Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. C-05(LB)-415-11/2016 ANTARA PENDAKWA RAYA - PERAYU
/akn/my/judgment/court-of-appeal/2017/075fe755-17dc-49b7-8da6-a0d8ffafb2a6
Court of Appeal of Malaysia24 Oct 2017C-05(LB)-415-11/2016
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“, proximity of time, proximity of place, continuity of action and continuity of purpose or design (see Jayaraman & Ors v PP [1979] 2 MLJ 88; 16 Amrita Lal Hazra v Emperor 42 Cal 957; Chin Choy v PP [1955] MLJ 236).” [40] Dalam kes ini, dadah yang dijumpai daripada responden di Jalan Jabor ialah hasil daripada serbuan y”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. C-05(LB)-415-11/2016 ANTARA PENDAKWA RAYA - PERAYU
2
MUHAMAD SHAM BIN AZEMI - RESPONDEN-RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA : DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. C-05(LB)-235-06/2016 ANTARA PENDAKWA RAYA - PERAYU DAN SUHALIZA BINTI ISMAIL - RESPONDEN 2 (Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan Perbicaraan Jenayah No. 45A-12-07/2015 Antara Pendakwa Raya Dan Al Muhamad Zakri bin Mohd Hassan Dibicarakan bersama : Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan Perbicaraan Jenayah No. 45A-13-08/2015 Antara Pendakwa Raya Dan
1
Muhamad Sham bin Azemi 2. Suhaliza binti Ismail KORAM MOHTARUDIN BAKI, HMR ZAKARIA SAM, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR 3 PENGHAKIMAN [1] Ini ialah rayuan Pendakwa Raya terhadap keputusan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan yang melepaskan dan membebaskan responden-responden di akhir kes pembelaan daripada pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB). [2] Pada 30.3.2017, Pendakwa Raya telah menarik balik rayuan terhadap Suhaliza binti Ismail. Notis bicara pula gagal diserahkan terhadap Muhamad Sham bin Azemi. Oleh itu, kami telah membatalkan rayuan Pendakwa Raya terhadap responden-responden tersebut. Hanya rayuan terhadap Al Muhamad Zakri bin Mohd Hassan (Responden) sahaja diteruskan oleh Pendakwa Raya. Latar Belakang [3] Pertuduhan terhadap responden di Mahkamah Tinggi Kuantan ialah seperti berikut:- “Bahawa kamu pada 8 Januari 2015, jam lebih kurang 3.30 pagi di rumah No. 6, Jalan Shahzan IM 19, Bandar Indera Mahkota, di dalam Daerah Kuantan, di dalam Negeri Pahang Darul Makmur, telah mengedar dadah berbahaya seberat 15.49 gram (12.55 gram Heroin dan 2.94 gram Monoacetylmorphines), dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.” 4 [4] Apabila rayuan ini dipanggil kali pertama, Timbalan Pendakwa Raya memberitahu mahkamah bahawa representasi responden telah diluluskan. Ini diakui oleh Peguam responden. Timbalan Pendakwa Raya telah mengemukakan pertuduhan pilihan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta yang sama. Pertuduhan pilihan tersebut telah dibaca dan diterangkan kepada responden. Responden memahami pertuduhan. Responden telah mengaku bersalah serta memahami akibat pengakuan tersebut. Mahkamah telah menangguhkan sebentar prosiding untuk Timbalan Pendakwa Raya menyediakan fakta kes. [5] Apabila kes dipanggil semula, Timbalan Pendakwa Raya menyatakan bahawa beliau dan Peguam responden bersetuju (concede) bahawa kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta yang sama (both party conceded – an offence under s.12(2)/s.39A(2) DDA 1952). Persetujuan ini diakui oleh Peguam responden. Justeru Timbalan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan pilihan. [6] Kami sebulat suara mensabitkan responden di bawah seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melepas serta membebaskan responden daripada pertuduhan asal iaitu di bawah seksyen 39B(1)(a) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. [7] Setelah mendengar hujahan mitigasi peguam bela dan hujahan memberatkan hukuman Timbalan Pendakwa Raya, kami dengan sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara dua puluh tahun dari tarikh tangkap 5 (7.1.2015) berserta sepuluh sebatan rotan terhadap responden. Berikut ialah alasan kami dalam menjatuhkan hukuman tersebut. Fakta Kes Pendakwaan (Prima Facie) [8] Pada 7.1.2015 lebih kurang pukul 11.30 malam, Inspektor Ramaiah a/l Kunasekaran (SP5) bersama Inspektor Nor Zedy bin Mohd Nor (SP6) dan enam orang anggota polis daripada IPD Kemaman sedang membuat rondaan di kawasan Air Putih menggunakan dua buah kereta. Mereka terserempak dengan sebuah kereta Suzuki Swift no. pendaftaran WNJ
9906
SP5 dan anggotanya mengekori kereta Suzuki tersebut dari kawasan R&R Cheneh hingga Jalan Jerangau – Jabor menghala ke Kuala Terengganu. [9] Kereta Suzuki tersebut kemudian berhenti berdekatan sebuah kedai makan di Jalan Jabor. SP5 mengarahkan anggotanya menghalang kereta Suzuki tersebut dengan satu kereta pasukan menghalang bahagian hadapan manakala satu lagi kereta pasukan menghalang bahagian belakang. Setelah kereta Suzuki tersebut dihalang, SP5 keluar dari kereta pasukan yang menghalang bahagian belakang kereta Suzuki tersebut dan pergi ke kereta Suzuki tersebut untuk memperkenalkan diri sebagai polis. [10] Apabila SP5 sampai di kereta Suzuki tersebut, SP5 mendapati terdapat dua orang sedang duduk di dalam kereta tersebut. Kemudian SP5 mengetuk pintu bahagian pemandu kereta Suzuki tersebut. Secara tiba-tiba, kereta Suzuki tersebut mengundur ke belakang dan melanggar kereta pasukan yang diletakkan di belakang kereta Suzuki tersebut. 6 [11] SP5 mengarahkan supaya anggotanya Lans Koperal Mohd Shukri bin Mohd Zin memecahkan cermin bahagian pemandu kereta Suzuki tersebut. Selepas itu, Lans Koperal Mohd Shukri memasukkan tangannya ke dalam kereta Suzuki tersebut melalui tingkap pemandu, mematikan enjin dan menarik keluar kunci kereta tersebut. SP5 kemudian membuka pintu bahagian pemandu kereta Suzuki tersebut dan menarik keluar seorang lelaki bernama Syed Mohd Rezza bin Syed Asli. Lans Koperal Nizarul Azian Shah bin Mohamed Nasir pula menarik keluar responden dari tempat duduk penumpang kereta Suzuki tersebut. [12] Selepas itu, SP5 membuat pemeriksaan fizikal ke atas Syed Mohd Rezza dan responden. Tiada barang salah dijumpai daripada Syed Mohd Rezza. Daripada responden, SP5 menjumpai dua bungkusan dari dalam poket sebelah kanan seluar jenama Adidas yang dipakai oleh responden seperti berikut:-
i
(i) 1 paket plastik lutsinar yang berlapik dengan kertas timah berisi ketulan warna putih keperangan disyaki dadah;
Subparagraph
(ii) 1 balutan kertas surat khabar yang diikat dengan gelang getah. Di dalam kertas surat khabar tersebut terdapat dua paket plastik lutsinar. Setiap paket plastik tersebut mengandungi 198 biji pil warna merah dan 2 biji pil warna hijau. Jumlah keseluruhan pil ialah 400 biji. [13] Selepas itu SP5 membuat pemeriksaan ke atas kereta Suzuki tersebut dengan disaksikan oleh Syed Mohd Rezza dan responden dan menjumpai 1 balutan kertas surat khabar di bawah tempat duduk 7 pemandu yang mengandungi 1 paket lutsinar berisi ketulan warna putih disyaki dadah. [14] Selepas itu, SP5 dan anggotanya membawa Syed Mohd Rezza dan responden ke IPD Kemaman. Mereka tiba di IPD Kemaman pada 8.1.2015 lebih kurang pukul 12.45 pagi. SP5 seterusnya membuat penandaan kepada barang-barang yang dirampas. [15] Sewaktu SP5 membuat penandaan terhadap serangkai kunci, SP5 telah bertanya kepada Syed Mohd Rezza dan responden tentang pemilik kunci tersebut. Responden menjawab kunci tersebut ialah kunci rumah sewa responden di Kuantan. SP5 bertanya kepada responden sama ada responden ada menyimpan apa-apa di rumah tersebut dan responden menjawab “ada dadah lagi”. [16] Lebih kurang pukul 2.30 pagi, SP5 dan anggota IPD Kemaman membawa Syed Mohd Rezza dan responden ke rumah sewa responden. Sebelum bergerak, SP5 telah menyerahkan kunci rumah tersebut kepada responden. Responden kemudian memandu arah SP5 dan anggota IPD Kemaman ke rumah sewanya yang beralamat di No. 6, Taman Shahzan, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Mereka tiba di kawasan rumah tersebut lebih kurang pukul 3.30 pagi. [17] Sampai di kawasan rumah tersebut, SP5 dan responden turun daripada kereta dan bergerak menuju ke rumah tersebut. Sampai di rumah tersebut, responden membuka pintu “grill” rumah tersebut dengan menggunakan kunci yang dipegangnya. Setelah dibuka, responden membawa SP5 dan anggota SP5 ke sebuah bilik di tingkat atas. Pintu bilik tersebut dibuka oleh responden dengan menggunakan kunci. 8 [18] Di dalam bilik tersebut, SP5 bertanya kepada responden tempat dadah tersebut disimpan. Responden menunjuk ke arah sebuah almari dengan menggunakan tangan. SP5 membuka almari tersebut dan bertanya kepada responden kedudukan dadah tersebut. Responden kemudian menunjuk ke arah rak-rak di dalam almari tersebut melalui memek muka. [19] SP5 menjalankan pemeriksaan ke atas almari tersebut dan menjumpai beberapa barangan seperti berikut:-
i
(i) 1 balutan surat khabar yang mengandungi 6 paket plastik cerah bersalut kertas timah. 4 paket plastik tersebut berisi serbuk warna putih manakala 2 paket plastik yang selebihnya berisi serbuk warna putih keperangan.
Subparagraph
(ii) satu alat timbang digital warna hitam (P38)
Subparagraph
(iii) satu buku rawatan Hospital Kemaman atas nama responden (P36)
Subparagraph
(iv) satu sijil kursus perkahwinan atas nama responden (P35); dan
v
(v) satu pasport Malaysia atas nama responden (P37) [20] Di dalam rumah yang sama, SP6 menjumpai Muhamad Sham dan Suhaliza di dalam sebuah bilik lain. Beberapa barangan disyaki dadah turut dijumpai dari dalam bilik tersebut. SP5 kemudian membawa responden, Muhamad Sham, Suhaliza dan kesemua barang kes ke IPD Kemaman dan menyerahkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Hakimi bin Khalid (SP8). 9 [21] SP8 kemudian membuat penandaan terhadap kesemua barang kes. Setelah membuat penandaan, SP8 menghantar barang kes dadah ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis. Hasil analisis yang dijalankan oleh ahli kimia Suriani binti Mat Yasin (SP4) mengesahkan kesemua enam paket plastik yang dijumpai dari dalam bilik responden mengandungi dadah berbahaya jenis Heroin seberat 12.55 gram dan Monoacetylmorphines seberat 2.94 gram. Mitigasi Responden [22] Di hadapan kami, peguam bela responden yang terpelajar telah menghujahkan seperti berikut:-
i
(i) Responden berumur 33 tahun, bujang, berasal dari Kemaman, Terengganu dan merupakan anak kelima daripada enam adik beradik. Bapa responden baru meninggal dunia dua minggu sebelum tarikh pendengaran rayuan ini. Sebelum ditangkap, responden menjalankan perniagaan kedai makan;
Subparagraph
(ii) Responden telah disabitkan dengan satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) ADB di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan dihukum hukuman penjara empat belas tahun penjara bermula dari tarikh tangkap (7.1.2015) dan 16 sebatan rotan. Dadah yang terlibat dalam kes tersebut ialah dadah yang dijumpai dari dalam poket seluar yang dipakai oleh responden berserta dadah yang dijumpai di bawah kerusi pemandu kereta Suzuki tersebut sewaktu responden ditahan di Jalan Jabor; 10
Subparagraph
(iii) Responden telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
Subparagraph
(iv) Responden telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. [23] Peguam bela responden telah merujuk kepada kes Public Prosecutor v Sharithan a/l Pachemuthu [2000] 5 MLJ 368. Dalam kes ini, tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB atas kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis Heroin (13.5 gram) dan Monoacetylmorphine (4.5 gram) dengan berat keseluruhan 18 gram. Sewaktu perbicaraan, Pendakwa Raya telah mengurangkan pertuduhan kepada kesalahan pemilikan di bawah Seksyen 39A(2) ADB. Tertuduh dalam kes ini mengaku bersalah atas kesalahan pemilikan tersebut dan Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan sepuluh sebatan rotan ke atas tertuduh. [24] Peguam bela yang terpelajar juga menghujahkan bahawa kesalahan dalam kes ini dilakukan dalam satu transaksi dengan kesalahan yang telah disabitkan ke atas responden oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Disebabkan itu, peguam bela menghujahkan bahawa wujud “proximity of time” antara kesalahan-kesalahan tersebut kerana jarak masa antara kesalahan tersebut hanya empat jam sahaja. [25] Peguam bela telah merujuk kepada kes Annantan Subramaniam v PP [2007] 8 CLJ 1. Jeffrey Tan J dalam kes tersebut telah merujuk kepada satu petikan oleh Forster CJ dalam kes Brown v Lynch [1982] 5 Aust Crim R 404, 407 seperti berikut:- 11 “... it has been held that, save in special circumstances, when a number of offences arise from substantially the same act or circumstances or a closesly related series of occurrences, cumulative penalties should not be imposed...” [26] Berdasarkan alasan-alasan di atas, peguam bela yang terpelajar memohon agar hukuman yang akan dijatuhkan terhadap responden bagi kes ini dijalankan serentak dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Hujahan Pendakwa Raya [27] Timbalan Pendakwa Raya menghujahkan bahawa kesalahan yang dilakukan dalam kes ini ialah satu kesalahan yang serius dan kepentingan awam perlu diberi keutamaan. Kes ini juga telah menjalani perbicaraan penuh dari kes pendakwaan hingga kes pembelaan. [28] Timbalan Pendakwa Raya juga menghujahkan bahawa hukuman bagi kes ini hendaklah dijalankan berasingan dengan hukuman empat belas tahun yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana dadah-dadah dijumpai di tempat yang berlainan. Walaupun dadah-dadah tersebut dijumpai dalam jarak masa empat jam, dadah yang terlibat dalam kes ini hanya dijumpai setelah responden disoal siasat di IPD Kemaman. Oleh itu, kesalahan-kesalahan tersebut ialah “distinct” antara satu sama lain. Disamping itu, sekiranya hukuman dijalankan serentak, mesej tentang keseriusan kesalahan ini tidak dapat disampaikan kepada masyarakat. 12 [29] Selain itu, kesalahan dalam kes ini dilakukan oleh responden setelah pindaan dibuat terhadap seksyen 39A(2) ADB. Hukuman penjara maksimum yang diperuntukkan kini ialah tiga puluh tahun. Trend hukuman bagi kes-kes seperti ini yang telah menjalani perbicaraan penuh dengan berat dadah yang lebih kurang sama ialah dua belas, empat belas dan lapan belas tahun. Namun, sewaktu kes-kes tersebut dibicarakan, hukuman penjara maksimum yang diperuntukkan ialah dua puluh tahun sahaja. [30] Atas alasan-alasan tersebut Timbalan Pendakwa Raya memohon agar Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua puluh tahun dan berjalan setelah responden tamat menjalani hukuman empat belas tahun penjara atas sabitan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Keputusan Mahkamah [31] Kuasa Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman telah dinyatakan secara jelas di bawah Subseksyen 173(m)(ii) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KPJ) yang menyatakan seperti berikut:- “(ii) If the Court finds that the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt, the Court shall find the accused guilty and he may be convicted on it and the Court shall pass sentence according to law.” [32] Frasa “sentence according to law” yang digunakan di bawah Subseksyen 173(m)(ii) telah dijelaskan oleh Mohd Azmi J dalam Public 13 Prosecutor v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315 yang menyatakan di muka surat 316 seperti berikut:- “A "sentence according to law" means that the sentence must not only be within the ambit of the punishable section, but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles.” [33] Antara prinsip penghukuman yang mantap ialah pengakuan bersalah seorang tertuduh boleh diambil kira sebagai faktor mitigasi dalam menjatuhkan hukuman (Sau Soo Kim v PP [1975] 2 MLJ 134). Walau bagaimanapun, dalam menjalankan budi bicaranya mahkamah berhak untuk tidak memberikan diskaun kepada tertuduh dalam kes-kes tertentu (Zaidon Shariff v PP [1996] 4 CLJ 441). Antara kes tertentu tersebut ialah kes yang melibatkan kesalahan yang serius. Kesalahan yang serius akan mengatasi kesan mitigasi pengakuan bersalah tertuduh (Lee Hock Seng & Anor v PP [1980] 2 MLJ 13). [34] Dalam kes ini, walaupun responden telah “concede” dengan kesalahan pemilikan, kesalahan tersebut merupakan satu kesalahan yang serius. Bagi kesalahan-kesalahan yang serius, kepentingan awam perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi kepentingan responden. Oleh itu, hukuman berbentuk “deterrence” perlu dijatuhkan kepada responden untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat tentang keseriusan kesalahan pemilikan dadah. [35] Pada hemat kami, hukuman yang dijatuhkan dalam Sharithan a/l Pachemuthu (supra) yang dirujuk oleh peguam bela dan trend hukuman yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya tidak lagi relevan 14 kerana hukuman yang dijatuhkan dalam kes-kes tersebut diputuskan sebelum pindaan dibuat terhadap Seksyen 39A(2) ADB. Hukuman penjara maksimum bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) ADB telah pun dinaikkan daripada dua puluh tahun kepada tiga puluh tahun sewaktu kesalahan kes ini dilakukan. [36] Setelah mempertimbangkan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, kami mendapati hukuman dua puluh tahun penjara dan sepuluh sebatan rotan ialah hukuman yang paling sesuai dan munasabah untuk dijatuhkan terhadap responden. Hukuman ini tidak terlalu “excessive” kepada responden dan tidak juga terlalu “lenient” sehingga boleh mengabaikan kepentingan awam. [37] Bagi isu sama ada hukuman yang dijatuhkan berjalan serentak atau berasingan dengan kesalahan yang telah disabitkan dalam satu kes lain, undang-undang menyatakan bahawa secara amnya setiap hukuman yang dijatuhkan hendaklah berkuat kuasa dari tarikh hukuman tersebut dijatuhkan. Ini diperuntukkan di bawah Subseksyen 282(d) KPJ yang menyatakan seperti berikut:- “(d) every sentence of imprisonment shall take effect from the date on which it was passed unless the court passing the sentence otherwise directs.” [38] Namun, terdapat peruntukan spesifik di bawah KPJ yang terpakai kepada tertuduh yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan. Subseksyen 292(1) KPJ menyatakan seperti berikut:- 15 “(1) When a person who is an escaped convict or is undergoing a sentence of imprisonment is sentenced to imprisonment, such imprisonment shall commence either immediately or at the expiration of the imprisonment to which he has been previously sentenced, as the court awarding the sentence may direct.” [39] Kesan kumulatif Subseksyen 282(d) dan 292(1) KPJ telah dijelaskan oleh Augustine Paul JCA dalam Bachik Abdul Rahman v PP [2004] 2 CLJ 572 iaitu kecuali sekiranya mahkamah yang menjatuhkan hukuman menyatakan sebaliknya, hukuman mula berkuat kuasa dari tarikh hukuman tersebut dijatuhkan. Dalam menentukan sama ada hukuman berjalan serentak atau sebaliknya, Augustine Paul JCA menyatakan di muka surat 579 seperti berikut:- “In deciding whether the terms of imprisonment should be consecutive or commence at another date the court will be guided by the one transaction rule and the totality principle. Pursuant to the one transaction rule where two or more offences are committed in the course of a single transaction all sentences in respect of these offences should be concurrent rather than consecutive (see R v Saleem [1964] Crim LR 482; R v Walsh [1965] Crim LR 248). For there to be one transaction four elements must be present, that is to say, proximity of time, proximity of place, continuity of action and continuity of purpose or design (see Jayaraman & Ors v PP [1979] 2 MLJ 88; 16 Amrita Lal Hazra v Emperor 42 Cal 957; Chin Choy v PP [1955] MLJ 236).” [40] Dalam kes ini, dadah yang dijumpai daripada responden di Jalan Jabor ialah hasil daripada serbuan yang dibuat oleh SP5 dan anggota IPD Kemaman. Hasil soal siasat SP5 terhadap responden telah membawa kepada penemuan dadah di rumah sewa responden. Kesemua ini berlaku dalam tempoh empat jam dari waktu responden ditangkap di Jalan Jabor dan dadah ditemui di rumah sewanya. Berdasarkan jarak masa tersebut, kami mendapati terdapat “proximity of time” antara kesalahan bagi dadah yang ditemui di Jalan Jabor dan dadah yang ditemui di rumah sewa responden. [41] Selain itu, sekiranya hukuman dua puluh tahun tersebut dijalankan berasingan iaitu setelah responden tamat menjalani hukuman empat belas tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, responden akan menjalani hukuman penjara selama tiga puluh empat tahun. Jumlah keseluruhan hukuman penjara yang akan dijalani oleh responden akan melebihi had maksimum tiga puluh tahun penjara yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39A(2) ADB. [42] Oleh yang demikian, kami bersetuju dengan hujahan peguam bela bahawa kesalahan memiliki dadah dalam kes ini dilakukan dalam satu transaksi yang sama dengan kesalahan yang telah disabitkan terhadap responden oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Oleh itu, hukuman penjara dua puluh tahun tersebut hendaklah berjalan serentak dengan hukuman empat belas tahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu iaitu dari tarikh responden ditangkap (7.1.2015). 17 Kesimpulan [43] Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami berpuas hati bahawa hukuman penjara dua puluh dua tahun dan berjalan serentak dengan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu ialah hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap responden. [44] Oleh itu, kami dengan sebulat suara membenarkan rayuan Pendakwa Raya. Perintah pelepasan dan pembebasan responden oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan dengan responden disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB. Responden dihukum penjara dua puluh tahun dari tarikh tangkap 7.1.2015 dan sepuluh sebatan rotan. t.t. (MOHTARUDIN BIN BAKI) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh pada 11 Oktober 2018 Bagi pihak Perayu: Puan Tengku Intan Suraya binti Tengku Ismail Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bagi pihak Responden: Encik Ibrahim bin Kamaruddin (bersama Puan Noor Zakilah binti Mohamad Isa) Tetuan Ibrahim Kamaruddin & Associates
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.