Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET SERI MANJUNG DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN NO KES : AH-83-127-03/2025 ANTARA
AH-83-127-03/2025
Magistrates Court of Malaysia19 May 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ersalah, mahkamah seterusnya mensabitkan tertuduh ke atas pertuduhan. Mahkamah ini berpuas hati bahawa pengakuan salah oleh tertuduh adalah sama sepertimana menurut kes PP v. Nor Zuliana Tahir & Anor [2017] MLRHU 782:- "It is trite law that there are safeguards which must be complied with before a court can accept a pl”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET SERI MANJUNG DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN NO KES : AH-83-127-03/2025 ANTARA
1
Nur Izzati Binti Abdullah (selepas ini dirujuk sebagai “tertuduh”) telah dituduh di mahkamah ini pada 6 Mac 2025. Tertuduh memilih untuk mengaku salah pada kali pertama pertuduhan dibacakan kepadanya dan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3000 dengan 1 orang penjamin sementara menunggu laporan perubatan pengadu/mangsa disediakan. Pada sebutan kes kali ketiga iaitu 19 Mei 2025, tertuduh sekali lagi mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah ini.
2
Pertuduhan terhadap tertuduh adalah seperti berikut: BAHAWA KAMU PADA 02/03/2025 JAM LEBIH KURANG 1755 HRS, BERTEMPAT DI TEMPAT LETAK KERETA HADAPAN PASARAYA AEON SERI MANJUNG, DI DALAM DAERAH MANJUNG, DI DALAM NEGERI PERAK, DENGAN SENGAJA MENYEBABKAN KECEDERAAN KE ATAS ZARIF ALLISA BINTI NORZI NO. KAD PENGENALAN : 980719-08-5014 DENGAN SENGAJA MELANGGAR PENAMA MENGGUNAKAN KERETA JENIS HONDA CITY WARNA PUTIH NOMBOR PENDAFTARAN VFT 827 SEHINGGA MENYEBABKAN PENAMA JATUH DAN MENGALAMI LUKA DIBAHAGIAN SIKU SEBELAH KIRI DAN DI LUTUT KANAN. DENGAN ITU KAMU TELAH MELAKUKAN KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 324 KANUN KESEKSAAN DAN BOLEH DI HUKUM DI BAWAH PERUNTUKAN YANG SAMA.
3
Hukuman yang diperuntukkan bagi seksyen 324 Kanun Keseksaan adalah seperti berikut:- PEMENJARAAN SELAMA TEMPOH YANG BOLEH SAMPAI SEPULUH TAHUN ATAU DENGAN DENDA ATAU DENGAN SEBAT ATAU DENGAN MANA-MANA DUA DARIPADA HUKUMAN ITU.
4
Tertuduh tidak diwakili peguam sewaktu pertuduhan dibacakan terhadapnya. Pertuduhan di atas telah dibacakan, diterangkan dan difahamkan kepada tertuduh. Tertuduh mengakui faham pertuduhan yang telah dikemukakan terhadapnya dan memilih untuk mengaku 3 salah. Mahkamah seterusnya telah membacakan dan menjelaskan hukuman yang boleh dikenakan ke atas tertuduh sekiranya beliau disabitkan bersalah. Tertuduh mengakui faham kesan dan akibat pengakuan bersalahnya dan masih mahu mengaku salah ke atas pertuduhan.
5
Mahkamah ini kemudiannya telah membacakan fakta kes (ditandakan sebagai ekshibit P1) kepada tertuduh dan tertuduh mengakui akan kebenaran fakta kes tersebut. Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan dua laporan polis (ditandakan sebagai ekshibit P2 dan P3), satu set gambar tempat kecederaan (ditandakan sebagai ekshibit P4) dan juga satu laporan perubatan (ditandakan sebagai ekshibit P5). Semua ekshibit telah dikemukakan kepada tertuduh dan diakui benar oleh tertuduh.
6
Setelah mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh faham sebab dan akibat pengakuan salahnya dan pengakuan salahnya juga dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak, mahkamah telah menerima pengakuan salah tertuduh dan mendapati tertuduh bersalah, mahkamah seterusnya mensabitkan tertuduh ke atas pertuduhan. Mahkamah ini berpuas hati bahawa pengakuan salah oleh tertuduh adalah sama sepertimana menurut kes PP v. Nor Zuliana Tahir & Anor [2017] MLRHU 782:- "It is trite law that there are safeguards which must be complied with before a court can accept a plea of quilty as valid and unequivocal. First, the court 4 must ensure that it is the accused himself who wishes to plead guilty and the accused must plead guilty by his mouth, and not through his counsel. Secondly, the Court must ascertain that the accused understands the nature and consequences of his plea. Thirdly, the Court must ensure that the accused intends to admit without qualification the offence alleged against him. This is done by the prosecution tendering a statement of facts disclosing all the necessary elements of the offence."
7
Mahkamah ini selanjutnya telah memberikan peluang pihak tertuduh dan pihak pendakwaan berhujah berkenaan hukuman yang wajar. Setelah mendengar hujahan berkaitan hukuman daripada kedua-dua pihak, Mahkamah ini selanjutnya telah menjatuhi hukuman penjara 6 bulan daripada tarikh sabitan [19 Mei 2025] ke atas tertuduh atas kesalahan menurut seksyen 324 Kanun Keseksaan. Tertuduh tidak berpuas hati terhadap hukuman penjara yang diberikan oleh Mahkamah dan telah melantik peguam. Pihak peguam telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah ini pada tarikh yang sama iaitu 19 Mei 2025. Pihak tertuduh juga turut memohon agar penangguhan hukuman penjara diberikan terhadapnya dan setelah mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan, Mahkamah ini telah membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan hukuman penjara.
8
Budibicara menentukan hukuman adalah terletak kepada Mahkamah untuk menentukan. Di dalam kes PP v. Jafa Daud [1981] 1 MLRH 800; [1981] 1 MLJ 315 telah diputuskan bahawa:- "A "sentence according to law" means that the sentence must not only be within the ambit of the punishable section, but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles."
9
Berpandukan kepada kes Jafa bin Daud di atas, budibicara tersebut hendaklah juga berpandukan kepada prinsip undang-undang yang telah ditetapkan. Dalam mempertimbangkan hukuman yang sesuai dan munasabah terhadap tertuduh bagi pertuduhan terhadapnya, Mahkamah ini telah mempertimbangkan kesemua faktor-faktor peringanan hukuman yang dihujahkan oleh tertuduh dan juga faktor-faktor pemberatan hukuman yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan.
10
Mahkamah ini berpendirian bahawa hukuman yang diberikan mahkamah adalah menurut undang-undang. Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti berikut:
324
Dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya. Barang siapa, kecuali dalam hal yang diperuntukkan oleh seksyen 334, dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan apa-apa alat untuk menembak, menikam, atau memotong, atau apa-apa alat yang, jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang, mungkin menyebabkan kematian, atau apa-apa senjata terjadual seperti yang dinyatakan di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, atau dengan menggunakan api atau apa-apa benda hangat, atau dengan jalan menggunakan apa-apa racun atau apa-apa benda melecur, atau dengan menggunakan apa-apa benda letupan, atau dengan menggunakan apa-apa benda yang merbahaya kepada tubuh manusia apabila dihisap, ditelan atau dimasukkan ke dalam darahnya, atau dengan menggunakan apa-apa haiwan, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu. Dapatlah diamati bahawa seksyen 324 Kanun Keseksaan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman berbentuk penjara sehingga sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu. Mahkamah ini telah mengenakan hukuman penjara 6 bulan dari tarikh sabitan terhadap tertuduh. Hukuman ini adalah boleh dikenakan dan masih selaras dengan peruntukan undang-undang seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membenarkan hukuman penjara sehingga tempoh sepuluh tahun. Hukuman diberikan mahkamah ini adalah betul dan tidak melangkaui batasan hukuman yang diberikan. [11] Mahkamah ini mengambil maklum bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh merupakan satu kesalahan kali pertama. Mahkamah ini turut mengambil maklum bahawa dalam kes: Yit Kean Hong v. Public Prosecutor [2005] 2 MLRA 222; [2005] 4 CLJ 592; [2005] 6 AMR 637, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa seseorang tertuduh yang telah mengaku bersalah boleh diberikan diskaun atau kredit bagi pengakuannya itu melalui pengurangan didalam hukuman. Mahkamah Rayuan memutuskan seperti berikut:- "....A Plea of Guilt is a mitigating factor. It is an accepted rule of Practice that an accused should be given credit or discount for pleading guilt. The extent of reduction on account of a plea guilty would be between one-quarter and one third of what otherwise would have been the sentence. But it is not a strict rule as the court may refuse to grant any discount in cases where public interest demands a deterrent sentence...." [12] Mahkamah ini dalam mempertimbangkan hukuman juga merujuk kepada kes Public Prosecutor v. Leo Say & Ors [1985] 1 MLRH 273; [1985] CLJ (Rep) 683 di mana YA Hakim NH Chan J menyatakan seperti berikut:- "....The fact that a man has not much of a criminal record or none at all, is not a powerfull factor to be taken into consideration in a case of such gravity...Although all the 3 accused persons pleaded guilty and they are entitled to some credit for that, it must be set aside against the enormity and seriousness of the crime that they have committed (emphasis added)... “ [13] Dalam kes Ong Lai Kim lwn. Pendakwa Raya [1991] 2 MLRH 102; [1991] 3 MLJ 111; [1991] 3 CLJ 376 pula, Hakim Mahkamah Tinggi Zakaria Yatim menyatakan:- ".... merupakan suatu kesalahan yang sedang berleluasa dalam Negara ini. Pihak Mahkamah akan gagal dalam menjalankan tugas mereka apabila tidak mengenakan hukuman yang berat dalam kes seperti ini. Hukuman yang dijatuhkan kelak bukan hanya setakat memerangi pihak perayu daripada melakukan kesalahan sebegini di masa hadapan, tetapi juga untuk memerangi orang lain daripada melakukan kesalahan yang serupa. Hukuman yang dijatuhkan mestilah hukuman yang keras selaras dengan perasaan marah pihak masyarakat umum (lihat : JC Smith & B Hogan Criminal Law (5th Ed) ms 6)...oleh yang demikian, dalam kes ini, hukuman yang dijatuhkan mestilah selaras dengan kesalahan yang dilakukan, sekiranya tidak, maka pihak masyarakat akan berasakan hukuman itu amatlah ringan. Hukuman yang dijatuhkan juga mestilah mencerminkan ketidak penerimaan masyarakat terhadap jenayah yang dilakukan oleh Perayu (lihat juga kes :R lwn. Roberts [1982] 1 All Er 609). [14] Walaupun kes Yit Kean Hong v. Public Prosecutor di atas menyatakan perakuan salah membolehkan tertuduh diberikan diskaun atau kredit bagi pengakuannya, namun demikian mahkamah ini lebih cenderung mengikut kepada prinsip undang-undang dalam kes Public Prosecutor v. Leo Say & Ors dan Ong Lai Kim lwn. Pendakwa Raya. Menurut fakta kes, pengadu/mangsa telah berjumpa dengan tertuduh yang merupakan isteri kepada bekas suami pengadu/mangsa bagi mendapatkan barang keperluan anak pengadu/mangsa. Semasa perjumpaan, berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan dimana tertuduh tidak berpuas hati dengan pengadu/mangsa kerana masih berhubung dengan suami tertuduh. Lanjutan daripada pertengkaran dan pergelutan itu, tertuduh telah memandu dan melanggar pengadu sehingga pengadu jatuh dan mengalami luka dibahagian siku sebelah kiri dan lutut kaki kanan. Laporan perubatan juga mengesahkan bahawa pengadu/mangsa mengalami “abrasion wound over right knee and left elbow”. [15] Berdasarkan kepada fakta kes yang telah diakui oleh tertuduh sendiri, dapatlah diamati bahawa perbuatan tertuduh melanggar pengadu/mangsa menggunakan sebuah kereta adalah perbuatan yang amat berisiko untuk menyebabkan kecederaan yang parah terhadap pengadu/mangsa sehingga boleh membahayakan nyawa pengadu/mangsa. Pengadu/mangsa bernasib baik dalam kes ini kerana hanya mengalami kecederaan luka di siku sebelah kiri dan lutut kaki kanan. Mahkamah ini berpendirian bahawa perbuatan jenayah yang dilakukan tertuduh adalah kejam dan tertuduh tidak sewajarnya dilepaskan dengan hanya dikenakan denda. Tertuduh perlu dipenjarakan bagi memberi amaran keras kepada tertuduh dan mana-mana individu lain di luar sana bahawa perbuatan sebegini adalah tidak diterima di sisi masyarakat dan pihak mahkamah perlu memberikan hukuman yang setimpal sekaligus memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa pihak mahkamah menitik beratkan berkenaan aspek keselamatan masyarakat. Mahkamah ini berpendirian bahawa prinsip pengakuan salah tertuduh tidak boleh bertindak sebagai faktor otomatik untuk mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh kerana jenayah yang dilakukan oleh tertuduh adalah jenayah yang serius dan Mahkamah perlu mengenakan hukuman yang berat bagi kesalahan tertuduh [16] Mahkamah ini turut mempertimbangkan rayuan oleh pihak tertuduh yang dibuat oleh tertuduh sendiri. Tertuduh menyatakan kepada pihak Mahkamah bahawa dia pohon hukuman denda dikenakan dan jumlah denda diringankan. Hal ini demikian kerana tertuduh sendiri tidak bekerja dan bergantung seratus peratus terhadap suami tertuduh. Berdasarkan kepada rayuan ini, dapatlah diamati bahawa tidak terdapat sebarang permohonan maaf daripada tertuduh akan perbuatannya. Tidak terdapat juga pernyataan daripada tertuduh bahawa dia menyesal akan perbuatannya. Tertuduh hanya meminta denda diringankan atas alasan dia tidak bekerja. Hal ini pada pandangan Mahkamah menunjukkan bahawa tertuduh sebenarnya tidak insaf atau menyesal dengan perbuatannya. Tertuduh beranggapan bahawa dia akan terlepas daripada hukuman penjara dan hanya akan dikenakan denda. Mahkamah ini beranggapan bahawa tertuduh wajar dikenakan hukuman penjara bagi memberikan peringatan kepada tertuduh. [17] Berdasarkan alasan-alasan di atas adalah jelas bahawa Mahkamah ini wajar mengenakan suatu hukuman yang berat ke atas tertuduh. Hukuman berat ini diharapkan dapat memberi pengajaran yang berguna kepada tertuduh sekaligus mengelakkan perbuatan yang sama berulang pada masa akan datang. Seperti yang diputuskan dalam kes: Ryan v. The Queen [2001] 206 CLR 267 p 118, hukuman yang amat berat ini perlulah mencerminkan:- "...a symbolic, collective statement that the offender's conduct should be punished for encroaching on our society's basic code of values as enshrined within our substantive criminal law..." Kesimpulan [18] Mahkamah ini telah mengambil pendekatan yang seimbang bagi menjamin keadilan kepada masyarakat serta kepada tertuduh dengan menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula dari tarikh sabitan. Oleh itu, berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan, mahkamah berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh adalah adil, sesuai dan selaras dengan peruntukan undang-undang. Namun demikian, Mahkamah ini akur dan berpandukan kepada keputusan Mahkamah Tinggi. Bertarikh 10 Julai 2025 FAKHRUL RAZZI BIN ABD HAMID MAJISTRET MAHKAMAH MAJISTRET SERI MANJUNG PERAK DARUL RIDZUAN Peguam bagi pihak Perayu : Nur Shaqira binti Ibrahim The Law Office of Shaqira Peguam bagi pihak Responden :
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.