Kelima, Keenam, dan Ketujuh (PMINT dan pegawai-pegawainya) mengeluarkan notis terhadapnya atas dakwaan pelanggaran perjanjian sewa beli yang tidak berasas, dan kemudian mengancam tindakan undang-undang jika beliau meneruskan aduannya. Kes Plaintif adalah bahawa Kerajaan Negeri (Defendan Kelapan) bertanggungjawab secara vikarius terhadap perbuatan semua Defendan lain (Defendan Pertama hingga Ketujuh) kerana mereka adalah pegawai awam atau agensi yang bertindak di bawah pentadbirannya. Permohonan Defendan Kelapan 5. Defendan Kelapan memohon untuk membatalkan tuntutan Plaintif terhadapnya atas alasan-alasan berikut seperti yang diringkaskan dalam Afidavit Sokongannya (Lampiran 22) dan Notis Permohonan (Lampiran 23): (1) Tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kelapan tidak mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah kerana Defendan Kelapan tidak bertanggungan secara vikarius ke atas Defendan Pertama hingga Ketujuh. (2) Defendan Pertama dan Keempat (MPD dan PMINT) adalah entiti undang-undang yang berasingan yang ditubuhkan di bawah statut masing-masing (Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Enakmen Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu 1965) dan boleh menyaman dan disaman atas nama sendiri. (3) Defendan Kedua, Ketiga, Kelima, Keenam, dan Ketujuh bukanlah pegawai awam di bawah Seksyen 5 dan 6 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (“APK 1956”) kerana mereka adalah pekhidmat atau ejen kepada Defendan Pertama dan Keempat, bukan Defendan Kelapan, dan gaji mereka tidak dibayar oleh Defendan Kelapan. (4) Tuntutan Plaintif tersebut adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan, dan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah kerana Pernyataan Tuntutan Plaintif adalah meleret-leret, tidak jelas, dan penuh dengan keterangan serta aduan yang bukan fakta material. Respon Plaintif 6. Plaintif, dalam Afidavit Jawapannya (Lampiran 24) dan Hujahan Bertulis (Lampiran 44 dan 60), berhujah bahawa: (1) Kerajaan Negeri menjalankan kawalan dan penyeliaan ke atas Defendan Pertama (MPD) melalui Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), dan ke atas Defendan Keempat (PMINT) melalui kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT. (2) Sistem Pengurusan Aduan Awam Negeri (SISPAA) Kerajaan Negeri memproses aduannya terhadap Defendan Pertama dan Keempat, yang menunjukkan pengetahuan dan kawalan. (3) Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai akses tidak terhad kepada rekod negeri dan bersumpah dalam Afidavit Sokongan berdasarkan akses tersebut, namun penafian kawalannya bercanggah dengan dokumen dan laman web rasmi kerajaan. (4) Defendan Kedua, Ketiga, Kelima, Keenam, dan Ketujuh adalah pegawai awam dalam maksud Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, maka Seksyen 5 dan 6 APK 1956 terpakai, menjadikan Kerajaan Negeri bertanggungan secara vikarius. (5) Aturan 2 Kaedah 3 KKM 2012 melarang bantahan awal semata-mata atas alasan ketidakpatuhan peraturan, dan permohonan ini adalah percubaan pramatang untuk menafikan haknya untuk perbicaraan yang adil mengenai merit. 7. Mahkamah telah pada 15 Jun 2026 membenarkan permohonan Defendan Kelapan dalam Lampiran 23 tersebut. Plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 12 Julai 2026. 8. Turut diputuskan pada hari yang sama (15 Jun 2026) adalah permohonan-permohonan berikut: (1) Permohonan Defendan Kesembilan & Kesepuluh (Lampiran 26) untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif. Lampiran 26 ini telah ditolak, dengan kos sebanyak RM3,000.00 dibayar kepada Plaintif dalam tempoh 30 hari; (2) Permohonan Defendan Pertama, Kedua & Ketiga (Lampiran 28) untuk meminda pembelaan. Lampiran 28 ini telah dibenarkan, dengan kos sebanyak RM2,000.00 dibayar kepada Plaintif dalam tempoh 30 hari; (3) Permohonan Defendan Kedua & Ketiga (Lampiran 30) untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif. Lampiran 30 ini telah ditolak, dengan kos sebanyak RM3,000.00 dibayar kepada Plaintif dalam tempoh 30 hari; (4) Permohonan Defendan Keempat, Kelima, Keenam & Ketujuh (Lampiran 32, 34, 36 & 38) untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif. Lampiran 32, 34, 36 & 38 ini telah ditolak, dengan kos terkumpul sebanyak RM6,000.00 dibayar kepada Plaintif dalam tempoh 30 hari. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN BAGI LAMPIRAN 23 9. Setelah meneliti pliding, afidavit, dan hujahan, isu-isu berikut timbul untuk diputuskan oleh Mahkamah ini: (1) Sama ada Pernyataan Tuntutan Plaintif mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap Defendan Kelapan (Kerajaan Negeri) dalam maksud Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) KKM 2012. (2) Sama ada tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kelapan adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan, atau merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) KKM 2012. (3) Sama ada Mahkamah harus membenarkan permohonan Defendan Kelapan untuk membatalkan, atau menolaknya dan membenarkan tuntutan diteruskan ke perbicaraan. HUJAHAN PIHAK-PIHAK Hujahan Defendan Kelapan 10. Defendan Kelapan, yang diwakili oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, berhujah bahawa tuntutan Plaintif terhadapnya tidak dapat dipertahankan di sisi undang-undang. Peguam bergantung kepada prinsip yang mantap bahawa permohonan untuk membatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) memerlukan mahkamah untuk melihat hanya pada pliding, dan tiada keterangan boleh diterima (Aturan 18 Kaedah 19(2)). Ujiannya adalah sama ada kausa tindakan itu “obviously unsustainable” (jelas tidak dapat dipertahankan) berdasarkan pliding itu sendiri (lihat Bandar Builder Sdn Bhd v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36 (SC) dan New Straits Times (Malaysia) Berhad v Kumpulan Kertas Niaga Sdn Bhd & Anor [1985] 1 MLJ 226 (FC)). 11. Peguam berhujah bahawa Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif, pada perenggan 25, hanya menyatakan bahawa Defendan Kelapan “boleh disaman menurut Akta Prosiding Kerajaan 1956” dan “bertanggungjawab terhadap apa-apa perbuatan, kelalaian, salah laku oleh penjawat awam dan/atau agensi yang bertindak dalam menjalankan tugas rasmi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.” Selain daripada pernyataan tersebut, tiada fakta spesifik yang diplidkan yang membuktikan tiga elemen liabiliti vikarius: (i) hubungan majikan-pekerja; (ii) perbuatan salah oleh pekerja; dan (iii) perbuatan itu dilakukan dalam skop pekerjaan (memetik Koh Tat Meng v Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan & Ors [2021] 1 LNS 2574 (HC) dan Zulkiply bin Taib & Anor v Prabakar a/l Bala Krishna & Ors [2015] 2 MLJ 607 (CA)). 12. Peguam selanjutnya berhujah bahawa Defendan 1 (MPD) adalah suatu pertubuhan perbadanan di bawah Seksyen 13 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Defendan 4 (PMINT) adalah suatu pertubuhan perbadanan di bawah Seksyen 3 Enakmen Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu 1965. Kedua-duanya adalah entiti undang-undang yang berasingan daripada Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak menggaji pegawai-pegawai MPD atau PMINT, dan tidak membayar gaji mereka. Oleh itu, Defendan Kedua, Ketiga, Kelima, Keenam, dan Ketujuh bukanlah “pegawai awam” yang termasuk dalam Seksyen 5 dan 6 APK 1956 berhubung dengan Defendan Kelapan. Akhir sekali, peguam berhujah bahawa Pernyataan Tuntutan Plaintif adalah terlalu panjang, berulang-ulang, dan mengandungi bahan keterangan serta aduan naratif, bertentangan dengan Aturan 18 Kaedah 7 KKM 2012, dengan merujuk kepada Yong Lai Ling (P) v Ng Seow Poe & Lain-lain [2015] 8 MLJ 351 (HC). Hujahan Plaintif 13. Plaintif, yang bertindak secara sendiri, berhujah bahawa mahkamah tidak seharusnya membatalkan tuntutannya kerana terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan. Beliau berhujah bahawa afidavit Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri dan dokumen rasmi kerajaan yang dikemukakannya (yang boleh diakses oleh Setiausaha Kerajaan Negeri) menunjukkan perkaitan pentadbiran antara Kerajaan Negeri, MPD, dan PMINT. Beliau menunjuk kepada kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT, peranan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Kerajaan Tempatan dan Bahagian Perumahan) dalam menyelaras dan menyelia pihak berkuasa tempatan, dan penggunaan sistem SISPAA Kerajaan Negeri. Beliau berhujah bahawa fakta-fakta ini, yang dalam pengetahuan Defendan Kelapan, adalah mencukupi untuk membuktikan kes prima facie kawalan dan penyeliaan. Plaintif juga bergantung kepada Seksyen 4 hingga 6 APK 1956 yang dibaca bersama Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, dengan menghujahkan bahawa “pegawai awam” merangkumi mana-mana orang yang sah memegang jawatan awam, tanpa mengira siapa yang membayar gaji mereka. Beliau berhujah bahawa permohonan Defendan Kelapan ini adalah suatu penyalahgunaan proses dan bantahan teknikal yang tidak seharusnya dibenarkan untuk menafikan haknya untuk perbicaraan yang adil. DAPATAN DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH Prinsip-Prinsip Undang-Undang yang Terpakai 14. Undang-undang berkenaan pembatalan pliding di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) KKM 2012 adalah undang-undang mantap. Kuasa mahkamah adalah secara ringkas dan hendaklah digunakan dengan penuh berhati-hati. Hanya dalam kes-kes yang paling jelas dan nyata, di mana tuntutan itu jelas tidak dapat dipertahankan berdasarkan pliding, mahkamah seharusnya membatalkan tuntutan tanpa perbicaraan penuh. Prinsip ini telah ditetapkan dengan kukuh dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd lwn. United Malayan Banking Corporation Bhd (supra), di mana mahkamah memutuskan bahawa “it is only in plain and obvious cases that recourse should be had to the summary process under this rule”. Mahkamah Persekutuan dalam New Straits Times (Malaysia) Berhad v Kumpulan Kertas Niaga Sdn Bhd & Anor (supra) menegaskan bahawa tiada keterangan boleh diterima dalam permohonan sedemikian; mahkamah hanya perlu mempertimbangkan pliding itu sendiri. Ujiannya adalah sama ada, berdasarkan pliding, kausa tindakan itu jelas tidak dapat dipertahankan. Analisis Terhadap Pliding Plaintif 15. Setelah membaca dengan teliti Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif (Lampiran 5), Mahkamah ini mendapati bahawa Plaintif telah memplidkan sejumlah besar fakta. Walau bagaimanapun, isu kritikal adalah sama ada fakta-fakta yang diplidkan mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap Defendan Kelapan (Kerajaan Negeri) untuk liabiliti vikarius. 16. Teras dakwaan Plaintif terhadap Defendan Kelapan terdapat di perenggan 25 Pernyataan Tuntutan, yang menyatakan bahawa Defendan Kelapan “boleh disaman menurut Akta Prosiding Kerajaan 1956” dan “bertanggungjawab terhadap apa-apa perbuatan, kelalaian, salah laku oleh penjawat awam dan/atau agensi yang bertindak dalam menjalankan tugas rasmi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” secara spesifik merujuk kepada Defendan 1 hingga 7. Plaintif kemudiannya bergantung kepada perkaitan pentadbiran yang telah dikenal pasti, seperti peranan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam PMINT, penyelarasan Kerajaan Negeri terhadap pihak berkuasa tempatan, dan sistem aduan SISPAA. 17. Walau bagaimanapun, elemen penting yang tidak wujud dalam pliding Plaintif terhadap Defendan Kelapan adalah ketiadaan fakta-fakta yang diplidkan yang membuktikan hubungan majikan-pekerja antara Kerajaan Negeri dan pihak yang melakukan kesalahan (Defendan 1 hingga 7). Mahkamah ini berpandu kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam Zulkiply bin Taib & Anor lwn. Prabakar a/l Bala Krishna & Ors (supra), yang menegaskan tiga syarat khusus untuk liabiliti vikarius iaitu: (a) kewujudan hubungan majikan-pekerja; (b) perbuatan yang dilakukan oleh pekerja; dan (c) pekerja bertindak dalam skop dan lingkungan pekerjaannya. 18. Plaintif tidak memplidkan bahawa Defendan 1 (MPD) adalah pekerja Defendan Kelapan. Berdasarkan undang-undang, MPD adalah suatu entiti korporat yang berasingan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Seksyen tersebut dengan nyata memperuntukkan seperti berikut: “13. Pihak berkuasa tempatan adalah perbadanan. Tiap-tiap pihak berkuasa tempatan adalah suatu pertubuhan perbadanan dan adalah kekal turun-menurun dan hendaklah mempunyai suatu meterai yang mana boleh diubah dari semasa ke semasa dan boleh membawa guaman dan dibawa guaman, memperoleh, memegang dan menjual harta dan amnya boleh melaku dan menjalankan apa-apa perbuatan dan perkara yang boleh dilaku dan dijalankan di sisi undang-undang oleh pertubuhan perbadanan”. 19. Begitu juga, PMINT (Defendan Keempat) adalah suatu pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Enakmen Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu 1965, dengan kuasa penuh untuk menyaman dan disaman. Seksyen 3 tersebut menyatakan seperti berikut: “3(1) There is hereby established a body which shall be a body corporate by the name of “Terengganu State Economic Development Corporation” and shall have perpetual succession and a common seal and full power and authority under such corporate name to sue and to be sued and subject to and for the purposes of this Enactment to enter into contracts and to acquire, purchase, take, hold and enjoy movable and immovable property of every description and to convey, assign, surrender, yield up, charge, mortgage, demise, re-assign, transfer or otherwise dispose of or deal with any movable or immovable property or any interest therein vested in the Corporation on such terms as the Corporation may deem fit. (2) The Corporation shall be subject to any direction of the Minister and may perform any function of an authority of the Federation; and the executive authority of the Federation may extend to the Corporation.” 20. Dengan itu, Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun ini adalah entiti undang-undang yang berasingan. Fakta bahawa Kerajaan Negeri mungkin menjalankan beberapa pengawasan pentadbiran atau fungsi penyelarasan dasar ke atas pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun tidak, tanpa keterangan lanjut, menukar badan-badan tersebut atau pegawai-pegawainya menjadi pekerja Kerajaan Negeri bagi maksud liabiliti vikarius dalam tort. 21. Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Koh Tat Meng v Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan & Ors (supra) adalah jelas dan tepat berkenaan dengan isu ini. Dalam kes tersebut, plaintif cuba menyaman Kerajaan Negeri atas perbuatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Kerajaan Negeri dan MPSJ iaitu sebuah pihak berkuasa tempatan adalah dua entiti yang berasingan yang beroperasi dalam bidang kuasa pentadbiran yang berlainan, dan Seksyen 13 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bermaksud bahawa sesuatu pihak berkuasa tempatan boleh menyaman dan disaman atas kapasitinya sendiri. Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa tiada bukti hubungan majikan-pekerja antara MPSJ dan Kerajaan Negeri. Mahkamah ini dengan hormatnya menerima pakai penghujahan tersebut. Pergantungan Plaintif kepada peranan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau keahlian Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Lembaga Pengarah PMINT tidak mewujudkan hubungan pekerjaan. Seorang ahli lembaga pengarah bukanlah majikan kepada kakitangan perbadanan itu; perbadanan itu sendiri adalah majikan. Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Akta Tafsiran 22. Plaintif bergantung kepada Seksyen 4, 5, dan 6 APK 1956 yang dibaca bersama Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 untuk berhujah bahawa Defendan 2, 3, 5, 6, dan 7 adalah “pegawai awam” yang perbuatannya mengikat Kerajaan Negeri. Seksyen 5 APK 1956 memperuntukkan liabiliti Kerajaan dalam tort atas perbuatan “pekhidmat atau ejen” nya. Walau bagaimanapun, persoalan asas tetap: adakah Defendan Kedua dan Ketiga (pegawai MPD) merupakan “pekhidmat atau ejen” kepada Kerajaan Negeri? Plaintif tidak memplidkan sebarang fakta untuk menunjukkan bahawa pegawai MPD digaji atau dilantik oleh Kerajaan Negeri. Sebaliknya, Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa pegawai pihak berkuasa tempatan dilantik oleh pihak berkuasa tempatan itu sendiri. Fakta bahawa mereka memegang “jawatan awam” dalam erti kata perlembagaan yang luas tidak menjadikan mereka pekhidmat atau ejen Kerajaan Negeri bagi maksud undang-undang tort. Seksyen 3 Akta Tafsiran mentakrifkan “pegawai awam” bagi maksud mentafsir undang- undang bertulis, tetapi ia tidak mengenepikan kehendak khusus liabiliti vikarius atau personaliti undang-undang yang berasingan bagi badan-badan berkanun. Pergantungan Plaintif kepada Dokumen Rasmi dan Akses Setiausaha Kerajaan Negeri 23. Plaintif berhujah bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, yang mempunyai “akses tidak terhad” kepada rekod negeri dan telah bersumpah dalam Afidavit Sokongan, pastinya mengetahui bahawa perkaitan pentadbiran tersebut wujud. Beliau juga memohon Seksyen 58(1), 78A, 81, dan 90A Akta Keterangan 1950 untuk berhujah bahawa dokumen kerajaan adalah keterangan prima facie mengenai kandungannya. Walau bagaimanapun, isu dalam permohonan pembatalan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) bukanlah sama ada Plaintif mempunyai keterangan untuk menyokong tuntutannya. Kaedah tersebut dengan nyata memperuntukkan bahawa “tiada keterangan boleh diterima” dalam permohonan sedemikian. Mahkamah terbatas apa yang diplidkan dalam Pernyataan Tuntutan itu sendiri. Kewujudan dokumen kerajaan atau pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri tentang susunan pentadbiran tidak, dengan sendirinya, mengubah pernyataan kosong Plaintif menjadi kausa tindakan yang diplidkan. Jika Plaintif ingin bergantung kepada dokumen-dokumen tersebut, beliau mesti terlebih dahulu memplidkan fakta material yang mencukupi yang, jika dibuktikan, akan mewujudkan asas undang-undang untuk liabiliti vikarius. Beliau tidak berbuat demikian. Kualiti Pliding 24. Mahkamah juga mengambil maklum berkenaan hujahan Defendan Kelapan bahawa Pernyataan Tuntutan Plaintif adalah meleret-leret, berulang-ulang, dan mengandungi bahan keterangan. Pernyataan Tuntutan Plaintif merangkumi banyak muka surat dan perenggan. Adalah kehendak mandatori Aturan 18 Kaedah 7 KKM 2012 bahawa setiap pliding hendaklah mengandungi hanya pernyataan dalam bentuk ringkasan fakta material yang menjadi sandaran pihak, dan bukannya keterangan yang membuktikan fakta-fakta tersebut. Dalam Yong Lai Ling (P) v Ng Seow Poe & Lain-lain (supra), Mahkamah Rayuan membatalkan tuntutan yang “terlalu panjang, berjela-jela, memenatkan untuk dibaca, penuh dengan keterangan dan cerita seolah-olah surat aduan yang panjang.” 25. Mahkamah mendapati bahawa pliding Plaintif cenderung untuk menceritakan rungutannya secara panjang lebar dan termasuk apa yang tampak sebagai keterangan. Walau bagaimanapun, setelah meneliti kandungan pliding tersebut, Mahkamah ini hanya memutuskan permohonan ini berdasarkan alasan substantif iaitu tiada kausa tindakan yang munasabah, bukannya semata-mata atas kualiti teknikal pliding, memandangkan status Plaintif sebagai pihak yang bertindak secara sendiri. Kesimpulan terhadap Permohonan 26. Berdasarkan alasan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif (Lampiran 5) gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap Defendan Kelapan seperti yang dikehendaki oleh Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) KKM 2012. Tuntutan terhadap Defendan Kelapan adalah jelas tidak dapat dipertahankan berdasarkan pliding. Defendan Pertama dan Keempat adalah entiti undang-undang yang berasingan yang mampu untuk disaman atas hak mereka sendiri. Defendan Kedua, Ketiga, Kelima, Keenam, dan Ketujuh tidak diplidkan sebagai pekhidmat atau ejen kepada Defendan Kelapan, dan tiada hubungan majikan-pekerja diplidkan. Doktrin liabiliti vikarius tidak terpakai ke atas fakta-fakta seperti yang diplidkan. 27. Mahkamah juga mendapati bahawa meneruskan tuntutan terhadap Defendan Kelapan akan menjadi suatu penyalahgunaan proses di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(d) KKM 2012 kerana Defendan Kelapan telah dimasukkan dalam prosiding ini secara tidak wajar. Defendan yang sepatutnya ialah Defendan Pertama (MPD) untuk isu kacau ganggu dan penguatkuasaan, dan Defendan Keempat (PMINT) untuk isu perjanjian perumahan, bersama-sama dengan pegawai-pegawai mereka masing-masing jika liabiliti peribadi didakwa. Kerajaan Negeri bukanlah majikan kepada pegawai-pegawai tersebut, dan tidak bertanggungjawab secara langsung terhadap operasi harian pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun tersebut. KEPUTUSAN 28. Oleh yang demikian, Mahkamah ini membuat perintah-perintah berikut: (1) Notis Permohonan Defendan Kelapan (Lampiran 23) dibenarkan. (2) Writ Saman Terpinda dan Pernyataan Tuntutan Terpinda bertarikh 13 Oktober 2025 (Lampiran 4 dan 5) terhadap Defendan Kelapan (Kerajaan Negeri Terengganu) adalah dibatalkan. (3) Plaintif hendaklah membayar kos permohonan ini kepada Defendan Kelapan sebanyak RM2,000.00 dalam tempoh 30 hari, tertakluk kepada alokatur. Bertarikh: 15 Julai 2026 Yusrin Faidz Bin Yusoff Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Terengganu Plaintif (bertindak sendiri) Noraini Binti Yusof PT 15387, Taman Indah Sari Batu 7 23000 Dungun, Terengganu Darul Iman. Peguamcara Defendan Ke-8 Siti Aisyah Munirah Binti Roslan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Tingkat 14, Wisma Darul Iman, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Peguamcara Defendan 1, 2 & 3 Saifuddin Bin Othman Tetuan Wan Abd Muttalib & Co. 35, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar 20300 Kuala Terengganu Terengganu Darul Iman. Peguamcara Defendan 4, 5, 6 & 7 Kamarul Arifin Bin Abdul Majid Tetuan Kamarul Arifin & Co. P1.7 PT 2792, Tingkat 1, Jalan Kubang Ikan, Chendering 21080 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Peguamcara Defendan 9 & 10 Muhamad Asri Helmi Bin Mohd Akmal Tetuan Fariz Halim & Co. Ground & 1st Floor, Graha FHC, No. 33 Jalan Teratai, Off Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. RUJUKAN KES-KES: 1. Bandar Builder Sdn Bhd v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36 (SC). 2. New Straits Times (Malaysia) Berhad v Kumpulan Kertas Niaga Sdn Bhd & Anor [1985] 1 MLJ 226 (FC). 3. Koh Tat Meng v Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan & Ors [2021] 1 LNS 2574 (HC). 4. Zulkiply bin Taib & Anor v Prabakar a/l Bala Krishna & Ors [2015] 2 MLJ 607 (CA). 5. Yong Lai Ling (P) v Ng Seow Poe & Lain-lain [2015] 8 MLJ 351 (HC). RUJUKAN PERUNDANGAN: 1. Aturan 2 Kaedah 3, Aturan 18 Kaedah 7, Aturan 18 Kaedah 19(1)(a), (b) dan (d), & Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. 2. Seksyen 4, 5 dan 6 Akta Prosiding Kerajaan 1956. 3. Seksyen 13 Akta Kerajaan Tempatan 1976. 4. Seksyen 3 Enakmen Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu 1965. 5. Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967. 6. Seksyen 58(1), 78A, 81, dan 90A Akta Keterangan 1950.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.