berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang di tetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan [Akta 574]; [14] Elemen pertama telah dipenuhi iaitu, mangsa adalah kanak-kanak menurut Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 berdasarkan sijil lahirnya di eksibit P2 dan P2A serta Mykid di eksibit P3 dan P3A. Kanak-kanak ini berumur 8 bulan pada masa kejadian. Fakta ini tidak dipertikaikan pembelaan. Elemen kedua [15] Sama ada Tertuduh mempunyai jagaan terhadap kanak-kanak/mangsa pada hari kejadian. Dalam kes PP v. Norhayati Hashim & Anor [2020] 10 CLJ 246 Mahkamah mentafsirkan penjagaan seorang kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 adalah- “… to dutifully protect a child from any form of physical, mental and emotional injury and that duty to protect includes the duty to not expose or leave that child in any place with the intention of abandoning such child.” [16] Ini bermakna, menjaga kanak-kanak adalah memastikan keselamatan kanak-kanak secara fizikal dan mental serta tidak mengabaikan mereka walau dalam keadaan apa sekalipun. Mengenai elemen kedua ini, isu di hadapan Mahkamah adalah, sama ada Tertuduh mempunyai tanggungjawab menjaga kanak-kanak secara eksklusif pada hari kejadian yang menyebabkan beliau boleh dikenalpasti sebagai pelaku yang mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal dan gangguan emosi. Mahkamah membuat dapatan seperti di bawah. [17] Sememangnya kanak-kanak telah dihantar oleh SP1 dan SP3 ke Taska dan SP1 dan SP3 telah menandatangani Buku Panduan ibu bapa di eksibit P5 semasa menghantar kanak-kanak. Tertuduh adalah salah seorang pengasuh yang telah dilantik oleh SP5 (surat lantikan dalam eksibit P14) dan bertugas untuk menjaga kanak-kanak pada hari kejadian. [18] Walau bagaimanapun, kanak-kanak bukan berada secara eksklusif dalam jagaan Tertuduh sepanjang hari pada hari kejadian. Ini kerana, dalam keterangan oleh SP4, terdapat 4 orang yang ditugaskan menjaga kanak-kanak di bilik tidur bayi Taska itu selain SP4, iaitu Cikgu Zadekia Bah Laong, Cikgu Nasyafiqa binti Sumardi dan juga Tertuduh. Keterangan SP4 disalinkan seperti berikut- : Sudah berapa lama puan bekerja di Taska Sarjana Pintar di Sek 6 sehingga 03/01/2022, dah berapa lama kerja di sana? : 6 - 7 tahun : Pada 03/01/2022, puan adalah supervisor juga ke di taska Sek 6? : Ya, betul. : Pada 03/01/2022 berapa orang pengasuh yang kerja disana? : Ada 12-13 org : Boleh ingat nama-nama mereka? : Termasuk saya, Nurul Fatihah, Nurul Atikah, Zadakiah, Nasyafika, Kaisara Fatini, Zarina, Nur Farzana, Nur Syarifah Nabila, itu saja yang saya ingat : Siapa yang ditugaskan menjaga kanak-kanak ini lepas Fahri Fatih ini selepas dia diterima oleh Cikgu Nurul Atikah ini pada 03/01/2022? : Cikgu Zadakia, Nasyafika, saya sendiri dan Nurul Fatihah : 4 orang yang ditugaskan menjaga kanak-kanak ini? : Bagaimana pembahagian tugas? : Kami jaga bersama-sama [19] Dalam keterangan SP1, ia tidak pasti siapa pengasuh atau cikgu pertama yang menerima kanak-kanak ketika kanak-kanak dihantar ke Taska. Bukan SP4 dan bukan Tertuduh. SP1 pertama kali melihat Tertuduh ketika mengambil semula kanak-kanak pada jam 12.14 tengahari. [20] Seterusnya SP4 mengesahkan kanak-kanak tersebut telah diterima oleh Cikgu Nurul Atiqah binti Anuar yang kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke bilik tidur bayi dan menyerahkannya kepada cikgu yang berada dalam bilik tidur bayi. Dalam bilik tidur bayi, ada Cikgu Nasyafiqa, Cikgu Zadekia dan Tertuduh. SP4 juga turut menjaga kanak-kanak di bilik tidur bayi ini. [21] Keterangan SP4 ini juga disokong keterangan SP6 yang menyatakan, bahawa kanak-kanak tidak dijaga berseorangan oleh Tertuduh kerana terdapat cikgu-cikgu lain yang juga berada dalam bilik tidur bayi. [22] Rakaman cctv (Eksibit P7B) juga menunjukkan, sepanjang masa, selain Tertuduh, terdapat 2 orang lagi cikgu yang bertugas menjaga kanak-kanak dalam bilik tidur bayi. [23] Mahkamah berpendapat, walaupun benar Tertuduh bertugas menjaga kanak-kanak di bilik tidur bayi pada hari kejadian, namun Tertuduh bukanlah satu-satunya penjaga yang menjaga kanak-kanak secara eksklusif. Menurut SP4, SP6 dan rakaman cctv, kanak-kanak telah dijaga secara bertukar ganti oleh beberapa orang cikgu lain di Taska itu. Oleh itu, elemen kedua tidak dibuktikan. [24] Meskipun pertuduhan ini seharusnya telah gagal dibuktikan apabila satu elemen telah tidak dipenuhi, tetapi bagi tujuan melengkapkan dapatan terhadap fakta kes pendakwaan, maka Mahkamah akan membuat penemuan yang seterusnya terhadap elemen-elemen yang lain. Elemen ketiga. [25] Bagi elemen ketiga, sama ada Tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut. [26] Mahkamah dapati, pihak pendakwaan telah tidak memperincikan apakah tindakan Tertuduh yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan gangguan emosi kepada kanak-kanak, tetapi pendakwaan mengemukakan dua isu yang boleh dikaitkan dengan pertuduhan, iaitu isu kecederaan di kepala kanak-kanak dan isu penggunaan selimut yang mungkin menyebabkan kecederaan. Jadi, Mahkamah akan melihat, sama ada -