Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(LB)-31-01/2016 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU
B-05(LB)-31-1/2016
Court of Appeal of Malaysia4 Dec 2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“uat inferens berkaitan alat-alat tersebut mempunyai kaitannya dengan dadah dalam beg P20A yang menjadi pertuduhan terhadap perayu tidak mempunyai merit (rujuk kes: Public Prosecutor v Denish Madhavan [2009] CLJ 209, Nagalingam a// Vellupillay v Public Prosecutor [2015] 3 MLJ 92 CA). Mahkamah ini bersetuju bahawa dapata”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(LB)-31-01/2016 ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU
2
RAJA JAMIL BIN RAJA AHMAD ... RESPONDEN PERTAMA ... RESPONDEN KEDUA [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45A-103-05/2013, 45A-104-05/2013, 45A-105-05/2013, 45-106-05/2013 & 45-107-05/2013 Dalam Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor Antara
1
Badrul Hisham bin Jatin
2
Raja Jamil bin Raja Hamid Yang diputuskan oleh Yang Arif Hakim Dato' Haji Ghazali bin Haji Chadi Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 27 November 2015]. DIDENGAR BERSAMA DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-62-02/2016 ANTARA RAJA JAMIL BIN RAJA HAMID ... PERAYU DAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45A-05/2013 Dalam Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor Antara Pendakwa Raya Dan Raja Jamil bin Raja Hamid Yang diputuskan oleh Yang Arif Hakim Dato' Haji Ghazali bin Haji Chadi Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 29 Januari 2016]. CORAM: ZAKARIA BIN SAM, HMR YAACOB BIN HAJI MD. SAM, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR PENGHAKIMAN MAHKAMAH Pendahuluan [1] Terdapat dua rayuan, iaitu Rayuan Jenayah No. B-05(LB)-31-01/2016 oleh Pendakwa Raya dan Rayuan Jenayah No. B-05(M)-62-02/2016 oleh Raja Jamil bin Raja Hamid, yang didengar secara bersama oleh Mahkamah ini. [2] Kami merujuk dahulu kepada Rayuan Jenayah No. B-05(LB)-31-01/2016. Pada 27 November 2015, YA Hakim Mahkamah Tinggi, di akhir kes pendakwaan, telah melepas dan membebaskan Responden Pertama (Badrul Hisham bin Jatin) dan Responden Kedua (Raja Jamil bin Raja Hamid) tanpa pembelaan diri dipanggil terhadap pertuduhan dalam Perbicaraan Jenayah No. 45A-103-05/2013, Perbicaraan Jenayah No. 45A-104-05/2013, Perbicaraan Jenayah No. 45-106-05/2013 dan Perbicaraan Jenayah No. 45-107-05/2013. [3] Pendakwa Raya yang tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut telah membuat rayuan kepada Mahkamah ini melalui Notis Rayuan bertarikh 10 Disember 2015. [4] Kami merujuk pula kepada Rayuan Jenayah No. B-05(M)-62-02/2016. Pada 29 Januari 2016, YA Hakim Mahkamah Tinggi telah mendapati perayu, iaitu Raja Jamil bin Raja Hamid bersalah, mensabitkan perayu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap perayu. [5] Perayu, Raja Jamil bin Raja Hamid yang tidak berpuas hati terhadap sabitan dan hukuman telah membuat rayuan kepada Mahkamah ini melalui Notis Rayuan bertarikh 29 Januari 2016. [6] Pada 4 Disember 2017, Mahkamah ini telah mendengar rayuan Pendakwa Raya bagi Rayuan Jenayah No. B - 05(LB) - 31 - 01/2016. Mahkamah ini telah membatalkan rayuan Pendakwa Raya yang berkaitan dengan Responden Pertama (Badrul Hisham bin Jatin) kerana notis bicara masih gagal dibuat serahan bagi kali kelapan terhadap Responden Pertama. Bagi rayuan yang berkaitan dengan Responden Kedua (Raja Jamil bin Raja Hamid), Mahkamah ini telah mendengar rayuan dan memutuskan menolak rayuannya. Keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan tanpa pembelaan diri dipanggil terhadap Responden Kedua di akhir kes pendakwaan dikekalkan. [7] Bagi Rayuan Jenayah No. B-05(M)-62-02/2016, Mahkamah ini telah mendengar rayuan perayu dan memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Pertuduhan di Mahkamah Tinggi [9] Pertuduhan-pertuduhan di Mahkamah Tinggi, yang telah dibicarakan dan didengar secara bersama, adalah seperti berikut:
a
Terhadap Responden Pertama dan Responden Kedua: Perbicaraan Jenayah No. 45A - 103 - 05/2013 Bahawa kamu bersama-sama pada 8 Jun 2012, jam lebih kurang 7.00 malam, di alamat No. 16-2B, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengedar dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat 1056 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan. Perbicaraan Jenayah No. 45A - 104 - 05/2013 Bahawa kamu bersama-sama pada 8 Jun 2012, jam lebih kurang 7.00 malam, di alamat No. 16-2B, Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat
1
57 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
b
Terhadap Perayu (Raja Jamil bin Raja Hamid): Perbicaraan Jenayah No. 45A - 105 - 05/2013 Bahawa kamu pada 8 Jun 2012, jam lebih kurang 7.00 malam, di alamat No. 16-2B, Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengedar dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat 363.4 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39(B)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
c
Terhadap Responden Pertama (Badrul Hisham bin Jatin) Perbicaraan Jenayah No. 45A-106-05/2013 Bahawa kamu pada 8 Jun 2012, jam lebih kurang 7.00 malam, di alamat No. 16-2B, Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat 194.2 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A (2) Akta yang sama. Perbicaraan Jenayah No. 45A-107-05/2013 Bahawa kamu pada 8 Jun 2012, jam lebih kurang 7.00 malam, di alamat No. 16-2B, Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis cannabis dengan berat 7.92 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. [10] Berdasarkan pertuduhan-pertuduhan yang telah dibutirkan terdahulu, dan pembatalan rayuan terhadap Responden Pertama, maka rayuan di hadapan Mahkamah ini ditumpukan kepada Perbicaraan Jenayah No. 45A- 103 - 05/2013 dan Perbicaraan Jenayah No. 45A - 104 - 05/2013 yang melibatkan Responden Kedua (Raja Jamil bin Raja Hamid) dan Perbicaraan Jenayah No. 45A - 105 - 05/2013 yang melibatkan perayu sahaja (Raja Jamil bin Raja Hamid). Kes Pendakwaan [11] Secara ringkas, kes pendakwaan ialah seperti berikut. Pada 8.6.2012, jam lebih kurang 7.00 petang, Insp. Mohd Yusof Mahidin (SP4) bersama sama sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya telah pergi ke sebuah rumah di alamat seperti dalam pertuduhan. [12] Setiba di pintu hadapan rumah, SP4 mendapati pintu dalam keadaan tertutup dan berkunci. Setelah pintu diketuk beberapa kali, Responden Pertama (Badrul Hisham) telah membuka pintu. SP4 memperkenalkan diri sebagai polis dan memberitahu tujuan kedatangannya. Ketika memasuki rumah, SP4 melihat ada seorang lelaki yang sedang berdiri dalam bilik di bahagian kiri rumah. SP4 pergi kepada lelaki tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis. Lelaki itu ialah Mohd Nizam bin Yahya (SP3). SP4 seterusnya membuat pemeriksaan fisikal terhadap Responden Pertama (Badrul Hisham) dan SP3. Tiada apa-apa barang salah ditemui daripada tubuh badan Responden Pertama dan SP3. Pun begitu, SP4 telah menggari Responden Pertama dan SP3. [13] Ketika memasuki rumah tersebut, SP4 juga mengarahkan DSM Palaniandy a/l Muniandy (SP6) supaya pergi memeriksa bilik kedua sebelahkanan rumah. SP6 mendapati perayu (Raja Jamil bin Raja Hamid) berada dalam bilikkanan tersebut. SP6 memperkenalkan diri dan menggari perayu. [14] Seterusnya, SP4 mengumpulkan Responden Pertama, perayu dan SP3 di ruang tamu rumah dan membacakan kata-kata amaran di bawah seksyen 37(1)(b) Akta Dadah Berbahaya,1952 (ADB) dan membuat soal siasat. [15] Sebaik di soal siasat, Responden Pertama telah membawa SP4 ke sebuah mesin basuh di ruang dapur rumah (gambar P10 (10) dan (11)). Responden Pertama menunjuk kepada satu kotak putih (P28) yang terdapat di tepi mesin basuh. SP4 telah membuka kotak tersebut dan mendapati dalamnya mengandungi dua paket plastik yang setiap satu mengandungi paket-paket kecil berisi dadah disyaki ganja, iaitu P16A (1-9) dan P17A (1-10). Dadah tersebut kemudiannya disahkan oleh ahli kimia sebagai cannabis seberat 194.2 gram (yang menjadi pertuduhan terhadap Responden Pertama di bawah Perbicaraan Jenayah No. 45A-106-05/2013). [16] Di bahagian atas mesin basuh tersebut, SP4 menjumpai satu kotak lain (P19A) yang mengandungi 1 bungkusan surat khabar 'Harian Metro' (P19B) berisi dadah, yang kemudiannya disahkan oleh ahli kimia sebagai cannabis seberat 1056 gram (yang menjadi pertuduhan terhadap Responden Pertama dan perayu di bawah Perbicaraan Jenayah No. 45A-103-05/2013). [17] Seterusnya, SP4 telah membawa perayu ke bilik sebelah kanan, iaitu bilik di mana SP6 menangkap perayu. Perayu telah mengambil sebuah beg hitam (P20A) dari bawah katil dan menyerahkan kepada SP4. SP4 mendapati kandungan beg tersebut ialah dadah, yang kemudiannya disahkan oleh ahli kimia sebagai cannabis seberat 353.4 gram (yang menjadi pertuduhan terhadap perayu di bawah Perbicaraan Jenayah No. 45A-105-06/2013). Dari bawah katil yang sama, SP4 turut menjumpai sebuah beg (P41) berisi alat-alatan, iaitu 3 bilah pisau (P44, P45, P46), papan alas pemotong (P43), dan sampul surat kosong. [18] Seterusnya, SP4 meneruskan pemeriksaan dengan memeriksa bilik sebelah kiri rumah. Di bilik ini, SP4 telah menjumpai:
i
satu majalah 'Lagenda Satria 224' (P24A) di atas lantai bilik di mana pada bahagian muka surat tengah majalah terdapat dadah, yang kemudiannya disahkan oleh ahli kimia sebagai cannabis seberat 1.57 gram (yang menjadi pertuduhan terhadap Responden Pertama dan perayu di bawah Perbicaraan Jenayah No. 45A-104-05/2013);
II
(ii) sehelai jaket (P29) berisi dadah, yang kemudiannya disahkan oleh ahli kimia sebagai cannabis seberat 7.92 gram (yang menjadi pertuduhan terhadap Responden Pertama di bawah Perbicaraan Jenayah No. 45-107-05/2013);
III
(iii) 1 beg jenama 'Kaufmann' (P33) di atas lantai mengandungi dokumen-dokumen atas nama Responden Pertama. [19] Setelah selesai pemeriksaan dan rampasan dadah terlibat, SP4 telah membawa Responden Pertama, perayu dan SP3 ke IPD Ampang Jaya dan membuat serahan tangkapan serta barang kes kepada pegawai penyiasat, Insp. Tansil bin Mering (SP7). SP4 juga menyerahkan kepada SP7 dua orang lagi lelaki lain yang ditangkap oleh anggota pasukan SP4 di kawasan hadapan restoran yang terdapat di bawah rumah tempat kejadian. [20] Ahli Kimia, Norhaya binti Jaafar (SP2) yang telah melakukan analisis ke atas dadah tersebut, mengesahkan dadah tersebut ialah cannabis, iaitu dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB. SP2 turut mengemukakan laporan kimia beliau (P15). Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pendakwaan [21] Di akhir kes pendakwaan, YA Hakim Bicara, telah memutuskan seperti berikut (muka surat 34-38 Rekod Rayuan Jilid 1): "28. Jika diteliti, kesemua dadah tersebut kecuali yang berada di dalam beg (P20A) adalah berada di tempat yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja yang memasuki premis tersebut, walaupun dihujahkan bahawa dadah-dadah yang dijumpai dalam bilik kiri hanya boleh diakses oleh penghuni bilik itu sahaja, tetapi kehadiran SP3 di dalam bilik tersebut walaupun ketiadaan OKT 1 (Responden Pertama) menunjukkan bahawa pengunjung-pengunjung ke rumah tersebut bebas untuk akses kepada segenap ruangan rumah tersebut.
29
Mengenai beg hitam (P20A) yang dijumpai di bawah katil di dalam bilik di mana OKT 2 (perayu) ditangkap, keterangan menunjukkan pada masa SP4 membaca kata-kata amaran kepada semua tahanan, iaitu OKT 1, SP3 dan OKT 2, tangkapan adalah 'complete', ketiga-tiga mereka telah digari, maka pengakuan yang dibuat dalam keadaan tersebut adalah tidak boleh diterima dari segi kerelaan pengakuan tersebut. Keterangan SP3 menafikan kata-kata amaran tersebut ada dibacakan oleh SP4.
30
SP7 (pegawai penyiasat) juga telah gagal untuk menyiasat apa-apa cap jari ke atas beg dan barang kes yang berada di dalamnya. SP7 juga gagal menghantar barang-barang kes yang lain seperti pisau, papan, paket-peket plastik untuk pengesanan cap jari atau ujian profil DNA, isu yang serupa juga terpakai kepada sehelai jaket yang ditemui di dalam bilik kiri premis tersebut.
31
TPR terpelajar juga menghujahkan bahawa SP4 turut menjumpai dokumen-dokumen peribadi OKT 2 (perayu) di dalam beg eksibit P20A, hujah TPR ialah bukti-bukti dokumen ini menunjukkan bahawa OKT 2 memiliki beg-beg yang berisi dadah tersebut juga.
32
Mengenai hujah ini, saya mendapati ada meritnya, menurut SP4 beliau menjumpai satu kad Maybank, geran kenderaan dan insuran di atas nama OKT 2. Beg 20A telah dikatakan telah ditunjukkan sendiri oleh OK 2 kepada SP4. Saya bersetuju dengan hujah TPR terpelajar bahawa sekiranya beg P20A tersebut kepunyaan orang lain tidak mungkin akan terdapat dokumen-dokumen di atas nama OKT 2 di dalamnya malah keterangan SP4 juga turut disokong oleh SP6 yang berada bersama-sama SP4 ketika pemeriksaan dijalankan.
33
Keterangan ini memberikan satu inferen bahawa beg tersebut serta kandungannya adalah milik OKT 2 dan OKT 2 sememangnya mengetahui kehadiran dadah tersebut di dalam beg P20A tersebut. Pendakwaan boleh menggunakan peruntukan seksyen 37(d) ADB 1952 terhadap OKT 2.
34
Seterusnya memandangkan jumlah dadah yang banyak dijumpai di dalam beg P20A juga membolehkan mahkamah ini membuat anggapan bahawa dadah tersebut bukanlah untuk kegunaan sendiri tetapi adalah untuk pengedaran. Rujuk kes Ong Ah Chuan v PP dan Koh Chai Cheng v PP [1981] 1 MLJ 64.
34A
Penemuan peralatan seperti pisau pemotong, papan alas untk memotong paket-paket plastik juga menjurus kepada pengedaran.
35
Berdasarkan kepada asas-asas ini, OKT 2 didapati mengedar dadah tersebut di bawah seksyen 2 ADB 1952.
36
Setelah saya membuat penilaian maksima terhadap fakta-fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, saya berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKT 1 terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.
37
Manakala OKT 2 juga dibebaskan dan dilepaskan kepada semua pertuduhan yang dihadapinya, kecuali terhadap pertuduhan eksibit P4 di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952, iaitu mengedar dadah jenis cannabis seberat 363.4 gram, OKT 2 dipanggil dengan ini untuk membela diri terhadap pertuduhan eksibit P4." Rayuan Terhadap Keputusan Membebas Dan Melepaskan Responden Pertama dan Responden Kedua [22] Sebelum Mahkamah ini membincangkan kes rayuan perayu bagi sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh YA Hakim Bicara, adalah sesuai Mahkamah ini memberikan alasan terhadap keputusan Mahkamah ini menolak rayuan oleh pihak Pendakwa Raya. [23] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar menghujahkan bahawa kedua-dua Responden Pertama dan Responden Kedua (perayu) mempunyai milikan dan kawalan serta pengetahuan ke atas dadah yang ditemui dalam kotak P19A yang terletak di atas mesin basuh dan dalam majalah (P24A) yang ditemui dalam bilik kiri rumah tersebut. TPR terpelajar menghujahkan jenis dadah yang ditemui di bilik kedua di mana Responden Kedua ditangkap adalah sama jenis dengan dadah yang dijumpai dalam P19A dan P24A. TRP terpelajar juga menghujahkan ketika pemeriksaan hanya Responden Pertama dan Responden Kedua sahaja berada dan menghuni rumah tersebut. TPR juga menghujahkan dua anak kunci (P38A & P38B) bagi rumah tersebut telah dirampas oleh SP4 dari atas meja di ruang tamu dan telefon bimbit Responden Pertama dan Responden Kedua juga berada di atas meja tersebut (P29 dan P30). TPR menghujahkan SP3 datang ke rumah tersebut untuk memanjangkan jemputan kahwin kepada Responden Pertama. SP3 bukan penghuni rumah tersebut dan tiada pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai. [24] TPR terpelajar selanjutnya menghujahkan berkaitan dadah yang ditemui oleh SP4 dalam kotak di tepi mesin basuh (P28) dan dalam poket sehelai jaket (P29) dalam bilik kiri, Responden Pertama mempunyai milikan dan kawalan serta pengetahuan ke atas dadah tersebut kerana dadah dalam P28 dijumpai hasil daripada maklumat Responden Pertama kepada SP4 ketika ditanya setelah amaran diberikan oleh SP4. TPR terpelajar juga menghujahkan bahawa jaket P29 adalah milik Responden Pertama. [25] Mahkamah ini telah meneliti keterangan oleh SP3 dan SP5. SP3 mengatakan dia tidak tahu berapa ramai yang menghuni rumah tersebut kerana pada lawatan terakhir SP3 ke rumah tersebut beberapa bulan sebelum tarikh kejadian, SP3 melihat ramai orang yang keluar masuk rumah tersebut. SP5 Chan Won Low, pula mengatakan rumah tempat kejadian telah disewakan oleh bapanya sebelum bapa SP5 meninggal dunia. SP5 tidak pernah bertemu penyewa. Wang bayaran sewaan dibuat secara memasukkan ke dalam akaun SP5 dan tiada sewaan yang tertunggak. SP3 tidak tahu siapakah yang membuat bayaran sewaan. Bil elektrik (P37) adalah atas nama SP5 dan bayaran bil elektrik dibuat oleh penyewa. [26] YA Hakim bicara dalam keputusan beliau telah menimbangkan dengan panjang lebar terhadap elemen milikan dan kawalan bagi dadah yang ditemui di P28, P19B, P24A dan P29 (lihat muka surat 16-25 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara memutuskan terdapat keraguan terhadap penghunian rumah dan akses ke atas rumah tersebut yang tidak dapat dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Hakim Bicara juga memutuskan terdapat keraguan tentang siapa penyewa sebenar rumah tersebut. YA Hakim Bicara juga memutuskan bahawa jaket P29 tidak dapat dibuktikan sebagai milik Responden Pertama kerana tiada usaha diambil untuk ujian profil DNA ke atas P29 tersebut dan tiada keterangan lain yang dapat mengaitkan jaket P29 dengan Responden Pertama. Hakim Bicara juga tidak menerima keterangan pengakuan dan maklumat yang dikatakan diberikan oleh Responden Pertama kepada SP4 bagi dadah yang ditemui dalam P28 setelah beliau memutuskan menerima keterangan SP3 bahawa SP3 tidak ada mendengar kata-kata amaran dibacakan oleh SP4 kepada Responden Pertama dan Responden Kedua. [27] Mahkamah ini tidak mendapati Hakim Bicara telah menyalaharahkan dirinya dalam menilai keterangan dan keputusan berkaitan dadah di P28, P19A, P24A dan P29. Dadah dalam P28 yang terletak di tepi mesin basuh dan P19B yang terletak di atas mesin basuh berada di ruang bebas, iaitu dapur yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang berada atau datang ke rumah tersebut. Dadah yang terdapat dalam majalah P24A dan jaket P29 dijumpai oleh SP4 dalam bilik kiri yang mana ketika SP4 masuk ke rumah tersebut terdapat SP3 dalam bilik tersebut. Responden Kedua pula berada dalam bilik kanan ketika SP4 memasuki rumah tersebut. Justeru itu, tiada keterangan yang dapat mengaitkan Responden Kedua dengan dadah dalam P24A. Tiada keterangan juga yang dapat mengaitkan Responden Pertama dengan dadah dalam jaket P29. Identiti penyewa rumah tempat kejadian tidak dapat dibuktikan. Keterangan juga tidak dapat mengecualikan akses oleh orang lain ke atas ruang di mana dadah dalam P28, P19A, P24A dan P29 ditemui. [28] Justeru itu, Mahkamah ini memutuskan rayuan oleh pihak Pendakwa Raya terhadap keputusan Hakim Bicara melepas dan membebaskan tanpa pembelaan diri dipanggil terhadap Responden Pertama dan Responden Kedua tidak mempunyai merit dan ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan. Pembelaan Perayu [30] Perayu menafikan mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas dadah yang ditemui oleh SP4 dalam beg P20A yang berada di bawah katil bilik kanan rumah. Perayu mengatakan semasa ketibaan SP4, perayu berada di ruang tamu rumah. Perayu mengatakan bahawa perayu tidak tinggal di rumah tersebut khususnya di bilik kanan dan perayu hanya datang ke rumah tersebut dari masa ke semasa kerana ada “perjumpaan Iqra’ dan Al-Quran” di rumah tersebut. Perayu mengatakan rumah tersebut disewa oleh seorang bernama Abdul Manan bin Daud yang telah meninggal dunia. Perayu mengatakan pada hari kejadian, perayu datang ke rumah tersebut pada sebelah tengah hari. Perayu mengatakan sebaik SP4 masuk, SP4 telah mengarahkan perayu, Badrul Hisham (Responden Pertama) dan SP3 digari. Perayu seterusnya mengatakan dokumen-dokumen atas nama perayu seperti buku bank (P30), geran kenderaan (P31) dan 'cover note' insuran (P32) dan kad pesara tentera (P58) diletakkan oleh perayu dalam satu bekas plastik di atas pembakar roti yang terletak di atas peti sejuk dalam rumah tersebut dan dibawa oleh perayu bagi urusan tukar milik motor untuk diuruskan oleh seorang bernama Abu Zar bin Daud. Dengan kata lain, perayu mengatakan dokumen P30, P31, P32 dan P54 tidak ditemui oleh SP4 dari dalam beg P20A, iaitu beg di mana dadah yang menjadi pertuduhan ke atas pengadu. Perayu juga mengatakan rumah tersebut kerap dikunjungi oleh orang lain seramai 30 hingga 40 orang untuk datang ke kelas mengaji lqra'. Dapatan Dan Keputusan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan [31] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara telah membuat dapatan berikut (muka surat 39-46 Rekod Rayuan Jilid 1): "Penemuan Mahkamah
10
Selepas saya meneliti pembelaan bersumpah OKT 2 ini dan setelah saya meneliti kembali keterangan saksi-saksi pendakwaan, kesimpulan-kesimpulan berikut dapat dibuat, berdasarkan kepada penemuan-penemuan fakta, iaitu:
a
OKT 2 tidak menafikan bahawa beliau ditangkap ketika berada di bilikkanan rumah tersebut secara bersendirian.
b
Kedua-dua buah beg, satu berisi dadah dan satu lagi berisi peralatan seperti pisau, papan pemotong dan lain-lain, juga dijumpai di dalam bilik di mana OKT 2 sedang berehat.
c
Jumlah dadah yang dijumpai di dalam beg P20A juga adalah banyak, iaitu 363.4 gram, yang mana boleh dianggap bukanlah untuk kegunaan sendiri, akan tetapi adalah untuk diedarkan, tambahan pula ia dibungkus dalam paket-peket kecil yang sedia untuk dijual (rujuk kepada kes Ong Ah Chuan v Public Prosecutor dan Koh Chai Cheng v PP [1981] 1 MLJ 64.)
11
Secara amnya saya bersetuju dengan hujah peguambela yang mengatakan bahawa premis ini boleh diakses oleh ramai orang, bagaimana pun ketika serbuan dilakukan oleh SP4 dan pasukannya, tiada terdapat orang lain di dalam premis tersebut kecuali OKT 2 dan OKT 1 serta SP3. Keterangan ini dengan sendirinya menolak keterangan membela diri OKT 2 yang mengatakan premis tersebut sering dikunjungi oleh 30-40 orang luar untuk kelas mengaji dan Iqra'. Lagipun waktu, ketika serbuan dilakukan sudah hampir masuk waktu maghrib, yang mana, seandainya premis itu untuk digunakan sebagai tempat pengajian dan Iqra', maka sudah tentulah terdapat pengunjung-pengunjung yang datang untuk solat berjemaah di sana sebelum kelas pengajian dimulakan.
12
Mengenai isu kegagalan pihak pendakwaan memanggil 2 orang lain yang ditangkap di luar rumah tersebut saya berpendapat, hak untuk memanggil saksi adalah hak mutlak pihak pendakwaan, melalui seksyen 134 Akta Keterangan 1950 menyebutkan berikut: 'No particular number of witnesses shall in any case be required for the proof of any fact.' [32] Seterusnya di muka surat 43-44 Rekod Rayuan Jilid 1, YA Hakim Bicara memutuskan: "18. Mengenai beg P20A yang dipertikaikan, di mana telah dibuktikan dadah seberat 363.4 gram dijumpai di dalamnya, OKT 2 mengatakan beliau hanya merujuk kepada P20A secara rambang apabila didesak oleh pihak polis untuk menunjukkan di mana dadah tersebut disimpan, saya berpendapat, berdasarkan kepada fakta-fakta kes, di dalam bilik tersebut hanya terdapat 2 beg sahaja, iaitu P20A dan sebuah beg yang berisi pisau pemotong dan papan pemotong dan alat-alat yang lain, saya merujuk kepada gambar P10 (No.6) yang menunjukkan tidak terdapat banyak beg di dalam bilik tersebut. Juga melalui keterangan SP4, yang mengatakan beg P20A telah dijumpai di bawah katil di dalam bilik di mana OKT 2 di tangkap, keterangan SP4 seterusnya adalah: 'Di sana ada sebuah beg bertulis 17 Summit, OKT 2 tarik beg itu dan buka dan diserahkan kepada saya 3 envelope.' 'Saya pun periksa beg itu dan ada satu plastik biru, di dalamnya ada satu ketul tumbuhan kering yang dibalut dengan plastik, selain itu ada kad Maybank, geran kenderaan insurance cover note atas nama OKT 2.'.
19
Berdasarkan kepada keterangan-keterangan ini, saya berpendapat keterangan membela diri OKT 2 adalah satu pembelaan setelah memikirkan semula atau 'afterthought'. Pembelaan OKT 2 yang mengatakan dokumen P30, P31 dan P32 adalah tidak berada di dalam P20A tetapi sebenarnya berada di atas pembakar roti di luar bilik. Keterangan ini telah tidak ditimbulkan pada mana-mana saksi-saksi pendakwaan semasa kes pendakwaan, lagipun pembelaan ini, pada pendapat saya adalah tidak masuk akal dan tidak munasabah. Saya merujuk kepada kes Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212 (Federal Court)." [33] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati perayu bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan dan dihukum dengan hukuman mati. Rayuan Perayu [34] Dalam Petisyen Rayuan yang difailkan oleh perayu, perayu telah memberikan sejumlah 8 alasan rayuan bagi mencabar keputusan YA Hakim Bicara tersebut. [35] Walau bagaimana pun, ketika pendengaran rayuan ini, peguambela terpelajar memberitahu Mahkamah ini bahawa perayu hanya mengemukakan satu isu sahaja, iaitu sama ada sabitan terhadap perayu oleh Hakim Bicara berdasarkan pengedaran secara langsung atau peruntukan anggapan pengedaran. Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa tahap beban pembelaan terhadap perayu akan berbeza sekiranya sabitan ke atas perayu dibuat berdasarkan pengedaran di bawah seksyen 2 yang hanya memerlukan perayu menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan berbanding dengan beban pembuktian atas imbangan kebarangkalian (balance of probabilities) sekiranya sabitan perayu berdasarkan peruntukan anggapan di bawah seksyen 37(da) ADB. Peguambela perayu merujuk kepada kes Abou Sylla v Public Prosecutor [2017] 1 LNS 1278 dalam menyokong hujahnya. [36] Peguambela terpelajar juga menghujahkan bahawa dapatan Hakim Bicara yang membuat inferens mengaitkan 3 pisau (P44, P45, P46), papan alas pemotong (P43) dan alatan lain yang semuanya terdapat dalam beg P41 dengan perayu dan pengedaran dadah dalam beg P20A adalah bertentangan dengan keterangan. Peguambela juga menghujahkan tidak terdapat sebarang keterangan bersifat 'overt act' oleh perayu bagi mewajarkan Hakim Bicara mengguna pakai seksyen 2 ADB terhadap perayu. [37] Mahkamah ini telah meneliti keterangan dalam rekod untuk memastikan sama ada Hakim Bicara telah tersalah arah dirinya dalam membuat dapatan dan keputusan. Keterangan menunjukkan beg P20A dibawa keluar oleh perayu dari bawah katil bilik kanan di mana perayu ditangkap sebelumnya oleh SP6 dan diserahkan kepada SP4. Perayu telah membawa keluar tiga envelop daripada beg P20A dan menyerahkan kepada SP4. Envelop pertama mengandungi 10 ketulan dadah (cannabis) yang dibalut dengan plastik lut sinar (P17 (A1-A10). Dalam envelop kedua terdapat 5 ketulan dadah (cannabis) yang dibaluti dengan plastik lut sinar (P20C (1-5). Envelop ketiga pula mengandungi 7 ketulan dadah (cannabis) yang dibaluti dengan plastik lut sinar (P20D (1-7). Dalam beg P20A ini juga terdapat buku akaun Maybank (P30), geran pendaftaran kenderaan (P31) dan cover note insurans (P32), kesemuanya atas nama perayu. Pihak pembelaan tidak membuat apa-apa cabaran terhadap SP4 berkaitan penemuan P30, P31 dan P32 daripada beg P20A tersebut. [38] Di bawah katil bilik kanan, SP4 juga telah menjumpai satu beg (P41) yang mengandungi 3 pisau (P44, P45, P46), papan alas pemotong (P43), envelop kosong (P42), 1 pembaris besi (P51), pita pelekat (P47), batu pengasah pisau (P48), 1 stapler dan dawai kokot (P49 & P50). Pihak pembelaan juga tidak membuat cabaran terhadap SP4 berkaitan tempat jumpaan alat-alat ini. [39] Dalam menimbangkan pembelaan perayu yang mengatakan P31 dan P32 diletakkan oleh perayu di atas pembakar roti di luar bilik dan bukan dijumpai oleh SP4 dari dalam beg P20A, Hakim Bicara telah menolak pembelaan tersebut atas alasan pihak pembelaan tidak ada membuat sebarang cabaran terhadap SP4 berkaitan penemuan P31 dan P32 tersebut (lihat muka surat 43 Rekod Rayuan Jilid 1). Mahkamah ini tidak mendapati Hakim Bicara menyalah arahkan dirinya dalam dapatan tersebut. [40] Dalam menimbangkan isu penemuan alat-alat dari dalam beg P41, Hakim Bicara memutuskan seperti berikut (muka surat 43 Rekod Rayuan Jilid 1: "18. Mengenai beg P20A yang dipertikaikan, di mana telah dibuktikan seberat 363.4 gram dijumpai di dalamnya, OKT 2 mengatakan beliau hanya merujuk kepada P20A secara rambang apabila didesak oleh pihak polis untuk menunjukkan di mana dadah tersebut disimpan, saya berpendapat, berdasarkan kepada fakta-fakta kes, di dalam bilik tersebut hanya terdapat 2 beg sahaja, iaitu P20A dan sebuah beg yang berisi pisau pemotong dan papan pemotong dan alat-alat yang lain, saya merujuk kepada gambar P10 (No.6) yang menunjukkan tidak terdapat banyak beg di dalam bilik tersebut. Juga melalui keterangan SP4, yang mengatakan beg P20A telah dijumpai di bawah katil di dalam bilik di mana OKT 2 ditangkap...". [41] Dalam perkara pisau, papan alas untuk memotong paket-paket kecil plastik, dapatan oleh Hakim Bicara telah dibuat pada peringkat kes pendakwaan lagi, sepertimana yang terdapat di muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1: "34A. Penemuan peralatan seperti pisau pemotong, papan alas untuk memotong paket-paket kecil plastik juga menjurus kepada pengedaran." [42] Mahkamah ini tidak mendapati Hakim Bicara tersalah arah dirinya dalam membuat dapatan tersebut yang telah dibuat berdasarkan keterangan kes secara keseluruhan. Justeru, hujahan peguambela terpelajar bahawa Hakim Bicara khilaf dalam membuat inferens berkaitan alat-alat tersebut mempunyai kaitannya dengan dadah dalam beg P20A yang menjadi pertuduhan terhadap perayu tidak mempunyai merit (rujuk kes: Public Prosecutor v Denish Madhavan [2009] CLJ 209, Nagalingam a// Vellupillay v Public Prosecutor [2015] 3 MLJ 92 CA). Mahkamah ini bersetuju bahawa dapatan fakta oleh Hakim Bicara tersebut mempunyai asas dan sokongan. [43] Dalam isu beban pembuktian, Mahkamah ini dapati keputusan Hakim Bicara adalah jelas semasa memutuskan perayu dipanggil membela diri. Di muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1, YA Hakim Bicara membuat dapatan di akhir kes pendakwaan: "35. Berdasarkan kepada asas-asas ini, OKT 2 didapati mengedar dadah tersebut di bawah seksyen 2 ADB 1952.". [44] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim Bicara memutuskan (muka surat 46 Rekod Rayuan Jilid 1): "26. Akhir sekali saya berpuashati mendapati bahawa pembelaan OKT 2 telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
27
Saya juga berpuashati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap OKT 2.". [45] Mahkamah ini tidak mendapati Hakim Bicara tersalah arah dirinya dalam isu beban pembuktian tersebut. Dapatan oleh Hakim Bicara ialah pengedaran dadah secara langsung di bawah seksyen 2 ADB 1952 dan beban pembelaan adalah hanya untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Tidak terdapat apa-apa kekeliruan untuk perayu mengatakan Hakim Bicara khilaf atau tidak pasti berkaitan dapatan dan beban pembuktian yang terpakai. Justeru, Mahkamah ini dapati hujahan peguambela terpelajar dalam perkara ini tidak mempunyai merit. Kesimpulan [46] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggui keputusan Hakim Bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat. [47] Justeru, Mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. (YAACOB BIN HAJI MD. SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh 15 Januari 2018 (Rayuan Jenayah No. B-05(LB)-31-01/2016): Peguamcara bagi pihak perayu Jasmee Hameeza binti Jaafar Timbalan Perdakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Aras 5, Blok 4G7, No. 45, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya Peguamcara bagi pihak Responden Kedua Fahri Azzat (Ameerul Aizat bersama beliau) Tetuan Fahri & Co. Peguambela dan Peguamcara No. 15-2, Jalan PJU 7/16A Mutiara Damansara 47800 Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan Rayuan Jenayah No. B-05(M)-62-02/2016): Peguamcara bagi pihak perayu Fahri Azzat (Ameerul Aizat bersama beliau) Tetuan Fahri & Co. Peguambela dan Peguamcara No. 15-2, Jalan PJU 7/16A Mutiara Damansara 47800 Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan Peguamcara baqi pihak Responden Nik Syahril Nik Abd Rahman Timbalan Perdakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Aras 5, Blok 4G7, No. 45, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.