Preamble
Menurut SP11, pada pertemuan itu Perayu turut memberikan nombor akaun Maybank miliknya kepada SP11. Beberapa hari selepas itu, Perayu telah menghubungi SP11 dan meminta bayaran bulanan sebanyak RM1,200 bermula April 2018. Bayaran ini bertujuan memastikan lori-lori syarikatnya tidak ditahan atau disaman. [37] SP11 menjelaskan bahawa beliau telah mengarahkan SP10 untuk menguruskan pembayaran tersebut melalui akaun bank milik Perayu. SP11 mengesahkan bahawa beliau berhenti membuat bayaran kerana lori-lorinya masih dikenakan tindakan oleh JPJ. [38] Seterusnya, keterangan lisan SP1, SP2 dan SP10, bersama slip transaksi bank, bahawa sejumlah sembilan pindahan wang berjumlah RM10,800.00 telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank Perayu yang masih aktif sejak tahun 1999. c) ANGGAPAN DI BAWAH SEKSYEN 50 SPRM 2009 [39] Setelah Mahkamah berpuas hati bahawa Perayu telah menerima suapan tersebut, maka anggapan di bawah seksyen 50 Akta SPRM terpakai. Seksyen 50(1) Akta SPRM dipetik seperti berikut:- “(1) Where in any proceedings against any person for an offence under section 16, 17, 18, 20, 21, 22 or 23 it is proved that any gratification has been received or agreed to be received, accepted or agreed to be accepted, obtained or attempted to be obtained, solicited, given or agreed to be given, promised, or offered, by or to the accused, the gratification shall be presumed to have been corruptly received or agreed to be received, accepted or agreed to be accepted, obtained or attempted to be obtained, solicited, given or agreed to be given, promised, or offered as an inducement or a reward for or on account of the matters set out in the particulars of the offence, unless the contrary is proved.” Page 9 of 14 [40] Seksyen 50(1) Akta SPRM ini memperuntukkan suatu anggapan undang-undang (statutory presumption) dalam kesalahan rasuah. Peruntukan ini menetapkan bahawa apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh telah menerima, bersetuju menerima, mendapatkan, cuba mendapatkan, meminta, memberi atau menawarkan apa-apa suapan, maka Mahkamah hendaklah menganggap suapan tersebut diterima atau diberi secara rasuah, iaitu sebagai dorongan atau ganjaran berkaitan perkara yang dinyatakan dalam pertuduhan. [41] Anggapan ini berkuat kuasa secara automatik setelah fakta penerimaan atau pemberian suapan dibuktikan. Walau bagaimanapun, anggapan tersebut boleh dipatahkan oleh tertuduh atas imbangan kebarangkalian iaitu bahawa suapan tersebut bukan diberikan atau diterima secara rasuah. [42] Dengan kata lain, setelah fakta asas mengenai penerimaan atau pemberian suapan dibuktikan oleh pendakwaan, beban pembuktian beralih kepada tertuduh untuk menjelaskan secara munasabah bahawa transaksi tersebut tidak mempunyai unsur rasuah. d) PEMBELAAN HUTANG [43] Perayu mendakwa bahawa wang tersebut merupakan bayaran balik hutang. [44] Mahkamah mendapati bahawa pembelaan ini tidak disokong oleh sebarang bukti. Hal ini kerana tiada sebarang dokumen atau rekod yang menunjukkan kewujudan pinjaman tersebut. [45] Mahkamah juga meneliti corak pembayaran yang dibuat secara bulanan oleh SP11, ia lebih selaras dengan suatu bayaran berkala berhubung dengan perlindungan penguatkuasaan. [46] Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Perayu adalah merupakan suatu afterthought dan Perayu gagal menangkis anggapan di bawah seksyen 50 Akta SPRM. Page 10 of 14 e) KELEMAHAN SIASATAN [47] Pihak Perayu turut membangkitkan isu bahawa siasatan kes ini adalah cacat. Berdasarkan hujahan pihak Perayu, dapat dirumuskan bahawa terdapat beberapa kelemahan yang nyata dalam siasatan yang dijalankan oleh Pegawai Penyiasat, iaitu SP12. [48] Kelemahan Pertama, SP12 sendiri mengakui bahawa keterangan Perayu yang dirakam melalui pernyataan di bawah seksyen 53(3) Akta SPRM (exhibit D53) adalah konsisten, namun tiada sebarang siasatan lanjut dijalankan untuk menilai kebenaran atau kepalsuan penjelasan tersebut. Malah, SP12 juga mengakui bahawa beliau tidak pernah membuat laporan polis atau mengambil apa-apa tindakan siasatan lanjut bagi mencabar kandungan pernyataan tersebut sekiranya ia didapati tidak benar. [49] Kelemahan Kedua, SP12 tidak merakam semula apa-apa pernyataan daripada Perayu selepas beliau dilantik sebagai Pegawai Penyiasat bagi kes ini. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai ketelitian siasatan kerana pernyataan awal Perayu yang direkodkan melalui exhibit D53 sepatutnya disemak atau diuji semula dalam siasatan lanjut bagi memastikan semua aspek pembelaan Perayu disiasat secara menyeluruh. [50] Kelemahan Ketiga, terdapat kegagalan siasatan terhadap fakta material yang berpotensi menyokong atau menafikan versi kejadian yang dikemukakan oleh saksi utama pendakwaan. Sebagai contoh, SP12 mengakui bahawa beliau tidak pernah menyiasat sama ada warung yang dikatakan oleh SP11 sebagai tempat pertemuan antara SP11 dan Perayu benar-benar wujud atau tidak. Malah, SP12 menyatakan bahawa perkara tersebut dianggap “tiada keperluan” untuk disiasat. [51] Dalam keadaan sedemikian, kegagalan SP12 untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap aspek-aspek penting tersebut menunjukkan bahawa siasatan yang dijalankan adalah tidak lengkap dan tidak meneliti semua kemungkinan yang relevan dengan kes ini. Secara keseluruhannya, kelemahan-kelemahan ini menimbulkan keraguan terhadap ketelitian siasatan serta Page 11 of 14 berpotensi menjejaskan keadilan kepada Perayu dalam pembelaan kesnya. [52] Mahkamah mengambil maklum mengenai kelemahan dalam siasatan yang dijalankan oleh SP12 seperti yang dihujahkan oleh pihak Perayu. Mahkamah berpandangan bahawa kelemahan tersebut tidak semestinya membawa kepada kesimpulan bahawa keseluruhan kes pendakwaan adalah tidak selamat atau gagal dibuktikan. Prinsip undang-undang yang mantap menyatakan bahawa kecacatan atau kelemahan dalam siasatan tidak dengan sendirinya menjejaskan kes pendakwaan sekiranya keterangan yang dikemukakan di Mahkamah mencukupi untuk membuktikan elemen-elemen kesalahan yang dipertuduhkan. [53] Mahkamah mendapati keterangan lisan saksi-saksi pendakwaan serta keterangan dokumentari berkaitan transaksi wang, jelas menunjukkan berlakunya penerimaan wang oleh Perayu sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan. Keterangan tersebut tidak berjaya digugat secara material semasa pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan sehingga boleh menjejaskan kebolehpercayaan fakta utama dalam kes pendakwaan. [54] Tambahan pula, penjelasan yang diberikan oleh Perayu berhubung kemasukan wang ke dalam akaunnya telah pun dipertimbangkan oleh Mahkamah bersama keseluruhan keterangan yang ada. Namun demikian, setelah menilai keseluruhan keterangan secara maksimum, Mahkamah mendapati bahawa keterangan pendakwaan masih kekal kukuh dan mampu menyokong dapatan bahawa setiap elemen kesalahan di bawah pertuduhan telah berjaya dibuktikan. [55] Sehubungan itu, Mahkamah berpendapat walaupun wujud kelemahan tertentu dalam siasatan SP12, kelemahan tersebut tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Keterangan yang ada tetap mencukupi untuk menyokong dapatan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan terhadap Perayu telah dibuktikan. Page 12 of 14 D. DAPATAN MAHKAMAH DALAM RAYUAN INI [56] Setelah meneliti keseluruhan Rekod Rayuan, Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menilai keterangan atau membuat dapatan fakta. Dapatan Hakim Mahkamah Sesyen adalah selaras dengan keterangan yang ada dalam rekod. [57] Mahkamah juga tidak mendapati bahawa dapatan tersebut bersifat perverse atau bertentangan dengan berat keterangan yang ada. [58] Setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada di hadapan Mahkamah dan setelah menghalusi hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesalahan terhadap Perayu melampaui keraguan munasabah. [59] Mahkamah juga mendapati bahawa pembelaan Perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal menangkis anggapan di bawah seksyen 50 Akta SPRM. [60] Sehubungan itu, Mahkamah berpendapat bahawa sabitan yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen adalah selamat. [61] Mahkamah juga telah meneliti rayuan Perayu terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa mahkamah rayuan tidak seharusnya campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah perbicaraan melainkan sekiranya dapat ditunjukkan bahawa hukuman tersebut adalah nyata berlebihan, tidak mencukupi, atau bahawa mahkamah perbicaraan telah tersalah arah dalam mempertimbangkan faktor-faktor yang relevan. [62] Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira faktor-faktor yang relevan sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Perayu. Antara faktor yang diambil kira termasuklah kedudukan Perayu sebagai seorang penjawat awam yang diamanahkan dengan kuasa penguatkuasaan serta sifat kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan jawatan untuk menerima suapan. Page 13 of 14 [63] Mahkamah juga mengambil kira bahawa kesalahan rasuah merupakan kesalahan yang serius kerana ia menjejaskan integriti perkhidmatan awam serta keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan hendaklah mempunyai unsur pencegahan bagi mengekang perlakuan seumpama ini. [64] Setelah meneliti hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen serta alasan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mahkamah ini mendapati bahawa hukuman tersebut adalah tidak keterlaluan atau tidak munasabah dalam keadaan kes ini. [65] Sehubungan itu, Mahkamah berpendapat bahawa tiada asas untuk Mahkamah ini campur tangan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. [66] Oleh yang demikian, rayuan Perayu terhadap hukuman juga adalah ditolak dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah dikekalkan. [67] Akhirnya Mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman adalah ditolak dan sabitan Mahkamah Sesyen adalah dikekalkan. Bertarikh: 16 Mac 2026 …………………………… (FATHIYAH BINTI IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Butterworth Pulau Pinang Page 14 of 14 PIHAK-PIHAK: Bagi pihak Pemohon: Amrick Singh a/l Sandhu Tetuan Naran Singh & co Peguam Bela dan Peguam Cara Perak Bagi pihak Responden: Noor Azura binti Zulkiflee Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Perundangan Dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Pulau Pinang