Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM SEMAKAN JENAYAH NO: DA-43-8-07/2025 ANTARA PANG SZE YUN … PEMOHON (NO. KP: 860928-43-5459) DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah
DA-43-8-07/2025
High Court of Malaysia9 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“36. Dalam kes PP v. Muhammad Shahmizal Azizan & Ors [2025] MLRAU 250 Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa ia bukan satu kewajipan untuk menyatakan perbuatan penculikan (abduction), pengurungan salah (wrongful confinement) at”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM SEMAKAN JENAYAH NO: DA-43-8-07/2025 ANTARA PANG SZE YUN … PEMOHON (NO. KP: 860928-43-5459) DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah
1
Pemohon telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan dengan satu pertuduhan di bawah s. 420 Kanun Keseksaan seperti berikut: “Bahawa kamu pada tarikh 18/11/2024 jam lebih kurang 10.00 pagi bertempat di No. 10, Jalan Parameswara Taman Guchil Jaya dalam Daerah Kuala Krai, di dalam Negeri Kelantan. Kamu didapati telah menyerah sekeping cek Cimb Bank (no. 5833844) berjumlah RM19,400.00 kepada Kedai Ban Lea (Pantai Timur) Sdn Bhd. Oleh itu, kamu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum dibawah seksyen 420 kanun keseksaan. Hukuman: Sabit kesalahan kamu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun sehingga 10 tahun penjara dan dengan sebatan atau boleh dikenakan denda.”
2
Pertuduhan kali pertama telah dibacakan terhadap pemohon pada
15
15.05.2025. Pemohon telah membuat akuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dan Timbalan Pendakwa Raya telah memohon satu tarikh lain untuk fakta dan hukuman. Mahkamah telah menetapkan tarikh untuk fakta dan jatuh hukum pada 20.05.2025.
3
Pada tarikh 20.05.2025, pertuduhan dibaca dan diterangkan sekali lagi kepada pemohon dan pemohon masih mengekalkan akuan bersalahnya. Majistret yang bijaksana telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 12 bulan dan 1 sebatan ringan ke atas pemohon.
4
Pemohon semasa pertuduhan dibacakan kepadanya pada kedua-dua tarikh 15.05.2025 dan 20.05.2025 diwakili oleh seorang peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Sebelum hukuman dijatuhkan ke atas pemohon, peguam pemohon telah membuat rayuan mitigasi di mana peguam pemohon telah memohon agar pemohon dikenakan hukuman berbentuk denda.
5
Atas permohonan mitigasi peguam pemohon tersebut, Majistret telah sekali lagi memberi ingatan kepada pemohon bahawa dalam kes tersebut, hukuman pemenjaraan adalah wajib dan tidak boleh didenda serta hukuman rotan sekurang-kurangnya 1 kali iaitu rotan ringan. Dan Majistret telah sekali lagi bertanya sama ada pemohon masih ingin mengaku bersalah. Pemohon masih mengekalkan akuan bersalahnya.
6
Atas akuan bersalah pemohon tersebut Majistret yang bijaksana telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 12 bulan dan 1 sebatan ke atas pemohon.
7
Tidak berpuashati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret tersebut, pemohon telah mengemukakan satu semakan jenayah ini melalui peguambela yang baru menurut peruntukan s. 323 dan s. 325 Kanun Tatacara Jenayah serta s. 31 dan s. 32 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Hujahan peguam pemohon dalam prosiding semakan jenayah
8
Peguam pemohon yang bijaksana telah berhujah secara lisan semasa pendengaran semakan jenayah ini dan mengatakan antara lainnya bahawa: i) Akuan bersalah pemohon adalah tidak sah kerana ia telah dibuat secara bersyarat iaitu pemohon hanya bersetuju untuk mengaku bersalah jika dia dikenakan hukuman denda sahaja. ii) Pertuduhan yang dikenakan ke atas pemohon juga tidak menjelaskan kesalahan pemohon.
9
Bagi isu pertama, peguambela pemohon yang bijaksana telah mengatakan bahawa semasa dalam lokap, pemohon telah dinasihatkan supaya mengaku bersalah seawal mungkin dan akan diberi hukuman denda. Semasa dalam Mahkamah Majistret juga, pemohon telah bertanyakan kepada peguamnya pada masa tu sama ada dia boleh memohon untuk denda sahaja dan peguamnya mengatakan dia boleh memohon denda sahaja.
10
Peguam pemohon telah merujuk kepada kes Petrus AK Belaka v. PP [1998] 5 MLRH 514 dan menghujahkan bahawa dalam kes Petrus tersebut, Mahkamah tinggi telah menjalankan kuasa semakannya dan telah mengenepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah berikutan akuan bersalah perayu yang telah dibuat tanpa mengetahui sepenuhnya kesan dan akibat akuan bersalahnya.
11
Mahkamah Tinggi dalam kes Petrus tersebut juga mengatakan bahawa perayu yang tidak diwakili peguam semasa di Mahkamah Rendah telah membuat rayuan agar kenderaan vannya tidak dilucuthakkan. Ini menunjukkan bahawa dia sememangnya tidak mengetahui sepenuhnya kesan dan akibat daripada pengakuan salahnya.
12
Peguam pemohon juga merujuk kepada kes Munandu Sangaran v. Public Prosecutor [1984] 1MLRH 167 dan menghujahkan bahawa suatu akuan bersalah yang bersyarat tidak sepatutnya diterima oleh Mahkamah. Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidangkuasa semakannya telah mengenepikan sabitan dan hukuman dalam kes tersebut dan mengarahkan kes dibicarakan semula di hadapan Majistret yang lain.
13
Dalam kes Munandu Sangaran (supra) ini, tertuduh telah mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mencuri basikal. Namun sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh mengatakan bahawa dia sedang mabuk semasa kejadian dan dia telah tersilap ambil basikal. Tertuduh telah mengaku bersalah kerana dia telah diberitahu bahawa kes tersebut hanya kes kecil dan tidak akan memberi kesan kepada kerjanya dan dia mungkin hanya diberi amaran tanpa hukuman pemenjaraan atau denda. Walau bagaimana pun, Majistret telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM300.00 dan jika gagal bayar, penjara selama 3 bulan. Akibat daripada sabitan dan hukuman tersebut, tertuduh yang telah berkhidmat selama 23 tahun sebagai kakitangan kerajaan telah kehilangan kerjanya dan juga hak untuk mendapat pencen.
14
Berkenaan dengan isu kedua pula, peguam bela pemohon telah menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas pemohon hanya mengatakan bahawa “kamu didapati telah menyerahkan sekeping cek RM…”. Pertuduhan ini tidak menjelaskan apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh pemohon.
15
Berdasarkan kepada 2 isu yang ditimbulkan di atas serta berpandukan kepada 2 autoriti yang dirujuk tersebut, peguam pemohon yang bijaksana menghujahkan dan menggesa agar Mahkamah ini mengenepikan sabitan dan hukuman terhadap pemohon kerana akuan bersalah pemohon tersebut telah dibuat secara bersyarat dan tanpa pemohon memahami kesan dan akibat akuan bersalah tersebut serta pertuduhan yang tidak menjelaskan sebarang kesalahan pemohon. Hujahan Timbalan Pendakwa Raya dalam prosiding semakan jenayah
16
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang bijaksana pula telah menghujahkan hujahan peguam bela pemohon bahawa pemohon tidak memahami sifat dan akibat pengakuan salahnya adalah tidak boleh dipertahankan. Ini adalah kerana jika dirujuk kepada nota prosiding, pemohon telah 2 kali dikemukakan di hadapan Majistret iaitu pada 15.05.2025 dan 20.05.2025. Pada kedua-dua tarikh tersebut pemohon diwakili peguam YBGK dan pada kedua-dua tarikh tersebut, pemohon ada dibacakan dan diterangkan pertuduhan dan pemohon mengaku memahami pertuduhan tersebut telah mengaku bersalah. TPR juga menghujahkan bahawa permohonan semakan jenayah pemohon ini tidak patut dibenarkan semata-mata kerana hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret tidak seperti yang diharapkan oleh pemohon.
17
Berkenaan dengan isu pertuduhan yang dikatakan tidak mendedahkan kesalahan, TPR yang bijaksana bersetuju bahawa pertuduhan dalam kes ini adalah cacat. Namun isu kecacatan pertuduhan tidak ditimbulkan dalam permohonan semakan sebaliknya hanya isu pemohon tidak memahami pertuduhan sahaja yang ditimbulkan. Oleh itu TPR yang bijaksana memohon dan menggesa Mahkamah ini agar menolak semakan jenayah pemohon. Analisis dan Dapatan Mahkamah Tinggi
18
Mahkamah ini diusulkan agar menjalankan kuasa di bawah bidangkuasa semakannya menurut perutukan s. 323 dan s. Kanun Tatacara Jenayah serta s. 31 dan s. 32 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
19
Dalam menjalankan kuasa semakannya, Mahkamah ini telah mendapatkan rekod-rekod prosiding dalam Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan berkenaan kes No. DG-83-67-05/2025. Setelah meneliti keseluruhan rekod prosiding dalam Mahkamah Majistret tersebut dan setelah mempertimbangkan hujah-hujah kedua-dua pihak peguam bela dan TPR, Mahkamah ini telah menerima dan membenarkan semakan jenayah pemohon dan mahkamah ini telah mengenepikan sabitan dan hukuman Majistret serta telah membatalkan pertuduhan ke atas pemohon dan melepaskan dan membebaskan pemohon daripada pertuduhan tersebut.
20
Berkenaan isu bahawa pemohon telah membuat pengakuan bersalah bersyarat dan tanpa memahami pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya dan tanpa memahami kesan dan akibat akuan bersalah, Mahkamah ini bersependapat dengan pihak TPR yang bijaksana bahawa dengan hormatnya, hujahan peguambela pemohon yang bijaksana tersebut adalah tidak boleh dipertahankan.
21
Alasannya adalah jelas bahawa dari kali pertama lagi pemohon dihadapkan ke Mahkamah Majistret, dia telah diwakili oleh seorang peguam bela pilihannya sendiri walau pun ia dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Fakta ini dapat dibezakan dengan fakta yang terjadi dalam kedua-dua kes Petrus AK Belaka dan Munandu Sangaran yang dirujuk oleh peguam bela pemohon yang bijaksana di mana dalam kedua-dua kes tersebut, tertuduh-tertuduh adalah tidak diwakili oleh peguam bela.
22
Daripada rekod prosiding, pada kali pertama pemohon dikemukakan di hadapan Majistret iaitu pada 15.05.2025, selain daripada dia diwakili oleh peguam bela, pemohon juga setelah ditanya berulang kali sama ada dia memahami pertuduhan, telah mengaku berulang kali di hadapan Majistret bahawa dia memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dan berulangkali juga dia mengaku bersalah.
23
Selanjutnya, pada 20.05.2025, dengan diwakili oleh peguam bela yang sama juga, pemohon juga setelah ditanya sama ada dia memahami Bahasa Malaysia? Pemohon mengatakan dia memahami Bahasa Malaysia dan setelah pertuduhan dibaca dan diterangkan semula, pemohon masih mengekalkan akuan bersalahnya. Pemohon juga telah mengakui fakta kes yang dibacakan kepadanya.
24
Daripada keseluruhan rekod prosiding ini, Mahkamah ini mendapati bahawa Tuan Majistret yang bijaksana telah bertindak dengan berhati-hati dalam memastikan pemohon benar-benar memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya. Oleh itu adalah tidak munasabah sama sekali untuk menerima kenyataan bahawa pemohon tidak memahami pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berdasarkan rekod prosiding yang ada dalam kes ini.
25
Berkenaan isu kedua pula, Mahkamah ini mendapati isu ini lebih parah jika dibandingkan dengan isu pertama di atas. Sebagaimana yang dihujahkan oleh peguam bela pemohon dan dipersetujui oleh TPR yang bijaksana bahawa pertuduhan dalam kes ini tidak menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh pemohon. Ia adalah satu pertuduhan yang tidak diketahui oleh undang-undang. Ia satu pertuduhan yang cacat.
26
Pertuduhan yang diasaskan kepada s. 420 Kanun Keseksaan tersebut diperturunkan sekali lagi di sini bagi memudahkan rujukan: “Bahawa kamu pada tarikh 18/11/2024 jam lebih kurang 10.00 pagi bertempat di No. 10, Jalan Parameswara Taman Guchil Jaya dalam daerah Kuala Krai, di dalam Negeri Kelantan. Kamu didapati telah menyerah sekeping cek Cimb Bank (no. 5833844) berjumlah RM19,400.00 kepada Kedai Ban Lea (Pantai Timur) Sdn Bhd. Oleh itu, kamu telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum dibawah seksyen 420 kanun keseksaan. penekanan ditambah.
27
S. 420 Kanun Keseksaan adalah satu peruntukan hukuman bagi satu kesalahan menipu dan kesalahan menipu telah nyatakan dalam s. 415 Kanun Keseksaan.
28
S. 415 memperuntukkan seperti berikut: “Whoever by deceiving any person, whether or not such deception was the sole or main inducement:
a
fraudulently or dishonestly induces the person so deceived to deliver any property to any person, or to consent that a person shall retain any property; or
b
intentionally induces the person so deceived to do or omit to do anything which he would not do or omit to do if he were not so deceived and which actor omission causes or likely to cause damage or harm to any person in body, mind, reputation, or property, is said to “cheat”.
29
S. 420 memperuntukkan seperti berikut: “Whoever cheats and thereby dishonestly induces the person deceived, whether or not the deception practiced was the sole or main inducement, to deliver any property to any person, or to make, alter, or destroy the whole or any part of a valuable security, or anything which is signed or sealed, and which is capable of being converted into a valuable security, shall be punished with imprisonment for a term which shall not be less than one year and not more than ten years and with whipping, and shall also be liable to fine”
30
Jika dibandingkan di antara kata-kata (wording) yang digunakan dalam peruntukan s. 415 dan s. 420 Kanun Keseksaan ini dan juga kata-kata yang digunakan dalam pertuduhan yang dikemukakan terhadap pemohon dalam kes ini, adalah jelas bahawa pertuduhan tersebut langsung tidak menggambarkan bahawa ia adalah satu pertuduhan yang dimaksudkan untuk memberi notis kepada pemohon bahawa pemohon telah melakukan satu kesalahan menipu di bawah s. 420 Kanun Kesiksaan.
31
Tiada sepatahpun perkataan yang menjadi inti pati (ingredient) kesalahan seperti “memperdayakan” (deceiving), “dorongan” (inducement), “secara frod” (fraudulently), “secara curang” (dishonestly), “secara sengaja” (intentionally) telah digunakan dalam pertuduhan tersebut.
32
Tiada juga sepatah perkataan pun yang menunjukkan perbuatan salah (actus reus) telah digunakan dalam pertuduhan tersebut seperti “menipu dan telah dengan curang mendorong mana-mana orang yang diperdayakan untuk menghantar serah apa-apa harta kepada mana-mana orang” (cheat and thereby dishonestly induces the person so deceived to deliver any property to any person). Perbuatan yang dinyatakan dalam pertuduhan tersebut sebagai satu kesalahan hanyalah “…TELAH MENYERAH SEKEPING CEK…”.
33
Pertuduhan dalam kes ini bukan semata-mata gagal menyatakan butiran kesalahan (particular of the offence) malah lebih parah lagi ia gagal untuk menyatakan inti pati atau inti sari kesalahan (ingredient of the offence) yang dipertuduhkan ke atas pemohon.
34
Mahkamah ini mendapati ia adalah satu pertuduhan yang mendedahkan satu kesalahan yang tidak diketahui oleh undang-undang (offence unknown to the law) malah ia juga satu pertuduhan yang cacat teruk dan tidak boleh diperbetulkan oleh s. 156 dan s. 422 Kanun Tatacara Jenayah.
35
Dalam kes PP v. Uthaya Kumar Ponnusamy & Ors [2008] 4 MLRH 748 - Abang Iskandar Abang Hashim PK (sebagaimana mana beliau pada masa itu) telah mengatakan seperti berikut: “[8] So, in the main, a charge is about the notification of the legal elements of the offence which the accused has the right to know in order that he will be able to prepare his defence and be prepared and ready to usefully face the charge during trial. If a charge does not sufficiently bear out the essential feature(s) of the offence, it may become a charge for an offence that is not known in law, and as such it becomes liable to dismissal by the court because it is then a groundless charge and that the accused has been embarrassed in the preparation of his defence. A groundless charge may be dismissed under s 173(g) CPC. [9] To my mind, a defence is embarrassed not so much for want of particulars (unless the particulars are necessary to describe the offence), but rather because the charge is not properly framed so as to omit mentioning any of the legal ingredients or elements that constitute the offence, or in putting into a charge such a description of the impugned conduct that actually amounts to a duplication. That, in a nutshell is the true purpse of a charge.” Penekanan ditambah.
36
Dalam kes PP v. Muhammad Shahmizal Azizan & Ors [2025] MLRAU 250 Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa ia bukan satu kewajipan untuk menyatakan perbuatan penculikan (abduction), pengurungan salah (wrongful confinement) atau penahanan salah (wrongful restraint) kerana ia hanya merupakan butiran pertuduhan dan jika pertuduhan tersebut cacat kerana itu, ia boleh diperbetulkan menurut ss 156 dan/atau 422 KTJ.
37
Dalam kes Shawal Hj Mohd Yassin v. PP [2006] 2 MLRH 503, Azahar Mohamed PK (sebagaimana beliau pada masa itu) mengatakan seperti berikut: “[9] At this juncture, two pints should be highlighted. The first is that in the charge framed against the appellant there is no indication of the offence under the Act alleged to have been committed by Ali Mukhtar …. In my judgment the consequence is that, so far as the present case is concerned, the appellant had been charged and tried under a defective charge, as the charge framed did not disclose any offence under s 56 (1A(b) of the Act. The charge framed, and as it now stands, is one that is not in fact envisaged by that section. “ [12] … To me where a trial in the court below is conducted on the basis of a charge, which is defective as not disclosing an offence under the relevant section, it is an illegality, which cannot be cured by s. 422. …” [13] The defect in the charge was in a matter of substance and not merely of form. This was not a mere technical non-compliance of any provision of the law, which can be condoned as an irregularity. I do not think it can be cured without causing injustice to the appellant. In my view, this was not a defect disregarding it would not occasion a miscarriage of justice. To me the charge as framed did not disclose any offence and therefore I have no doubt that the defect of this kind was an illegality. I think that the appellant was left in a doubt as to the offence of which he had been convicted and sentenced. It is a fundamental principle of criminal law in our country that an accused person should know accurately of what offence he has been convicted and sentenced. In my judgment the error in the charge did cause prejudice and injustice to the appellant. In the end, I have no hesitation in saying that the charge framed against the appellant was bad in law. When looked at in this way, one can see that there has been a substantial miscarriage of justice. As a consequence, the conviction in this case was a nullity…”
38
Adakah kecacatan pertuduhan dalam kes ini boleh diperbetulkan oleh s. 156 dan/atau 422 KTJ? Bagi menjawab persoalan ini, Mahkamah ini merujuk dan mengambil panduan daripada prinsip undang-undang yang dinyataan dalam kes Ravindran Ramasamy v PP [2015] 3 MLRA 112, di mana Mahkamah Persekutuan telah mengatakan seperti berikut dalam menjawab persoalan sama ada s. 156 atau s. 422 KTJ boleh menyelamatkan pertuduhan dalam kes tersebut: “[24] It could also be noted that ‘error’ alluded to in s. 156 of the CPC is the error in stating the offence or the particulars required to be stated in the charge, and not the error in stating the ingredients of an offence. The important distinction, whether an error in stating the particulars or an error in stating the ingredients, must be drawn for the purpose of ss 156 and/or 422 of the CPC. This is because where it was an error or omission in stating the ingredients of an offence, it had been consistently held by the courts that the accused would have been misled and that there must have been a failure of justice. …” [25] But in cases decided primarily under ss 156 and/or 422 of the CPC, courts had refused to invoke those provisions where it was an error or omission in stating the ingredients of an offence.”
39
Berdasarkan kepada alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas serta kepada autoriti-autoriti yang dirujuk, Mahkamah ini mendapati bahawa pertuduhan yang dikemukakan terhadap pemohon dalam kes ini adalah cacat kerana ia tidak menyatakan sebarang butiran dan inti pati kesalahan (particulars and ingredients of the offence). Ia tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah s. 420 Kanun Keseksaan dan ia tidak diketahui oleh undang-undang.
40
Kecacatan pada pertuduhan tersebut adalah teruk dan padah yang telah mengakibatkan kegagalan keadilan terhadap pemohon sehinggakan ia tidak boleh diperbetulkan oleh s. 156 dan/atau 422 KTJ. Pertuduhan bagi suatu kesalahan yang tidak diketahui oleh undang-undang tersebut adalah batal dan seoalah-olah tiada pertuduhan langsung. Oleh itu adalah tidak munasabah untuk mahkamah ini memerintahkan satu perbicaraan semula ke atas satu pertuduhan yang tidak mendedahkan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang.
41
Oleh itu Mahkamah ini membenarkan permohonan semakan jenayah oleh pemohon dan memerintahkan agar sabitan dan hukuman terhadap pemohon diketepikan, pertuduhan dibatalkan dan pemohon dilepaskan dan dibebaskan. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 17-09-2025. ……………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Hakim, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Peguam Pemohon : Tengku Shazuan Bin Tg Shariffudin & Ahmad Nizam Bin Mohamed, Tengku Shazuan & Co, PT 727, Lot Pt 268, Ting.1, Seksyen 27, Jalan Kebun Sultan 15300 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Responden : Nik Nur Adila binti Mat Zaidan, Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Kelantan, AG-3-03-06, Al-Waqah @ Tunjong, Tingkat 3, Bangunan H Elite Design, 16010 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.