Pembelaan tertuduh bukanlah bersifat “bare denial'’ memandangkan tertuduh telah pun mengemukakan keterangan yang tidak disangkal oleh saksi pendakwaan. Dapatan Kami [A] Isu pertama yang harus diputuskan adalah mengenai pemakaian beban pembuktian yang sepatutnya digunakan bagi pemilikan dan pengedaran dadah berbahaya. [51] Menyentuh mengenai perkara ini, tidak dipertikaikan bahawa hakim bicara yang bijaksana di akhir kes pendakwaan telah menggunakan pemilikan terus (actual possession) dan anggapan pengedaran (presumed trafficking) terhadap sembilan (9) paket plastik yang mengandungi dadah Methamphetamine yang dirampas daripada Tertuduh. [52] Setelah kami memperhalusi alasan penghakiman beliau, kami berpuashati bahawa hakim bicara yang bijaksana masih lagi mengekalkan beban pembuktian yang sama bagi 9 paket plastik yang berisi dadah tersebut meski pun hakim bicara ada juga menyebut mengenai pengedaran terus bila beliau menyatakan seperti yang berikut: “Jika Mahkamah menerima keterangan bahawa dia hanya membeli 1 paket plastik kecil dadah sahaja daripada Uuvaraj, perbuatan itu juga terjumlah kepada direct trafficking kerana berat dadah tidak perlu melebihi s.37(da) seperti dibincangkan dalam kes Sathya Vello (supra).” [53] Pada hemat kami, barisan ayat yang diungkapkan oleh hakim bicara sepertimana petikan di atas hanyalah suatu andaian sahaja yang tidak sama sekali mengundang ketidakadilan atau sebarang prejudis terhadap tertuduh. [54] Justeru itu, kekeliruan mengenai beban pembuktian yang dikatakan berlaku di pihak hakim bicara sebagaimana yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan adalah tidak bermerit dan sewajarnya ditolak. [B] Isu kedua yang harus ditangani adalah mengenai ketiadaan jurubahasa Tamil semasa saksi-saksi pihak pendakwaan memberi keterangan mereka di Mahkamah. [55] Pada hemat kami, tertuduh sebagai seorang warganegara Malaysia yang mendapat pendidikan sekolah menengah jenis kebangsaan sudah pasti memahami prosiding perbicaraan yang dijalankan di dalam Bahasa Malaysia. Tambahan lagi sepanjang perbicaraan ini berjalan, tertuduh diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman untuk membelanya. Dengan itu, hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil kekal berdiri teguh dan sentiasa terjamin. [C] Isu ketiga yang harus diputuskan di dalam rayuan ini adalah sama ada dadah berbahaya tersebut dijumpai di poket hadapan sebelah kiri tertuduh. [56] Bagi merungkai persoalan ini maka adalah penting untuk kami mengimbas kembali keterangan SP3. [57] SP3 di dalam keterangannya semasa sesi pemeriksaan utama (Kandungan 6 Rekod Rayuan Jilid 2 di m/s 20-22) mengatakan seperti yang berikut: : Boleh terangkan kepada Mahkamah apakah tugas Encik Hafiz pada 17.02.2020? : Pada 17.02.2020 saya terima maklumat orang awam ada satu lelaki India ada mengedar dadah di kawasan Simpang. Suspek menggunakan motorsikal 125Z warna silver Nombor Pendaftaran AKJ 4874. Pada jam lebih kurang 1400 hours saya telah mengajak anggota operasi untuk keluar membuat rondaan dan menyiasat maklumat tersebut di kawasan Simpang, Taman Damai, Taman Ria dan pekan Simpang Empat Taiping. Pada jam lebih kurang 3.45 petang semasa saya berada di kawasan medan Simpang saya telah nampak satu lelaki India menaiki motorsikal 125Z warna Silver Nombor Pendaftaran AKJ 4874 melalui hadapan saya dan saya mengekori suspek. Apabila saya menghampiri suspek, suspek menyedari kehadiran saya dan suspek telah memecut motorsikal menghala ke arah Batu 2.5 Simpang. Seterusnya di persimpangan Batu 2.5 suspek telah membelok ke Jalan Taman Kaya. Seterusnya di persimpangan Taman Kaya suspek membelok ke arah Taman Pengkalan Cemerlang dan Taman Ria. Semasa di kawasan Jalan Taman Ria suspek telah memperlahankan motorsikal dan saya menghampiri suspek. Suspek mematikan motorsikal dan cuba melarikan diri. Ketika itu saya perkenalkan diri polis dan menunjukkan kad kuasa dan saya telah berjaya menahan suspek. Dan ketika itu anggota operasi juga sampai di tempat kejadian. : Berapa orang anggota operasi? : Anggota operasi yang terlibat pada hari itu ialah Detektif Koperal Kumar, Zahar, Farihan dan Shamsul. : Pergi membuat pemerhatian dan rondaan menggunakan kenderaan apa? : Saya gunakan motorsikal sendiri jenis Yamaha Y15. : Bagaimana dengan anggota yang lain? : Anggota lain juga menaiki motorsikal. : Berapa biji motorsikal digunakan? : 3 biji motorsikal digunakan. Saya naik seorang dan anggota lain naik berdua. : Semasa itu bagaimana keadaan cuaca semasa kejadian? : Pada masa kejadian cuaca cerah. : Tadi encik kata suspek memecut laju dan encik ada mengejar suspek? : Ya. : Boleh terangkan berapa kelajuan? : Kelajuan motorsikal suspek lebih kurang 100km/sejam. : Semasa mengejar suspek adakah kenderaan lain di jalan raya? : Semasa mengejar suspek ada kenderaan lain di jalan raya. : Bagaimana keadaan jalan? : Suspek boleh bergerak laju. : Apa tindakan, tadi encik kata suspek apabila berhenti motorsikal dia cuba melarikan diri, melarikan diri ke arah mana? : Dia lari ke tepi jalan kaki lima. : Berapa jauh jarak dia meletakkan atau memberhentikan motorsikalnya? : Jarak motorsikal ke tempat suspek melarikan diri ialah lebih kurang 10 hingga 15 meter. : Jadi bagaimana tangkapan dibuat? : Saya telah menahan suspek dan buat pemeriksaan fizikal dan saya telah menjumpai 1 beg plastik berwarna hijau dari dalam poket hadapan seluar sebelah kiri yang dipakai oleh suspek Jenama Dor. Seterusnya saya buat pemeriksaan beg plastik tersebut didapati di dalamnya terdapat 9 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah methamphetamine. Saya telah rampas barang kes dan bawa suspek ke motorsikal dan buat pemeriksaan motorsikal dan tiada menjumpai dadah lain. Seterusnya saya telah menghubungi anggota standby Pejabat Narkotik untuk bawa kenderaan ke tempat kejadian untuk bawa balik suspek ke Pejabat Narkotik.” (penekanan ditambah) [58] Tertuduh (SD1) disebaliknya pula telah memberikan versi yang berbeza tentang apa yang berlaku pada masa dan tarikh kejadian. Diringkaskan, tertuduh di dalam keterangannya menyangkal keterangan SP3 bila tertuduh mengatakan satu (1) paket dadah sahaja yang dijumpai di dalam poket seluar kanan yang dipakainya, tertuduh tidak melarikan diri dan lapan (8) paket dadah lagi dijumpai di lokasi serbuan kedua iaitu di rumah SD3. [59] Bagi tujuan perincian, tertuduh di dalam keterangannya semasa sesi pemeriksaan utama (Kandungan 6 Rekod Rayuan Jilid 2 di m/s 111-114) menjelaskan seperti yang berikut: : Boleh nyatakan kepada Mahkamah apa berlaku semasa pukul 4.00 petang dalam perjalanan kamu pulang daripada beli dadah itu secara terperinci? : Semasa itu saya melalui jalan Taman Ria menuju ke rumah kawan saya. Semasa itu polis datang tangkap saya. : Masa itu kamu menaiki apa? : Saya menaiki motorsikal 125. : Kamu ingat nombor pendaftaran motor itu? : Saya tak ingat. : Motor itu motor siapa? : Motorsikal tersebut kepunyaan kawan saya. : Siapa nama kawan kamu itu? : Kawan saya bernama Uvaarajan. Uvaraj dan Uvaarajan adalah orang yang berbeza. Berlainan. : Motor itu adalah milik Uvaarajan? : Ya, benar. : Pada hari tersebut macam mana boleh kamu guna motor itu? : Pada hari kejadian, motorsikal saya rosak. Uvaarajan pun bekerja bersama dengan saya secara sambilan dan saya meminjam motorsikal Uvaarajan. : Apa tujuan kamu pinjam motor Uvaarajan pada tarikh 17.02.2020? : Tujuan saya meminjam motorsikal Uvaarajan adalah untuk pergi ke Aulong. : Pada tarikh tersebut adakah motorsikal yang kamu pinjam dari Uvaarajan ini dalam keadaan baik? : Pedal minyak yang rosak dan perlu membawa dalam keadaan perlahan sahaja. : Jadi, keadaan sedemikian dalam keadaan pemulas rosak adakah kamu dapat membawa motor dengan laju? : Tidak. : Kamu maklumkan kepada Mahkamah tadi bahawa kamu ditahan oleh pihak polis pada jam 4.00 petang. Macam mana polis boleh tahan kamu? Macam mana berlaku? : Semasa saya melalui jalan Taman Ria dalam kelajuan perlahan dan polis datang dan tutup enjin. : Polis datang tutup enjin motor. Masa itu kamu di mana? Masa polis tutup enjin, apa yang berlaku selepas itu? : Saya telah memberhentikan motorsikal dan polis yang datang juga telah turun. : Berapa orang polis yang datang? : Mula-mula datang adalah seorang sahaja. : Kemudian? : Selepas itu, diikuti dengan 7 orang polis. : 3 orang? : 7 orang. : Pada mula-mula yang seorang polis yang datang awal itu, dia naik apa? : Menaiki motorsikal. : Masa 1 orang polis tahan kamu ini. kamu berada di mana? Di mana posisi kamu? : Saya duduk di atas motorsikal. : Ada tak kamu buat apa-apa sebarang tindakan cuba melarikan diri? : Tidak. : Kemudian, yang 7 orang polis ini dia datang menaiki apa? : Kesemuanya datang dengan motorsikal. : Dia tahan kamu, kamu duduk atas motor, kemudian apa polis itu lakukan? : Polis telah mengarahkan saya turun dari motorsikal. : Kemudian? : Seterusnya, memeriksa saya. : Kemudian? : Polis tersebut telah mengambil sepaket plastik dari dalam poket seluar saya. : Bahagian mana? : Sebelah kanan. (Saksi menunjukkan poket di bahagian kanan depan). : Selain daripada 1 paket yang kamu kata polis jumpa daripada kamu, ada tak apa-apa paket plastik lain yang polis jumpa daripada kamu? : Tidak ada. : 1 paket yang polis jumpa ini adakah paket yang sama kamu beli daripada Uvaaraj? : Ya, benar.” (penekanan ditambah) [59] Tertuduh di dalam keterangannya semasa sesi pemeriksaan balas (Kandungan 6 Rekod Rayuan Jilid 2 di m/s 132-133) mengatakan seperti yang berikut: : Apabila kamu telah dikepung, kamu telah memberhentikan motorsikal dan cuba melarikan diri? : Tidak setuju. : Kpl Muhammad Hafiz telah menjalankan pemeriksaan ditubuh badan kamu, setuju? : Ya, setuju. : Beliau telah menjumpai dadah pada poket sebelah kiri seluar kamu, setuju? : Tidak setuju. : Tidak ada apa-apa barang salah dijumpai di bahagian mana-mana bahagian motorsikal AKJ 4874 yang ditunggangi oleh kamu? : Setuju. : Kamu tidak menafikan bahawa semasa kamu ditahan kamu telah dijumpai dengan dadah, betul? : Ya, setuju. : Apa yang kamu nafikan adalah berkenaan dengan penemuan 8 paket plastik dadah? : Ya, setuju. Betul.” (penekanan ditambah) [60] Seterusnya tertuduh semasa sesi pemeriksaan balas (Kandungan 6 Rekod Rayuan Jilid 2 di m/s 136) mengatakan seperti yang berikut: “S : Saya cadangkan kepada kamu bahawa sebenarnya plastik hijau tersebut tidak pernah dirampas daripada Uvaaraj dan Jeevaraj di rumah beliau di No. 293P, Lorong 22, Aulong? : Tidak setuju. : Saya cadangkan kepada kamu sebenarnya plastik hijau tersebut telah ditemui di poket kiri seluar kamu? : Tidak setuju. : Kamu hanya mereka-reka cerita memandangkan kamu mengambil kesempatan kes melibatkan Uvaaraj dan Jeevaraj? : Tidak setuju.” (penekanan ditambah) [61] Selanjutnya tertuduh semasa sesi pemeriksaan semula (Kandungan 6 Rekod Rayuan Jilid 2 di m/s 138-140) mengatakan seperti yang berikut: : Pendakwa Raya juga tadi bertanya kepada kamu dengan mencadangkan bahawa kamu mereka cerita bagaimana penemuan plastik hijau di dalam kes ini dan kamu jawap tidak setuju. Boleh jelaskan kepada Mahkamah kenapa kamu tak setuju? : Saya tidak setuju kerana saya ada lihat plastik hijau tersebut dibawa keluar dari rumah di Aulong dan semasa saya ditangkap saya hanya mempunyai 1 paket plastik sahaja. : Berkenaan dengan Kpl Hafiz dan lain-lain anggota serbuan lain Pendakwa Raya katakan mereka tidak ada sebab untuk aniaya kamu dan kamu jawap tak setuju. Boleh kamu jelaskan kepada Mahkamah kenapa kamu tak setuju? : Semasa saya ditangkap, saya hanya menyimpan 1 paket plastik dadah sahaja. Tetapi tiba-tiba saya mendapat tahu ada 1 plastik hijau bersama dengan paket-paket plastik. Sebab itu saya tidak setuju. : Pendakwa Raya juga ada tanya kepada kamu, kamu boleh mengadu kepada Majistret sekiranya dianiaya dan dipukul dan kamu jawap tidak setuju. Kenapa kamu jawap tak setuju? : Saya ada mengadu kepada Majistret bahawa saya telah dipukul tetapi saya tidak memberitahu tentang plastik-plastik tersebut kerana pada masa itu saya tidak tahu saya dituduh menyimpan paket-paket tersebut. Kalau saya tahu pada masa itu saya telah mengadu kepada Majistret. : Jadi, bila yang kamu tahu kamu dituduh menyimpan paket-paket plastik tersebut? : Saya dapat tahu setelah peguam datang memberitahu kepada saya di Penjara Sungai Petani. : Pendakwa Raya juga ada tanya apabila dikepung kamu berhentikan motor dan cuba larikan diri dan kamu jawap tak setuju. Sila jelaskan. : Saya tidak setuju kerana saya tidak melarikan diri. : Pendakwa Raya juga ada tanya apabila dikepung kamu berhentikan motor dan cuba larikan diri dan kamu jawap tak setuju. Sila jelaskan. : Saya tidak setuju kerana saya tidak melarikan diri. : Pendakwa Raya juga ada tanya Kpl Hafiz jumpa dadah di poket kiri dan kamu jawap tak setuju. Sila nyatakan kenapa tidak setuju? : Saya tidak setuju kerana 1 paket plastik dadah dijumpai di poket sebelah kanan seluar saya. : Pendakwa Raya juga ada tanya soalan kepada kamu penemuan 8 bungkusan plastik adalah rekaan kamu semata-mata dan jawapan kamu kata tak setuju. Kenapa kamu tak setuju? : Saya tidak setuju kerana saya ada lihat 1 beg hijau dibawa keluar dari rumah di Aulong. : Pendakwa Raya ada tanya kamu soalan tiada laporan polis berkenaan dengan 8 bungkusan plastik dan kamu kata kamu memang tidak membuat laporan polis. Boleh jelaskan kepada Mahkamah kenapa kamu tidak membuat laporan polis? : Saya setuju kerana saya tidak tahu perlu membuat laporan polis.” (penekanan ditambah) [62] Memandangkan wujudnya versi yang berbeza di antara keterangan SP3 dan tertuduh ini, maka persoalan yang timbul adalah apakah wujud keperluan mendesak untuk pihak pendakwaan memanggil anggota serbuan yang lain bagi menyokong keterangan SP3 dan seterusnya menyangkal keterangan tertuduh ini. [63] Pada hemat kami, jika diteliti keseluruhan keterangan yang di kemukakan oleh pihak pembelaan, adalah jelas bahawa versi pembelaan tertuduh ini dilihat menunding jari kepada pihak polis kerana sengaja hendak mengenakan tertuduh meskipun tiada secebis keterangan sokongan pun yang dikemukakan oleh tertuduh untuk mengesahkannya. Tanpa keterangan sokongan ini, sudah pasti alegasi kosong yang dibuat ini tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk diberikan pertimbangan oleh mahkamah ini. [64] Sewajarnya ditekankan, tertuduh sendiri mengaku bahawa satu