Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO : 45A-120-08/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA … PENDAKWAAN DAN NURULAKHLAH BIN AMID … TERTUDUH (NO. KAD PENGENALAN : 770319-04-5683) PENDAHULUAN [ 1 ] Berdasarkan maklumat pengedaran dadah, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Selangor telah menahan tiga orang suspek terdiri dari dua lelaki dan satu perempuan di kawasan tempat letak kereta, Pusat Perdagangan Pelangi Square, Damansara, Petaling Jaya dalam daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor (“tempat kejadian”). Kejadian berlaku pada 27.1.2022 lebih kurang jam 4.45 petang. Salah seorang suspek lelaki yang ditangkap bernama Nurulakhlah bin Amid (“Tertuduh”). [ 2 ] Hasil siasatan polis terhadap kesemua tangkapan, Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) seperti berikut – “Bahawa kamu pada 27 Januari 2022, jam lebih kurang 4.45 petang, bertempat di kawasan tempat letak kereta, Pusat Perdagangan Pelangi Square, Damansara, Petaling Jaya dalam daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 1549.2 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama..” FAKTA KES PENDAKWAAN [ 3 ] Secara ringkas, kes pendakwaan adalah berdasarkan maklumat pengedaran dadah yang diterima oleh DSP Mohd Nazri bin Ismail (“SP6”) yang akan berlaku pada tarikh dan masa seperti dalam pertuduhan. SP6 dan pasukannya telah membuat pemerhatian di tempat kejadian selama lebih kurang 15 minit. [ 4 ] SP6 melihat seorang lelaki Melayu (Tertuduh) keluar dari kereta Mercedes Benz AMG GLA 45 No. Pendaftaran VDW 8600 (“Mercedes”) yang diparkir di tepi jalan lalu membuka boot belakang kereta. Tertuduh telah mengeluarkan satu beg berwarna merah jambu dari boot kereta itu. [ 5 ] SP6 bersama beberapa ahli pasukannya telah menghampiri Tertuduh sambil memperkenalkan diri polis dengan menunjukkan kad kuasa lalu menahan Tertuduh. Pada masa yang sama Insp. Mohd Rashshidy dan beberapa anggota pasukan yang lain telah menahan satu suspek perempuan Zia Amy Binti Abdul Rashid (B1 / “Amy”) dan Insp. Muhammad Zaini dan tiga anggota lain menahan suspek lelaki Ahmad Hafiz Bin Yusof (B2 / “SP8”) yang berada di dalam kereta Volkswagen. [ 6 ] Beg merah jambu bertulis Embellish yang dirampas daripada Tertuduh didapati mengandungi – a. tiga (3) bungkusan teh Cina berwarna hijau bertulisan Guanyinwang (“GYW”); b. Di dalam setiap bungkusan GYW pula terdapat satu (1) bungkusan plastik lutsinar bertulisan Very Good yang berisi bahan disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat keseluruhan 3,060 gram. [ 7 ] SP6 turut memeriksa beg tangan bertulisan LV yang dibimbit dengan tangan kanan oleh Amy dan telah merampas – a. satu (1) kad akses bertulisan Residensi Duta Kiara; dan b. serangkai kunci yang mengandungi dua (2) anak kunci berserta keychain bertulisan VW. [ 8 ] Pemeriksaan oleh SP6 di dalam kereta Mercedes juga menemui kad akses bertulisan Residensi Duta Kiara dan serangkai kunci yang mengandungi dua (2) anak kunci dari ruangan brek tangan kereta itu. Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Petaling Jaya untuk tindakan lanjut. Saspek dan barang kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Insp. G/25970 Insp Muhammad Syahir bin Ajamain (“SP9”). [ 9 ] SP9 telah menghantar barang kes dadah ke Jabatan Kimia Malaysia dan hasil analisa Ahli Kimia Nur Ikadewi binti Sarimin (“SP2”) mengesahkan barang kes tersebut adalah dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 1,549.2 gram. Methamphetamine disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. ANALISA DAN DAPATAN KES PENDAKWAAN [ 10 ] Di akhir kes pendakwaan, mahkamah perlu memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan terhadap Tertuduh. Dalam membuat keputusan ini, mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima semua keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Lihat kes-kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 6 MLJ 393; Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 2 MLJ 65; Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85. [ 11 ] Elemen-elemen yang perlu dibuktikan bagi pertuduhan mengedar dadah dalam kes ini ialah – a. Dadah tersebut adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta tersebut; b. Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea); dan c. Tertuduh telah mengedar dadah tersebut; Elemen pertama – dadah tersebut adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952 [ 12 ] Keterangan Ahli Kimia SP2 secara bertulis (PSP2) dan lisan serta Laporan Kimia (P8) mengesahkan bahan yang dirampas adalah Methamphetamine dengan berat bersih 1,549.2 gram. Methamphetamine disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952. Tiada cabaran serius kepada keterangan SP2. Gambar barang kes semasa diterima dan sebelum analisis juga telah dicamkan. Mahkamah menerima hasil analisa dan keterangan SP2 selaras prinsip dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP [1987] 1 CLJ