[32] Dengan hormat, Mahkamah ini mendapati dakwaan-dakwaan pempetisyen yang tersebut tidak disertakan dengan bukti-bukti yang mencukupi, lebih-lebih lagi apabila responden telah menafikan secara spesifik dakwaan pempetisyen bahawa beliau telah tidak lagi menetap di rumah No. 18 bersama-sama anak-anak perkahwinan tetapi telah pindah ke rumah No. 21 bersama suami baharunya. [33] Dalam hal ini, Mahkamah ini berpandangan, apa yang dieksibitkan oleh pempetisyen iaitu rakaman video dan audio anak-anak perkahwinan yang menunjukkan insiden tangisan, pertengkaran di antara salah seorang anaknya dengan sepupu beliau dan rayuan anak-anaknya untuk tidak mahu lagi tinggal di rumah No. 18 adalah tidak memadai untuk pempetisyen melepaskan beban bukti di atas imbangan kebarangkalian yang dipikul olehnya. Ini kerana, terdapat juga rakaman video dan audio yang dikemukakan oleh responden yang menunjukkan bahawa anak-anak perkahwinan berada dalam suasana harmoni bersama-sama responden dan sepupu-sepupu mereka iaitu anak-anak kakak dan anak-anak adik lelaki responden yang masing-masingnya tinggal bersebelahan dan berhadapan dengan rumah No. 18 (eksibit “CCC-14” Kandungan 36). [34] Selain itu, Mahkamah ini juga mengesyakki terdapat unsur-unsur pengaruh tidak wajar yang datang dari pihak pempetisyen dalam rakaman-rakaman video dan audio yang dieksibitkan oleh pempetisyen, atau rakaman audio dan video tersebut nampak seolah-olah terhasil daripada desakan pempetisyen yang cuba untuk mewujudkan suasana bahawa anak-anak perkahwinan tidak mahu lagi tinggal dengan responden di rumah No. 18. [35] Rakaman audio paling jelas yang menimbulkan syak sebegini datangnya dari rakaman audio melalui applikasi ‘whatsapp’ berupa perbualan di antara anak kedua dengan isteri baharu pempetisyen yang meminta bapa mereka untuk membuat permohonan ke mahkamah untuk mendapatkan mereka kembali (rujuk eksibit “A-6” dalam Afidavit Sokongan di Kandungan 33). [36] Pada hemat Mahkamah ini, agak sukar untuk dipercayai bahawa anak kedua pempetisyen yang ketika itu dalam lingkungan 8 tahun dapat mengerti tentang prosiding Mahkamah melainkan jika perkara tersebut telah diasuh dan ditanam ke dalam pemikiran mereka oleh orang yang lebih dewasa. [37] Atas sebab yang sedemikian, Mahkamah ini membuat dapatan bahawa adalah tidak selamat sama sekali untuk Mahkamah ini menerima mesej-mesej berupa rayuan anak-anak perkahwinan tersebut sebagai sandaran untuk membuktikan dakwaan pempetisyen bahawa responden telah tidak lagi tinggal bersama-sama dengan anak-anak perkahwinan di rumah No. 18 atau anak-anak perkahwinan tidak mahu lagi tinggal di rumah No. 18. [38] Seterusnya, Mahkamah ini menerima sebagai munasabah akan versi responden bahawa jikapun berlaku apa-apa pertengkaran atau pergaduhan di antara anak-anak perkahwinan dengan sepupu mereka, kejadian tersebut adalah terpencil dan merupakan perkara biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak yang sedang membesar lebih-lebih dari kalangan sepupu sendiri. [39] Malahan, jika dilihat dari sudut faktor umur sepupu anak-anak perkahwinan yang lebih tua daripada anak-anak perkahwinan, maka tidak keterlaluan jika Mahkamah ini membuat inferens bahawa sepupu anak-anak perkahwinan bukannya sepanjang masa akan berada di rumah No. 18 kerana mereka juga perlu untuk ke sekolah pada sebelah siangnya. [40] Selain itu, jarak rumah sepupu-sepupu mereka yang hanya sebelah menyebelah dan berhadapan dengan rumah No. 18 juga memihak kepada versi responden bahawa sepupu-sepupu mereka sebenarnya tinggal di rumah masing-masing dan bukannya di rumah No. 18. [41] Maka, berdasarkan dapatan dan inferens ini, Mahkamah ini selesa untuk membuat dapatan akhir bahawa dakwaan pempetisyen bahawa responden telah gagal untuk menjaga anak-anak perkahwinan atau ibu responden lebih banyak meluangkan masa dengan sepupu sehingga mengabaikan anak-anak perkahwinan adalah tidak benar. [42] Selanjutnya, Mahkamah ini mendapati pempetisyen suami sendiri sering lewat memulangkan anak-anak perkahwinan setelah mengambilnya daripada responden. Keadaan ini sudah tentu membebankan anak-anak yang perlu pergi ke sekolah keesokannya lebih-lebih jika terdapat kerja sekolah yang perlu disiapkan. [43] Dalam hal ini, alasan pempetisyen bahawa responden tidak membenarkan anak-anak perkahwinan membawa buku-buku sekolah ke rumahnya, selain tidak munasabah, juga menunjukkan bahawa pempetisyen sendiri tidak peka dengan hal ehwal pembelajaran anak-anak perkahwinan. JIka pun dakwaan tersebut benar, persoalannya kenapakah pempetisyen tidak bertegas mengenai hal tersebut dengan responden dan membiarkan perkara ini berlarutan sejak perintah DN direkodkan pada tahun 2019 manakala Kandungan 32 ini pula hanya difailkan pada tahun 2021? [44] Selain itu, perkara yang membimbangkan Mahkamah ini adalah terhadap kecenderungan pempetisyen melayan keranah anak-anak perkahwinan dengan cara memberikan mereka alat-alat mainan. Untuk memburukkan lagi keadaan, terdapat keterangan yang dikemukakan oleh responden bahawa anak sulung dan anak bongsu mereka telah terdedah dengan gambar atau filem yang tidak senonoh sebagai tontotan (rujuk eksibit “CCC-20” dalam Afidavit Balasan Responden – Kandungan 43). Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa terdapatnya kekurangan pengawalan di pihak pempetisyen semasa melaksanakan waktu aksesnya sehingga anak-anak perkahwinan dibiarkan leka dengan permainan termasuklah kebolehan mencapai media tidak senonoh sebagai tontotan. [45] Seterusnya, Mahkamah ini berkesempatan pada 4.1.2023 untuk berjumpa dan menemu bual anak-anak perkahwinan di dalam kamar tanpa ditemani oleh pempetisyen atau responden atau peguam masing-masing. [46] Melalui temubual yang dijalankan dengan menggunakan perkhidmatan jurubahasa Mahkamah, saya agak terkejut dengan hasil temubual tersebut. Ini kerana, di hadapan saya, Vix (anak sulung) menyatakan tinggal dengan pempetisyen atau responden sama sahaja seronoknya. Selain itu, Vix juga dari mula hingga akhir temubual secara konsisten menyatakan tidak mahu menukar keadaan sekarang, iaitu tinggal bersama ibu (responden) dan nenek (ibu responden) dan sekali sekala ke rumah pempetisyen. Pendirian Vix tersebut juga dikongsi bersama oleh kedua-dua adiknya yang lain iaitu Ethel (anak kedua) dan Charlotte (anak ketiga). [47] Pada pemerhatian saya, ketiga-tiga anak perkahwinan memiliki tahap intelektual yang baik dan berperawakan cerdas lagi menyenangkan. Cara dan kebolehan mereka berinteraksi dengan saya meskipun melalui jurubahasa, membuatkan saya tidak teragak-agak untuk membuat dapatan bahawa mereka berupaya untuk memberikan pendapat masing-masing secara tersendiri dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak. Berdasarkan umur masing-masing, tanpa adanya apa-apa keterangan lain yang boleh menyangkal, adalah tidak salah juga untuk Mahkamah ini menganggap bahawa mereka sememangnya berupaya untuk memberikan pendapat bebas mereka sendiri [ruj: Viran Nagapan v. Deepa Subramaniam & Other Appeals [2016] 2 MLRA 206]. [48] Berdasarkan temuduga yang dijalankan, sekali lagi Mahkamah ini mendapati tidak ada apa-apa material di hadapan Mahkamah ini yang boleh menyokong permohonan pempetisyen untuk mengubah perintah DN sedia ada. [49] Sebagai kesimpulan analisis, Mahkamah ini berpendapat dalam setiap hal keadaan yang melibatkan jagaan, kawalan dan pemeliharaan anak-anak perkahwinan, perkara paling utama untuk Mahkamah ini berikan perhatian adalah kebajikan anak-anak perkahwinan sendiri [ruj: Mahabir Prasad v Mahabir Prasad (1982) 1 MLJ 189]. [50] Berpandukan prinsip-prinsip pembuktian termasuklah beban pembuktian bagi permohonan di bawah s.96 Akta 164 yang telah gagal dilepasi oleh pempetisyen, Mahkamah dengan ini berpendapat adalah baik dan sesuai supaya status quo sedia ada mengenai hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan serta nafkah anak-anak perkahwinan dikekalkan. [51] Mahkamah dengan ini menolak permohonan pempetisyen di Kandungan 32 tanpa perintah untuk kos. Tarikh: 30hb JANUARI 2024 …………………………………………. (NOOR HISHAM BIN ISMAIL) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru Peguam bagi pihak Pempetisyen: Tuan/Puan Pang Yong Tong Tetuan Pang Yong Tong & Co. Nusajaya Peguam bagi pihak Responden: Tuan/Puan Lee Bao Ting Tetuan Albert Ding, Lee & Partners Johor Bahru Kes-kes yang dirujuk: