Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) SELAYANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA NO. KES: BD-87-929-06/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA [Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor]
BD-87-929-06/2023
Magistrates Court of Malaysia25 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET (2) SELAYANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA NO. KES: BD-87-929-06/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA [Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor]
1
Rayuan kes ini telah difailkan pihak pendakwaan melalui notis rayuan bertarikh 3.7.2025 terhadap keputusan Mahkamah ini pada 25.6.2025 yang mana telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM23,000.00 dan jika gagal dibayar 6 bulan penjara ke atas Pedoman Abadi Sdn. Bhd. (“PASB”) dan tiada perintah lucuthak motorlori bernombor pendaftaran BQD 3998 / T/BF 2415 (“motorlori tersebut”) dan diperintahkan Mahkamah ini.
2
Notis rayuan pihak pendakwaan adalah seperti berikut:
3
Keputusan Mahkamah ini pada 25.6.2025– “Mahkamah: Alright, keputusan mahkamah. Kamu disabitkan kesalahan dan dikenakan denda RM23,000.00 jika gagal bayar 6 bulan penjara dan tiada perintah lucut hak motorlori. Alright itu sahaja.”
4
Pada 20.7.2023, PASB telah dituduhkan di Mahkamah ini di bawah seksyen 57(1) (a) dan (b) (vi) APAD 2010, bernombor kes BD-87-929- 06/2023, dan selanjutnya PASB tidak mengaku salah serta mohon untuk dibicarakan. Pertuduhan adalah seperti berikut: PENGENDALI BERLESEN: PEDOMAN ABADI SDN BHD Pertuduhan Bahawa kamu pada 31.05.2023 lebih kurang jam 09.31 malam bertempat di Hentian Rawang (S) di dalam daerah Selayang dalam Negeri Selangor sebagai Pengendali Berlesen Kenderaan Barangan bernombor pendaftaran BQD3998 / T/BF2415 yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali SPAD: 716014-X Nombor Rujukan Permit 2B0231266-6/19 / 2B0231267-6/19 menggunakan kenderaan tersebut di atasjalan raya, dan telah dipandu oleh Mohd Shahrizal Bin Mohamad No. Kad Pengenalan: 850708085953 dengan membawa muatan batu sebanyak 99,080kg iaitu lebih muatan sebanyak 51,080kg (106.42%) dari Berat Dengan Muatan yang dibenarkan di dalam lesen pengendali sebanyak 48,000kg. Oleh yang demikian, kamu telah didapati melanggar syarat peruntukan di bawah Seksyen 57(1)(a) dan (b), (vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57(3) Akta yang sama. b.p. Timbalan Pendakwaraya HUKUMAN: Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) Denda tidak kurang daripada RM 1,000 tetapi tidak melebihi RM 500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya. DAN: Seksyen 80(3) dan (4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) Kenderaan yang berkaitan hendaklah dilucuthakan.
5
Selepas itu, pihak PASB telah memfailkan permohonan di Kand. pada 18.9.2023 di bawah no. kes BD-89-257-09/2023 untuk memohon pelepasan motorlori trailer tersebut kepada PASB menurut seksyen 80(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (“APAD”) bagi pelepasan kenderaan motorlori tersebut/
6
Keputusan Mahkamah ini pada 30.1.2024 seperti berikut: “Mahkamah ini mendapati permohonan pemohon di Kand. adalah pra-matang dan juga suatu percubaan yang dibuat secara tidak suci hati serta boleh terjumlah kepada suatu penyalahguanaan proses Mahkamah, sebelum–
a
pendakwaan dan / atau perbicaraan telah diselesaikan dan keputusan /
para
Mahkamah diberikan berdasarkan pertimbangan ke atas bukti, fakta kes, keterangan, hujahan pihak-pihak berkenaan kesalahan di bawah seksyen seksyen 57(1) (a) & (b) (vi) APAD 2010 serta hujahan berkenaan pelepasan dan lucuthak motorlori trailer tersebut;
b
pemohon sepatutnya membuat permohonan kepada pihak JPJ untuk motorlori trailer tersebut dikembalikan dengan memberikan jaminan yang memuaskan, mematuhi syarat pihak JPJ untuk mengembalikannya apabila diminta dan / atau syarat lain-lain seperti syarat bahawa motorlori trailer tersebut tidak boleh ditukar milik dan tidak boleh melakukan apa-apa kesalahan dalam tempoh jaminan, menurut seksyen 80(2) APAD 2010. Walau bagaimanapun, pemohon sengaja tidak membuat permohonan untuk motorlori trailer tersebut dikembalikan menurut seksyen 80(2) APAD 2010 kerana pada hakikatnya pemohon memang menginginkannya dilepaskan sekaligus walaupun pemohon memang tahu ada pendakwaan melibatkan motorlori trailer tersebut masih ‘pending’ di Mahkamah; dan
c
selain itu, semasa pengurusan kes dan sebelum pendengaran permohonan di Kand. 1, Mahkamah ada memaklumkan kepada pihak-pihak berkenaan pendapat Mahkamah supaya pihak pemohon boleh membuat permohonan untuk motorlori trailer tersebut dikembalikan di bawah seksyen 80(2) APAD 2010 terlebih dahulu dan sekiranya pihak JPJ mengembalikannya maka Mahkamah ini tidak akan meneruskan pendengaran di Kand. 1, namun, tidak diendahkan oleh pihak pemohon. Maka adalah wajar Mahkamah ini menolak permohonan di Kand. 1 tanpa perintah berkenaan kos.” [7] Tidak berpuas-hati dengan keputusan Mahkamah ini, PASB telah merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah ini dan pada 13.5.2025, Mahkamah Tinggi telah membenarkan rayuan PASB dan memerintahkan motorlori tersebut dilepaskan secara sementara dan tertakluk kepada apa-apa arahan Mahkamah ini dari semasa ke semasa dan syarat-syarat. [8] Selepas itu, bicara kes ini telah dijalankan di Mahkamah ini pada 12.11.2024 dan 4 saksi pendakwaan telah selesai memberikan keterangan dan berbaki 2 saksi. [9] Sambung bicara di peringkat kes pendakwaan seterusnya pada 14.11.2024, 21.11.2024 dan 21.2.2025 tidak dapat dijalankan atas pelbagai alasan penangguhan daripada pihak-pihak yang mana telah dibenarkan Mahkamah ini. [10] Pada 25.5.2025, pada bila kes ini dipanggil untuk sambung bicara, peguambela PASB telah memaklumkan kepada Mahkaman ini bahawa terdapat perkembangan baru dalam kes ini di mana PASB ingin mengaku salah. [11] Selanjutnya, pertuduhan telah dibacakan semula kepada PASB dan PASB mengaku salah. Namun begitu, peguambela telah memohon satu tarikh lagi untuk menjatuhkan hukuman kerana PASB ingin mengumpul duit untuk membayar sebarang denda yang akan dikenakan oleh Mahkamah ini. memandangkan peguambela baru dapat menasihati anak guam beliau dan anak guam perlu masa untuk kumpulkan wang. [12] Pada 25.6.2025, kes ini telah dipanggil semula untuk Mahkamah ini menjatuhkan hukuman dengan kehadiran pihak-pihak. Hujahan mitigasi peguambela adalah seperti berikut: “OKS telah mengaku salah pada masa yang awal untuk menjimatkan masa dan kos mahkamah yang terlibat dengan tidak perlu memanggil mana-mana saksi untuk perbicaraan Tuan. Anak guam kami sudah rasa kesal dan insaf terhadap kesalahannya dan berjanji tidak akan melakukan perkara yang sama pada masa depan. Lori anak guam kami telah menjalani tempoh sita selama 2 tahun Tuan selepas ditahan pada 31 Mei 2023 Tuan. Tempoh sita di depo JPJ yang panjang telah … Tempoh yang panjang ini telah menginsafkan OKS kerana banyak menempuhi keseksaan dan kepayahan berniaga dan lori tersebut seperti spare parts lori yang telah rosak akibat tidak dapat elak bagi jangka masa yang panjang selama 2 tahun Tuan. Dan ini telah mengakibatkan anak guam kami mengalami kerugian perniagaanya. Tuan, anak guam kami telah menjalankan siasatannya memberikan arahan kepada kesemua pemandu supaya memastikan kesalahan ini tidak berlaku lagi pada masa depan. Tuan, ini adalah kesalahan pertama, tiada rekod lampau atas kesalahan tersebut. Selain itu, kesalahan OKS tidak menyebabkan sesuatu kerugian atau kecederaan dalam kes ini. Tiada kemalangan yang dialami di dalam kes ini Tuan. Tuan, anak guam kami mempunyai lesen pengendalian, lesen memandu, road tax dan insuran yang sah masa tarikh tangkapan. Dan OKS juga memberi kerjasama pada pihak penguatkuasa dengan sepenuhnya dan secara damai pada pihak berkuasa telah menghormati arahan pihak berkuasa untuk hadir ke mahkamah pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. OKS juga mengambil peluang ini untuk meminta maaf kepada mahkamah yang mulia ini dan juga pihak JPJ serta pihak-pihak yang berkenaan dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa depan. Tuan, kami ingin merujuk Tuan kepada kes PP lawan Infiniti Logistic & Transport Sdn Bhd.. PP lawan Infiniti Logistic & Transport Sdn Bhd 2022 MLJU 238 Tuan di mana lebihan muatan sebanyak 80.3% Tuan di mana dendanya adalah RM6500 gagal bayar 5 bulan penjara. Dan juga Tuan, kita ingin merujuk kepada kes PP lawan Chop Sing Huat Heng 2022 MLJU 2655 juga kes yang di Mahkamah Klang dengan muatan sebanyak 50.2% dan kes tersebut telah denda dengan RM5500 gagal bayar 6 bulan penjara, Tuan. Oleh yang demikian, dengan izin Tuan, OKS wajar diberikan peluang untuk mengubahkan sikapnya untuk menjalankan perniagaan dengan lebih bertanggungjawab pada kesemua pihak selepas pengajaran dalam kes ini Tuan. OKS juga percaya dengan kebijaksanaan mahkamah yang mulia ini dalam menggunakan budi bicara menjalankan prinsip hukuman akan memberikan keadilan kepada semua pihak Tuan. Oleh yang demikian, pihak kami dengan rendah diri memohon 1 hukuman denda yang seringan-ringannya ke atas tertuduh, Tuan. Itu saja Tuan. [13] Hujahan pemberatan pihak pendakwaan– “Dengan izin Tuan, memandangkan 1 kesalahan telah dilakukan oleh pihak OKS sendiri yang mengaku dalam pengakuan bersalah adalah dengan izin Tuan, pihak Pendakwaan menarik perhatian atau keputusan mahkamah supaya mempertimbangkan factor-faktor berikut. Tuan Majistret, faktor pertama iaitu faktor kepentingan awam memandangkan lori ini membawa lebih muatan yang berat iaitu 106% melebihi muatan yang ditetapkan. Oleh kerana lori sekarang trend kesalahan yang dilakukan oleh lori besar bawa impak yang besar kepada keselamatan jalan raya. Baru-baru ini, telah berlaku kemalangan yang membabitkan lori yang membawa muatan iaitu melebihi 70% had melebihi daripada had yang ditetapkan telah melanggar trak FRU dan menyebabkan kematian … Ini adalah 1 rujukan kepada kesalahan yang disebabkan oleh lebih muatan Tuan menyebabkan kematian anggota polis begitu ramai dan telah disahkan oleh MOT Tuan iaitu Kementerian Pengangkutan mengatakan bahawa lori yang melanggar FRU menyebabkan kematian anggota polis itu telah melebihi 70% daripada had yang dibenarkan dibawa. Ini adalah 1 contoh tentang keadaan lori sekarang yang membawa lebihan muatan dan tindakan tegas pihak JPJ menguatkuasakan undang-undang jalan raya untuk memastikan kepentingan awam terjamin. Jika lori-lori ini dibenarkan membawa lebih muatan akan menyebabkan lagi banyak rakyat Malaysia khasnya mangsa-mangsa di jalan raya akan terkorban tidak kira siapa dan apa bangsa sekalipun mereka dengan membawa lori lebih muatan ini akan menyebabkan kematian. Dan merujuk lagi kepada 1 artikel daripada Astro Awani berita memandangkan lebih 1,400 kematian akibat daripada kecuaian kemalangan membabitkan lori yang membawa muatan berat. Dan dengan ini pihak pendakwaan mohon 1 hukuman yang tinggi dan mohon dilucuthakkan kenderaan ini kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan sebagai 1 pengajaran yang berat dan menjadi 1 pedoman dan juga pedoman kepada lori-lori syarikat lain supaya tidak melakukan kesalahan ini lagi. Dan dengan merujuk kepada 1 kes pendakwaan di Johor Bahru, pihak pendakwaan mohon iaitu antara pendakwaan JPJ dengan Ever Youth Sdn Bhd dan pihak pendakwaan mohon ditenderkan Tuan terlebih dahulu maaf kenyataan dan fakta-fakta yang telah dikemukakan pendakwaan tadi dan 1 keputusan daripada Mahkamah Tinggi Johor Bahru di mana kenderaan dalam kes ini dilucuthak kenderaan ke atas lori dibuat oleh Mahkamah Tinggi ini. Dengan izin Tuan, pendakwaan dengan rendah dirinya ingin menarik perhatian mahkamah yang mulia ini bawah Seksyen 24 kes APAD mahkamah ada kuasa khas untuk menjatuhkan hukuman penuh bagi apa-apa kesalahan di atas akta ini dan bagi kes hukuman ini adalah minimum 1000 dan maksimum 500 ribu Tuan. Dan pendakwaan mengakui kearifan pengetahuan luas Tuan Majistret dalam membuat keputusan dan bijaksana. Walau bagaimanapun, pengakuan OKS telah mengaku bersalah dan pihak pendakwaan dengan rendah diri minta pertimbang dan meneliti hal ini. Tidak ada peraturan yang mengatakan sesuatu pengakuan salah itu akan secara automatik membolehkan tertuduh mendapat hukuman yang lebih rendah Tuan. Dan dengan rendah dirinya pihak pendakwaan mohon 1 hukuman yang tinggi dikenakan kepada pihak syarikat iaitu OKS dan juga kenderaan hendaklah dilucuthakkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. Terima kasih Tuan. Itu saja. [14] Selepas itu, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman hukuman denda sebanyak RM23,000.00 dan jika gagal dibayar 6 bulan penjara ke atas PASB dan tiada perintah lucuthak motorlori tersebut diperintahkan Mahkamah ini. Keputusan [15] Seksyen 80(3) APAD memperuntukkan bahawa sesuatu perintah pelucuthakan atau pelepasan mana-mana kenderaan yang disita hendaklah dibuat oleh Mahkamah yang mendengar pendakwaan kes tersebut. [16] Peruntukan ini secara jelas menunjukkan bahawa Parlimen telah menetapkan bahawa kuasa muktamad untuk memutuskan perkara pelucuthakan atau pelepasan tidak terletak pada mana-mana pihak, tetapi adalah tertakluk kepada pertimbandang dan budibicara Mahkamah. [17] Kedudukan undang-undang ini menegaskan prinsip pengasingan kuasa, di mana fungsi penyiasatan dan pendakwaan adalah terpisah daripada fungsi membuat keputusan muktamad berhubung pelepasan atau pelucuthakan harta yang disita. [18] Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah di bawah seksyen 80(3) APAD adalah melibatkan budi bicara kehakiman yang perlu dilaksanakan dengan berhati-hati and dalam membuat keputusan, Mahkamah ini bukan sahaja menilai bukti mengenai kesalahan, tetapi juga menimbang faktor-faktor lain yang relevan termasuklah faktor mitigasi yang dibangkitkan oleh PASB, kepentingan awam yang lebih luas, prinsip proportionality untuk memastikan hukuman tidak bersifat keterlaluan, serta kesan sampingan atau implikasi sosial dan ekonomi yang mungkin timbul akibat sesuatu perintah pelucuthakan. [19] Peruntukan ini juga secara tidak langsung bertujuan mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak penguat kuasa, memastikan hak asasi pemilik kenderaan dilindungi, dan memelihara integriti proses keadilan jenayah dengan meletakkan kuasa penentuan di tangan Mahkamah. [20] Seksyen 80(4) APAD pula menyatakan bahawa perintah pelucuthakan “hendaklah dibuat” jika dibuktikan sehingga memuaskan hati Mahkamah bahawa suatu kesalahan telah dilakukan dan bahawa kenderaan itu merupakan suatu hal perkara kesalahan tersebut. [21] Peruntukan ini mengandungi dua prasyarat yang bersifat kumulatif: (1) pembuktian bahawa suatu kesalahan telah benar-benar berlaku; dan (2) pembuktian bahawa kenderaan yang disita itu mempunyai kaitan secara langsung dan substantif dengan kesalahan tersebut and hanya apabila kedua-dua unsur ini dipenuhi secara serentak, barulah timbul kewajipan undang-undang kepada Mahkamah untuk mempertimbangkan perintah pelucuthakan. [22] Frasa “memuaskan hati Mahkamah” membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar memenuhi standard pembuktian di luar keraguan munasabah yang lazim dalam kes jenayah, namun, ia juga merangkumi keperluan bahawa Mahkamah mencapai tahap keyakinan kehakiman yang mantap, bukan sahaja terhadap kewujudan kesalahan, tetapi juga terhadap justifikasi dan kesesuaian pelucuthakan itu sendiri dalam konteks fakta keseluruhan kes. [23] Dalam kata lain, pelucuthakan bukanlah suatu tindakan automatik semata-mata apabila sabitan berlaku; sebaliknya ia menuntut penilaian menyeluruh terhadap sama ada pelaksanaan hukuman tambahan tersebut adalah adil, perlu dan munasabah. [24] Kepentingan frasa ini juga terletak pada sifatnya yang menuntut satu proses penimbangan kehakiman yang bersandarkan prinsip keadilan. [25] Mahkamah ini berpendapat frasa “memuaskan hati” melibatkan suatu elemen penilaian subjektif oleh Mahkamah, namun ia tetap bersandarkan kepada parameter objektif yang ditentukan oleh undang-undang dan fakta kes di mana Mahkamah tidak boleh semata-mata bergantung pada kepercayaan atau andaian, tetapi harus membuat penilaian berasaskan bukti yang sah, relevan dan boleh diterima. [26] Dengan itu, seksyen 80(4) APAD adalah satu peruntukan yang mengimbangi antara keperluan penguatkuasaan undang-undang dan perlindungan hak ini kerana, ia memberi ruang kepada Mahkamah untuk menilai sama ada pelucuthakan itu benar-benar diperlukan bagi mencapai tujuan pencegahan, pengajaran dan perlindungan kepentingan awam, tanpa menimbulkan hukuman yang bersifat menghukum secara berlebihan atau tidak adil. [27] Dalam kes ini, Mahkamah ini menerima tanpa keraguan bahawa elemen-elemen kesalahan di bawah seksyen 57(1) (a) dan (b) (vi) APAD telah dibuktikan pada bila OKS mengaku salah dan fakta bahawa motorlori yang disita merupakan hal perkara kesalahan juga tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak. [28] Walau bagaimanapun, Mahkaman ini berpendapat adalah penting untuk ditegaskan bahawa peruntukan undang-undang tidak menjadikan pelucuthakan sebagai langkah automatic atau diwajibkan semata-mata selepas pembuktian kesalahan dan/atau pengakuan salah dibuat. [29] Sebaliknya, seksyen 80(3) dan (4) APAD meletakkan tanggungjawab dan kuasa budi bicara kepada Mahkamah untuk menilai kesesuaian dan keperluan pelucuthakan, dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan termasuk kepentingan awam, prinsip proportionality, mitigasi, pemberatan dan keadaan khusus kes ini. [30] Antara faktor yang menjadi pertimbangan utama Mahkamah ialah tempoh sitaan yang Panjang kes ini, iaitu hampir dua (2) tahun sejak tarikh Mei 2023. Tempoh yang begitu lama telah memberi kesan langsung dan ketara terhadap kelangsungan operasi perniagaan PASB. Kesan ini termasuk kerosakan pada komponen utama kenderaan akibat ketiadaan penggunaan yang berpanjangan, penurunan nilai kenderaan dan kerugian kewangan yang berterusan akibat kehilangan aset operasi yang kritikal. [31] Dalam konteks ini, sitaan yang berlarutan sedemikian sudah pun berfungsi sebagai satu bentuk penalti substantif yang berat. Malah, dalam keadaan kes ini, kesan kumulatif daripada sitaan tersebut boleh dianggap setara dengan atau bahkan melebihi, impak pelucuthakan sepenuhnya. [32] Jika pelucuthakan dilaksanakan di samping sitaan yang lama, kesannya terhadap PASB akan menjadi kerugian total yang kekal dan mungkin membawa implikasi melumpuhkan perniagaan, sesuatu yang tidak selari dengan prinsip keadilan. [33] Mahkamah turut mengambil kira ketiadaan sebarang faktor pemberat yang lazimnya menguatkan keperluan pelucuthakan. Kesalahan ini tidak melibatkan sebarang kemalangan, kecederaan,atau kerugian kepada pihak ketiga. [34] Semua dokumen dan kelayakan sah, termasuk lesen pengendalian, lesen memandu pemandu, cukai jalan dan perlindungan insurans adalah teratur pada masa yang material. Tambahan pula, rekod lampau PASB pada masa yang material menunjukkan bahawa ini adalah kesalahan pertama. [35] Dalam prinsip penjatuhan hukuman, rekod bersih ini adalah faktor mitigasi yang kuat, yang secara signifikan mengurangkan justifikasi untuk mengenakan hukuman berat seperti pelucuthakan. Begitu juga dengan ketiadaan corak pengulangan kesalahan atau niat jahat yang nyata juga menunjukkan bahawa pelucuthakan tidak diperlukan bagi melindungi kepentingan awam dalam kes ini. [36] Dari sudut prinsip hukuman pula, Mahkamah ini terikat kepada prinsip proportionality yang menjadi asas keadilan jenaya iaitu hukuman yang dijatuhkan hendaklah seimbang dengan tahap keseriusan kesalahan dan kesan yang dihasilkan. Pelucuthakan adalah hukuman tambahan yang bersifat draconian, kerana ia melibatkan perampasan kekal harta yang sah dimiliki dan memberi kesan ekonomi yang besar kepada pesalah dan industry secara keseluruhannya. [37] Oleh itu, pelucuthakan hanya wajar dikenakan dalam kes yang benar-benar berat, contohnya, apabila kesalahan itu memberi ancaman langsung kepada keselamatan awam, melibatkan corak pelanggaran berulang, menunjukkan keengganan patuh undang-undang secara berterusan, atau apabila pelucuthakan adalah satu-satunya langkah efektif untuk mencegah kesalahan daripada berlaku secara berterusan. [38] Dalam kes ini, Mahkamah berpuas hati bahawa kombinasi faktor-faktor yang dipertimbangkan telah mencapai tujuan utama hukuman di sisi undang-undang iaitu hukuman denda yang tinggi berjumlah RM23,000.00, dengan mengambil kira tempoh sitaan yang panjang, kesan ekonomi yang ketara kepada syarikat, kerosakan kenderaan yang tidak dapat dielakkan, serta status kesalahan pertama. [39] Kesemua ini dipertimbangkan secara bersama telah memenuhi matlamat hukuman iaitu memberi pengajaran deterrence, retribution dan mendorong perubahan sikap rehabilitation tanpa perlu perintah pelucuthakan [40] Menambah hukuman pelucuthakan dalam keadaan ini bukan sahaja akan melampaui keperluan keadilan, tetapi juga boleh dianggap sebagai hukuman tidak berlandaskan prinsip proportionality dan tidak adil. Kesimpulan [41] Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah menggunakan budi bicara yang diberikan oleh seksyen 80(3) dan 80(4) APAD untuk tidak memberikan apa-apa perintah melucuthakkan motorlori tersebut kerana Mahkamah tidak memuas hati bahawa pelucuthakan adalah perlu atau wajar memandangkan hukuman denda yang dikenakan, bersama tempoh sitaan yang panjang, telah memadai untuk mencapai matlamat hukuman dan memberi mesej pencegahan yang jelas kepada PASB dan industri. [42] Motorlori tersebut oleh itu tidak diberikan perintah lucuthak. Keputusan ini menegakkan prinsip bahawa hukuman, walaupun tegas, mestilah seimbang dan adil, serta mengambil kira semua faktor mitigasi dan pemberatan yang relevan. Bertarikh: 8.8.2025 t.t (CHAI GUAN HOCK) Majistret Selayang (2) Selangor Peguam Pegawai Pendakwaraya: Mazlisyah bin Md Jam Peguam bagi PASB: Puan Tee Poh Lin Encik Gan Chen Kiong
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.