(ii) barang kes dadah berada di dalam beg silang bercetak “Gino Ferrario” yang disandang dan beg bercetak “Kedai Emas Permata Batu 6” dijumpa di atas lantai berhampiran Tertuduh. [11] HMT mendapati oleh kerana barang dadah dijumpai di dalam beg yang disandang dan juga dijumpai kad pengenalan Tertuduh, maka inferensnya adalah Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai kesemua barang dadah. Walaupun Tertuduh tidak cuba melarikan diri, namun fakta bahawa Tertuduh telah diserbu dan dikepung tidak memungkinkan Tertuduh boleh melarikan diri. [12] Di akhir kes Pendakwaan, HMT telah membuat dapatan milikan mens rea atau milikan langsung (“actual possession”) barang dadah dan racun di bawah semua Pertuduhan. Untuk Pertuduhan Pertama dan Kedua, HMT telah menggunapakai anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB. [13] Di akhir kes Pembelaan pula, HMT mencapai dapatan berbeza di antara Pertuduhan Pertama dan Kedua walaupun HMT telah bermula dengan dapatan elemen milikan telah dibuktikan secara prima facie di akhir kes Pendakwaan. [14] Bagi Pertuduhan Pertama, HMT telah membuat dapatan bahawa terdapat kegagalan pihak Pendakwaan memanggil ibu Tertuduh di peringkat kes Pendakwaan untuk mengecualikan kemungkinan ada pihak lain yang mempunyai akses kepada bilik setor dimana barang dadah di dalam beg di atas lantai dijumpai. [15] Bagi Pertuduhan Kedua dan Ketiga pula, HMT mendapati Tertuduh gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap pembuktian terjumpanya dadah dan racun di dalam beg silang. HMT juga menolak kebolehpercayaan keterangan SD2 dan SD3 bahawa kad pengenalan Tertuduh dan dadah tidak dijumpai daripada beg silang “Gino Ferrario”. [16] Mengenai perbuatan mengedar pula, HMT telah mendapati pihak Pendakwaan gagal membuktikan terdapatnya satu perbuatan terang-terangan atau “overt act” yang menunjukkan Tertuduh melakukan perbuatan mengedar di bawah Pertuduhan Kedua. [17] Akhirnya, HMT telah membuat keputusan seperti dinyatakan di perenggan 6 di atas. ISU-ISU RAYUAN DAN HUJAHAN Pihak Pendakwaan [18] Pihak Pendakwaan menghujahkan HMT telah khilaf dalam membuat dapatan dan mencapai keputusan di dalam 3 isu utama. [19] Pertamanya HMT telah khilaf apabila pada peringkat kes Pembelaan, HMT membuat dapatan pihak Pendakwaan gagal mengecualikan kemungkinan terdapat orang lain mempunyai akses ke bilik dimana Tertuduh ditahan, sedangkan pada peringkat kes Pendakwaan, HMT telah pun membuat dapatan hanya Tertuduh berada di dalam bilik dimana beliau ditahan dan keterangan itu mencukupi untuk membuktikan milikan ke atas semua barang dadah di bawah setiap Pertuduhan. Pada peringkat itu, HMT tidak mendapati isu akses itu sebagai satu isu yang mencabar dapatan milikan di bawah Pertuduhan Pertama. [20] Dapatan HMT pada peringkat kes Pembelaan bahawa pihak Pendakwaan telah gagal memanggil ibu Tertuduh sebagai saksi untuk melepaskan beban pembuktian di peringkat kes Pendakwaan di bawah Pertuduhan Pertama terjumlah satu semakan dan pertimbangan semula dapatan di akhir kes Pendakwaan yang telah pun tertakluk kepada satu penilaian maksima dan ini terjumlah satu salah arah dan kekhilafan. Rujukan telah dibuat kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 692; [2014] 1 MLJ 49 dan Ariff Arhannan Che Udin v PP [2022] 4 CLJ 1; [2022] 3 MLJ 157. [21] Kedua, HMT telah khilaf apabila di akhir kes Pendakwaan, beliau mendapati pihak Pendakwaan telah membuktikan milikan barang dadah di bawah Pertuduhan Pertama dan Kedua dan menggunakan anggapan perbuatan pengedaran di bawah sek0syen 37(da)(xvi) ADB tetapi kemudiannya semasa peringkat kes Pembelaan, gagal membuat penilaian sama ada Tertuduh telah berjaya mengakas anggapan perbuatan pengedaran dadah berbahaya di atas imbangan kebarangkalian. Sebaliknya HMT membuat dapatan bahawa keterangan tidak menunjukkan ada perbuatan terang-terangan atau “overt act” oleh Tertuduh dalam melakukan perbuatan pengedaran di bawah Pertuduhan Kedua. [22] Ketiga, terdapat kecelaruan dan percanggahan di dalam dapatan-dapatan HMT apabila HMT membuat dapatan di peringkat kes Pembelaan bahawa pembelaan Tertuduh mengenai milikan di bawah Pertuduhan Kedua adalah hanya merupakan satu penafian tetapi pada masa yang sama, membuat dapatan terdapat keraguan di bawah Pertuduhan Pertama mengenai isu akses sedangkan semua barang dadah dijumpai pada tempat yang sama bersama-sama Tertuduh. Pihak Tertuduh [23] Di dalam rayuannya terhadap keputusan di bawah Pertuduhan Kedua dan Ketiga, Tertuduh membangkitkan isu-isu berikut. [24] Pertamanya, Tertuduh menghujahkan keterangan anggota serbuan SP3 dan SP4 yang mengatakan telah melalui lorong di tepi rumah dari belakang rumah ke arah depan dan melalui dapur dalam keadaan pintu “sliding” terbuka sedikit tetapi tidak dapat melihat Tertuduh lebih awal adalah tidak munsabah. Juga dihujahkan adalah tidak munasabah Tertuduh tidak menyedari kehadiran 15 anggota serbuan dan tidak melihat pergerakan anggota serbuan melalui pintu yang terbuka. Maka naratif mengenai bagaimana serbuan dilakukan dan keadaan Tertuduh yang dikatakan sedang bersandar di pintu semasa serbuan dilakukan harus diragui kebenarannya. [25] Kedua, terdapat kegagalan Pegawai Penyiasat SP5 menyiasat kehadiran SD2 (Mohd Ayub b Sulong, adik ipar Tertuduh) dan SD3 (Che Ku Nur Mardiha bt Che Ku Man, isteri SD2 dan adik Tertuduh) di rumah tempat kejadian sedangkan nama-nama itu telah dibangkitkan dan dicadangkan kepada SP3, SP4 dan SP5 di peringkat kes Pendakwaan. [26] Seterusnya dihujahkan HMT telah gagal mempertimbangkan cadangan bahawa barang kes dadah yang dijumpai di dalam beg bercorak hitam perak dan berzip sebenarnya telah dijumpai di reban ayam di belakang rumah dan dibawa masuk ke dalam bilik dimana Tertuduh ditahan sambil disaksikan oleh saksi SD2 dan SD3. [27] Di antara kes yang dirujuk adalah: Kesavan Krishnan lawan Pendakwa Raya & 1 lagi rayuan [2015] 6 CLJ 163; [2014] 7 MLRA 823, Magendran a/l Mohan v PP [2011] 6 MLJ 1; [2011] 1 CLJ 805, Ghasem Gharezadehsharbiani Hassan v PP [2014] 5 MLJ 433; [2014] CLJU 752 dan Lee Kwan Woh v PP [2009] 5 MLJ 301; [2009] 5 CLJ 631. PERTIMBANGAN DAN DAPATAN MAHKAMAH Pertuduhan Pertama [28] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap seperti yang diputuskan di dalam kes Chan Pean Leon v PP [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 LNS 17 dan PP v Denish a/l Madhavan [2009] 2 MLJ 194; [2009] 2 CLJ 209, bahawa elemen jagaan atau kawalan tidak sahaja ditentukan oleh faktor kedekatan atau “proximity” ataupun pengetahuan tetapi ditentukan juga oleh pertimbangan sama ada tertuduh mempunyai kuasa tanpa orang lain untuk berurusan dengan dadah itu pada bila-bila masa sebagai pemilik. [29] Fakta di dalam kes ini jelas menunjukkan semasa serbuan dilakukan hanya Tertuduh berada di dalam bilik setor dimana beg hitam/perak bercetak “Kedai Emas Permata Batu 6” dijumpai di atas lantai berhampiran Tertuduh. Mahkamah mendapati HMT telah membuat penilaian yang jelas dan tepat mengenai elemen milikan di bawah Pertuduhan Pertama sepertimana di perenggan 15 sehingga 17 Alasan Penghakiman HMT. Keterangan tidak menunjukkan adanya pihak lain yang ditahan bersama Tertuduh. [30] Pertimbangan utama adalah di bawah Pertuduhan Pertama, barang dadah yang menjadi subjek pertuduhan berada di atas lantai berdekatan dengan Perayu. Kedekatan atau “proximity” itu jelas menunjukkan Tertuduh telah mempunyai kawalan atau jagaan ke atas beg serta barang dadah di dalamnya. Oleh kerana jenis dadah di dalam Pertuduhan Pertama adalah sama jenisnya dengan barang dadah yang dijumpai dalam beg silang pada tubuh Tertuduh di lokasi yang sama di bawah Pertuduhan Kedua, maka terdapat inferens kuat menunjukkan Tertuduh mengetahui kandungan dadah di dalam beg itu. Bahkan, SD2 yang memberi keterangan bagi pihak Tertuduh telah menyatakan semasa pemeriksaan balas bahawa bilik setor itu digunakan oleh Tertuduh untuk tidur walaupun beliau tidak tinggal di alamat itu. [31] Oleh yang demikian, tidak ada keperluan untuk pihak Pendakwaan memanggil ibu Tertuduh yang mendiami rumah itu untuk mengecualikan ibu Tertuduh dari kemungkinan mempunyai akses ke bilik itu dan juga dadah yang berada di dalam beg di atas lantai. Bukan menjadi pembelaan kes Perayu bahawa ibunya adalah pemilik sebenar barang dadah itu. [32] Maka, HMT telah khilaf apabila di peringkat kes Pembelaan (lihat perenggan 33 dan 34 Alasan Penghakiman HMT), telah menyemak semula dapatannya mengenai elemen milikan di peringkat kes Pendakwaan dan menyalahkan pihak Pendakwaan dalam kegagalan memanggil ibu Tertuduh sebagai saksi untuk mengecualikan akses sedangkan perkara itu tidak menjadi pertimbangan HMT di peringkat kes Pendakwaan. [33] Seperti yang diputuskan didalam kes Wong Chee Tze & Anor v PP [2016] 1 MLJ 186; [2016] 10 CLJ 761, tugas Mahkamah di akhir kes Pembelaan adalah hanya untuk menilai sama ada keterangan tertuduh telah berjaya membangkitkan keraguan terhadap kes Pendakwaan. Sepertimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 692; [2014] 1 MLJ 49, tugas Mahkamah di akhir perbicaraan adalah untuk menilai sama ada keterangan kes Pembelaan berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan dan Mahkamah tidak boleh menilai semula keterangan dan dapatan di akhir kes Pendakwaan yang telah pun tertakluk kepada satu penilaian maksima. Di dalam kes PP v Prabu a/l Nadaraja [2019] MLJU 1125; [2020] 4 CLJ 871, Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut: “[15] In the light of this court’s finding that a prima facie case had been established against the respondent, the duty of the learned magistrate at the conclusion of the trial was only to determine whether the respondent’s explanation had rebutted or explained away the complainant’s evidence that he touched her breast at the place and time specified in the charge. [16] In so deciding, the learned magistrate was not supposed to re-visit, let alone to re-affirm his earlier finding that the complainant was not a credible witness. The following observations by the Federal Court in Duis Akim & Ors v. PP [2013] 9 CLJ 692 are relevant: “[38] We note that when assessing the defence the learned trial judge surprisingly revisited his earlier findings upon which he called for his defence. Such approach is quite contrary to the principle of maximum evaluation of the evidence adduced at the close of the prosecution’s case. Indeed in his judgment the learned trial judge made it very clear that he had conducted a maximum evaluation of the evidence adduced by the prosecution before calling for the defence.” [34] Berdasarkan keputusan-keputusan tadi, adalah jelas tugas Mahkamah perbicaraan di akhir kes Pembelaan hanyalah untuk membuat penilaian sama ada keterangan kes tertuduh telah berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. Maka, HMT telah khilaf apabila membuat dapatan keraguan atas isu kegagalan pihak Pendakwaan memanggil ibu Tertuduh sedangkan pada awalnya di akhir kes Pendakwaan, HMT telah pun berpuas hati bahawa Tertuduh mempunyai milikan ke atas barang dadah di bawah Pertuduhan Pertama. Pendekatan yang diambil HMT telah menyebabkan kecelaruan di dalam keputusannya. [35] Setelah mempertimbangkan keterangan kes Tertuduh dan menilainya dengan keterangan kes Pendakwaan, kami tidak mendapati versi kes Pendakwaan dapat diragui. Kami mendapati Tertuduh tidak dapat mengemukakan keterangan yang dapat mengakas keterangan kes Pendakwaan bahawa beg bercetak “Kedai Emas Permata Batu 6” dijumpai di atas lantai berhampiran Tertuduh dan bukan telah dimasukkan ke bilik setor dari lokasi lain seperti reban ayam di belakang rumah yang dihujahkan oleh pihak Tertuduh. [36] Rujukan dibuat kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Aaron Chong Chernlin v Public Prosecutor [2022] CLJU 2750; [2022] 1 LNS 2750; [2023] 1 MLJ 60, juga berkenaan isu akses dan pemilikan barang kes yang dijumpai dalam rumah: “[51] SP2 and SP3 gave evidence that the box (P5A) containing the dangerous drugs and paraphernalia related to the said drugs was found on the table in the guest area of the Appellant's apartment which was near the Appellant and can be easily seen by the Appellant. The Appellant was the only person inside the apartment. We agree with the High Court judge that it is unreasonable for the Appellant not to have knowledge of or had noticed the said box (P5A). The Appellant has dominant possession of the said apartment and things inside the apartment. As an occupier of the said apartment, the Appellant has care and management of the said apartment. The Appellant was situated near the table and has the power to deal with it as owner to the exclusion of all other persons (See: Chan Peng Leong v. PP [1956] 22 MLJ 237). In other words, at the material time during the raid, the Appellant had exclusive access to the apartment and things inside the apartment.” [37] Seterusnya, kami tidak mendapati keterangan kes Tertuduh berjaya melepaskan beban pembuktian mengakas anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di bawah Pertuduhan Pertama di atas imbangan kebarangkalian. Pertuduhan Kedua [38] Di bawah Pertuduhan Kedua pula, HMT juga telah mendapati Tertuduh telah mempunyai milikan langsung barang dadah yang dijumpai di dalam beg silang bercetak “Gino Ferrario” yang disandang pada tubuh Perayu. Di akhir kes Pendakwaan, HMT telah menggunapakai anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB terhadap Tertuduh. Maka, beban pembuktian Tertuduh di peringkat kes Pembelaan adalah untuk mengakas anggapan itu di atas imbangan kebarangkalian. Dengan itu, tugas Mahkamah adalah untuk membuat dapatan sama ada keterangan kes Pembelaan berjaya mengakas anggapan tadi. [39] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa apabila anggapan itu digunapakai terhadap tertuduh, maka, tiada keperluan untuk Mahkamah perbicaraan membuat satu dapatan sama ada terdapat keterangan yang menunjukkan tertuduh telah melakukan satu perbuatan terang-terangan atau “overt act” mengedar dadah mengikut mana-mana perbuatan di bawah seksyen 2 ADB mengenai perbuatan mengedar. Ini kerana anggapan perbuatan mengedar dadah itu secara tersirat atau “implicit” telah pun menganggap tertuduh melakukan perbuatan mengedar mengikut mana-mana deskripsi perbuatan mengedar di bawah seksyen 2. Maka, tidak perlu bagi Mahkamah perbicaraan membuat dapatan mengenai perbuatan terang-terangan atau “overt act” itu lagi. Di dalam kes Aaron Chong Chernlin v PP [supra] dimana Mahkamah Rayuan telah menyentuh kesan pemakaian anggapan Seksyen 37(d) yang juga terpakai kepada anggapan di bawah seksyen 37(da): "[68] On the law, there are two things "deemed" by section 37(d), namely (1) that the accused was in possession of the drug and the accused knew the nature of the drug. The apex court had decided that once custody or control is established, the presumption must be invoked. The "deemed" state of affairs (i.e. deemed possession and deemed knowledge) is by operation of law and there is no necessity to prove how that particular state of affairs is arrived at. There need only to be established the basic or primary facts necessary to give rise to that state of affairs i.e. the finding of custody or control. Such presumptions as under s. 37 (d) (and for that matter, the one under s. 37(da) sometimes described as "compelling presumptions" in that upon proof of certain facts by a party (in our present case, proof of custody or control in s. 37 (d) by the prosecution), the court must in law draw a presumption in its favour (i.e. presumptions of possession and knowledge) unless the other party proves the contrary. Such a presumption has the compelling force of law. It is a deduction which the law requires the trial court to make (See: Ogbugo Chioma Martha v. Public Prosecutor [2019] CLJU 491; [2019] 1 LNS 491 following Muhammad Hassan v. Public Prosecutor [1988] 2 CLJ 170 FC; [1988] 2 MLJ 273)." [40] Rujukan juga dibuat kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Abdullah Atan v PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151; [2020] 6 MLJ 727 di mana tujuan dan kesan anggapan telah dibincang dan disimpulkan seperti berikut oleh mantan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat: “[46] Indeed, a presumption is not evidence; rather, it is a rule of evidence stating how a particular fact can be proved, as supported by the following authorities: A presumption has no probative value and is not evidence, being nothing more than a rule of law which assists a party in making out a prima facie case" (see Michigan Law Review, "Presumptions as Evidence in Criminal Cases" at 504); Presumptions are a special mode of proving facts which must otherwise be proved by evidence. Where there is direct evidence to prove the presumed facts, the presumptions do not need to be applied (see PP v. Chia Leong Foo [2000] 4 CLJ 649 at 668). [47] Presumptions of fact and law operate in every legal system. The use of presumptions has always been standard judicial practice. This court has endorsed the use of the presumption in s. 37(da) of the DDA by the prosecution to establish a prima facie case of drug trafficking. What is required of the prosecution is to adduce credible evidence of the basic facts (ie, the nature and amount of the drug, and possession), in order to rely on the presumption of trafficking in s. 37(da). … [56] The fundamental rule in criminal law is that the prosecution must prove every element of the offence charged beyond reasonable doubt, and that the accused bears no onus of proof. This general rule is however subject to exceptions as there is a limit to what the prosecution can reasonably be expected to prove. The English common law authorities codified in our written law affirmatively recognise that it is lawful in certain cases to shift the onus to the accused to exculpate himself in certain situations. These situations include defences which relate to facts especially within the knowledge of the accused including the proof of lawful authority; or where a statutory presumption provides that a particular fact is presumed to exist unless the contrary is proved (see PP v. Gan Boon Aun [2017] 4 CLJ 41; [2017] 3 MLJ 12; Alma Nudo Atenza v. PP & Another Appeal [2019] 5 CLJ 780; [2019] 4 MLJ 1; and Jazlie Jaafar v. PP [2020] 2 CLJ 28). [57] The role of presumptions in the wider context of the criminal legal system may be simplified thus: where a statutory presumption is invoked to presume the existence of certain fact as being the ingredient of the offence, the onus then shifts to the accused to disprove the presumed fact on the balance of probabilities and to thereby exculpate himself from the charge. If he does so, he earns an acquittal. If he does not, he is guilty of the charge.” [41] Berbalik kepada Rayuan ini, maka adalah jelas bahawa tugas HMT hanyalah untuk menilai keterangan kes Pembelaan dan untuk membuat dapatan sama ada anggapan di bawah seksyen 37(da)(xvi) telah berjaya atau gagal diakas oleh Tertuduh. Sekiranya Tertuduh gagal membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan mengenai elemen milikan barang dadah dan gagal seterusnya mengakas anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di atas imbangan kebarangkalian, maka HMT tidak mempunyai pilihan melainkan mensabitkan Tertuduh dengan kesalahan mengedar dadah di bawah Pertuduhan Kedua. [42] Di atas sebab itu, kami mendapati HMT telah khilaf apabila gagal melaksanakan tugas untuk membuat dapatan sama ada anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da)(xvi) telah berjaya diakas oleh Tertuduh setelah mendapati tiada keraguan berjaya dbangkitkan terhadap elemen milikan. Pendekatan HMT sebaliknya dalam membuat dapatan tiadanya perbuatan terang-terangan atau “overt act” untuk membuktikan perbuatan mengedar adalah jelas tidak selaras dengan tugasnya di bawah undang-undang seperti di sebut tadi dan merupakan satu salah arah dan kekhilafan yang sangat asas. [43] Setelah meneliti keterangan, kami mendapati keterangan SD2 dan SD3 bagi Tertuduh telah dipertimbang oleh HMT dan kami tidak mempunyai alasan untuk mengganggu dapatan HMT di perenggan 36 dan 37 Alasan Penghakiman HMT bahawa keterangan kedua-dua saksi itu tidak dapat mencabar keterangan kes Pendakwaan bahawa beg silang pada tubuh Tertuduh itu mengandungi dadah. Di samping itu, kami bersetuju dengan dapatan HMT bahawa tidak ada keterangan yang boleh menunjukkan satu motif di pihak pasukan serbuan untuk menganiaya Tertuduh dan secara palsu mengaitkan Tertuduh dengan beg itu. [44] Sebagai kesimpulannya, kami mendapati Tertuduh gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap elemen milikan dan seterusnya gagal mengakas anggapan perbuatan mengedar dadah berbahaya di atas imbangan kebarangkalian di bawah Pertuduhan Kedua. Oleh yang demikian, HMT telah khilaf dalam melepas dan membebaskan Tertuduh di bawah Pertuduhan Kedua di akhir kes Pembelaan. Pertuduhan Ketiga [45] Pertuduhan Ketiga hanya melibatkan pembuktian milikan bahan racun di bawah seksyen 30(3) Akta Racun. Racun di dalam Rayuan ini telah dijumpai bersama barang dadah di dalam beg silang. Kami mendapati HMT telah membuat pendekatan dan penilaian yang tepat apabila mendapati Tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah atas elemen milikan racun setelah mendapati tiada keraguan dalam elemen milikan dadah yang dijumpai di dalam beg kerana barang racun juga ditemui di dalam beg yang sama. [46] Keterangan menunjukkan Tertuduh telah mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas bahan racun itu sesuai dengan panduan pertimbangan elemen milikan seperti di dalam kes Chan Pean Leon v. PP [supra]. Isu-isu lain [47] Tertuduh telah membangkitkan hujahan bahawa versi kes Pendakwaan mengenai bagaimana serbuan dibuat adalah tidak munasabah kerana: (a) kedudukan lorong yang dilalui pasukan serbuan dan pintu “sliding” adalah rapat; (b) penglibatan jumlah anggota serbuan seramai 15 orang sudah tentunya akan bising dan membolehkan pergerakan mereka didengar oleh Tertuduh; dan (c) pergerakan anggota serbuan yang melintasi pintu “sliding” yang sudah terbuka sudah sepatutnya membolehkan anggota serbuan melihat Tertuduh dan menahannya lebih awal tanpa memerlukan pemantauan selama 30 minit. [48] Setelah meneliti hujahan itu, kami tidak mendapati keterangan saksi anggota serbuan SP3 dan SP4 wajar diragui. Kecuali dimana versi anggota serbuan adalah sesuatu yang sangat luar biasa atau tidak masuk akal (“inherently incredible”) sehingga kebolehpercayaannya menjadi perkara yang wajar diragui dan dalam ketiadaan keterangan yang dapat menunjukkan satu penganiayaan oleh pihak polis terhadap Tertuduh, keterangan polis mengenai bagaimana serbuan dijalankan haruslah diterima sebagai keterangan yang kredibel. Mahkamah tidak harus membuat jangkaan tentang bagaimana sesuatu serbuan seharusnya dilaksanakan dan sama ada sesuatu serbuan itu boleh dianggap munasabah atau tidak kerana sesuatu serbuan polis dalam jenayah berat di sesuatu lokasi sudah pastinya mengambil kira berbagai faktor termasuk waktu, keadaan setempat, kebijaksanaan mengatur kedudukan dan pergerakan anggota, tinjauan lokasi, pemerhatian, daya dan fokus pemerhatian setiap anggota di lokasi dan keadaan awam sekeliling. Ringkasnya, sesuatu serbuan bakal melibatkan berbagai kemungkinan atau “variables” yang tidak boleh dijangka secara tepat dan pasti. Maka, versi polis mengenai suatu serbuan haruslah pada dasarnya diterima sebagai satu keterangan yang boleh dipercayai kecuali jika terdapat sebab-sebab untuk mencurigainya. [49] Seperti juga yang telah disentuh oleh HMT di perenggan 35 Alasan Penghakiman HMT, Mahkamah ini tidak mendapati cabaran Tertuduh terhadap versi serbuan itu telah menyebabkan apa-apa keraguan terhadap kebolehpercaayaan versi yang dikemukakan oleh SP3 dan SP4. [50] Seterusnya mengenai kegagalan SP5 menyiasat kehadiran SD2 dan SD3 di rumah tempat kejadian sedangkan nama-nama mereka telah dibawa kepada perhatian SP3 dan SP4 semasa serbuan, kami mendapati beban untuk menyiasat adalah bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes. Tidak semua kes memerlukan siasatan ke atas penama yang dibangkitkan oleh tertuduh, lebih-lebih lagi apabila barang dadah di bawah pertuduhan dijumpai dalam milikan langsung tertuduh. Keterangan tidak menunjukkan bahawa Tertuduh telah menuduh SD2 dan SD3 sebagai pemilik sebenar barang dadah dan racun di bawah setiap Pertuduhan. Maka, kes-kes yang dirujuk oleh Tertuduh harus dibezakan. [51] Di dalam kes Ghasem Gharezadehsharbiani Hassan [supra], di dalam kenyataan beramaran tertuduh yang dibuat 3 hari selepas ditangkap, tertuduh telah menamakan seorang bernama Masoud di negara asalnya Iran yang dikatakan telah mengupah tertuduh untuk datang ke Malaysia bagi tujuan membeli alat ganti komputer. Sebelum bertolak ke Malaysia, Masoud telah memberinya satu beg. Beg itu mengandungi dadah dan adalah menjadi pembelaan tertuduh bahawa beliau tidak mengetahui kandungan beg itu. [52] Di dalam Rayuan semasa, sebagai perbandingan, tiada keterangan yang mengatakan SD2 dan SD3 adalah pemilik sebenar kesemua dadah dan racun. Maka, dalam keadaan demikian, SP5 tidak boleh dipersalahkan jika tidak menyiasat SD2 dan SD3. Tambahan pula, SD2 dan SD3 telah memberi keterangan bagi pihak Tertuduh dan keterangan mereka tidak menyentuh mengenai kemungkinan barang dadah itu milik orang lain yang dikenali. KESIMPULAN DAN KEPUTUSAN [53] Berdasarkan semua penilaian di atas, Mahkamah ini membuat dapatan dan keputusan seperti berikut: Pertuduhan Pertama: Tentang Sabitan Kami sebulat suara memutuskan HMT telah khilaf dalam melepaskan dan membebaskan Tertuduh daripada kesalahan di bawah Pertuduhan Pertama. Kami seterusnya mendapati pihak Pendakwaan telah membuktikan kesnya terhadap Tertuduh melampaui keraguan yang munasabah. Dengan itu, kami membenarkan rayuan pihak Pendakwaan dan mengetepikan keputusan itu dan menggantikan keputusan itu dengan keputusan mensabitkan Tertuduh dengan kesalahan seperti dipertuduhkan di bawah Pertuduhan Pertama. Tentang Hukuman Kami sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan dihukum dengan 12 kali sebatan. Pertuduhan Kedua: Tentang Sabitan Kami sebulat suara mendapati pihak Pendakwaan telah membuktikan kesnya terhadap Tertuduh melampaui keraguan yang munasabah. Dengan demikian kami membenarkan rayuan pihak Pendakwaan dan mengetepikan keputusan HMT yang meminda Pertuduhan Kedua daripada satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) kepada seksyen 12(2) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) ADB dan kami mengembalikan Pertuduhan asal di bawah seksyen 39B(1) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) ADB. Kami sebulat suara mensabitkan Tertuduh dengan kesalahan di Pertuduhan Kedua yang asal. Tentang Hukuman Kami sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan. Pertuduhan Ketiga: Kami sebulat suara menolak rayuan Tertuduh terhadap sabitan dan hukuman di bawah Pertuduhan Ketiga. Bertarikh 22hb April 2026 DATUK MOHD RADZI BIN ABDUL HAMID HAKIM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA PUTRAJAYA Bagi pihak Tertuduh : Encik Ghazali bin Ismail Tetuan Ghazali Ismail & Co. Bagi pihak Pendakwaan : Tuan Eyu Ghim Siang Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara