Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL: WA–A53–8–01/2025; WA–A53–10–02/2025 DAN WA–A52–16–01/2025 (KETIGA-TIGA KES DIGABUNGKAN DAN DIDENGAR BERSAMA Digabung Dan Didengar Bersama Dengan Menurut Perintah Bertarikh 30 April 2025) NO. GUAMAN: WA-A52-16-01/2025 … PLAINTIF PERBADANAN PENGURUSAN DUTARIA CONDOMINIUM (No. Pendaftaran: PTG/WP.20/1/2141) … DEFENDAN NO. GUAMAN: WA-A53-8-01/2025 ...PLAINTIF ROSELINA SELVANEE (No. K/P: 891231-07-5766) ... DEFENDAN NO. GUAMAN: WA-A53-10-02/2025 ...PLAINTIF OOI JOE EARN (No. K/P: 830526-02-5601) … DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN (LAMPIRAN 27 PERMOHONAN JAMINAN KOS) PENGENALAN [1] Kes ini melibatkan seorang plaintif yang mengambil membuat tuntutan terhadap tiga defendan dalam kes yang berlainan. Ketiga tiga kes ini telah digabungkan untuk didengar Bersama melalui Perintah Hakim Mahkamah Sesyen yang lain bertarikh 30.4.2025. [2] Bagi kes NO. GUAMAN: WA-A53-8-01/2025, permohonan Lampiran 27 di buat oleh defendan untuk jaminan kos. Permohonan ini telah saya benarkan pada 18.11.2025 di mana plaintif dikehendaki membayar wang jaminan kos sebanyak RM50,000.00. PERMOHONAN DEFENDAN ( LAMPIRAN 27) [3] Defendan membuat permohonan di bawah Aturan 23 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk perintah-perintah berikut:- a. Bahawa Plaintif membayar Defendan jaminan kos sebanyak RM80,000.00 dalam 14 hari dari tarikh perintah ini; b. Bahawa prosiding ini digantungkan (“stayed”) sehingga Plaintif mematuhi perintah jaminan untuk kos ini; c. Kos permohonan ini dibayar oleh Plaintif kepada Defendan atas dasar peguam cara dan anak guam dan secara indemniti penuh; dan d. Apa-apa relif dan perintah yang dianggap adil dan sesuai oleh Mahkamah Yang Mulia ini. ALASAN PERMOHONAN DEFENDAN [4] Permohonan ini di buat oleh Defendan dalam konteks pertikaian berpanjangan di mana Plaintif telah memfailkan banyak tuntutan sivil yang berulang dan tidak berasas terhadap Defendan, Badan Pengurusan, dan penduduk lain di Dutaria Kondominium, atas tuduhan seperti "bau toksik" dan gangguan lain. [5] Defendan memohon satu perintah Mahkamah untuk mewajibkan Plaintif menyediakan jaminan kos. Tujuan utama adalah untuk memastikan Defendan tidak menanggung kerugian kewangan sekiranya beliau berjaya membela diri, memandangkan Plaintif menunjukkan corak sebagai litigan yang gemar membuat tuntutan tanpa asas (vexatious litigant) yang mengejar tuntutan spekulatif. [6] Defendan menyokong permohonan ini dengan bukti bahawa Plaintif gagal membayar yuran guaman kepada dua firma peguam sebelum ini (tertunggak RM5,000.00 dan RM3,000.00), menyebabkan kedua-dua firma menarik diri. Ketidakmampuan Plaintif membayar kos guaman yang kecil ini menunjukkan beliau tidak mampu menampung kos Defendan jika diarahkan berbuat demikian, seperti yang ditetapkan di bawah Perintah 23 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. [7] Selain itu, Plaintif mempunyai sejarah memulakan banyak tindakan yang kemudiannya dibatalkan kerana gagal meneruskannya, serta berulang kali membuat aduan tidak berasas kepada polis dan DBKL. Dalam satu contoh, Plaintif gagal hadir ke sesi mediasi DBKL yang dimintanya sendiri. [8] Defendan menyatakan bahawa tuntutan Plaintif adalah kurang merit kerana ia tidak disokong oleh bukti bebas, dan aduannya tidak pernah menghasilkan keputusan negatif terhadap Defendan oleh pihak berkuasa. [9] Walaupun Plaintif menafikan masalah kewangan dan mendakwa permohonan ini adalah taktik ugutan, Mahkamah perlu melihat corak tingkah laku Plaintif yang panjang dan bukannya penafian kosong. [10] Jaminan kos sebanyak RM80,000.00 yang diminta adalah munasabah dan berkadaran, memandangkan Plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM500,000.00 bagi setiap Defendan. [11] Kuasa Mahkamah perlu digunakan untuk mencegah ketidakadilan dan melindungi Defendan daripada menanggung kerugian besar dalam mempertahankan diri terhadap tuntutan yang spekulatif dan tidak berasas. LATAR BELAKANG DAN ASAS TUNTUTAN PLAINTIF [12] Plaintif ialah seorang warganegara Malaysia yang cukup umur, waras dan merupakan pemilik petak berdaftar (“registered parcel proprietor") bagi satu premis kediaman yang dipegang di bawah alamat Unit 06-3, Dutaria Condominium, Jalan Dutamas Raya, Off Jalan Segambut, 51200, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan. Manakala Defendan merupakan pemilik dan penghuni Unit 6-4 di kondominium yang sama. Kacau Ganggu dan Provokasi yang Dialami Plaintif [13] Plaintif mendakwa bahawa sejak Mei 2023, Defendan telah melakukan pelbagai tindakan yang sengaja, cuai, atau tidak peduli, seperti provokasi dan kacau ganggu secara langsung atau tidak langsung. Perbuatan Defendan ini telah menyebabkan Plaintif mengalami tekanan emosi, gangguan mental, serta kehilangan ketenangan dan keselesaan hidup. [14] Pada Mei 2023, Plaintif dan Defendan bergaduh. Semasa pertengkaran itu, Defendan menyatakan bahawa jiran-jiran di kondominium telah memberi amaran kepadanya untuk berhati-hati dengan Plaintif, dan ramai penghuni tidak menyukai Plaintif. Plaintif merasakan kenyataan ini adalah fitnah, berniat jahat, dan di buat untuk merosakkan reputasinya, sekali gus menimbulkan permusuhan antara jiran. [15] Plaintif juga mendakwa Defendan membuat tuduhan palsu dan bersifat fitnah, seperti menuduh Plaintif membuang sampah masakan, bijian, dan telur busuk ke atas tanaman di balkoni Defendan. Tuduhan ini di buat dengan nada menghina untuk memburukkan Plaintif. Selain itu, Defendan juga menuduh Plaintif menyekat aliran air balkoni tanpa bukti, yang mencetuskan konflik yang tidak perlu. [16] Plaintif menyatakan bahawa Defendan sengaja dan berulang kali mengetuk dinding unit dengan kuat apabila anak Plaintif bermain piano. Plaintif percaya ini dilakukan untuk mengganggu emosi dia dan keluarganya. Gangguan ini berlaku secara kerap pada waktu pagi, petang, dan malam tanpa sebab yang jelas, sehingga mengganggu ketenteraman Plaintif. [17] Plaintif menyatakan Defendan sengaja meletakkan selipar dan kasut di hadapan pintu rumah Plaintif. Ini adalah bentuk provokasi berterusan yang bertujuan mencabar kesabaran Plaintif dan menimbulkan ketidakselesaan. [18] Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah menuduh Plaintif pergi ke Pejabat Pengurusan dan memberitahu kakitangan di sana bahawa Defendan terlibat dalam perniagaan eksploitasi seksual atau pelacuran, semasa pertengkaran pada Mei 2023. [19] Pada Oktober 2024, Defendan atau individu yang berkaitan dengannya telah mencalitkan najis kanak-kanak pada dinding ruang masuk rumah Plaintif. Plaintif menganggap tindakan ini sebagai penghinaan yang melampau, merosakkan maruah Plaintif dan keluarga, serta menyebabkan tekanan emosi, rasa malu, dan gangguan psikologi yang berterusan. [20] Defendan juga didakwa menghempas pintu unit kediamannya secara agresif dan berulang kali, terutamanya pada waktu subuh, siang, dan malam. Bunyi yang terhasil mengganggu ketenangan Plaintif, menyebabkan Plaintif kehilangan rehat, dan menjejaskan kesihatan mental dan fizikalnya. Plaintif melihat ini sebagai gangguan yang disengajakan. [21] Plaintif menyatakan bahawa setiap kali Plaintif selesai berbual dengan anaknya, Defendan akan menutup pintu utama dengan kuat, menyebabkan Plaintif berasa seperti privasinya diintip. Plaintif menganggap sikap ini sebagai intimidasi yang mengganggu emosi dan mentalnya. [22] Plaintif juga mendapati Defendan sering membuka dan menutup semula pintu utama unit kediamannya secara agresif tanpa sebab yang jelas. Perbuatan yang kerap ini bertujuan menimbulkan ketegangan dan tekanan, yang menyebabkan Plaintif kini hidup dalam tekanan emosi yang tidak berkesudahan akibat kelakuan Defendan yang tidak rasional. [23] Defendan atau penghuni lain di kediamannya sengaja mengganggu aktiviti keagamaan Plaintif dan keluarganya, seperti menghasilkan bunyi bising dengan mengetuk dinding, memukul objek keras, dan mengalihkan kerusi di balkoni berdekatan. Tindakan ini kerap berlaku, terutamanya semasa Plaintif atau anaknya solat. Gangguan berulang dan sengaja ini mengganggu fokus ibadah, ketenangan spiritual, dan menyebabkan tekanan emosi mendalam. [24] Selain itu, Plaintif mendapati Defendan atau penghuni unitnya sengaja mengetuk sesuatu dan menghempas pintu unit mereka ketika Azan dari Masjid berkumandang. Plaintif menganggap tindakan ini bukan sahaja gangguan tetapi penghinaan terhadap agamanya, yang menyebabkan tekanan psikologi dan mengganggu kehidupan beragama Plaintif. [25] Sekitar Januari 2025, Defendan sengaja meletakkan selipar di kawasan jubin tengah (ruang yang dipersetujui untuk dibiarkan kosong) antara unit mereka. Plaintif mendapati selipar itu diletakkan di tengah ketika beliau keluar dan diletakkan hampir ke pintu rumah Plaintif ketika beliau pulang. Plaintif percaya tindakan ini adalah kesinambungan corak gangguan yang bertujuan provokasi dan tekanan emosi. [26] Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah melanggar Undang-Undang Kecil Dutaria Condominium, menunjukkan pengabaian tanggungjawab, termasuk: a) Mengganggu jiran dengan sengaja menyebabkan bunyi bising, provokasi, dan gangguan berterusan. b) Meletakkan objek di kawasan harta bersama tanpa kebenaran, menghalang penggunaan kawasan umum. c) Gagal berhati-hati dalam aktiviti harian, yang menyebabkan ketidakselesaan dan tekanan mental kepada Plaintif. RELIF-RELIF YANG DITUNTUT PLAINTIF [27] Plaintif menuntut terhadap Defendan untuk relif-relif berikut: a) Satu deklarasi bahawa Defendan telah dengan gagal dan/atau cuai dan/atau enggan menjalankan tugas dan tanggungjawab berkanunnya di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 dan lain-lain undang-undang bertulis yang lain bagi mematuhi undang-undang kecil dan undang-undang kecil tambahan bagi Dutaria Condominium; b) Satu perintah mahkamah bagi mengarahkan Defendan menjalankan tanggungjawab berkanunnya di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 dan lain-lain undang-undang bertulis yang lain bagi akur dan mematuhi dan undang-undang kecil dan undang-undang kecil tambahan bagi Dutaria Condominium; c) Satu deklarasi bahawa Defendan telah melakukan kacau ganggu terhadap Plaintif; d) Satu injunksi untuk melarang Defendan daripada mengulangi atau meneruskan kacau ganggu atau apa-apa kacau ganggu yang serupa; e) Ganti rugi di mana diperintahkan oleh Mahkamah yang mulia ini, ditaksirkan dan dibayar oleh Defendan kerana kacau ganggu tersebut; f) Ganti rugi Am yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang mulia ini; g) Ganti rugi Khas yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang mulia ini; h) Ganti rugi Teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah yang mulia ini; i) Faedah pada kadar 5% setahun ke atas ganti rugi am dan/atau ganti rugi khas dan/atau ganti rugi teladan dan dikira dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh sebarang jumlah penghakiman di sini; j) Kos atas dasar tanggung rugi; k) Lain-lain relif yang dianggap patut dan sesuai oleh Mahkamah. ANALISA DAN KEPUTUSAN [28] Di dalam mempertimbangkan permohonan ini, saya merujuk kepada Peruntukan mengenai Jaminan Kos dinyatakan di bawah Aturan 23 Kaedah-Kaedah Mahkamah seperti di bawah: