sama ada menjadi imbangan kesenangan untuk mengekalkan status quo tanah tersebut sehingga pelupusan tuntutan di antara Plaintif dan Ann Joo Properties Sdn Bhd? Isu (a): sama ada terdapat kepentingan yang boleh dikaveatkan (caveatable interest)? [21] Peguam cara Plaintif terpelajar merujuk kes Murugappa Chettiar Lakshmanan (Wasi Tunggal Harta Pesaka M.R.L. Murugappa Chettiar, Simati) v. Lee teck Mook [1995] 2 CLJ 545 di mana Mahkamah Rayuan, Kuala Lumpur memutuskan dan memberikan prinsip undang-undang yang berikut: “[1] Prinsip yang dirumuskan dalam kes Luggage Distributors (M) Sdn. Bhd. v. Tan Hor Teng & Anor sepertimana yang terpakai kepada rayuan semasa ini memerlukan satu penyiasatan ke dalam perkara-perkara yang berikut. Pertamanya, sama ada responden, atas material yang dibentangkan olehnya dalam permohonannya di bawah seksyen 323(1) Kanun Tanah Negara 1965 telah mendedahkan satu kepentingan yang boleh dikaveatkan. Keduanya, sekiranya beliau telah menentukan satu kepentingan yang boleh dikaveatkan, sama ada keterangan yang beliau kemukakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana bagi menyokong tuntutannya kepada kepentingan yang boleh dikaveatkan itu mendedahkan satu persoalan yang serius untuk dibicarakan. Akhirnya, sama ada imbangan keadilan memihak kepada kaveat dikekalkan pada Daftar sementara menantikan penyelesaian guaman tersebut. … [4] Satu penelitian terhadap penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana menunjukkan bahawa beliau telah tidak memikirkan aspek ini dalam kes tersebut. Ketidakarahan ini oleh Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana telah membawa kepada salah-arahan yang serius dipihaknya. sekiranya Pesuruhjaya Kehakiman telah menerima pakai pendekatan yang betul, beliau tentunya tidak mengalami sebarang kesukaran dalam memutuskan bahawa responden tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang boleh dikaveatkan di sisi undang-undang. atas alasan itu sahaja, kaveat tersebut adalah tidak dapat dipertahankan dan seharusnya dibatalkan.”. [22] Mahkamah ini mendapati fakta yang dinyatakan oleh Plaintif bahawa Plaintif seorang penyewa ke atas Tanah tersebut dengan Ann Joo Properties Sdn Bhd adalah disokong dengan Perjanjian Sewaan yang dimeterai oleh kedua-dua pihak. [23] Walaupun Plaintif sekadar penyewa ke atas Tanah tersebut, perniagaan Plaintif menghendaki Plaintif membina/mendirikan struktur iaitu gedung kontena, gudang, 2 blok bangunan pejabat serta menambah bail 15 ekar tanah dengan konkrit dan system saliran longkang yang lebih baik demi urusan perniagaan syarikat Plaintif. [24] Bagi tujuan sewaan Tanah tersebut, hal perkara perbelanjaan yang besar telah diperuntukkan oleh Plaintif bagi perniagaannya dan fakta ini sudah diberitahu kepada “tuan tanah” iaitu Ann Joo Properties Sdn Bhd. [25] Ann Joo Properties Sdn Bhd bukanlah pemilik Tanah tersebut. Pemilik Tanah tersebut ialah Defendan (PKNS). Ann Joo Properties Sdn Bhd sekadar pemajak Tanah tersebut bagi tempoh 30 tahun iaitu dari tahun 1992 hingga 2022. [26] Apabila Plaintif memasukkan kaveat persendirian demi menjamin kepentingannya dalam tempoh sewaan iaitu sehingga Mac 2023 itu maka Plaintif mempunyai kepentingan proprietary (proprietary interest) ke atas Tanah tersebut. [27] Dalam afidavit jawapan Defendan yang diikrarkan oleh Pengurus Hal Ehwal tanah Bahagian Utara PKNS menyatakan bahawa –