tingkah laku kanak-kanak berusia 3 tahun semasa berlakunya kejadian pencabulan ke atasnya. Dapatan Majistret Di Akhir Kes Pembelaan [28] Di akhir perbicaraan, Majistret telah memutuskan supaya Responden dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan tanpa mengambil kira keterangan berkaitan karakter baik Responden dan juga niat jahat atau mala fide bekas isteri Responden iaitu SP1 untuk mencari alasan untuk perceraian mereka. [29] Sebaliknya keputusan Majistret melepas dan membebaskan Responden itu adalah semata-mata berdasarkan keterangan saksi pakar pihak pembelaan iaitu SD4 yang telah berjaya mencabar keterangan saksi-saksi pakar pihak pendakwaan khususnya dari aspek psikologi kanak-kanak. Oleh itu, Majistret yang bijaksana telah mendapati bahawa pihak pembelaan telah berjaya membangkitkan keraguan dalam kes pendakwaan. Dengan erti kata lain, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes tersebut melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Prinsip Undang-Undang Di Peringkat Rayuan [30] Mahkamah ini dalam mendengar rayuan ini berpandukan kepada prinsip undang-undang yang mantap di mana mahkamah di peringkat rayuan seharusnya mengambil pendirian untuk tidak mengganggu keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah perbicaraan melainkan ternyata keputusan tersebut mempunyai salah arah dan tidak menurut undang-undang ini. [31] Dalam kes Amri Ibrahim & Anor v. PP [2017] 1 CLJ 617, Mahkamah Persekutuan telah menyatakan yang berikut: “[51] It is trite law that the view of the trial judge as to the credibility of a witness must be given proper weight and consideration. An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the trial judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there were substantial and compelling reasons for disagreeing.” (Penekanan ditambah) [32] Berpandukan kepada prinsip undang-undang mantap tersebut, Mahkamah ini telah meneliti dan mempertimbangkan alasan dan merit rayuan ini serta bukannya semata-mata atas alasan bahawa Mahkamah ini mempunyai pandangan dan dapatan yang berbeza. [33] Oleh yang demikian, Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan rekod rayuan yang ada dan mempertimbangkan alasan-alasan bagi rayuan ini. Analisis dan Dapatan Mahkamah Ini [34] Perayu dalam rayuan kes ini telah membangkitkan kekhilafan oleh Majistret apabila memutuskan melepas dan membebaskan Responden dengan bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi pakar pihak pembelaan iaitu SD4. [35] Perayu juga telah membangkitkan isu ‘non speaking judgment’ oleh Majistret tersebut berkaitan dengan Alasan Penghakiman yang disediakan. [36] Oleh yang demikian, Mahkamah ini telah membuat penilaian dan pertimbangan ke atas setiap alasan yang dibangkit oleh Perayu dalam rayuan ini. Isu percanggahan keterangan antara saksi-saksi pakar pihak pendakwaan dan saksi pakar pihak pembelaan [37] Menurut Perayu, apabila wujud percanggahan keterangan antara saksi-saksi pakar pihak pendakwaan (SP4, SP6, SP7 dan SP8) dan saksi pakar pihak pembelaan (SD4), Mahkamah boleh memilih untuk menerima mana-mana satu keterangan tersebut. [38] Perayu telah merujuk kepada keputusan kes oleh Privy Council dalam Collector of Land Revenue v. Alagappa Chettiar & Collector of Land Revenue v, Ong Thye Eng [1968] 1 LNS 31 yang menyatakan seperti berikut: “Where there is a conflict between the opinions given by more than one expert, the Judge has the right to prefer on opinion to the other.” [39] Menurut Perayu lagi, keterangan atau laporan pakar adalah untuk membantu Mahkamah dan bukanlah sebagai satu-satunya alasan untuk dijadikan penghakiman. Perayu telah merujuk kepada kes Wong Swee Chin v. Public Prosecutor [1981] 1 MLJ 212 yang menyatakan: “But, except on purely scientific issues, expert evidence is to be used by the court for the purpose of assisting rather than compelling the formulation of the ultimate judgments. In the ultimate analysis it is the tribunal of fact, whether it be a judge or jury, which is required to weigh all the evidence and determine the probabilities. It cannot transfer this task to the expert witness, the court must come to its own opinion.” [40] Mahkamah ini berpandangan bahawa perbezaan keterangan saksi pakar yang dinyatakan dalam otoriti tersebut di atas adalah dalam perkara yang melibatkan perkara saintifik. Ini berbeza dengan tujuan keterangan kepakaran SD4 dalam kes ini untuk menganalisa keseluruhan fakta dan bukti serta keterangan dalam kes pendakwaan yang mana berdasarkan kepakaran dan pengalaman SD4 itu sendiri jelas telah menimbulkan keraguan yang munasabah kepada Majistret yang bijaksana. [41] Adalah dapatan Majistret berkenaan bahawa berdasarkan keterangan saksi pakar SD4 jelas wujud keadaan-keadaan yang sangat tidak selamat untuk Responden disabitkan dengan pertuduhan tersebut. [42] Mahkamah ini juga mendapati perbezaan dapatan dan pandangan oleh saksi pakar pihak pendakwaan dengan saksi pakar pihak pembelaan bukanlah merupakan percanggahan keterangan. Sebaliknya hanyalah merupakan dapatan fakta dan pandangan yang berbeza antara kedua-dua pihak. [43] Berkaitan dengan perbezaan pandangan pakar dalam sesuatu isu, Mahkamah ini berpandukan kes yang sama dirujuk oleh Perayu sendiri iaitu dalam kes Land Revenue v Alagappa Chettiar & Collector of Land Revenue v Ong Thye Eng (supra) yang menyatakan seperti berikut: “Their Lordships would point out that there were two findings of fact and one finding that the opinion of one expert witness was to be preferred to that of another, which underlay the decision of Gill J that the collector’s valuation of $3 per square foot had not been shown to be wrong. The first finding of fact was that the sale by Devarayan of his undivided halfshare was not a forced sale but one in the open market between parties at arms length. This finding rested upon the Judge’s assessment of the credibility of the witnesses who gave oral evidence before him. It was peculiar within the province of the trial judge, with which an appellate court should not interfere save in most exceptional circumstances.” (Penekanan ditambah) [44] Mahkamah ini juga mendapati bahawa Majistret berkenaan tidak menyatakan dalam alasan penghakimannya perbezaan keterangan antara saksi-saksi pakar pihak pendakwaan dengan saksi pakar pihak pembelaan itu sebagai suatu percanggahan keterangan. Sebaliknya Majistret berkenaan telah mendapati bahawa keterangan saksi pakar SD4 tersebut telah berjaya mencabar testimoni oleh saksi-saksi pakar pihak pendakwaan khususnya dari aspek psikologi kanak-kanak. Majistret berkenaan juga mendapati bahawa berdasarkan keterangan saksi pakar pembelaan SD4 tersebut telah berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. [45] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpandangan yang sama dan tidak akan mengganggu dapatan fakta yang dicapai oleh Majistret tersebut berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amri Ibrahim & Anor v. PP (supra) yang menyatakan bahawa: “[51] It is trite law that the view of the trial judge as to the credibility of a witness must be given proper weight and consideration. An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the trial judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there were substantial and compelling reasons for disagreeing.” Isu ‘non speaking judgment’ [46] Mahkamah ini bersependapat dan berpandangan yang sama dengan Perayu dan juga Responden dalam kes ini bahawa alasan penghakiman yang disediakan oleh Majistret tersebut adalah merupakan ‘non speaking judgment’. Alasan penghakiman Majistret tersebut mengandungi 12 perenggan. Perenggan 3 alasan penghakiman Majistret tersebut menyatakan dapatan Majistret bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan tanpa ada apa-apa huraian tentang elemen-elemen pertuduhan kesalahan yang telah dibuktikan melalui keterangan. [47] Manakala perenggan 9 alasan penghakiman tersebut pula menyatakan keputusan Majistret yang melepas dan membebaskan Responden di akhir perbicaraan kerana kegagalan pihak pendakwaan bagi membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. Perenggan 11 merupakan alasan Majistret yang melepas dan membebaskan Responden berasaskan keterangan SD4 yang didapati oleh Majistret tersebut berjaya mencabar testimoni saksi pakar pihak pendakwaan khususnya dari aspek psikologi kanak-kanak. [48] Mahkamah ini mendapati alasan penghakiman tersebut tidak menghuraikan langsung alasan Majistret bagaimana beliau mencapai rumusan dapatan (finding) keterangan SD4 yang menimbulkan keraguan ke atas kes pendakwaan. [49] Di dalam kes Deepanraj a/l Subramanian v Public Prosecutor [2016] 1 MLJ 413 ada menyatakan seperti berikut: “[63] Judgment writing is a matter of individual style and the need for a speaking judgment needs no emphasis. It is an elementary principle of fairness that parties must not only be given a fair opportunity of being heard, but also appraised of how and why a judge has reached his decision. Section 308 of the CPC speaks of ‘grounds of decision’ which means a reasoned judgment on the facts and the law and not merely the conclusion arrived at. What amount to a speaking judgment varies from case to case. Mere regurgitation or narration of the facts and a statement of the law does not amount to a speaking judgment.” (Penekanan ditambah) [50] Seksyen 308 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan seperti berikut: “When the appellant has complied with section 307 the Court appealed from shall transmit to the High Court and to the Public Prosecutor and to the advocate for the appellant a signed copy of the record of the proceedings and of the grounds of the decision together with a copy of the notice and the petition of appeal.” (Penekanan ditambah) [51] Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna Mahkamah ini boleh membenarkan atau menolak rayuan ini secara otomatik. Mahkamah ini telah meneliti Rekod Rayuan yang sedia ada terutamanya Nota Keterangan dan ekshibit-ekshibit yang telah dikemukakan semasa prosiding di hadapan Majistret berkenaan. Mahkamah ini juga mengambil maklum tentang beberapa kecacatan dan kesilapan dalam Nota Keterangan seperti mana yang dibangkitkan oleh pihak Responden dalam penghujahan bertulisnya. Isu pertuduhan yang cacat dan/atau tidak berasas [52] Pihak Responden dalam penghujahannya telah membangkit isu pertuduhan yang dikatakan sebagai cacat atau tidak berasas. Seksyen 153(1) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan seperti berikut: “The charge shall contain such particulars as to the time and place of the alleged offence and the person, if any, against whom or the thing, if any, in respect of which it was committed as are reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged.” [53] Mahkamah ini mendapati bahawa pertuduhan ke atas Responden bagi kesalahan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan tersebut adalah defektif kerana tidak menyatakan tempoh masa yang lebih tepat bagi dakwaan perlakuan kesalahan tersebut. Frasa ayat ‘sekitar bulan April 2017 hingga Mei 2017’ merupakan suatu tempoh masa yang terlalu umum dan pastinya menjejaskan peluang atau memprejudiskan hak seorang tertuduh bagi mengemukakan atau membuat persiapan pembelaan kes nya. [54] Tambahan lagi, Mahkamah ini juga mendapati frasa ayat dalam pertuduhan iaitu ‘telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul’ tersebut telah tidak menyatakan sifat perbuatan yang bagaimana yang boleh dimaksudkan sebagai mencabul itu. [55] Seksyen 350 Kanun Keseksaan menghuraikan tentang maksud ‘kekerasan jenayah (criminal force)’ seperti berikut: “Whoever intentionally uses force to any person, without that person’s consent, in order to cause the committing of any offence, or intending by the use of such force illegally to cause, or knowing it to be likely that the use of such force he will illegally cause injury, fear, or annyoyance to the person to whom the force is used, is said to use criminal force to that other.” (Penekanan ditambah) [56] Keterangan SP4 yang merupakan pegawai perubatan yang awal membuat pemeriksaan ke atas mangsa (SP3) mengesahkan dalam laporan perubatannya [ekshibit P13] bahawa pemeriksaan fizikal luaran ke atas mangsa tidak menunjukkan sebarang kecederaan. [57] Manakala keterangan SP6 yang merupakan Pakar Psikiatri mengesahkan tiada significant abnormalities pada status mental mangsa (SP3). [58] Pakar Psikologi Kanak-Kanak (SD4) pula berpandangan bahawa tindak tanduk dan sikap mangsa semasa dalam rakaman CIC tidak sama sekali seperti seorang kanak-kanak yang trauma dan menurut SD4 lagi adalah sesuatu yang tidak normal bagi seseorang kanak-kanak yang dikatakan trauma boleh bertindak dengan lancar dan tanpa was-was melakonkan semula aksi kejadian cabul seperti mana yang didakwa. [59] Oleh yang demikian, Mahkamah ini juga mendapati bahawa tiada mana-mana keterangan yang dapat membuktikan perlakuan kekerasan jenayah ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan ‘injury, fear, or annyoyance to the person to whom the force is used’. Isu keterangan kanak-kanak tanpa sokongan [60] Bagi pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, adalah menjadi beban pembuktian ke atas pihak pendakwaan bagi membuktikan bahawa: