Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANG KUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: W-05(LB)-607-12/2018 ANTARA
W-05(LB)-607-12/2018
Court of Appeal of Malaysia15 Apr 2019
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ata atau tersirat dan boleh dibuktikan melalui secara nyata atau secara inferens dari keadaan sekeliling dan dari perlakuan mereka-mereka yang terlibat. Seperti dinyatakan dalam Ratanlal & Dhirajlal "The Indian Penal Code; Edisi 32: “In a criminal conspiracy meeting of minds of two or more persons for doing an illegal”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANG KUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: W-05(LB)-607-12/2018 ANTARA
1
1.
2
2.
3
NOR AZMI JAILANI MOHD YUSRI MOHAMED YUSOF ...RESPONDEN-RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur
1
Ali Saifuddin
2
Nor Azmi Jailani
3
Mohd Yusri Mohamed Yusof] KORUM: VERNON ONG LAM KIAT, HMR MOHAMAD ZABIDIN BIN MOHD DIAH, HMR HAS ZANAH BINTI MEHAT, HMR 2 ALASAN PENGHAKIMAN [1] Ini adalah rayuan Pendakwa Raya terhadap keputusan Pesuruhjaya Kehakiman (PK), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden di akhir kes pembelaan dari satu pertuduhan iaitu menjadi pihak kepada satu pakatan jahat yang bertujuan untuk mempromosi keganasan di Malaysia bertentangan dengan Seksyen 130 G (a) Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 120 B (1) Kanun Keseksaan. [2] Pada mulanya ketiga-tiga responden telah dituduh bersama 3 yang lain iaitu Murad Halimuddin Bin Hassan sebagai tertuduh pertama (“OKT1”), Abu Daud Bin Murad sebagai tertuduh kedua (“OKT2”) dan Hadarmani Bin Hashim sebagai tertuduh ke 6 (“OKT6”). [3] Pertuduhan terhadap mereka berbunyi: "Bahawa kamu bersama-sama, antara 30.01.2015 hingga 05.04.2015, di No 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih dalam Daerah Pendang, dalam Negeri Kedah Darul Aman, adalah pihak kepada suatu pakat jahat dan berikutan dengan itu, dan dengan tujuan untuk melakukan pakat jenayah tersebut telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia yang bertentangan dengan seksyen 130 G (a) Kanun Keseksaan dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 120 B (1) Kanun Keseksaan." [4] OKT1 telah mengaku salah atas pertuduhan dan telah dihukum 18 tahun penjara dari tarikh ditangkap. Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga termasuk OKT6 telah minta dibicarakan. Dalam 3 perbicaraan yang dijalankan, OKT2 telah dipanggil sebagai saksi kedua pendakwaan (SP2). [5] Di akhir kes pendakwaan, PK bijaksana mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga. Ketiga-tiga responden telah dipanggil membela diri. Berhubung OKT6, PK bijaksana dapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKT6. Oleh itu OKT6 telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. [6] Di akhir kes pembelaan, PK bijaksana mendapati Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Oleh itu ketiga-tiga responden telah dilepas dan dibebaskan. [7] Tidak berpuas hati dengan keputusan melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden di akhir kes pembelaan, Pendakwa Raya merayu ke Mahkamah ini. Kami mendengar rayuan ini pada 8.4.2019 di mana kami dengan sebulat suara membenarkan rayuan Pendakwa Raya. Keputusan PK bijaksana diketepikan dan diganti dengan ketiga-tiga responden didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan. Kes kemudian ditangguhkan ke 15.4.2019 untuk mendengar mitigasi dan hukuman. [8] Pada 15.4.2019, selepas mendengar mitigasi ketiga-tiga responden, kami menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara berkuat kuasa dari tarikh ditangkap (5.4.2015) atas Responden Pertama; dan masing-masing 8 tahun penjara ke atas Responden Kedua dan Responden Ketiga berkuat kuasa 4 dari tarikh ditangkap (5.4.2015). Kini kami memberi alasan keputusan yang dibuat. Kes Pendakwaan [9] Kes pendakwaan telah disenaraikan dengan panjang lebar oleh PK bijaksana. Secara ringkasnya kes pendakwaan adalah, ketiga-tiga responden bersama dengan tiga yang lain (OKT1, OKT2 dan OKT6) telah bersetuju antara satu sama lain kepada satu pakatan jahat untuk melaksanakan satu misi jihad di Malaysia melalui perbuatan keganasan. [10] Pakatan jahat ini bermula pada 30.1.2015 apabila Abu Daud iaitu OKT2 telah memanggil beberapa orang kawannya datang ke rumah ayahnya iaitu OKT1 di Pendang, Kedah bagi tujuan menziarahi ayahnya yang baru pulang dari Syria. [11] Yang hadir di perjumpaan tersebut adalah OKT1, OKT2, Mohammad Zuhaili bin Md. Zain (SP7), Responden Pertama, Responden Kedua, dan Responden Ketiga. Dalam pertemuan tersebut satu persetujuan dicapai untuk:
a
Merekrut sekurang-kurangnya 20 individu untuk melancar jihad di Malaysia;
b
Mendapatkan senjata bagi tujuan misi jihad; dan
c
Menculik beberapa pemimpin negara sebagai tebusan bagi membebaskan tahanan SOSMA. 5 [12] Berikutan dari perjumpaan di Pendang, Kedah, OKT2 telah membuat satu kumpulan WhatsApp yang dikenali "Fisabillillah" yang dianggotai individu-individu yang hadir di Pendang, Kedah. Tujuannya adalah berbincang untuk merekrut ahli-ahli baru seramai 20 orang bagi misi jihad di Malaysia. Berikutan dari itu, beberapa pertemuan telah diadakan di kalangan ahli-ahli WhatsApp Fisabillillah. Antara pertemuan-pertemuan tersebut adalah: Pertemuan Di Apartment Casamaria, Batu Cave [13] Pada 6.2.2015 jam 1.05 pagi, pertemuan diadakan di sebuah rumah No. B2/12, Taman Samudra Batu Cave (Apartment Casamaria). Mereka-mereka yang hadir adalah OKT2, Basri bin Ahmad (SP3), Mohd Lufti Bin Hussain (SP5), Responden Pertama, Responden Kedua, Responden Ketiga, Mohd Fitri, Mohd Farhan dan Abu Bakar. [14] Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga hadir di perjumpaan atas jemputan OKT2 melalui WhatsApp "Fisabillillah". SP3 dibawa ke perjumpaan oleh Responden Ketiga. SP5 hadir di perjumpaan tersebut atas jemputan Responden Ketiga. Dalam pertemuan itu ada dibincangkan mengenai rancangan menculik Menteri Pertahanan iaitu Hishamudin Tun Hussain dan Menteri Dalam Negeri iaitu Zahid Hamidi. Idea tentang penculikan mereka-mereka ini datang daripada Responden Kedua. [15] Turut dibincangkan ialah usaha merekrut 20 orang yang ingin syahid, membebaskan rakan yang dipenjarakan, membebaskan tahanan SOSMA dan rompakan senjata untuk kegunaan misi jihad. Responden Kedua dan 6 Responden Ketiga turut memberi pendapat mengenai bagaimana untuk mendapatkan atau merompak senjata. Responden Kedua mencadangkan untuk merompak senjata di Kem Hobat manakala Responden Ketiga mencadangkan merompak senjata di Kem Bukit Pinang.1 Pertemuan di Banjaria Court [16] Pertemuan ini dihadiri Anora Frezylah Abdul Rahim (SP4), OKT2, Responden Ketiga, SP3, Mohamad Al Khabil Bin Ilyas (SP6), Mohamad Zuhaili Bin Md Zaini (SP7) Naufal dan Adam. Pertemuan di Banjaria Court ini membincangkan untuk pergi ke Pendang berjumpa ayah OKT2. Di perjumpaan ini, OKT2 sekali lagi bercakap tentang projek penculikan pemimpin negara. Pertemuan di Restoran Mahbut, Bangsar [17] Pertemuan ini dihadiri oleh SP4, OKT2, Amir, Azam, Haris, SP9 dan SP6 dan Responden Pertama. Kehadiran SP4 dalam pertemuan tersebut atas permintaan Responden Pertama. Dalam pertemuan itu OKT2 ada menyatakan beliau mempunyai projek besar iaitu ingin menculik menteri. Pertemuan ini menceritakan tentang misi jihad di Malaysia dan turut membincangkan tentang penculikan pemimpin tinggi negara dan penambahan ahli serta membebaskan tahanan SOSMA. Dalam perbincangan, Responden Pertama ada memberitahu, dia hendak mencari lebih kurang 15 orang untuk tujuan projek itu. 1 CD P20(c) dan transkrip P22 serta keterangan SP 2 dan SP3, SP5 7 Pertemuan di kawasan Pam Air Kg. Pasir [18] Pertemuan ini dihadiri oleh Asmiran Bin Saraman (SP8) Responden Pertama, Responden Ketiga, Zulkifli dan Anas. Dalam pertemuan ini, Responden Pertama memberitahu dia mencari 20 orang untuk berjihad dan mempelawa SP8, Zulkifli dan Anas turut serta. Pertemuan di MH Hotel [19] Pertemuan di MH Hotel di hadiri ahli-ahli OKT2, Responden Pertama, Responden Kedua, Responden Ketiga, OKT6, SP9 (Naufal), Adam, Irfan, Izham, Azam dan Aizam. Tujuan pertemuan ini untuk misi jihad. Walaupun begitu tidak membincang apa-apa. Di sini kesemua mereka di tahan polis. Keputusan PK di Akhir kes Pendakwaan [20] Setelah menghurai dengan panjang lebar elemen-elemen pertuduhan di bawah Seksyen 130 G Kanun Keseksaan PK bijaksana memutuskan di Jilid 1 muka surat 41 Rekod Rayuan: “[38]...Mahkamah ini mendapati dari keterangan SP2 dan dari apa yang dibincangkan dalam audio yang dirakam dalam eksibit P20(c) dan transkrip P22 serta dengan kehadiran T3, T4, T5 dalam beberapa siri pertemuan dengan SP2 mengenai cadangan untuk berjihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin Negara serta mencuri senjata dan dari keterangan SP3, SP4, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP9 mengenai perbincangan perkara yang sama merujuk kepada persetujuan T3 , T4 dan T5 untuk melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang iaitu mempromosi atau menggalakkan suatu perbuatan keganasan. Kehadiran Tertuduh-tertuduh di pertemuan-pertemuan itu dan mengambil 8 bahagian dalam siri-siri perbincangan-perbincangan mengenai cadangan tersebut menunjukkan persetujuan mereka untuk melancarkan jihad di Malaysia membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. [39] Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan SP2 dan saksi-saksi yang lain mengenai perkara-perkara bagi mempromosi atau menggalakkan perbuatan keganasan ini adalah boleh dipercayai dan mereka adalah saksi yang boleh dipercayai." [21] PK bijaksana seterusnya mendapati satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap Responden Pertama, Responden Kedua dan Responden Ketiga dan memerintah ketiga-tiga Responden membela diri. Pembelaan [22] Ketiga-tiga responden telah memberi keterangan bersumpah dan memanggil dua saksi untuk memberi keterangan bagi pihak pembelaan (SD4 dan SD5). Keterangan yang diberi oleh ketiga-tiga responden dan juga SD4 dan SD5 semasa kes pembelaan telah diperturunkan semula oleh PK bijaksana di perenggan 44 hingga perenggan 72 alasan penghakiman beliau di muka surat 41 hingga 56 Jilid 1 Rekod Rayuan. [23] Secara ringkasnya pembelaan ketiga-tiga responden adalah tiada perbincangan di antara mereka dengan OKT2 mahupun dengan OKT1 berhubung pakat jahat bagi mengadakan jihad di Malaysia, menculik pemimpin negara, membebaskan tahanan SOSMA dan merompak senjata di mana-mana kem tentera. Mereka mendakwa tiada pada bila-bila masa ada persepakatan atau mereka memberi persetujuan dengan perkara-perkara yang dicadangkan oleh OKT2. 9 Keputusan PK di Akhir Kes Pembelaan [24] Berdasarkan pembelaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga responden, PK bijaksana memutuskan seperti di Jilid 1 muka surat 65-66 Rekod Rayuan: “[77] Secara keseluruhan melihat semula keterangan SP2 dan dari keterangan T3, T4 dan T5, Mahkamah mendapati bahawa cadangan mengenai jihad, menculik pemimpin, merompak senjata dan melepaskan tahanan jihad merupakan cadangan dari SP2 yang tidak dipersepakati dipersetujui oleh pihak-pihak yang hadir khususnya di perjumpaan di Casamaria. Cadangan yang diutarakan oleh SP2 hanya berdasarkan tanggapan SP2 bahawa mereka-mereka yang hadir itu berminat dengan jihad. Bahkan SP2 sendiri tidak pernah menceritakan dalam keterangan tentang apa sebenarnya yang telah dibincangkan di Pendang bersama ayahnya Hj. Murad. Mahkamah ini percaya bahawa tiada perkara-perkara pakat jahat jenayah seperti yang dikatakan oleh pihak pendakwaan tiada dibincangkan di Pendang. [78] Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan T3, T4 dan T5 serta saksinya konsisten bahawa tidak ada persepakatan atau persetujuan mengenai cadangan yang diutarakan oleh SP2. Di samping itu terdapat di perjumpaan selain daripada perjumpaan di Casamaria tidak ada perbincangan berlaku berhubung cadangan SP2 tersebut. Keterangan SP2 hanya menunjukkan pakatan jahat dan persetujuan berpakat jihat itu hanya antara beliau dengan bapanya Haji Murad yang mana kedua-dua mereka telah mengakuinya.” [25] Seterusnya PK bijaksana mendapati bahawa “jalur pembelaan” ketiga-tiga responden telah menimbulkan keraguan yang munasabah atas 10 kes pihak Pendakwaan. Lantas pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes terhadap ketiga-tiga responden melampaui keraguan yang munasabah. Oleh itu ketiga-tiga responden dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Rayuan [26] Pendakwa Raya menimbulkan 2 isu utama dalam rayuan ini iaitu:
a
YA PK bijaksana terkhilaf apabila menerima jalur pembelaan ketiga-tiga responden yang bersifat penafian tanpa mempertimbangkan kes pendakwaan secara total dan maksimum di akhir kes pembelaan; dan
b
YA PK bijaksana terkhilaf apabila membuat dapatan berdasarkan keterangan yang tidak wujud dan seterusnya menerima keterangan SD4 dan SD5 dan memutuskan bahawa SD4 dan SD5 mengesahkan tiada perbincangan dan persepakatan berlaku dalam perjumpaan yang mereka hadiri. [27] Berhubung isu pertama, hujah Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada dasarnya adalah PK bijaksana telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila di akhir kes pembelaan beliau memutuskan keterangan SP2 hanya menunjukkan pakatan jahat dan persetujuan berpakat jahat itu hanya antara beliau dengan bapanya Haji Murad sedangkan terhadap keterangan jelas saksi pendakwa lain iaitu SP3, SP4, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP9 yang menunjukkan ketiga-tiga responden terlibat sama. 11 [28] TPR seterusnya berhujah sekiranya PK bijaksana menilai kesemua keterangan secara maksimum seperti dikehendaki di bawah Seksyen 182 A Kanun Prosedur Jenayah, maka akan didapati bahawa pembelaan ketiga-tiga responden sekadar penafian kosong semata-mata dan tidak menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. [29] Peguam bela terpelajar bagi ketiga-tiga responden pula berhujah tidak ada pertikaian atau ruang untuk dipertikaikan berhubung prinsip undang-undang yang diguna pakai oleh PK bijaksana dalam membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. Apa yang ditimbulkan oleh TPR dalam rayuan ini adalah berhubung dapatan fakta oleh PK bijaksana yang mendengar perbicaraan. Oleh itu Mahkamah ini seharusnya perlahan dalam campur tangan berhubung apa-apa dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim bicara. [30] Berhubung isu kedua, TPR berhujah bahawa PK bijaksana tersilap apabila memutuskan saksi SD4 dan SD5 mengesahkan tiada perbincangan dan persepakatan berlaku sedangkan keterangan SD4 dan SD5 hanyalah bersifat neutral dan tidak membantu kes pembelaan. Pertimbangan dan Keputusan Mahkamah Ini [31] Mahkamah ini berkesempatan untuk meneliti rekod rayuan termasuk alasan penghakiman oleh PK bijaksana. Setelah mendengar hujah kesemua pihak kami dapati, dengan penuh hormat kepada PK bijaksana, terdapat salah arah yang nyata di pihak PK bijaksana dalam menilai pembelaan ketiga-tiga responden. Akibat dari salah arah ini, PK bijaksana telah tersilap 12 apabila memutuskan pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan justeru itu, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. [32] Sebelum diteruskan dengan perbincangan sama ada pembelaan ketiga-tiga responden boleh dikatakan telah menimbulkan keraguan yang munasabah atau sebaliknya, kami berpendapat elok dinyatakan terlebih dahulu apakah yang mesti dibuktikan oleh pendakwaan dalam kes ini. Dalam kes ini, Pendakwa perlu membuktikan:
a
Responden terlibat dalam satu pakat jahat jenayah; dan
b
Tujuan pakat jahat jenayah tersebut adalah bagi mempromosi satu keganasan di Malaysia. [33] Pakat jahat jenayah pula telah disifatkan berlaku di bawah Seksyen 120 A Kanun Keseksaan apabila dua orang atau lebih bersetuju melakukan atau menyebabkan supaya dilakukan a) suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang; atau b) suatu perbuatan, yang tidak menyalahi undang-undang dengan jalan menyalahi undang-undang. [34] Kesalahan pakat jahat jenayah terbukti sebaik saja ada persetujuan untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang atau yang tidak menyalahi undang-undang dengan jalan menyalahi undang-undang. Dalam kes PP v Khoo Ban Hock 7 Ors [1987] 1 LNS 58: [1988] 2 MLJ 217 di muka surat 221, Mahkamah Tinggi Brunei memutuskan: 13 “Section 120(A) is also drafted in plain ordinary language. It is clear on the plain and ordinary meaning of that language and on principle and on authority, although there is no authority in Brunei, that by its nature a criminal conspiracy within the section is a continuing offence from the time when two or more agree to the purpose until the time when they cease to agree. By this, I mean that all the ingredients of the offence will be present once the parties agree (the very gist of the offence) and the offence will have been committed, but it is not concluded. The offence continues to be committed as long as the parties continue to agree to carry out the plot. Further, the parties may agree in one place and continue to agree in another, although this will depend on the evidence. Therefore, in order to prove the commission of the offence, it is necessary for the prosecution to prove that at the material time and, more importantly, for these purposes at the material place, the parties were agreeing to do the illegal act.” [35] Dalam membuktikan pertuduhan, pihak pendakwaan tidak berkewajipan untuk membuktikan bahawa setiap ahli dalam pakat jahat jenayah itu perlu mengetahui secara terperinci berhubung pakat jahat jenayah berkenaan. Sama ada perbuatan-perbuatan menyalahi undang-undang tersebut adalah objektif utama perlakuan jenayah itu atau hanya secara sampingan kepada objektif itu adalah tidak penting. Seperti mana dijelaskan dalam kes Saju v State of Karala (2001) 1 SCC 378 di muka surat 383: “7. To prove the charge of criminal conspiracy the prosecution is required to establish that two or more persons had agreed to do or caused to be done, an illegal act or an act which is not legal, by illegal means. It is immaterial whether the illegal act is the ultimate object of such crime or is merely incidental to that object. To attract the applicability of Section 120-B it has to be proved that all the accused had the intention and they had agreed to commit the crime. There is no doubt that conspiracy is hatched in private 14 and in secrecy for which direct evidence would rarely be available. It is also not necessary that each member to a conspiracy must know all the details of the conspiracy.” [36] Mahkamah Agung India dalam kes Firozuddin bin Basheeruddin & Ors v State of Karala [2001] 73 LRIU 1 juga ada menjelaskan: “23. Like most crimes, conspiracy requires an act (actus reus) and an accompanying mental state (mens rea). The agreement constitutes the act, and the intention to achieve the unlawful objective of that agreement constitutes the required mental state. In the face of modern organised crime, complex business arrangements in restraint of trade, and subversive political activity, conspiracy law has witnessed expansion in many forms. Conspiracy criminalizes an agreement to commit a crime. All conspirators are liable for crimes committed in furtherance of the conspiracy by any member of the group, regardless of whether liability would be established by the law of complicity. To put it differently, the law punishes conduct that threatens to produce the harm, as well as conduct that has actually produced it. Contrary to the usual rule that an attempt to commit a crime merges with the completed offence, conspirators may be tried and punished for both the conspiracy and the completed crime. The rationale of conspiracy is that the required objective manifestation of disposition to criminality is provided by the act of agreement. Conspiracy is a clandestine activity. Persons generally do not form illegal covenants openly. In the interests of security, a person may carry out his part of a conspiracy without even being informed of the identity of his co-conspirators. Since an agreement of this kind can rarely be shown by direct proof, it must be inferred from circumstantial evidence of co-operation between the accused. What people do is, of course, evidence of what lies in their minds. To convict a person of conspiracy, the prosecution must show that he agreed with others that together they would accomplish the unlawful object of the conspiracy.” 15 [37] Persetujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah itu pula boleh dibuat secara nyata atau tersirat dan boleh dibuktikan melalui secara nyata atau secara inferens dari keadaan sekeliling dan dari perlakuan mereka-mereka yang terlibat. Seperti dinyatakan dalam Ratanlal & Dhirajlal "The Indian Penal Code; Edisi 32: “In a criminal conspiracy meeting of minds of two or more persons for doing an illegal act is sine qua non but proving this by direct proof is not possible. Hence conspiracy and its objective can be inferred from the surrounding circumstances and conduct of the accused.” [38] Berbalik kepada rayuan ini, sepertimana disebut di awal penghakiman, di akhir kes pendakwaan PK bijaksana telah mendapati saksi pendakwa SP2 dan saksi-saksi pendakwaan yang lain serta keterangan-keterangan yang diberi oleh mereka boleh dipercayai. Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan ini dan dari apa yang dibincangkan dalam audio yang dirakam dalam eksibit P20(c) dan transkrip P22, PK bijaksana mendapati ketiga-tiga Responden hadir dalam beberapa siri pertemuan dengan SP2 berhubung cadangan untuk berjihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. Terdapat persetujuan di pihak ketiga-tiga Responden untuk melancarkan jihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. Dapatan oleh PK bijaksana berhubung perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam alasan penghakiman di Jilid 1 muka surat 41 Rekod Rayuan: “[38]...Mahkamah ini mendapati dari keterangan SP2 dan dari apa yang dibincangkan dalam audio yang dirakam dalam eksibit P20(c) dan transkrip 16 P22 serta dengan kehadiran T3, T4, T5 dalam beberapa siri pertemuan dengan SP2 mengenai cadangan untuk berjihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata dan dari keterangan SP3, SP4, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP9 mengenai perbincangan perkara yang sama merujuk kepada persetujuan T3 , T4 dan T5 untuk melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang iaitu mempromosi atau menggalakkan suatu perbuatan keganasan. Kehadiran Tertuduh-tertuduh di pertemuan-pertemuan itu dan mengambil bahagian dalam siri-siri perbincangan-perbincangan mengenai cadangan tersebut menunjukkan persetujuan mereka untuk melancarkan jihad di Malaysia membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. [39] Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan SP2 dan saksi-saksi yang lain mengenai perkara-perkara bagi mempromosi atau menggalakkan perbuatan keganasan ini adalah boleh dipercayai dan mereka adalah saksi yang boleh dipercayai." [39] Walaupun begitu, setelah mendengar keterangan Responden Pertama, Responden Kedua, Responden Ketiga dan dua lagi saksi pembelaan (SD4 dan SD5), PK bijaksana telah membuat keputusan bahawa cadangan mengenai jihad, menculik pemimpin, merompak senjata dan melepaskan tahanan jihad merupakan cadangan dari SP2 semata-mata dan tidak ada persepakatan atau persetujuan mengenai cadangan yang diutarakan oleh SP2. PK bijaksana juga mendapati, pakat jahat dan persetujuan pakat jahat itu hanya antara SP2 dengan bapanya iaitu Haji Murad. PK bijaksana membuat keputusan ini berdasarkan keterangan ketiga-tiga responden yang secara konsisten mendakwa bahawa tidak ada persepakatan atau persetujuan mengenai cadangan yang diutarakan oleh SP2 dan keterangan SP2 sendiri hanya menunjukkan pakat jahat dan persetujuan pakat jahat itu hanya antara SP2 dengan bapa dia Haji Murad. 17 [40] Setelah keterangan saksi-saksi diteliti, kami dapati, dengan segala hormat kepada PK bijaksana, bahawa PK bijaksana telah tersilap apabila hanya dengan bergantung atas keterangan ketiga-tiga responden yang mendakwa tiada persepakatan atau persetujuan mengenai cadangan yang diutarakan oleh SP2 dan tanpa menilai keterangan saksi lain yang jelas membuktikan sebaliknya telah memutuskan tidak terdapat persetujuan dan persepakatan antara ketiga-tiga Responden bersama SP2 untuk berjihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. [41] Kami dapati sekiranya PK bijaksana menilai kesemua keterangan yang ada seperti mana diperlukan di bawah Seksyen 182 A Kanun Prosedur Jenayah kami yakin PK bijaksana sudah semestinya akan mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga Responden hanyalah berbentuk penafian dan tidak langsung boleh menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan yang melalui keterangan SP3, SP4, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP9 telah membuktikan sememangnya terdapat persetujuan dan persepakatan antara ketiga-tiga Responden bersama SP2 untuk berjihad di Malaysia, membebaskan tahanan SOSMA, menculik pemimpin negara serta mencuri senjata. [42] Antara keterangan-keterangan yang dimaksudkan adalah keterangan berikut:
i
Keterangan SP3 (Jilid 2A, muka surat 80, 82) iaitu salah seorang dari saksi yang PK bijaksana telah dapati sebagai seorang saksi yang boleh dipercayai menyatakan dalam 18 perjumpaan di sebuah rumah di Batu Cave SP2 bercakap tentang dia hendak mencolek orang kenamaan dan membuat satu serangan dan bebaskan tahanan SOSMA. Ada dibincangkan rompakan senjata dan idea rompakan senjata ini datang dari Responden Ketiga (Yusri Mohamed Yusof). Idea untuk menculik orang kenamaan juga telah diutarakan oleh Responden Kedua (Nor Azmi Jailani);
II
(ii) Keterangan SP4 (Jilid 2A, muka surat 93) seorang lagi saksi yang PK bijaksana telah dapati boleh dipercayai menunjukkan semasa perjumpaan di Restoran Mahbut, Responden Pertama (Ali Saifuddin) ada memberitahu dia hendak mencari seramai lebih kurang 15 orang untuk satu projek besar iaitu mencolek VVIP;
III
(iii) Keterangan SP5 (di Jilid 2A, muka surat 102-103) juga seorang saksi yang PK bijaksana dapati seorang saksi yang boleh dipercayai, menunjukkan semasa pertemuan di sebuah apartment di Batu Cave yang menunjukkan terdapatnya perbincangan untuk menubuhkan IS Malaysia, penculikan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Dato' Seri Hishammudin. Responden Kedua dan Responden Ketiga hadir dalam pertemuan ini dan Responden Ketiga ada memberitahu Abu Daud mahukan 20 orang;
IV
(iv) Keterangan SP6 (Jilid 2A, muka surat 111-113; 113, 115, 118); juga seorang saksi yang didapati boleh dipercayai oleh PK bijaksana menyatakan semasa perjumpaan di Restoran 19 Mahbut, Bangsar Responden Pertama (Ali Saifuddin) yang mengatakan bahawa hendak berjihad di sini. Semasa perbincangan di restoran di Batu Cave pula Responden Pertama mencadangkan para kenamaan di bawa ke Thailand. Semasa perjumpaan di MH Hotel Responden Pertama mencadangkan untuk membeli senjata dari kongsi-kongsi gelap. SP6 juga dalam keterangannya mengatakan bahawa Responden Pertama telah mengatakan untuk merompak pistol daripada SP6 semasa SP6 sedang bertugas. Selain daripada itu, SP6 mengatakan bahawa Responden Kedua memerlukan 5 orang yang betul-betul berani untuk merompak kem tentera;
v
Keterangan SP7 (di Jilid 2A, muka surat 128) juga seorang saksi yang didapati boleh dipercayai oleh PK bijaksana menyatakan beliau hadir bersama di Pendang bersama ketiga-tiga responden dan terdapat perbincangan berkenaan cara berjihad dengan Haji Murad. Apabila Haji Murad bertanya Responden Pertama “berapa orang kamu dah ada” Responden Pertama menjawab beliau telah kumpul 20 orang;
VI
(vi) Keterangan SP8 (di Jilid 2 muka surat 139, 141) menunjukkan semasa di kawasan pam air Kg. Pasir, Responden Pertama ada bercerita untuk mencari 20 orang untuk berjihad dan Responden Pertama ada bertanya kepada SP8, Zulkifli dan Anas untuk turut serta berjihad. SP8 juga mengatakan semasa perjumpaan di kedai makan Tomyam, di Batu Cave, Responden Pertama lebih banyak 20 menyokong ucapan Abu Daud. Apabila di akhir ucapan, SP2 ada tanya seorang demi seorang setuju atau tidak. Ada kata perlu istikharah, tetapi Responden Pertama telah berkata dalam bab jihad tidak perlu istikharah kerana itu adalah jalan betul; dan
VII
(vii) Keterangan SP9 (Jilid 2A, M.S 148 dan 149) pula menunjukkan semasa perjumpaan di Restoran Tom Yam di Batu Cave SP2 menjelaskan rancangan penculikan yang akan dilakukan oleh Responden Kedua dan Responden Ketiga. [43] Selain dari itu terdapat keterangan melalui P22 iaitu transkrip audio berhubung perbincangan di rumah di Batu Cave di mana perkara berhubung pakat jahat ada dibincangkan. Mengikut keterangan SP2, yang PK bijaksana dapati seorang saksi yang boleh dipercayai, ketiga-tiga responden turut serta dalam perbincangan ini. Malah ketiga-tiga responden turut mengakui bahawa terdapat suara-suara dalam P22 itu merupakan suara mereka. [44] Sekiranya semua keterangan di atas oleh saksi-saksi pendakwa diambil kira, kami berpendapat dakwaan oleh ketiga-tiga responden bahawa tidak terdapat persefahaman atau persetujuan semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk mendapati pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah. Seperti dinyatakan dalam kes PP v Saimin & Ors [1971] 2 MLJ 16: “The following definition of “reasonableness is often quoted:- 21 “It is not mere possible doubt, because everything relating to human affairs and depending upon moral evidence is open to some possible or imaginary doubt. It is that state of the case which after the entire comparison and consideration of all the evidence leaves the minds of the jurors in that condition that they cannot say they feel an abiding conviction to a moral certainty of the truth of the charge. It has again been said that "reasonable doubt" is the doubt which makes you hesitate as to the correctness of the conclusion which you reach. If under your oath and upon your consciences, after you have fully investigated the evidence and compared it in all its parts, you say to yourself I doubt if he is guilty, then it is a reasonable doubt. It is a doubt which settles in your judgment and finds a resting place there. Or as sometimes said, it must be a doubt so solemn and substantial as to produce in the minds of the jurors some uncertainty-as to the verdict to be given. A reasonable doubt must be a doubt arising from the evidence or want of evidence and cannot be imaginary doubt or conjecture unrelated to evidence." [45] Setelah keseluruhan keterangan pembelaan dikaji berserta dengan keterangan lain yang ada, kami bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya terpelajar bahawa pembelaan ketiga-tiga responden hanyalah bersifat penafian semata-mata dan dapatan PK bijaksana bahawa jalur pembelaan ketiga-tiga responden telah menimbulkan keraguan berhubung terdapatnya persefahaman dan persepakatan dalam pakat jahat adalah bertentangan dengan keterangan jelas yang ada. [46] Dalam membuat keputusan bahawa pembelaan telah menimbulkan keraguan berhubung terdapatnya persepakatan dan persefahaman pakat jahat, PK bijaksana selain bergantung atas penafian ketiga-tiga responden turut mengambil kira keterangan SD4 dan SD5 yang kononnya 22 mengesahkan tiada perbincangan dan persepakatan berlaku dalam perbincangan yang dihadiri SD4 dan SD5. [47] Setelah keterangan SD4 dan SD5 diteliti, kami bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya bahawa keterangan SD4 dan SD5 ini adalah bersifat neutral dan tidak membantu kes pembelaan. Keterangan SD4 (jilid 2B muka surat 378-384) boleh disimpulkan seperti berikut:
a
SD4 mengenali Responden Pertama dan Responden Kedua;
b
Responden Kedua dalam satu pasukan dengan SD4 dalam tentera;
c
SD4 berjumpa Responden Pertama di kedai tom yam dan berbual berkenaan agama;
d
Responden Kedua tidak pernah berbincang dengan SD4 mengenai menculik pemimpin, merompak senjata atau melepaskan tahanan SOSMA; dan
e
SD4 tidak tahu apa yang Responden Pertama dan Responden Kedua bincang dalam restoran tersebut. Dan keterangan SD5 (Jilid 2B, muka surat 385-392) pula sekadar mengesahkan beliau mengenali Responden Pertama. Kali pertama beliau berjumpa Responden Pertama adalah di Restoran Mahbut di mana yang hadir ialah Naufal, Abu Naim, Sleve AL Kubroa dan Abu Daud. Pada masa Abu Daud tanya siapa hendak mati syahid, SD5 berkata semua hendak mati syahid tapi macam mana? Abu Daud memberitahu mahu mencari 20 orang 23 mujahidin yang sanggup mati syahid. SD5 kurang memberi tumpuan kepada perbincangan itu. Responden Pertama menceritakan tentang kerjanya. Kemudian mereka berjumpa lagi di Banjaria Apartmen di mana Abu Daud membuka cerita berhubung projek colek VVIP untuk pertukaran tahanan SOSMA. Ada berjumpa di MH Hotel tetapi telah pulang awal. [48] Kami dapati keterangan SD4 dan SD5 yang mana kononnya mengesahkan tiada perbincangan dan persepakatan berlaku dalam perbincangan yang dihadiri SD4 dan SD5 sebenarnya hanyalah bersifat neutral dan tidak menyokong pembelaan. PK bijaksana tersilap bila memutuskan SD4 dan SD5 mengesahkan tiada perbincangan dan persepakatan berlaku dalam perbincangan yang dihadiri SD4 dan SD5. Rumusan [49] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami dapati terdapat merit dalam rayuan Pendakwa Raya. Kami dapati keputusan PK bijaksana yang dapati pembelaan ketiga-tiga responden telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung ujudnya persefahaman dan persetujuan oleh ketiga-tiga responden dalam pakat jahat seperti dalam pertuduhan adalah bertentangan dengan keterangan yang ada. Keterangan yang ada jelas menunjukkan pendakwaan telah membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga responden melampaui keraguan yang munasabah. Berikutan dari itu kami membenarkan rayuan. Keputusan PK bijaksana diketepikan dan diganti dengan ketiga-tiga responden didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan yang ada. Hukuman 24 [50] Sebelum memutuskan hukuman sesuai yang harus dijatuhkan, kami telah meminta ketiga-tiga responden mengemukakan mitigasi masing-masing. Peguam bela bijaksana bagi Responden Pertama memaklumkan antara lain, Perayu pertama berumur 32 tahun. Masa ditangkap berumur 28 tahun. Mempunyai seorang isteri berumur 42 tahun, dua anak. Anak pertama berumur 6 tahun. Anak kedua 4 tahun. Sebelum ditahan dia bekerja dengan pendapatan RM2,000.00 sebulan untuk menanggung keluarga termasuk seorang ibu tua berumur 70 tahun. Sekarang isteri terpaksa bekerja untuk menanggung keluarga. [51] Responden Kedua pula memberitahu dia kini berumur 32 tahun. Sebelum ditangkap berkhidmat sebagai anggota tentera sejak 2005. Seorang anggota cemerlang tanpa rekod disiplin. Terlibat misi keluar negara. Bapa seorang pesara tentera dan ibu seorang suri rumah. [52] Responden Ketiga berusia 33 tahun. Ini kesalahan pertama. Sudah berkahwin. Mempunyai seorang anak berumur 4 tahun. Sebelum ditangkap dia seorang anggota tentera. Semasa dalam tentera, tidak pernah ada masalah disiplin. [53] Timbalan Pendakwa Raya pula memohon hukuman penjara selama 25 tahun dikenakan ke atas ketiga-tiga responden atas alasan kesalahan yang dilakukan mereka adalah kesalahan berat dan telah menjalani satu perbicaraan penuh. 25 [54] Setelah kami menimbang faktor mitigasi yang dikemukakan dan juga apa yang dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya kami menjatuhkan hukuman seperti berikut:
i
Responden Pertama: Penjara 12 tahun dari tarikh ditangkap (5.4.2015);
II
(ii) Responden Kedua: Penjara 8 tahun dari tarikh ditangkap (5.4.2015); dan
III
(iii) Responden Ketiga: Penjara 8 tahun dari tarikh ditangkap (5.4.2015). [55] Kami menjatuhkan hukuman tersebut setelah mengambil kira ketiga-tiga responden adalah pihak kepada suatu pakat jahat dan telah bersetuju antara satu sama lain untuk mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia yang bertentangan dengan seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan. Kesalahan yang dilakukan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 120 B
1
Kanun Keseksaan. [56] Pakat jahat yang dilakukan mereka adalah untuk melakukan kesalahan di bawah 130G(a) iaitu satu kesalahan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun. Kesalahan ini berada dalam bab VI A Kanun Keseksaan iaitu kelompok kesalahan berkaitan dengan pengganas. Apakah pendekatan yang harus diambil dalam menentu hukuman yang sesuai dalam kes-kes seperti ini ada disentuh oleh Mahkamah ini dalam kes PP v Muamar Gadafi Mohamad Shafawi [2-17] 1 LNS 516: 26 “[13] Perlu diperhatikan s.130F ini terletak dalam kategori perbuatan di bawah tajuk "Supression of terrorist acts and support for terrorist acts" dan dalam kelompok kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan yang tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda. Kesalahan ini merupakan satu bentuk kesalahan yang setahap lebih serius daripada kesalahan biasa kerana aktiviti keganasan (terrorism) menimbulkan tahap ketakutan (fear) yang secara mutlak melebihi kebimbangan atau kecemasan yang bersangkutan dengan kesalahan biasa. Selain itu, hukuman yang diperuntukkan itu bertujuan untuk membendung perbuatan yang berbahaya ini daripada berulang. Tujuan yang mendasari peruntukan kesalahan ini hendaklah diambil kira dalam menjatuhi hukuman bagi pelanggaran kesalahan ini." [57] Berbalik kepada rayuan ini, seperti dinyatakan pada awal alasan ini, terdapat dua lagi tertuduh iaitu tertuduh Murad Halimudin dan Abu Daud yang dituduh bersama ketiga-tiga responden di Mahkamah Tinggi. Mereka telah mengaku salah dan telah dijatuhkan hukuman 18 tahun penjara bagi tertuduh Murad Halimudin dan 12 tahun bagi Abu Daud. Kedua-dua mereka telah merayu ke Mahkamah ini dan hukuman yang dikenakan telah disahkan oleh Mahkamah ini.2 [58] Mengambil panduan dari kes-kes di atas dan melihat kepada jenis kesalahan yang mereka telah bersepakat untuk melakukan dan penglibatan masing-masing dalam pakatan tersebut kami dapati hukuman 12 tahun bagi Responden Pertama adalah sesuai dan munasabah. Berbanding dengan Responden Pertama, penglibatan Responden Kedua dan Responden Ketiga adalah kurang mendalam dalam pakatan jahat yang dilakukan. Dalam 2 Murad Halimudin Hassan & Anor v PP [2018] 1 LNS 992 27 keadaan sedemikian kami berpendapat hukuman 8 tahun adalah sesuai dan munasabah. Bertarikh 6.12.2019 t.t MOHAMAD ZABIDIN BIN MOHD DIAH Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia Mewakili Perayu: TPR Jasmee Hameeza binti Jaafar TPR Mohd Zain bin Ibrahim TPR Muhammad Azmi bin Mashud Jabatan Peguam Negara Mewakili Responden Pertama: Syahredzan Johan Louis Liaw [Tetuan Ramrais & Partners] Mewakili Responden Kedua: Farida Mohammad [Tetuan Farida & Company] Mewakili Responden Ketiga Quratulain Atiqah bt Norzahirul Anuar [Tetuan Chambers of Naim Atiqah]
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.