Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN JENAYAH NO: KA-41S-4-06/2022 MAHKAMAH MAJISTRET LANGKAWI NO.: 83D-54-01/2019
KA-41S-4-06/2022
High Court of Malaysia23 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“s not admissible as proof of a fact which has been stated by a third person. This rule has been long established as a fundamental principle of the law of evidence. To quote Lord Normand in Teper v. R [1952] AC 480, 486: "The rule against the admission of hearsay evidence is fundamental. It is not the best evidence, and”
“. Prinsip undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh dibuat sandaran oleh Mahkamah. Ia seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Leong Hong Khie v. PP [1984] CLJU 172 seperti berikut: “The general rule is that hearsay evidence is not admissible as proof of a fact which h”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN JENAYAH NO: KA-41S-4-06/2022 MAHKAMAH MAJISTRET LANGKAWI NO.: 83D-54-01/2019
1
MISS MANITHA THATSAENG [NO. PASPORT: AA9707832]
2
NORHASLIZA BINTI MUHAMMAD [NO. K/P: 810321-02-5888] …PERAYU-PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN JENAYAH NO: KA-41S-5-06/2022 MAHKAMAH MAJISTRET LANGKAWI NO.: 83D-55-01/2019 ANTARA MISS MANITHA THATSAENG [NO. PASPORT: AA9707832] …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Kes ini melibatkan rayuan oleh kedua-dua Perayu ke atas keputusan Tuan Majistret Langkawi (TM) yang telah mensabitkan mereka bagi dua kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). [2] Kedua-dua Perayu telah dituduh dan disabitkan seperti berikut: a) bagi kes pertama iaitu No.: 83D-54-01/2019 (Rayuan No.: KA-41S-4-06/2022), Perayu 1 (Miss Manitha Thatsaeng) dan Perayu 2 (Norhasliza binti Muhammad) dituduh bagi 3 pertuduhan seperti berikut: i) di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana memiliki secara bersama-sama 13.28 gram dadah berbahaya iaitu Methamphetamine dan 3,4- Methylenedioxymethamphetamine dan disabit serta dihukum 36 bulan penjara dari tarikh sabitan; ii) di bawah seksyen 12(2)/12(3) Akta 234 dan dibaca bersama seksyen 34 Akta 574 kerana memiliki secara bersama-sama 0.04 gram dadah berbahaya iaitu Nimetazepam dan disabit serta dihukum 15 bulan penjara dari tarikh sabitan; dan iii) di bawah seksyen 12(2)/12(3) Akta 234 dan dibaca bersama seksyen 34 Akta 574 kerana memiliki secara bersama-sama 1.8 gram dadah berbahaya iaitu Methamphetamine dan disabit serta dihukum 15 bulan penjara dari tarikh sabitan. b) Bagi kes kedua iaitu No.: 83D-55-01/2019 (Rayuan No.: KA- 41S-5-06/2022), Perayu 1 turut dituduh dan disabitkan secara berasingan seperti berikut: i) di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234 kerana memiliki 10.88 gram dadah berbahaya iaitu Methamphetamine dan 3,4- Methylenedioxymethamphetamine dan disabit serta dihukum 48 bulan penjara dari tarikh sabitan; ii) di bawah seksyen 12(2)/12(3) Akta 234 kerana memiliki 0.5 gram dadah berbahaya iaitu Nimetazepam dan disabit serta dihukum 15 bulan penjara dari tarikh sabitan; dan iii) di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234 kerana memiliki 0.82 gram dadah berbahaya iaitu Ketamine dan disabit serta dihukum 15 bulan penjara dari tarikh sabitan. [3] Kedua-dua kes pertama dan kes kedua telah dibicarakan secara bersama-sama kerana ia melibatkan fakta kes dan saksi-saksi yang sama. Untuk rekod, terdapat 2 Alasan Penghakiman (AP) disediakan oleh TM iaitu AP pertama bagi kes di peringkat pendakwaan dan AP kedua adalah bagi kes di peringkat pembelaan. Kedua-dua AP tersebut tidak ditandatangani oleh TM. Fakta kes [4] Keterangan kes pihak PR adalah berpaksikan kepada serbuan yang dijalankan oleh SP8 pada 16/1/2018 jam 4.15 petang ke atas sebuah rumah beralamat di No. 108, Kampung Pokok Asam, Kuah, Langkawi (rumah tersebut). Serbuan tersebut adalah berdasarkan satu maklumat berkaitan aktiviti dadah di rumah tersebut. [5] Setibanya di rumah tersebut, SP8 mendapati pintu jeriji rumah tersebut berkunci. SP8 telah memanggil penghuni rumah tersebut dan Perayu 1 telah keluar membuka pintu jeriji. SP8 telah memperkenalkan diri sebagai pegawai Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) dan bersama-sama pasukan telah masuk ke dalam rumah tersebut. [6] Apabila masuk, SP8 mendapati Perayu 2 sedang duduk di atas lantai ruang tamu rumah dan SP8 selanjutnya telah menjalankan pemeriksaan dan telah menemukan satu beg tangan berjenama Coach (P43) yang mana ditemui dadah-dadah bagi kes yang kedua. Manakala pemeriksaan ke atas meja di ruang tamu, SP8 telah menemui 1 kotak Marine Assence (P60) yang mengandungi dadah-dadah bagi sebahagian pertuduhan di kes pertama. Manakala pemeriksaan lanjut di dapur rumah tersebut, SP8 menemui dadah di dalam mesin basuh yang juga merupakan sebahagian dari dadah bagi kes pertama. [7] Pembelaan kedua-dua Perayu secara asasnya adalah kedua mereka merupakan tetamu di rumah tersebut. Rumah tersebut adalah disewa dan dihuni oleh kawan Perayu 1 iaitu seorang Warganegara Thailand yang dikenali sebagai “Shido”. Dengan kata yang lain, dadah yang ditemui di dalam rumah tersebut bukanlah milik mereka. [8] Di dalam AP pertama, TM telah membuat dapatan berkaitan pemilikan dadah-dadah tersebut berdasarkan dapatan fakta bahawa Perayu 1 dan Perayu 2 mempunyai akses dan keupayaan untuk berurusan ke atas dadah-dadah bagi kes pertama seperti berikut: a) pintu jeriji rumah tersebut adalah di dalam keadaan tidak berkunci; b) hanya Perayu 1 dan Perayu 2 berada di dalam rumah tersebut; c) pintu belakang rumah tersebut adalah berkunci; dan d) keberadaan kedua-dua Perayu di dalam rumah tersebut membolehkan inferens bahawa hanya mereka mempunyai akses ke atas dadah-dadah tersebut. [9] Manakala bagi kes yang kedua, TM membuat dapatan bahawa Perayu 1 mempunyai kawalan terhadap dadah-dadah yang ditemui di dalam beg yang dibuktikan milik Perayu 1 berdasarkan penemuan lesen memandu Thailand milik Perayu 1 di dalam beg tersebut. Analisis dan dapatan Mahkamah [10] Sebelum Mahkamah menjalankan analisis bagi kedua-dua rayuan, Mahkamah merekodkan bahawa di dalam Rekod Rayuan (RR) yang disediakan, terdapat beberapa kekurangan seperti berikut: a) Nota Keterangan bagi keputusan di akhir kes adalah tidak dimasukkan; b) Perintah Mahkamah Majistret tidak dikemukakan; c) butiran serta sumpah oleh semua saksi tidak direkodkan; dan d) Alasan Penghakiman tidak ditandatangani. [11] Namun Mahkamah telah meneliti Rakaman Keterangan di dalam CD dan mendapati bahawa TM telah membacakan keputusannya di Mahkamah terbuka dan menjalankan prosiding secara betul di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Cuma ianya tidak direkodkan secara sempurna di dalam RR. Oleh itu, Mahkamah ini berpandangan bahawa prosiding di hadapan TM adalah teratur. Oleh itu, Mahkamah memutuskan untuk meneruskan analisis ke atas rayuan bagi kedua-dua kes. [12] Isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua Peguambela Perayu bagi kes yang pertama adalah berkaitan kewujudan seorang penama yang dikenali sebagai “Shido” yang dikatakan penyewa sebenar rumah tersebut. Kewujudan penama ini, diakui oleh saksi pendakwaan sendiri iaitu SP6 yang merupakan pemilik rumah tersebut. Menurut SP6, penama “Shido” inilah yang telah menyewa rumah tersebut daripadanya. [13] Namun saksi-saksi PR yang lain terutamanya SP9 iaitu Pegawai Penyiasat, menyatakan bahawa siasatan tidak dapat dijalankan kerana butiran penama ini tidak mencukupi untuk disiasat secara lanjut. [14] TM di dalam keputusannya menyatakan bahawa kewujudan penama “Shido” ini tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana menurut SP9, maklumat berkaitan penama ini adalah tidak lengkap. TM turut menyatakan bahawa Peguam Perayu-perayu tidak pernah mencadangkan dadah-dadah ini adalah milik “Shido”. Bagi TM, pembelaan kedua-dua Perayu adalah satu penafian kosong dan tidak berjaya membangkitkan satu keraguan munasabah ke atas kes pihak PR. [15] Mahkamah mendapati bahawa, keterangan berkaitan penama “Shido” ini telah dibangkitkan oleh Peguam kedua-dua Perayu sejak kes di peringkat pendakwaan lagi. SP6 sebagai pemilik rumah tersebut mengakui bahawa penyewa sebenar adalah “Shido”. Namun SP6 tidak menemuinya sejak seminggu yang lepas dan mempercayai “Shido” telah meninggalkan negara. Tiada apa-apa keterangan sokongan dikemukakan bagi membuktikan “Shido” telah meninggalkan negara. [16] Keterangan SP8 mendedahkan bahawa serbuan tersebut dilaksanakan berdasarkan kepada satu maklumat. Namun SP8 tidak mendedahkan maklumat asas yang diterima. Ia hanya dinyatakan sebagai “maklumat” semata-mata. Apakah maklumat itu tidak pula dinyatakan. Mengambilkira SP8 adalah dari KDRM, ia mungkin melibatkan perlakuan jenayah berkaitan kesalahan kastam. Selain itu, turut tidak dinyatakan sama ada maklumat tersebut berkaitan lokasi ataupun saspek. [17] Siasatan yang dijalankan oleh SP9 pula dengan jelas memperakui bahawa Perayu 1 dan Perayu 2 bukan merupakan penyewa rumah namun ia disewa seorang yang dikenali sebagai “Shido”. SP9 menyatakan bahawa siasatan tidak dijalankan ke atas penama ini di atas alasan bahawa maklumat yang diperolehi adalah tidak lengkap. SP9 turut mengakui bahawa tiada sebarang bukti yang dapat mengaitkan kedua-dua Perayu dengan barang kes. [18] Adalah menjadi satu prinsip yang diterima bahawa apabila dadah ditemui di dalam sesebuah premis, beban pihak PR adalah termasuk membuktikan bahawa tiada akses oleh pihak ketiga ke atas premis tersebut. Dapatan Mahkamah ini adalah berpaksikan ke atas keputusan oleh Mahkamah Agung di dalam kes Abdullah Zawawi bin Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1; [1993] 3 MLJ 1 di mana Mahkamah Agung telah membenarkan rayuan Perayu dan mengenepikan sabitan serta memutuskan seperti berikut: "Though the room where the drugs were found was occupied only by the accused and SP4, the evidence showed it was accessible to all the other occupants in the house. The trial judge had failed to analyse or assess the testimonies of SP4 and SP5 in this regard. The prosecution had failed to discharge its duty of excluding access to the accused's room by others. (2) The trial judge also failed to consider that the prosecution had failed to exclude the possibility that other persons could have had access to the drawer where the drugs were found. The onus was not on the defence to prove the possibility of access to the drawer by others." [19] Mahkamah berpandangan bahawa di dalam kes ini, pihak PR tidak pernah menafikan bahawa “Shido” ini adalah merupakan penyewa sebenar dan tinggal di rumah tersebut. Watak “Shido” ini bukanlah direka-reka namun sebenarnya wujud dan sememangnya menyewa dan tinggal di rumah tersebut. [20] SP9 ternyata langsung tidak menjalankan siasatan untuk mengesan penama ini dan bersandarkan kepada kekurangan maklumat sahaja. Tiada langsung usaha-usaha yang ditunjukkan kepada Mahkamah di dalam mengenalpasti dan mencari penama ini. [21] Keterangan SP6 berkenaan “Shido” telah pulang ke Thailand adalah bagi pandangan Mahkamah ini adalah keterangan dengar cakap. Prinsip undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh dibuat sandaran oleh Mahkamah. Ia seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Leong Hong Khie v. PP [1984] CLJU 172 seperti berikut: “The general rule is that hearsay evidence is not admissible as proof of a fact which has been stated by a third person. This rule has been long established as a fundamental principle of the law of evidence. To quote Lord Normand in Teper v. R [1952] AC 480, 486: "The rule against the admission of hearsay evidence is fundamental. It is not the best evidence, and it is not delivered on oath. The truthfulness and accuracy of the person whose words are spoken by another witness cannot be tested by cross - examination and the light which his demeanour would throw on his testimony is lost. In our opinion, another reason is the danger that hearsay evidence may be concocted, fabricated and tailored to suit the witness's testimony.” [22] Sebagai Pegawai Penyiasat, tugas SP9 bukan sekadar bergantung ke atas maklumat yang diperolehi namun perlu menjalankan siasatan yang lengkap. Apatah lagi di dalam kes ini, serbuan dijalankan berdasarkan kepada maklumat yang diterima. Merujuk kepada apa yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Agung Edgar Joseph Jr. (ketika itu) di dalam kes Abdullah Zawawi bin Yusof (supra), bahawa kemungkinan OKT akan diperangkap atau dianiaya terutamanya bagi kes-kes di mana polis bertindak berdasarkan maklumat adalah tidak boleh diketepikan. [23] Lebih parah apabila siasatan forensik mengesahkan bahawa tiada bukti bagi mengaitkan mana-mana Perayu ke atas dadah-dadah yang ditemui. Walaupun pada dasarnya keterangan forensik adalah bersifat sokongan semata-mata, namun di dalam fakta kes seumpama ini, ia menjadi penting kerana terdapat kemungkinan pihak ketiga turut mempunyai akses ke atas dadah-dadah tersebut. [24] Kedudukan dadah-dadah yang berada di dalam keadaan terbuka iaitu di atas meja di ruang tamu serta di dalam mesin basuh, mengukuh pandangan Mahkamah ini bahawa adalah penting bagi pihak PR mengenalpasti “Shido” ini dan mengecualikan kemungkinan ia adalah milik “Shido”. [25] Bagi Mahkamah, pendekatan TM dengan menyatakan bahawa tiada soalan yang diletakkan kepada saksi pendakwaan bahawa dadah-dadah adalah milik “Shido” dan ia merupakan pembelaan yang “bare denial” adalah meletakkan beban kepada OKT melebihi apa yang diperlukan oleh undang-undang. Ini bertentangan dengan konsep dan prinsip jelas undang-undang bahawa beban pembuktian pada sepanjang masa terletak di atas bahu pihak PR. [26] Sehubungan dengan itu, Mahkamah memutuskan bahawa bahawa bagi kes yang pertama, TM adalah terkhilaf di dalam merumuskan bahawa bagi kes pertama, pihak PR telah berjaya membuktikan kes pada tahap tiada sebarang keraguan munasabah. [27] Namun bagi kes kedua, Mahkamah berpandangan bahawa dadah-dadah tersebut dijumpai di dalam beg tangan P43 yang di dalamnya terdapat lesen memandu negara Thailand di atas nama Perayu 1 iaitu P47. Turut dijumpai adalah kad bank (P48) dan kad PETRONAS (P49) selain dadah-dadah yang menjadi persoalan di dalam kes ini. [28] Mahkamah menegaskan bahawa P48 dan P49 adalah merupakan 2 bahan bukti yang penting, namun pihak PR tidak merekodkan dengan jelas siapakah pemilik kad-kad ini. Ia tidak dinyatakan sama ada melalui keterangan di Mahkamah maupun borang-borang yang disediakan oleh pihak KDRM. [29] Walaupun tiada rekod jelas pemilik P48 dan P49, namun kewujudan P47 adalah satu keterangan yang tidak boleh disangkal bahawa ia merupakan beg Perayu 1. Oleh itu, apa sahaja yang ditemui di dalamnya adalah berada di dalam milikan Perayu 1. [30] Secara keseluruhannya, Mahkamah tidak mendapati sebarang kekhilafan oleh TM apabila merumuskan bahawa Perayu 1 mempunyai kawalan ke atas dadah-dadah yang dijumpai di dalam P43 berdasarkan penemuan lesen memandu Perayu 1 dan memutuskan bahawa Perayu 1 berada di dalam “close physical proximity” dengan dadah-dadah tersebut. TM telah merujuk kepada kes Khairuddin Hassan v PP [2010] 7 CLJ 129, PP v Foo Jua Eng [1965] 1 LNS 137 dan Tan Yew Choy v PP [2010] 5 MLJ 212 bagi merumuskan kawalan Perayu 1 ke atas dadah-dadah tersebut. [31] TM turut tepat di dalam penggunaan peruntukan andaian pengetahuan di bawah seksyen 37 (d) Akta 234 bagi merumuskan pengetahuan Perayu 1 ke atas dadah-dadah tersebut. TM dengan tepat telah merujuk dan menggunapakai kes Jonaidi Mansuor v PP [2002] 1 CLJ 767 dan PP v Lin Yu Choy [2010] 1 CLJ 94. [32] Sehubungan dengan itu, bagi kes kedua, Mahkamah ini memutuskan bahawa TM tidak melakukan sebarang kekhilafan di dalam dapatannya ke atas Perayu 1. Kesimpulan [33] Oleh yang demikian, Mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan Perayu-perayu bagi kes KA-41S-4-06/2022 adalah dibenarkan. Maka sabitan dan hukuman TM ke atas Perayu-perayu adalah diketepikan. [34] Manakala bagi kes KA-41S-5-06/2022, rayuan Perayu Pertama adalah ditolak. Sabitan dan hukuman TM adalah dikekalkan. Bertarikh: 28hb. Mac 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Perayu Pertama : Tetuan Rajadevan & Associates Peguambela & Peguamcara 105, 1st Floor Langkawi Mall Persiaran Bunga Raya, Kuah 07000 Langkawi Kedah Darul Aman Bagi Pihak Perayu Kedua : Tetuan Y.K. Loo & Co. Peguambela & Peguamcara No. 48, Jalan Tembaga Seberang Jalan Putra 05150 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden : Fatin Farahiyah binti Nadzri Timbalan Pendakwa Raya Wisma Darul Aman Pejabat Penasihat Undang-Undang Aras 4, Blok C Jalan Tengku Bendahara 05250 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Keputusan : 23hb. Januari, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Kanun Keseksaan ➢ Kanun Tatacara Jenayah Kes-Kes Yang Dirujuk: ➢ Abdullah Zawawi bin Yusoff v. PP [1993] 4 CLJ 1; [1993] 3 MLJ 1; ➢ Jonaidi Mansuor v PP [2002] 1 CLJ 767; ➢ Khairuddin Hassan v PP [2010] 7 CLJ 129; ➢ Leong Hong Khie v. PP [1984] CLJU 172; ➢ PP v Foo Jua Eng [1965] 1 LNS 137; ➢ PP v Lin Yu Choy [2010] 1 CLJ 94; dan ➢ Tan Yew Choy v PP [2010] 5 MLJ 212.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.