Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALALUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO.: WA-23CY-6-02/2022 ANTARA P. THIAGARAJAN A/L PAVADAI ... PLAINTIF (NO. K/P: 540505-10-5279)
WA-23CY-6-02/2022
High Court of Malaysia30 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“aud v. TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ (rep) 321, Mahkamah memutuskan prosedur yang harus diikuti dalam pembuktian kes fitnah sebagaimana berikut: ‘... In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show:”
“37. Prinsip yang sama kemudiannya ditegaskan sekali lagi oleh Mahkamah Rayuan dalam Mabel Sheela a/p Victor Muttiah v. Clare Louise Brown [2024] MLJU 1667, apabila Mahkamah Rayuan mengulangi bahawa tindakan fitnah yang diasaskan kepada dokumen atau penerbitan dalam bahasa selain Bahasa **Note : Serial number will be us”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALALUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO.: WA-23CY-6-02/2022 ANTARA P. THIAGARAJAN A/L PAVADAI ... PLAINTIF (NO. K/P: 540505-10-5279)
1
PASUPATHY
2
SENGGUTUAN A/L VEERAN ... DEFENDAN-DEFENDAN
1
Tindakan ini adalah suatu tuntutan fitnah yang difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan-Defendan berhubung satu siaran berita dalam talian yang disiarkan oleh Defendan Pertama melalui platform “Thisaigal TV”.
2
Plaintif mendakwa bahawa siaran tersebut telah membawa maksud bahawa Plaintif telah menggunakan pengaruhnya untuk campur tangan dalam proses pelantikan jawatan awam, sekali gus merosakkan reputasi Plaintif di mata masyarakat.
3
Tindakan ini telah selesai dibicarakan yang mana Plaintif telah memanggil dua (2) orang saksi manakala Defendan Pertama juga telah memberi keterangan dan menutup kes pada 20 Ogos 2025 di hadapan YA Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Eddie Yeo Soon Chye. Kes telah dihujahkan dan ditetapkan untuk Keputusan pada 27 Februari 2026 namun tidak berkesempatan bila mana YA Tuan Eddie Yeo Soon Chye telah meninggal dunia pada awal Februari 2026.
4
Seterusnya saya diarahkan untuk mengambil alih kes ini dan pihak-pihak telah hadir pada 31 Mac 2026 di hadapan saya bagi pemakluman status kes. Seterusnya hujahan secara lisan telah didengar di hadapan saya pada 14 April 2026 dan tarikh keputusan ditetapkan pada 30 April 2026.
5
Penelitian kepada minit Mahkamah menunjukkan bahawa pada 18 Ogos 2025 iaitu sebelum perbicaraan bermula, melalui Lampiran 89 tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kedua telah ditarik balik. Oleh itu tuntutan ini adalah terhadap Defendan Pertama sahaja.
6
Seterusnya melalui minit Mahkamah di Lampiran 82, YA Pesuruhjaya Kehakiman terdahulu juga telah memberikan perintah membenarkan sebahagian permohonan pindaan Plaintif untuk meminda Saman dan Penyata Tuntutan. Mahkamah membenarkan Cadangan pindaan di Lampiran 82 pada 10 November 2025 (Lampiran 144) sebagaimana berikut:
a
Pindaan kepada nama dan nombor kad pengenalan Defendan Pertama Pasupathy a/l Gopalsamy (No. Kad Pengenalan: 800910-14-6515) serta penambahan perkataan “/dengan menggunakan nama perniagaan” selepas perkataan “berdagang sebagai” dan sebelum perkataan “Thisaigal TV” dalam penerangan kepada Defendan Pertama di dalam Writ dan Pernyataan Tuntutan;
b
pindaan kepada perkataan “case” kepada “caste” di perenggan 7 Pernyataan Tuntutan; dan
c
penomboran semula perenggan kedua bernombor 7 dalam Pernyataan Tuntutan kepada Perenggan 7A.
7
Walau bagaimanapun, Mahkamah telah menolak cadangan pindaan berikut:
a
Cadangan untuk memasukkan perkataan “not” ke dalam pernyataan fitnah yang didakwa di perenggan kecil keempat (fourth sub-paragraph) bagi perenggan 7 pertama dalam
b
Cadangan untuk memasukkan transkrip penyiaran dalam Bahasa Tamil berserta terjemahannya dalam Bahasa Malaysia sebagaimana yang dinyatakan dalam Lampiran 1 dan Lampiran 2 dalam Pernyataan Tuntutan; dan
c
Pindaan untuk menyeragamkan ejaan nama kasta daripada “Vanniyar” dan “Vanieer” kepada “Vanniar” di perenggan 8 Pernyataan Tuntutan.
8
Plaintif adalah seorang ahli perniagaan serta seorang dermawan yang dikenali dalam masyarakat.
9
Defendan Pertama pula adalah mengendalikan satu portal media dalam talian dikenali sebagai “Thisaigal TV”, yang menyiarkan kandungan berita kepada umum melalui platform internet.
10
Defendan Kedua pula adalah merupakan seorang pegawai dalam perkhidmatan pendidikan dan telah dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Bahasa Tamil (jawatan tersebut) di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
11
Pada atau sekitar 18 April 2019, Defendan Kedua telah menerima surat pelantikan ke jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, dalam tempoh kira-kira 48 jam, pelantikan tersebut telah ditarik balik dan diberikan kepada individu lain.
12
Sejurus selepas itu, Defendan Pertama telah menyiarkan satu berita melalui platform Thisaigal TV (Siaran tersebut) yang membangkitkan isu berkaitan penarikan balik pelantikan jawatan tersebut dan mengaitkan seorang pemimpin persatuan Vanniyar di Klang dengan campur tangan dalam keputusan tersebut.
13
Kandungan Siaran tersebut, antara lain, mempersoalkan sama ada pelantikan dalam sektor pendidikan dibuat berdasarkan kelayakan atau dipengaruhi oleh faktor kasta, serta menyatakan bahawa seorang pemimpin persatuan Vanniyar telah berhubung dengan pihak-pihak berkepentingan sehingga menyebabkan pelantikan tersebut ditarik balik dalam tempoh 48 jam.
14
Plaintif mendakwa bahawa rujukan kepada “pemimpin persatuan Vanniyar di Klang” tersebut adalah merujuk kepada dirinya sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Vanniyar Malaysia.
15
Plaintif menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penarikan balik pelantikan tersebut dan tidak pernah campur tangan dalam urusan tersebut.
16
Plaintif melalui peguamnya telah mengeluarkan notis pra-tindakan kepada Defendan Pertama menuntut penarikan balik dan permohonan maaf berhubung siaran tersebut namun tiada sebarang maklum balas diberikan oleh Defendan Pertama terhadap notis tersebut.
17
Plaintif seterusnya memfailkan tindakan ini dan menuntut, antara lain, ganti rugi sebanyak RM5 juta, permohonan maaf terbuka serta kos.
18
Defendan Pertama mengakui bahawa Siaran tersebut telah diterbitkan melalui platform Thisaigal TV. Namun demikian, Defendan Pertama menafikan bahawa Siaran tersebut mengandungi sebarang pernyataan fitnah terhadap Plaintif atau bahawa Plaintif telah digambarkan secara negatif.
19
Defendan Pertama menegaskan bahawa Siaran tersebut tidak merujuk kepada Plaintif secara khusus. Rujukan kepada “pemimpin persatuan Vanniyar di Klang” adalah bersifat umum dan tidak mencukupi untuk mengenal pasti Plaintif sebagai subjek kepada siaran tersebut.
20
Defendan Pertama menyatakan bahawa Siaran tersebut merupakan suatu laporan dan ulasan berhubung isu kepentingan awam, iaitu dakwaan ketidakadilan dalam proses pelantikan jawatan dalam sektor pendidikan. Menurut Defendan Pertama, Siaran tersebut bertujuan membangkitkan persoalan awam dan tidak bermaksud untuk memfitnah mana-mana individu.
21
Berasaskan itu, Defendan Pertama bergantung kepada pembelaan ulasan saksama (fair comment), dengan menyatakan bahawa kandungan Siaran tersebut adalah suatu komen yang jujur, dibuat berdasarkan fakta yang dipercayai benar, dan berkaitan perkara berkepentingan awam.
22
Defendan Pertama juga membangkitkan pembelaan keistimewaan bersyarat (qualified privilege), dengan alasan bahawa Siaran tersebut dibuat dalam konteks penyampaian maklumat kepada umum mengenai suatu isu awam yang sah.
23
Selain itu, Defendan Pertama mempertikaikan ketepatan terjemahan penyiaran asal dalam Bahasa Tamil yang dikemukakan oleh Plaintif. Defendan berhujah bahawa penentuan maksud serta kesan Siaran tersebut hendaklah dibuat berdasarkan teks asal yang tepat.
24
Dalam keseluruhan pembelaannya, Defendan Pertama berpendirian bahawa Siaran tersebut bukanlah suatu penerbitan bersifat fitnah, sebaliknya suatu laporan dan komen berhubung kepentingan awam.
25
Beberapa isu yang dicadangkan:
25
25.1 Sama ada berita yang disiarkan di dalam Thisaigal TV pada 18/04/2019 (Siaran tersebut) berkaitan atau mempunyai hubung kait dengan Plaintif?
25
25.2 Sama ada Siaran tersebut telah menunjukkan bahawa Plaintif adalah individu yang telah mempengaruhi penarikan balik pelantikan kepada individu lain?
25
25.3 Sama ada Plaintif merupakan ketua persatuan Vanniar/Vanniyar yang dirujuk di dalam Siaran tersebut?
25
25.4 Sama ada Plaintif adalah satu-satunya orang yang mempunyai Omam dan berpangkalan di Klang?
25
25.5 Sama ada Siaran tersebut mempunyai unsur fitnah terhadap Plaintif?
26
Isu-isu di atas adalah dicadangkan oleh pihak-pihak untuk diputuskan oleh Mahkamah. Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati isu-isu untuk diputuskan hendaklah dirangka selaras dengan elemen-elemen asas yang perlu dibuktikan Plaintif dalam tuntutan fitnah.
27
Namun sebelum itu, Mahkamah berpendapat terdapat satu isu awalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu berhubung bantahan awalan Defendan Pertama atas kecacatan pliding.
28
Mahkamah akan memutuskan isu awalan terlebih dahulu sebelum menimbangkan merit tuntutan fitnah Plaintif. Penelitian terhadap pliding, isu awalan yang perlu diputuskan sama ada Pernyata Tuntutan Plaintif mematuhi kehendak mandatori Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Sama ada Pernyata Tuntutan Plaintif mematuhi Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012
29
Persoalan adalah sama ada kegagalan Plaintif memplidkan kata-kata fitnah dalam bahasa asal bersama terjemahan dalam Bahasa Kebangsaan dalam Pernyata Tuntutannya bagi Siaran tersebut adakah suatu ketidakpatuhan prosedur yang boleh diketepikan, ataupun suatu ketidakpatuhan yang menjejaskan asas tindakan Plaintif itu sendiri.
30
Bagi kemudahan rujukan, versi kenyataan fitnah yang disiarkan oleh Thisaigal TV dalam Bahasa Tamil yang diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris seperti di perenggan 7 penyata tuntutan pindaan adalah sebagaimana berikut: Injustice done to teacher Senggutuan. Did the Ministers abuse and misuse their powers? What is the relationship and connection between caste leader and education ministry? Is the caste of ‘Vannier’ an upper class and ‘Parayan’ a lower class? Is the education ministry a place of education or a place of caste. Are posts given on the basis of skill, intelligence and ability or on caste basis? … Thisaigal TV posts the questions that the Harapan government must make clear, in Senggutuan matter, whether the Malaysian education ministry gives promotions and post changes based on caste only? Recently, the education ministry at Selangor State appointed the teacher Senggutuan as the Assistant Director of Tamil Language unit. The appointment letter for that has also been given. Only after four officers interviewed him and selected him for the post, the appointment letter was also given. When the situation is like that, because another candidate for the post who was a Vanniyar was selected, the said candidate pleaded to the Klang based Vanniyar association and to its leader who has Omam and asked if ‘paraya’ Senggutuan is appointed as the assistant director, how to work obediently under him and that this is only a disrepute to the said candidate’s caste. Following this, the leader of the caste association spoke to Indian minister, then the minister spoke to the education minister, then the education minister spoke to the Director General of the ministry, then the Director General spoke to the state director, snatched away the appointment of assistant director given to Mr Senggutuan within 48 hours. Thisaigal considers seriously such an injustice that has happened during the Harapan government is taken by Thisaigal seriously. It is notable that the one who did the orderly job for the caste association leader is a minister of the Kehadilan party and a former member of the Selangor state assembly. Accordingly, as per Senggutuan who is an alien in a caste-based system, there are thousands of his people who are also members in Adilan. The minister, without taking into account all that, acted against those people. Hence, the low-level people in the party are extremely annoyed. Thus, if Adilan’s claim that there is no caste, religion and race in Adilan and that all are indiscriminately seen as Malaysian were true, what is the need to side line Senggutuan because he is not a Vanniyar and appoint one another who was not qualified in the selection process because he was a Vanniyar, Thisaigal asks? By this, does Malaysian education ministry give posts to one based on skill and qualification or based on the recommendation of caste association leader, Thisaigal asks? Not only as per MIC, but also all the political parties and public organisations considers If one’s development is prohibited based on caste, and for that if the two ministers and their two political parties are the reason, then this is contrary to social justice and hostility, then the two ministers must openly accept this and resign. At the same time, legal office must file action against these two ministers for abuse of power and breaching the ministry rules, Thisaigal stresses:
1
Snatching away the posting given to a person based on skill after giving it.
2
Next saying that the reason for the snatching away is the pressure from the top.
3
Asking how to work under someone showing caste is insulting him intentionally.
4
Refusal to realise how shameful it is to allow and accept caste associations interference in government postings.
5
Rejecting government postings from party perspective.
6
Not respecting fellow human as human and side lining him. As all consider seriously the injustice done to the excellent educationalist Senggutuan for multiple motives like this, Thisaigal is eager to know what next step the government headed by Tun Mahathir is going to take is going to be.
31
Dalam isu bantahan awalan tentang kecacatan pliding, Peguam Defendan Pertama berhujah bahawa dalam tindakan fitnah, Plaintif hendaklah memplidkan kata-kata fitnah secara tepat (verbatim). Sekiranya kata-kata tersebut adalah dalam Bahasa Tamil, maka terjemahan yang tepat ke dalam Bahasa Melayu hendaklah dikemukakan bagi membolehkan Mahkamah menilai maksud sebenar kata-kata tersebut. Ketiadaan terjemahan Bahasa Kebangsaan menyebabkan Mahkamah tidak boleh membuat penilaian terhadap maksud sebenar Siaran tersebut. Defendan Pertama telah merujuk kepada beberapa nas autoriti bagi menyokong hujahannya. Defendan Pertama menegaskan ini adalah kehendak mandatori dan kegagalan untuk memplidkan kata-kata fitnah dengan tepat adalah suatu kecacatan serius yang boleh menggagalkan keseluruhan tindakan.
32
Sebaliknya, Peguam Plaintif berhujah bahawa maksud penyiaran masih boleh difahami berdasarkan terjemahan Bahasa Inggeris yang diplidkan dan keterangan saksi sepanjang perbicaraan.
Preamble
Menurut Plaintif, sebarang kekurangan dari sudut bentuk pliding tidak seharusnya menggagalkan tuntutan yang telah dibicarakan sepenuhnya atas merit.
33
Peruntukkan Aturan 92, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 sebagaimana berikut: Bahasa dokumen (A. 92, k. 1)
1
1.
1
Tertakluk kepada perenggan (2), apa-apa dokumen yang dikehendaki untuk kegunaan menurut Kaedah-Kaedah ini hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh disertakan dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris, kecuali terjemahan bagi maksud Aturan 11, kaedah 6 (4) dan kaedah 7 (1) hendaklah disediakan mengikut kaedah 6 (5) Aturan itu: Dengan syarat bahawa apa-apa dokumen dalam bahasa Inggeris boleh digunakan sebagai suatu ekshibit, dengan atau tanpa suatu terjemahannya dalam bahasa kebangsaan.
2
…
3
…
34
Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa segala pliding dan dokumen yang digunakan dalam prosiding Mahkamah hendaklah disediakan dalam Bahasa Kebangsaan. Kehendak tersebut bukan sekadar suatu formaliti prosedur, bahkan merupakan suatu peruntukan mandatori yang bertujuan memastikan keseragaman bahasa dalam prosiding Mahkamah serta mengelakkan sebarang kekeliruan mengenai kandungan sebenar dokumen yang menjadi asas sesuatu tindakan.
35
Dalam tindakan fitnah, perkataan atau kenyataan yang didakwa memfitnah merupakan asas kepada keseluruhan tindakan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Plaintif untuk memastikan bahawa perkataan yang menjadi asas tuntutan dikemukakan dalam pliding Mahkamah dalam bentuk yang mematuhi kehendak undang-undang dan prosedur, termasuk penyediaan terjemahan dalam Bahasa Kebangsaan sekiranya bahasa asal penerbitan adalah selain daripada Bahasa Kebangsaan.
36
Prinsip tersebut telah diputuskan dengan jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam Rekha d/o Munisamy v. Ortus Expert White Sdn Bhd & Anor [2021] 5 MLJ 836, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kegagalan menterjemahkan pernyataan fitnah yang dipertikaikan ke dalam Bahasa Kebangsaan merupakan suatu ketidakpatuhan kepada Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang membawa akibat fatal kepada tindakan tersebut. Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pematuhan kepada kehendak tersebut adalah mandatori dan bukan suatu kecacatan prosedur yang boleh dipandang ringan.
37
Prinsip yang sama kemudiannya ditegaskan sekali lagi oleh Mahkamah Rayuan dalam Mabel Sheela a/p Victor Muttiah v. Clare Louise Brown [2024] MLJU 1667, apabila Mahkamah Rayuan mengulangi bahawa tindakan fitnah yang diasaskan kepada dokumen atau penerbitan dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan hendaklah disertakan dengan terjemahan Bahasa Kebangsaan walaupun diikuti dengan dokumen terjemahan Bahasa Inggeris. Ketidakpatuhan kepada kehendak terjemahan dalam Bahasa Melayu tersebut menjejaskan kesahan pliding yang menjadi asas tuntutan Plaintif.
38
Kedua-dua Keputusan di atas adalah amat jelas bahawa pematuhan kepada penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam pliding sesuatu tuntutan yang dibawa ke Mahkamah adalah mandatori. Oleh itu, Mahkamah ini terikat dengan kedua-dua keputusan Mahkamah Rayuan tersebut menurut doktrin stare decisis. Selagi prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan itu tidak diketepikan oleh Mahkamah yang lebih tinggi, Mahkamah ini tidak mempunyai ruang untuk mengambil pendirian yang berlainan dan bercanggah dengan keputusan di atas.
39
Justeru dalam kes semasa di hadapan Mahkamah ini, penelitian terhadap Pernyataan Tuntutan Terpinda menunjukkan bahawa pernyataan-pernyataan yang didakwa memfitnah dalam siaran tersebut hanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Malah Plaintif telah gagal untuk memplidkan kata-kata fitnah dalam bentuk asal Bahasa Tamil bersama terjemahan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu yang tepat pada peringkat pliding.
40
Mahkamah ingin menegaskan bahawa kehendak Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bukanlah suatu formaliti teknikal yang boleh diketepikan atas alasan tiada prejudis kepada pihak lawan. Dalam tindakan fitnah, perkataan-perkataan yang didakwa memfitnah merupakan teras kepada kausa tindakan itu sendiri.
41
Oleh itu, pematuhan terhadap kehendak penterjemahan ke dalam Bahasa Kebangsaan adalah suatu syarat asas bagi memastikan Mahkamah dapat menjalankan penilaian terhadap maksud semulajadi dan makna biasa (natural and ordinary meaning) kata-kata tersebut berdasarkan suatu teks yang sah di sisi undang-undang. Kecacatan ini bukanlah bersifat teknikal semata-mata. Kegagalan mematuhi kehendak tersebut akan menjejaskan asas tindakan Plaintif kerana Mahkamah tidak dapat menilai dengan pasti apakah sebenarnya kata-kata yang didakwa bersifat fitnah.
42
Justeru, dalam keadaan sedemikian, terjemahan yang tepat dan boleh dipercayai adalah suatu keperluan asas, bukan sekadar formaliti. Pergantungan kepada terjemahan Bahasa Inggeris semata-mata, lebih-lebih lagi apabila ketepatannya dipertikaikan, tidak memadai untuk memenuhi keperluan asas tersebut.
43
Tambahan pula, Mahkamah mendapati bahawa ketepatan terjemahan Bahasa Inggeris yang dikemukakan oleh Plaintif telah dipertikaikan secara khusus oleh Defendan Pertama. Dalam keadaan sedemikian, keperluan untuk memplidkan teks asal dalam Bahasa Tamil berserta terjemahan yang tepat ke dalam Bahasa Kebangsaan menjadi semakin penting bagi membolehkan Mahkamah menentukan maksud semulajadi dan makna biasa kata-kata yang didakwa berunsur fitnah. Tanpa kedua-dua dokumen tersebut, Mahkamah bukan sahaja berhadapan dengan kesukaran untuk memastikan ketepatan maksud sebenar penyiaran asal, malah tidak dapat menjalankan penilaian terhadap makna biasa dan semula jadi perkataan-perkataan yang menjadi asas kepada tuntutan fitanah ini dengan tahap kepastian yang dikehendaki oleh undang-undang.
44
Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah gagal mematuhi kehendak mandatori Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Ketidakpatuhan tersebut bukan sekadar suatu ketidakaturan prosedur, tetapi merupakan suatu kecacatan yang bersifat fatal yang sekaligus meruntuhkan keseluruhan tindakan Plaintif. Atas alasan itu sahaja, tindakan Plaintif sebenarnya tidak dapat dipertahankan.
45
Namun begitu, walaupun Mahkamah telah mendapati bahawa tindakan Plaintif gagal dipertahan akibat ketidakpatuhan kepada Aturan 92 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, namun pada peringkat ini Mahkamah berpendapat adalah molek dan wajar, demi kesempurnaan alasan penghakiman ini, untuk turut membincangkan fakta-fakta kes serta merit tuntutan yang telah dibicarakan sepenuhnya. Ini memandangkan semua saksi telah memberi keterangan, dokumen-dokumen telah diterima masuk sebagai keterangan dan hujahan pihak-pihak telah didengar secara menyeluruh. Perbincangan yang berikut tidak mengubah dapatan utama Mahkamah berhubung isu awalan tersebut, sebaliknya bertujuan melengkapkan alasan penghakiman ini berdasarkan merit kes ini secara keseluruhan.
46
Bagi meneruskan tuntutan Plaintif atas merit, bagi tuntutan kes fitnah, Mahkamah merujuk kepada kes: Ayob Saud v. TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ (rep) 321, Mahkamah memutuskan prosedur yang harus diikuti dalam pembuktian kes fitnah sebagaimana berikut: ‘... In our law on libel, which is governed by the Defamation Act 1957, the burden of proof lies on the plaintiff to show:
a
the words are defamatory;
b
the words refer to the plaintiff; and
c
the words were published.
47
Justeru, elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh Plaintif bagi tuntutan fitnah adalah seperti berikut:
a
Pernyataan yang diterbitkan adalah fitnah;
b
Pernyataan yang diterbitkan merujuk kepada Plaintif; dan
c
Pernyataan diterbitkan kepada pihak ketiga. Sama ada Plaintif berjaya membuktikan bahawa Siaran yang diterbitkan merujuk kepada Plaintif
48
Elemen ini dibincangkan terlebih dahulu sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa Siaran yang diterbitkan boleh dikenal pasti oleh seorang yang munasabah sebagai merujuk kepada Plaintif. Prinsip undang-undang yang mantap dalam sesuatu tindakan fitnah, tidak perlu nama Plaintif dinyatakan secara jelas. Adalah memadai jika kata-kata tersebut, apabila dibaca dalam konteksnya, akan difahami oleh sekurang-kurangnya sebahagian anggota masyarakat yang munasabah sebagai merujuk kepada Plaintif.
49
Dalam kes ini penerbitan yang dipertikaikan adalah berupa Siaran berita di TV Thisaigal, namun penerbitan ini tidak sama sekali menyebut nama Plaintif.
50
Peguam Plaintif berhujah bahawa Siaran tersebut secara jelas merujuk kepada Plaintif melalui deskripsi “pemimpin persatuan Vanniyar di Klang” yang mempunyai “Omam”. Dihujahkan bahawa Plaintif adalah satu-satunya individu yang sepadan dengan deskripsi tersebut berdasarkan kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Vanniyar Malaysia serta profilnya dalam komuniti tersebut.
51
Plaintif juga bergantung kepada keterangan bahawa istilah “Omam” mempunyai kaitan langsung dengan dirinya dan dikenali dalam kalangan masyarakat tertentu sebagai merujuk kepada Plaintif.
52
Peguam Plaintif turut menegaskan bahawa ujian yang terpakai adalah ujian inferens munasabah, iaitu sama ada seseorang yang mengenali Plaintif akan memahami bahawa siaran tersebut merujuk kepada Plaintif, dan bukan sama ada keseluruhan masyarakat akan membuat kesimpulan yang sama.
53
Sebaliknya, Defendan Pertama berhujah bahawa Siaran tersebut tidak merujuk kepada Plaintif secara khusus. Rujukan yang dibuat adalah bersifat umum dan tidak eksklusif kepada Plaintif. Defendan Pertama turut menafikan bahawa istilah “Omam” adalah suatu pengenalan unik kepada Plaintif.
54
Defendan Pertama juga berhujah bahawa Siaran tersebut berkisar kepada isu komuniti dan dasar awam, dan oleh itu tidak boleh dianggap merujuk kepada mana-mana individu tertentu secara peribadi.
55
Beban untuk membuktikan elemen pengenalpastian ini terletak sepenuhnya ke atas bahu Plaintif. Persoalan yang perlu diputuskan bukanlah sama ada Plaintif sendiri mempercayai bahawa penerbitan Siaran tersebut ditujukan kepadanya, atau sama ada Defendan berniat merujuk kepada Plaintif. Sebaliknya, ujian yang diterima oleh undang-undang ialah sama ada seorang pembaca atau penonton yang munasabah, dengan mengambil kira keseluruhan konteks penerbitan Siaran tersebut serta fakta-fakta yang berkaitan, akan memahami bahawa individu yang dimaksudkan ialah Plaintif.
56
Meneliti isu ini, adalah didapati semasa pemeriksaan balas Plaintif telah mengakui namanya tidak disebut secara literal dalam Siaran tersebut. Malah Plaintif turut mengakui bahawa tiada bukti untuk menunjukkan perkataan ‘OMAM’ secara eksklusif merujuk kepada Plaintif sebaliknya itu hanyalah persepsi masyarakat. Dalam masa yang sama Plaintif turut bersetuju OMS Foundation merupakan entiti berasingan darinya sebagai individu.
57
Berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan, adalah dapatan Mahkamah tiada asas untuk mengaitkan kenyataan dalam Siaran tersebut adalah merujuk kepada Plaintif. Pengenalpastian identiti Plaintif adalah berdasarkan persepsi penonton dan bukannya berdasar tanggapan Plaintif.
58
Prinsip tersebut turut ditegaskan dalam kes-kes rujukan bahawa dalam tindakan fitnah, Mahkamah hendaklah menilai sama ada penerbitan atau Siaran yang dipertikaikan benar-benar membawa kepada pengenalpastian Plaintif berdasarkan persepsi pembaca atau penonton yang munasabah, dan bukannya berdasarkan tanggapan subjektif Plaintif semata-mata.
59
Justeru, meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi serta dokumen yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif gagal memenuhi beban pembuktian tersebut.
60
Pertamanya, nama Plaintif tidak pernah disebut secara langsung dalam Siaran yang dipertikaikan. Demikian juga tiada gambar atau apa-apa butiran khusus yang secara jelas mengenal pasti Plaintif sebagai individu yang dimaksudkan.
61
Sebaliknya, rujukan yang digunakan dalam Siaran tersebut hanyalah sebagai seorang pemimpin Persatuan Vanniyar di Klang. Rujukan sedemikian pada pandangan Mahkamah adalah bersifat umum dan tidak mempunyai tahap pengkhususan yang mencukupi untuk membawa seorang pembaca atau penonton yang munasabah kepada kesimpulan bahawa individu yang dimaksudkan tersebut adalah Plaintif.
62
Adalah dapatan Mahkamah bahawa fakta tersebut sahaja tidak secara automatik memenuhi elemen pengenalpastian. Plaintif masih perlu membuktikan bahawa orang yang menonton Siaran tersebut akan memahami bahawa rujukan yang dibuat adalah merujuk kepada dirinya dan bukan kepada mana-mana individu lain yang mungkin memenuhi gambaran umum tersebut.
63
Mahkamah juga mendapati bahawa tiada keterangan benar-benar menyakinkan yang dikemukakan bagi menunjukkan bahawa orang awam telah memahami bahawa Siaran tersebut merujuk kepada Plaintif. Apa yang dibuktikan hanyalah kepercayaan Plaintif sendiri namun kepercayaan Plaintif semata-mata tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak undang-undang berhubung elemen pengenalpastian.
64
Justeru, Mahkamah dengan itu mendapati bahawa Plaintif telah gagal membuktikan bahawa penerbitan Siaran yang dipertikaikan boleh dikenal pasti oleh seorang penonton yang munasabah sebagai merujuk kepada diri Plaintif.
65
Dapatan ini dengan sendirinya merupakan satu lagi alasan yang menyebabkan tuntutan Plaintif tidak dapat dipertahankan. Sama ada Siaran yang diterbitkan membawa maksud fitnah terhadap
66
Walaupun Mahkamah telah memutuskan bahawa Plaintif gagal membuktikan identiti Plaintif dapat dikenalpasti dalam Siaran tersebut, Mahkamah tetap menimbangkan sama ada perkataan-perkataan yang dipertikaikan itu, jika dibaca dalam keseluruhan konteks Siarannya, mempunyai kecenderungan untuk merendahkan reputasi seseorang pada pandangan mata masyarakat yang berfikiran waras dan munasabah. Persoalan berikutnya ialah sama ada, sekiranya elemen pengenalpastian berjaya dibuktikan sekalipun, kandungan Siaran tersebut membawa maksud fitnah di sisi undang-undang.
67
Untuk memutuskan isu ini, Mahkamah bergantung kepada ujian yang telah diputuskan secara mantap oleh nas-nas autoriti di Malaysia. Dirujuk kes Tun Datuk Patinggi Haji Abdul-Rahman Ya’ Kub v. BRE Sdn Bhd & Ors [1996] 1 MLJ 393 yang telah diputuskan oleh YA Richard Malanjum di mana beliau telah menggariskan secara jelas prinsip undang-undang yang terpakai bagi menentukan sama ada perkataan yang diadukan bersifat fitnah. Keputusan YA Hakim adalah seperti berikut: ..As to whether the words complained of in this case were capable of being, and were, in fact, defamatory of the plaintiff, the test to be considered is whether the words complained of were calculated to expose him to hatred, ridicule or contempt in the mind of a reasonable man or would tend to lower the plaintiff in the estimation of right-thinking members of society generally (see JB Jeyaretnam v Goh Chok Tong [1985] 1 MLJ 334).
68
Ujian dalam menentukan sama ada pengataan itu bersifat fitnah dalam maksud semula jadi dan biasa yang boleh menjatuhkan reputasi Plaintif di mata masyarakat. Perkataan dalam Siaran tersebut perlulah menuduh Plaintif melakukan tingkah laku yang tidak elok, menjatuhkan maruah, kurang berintegriti dan mendedahkan Plaintif kepada kebencian, penghinaan, atau ejekan. Dengan kata lain ia cenderung menimbulkan pandangan negatif orang lain terhadap Plaintif. Dirujuk juga kes Seema Elizabeth Isoy lwn Tan Sri David Chiu Tat Cheong [2024] 6 CLJ 635, Syed Husin Ali lwn Sharikat Penchetakan Utusan Melayu Bhd & Anor (1973) dan MLJ 56, Chok Foo Choo lwn The China Press Bhd (1999) CLJ
461
461.
69
Prinsip yang telah lama diterima ialah sesuatu penerbitan hendaklah dibaca secara keseluruhan dan bukannya dengan memilih atau mengasingkan beberapa perkataan tertentu daripada keseluruhan konteksnya. Mahkamah hendaklah menilai bagaimana seorang penonton yang munasabah akan memahami Siaran tersebut berdasarkan gambaran keseluruhannya.
70
Dalam kes ini, Mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan yang direkodkan semasa perbicaraan. Mahkamah mendapati bahawa kandungan Siaran tersebut pada asasnya berkisar mengenai kontroversi penarikan balik pelantikan seorang pegawai dalam Jabatan Pendidikan dan persoalan sama ada terdapat campur tangan pihak tertentu dalam proses tersebut.
71
Mahkamah menerima bahawa terdapat ungkapan-ungkapan tertentu dalam siaran tersebut yang boleh dianggap sebagai mencetuskan persoalan terhadap tindakan individu yang dikatakan terlibat. Namun demikian, perkataan-perkataan tersebut tidak boleh dinilai secara berasingan daripada keseluruhan konteks penyiarannya.
72
Setelah meneliti keseluruhan Siaran tersebut sebagaimana ia difahami oleh seorang penonton yang munasabah, Mahkamah mendapati bahawa kandungan tersebut tidak membawa satu makna yang jelas dan semulajadi menggambarkan Plaintif sebagai seorang yang tidak jujur, menyalahgunakan pengaruh atau melakukan suatu salah laku sehingga menjatuhkan reputasinya di sisi masyarakat. Mahkamah tidak bercadang menghuraikan lanjut isu ini atas kegagalan Plaintif membuktikan identiti Plaintif dalam Siaran tersebut. Ini kerana Mahkamah telah pun mendapati bahawa elemen pengenalpastian telah gagal dibuktikan. Oleh yang demikian, apa-apa dapatan lanjut mengenai pengataan tersebut membawa maksud fitnah terhadap seseorang tidak lagi memberi kesan dalam tindakan ini.
73
Lebih penting lagi, memandangkan Mahkamah telah mendapati bahawa Plaintif sendiri gagal membuktikan bahawa Siaran tersebut merujuk kepadanya, persoalan sama ada pengataan dalam Siaran tersebut bersifat memfitnah terhadap Plaintif menjadi semakin lemah. Sesuatu Siaran/terbitan hanya boleh dianggap memfitnah Plaintif apabila terlebih dahulu dibuktikan bahawa penerbitan tersebut sememangnya merujuk kepada Plaintif.
74
Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif tidak berjaya membuktikan elemen ini berdasarkan imbangan kebarangkalian. Penerbitan berbentuk Siaran Disebar Kepada Pihak Ketiga
75
Secara ringkasnya adalah dapatan Mahkamah bagi elemen penerbitan Siaran tersebut kepada Pihak Ketiga telah berjaya dibuktikan bilamana ianya telah disiarkan dan telah sampai kepada penonton yang dipanggil sebagai Pihak Ketiga.
76
Dalam situasi ini penerbitan berbentuk Siaran berita di TV Thisaigal milik Defendan Pertama adalah diakui dan tidak dipertikaikan sama sekali. Malah fakta ini dipersetujui oleh Defendan Pertama sebagaimana di Lampiran 61 para 6.
77
Justeru, terbitan ini telah disiarkan melalui Siaran berita di TV Thisaigal milik Defendan Pertama dan telah sampai kepada Pihak Ketiga untuk tontonan di televisyen. Maka, ini satu-satunya elemen yang telah dipenuhi.
78
Walaupun elemen penerbitan Siaran kepada Pihak Ketiga berjaya dibuktikan, pembuktian elemen tersebut sahaja tidak memadai untuk mewujudkan liabiliti dalam tindakan fitnah. Plaintif tetap perlu membuktikan kesemua elemen asas yang lain. Kegagalan membuktikan elemen pengenalpastian dan Siaran tersebut membawa maksud fitnah kepada Plaintif menyebabkan pembuktian elemen penerbitan Siaran kepada Pihak Ketiga semata-mata tidak dapat membuktikan tuntutan Plaintif atas imbangan kebarangkalian. Sama ada Defendan Pertama berjaya membuktikan Pembelaan
79
Berdasarkan dapatan Mahkamah bahawa Plaintif gagal membuktikan elemen-elemen asas bagi tuntutan fitnah, maka tiadalah keperluan bagi Mahkamah membuat penilaian berhubung pembelaan-pembelaan yang dibangkitkan oleh Defendan Pertama.
80
Justeru, Mahkamah tidak bercadang membuat sebarang dapatan mengenai pembelaan Defendan. Malah pembelaan Defendan tidak akan timbul selagi mana elemen asas bagi tuntutan kes fitnah telah gagal dibuktikan oleh Plaintif atas imbangan kebarangkalian.
81
Berdasarkan keseluruhan analisis di atas, Mahkamah mendapati bahawa tuntutan Plaintif tidak dapat dipertahankan.
82
Pertamanya, Plaintif telah gagal mematuhi kehendak mandatori Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 apabila tidak mengemukakan penyataan fitnah dalam bahasa asal serta tiada penterjemahan Bahasa Kebangsaan bagi pernyataan-pernyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam Pernyataan Tuntutannya. Ketidakpatuhan tersebut merupakan suatu kecacatan yang bersifat fatal kepada tindakan Plaintif.
83
Keduanya, dan demi kesempurnaan alasan penghakiman ini, Mahkamah turut mendapati bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa Siaran yang diterbitkan boleh dikenal pasti oleh seorang penonton yang munasabah sebagai merujuk kepada Plaintif. Kegagalan memenuhi bahawa Siaran tersebut dituju kepada Plaintif sudah memadai untuk menyebabkan tindakan fitnah tersebut tidak berjaya dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
84
Selain itu, Mahkamah juga mendapati bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa pengataan dalam Siaran yang diterbitkan membawa maksud fitnah terhadap Plaintif berdasarkan keseluruhan konteks Siaran tersebut.
85
Mahkamah ingin menegaskan bahawa keputusan ini bukanlah berasaskan kepada isu prosedur semata-mata. Sebaliknya, setelah meneliti keseluruhan merit kes, Mahkamah telah sampai kepada kesimpulan bahawa Plaintif gagal membuktikan elemen-elemen asas yang diperlukan bagi mewujudkan suatu tuntutan fitnah. Oleh itu, keputusan Mahkamah ini disokong oleh kedua-dua pertimbangan undang-undang dan dapatan fakta berdasarkan keseluruhan merit dan keterangan sepanjang perbicaraan.
86
Atas alasan-alasan tersebut, Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan Plaintif gagal dibuktikan atas imbangan kebarangkalian dan dengan ini ditolak dengan kos kepada Defendan Pertama tertakluk kepada alokatur. Bertarikh: 30 April 2026 t.t. (RIHAIDA BINTI RAFIE) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil NCvC 5 Kuala Lumpur Peguamcara Plaintif: Dr. Arun Kasi (Linda James & Amirtavarshini Krishnamuty (PDK) bersamanya) Tetuan Arun Kasi & Co. Kuala Lumpur Peguamcara Defendan: Paramjothy a/p Pahavan (Sarainya a/p Selvam bersamanya) Tetuan P. Paramjothy & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.