Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANG KUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: J-05(M)-386-10/2016 ANTARA NURUL ALYASAK BIN WAHID …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN [Dalam Mahkamah Tinggi di Muar, Johor Perbicaraan Jenayah No: 45A-03-05/2015 Antara Pendakwa Raya Lawan Nurul Alyasak bin Wahid] KORUM: MOHD. ZAWAWI SALLEH, HMR AHMADI HJ. ASNAWI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR 2 PENGHAKIMAN MAHKAMAH Latarbelakang [1] Perayu telah dituduh dan dibicarakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Muar (‘hakim bicara’) dengan satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘Akta’). Butir-butir pertuduhan ialah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 18.3.2015, jam lebih kurang 11.30 malam, di Jalan Rengland 4, Taman Perindustrian Rengland, Simpang Renggam, di dalam Daerah Kluang, di dalam Negeri Johor, bagi pihak diri kamu telah mengedar bahan dadah berbahaya Cannabis seberat 966 gram dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.”. [2] Di akhir perbicaraan, hakim bicara telah mensabitkan Perayu dengan pertuduhan dan telah menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas Perayu. Terkilan dengan sabitan dan hukuman mati tersebut, Perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini. [3] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 9.3.2018. Setelah mendengar hujahan pihak-pihak dan meneliti rekod rayuan, kami telah dengan sebulat suara menolak rayuan Perayu. Kami telah mengesahkan 3 dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh hakim bicara. Sekarang kami memperincikan alasan-alasan penolakan rayuan Perayu. Kes Pendakwaan [4] Keterangan ringkas kes pendakwaan adalah seperti berikut. Pada 18.3.2015, jam lebih kurang 11.15 malam, Inspektor Azrul Izwan bin Abdul Latif (SP6) bersama beberapa anggota, termasuklah Sarjan Zaini bin Hussin (SP3) yang bertindak atas maklumat awam, telah membuat pemerhatian di Jalan Rengland 4, Taman Perindustrian Rengland, Simpang Renggam (‘tempat kejadian’) terhadap seorang lelaki Melayu yang kemudiannya dicamkan sebagai Perayu. Pemerhatian dilakukan dari dalam kereta pasukan yang diletakkan dalam jarak 5 hingga 7 meter dari Perayu. [5] Semasa pemerhatian tersebut, Perayu dilihat sedang berdiri di tepi jalan tempat kejadian seorang diri, berlegar-legar sambil memandang ke kiri dan kanan. SP6 melihat Perayu sedang memegang satu beg plastik berwarna putih. SP6 dan SP3 keluar dari kereta dan pergi menghampiri Perayu. SP6 terus memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasanya kepada Perayu. SP6 melihat Perayu berada dalam keadaan takut, lalu mencampakkan beg plastik putih tersebut ke atas jalan dan cuba untuk melarikan diri. Walau bagaimanapun, SP6 dan SP3 berjaya menahan Perayu. [6] Perayu telah dibawa semula ke tempat di mana beg plastik putih dicampakkan oleh Perayu. SP6 telah mengambil beg plastik putih tersebut dan terus membuat pemeriksaan dengan disaksikan oleh Perayu 4 dan anggota pasukan yang lain. Setelah diperiksa, SP6 mendapati di dalam beg plastik putih bertulisan “ABELHA’ tersebut mengandungi satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja yang dibalut dengan foil aluminium. SP6 dan SP3 telah mengecamkan beg plastik putih dan satu ketulan mampat tumbuhan kering berbalut foil aluminium tersebut seperti ditunjukkan dalam gambar eksibit P3 (A-E) di muka surat 115 hingga 119, Rekod Rayuan Jilid 2. [7] Perayu terus ditangkap dan dibawa balik ke Balai Polis Simpang Renggam bersama barang-barang kes yang dirampas untuk tindakan lanjut. SP6 telah membuat satu laporan polis (eksibit P12). Perayu dan barang-barang kes kemudiannya telah diserahkan kepada Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah (SP7) untuk tindakan susulan. [8] Satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja telah dihantar oleh SP7 kepada ahli kimia dan diterima oleh Siti Zubaidah binti Hanapi (SP4) untuk pemeriksaan dan analisis. SP4 mengesahkan, setelah menjalankan pemeriksan dan analisis, bahawa ketulan mampat bahan tumbuhan tersebut mengandungi dadah berbahaya cannabis dengan jumlah berat 966 gram, yang menjadi hal perkara dalam pertuduhan. SP4 juga mengesahkan bahawa cannabis tersenarai di bawah Jadual Pertama kepada Akta. Laporan Kimia yang disediakan oleh SP4 telah dikemukakan dan ditandakan sebagai eksibit P8. Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan [9] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara, setelah membuat pertimbangan secara maksima keseluruhan keterangan saksi-saksi 5 pendakwaan, mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu. Hakim bicara berpuas hati bahawa semua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu oleh pihak pendakwaan. [10] Hakim bicara telah menerima keterangan saksi SP4 mengenai pemeriksaan dan analisis kimia yang telah dijalankan oleh saksi bagi mencapai keputusan 100% bahawa satu ketulan mampat bahan tumbuhan yang saksi terima dari SP7 ialah cannabis dengan berat 966 gram. Kepakaran dan analisis yang telah dijalankan serta dapatan dan keputusan hasil pemeriksaan dan analisis yang dicapai oleh SP4 langsung tidak dipertikaikan oleh pihak pembelaan. Hakim bicara juga membuat dapatan bahawa tiada keraguan terhadap identiti barang kes dan rantaian keterangan terhadap barang kes juga tidak terputus. [11] Mengenai elemen milikan, hakim bicara menerima keterangan SP6 yang disokong oleh keterangan SP3 bahawa Perayu pada mulanya dilihat memegang di tangan kanannya satu beg plastik berwarna putih yang mengandungi ketulan mampat cannabis yang dipertuduhkan sebelum mencampakkannya ke atas jalan setelah SP6 memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis. Tidak ada orang lain bersama Perayu ketika itu. Seterusnya, hakim bicara membuat dapatan bahawa Perayu mempunyai milikan secara fizikal terhadap barang kes dadah yang dipertuduhkan. [12] Untuk elemen pengetahuan, hakim bicara juga menerima keterangan SP6 dan SP3 bahawa pelakuan Perayu yang berada dalam ketakutan, mencampakkan beg berisi dadah ke atas jalan dan seterusnya cuba untuk melarikan diri sebagai keterangan yang relevan dan dapat 6 diterima di bawah seksyen 8 Akta Keterangan, 1950 dan perlu dijelaskan oleh Perayu di bawah seksyen 9 Akta Keterangan, 1950. Melalui keterangan mengenai pelakuan Perayu tersebut, hakim bicara telah membuat inferen yang munasabah bahawa Perayu mempunyai pengetahuan terhadap dadah yang dipertuduhkan, yang berada di dalam beg plastik putih yang telah dicampakkan oleh Perayu ke atas jalan sebelum cuba melarikan diri. [13] Untuk elemen pengedaran, hakim bicara telah mengguna pakai anggapan statutori di bawah seksyen 37(da) Akta oleh kerana berat dadah berbahaya cannabis yang terlibat melebihi dari berat minima 200 gram yang diperuntukkan di bawah seksyen 37(da)(vi) Akta. [14] Setelah berpuas hati atas pertimbangan secara maksima bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu atas pertuduhan yang dihadapkan, hakim bicara telah memerintahkan Perayu untuk membela diri atas pertuduhan. Pembelaan Perayu [15] Perayu telah memilih untuk memberi keterangan membela diri secara bersumpah dari kandang saksi. Selain Perayu, pihak pembelaan turut memanggil seorang lagi saksi iaitu adik kepada Perayu, Mohd Lukman bin Wahid (SD2), sebagai saksi pihak pembelaan. [16] Dalam keterangan membela dirinya, secara ringkasnya Perayu menyatakan perkara-perkara seperti berikut: 7