1
Ini ialah Alasan Penghakiman untuk keputusan yang dibuat oleh Mahkamah ini yang telah membenarkan permohonan Defendan terhadap Plaintif di Lampiran 14 bagi suatu jaminan kos atas tindakan Saman Pemula yang telah difailkan oleh Plaintif.
KA-24NCvC-381-11/2022
High Court of Malaysia28 Feb 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ew Lee V Tan Bak Lee [2018] 1 Lns 754; Faridah Begum bte Abdullah lwn Dato' Michael Chong [1995] 2 CLJ 951; [1995] 2 MLJ 404; Lina Soo (F) lwn Ngu Chu Chiong @ Ngu Choo Chiong & Anor [1999]1 LNS 76; [1999] MLJU 442. Kedudukan Plaintif sebagai seorang bankrap [17] Dalam kes Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif terh”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
1
Ini ialah Alasan Penghakiman untuk keputusan yang dibuat oleh Mahkamah ini yang telah membenarkan permohonan Defendan terhadap Plaintif di Lampiran 14 bagi suatu jaminan kos atas tindakan Saman Pemula yang telah difailkan oleh Plaintif.
2
Mahkamah telah membenarkan permohonan jaminan kos tersebut dengan suatu jumlah yang telah diputuskan namun Plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah membuat rayuan.
3
Suatu tindakan Saman Pemula telah dimasukkan oleh Plaintif terhadap Defendan bagi mendapatkan perintah –
a
injunksi bagi menghalang Defendan membuat pindah milik, melupuskan atau membebankan hartanah yang dikenali sebagai GM 20617, Lot 999 Seksyen 44, Bandar Alor Setar, Daerah Kota Setar, Negeri Kedah Darul Aman;
b
deklarasi bahwa pindahmilik hartanah melalui No. perserahan 823/2021 kepada Defendan adalah tidak sah dan terbatal;
c
endorsan perserahan pindahmilik 823/2021 atas hartanah dari Plaintif kepada Defendan dibatalkan dan selanjutnya nama Plaintif didaftarkan kembali sebagai pemilik berdaftar hartanah GM 20617, Lot 999 Seksyen 44, Bandar Alor Setar, Daerah Kota Setar, Negeri Kedah Darul Aman;
d
supaya Defendan mengembalikan surat hak milik asal hartanah tersebut kepada peguam cara Plaintif dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman;
e
bahawa Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Kota Setar memberi kesan sepenuhnya kepada Penghakiman;
f
kos;
g
relief-relief lain yang mahkamah fikirkan suai manfaat. [4] Defendan kemudiannya memfailkan permohonan di bawah Aturan 23 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 2012”) dan/atau Aturan 92 Kaedah 4, KKM 2012, untuk perintah supaya Plaintif membayar jaminan kos sebanyak RM50,000 kepada peguam cara Defendan dalam tindakan ini dalam masa 14 hari dari tarikh perintah dan jika gagal berbuat demikian tuntutan Plaintif terhadap Defendan dalam tindakan ini dibatalkan dengan serta-merta. [5] Defendan memfailkan permohonan tersebut atas alasan bahawa –
a
Plaintif adalah seorang bankrap;
b
Plaintif mempunyai sejarah tidak membayar kos;
c
Plaintif adalah seorang yang terlibat dalam banyak kes sivil;
d
Plaintif mempunyai alamat rumah yang tidak konsisten. [6] Plaintif telah diisytiharkan bankrap pada 26.5.2019 melalui kes KA- 29NCC-478-05/2018 atas amaun yang dituntut oleh Penghutang Penghakiman dengan jumlah RM381,193.93. Sehubungan dengan itu Defendan berhujah bahawa Plaintif ialah seorang yang tidak berkemampuan untuk membayar hutang dan jika sekiranya tuntutan Plaintif terhadap Defendan dalam kes ini ditolak, Plaintif tidak akan dapat membayar kos. [7] Defendan juga menyatakan bahawa Ketua Pengarah Insolvensi dalam sanksi yang dikeluarkan kepada Plaintif ada menyatakan bahawa Jabatan Insolvensi tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa kegagalan, kerugian atau apa-apa kos yang berbangkit daripada tindakan Plaintif terhadap Defendan. [8] Dalam Affidavit Sokongannya, Defendan telah menyenaraikan kos-kos yang telah tidak dibayar oleh Plaintif walaupun diperintahkan oleh Mahkamah dalam kes-kes berikut, iaitu –
a
kes KA-24NCVC-207-04/2021 yang telah dibatalkan pada 27.9.2022, di mana suatu perintah yang telah diberikan oleh Mahkamah ini untuk membayar kos RM2,000 dan perakuan alokatur;
b
kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar KA-16-14- 11/2017 antara Ooi Yong Por dan Ooi Chuan Hong Sdn. Bhd. di mana Hakim telah menolak rayuan Plaintif dengan kos sebanyak RM30,000 pada 16.12.2018;
c
kes rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar KA-12A-7- 06/2019& KA-12A-13-09/2019 antara Ooi Yong Por dan Ooi Chuan Hong Sdn Bhd di mana pada 28.2.2021 Hakim telah menolak rayuan Plaintif dengan kos sebanyak RM2,500 masing-masingnya;
d
jaminan kos bagi kes KA-22NCVC-2-01/2022 antara Ooi Yong Por dan Ooi Chuan Hong Sdn. Bhd. sebanyak RM50,000 yang telah diperintah pada 16.1.2023. [9] Selain itu, Defendan berhujah bahawa Plaintif juga terlibat dalam kes prosiding perceraian oleh isterinya dalam kes KA-33-52-04/2018 yang melibatkan nilai tuntutan berjumlah jutaan ringgit. Malah, Plaintif juga dikatakan terlibat dalam suatu lelongan hartanah yang dibawa terhadapnya oleh Public Bank atas tanah GM761, Lot 4061, Pekan Tokai, Kedah. [10] Defendan juga telah menyenaraikan kos jangkaan bagi maksud prosiding ini yang termasuk fi berkaitan dengannya. Maka, Defendan menyatakan bahawa adalah wajar jaminan kos dikenakan dengan jumlah yang dipohon bagi memastikan apa-apa kos yang bakal dikenakan terhadap Plaintif dibayar olehnya seandainya kes dalam Saman Pemula ini menyebelahi Defendan. [11] Oleh sebab itu, Defendan menyatakan bahawa perintah untuk jaminan kos penting untuk menjaga kepentingan Defendan kerana risiko adalah besar untuk Plaintif tidak membayar kosnya. Defendan juga berhujah bahawa Saman Pemula yang diambil terhadap Defendan ini adalah remeh, tidak berasas dan mengaibkan. Ini kerana sebagai seorang bankrap Plaintif tidak lagi mempunyai hak untuk menuntut hartanah ataupun memiliki hartanah. [12] Plaintif dalam membantah permohonan ini menyatakan bahawa dia masih berkeupayaan untuk membayar apa-apa kos sekiranya dikenakan terhadapnya seandainya tuntutan tidak memihak kepadanya. Ini kerana Plaintif menyatakan bahawa dia masih mempunyai harta tak alih yang tidak terletak di bawah Jabatan Insolvensi dan masih boleh dicairkan kelak. [13] Tambahan pula, Plaintif menghujahkan bahawa Defendan tiada pembelaan bermerit dalam tindakan Saman Pemula ini. Dalam Affidavit Jawapan Defendan tiada apa-apa anggapan yang boleh dibuat bahawa Defendan mempunyai peluang untuk berjaya dalam pembelaannya kepada Saman Pemula ini. Malah, Plaintif menyatakan bahawa hartanah yang didaftarkan di bawah nama Defendan adalah tidak sah kerana Plaintif merupakan seorang bankrap semasa ia berlaku. [14] Selain itu, Plaintif juga menyatakan jumlah yang dipohon untuk jaminan kos untuk kos ramalan yang dijangka tersebut adalah berlebihan dan tidak berpatutan. Maka dengan itu, Plaintif menyatakan bahawa permohonan Defendan ini tidak wajar dibenarkan. C. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH [15] Permohonan jaminan kos merupakan permohonan sedia ada di bawah bidang kuasa budi bicara Mahkamah seperti yang diperuntukkan di bawah Aturan 23 KKM 2012 dan Aturan 92 Kaedah 4 KKM 2012. Tujuan utama jaminan kos adalah untuk melindungi pihak Defendan daripada berhadapan dengan Plaintif yang mungkin tidak berkemampuan untuk membayar kos sekiranya tindakan gagal. [16] Prinsip-prinsip asas dalam permohonan untuk jaminan kos ini telah diputuskan dalam kes-kes dahulu, antara lain Mahkamah menegaskan bahawa Mahkamah mempunyai budi bicara luas untuk memerintahkan jaminan kos, dengan syarat ia digunakan secara saksama dan tidak menafikan akses kepada keadilan. Mahkamah menegaskan bahawa dalam mempertimbangkan permohonan jaminan kos, Mahkamah perlu menimbang beberapa faktor seperti latar belakang kewangan Plaintif, sejarah kegagalan membayar kos, dan kekuatan kes yang difailkan. Kes dirujuk: (Chen Siew Lee V Tan Bak Lee [2018] 1 Lns 754; Faridah Begum bte Abdullah lwn Dato' Michael Chong [1995] 2 CLJ 951; [1995] 2 MLJ 404; Lina Soo (F) lwn Ngu Chu Chiong @ Ngu Choo Chiong & Anor [1999]1 LNS 76; [1999] MLJU 442. Kedudukan Plaintif sebagai seorang bankrap [17] Dalam kes Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan ini, fakta bahawa Plaintif telah diisytiharkan bankrap pada 26.5.2019 adalah sangat relevan. Undang-undang adalah mantap bahawa sebagai seorang bankrap, apa-apa harta Plaintif secara automatik menjadi milik Ketua Pengarah Insolvensi menurut seksyen 24(4) Akta Insolvensi 1967. [18] Pada peringkat ini, Mahkamah berpandangan dan sesungguhnya percaya bahawa kemampuan sebenar Plaintif untuk membayar kos sekiranya gagal dalam Saman Pemula ini adalah diragui. Ini kerana, Plaintif gagal mengemukakan bukti daripada Jabatan Insolvensi yang boleh menyokong bahawa Plaintif ada membuat apa-apa bayaran atas keberhutangannya dengan pemiutang-pemiutang dan mendepositkan apa-apa wang yang mencukupi dalam akaunnya di Jabatan Insolvensi bagi membolehkan apa-apa kos diambil daripada akaun Plaintif. [19] Sehubungan dengan itu, Mahkamah berpandangan bahawa fakta kebankrapan adalah alasan kukuh untuk mengenakan jaminan kos, khususnya apabila tiada bukti kukuh diberikan oleh pihak Plaintif untuk meyakinkan Mahkamah bahawa kos akan dibayar jika tindakannya dalam Saman Pemula ini gagal. Sejarah kegagalan membayar kos [20] Dalam permohonan ini, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif mempunyai sejarah kegagalan membayar kos Defendan dan hal tersebut telah dibuktikan oleh Defendan sewajarnya. Mahkamah dapati Defendan telah mengemukakan bukti bahawa Plaintif gagal menjelaskan perintah kos dalam beberapa kes sivil lain yang telah diputuskan, termasuk keputusan-keputusan terdahulu di hadapan Mahkamah ini. Mahkamah percaya kegagalan berterusan Plaintif untuk mematuhi perintah Mahkamah dalam kes-kes tersebut menunjukkan corak yang membimbangkan dan menjustifikasikan keperluan melindungi Defendan. [21] Prinsip ini juga telah diterima dalam kes yang dirujuk oleh Defendan dalam hujahannya, iaitu kes Mas Anita Abdullah V Lew Wai Koung [2013] 3 CLJ 737, di mana Mahkamah membenarkan jaminan kos setelah mendapati Plaintif pernah juga gagal melunaskan perintah penghakiman yang dikenakan dalam kes terhadapnya sebelum ini. Mahkamah juga turut bersetuju dengan nas yang dipetik oleh Defendan dalam kes Jurong Town Corp V Wishing Star Ltd [2004] 2SLR(R) 427 di mana Mahkamah Rayuan Singapura telah memutuskan bahawa jika dapat dibuktikan secara objektif wujudnya kebarangkalian untuk tidak membayar kos, ia akan dijadikan satu faktor yang relevan dalam permohonan jaminan kos. [22] Malah dalam kes Strukturmas (Selangor) Sdn. Bhd. V Majlis Perbandaran Petaling Jaya [2001] 1 LNS 387 diputuskan dengan tegas bahawa Plaintif yang sepatutnya menyatakan bahawa dia mampu dan berkeupayaan membayar. Namun begitu, Mahkamah dapati dalam kes di hadapan Mahkamah ini, pernyataan yang diberikan oleh Plaintif adalah sangat longgar dan tidak berasaskan suatu pembuktian yang kukuh. Risiko penyalahgunaan proses dan prosiding yang berkemungkinan remeh [23] Defendan telah berhujah bahawa tindakan Saman Pemula ini adalah remeh dan menyalahgunakan proses Mahkamah memandangkan Plaintif sebagai seorang bankrap, tidak mempunyai locus standi untuk menuntut atau mengekalkan hak milik terhadap hartanah tersebut. [24] Dalam hal ini, Mahkamah mengambil maklum bahawa status kebankrapan Plaintif berkemungkinan menjadikan tindakan ini tidak mempunyai prospek kejayaan yang tinggi. Walaupun isu merit bukanlah satu-satunya pertimbangan dalam permohonan jaminan kos, Mahkamah boleh mengambil kira sama ada tindakan tersebut mempunyai prospek kejayaan atau sebaliknya. Budi bicara Mahkamah dan imbangan keadilan [25] Mahkamah juga telah mengambil kira hujahan Plaintif bahawa dia masih mempunyai harta tak alih yang boleh dicairkan. Namun, tiada bukti kukuh dikemukakan untuk menyokong keupayaan kewangan tersebut, dan perakuan Jabatan Insolvensi turut menunjukkan bahawa agensi itu tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kos yang timbul dari tindakan ini. Justeru, risiko ketidakupayaan Plaintif untuk membayar kos adalah nyata. [26] Dalam membuat pertimbangan antara hak untuk akses kepada Mahkamah dengan keperluan melindungi Defendan daripada beban kos yang mungkin tidak dapat diperoleh kelak, Mahkamah berpendapat bahawa adalah adil dan munasabah untuk mengenakan jaminan kos dalam jumlah yang telah ditetapkan. [27] Setelah meneliti keseluruhan afidavit dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah mendapati bahawa Defendan telah berjaya menunjukkan alasan yang mencukupi untuk menyokong permohonan jaminan kos ini. Status kebankrapan Plaintif, sejarah kegagalan menjelaskan kos Mahkamah dalam tindakan-tindakan terdahulu, serta ketiadaan bukti kukuh terhadap kemampuan kewangan semasa Plaintif merupakan faktor-faktor yang meyakinkan bahawa terdapat risiko sebenar Defendan tidak akan dapat memperoleh kos sekiranya berjaya dalam pembelaannya. [28] Mahkamah berpandangan dan percaya bahawa dalam menimbangkan kepentingan keadilan kepada kedua-dua pihak, perintah jaminan kos adalah wajar. Ini untuk mengelakkan penyalahgunaan proses dan melindungi Defendan daripada risiko kegagalan mendapatkan kos yang diperintahkan jika sekiranya kes yang dibawa terhadap Defendan oleh Plaintif menyebelahi Defendan. [29] Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa permohonan unutk suatu jaminan kos oleh Defendan adalah dibenarkan dan Plaintif dikehendaki membayar sejumlah RM30,000.00 sebagai jaminan kos kepada peguam cara Defendan dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh Perintah ini. Sekiranya Plaintif gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka tindakan Plaintif terhadap Defendan di dalam Saman Pemula ini adalah dibatalkan dengan serta-merta tanpa perlu perintah lanjut daripada Mahkamah. Kos bagi permohonan ini adalah kos dalam kausa. Bertarikh : 30 Mei 2025 ……………………………………………………… (YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah Peguam Plaintif: Muhammad Irham bin Redzuan (Tetuan M.S Nizam & Co.) Peguam Responden: Ang Jun Jia (Tetuan Max Yee & Ang)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.