/akn/my/judgment/court-of-appeal/2018/b02919f5-898f-4c8d-9761-b7168d764c7a
Court of Appeal of Malaysia10 Oct 2018B-05(H)-471-10/2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“10.1 PP v Guanachandran Kathvarel [2018] MYCA 304 – Diputuskan pada 2.7.2018. Hukuman penjara 7 tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun;”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05(H)-471-10/2017 ANTARA PENDAKWA RAYA … PERAYU DAN ARDI (W/INDONESIA) [NO. PASSPORT: B4679234] … RESPONDEN (Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45SO-67-12/2016) Antara Pendakwa Raya Lawan Ardi (W/Indonesia) KORUM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR ABDUL KARIM BIN ABDUL JALIL, HMR RHODZARIAH BINTI BUJANG, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Ini adalah rayuan oleh Pendakwa Raya terhadap perintah hukuman Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) iaitu penjara 3 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkap dan denda RM20,000.00 (jika gagal bayar penjara 1 tahun) sebagai “manifestly inadequate.” Kami telah mendengar rayuan ini dan memutuskan sebulat suara bahawa rayuan dibenarkan. Hukuman HMT diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara selama sepuluh (10) tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan. Denda jika sudah dibayar hendaklah dipulangkan. [2] Pertuduhan: (rujuk m.s. 5 RR Jld. 3) “Bahawa kamu pada 20.11.2016 pada jam lebih kurang 10.05 malam di hujung muara Sungai Selangor, Taman Alam, di dalam daerah Kuala Selangor dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah menjalankan penyeludupan migran iaitu dua puluh lima (25) orang warganegara asing (16 warganegara Bangladesh dan 9 warganegara Somalia) sepertimana di Lampiran B, dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.” Hukuman: Penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh juga didenda. [3] Responden telah mengaku bersalah serta faham akibat pengakuannya. Fakta kes yang diakui benar adalah seperti berikut:
section
3.1 Responden dalam kes ini telah dituduh di bawah pertuduhan iaitu pada 20.11.2016, jam lebih kurang 10.05 malam di hujung muara Sungai Selangor, Taman Alam, di dalam daerah Kuala 3 Selangor dalam Negeri Selangor telah menjalankan penyeludupan migran iaitu dua puluh lima (25) orang warganegara asing (16 warganegara Bangladesh dan 9 warganegara Somalia) dan dengan itu Responden telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007;
section
3.2 Tangkapan Responden adalah susulan daripada beberapa tangkapan migran yang dibuat oleh pasukan Imigresen. Tangkapan pertama melibatkan 16 orang warganegara Bangladesh dan 4 orang warganegara Somalia di Hutan Paya Bakau, Taman Alam, Kuala Selangor. Kesemua warga asing ini ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 5(2) dan seksyen 6(a)(c) Akta Imigresen 1959/63;
section
3.3 Seterusnya, tangkapan kedua melibatkan 5 orang warganegara Somalia beserta seorang kanak-kanak dan 2 orang lelaki warganegara Indonesia di Hutan Paya Bakau, Taman Alam, Kuala Selangor. Bagi warganegara Somalia, ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63. Manakala bagi 2 lelaki warganegara Indonesia telah ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 26A Akta ATIPSOM;
section
3.4 Susulan daripada kedua-dua tangkapan tersebut, pasukan Imigresen yang diketuai oleh TPPI Rasul bin Jasin telah 4 mendapat maklumat berkenaan dengan Responden yang merupakan suspek utama yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut. Pasukan operasi seterusnya telah pergi dan menjalankan pemeriksaan ke sebuah pusat urut yang beralamat di 86 Foot Reflexology, No. 25 Jalan Rhu 1, Taman Rhu, 45000 Kuala Selangor dan telah menahan dan menangkap Responden;
section
3.5 Seterusnya 16 orang migran warganegara Bangladesh dan 4 orang warganegara Somalia telah dituduh di bawah seksyen 5(2) dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 22.12.2016. Manakala 4 migran wanita warganegara Somalia telah diusir ke negara asal;
section
3.6 Rakaman deposisi terhadap 25 migran tersebut di bawah seksyen 61A Akta ATIPSOM pada 23, 24 dan 28.4.2017 juga telah diambil di Mahkamah Majistret Kuala Selangor. Mengikut rakaman deposisi migran, migran-migran ini mengecam Responden sebagai lelaki Indonesia yang berurusan dengan ejen daripada Somalia;
section
3.7 Tangkapan ke atas Responden ini juga dibuat susulan dari maklumat dan keterangan daripada seorang Pegawai Imigresen Kanan iaitu Mohamad Faizol Khan bin Mat Zin yang ditugaskan untuk menjadi penyamar di dalam kes ini dan berurusan dengan Responden. Pegawai ini telah menyamar menjadi “Tekong Bot” 5 bernama “Abang Din” dan telah dijanjikan upah oleh Responden sebanyak RM350.00 bagi seorang migran yang diseludup;
section
3.8 Seterusnya pada 20.11.2016, jam lebih kurang 8.00 malam ke 11.00 malam, Pegawai Penyamar ini telah ditugaskan oleh Responden untuk bersedia di Hutan Paya Bakau, Taman Alam, Kuala Selangor untuk menguruskan berkenaan dengan bot-bot yang membawa warganegara Bangladesh dan Somalia. Pegawai Penyamar turut ditugaskan oleh Responden untuk menyediakan rumah tumpangan yang dijadikan tempat untuk menyimpan warganegara asing ini. [4] Rayuan-rayuan meringankan hukuman:
section
4.1 Responden berumur 39 tahun, ada 4 orang anak, ada yang bersekolah;
section
4.2 Responden bekerja di Indonesia sebagai pekedai runcit dengan pendapatan Rp1.4 juta;
section
4.3 Responden tidak ditangkap bersama dengan migran tetapi di tempat lain. Peguam Responden kemukakan pernyataan daripada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai peranan yang dimainkan oleh Responden dan kemukakan juga deposisi semua migran. Penama 1-16 (Bangladesh) tidak dapat camkan Responden, hanya yang dari Somalia dapat mengecamkan 6 Responden. Peranan yang dimainkan oleh Responden adalah minimum;
section
4.4 Pengakuan salah Responden menjimatkan masa;
section
4.5 Dua (2) lagi Responden telah mengaku salah sebelum ini dan didenda 3 tahun penjara dan RM20,000.00 atau 1 tahun penjara;
section
4.6 Responden daripada keluarga yang susah. [5] Hujahan Timbalan Pendakwa Raya untuk hukuman berat:
section
5.1 Diakui ini adalah kesalahan pertama Responden mengikut rekod;
section
5.2 Pohon hukuman setimpal atas alasan-alasan berikut:
section
5.2.1 Kepentingan awam;
section
5.2.2 Pertuduhan ini adalah berat dan serius. Kebanjiran warganegara asing tidak terkawal;
section
5.2.3 Kesalahan ini diletak di bawah SOSMA iaitu berkait dengan keselamatan negara; 7
section
5.2.4 Walaupun Responden tidak ditangkap dengan migran, tetapi Responden membantu menguruskan perjalanan mereka yang tidak sah; dan
section
5.2.5 Responden memainkan peranan yang aktif dalam kes ini. [6] Setelah mendengar hujah-hujah, Timbalan Pendakwa Raya mewakili Perayu dan Peguam Responden, kami sebulat suara memutuskan bahawa rayuan ini mempunyai merit, justeru kami bersependapat membenarkan rayuan. Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) tidak menyediakan alasan penghakiman beliau, kami meneliti semula sama ada HMT tersalah arah dirinya. Kami mendapati HMT adalah khilaf dan tersalah arah dirinya dalam menjatuhkan hukuman. Alasan kami adalah seperti berikut:
section
6.1 Hukuman maksima adalah 15 tahun penjara dan denda atau kedua-duanya. Daripada fakta kes yang diakui benar adalah jelas menunjukkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Hukuman penjara 3 tahun dari 15 tahun maksima adalah jelas tidak memadai (manifestly inadequate). Manakala hukuman denda RM20,000.00, jika tidak dibayar, 12 bulan penjara adalah tidak bersesuaian memandangkan keseriusan fakta kes. Apatah lagi daripada perbuatan itu, Responden telah mendapat keuntungan wang, maka hukuman denda bukanlah satu pengajaran;
section
6.2 Daripada fakta kes juga terdapat penglibatan ejen Penyamar Sulit. Ini menunjukkan betapa sukar untuk menembusi jenayah 8 terancang Responden. Responden ditangkap ketika sedang berehat di rumah urut dan bukan bersama migran. Malah 16 migran dari Bangladesh tidak mengecam Responden, hanya migran dari Somalia yang mengecam Responden;
section
6.3 Kesalahan adalah amat serius, ianya menjadi ancaman keselamatan negara. Responden sebagai rakyat Indonesia sepatutnya menghormati kedaulatan negara Malaysia. Jumlah migran yang terlibat dari negara luar seramai 25 orang adalah satu jumlah yang besar. Menurut Penyamar Sulit, beliau akan dibayar RM350.00 bagi setiap migran oleh Responden. Ini satu jumlah perdagangan yang besar dan serius;
section
6.4 Penglibatan ejen Penyamar Sulit yang menggadai nyawa amat dihargai. Mahkamah sepatutnya seiringan dengan Jabatan Imigresen untuk menangani masalah ini dengan keras dan berkesan. [7] Hujah Peguam Responden bahawa pengakuan bersalah Responden seharusnya dapat meringankan hukuman (diskaun). Kami menolak hujah ini. Prinsip diskaun dalam kes-kes pengakuan bersalah bukanlah muktamad, ianya bergantung kepada keseriusan kesalahan yang dilakukan. Daripada fakta kes, adalah jelas prinsip diskaun tidak terpakai dalam rayuan ini. [8] Faktor kemiskinan Responden juga tidak dapat diberikan pertimbangan. Ramai orang yang miskin tetapi tidak melakukan kesalahan 9 yang amat serius seperti kes ini. Peranan yang dilakukan oleh Responden adalah peranan aktif sebuah sindiket penyeludupan migran ke Malaysia. Lambakan migran akan mendatangkan banyak masalah kepada negara sama ada dari segi politik, sosial dan ekonomi. [9] Hujah Peguam Responden bahawa hukuman penjara yang lama akan menyebabkan negara akan membelanjakan wang rakyat yang banyak untuk menjaga Responden juga tidak dapat diterima. Ini adalah kes yang tepat di mana faktor kewangan negara perlu digunakan untuk menangani masalah yang serius. Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 adalah hasrat kerajaan untuk menangani masalah ini dengan berkesan. [10] Trend hukuman:
section
10.1 PP v Guanachandran Kathvarel [2018] MYCA 304 – Diputuskan pada 2.7.2018. Hukuman penjara 7 tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun;
section
10.2 PP v Krishnan a/l Salavarajoo (B-05(H)-225-05/2017) diputuskan pada 17.7.2018. Hukuman penjara 6 tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun. [11] Atas alasan-alasan tersebut, kami sebulat suara membenarkan rayuan. Hukuman penjara 3 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkap dan denda RM20,000.00, jika tidak dibayar, 12 bulan penjara diketepikan dan 10 digantikan dengan hukuman penjara 10 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkap. Denda jika sudah dibayar hendaklah dikembalikan. t.t. MOHTARUDIN BIN BAKI 12 Februari 2019 Counsel: Pihak Perayu : Mohd Zain bin Ibrahim Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Putrajaya Pihak Responden : Messrs. Hafiz, Zabir & Rezal Peguambela & Peguamcara No. 25A Jalan Badminton 13/29 Tadisma Business Park Seksyen 13 40150 Shah Alam Selangor Darul Ehsan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.