KETUA POLIS NEGERI JOHOR ... RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN A. Pengenalan [1] Pemohon memfailkan permohonan writ habeas corpus (“Permohonan”), atas alasan bahawa responden-responden gagal mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (“Akta LLPK”) dalam penangkapan dan penahanan pemohon. S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [2] Mahkamah menolak Permohonan tersebut, atas sebab-sebab yang dinyatakan di bawah. B. Latar Belakang [3] Pada lebih kurang jam 8.15 pagi pada 26 September 2025, pemohon telah ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta LLPK, di alamat 37, Jalan Mutiara Emas 2/33, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bharu, Johor. [4] Pada 13 November 2025, semasa di dalam tahanan, pemohon diserahkan dengan perintah sekatan di bawah seksyen 6(3) Akta LLPK, yang dikeluarkan oleh responden pertama (“Perintah Sekatan”). Perintah Sekatan tersebut memerintahkan pemohon menjalani sekatan di Mukim Serom, Daerah Tangkak, Johor selama dua tahun, bermula 13 November 2025. [5] Pemohon memfailkan Permohonan tersebut untuk mencabar kesahan penangkapan dan penahanannya. C. Prinsip Undang-Undang [6] Cabaran terhadap penangkapan dan penahanan pemohon dibuat berdasarkan perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. [7] Seterusnya, seksyen 365 hingga seksyen 375 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan prosedur-prosedur bagi permohonan writ S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw habeas corpus, atas alasan bahawa penahanan seseorang dibuat dengan cara yang menyalahi undang-undang. [8] Bagi Akta LLPK, cabaran undang-undang di mahkamah berhubung penahanan seseorang hanya boleh dibuat jika terdapat suatu soalan tentang pematuhan tatacara di bawa Akta LLPK. Hal ini diperuntukkan di bawah seksyen 11C(1) Akta LLPK, yang menyatakan: “(1) Maka tidaklah boleh diadakan apa-apa kajian semula kehakiman dalam mana-mana mahkamah akan, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri pada menjalankan kuasa menurut budi bicara mereka mengikut Akta ini, kecuali mengenai apa-apa soalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara di bawah Akta ini yang mengawal selia tindakan atau keputusan itu.” (penekanan ditambah) [9] Seksyen 11D(c) mentafsirkan “kajian semula kehakiman” sebagai antara lain, prosiding yang dimulakan melalui writ habeas corpus. [10] Dalam kes Lee Kew Sang v Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia [2005] 3 CLJ 914, Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan isu ketidakpatuhan undang-undang dalam kes-kes pengeluaran perintah tahanan. Pemohon dalam kes itu telah ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pembanterasan S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw Jenayah) 1969 (“Ordinan”). Pemohon membuat permohonan writ habeas corpus atas dakwaan bahawa penahanannya adalah tidak sah. [11] Mahkamah Persekutuan merujuk kepada pindaan-pindaan yang dibuat ke atas Ordinan tersebut, melalui seksyen-seksyen 7C dan 7D, yang berkuatkuasa pada 24 Ogos 1989. Pindaan-pindaan ini adalah serupa dengan pindaan-pindaan ke atas Akta LLPK, melalui seksyen-seksyen 11C dan 11D, yang turut berkuatkuasa pada 24 Ogos 1989. Mahkamah Persekutuan seterusnya mendapati, di muka surat 922(e) bahawa: “The provisions of ss. 7C and 7D are clear. The effect of the amendments is that, in a habeas corpus application such as in this case, the detention order made by the Minister under s. 4(1) of the Ordinance may only be challenged on ground of non-compliance with any procedural requirement, and nothing else.” (penekanan ditambah) [12] Perkara yang sama ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan di muka surat 930(g) hingga (i): “In our view, courts must give effect to the amendments. That being the law, it is the duty of the courts to apply them. So, in a habeas corpus application where the detention order of the Minister made under s. 4(1) of the Ordinance or, for that matter, the equivalent ss. in ISA 1960 and DD(SPM) Act 1985, the first thing that the courts should do is to see whether the ground S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw forwarded is one that falls within the meaning of procedural non-compliance or not. To determine the question, the courts should look at the provisions of the law or the rules that lay down the procedural requirements …” (penekanan ditambah) [13] Seterusnya, dalam kes Muhammad Jailani Kasim v Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Malaysia [2006] 4 CLJ 687, setelah merujuk kepada seksyen 11C(1) Akta LLPK, Mahkamah Persekutuan mendapati: “[8] … It is clear that the section restricts judicial review to only questions on compliance with any procedural requirement governing any act done or decision made by the Yang di-Pertuan Agong or the Minister in the exercise of their discretionary power. Such procedural requirements can only be ones that will go to the root of the matter and be of direct relevance to the making of the detention order. The section only refers to a question of compliance with procedural requirements without subjecting it to any prejudice having been suffered. The test, therefore, in determining whether a breach can be subjected to judicial review is whether it is in compliance with any procedural requirement governing any act done or decision made by the Yang di-Pertuan Agong or the Minister in the exercise of their discretionary power in accordance with the Act without the need to establish any prejudice. Such a determination will be greatly facilitated, though not decisively, by a consideration of the effect of the statutory provision that S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw has been breached, that is to say, whether it is mandatory or directory in nature.” (penekanan ditambah) [14] Isu pematuhan tatacara prosedur turut ditekankan dalam kes Chua Kian Voon v Menteri Dalam Negeri Malaysia [2020] 1 CLJ 747, di mana Mahkamah Persekutuan menyatakan: “[18] It is apparent that the provisions of ss. 11C and 11D were inserted in the 1985 Act with the intention to oust the court’s power to review all acts done or decision made in the exercise of the Minister’s discretionary powers except on non-compliance with any procedural requirements (see: Lee Kew Sang v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia & Ors [2005] 3 CLJ 914; Mohd Faizal Haris (supra). … [80] Before departing from the present appeal, we would like to emphasise that under the provision of 1985 Act, non-compliance with any procedural requirements are the only safeguard available to detenu since the court is not allowed to go beyond the subjective satisfaction of the Minister. Therefore, the procedure requirements must be strictly and faithfully complied with.” (penekanan ditambah) S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [15] Berdasarkan kes-kes yang dirujuk, prinsip-prinsip berikut terpakai dalam permohonan writ habeas corpus yang difailkan bagi mencabar kesahan penahanan di bawah Akta LLPK: a. Perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri (“Menteri”) hanya boleh dicabar atas alasan ketidakpatuhan terhadap kehendak tatacara prosedur; b. Oleh yang demikian, mahkamah hendaklah memastikan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan yang difailkan tergolong dalam isu ketidakpatuhan terhadap kehendak tatacara prosedur. Penentuan ini dibuat dengan merujuk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang memperuntukkan tatacara prosedur yang berkenaan; c. Tatacara prosedur yang berkenaan hendaklah menyentuh intipati perkara yang dipersoalkan serta mempunyai kaitan langsung dengan pengeluaran perintah tahanan yang dicabar kesahannya; d. Persoalan berhubung ketidakpatuhan terhadap kehendak tatacara prosedur boleh diputuskan tanpa keperluan untuk membuktikan kewujudan prejudis; dan e. Memandangkan ketidakpatuhan terhadap tatacara prosedur merupakan satu-satunya asas bagi seseorang tahanan mencabar kesahan penahanannya, maka S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw semua keperluan prosedur hendaklah dipatuhi secara ketat. D. Isu-Isu [16] Berlandaskan prinsip undang-undang yang dinyatakan di atas, mahkamah meneliti dan menilai tiga isu utama yang dibangkitkan oleh pemohon dalam Permohonan tersebut. Isu-isu yang dibangkitkan adalah berhubung dakwaan-dakwaan bahawa: a. Responden-responden gagal mematuhi seksyen 3(1) Akta LLPK, kerana gagal membuktikan bahawa pihak polis mempunyai alasan yang munasabah untuk menahan pemohon di bawah Akta LLPK. Responden turut mendakwa penahanan pemohon bersifat mala fide; b. Responden-responden gagal mematuhi perkara 5 dan perkara 151 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah, kerana tidak memaklumkan ahli keluarga pemohon berhubung penangkapan dan penahanan pemohon; dan c. Responden-responden gagal mematuhi seksyen 3(2)(c) Akta LLPK, kerana jawatan Senior Asisten Komisioner Mazleen Mohd Nasir (“SAC Mazleen”) didakwa tidak wujud. S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw E. Isu Pertama: Kegagalan Responden-Responden Mematuhi Seksyen 3(1) Akta LLPK [17] Pemohon mendakwa responden-responden gagal mematuhi seksyen 3(1) Akta LLPK, kerana gagal membuktikan bahawa pihak polis mempunyai alasan yang munasabah untuk menahannya di bawah Akta LLPK. Pemohon turut mendakwa penahanan pemohon bersifat mala fide. [18] Pemohon telah ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta LLPK. Seksyen 3(1) menyatakan: “(1) Mana-mana pegawai polis boleh menangkap, tanpa waran, dan menahan, bagi maksud penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab mempercayai bahawa ada alasan yang mewajarkan penahanan orang itu di bawah subseksyen 6(1).” (penekanan ditambah) [19] Berdasarkan peruntukan seksyen 3(1), pihak polis boleh menangkap tanpa waran, dan menahan orang yang mana dipercayai oleh pihak polis terdapat alasan yang mewajarkan penahanan orang tersebut di bawah seksyen 6(1) Akta LLPK. [20] Seksyen 6(1) memberi kuasa kepada Menteri untuk mengeluarkan perintah tahanan mengarahkan seseorang ditahan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun. Perintah ini boleh dikeluarkan jika Menteri berpuas hati bahawa orang itu pernah atau sedang ada kaitan dengan apa-apa aktiviti-aktiviti berhubungan dengan atau melibatkan S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw pengedaran dadah berbahaya selepas menimbangkan laporan-laporan penyiasatan, dan berpuas hati bahawa bagi kepentingan awam, orang itu perlu ditahan. [21] Perlu ditegaskan bahawa penahanan di bawah Akta LLPK adalah bersifat pencegahan dan bukannya suatu pendakwaan jenayah. Oleh itu, keperluan di bawah seksyen 3(1) bukanlah untuk membuktikan bahawa seseorang telah melakukan suatu kesalahan jenayah, tetapi sekadar menunjukkan bahawa pihak polis mempunyai “sebab mempercayai” bahawa terdapat alasan yang mewajarkan penahanan di bawah seksyen 6(1) Akta LLPK. [22] Dalam kes ini, pemohon telah ditangkap dan ditahan di bawah seksyen 3(1) Akta LLPK pada 26 September 2025. Pemohon kemudiannya diserahkan dengan Perintah Sekatan tersebut, yang dikeluarkan oleh responden pertama di bawah seksyen 6(3) Akta LLPK, pada 13 November 2025. Perintah sekatan di bawah seksyen 6(3) dikeluarkan jika Menteri berpuas hati bahawa kawalan dan pengawasan perlu dibuat ke atas seseorang sepertimana dalam seksyen 6(1), tetapi orang itu tidak perlu ditahan, dan hanya dikenakan sekatan ke atasnya, dari segi aktiviti, kebebasan bergerak, tempat kediaman dan aktivitinya. [23] Bantahan utama pemohon berkenaan penahanannya adalah berkaitan dengan alasan penahanan pemohon. Pemohon mendakwa bahawa responden-responden tidak mematuhi seksyen 3(1) Akta LLPK kerana gagal membuktikan bahawa pihak polis mempunyai alasan yang munasabah untuk menahan pemohon. Dalam hal ini, pemohon turut mendakwa tiada sebarang siasatan dilakukan terhadap pemohon sebelum pemohon ditangkap dan ditahan pada 26 September 2025. S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [24] Pemohon merujuk kepada perenggan 4 afidavit yang diikrarkan oleh Inspektor Muhammad Fahmi Husni Dina (“Inspektor Fahmi”) pada 7 November 2025 (“Afidavit Inspektor Fahmi”). Perenggan tersebut menjelaskan kejadian tangkapan pemohon pada 26 September 2025, dan tindakan yang diambil sejurus selepas pemohon ditangkap dan ditahan: “4. Pada 26-09-2025 lebih kurang jam 8.15 pagi, saya bersama-sama dengan sepasukan anggota polis telah membuat tangkapan terhadap Pemohon di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (selepas ini dirujuk sebagai "[Akta 316]") bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Jalan Dato Jaafar, 80350 Johor Bahru, Johor. Saya sesungguhnya menegaskan bahawa semasa Pemohon ditahan, saya telah memaklumkan bahawa penangkapan dan penahanan Pemohon adalah dibuat bagi maksud penyiasatan, memandangkan wujudnya sebab-sebab mempercayai ada alasan-alasan yang mewajarkan penahanan Pemohon di bawah Seksyen 6(1) Akta tersebut kerana Pemohon merupakan sebahagian dari sekumpulan besar orang pernah ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan dengan pengedaran dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] …” (penekanan ditambah) S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [25] Dakwaan pemohon adalah bahawa berdasarkan perenggan 4 Afidavit Inspektor Fahmi, tiada alasan wajar yang dikemukakan untuk menahan pemohon, kerana Inspektor Fahmi tidak menyatakan jenis dadah atau apa-apa perlakuan berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai wujud, bagi mewajarkan penahanan pemohon. [26] Mahkamah mendapati seksyen 3(1) Akta LLPK tidak memperuntukkan bahawa pihak polis mesti mengemukakan laporan tangkapan atau memperincikan maklumat berkenaan dengan jenis dadah atau apa-apa perlakuan berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai wujud. Apa yang diperuntukkan hanyalah bahawa pihak polis mempunyai “sebab mempercayai” bahawa ada alasan yang mewajarkan penahanan orang yang berkenaan di bawah subseksyen 6(1) Akta LLPK. Mahkamah mendapati “sebab mempercayai” ini tidak memerlukan pembuktian penuh mengenai penglibatan pemohon dalam aktiviti pengedaran dadah, sebagaimana yang diperlukan dalam suatu perbicaraan jenayah. [27] Dalam kes ini, kepercayaan tersebut telah dijelaskan di perenggan 4 Afidavit Inspektor Fahmi, di mana beliau menyatakan hasil siasatan menunjukkan bahawa pemohon merupakan sebahagian dari sekumpulan besar orang yang pernah ada kaitan dengan aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan dengan pengedaran dadah berbahaya. [28] Keterangan-keterangan dalam Afidavit Inspektor Fahmi turut disokong oleh pernyataan-pernyataan dalam afidavit yang diikrarkan oleh DSP Mani Arasu a/l Muthusamy (“DSP Mani Arasu”) pada 17 November S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw 2025 (“Afidavit DSP Mani Arasu”). Perenggan 4 Afidavit DSP Mani Arasu menyatakan: “Pada 28-09-2025, saya telah menerima fail kes berkaitan dengan penangkapan dan penahanan Pemohon di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (selepas ini disebut “Akta Tersebut”) tersebut daripada INSPEKTOR POLIS MOHD HAFIZ BIN ROSLAN. Saya telah mengkaji dan meneliti fail kes Pemohon yang mengandungi dokumentasi-dokumentasi, laporan-laporan risikan dan laporan-laporan soal siasat berkaitan dengan kegiatan Pemohon bahawa Pemohon merupakan sebahagian dari sekumpulan besar orang pernah ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan dengan pengedaran dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] iaitu mengedar dadah jenis Syabu yang mengandungi dadah berbahaya Methamphetamine dan dadah berbahaya jenis Heroin seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).” (penekanan ditambah) [29] Tambahan pula, dalam afidavit yang diikrarkan oleh pegawai penyiasat kes pemohon, Inspektor Mohd Hafiz Roslan (“Inspektor Hafiz”) pada 16 Februari 2026 (“Afidavit Inspektor Hafiz”), Inspektor Hafiz mengesahkan bahawa siasatan telah dibuat terhadap pemohon sebelum pemohon ditangkap. Perenggan 10 Afidavit Inspektor Hafiz menyatakan: S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw “10. Merujuk kembali kepada perenggan 18 dalam Afidavit Jawapan Dan Tambahan Pemohon, saya menafikan dakwaan Pemohon. Saya sesungguhnya menegaskan bahawa fail siasatan terhadap Pemohon telah sedia dibuka sebelum tangkapan dibuat memandangkan siasatan awal telah dijalankan sebelum Pemohon ditangkap, di mana berdasarkan siasatan awal tersebut, pihak polis sesungguhnya mempunyai sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa ada alasan-alasan yang mewajarkan Pemohon ditahan dan untuk siasatan di bawah Akta tersebut. Justeru, dakwaan Pemohon adalah tidak benar dan sekerasnya dinafikan.” (penekanan ditambah) [30] Mahkamah turut mengambil kira rakaman percakapan pemohon bertarikh 28 September 2025, yang dilampirkan sebagai eksibit “HAMY- 2” dalam afidavit yang diikrarkan oleh DSP Haney Azita Mohd Yahaya pada 16 Februari 2026. Dalam rakaman tersebut, pemohon menyatakan bahawa dia memperoleh bekalan dadah daripada seorang pengedar yang dikenali sebagai “RAVI”, di sekitar kawasan Pasar Awam, 81750 Masai, Johor. Pernyataan ini adalah selaras dengan siasatan pihak polis yang menunjukkan bahawa pemohon merupakan sebahagian daripada sekumpulan besar orang pernah mempunyai kaitan dengan aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan pengedaran dadah berbahaya. Mahkamah menegaskan bahawa rakaman percakapan ini hanya dirujuk bagi menunjukkan bahawa pihak polis mempunyai asas untuk membentuk “sebab mempercayai” di bawah seksyen 3(1) Akta LLPK, dan bukannya sebagai dapatan muktamad bahawa pemohon telah melakukan apa-apa kesalahan jenayah. S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [31] Mahkamah juga menegaskan bahawa mahkamah tidak boleh menilai kebolehpercayaan bahan risikan yang dipertimbangkan oleh pihak polis dalam membuat keputusan penahanan di bawah Akta LLPK, melainkan setakat yang perlu untuk menentukan sama ada berlaku ketidakpatuhan seksyen 3(1) Akta LLPK. Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati tidak terdapat ketidakpatuhan terhadap seksyen 3(1) Akta LLPK. [32] Perlu juga ditegaskan bahawa hujahan peguam pemohon bahawa pihak polis perlu menyatakan jenis dadah yang wujud dan perbuatan berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai dilakukan pemohon, adalah tidak berasas dari segi undang-undang. Perkara-perkara ini bukan prosedur yang mandatori yang diperuntukkan dalam seksyen 3(1) Akta LLPK. Dalam kes Lee Kew Sang, Mahkamah Persekutuan menyatakan di muka surat 930(i) hingga muka surat 931(a): “It is not for the courts to create procedural requirements because it is not the function of the courts to make law or rules. If there is no such procedural requirement then there cannot be non-compliance thereof. Only if there is that there can be non-compliance thereof and only then that the courts should consider whether, on the facts, there has been non-compliance.” (penekanan ditambah) [33] Seterusnya, mahkamah mendapati bahawa pemohon gagal membuktikan penangkapan pemohon bersifat mala fide. Dakwaan mala fide tidak boleh dibuat secara umum atau spekulatif semata-mata, tetapi mestilah disokong dengan fakta material yang khusus yang menunjukkan S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw bahawa kuasa statutori telah digunakan bagi tujuan yang tidak sah atau dengan niat tidak jujur. Dalam kes ini, pemohon gagal mengemukakan fakta sedemikian. Walau apa pun, dakwaan mala fide bukan merupakan isu ketidakpatuhan prosedur yang boleh menjustifikasikan Permohonan tersebut. Ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Lee Kew Sang, Muhammad Jailani Kasim dan Chua Kian Voon. F. Isu Kedua: Kegagalan Responden-Responden Mematuhi Perkara 5 Dan Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan Dibaca Bersama Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah [34] Selanjutnya, pemohon mendakwa responden-responden gagal mematuhi perkara 5 dan perkara 151 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah, kerana tidak memaklumkan ahli keluarga pemohon berkenaan penangkapan dan penahanan pemohon. [35] Merujuk secara spesifik kepada dakwaan pemohon, peruntukan-peruntukan yang relevan berkenaan dakwaan tersebut dalam perkara 5, perkara 151 Perlembagaan Persekutan dan seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah adalah seperti berikut: a. Seseorang tidak boleh dilucutkan kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang; dan b. Seseorang yang ditahan hendaklah: i. Dimaklumkan mengenai sebab-sebab penangkapan dan penahanannya; dan S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw ii. Diberitahu bahawa dia boleh berhubung atau cuba berhubung, dengan seorang saudara atau sahabat untuk memberitahu keberadaannya. [36] Mahkamah mendapati perenggan 4 Afidavit Inspektor Fahmi telah menjelaskan bahawa sejurus selepas ditahan, pemohon telah dimaklumkan sebab-sebab pemohon ditangkap dan ditahan, dan dimaklumkan mengenai hak pemohon untuk berjumpa dengan ahli keluarga dan untuk diwakili peguam: “4. … Saya sesungguhnya menegaskan bahawa selepas ditahan, Pemohon telah dimaklumkan sebab-sebab Pemohon ditangkap dan ditahan di bawah Akta tersebut dan penerangan saya telah diakui faham oleh Pemohon. Selain itu, Pemohon juga telah dimaklumkan tentang tempoh Pemohon akan ditahan dan di mana Pemohon akan ditahan dan Pemohon juga telah dimaklumkan berhubung hak Pemohon untuk berjumpa dengan ahli keluarga dan untuk mendapatkan hak diwakili peguam. Pemohon kemudiannya telah menyatakan memahami penerangan dan pemberitahuan saya tersebut.” (penekanan ditambah) [37] Tiada sebab yang dikemukakan oleh pemohon kepada mahkamah, mengapa mahkamah tidak boleh menerima pernyataan yang dibuat secara bersumpah oleh Inspektor Fahmi, seorang penjawat awam yang menjalankan tugas beliau. S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw [38] Perkara yang sama ditimbulkan dalam kes Su Yu Min v. Ketua Polis Negeri [2005] 3 CLJ 875, yang melibatkan pemohon yang mendakwa bahawa dia tidak dimaklumkan tentang syarat-syarat penahanannya. Namun, Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Andri Mohd Ridzwan, mengesahkan bahawa pemohon telah dimaklumkan tentang syarat-syarat tersebut dalam Bahasa Malaysia yang ringkas yang difahami oleh pemohon, dan pemohon telah mengesahkan bahawa dia memahami apa yang diterangkan kepadanya. Mahkamah Tinggi mendapati di perenggan 896(f): “I do not see any reason to disbelieve Mohd. Andri. He was performing an official duty in which he had no personal interest. On the other hand, the applicant here is trying to secure his release from restricted residence and it appears that he is not averse at putting a slant on things to suit his case. I do not see why, if Mohd. Andri undertook the task of informing the applicant about the contents in Form C and E, he should want to withhold information on a part of it as alleged by the applicant. It serves no purpose for him to do so.” (penekanan ditambah) [39] Oleh itu, mahkamah mendapati tidak berlaku ketidakpatuhan seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah, mahupun perkara 5 dan perkara 151 Perlembagaan Persekutuan, dalam penangkapan dan penahanan pemohon. Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa beliau telah dinafikan peluang yang munasabah untuk menghubungi ahli keluarga atau mendapatkan khidmat peguam setelah dimaklumkan mengenai hak-S/N u9wgK5twIkeC2DTd7xJ7nw hak tersebut. Sebaliknya, pemohon telah berjumpa dengan ahli-ahli keluarganya pada 15, 19 dan 30 Oktober 2025, dan 13 November 2025. G. Isu Ketiga: Kegagalan Responden-Responden Mematuhi Seksyen 3(2)(c) Akta LLPK [40] Pemohon mendakwa responden-responden tidak mematuhi seksyen 3(2)(c) Akta LLPK, kerana jawatan SAC Mazleen tidak wujud. [41] Seksyen 3(2)(c) Akta LLPK memperuntukkan: “(2) Mana-mana orang yang ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini boleh ditahan dalam jagaan polis selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat mengenai orang itu di bawah subseksyen 6(1): Dengan syarat bahawa –