Mahkamah ini mendapati bahawa alasan yang diberikan oleh Defendan adalah bersifat umum, tidak disokong dengan butiran terperinci, dan tidak menunjukkan bahawa kegagalan tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Mahkamah ini juga berpendapat bahawa kegagalan Defendan untuk bertindak sebelum tempoh tamat adalah satu faktor penting. Defendan tidak memohon lanjutan masa sebelum 13.02.2026, yang menunjukkan bahawa kegagalan tersebut bukanlah suatu keadaan terdesak tetapi akibat kelalaian. Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa alasan yang diberikan oleh Defendan tidak mencapai tahap “alasan munasabah” yang diperlukan untuk mewajarkan pelanjutan masa. Isu (ii): Sama ada Mahkamah wajar menggunakan budi bicara untuk melanjutkan masa 24. Mahkamah ini seterusnya meneliti sama ada, walaupun terdapat kelewatan, budi bicara Mahkamah wajar digunakan untuk membenarkan pelanjutan masa. Tidak dinafikan bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk melanjutkan masa di bawah prinsip umum prosedur dan juga selaras dengan semangat Aturan 1A dan Aturan 2 KKM 2012 yang menekankan keadilan substantif. Namun demikian, Mahkamah ini menegaskan bahawa budi bicara tersebut bukanlah bersifat automatik atau tanpa had. Ia mesti digunakan berdasarkan prinsip yang seimbang antara keadilan kepada kedua-dua pihak. Dalam menilai budi bicara tersebut, Mahkamah mengambil kira beberapa faktor tempoh kelewatan, alasan kelewatan, tingkah laku pihak yang memohon dan prejudis kepada pihak lawan. Walaupun kelewatan dalam kes ini adalah sekitar 10 hari, Mahkamah ini mendapati bahawa faktor yang lebih penting ialah tingkah laku Defendan. Defendan bukan sahaja gagal memfailkan dalam masa, tetapi telah memfailkan Pembelaan tanpa kebenaran Mahkamah dan hanya memfailkan permohonan selepas pelanggaran berlaku. Pendekatan ini menunjukkan sikap tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya.