1
Responden yang merupakan warganegara Indonesia pada asalnya telah dituduh dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh mangsa (si mati) yang merupakan cucunya.
B-05(H)-40-01/2025
Court of Appeal of Malaysia24 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
1
Responden yang merupakan warganegara Indonesia pada asalnya telah dituduh dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh mangsa (si mati) yang merupakan cucunya.
2
Semasa perbicaraan, Responden telah ditawarkan dengan satu pertuduhan pilihan (P70) di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Pertuduhan Pilihan terhadap Responden adalah seperti berikut: Pertuduhan Pilihan Bahawa kamu antara 28.12.2020 jam lebih kurang 12.01 pagi hingga 30.12.2020 jam lebih kurang jam 8.10 malam, bertempat di alamat No. 28, Lot 2195, Lorong Malion 2, Kg. Sungai Chin Chin, Gombak, di dalam daerah Gombak, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah menyebabkan kematian Qaseh Nur Qalesya binti Roza Iskandar (No. Mykid:150123-10-1340) dengan niat 3 menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan homisid salah tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
3
Pihak pendakwaan telah memanggil seramai tujuh belas (17) orang saksi pendakwaan sebelum Responden mengaku salah bagi pertuduhan pilihan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan pada 9.1.2025 dan telah didapati bersalah dan disabitkan oleh Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan (hakim bicara).
4
Hakim bicara telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama sepuluh (10) tahun bermula dari tarikh tangkap (1.1.2021) terhadap Responden. Perayu yang terkilan dengan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara telah merayu ke Mahkamah ini.
5
Fakta kes pendakwaan (P71) boleh diringkaskan seperti berikut. Pada 30.12.2020 jam lebih kurang 6.15 petang ketika pengadu (Fauziah Binti Erwin) sampai di rumah Responden yang beralamat di No. 28, Lot 2195, Lorong Malion 2, Kg. Sungai Chin Chin, Gombak (tempat kejadian), beliau mendapati anak saudaranya (mangsa) iaitu Qaseh Nur Qalesya binti Roza Iskandar (No. Mykid: 150123-10-1340) telah muntah-muntah.
6
Pada masa tersebut, Responden bersama SP12 (Dhia Andreana) berada di dalam rumah tersebut. Pengadu menghubungi SP10 (ayah mangsa) dan memaklumkan keadaan mangsa semasa itu. Mangsa merupakan anak ketiga kepada SP10 dan SP15 (Syaza Nabila). Selepas SP10 dan SP15 berpisah, SP10 bersama SP12 (Dhia Andreana) dan mangsa menetap bersama Responden di rumah tersebut. Apabila SP10 keluar bekerja, Responden akan menjaga anak-anak SP10 di rumah tersebut.
7
Tidak lama kemudian, SP8 (Irsyad Bin Erwin) dan SP9 (Zulfadhli Bin Hashim) yang tinggal di rumah tersebut telah pulang ke rumah selepas selesai bekerja. Namun begitu, mangsa telah meninggal dunia. SP10 hanya sampai di rumah selepas mangsa meninggal dunia dan tidak sempat berjumpa dengan mangsa sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhirnya. Pengadu telah menghubungi pihak ambulans Hospital Orang Asli Gombak.
8
Pada jam lebih kurang 7.55 petang, SP4 (penolong pegawai perubatan) sampai di tempat kejadian dan melihat mangsa telah meninggal dunia dan bertutup dengan kain batik. SP4 telah memeriksa mangsa beberapa kali dan mendapati tiada tanda-tanda mangsa masih hidup. SP4 anggarkan mangsa 5 baru meninggal dunia dalam masa setengah jam dari masa pemeriksaan.
9
Seterusnya pihak polis telah memeriksa keadaan mangsa dan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat. Pengadu telah membuat laporan polis sebagaimana Report Gombak/11005/20. Responden telah ditangkap pada 1.1.2021 di perkarangan Balai Polis Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak).
10
Post mortem ke atas mangsa telah dilakukan oleh SP11 (Dr. Siew Sheue Feng) dan mendapati punca kematian mangsa ialah “perforation of transverse colon due to blunt force trauma”. Antara dapatan SP11 adalah seperti berikut: a) mangsa dilahirkan dengan “spina bifida” dan “congenital hydrocephalus”; b) terdapat 34 kesan parut pada badan mangsa; c) terdapat 60 kesan kecederaan yang didapati pada badan mangsa; d) mangsa mempunyai beberapa kesan kecederaan “tram line” yang mana kesan kecederaan tersebut boleh 6 disebabkan oleh objek yang berbentuk silinder seperti rotan; e) kesan-kesan kecederaan pada badan mangsa merupakan kesan penderaan dan terdapat beberapa kesan kecederaan yang merupakan kesan baru; f) kemungkinan koyakan (“perforation”) pada usus mangsa berlaku beberapa hari sebelum mangsa meninggal dunia dan akibat daripada koyakan pada usus mangsa, cecair usus telah melimpah ke dalam rongga badan mangsa lalu berlaku jangkitan; g) pada mulanya kemungkinan koyakan pada usus mangsa adalah kecil sahaja namun perlahan-lahan menjadi lebih besar; dan h) koyakan pada usus mangsa adalah diakibatkan dengan trauma yang disebabkan oleh objek tumpul seperti tumbukan, tendangan atau pijakan. Selain itu, terdapat kesan lebam pada badan mangsa dengan tempat di mana terdapat koyakan pada usus mangsa.
11
Saksi mata kejadian iaitu SP12 (kakak mangsa) mendapati seperti berikut:
i
pada hari mangsa meninggal dunia, ketika berada di rumah, SP12 terdengar mangsa menangis semasa tengah mandi. SP12 menolak pintu bilik air dan mengintai ke dalam dan nampak Responden memasukkan getah paip di dalam dubur mangsa semasa memandikan mangsa;
II
(ii) selepas itu, SP12 nampak Responden menendang mangsa di bahagian punggung semasa mangsa turun dari tandas duduk. SP12 juga perasan perut mangsa kembung di mana selalunya tidak kembung;
III
(iii) semasa Responden memakaikan pampers untuk mangsa, Responden telah memijak peha mangsa dan mangsa cuba untuk melepaskan diri daripada dipijak oleh Responden sambil menangis dan menjerit. SP12 tidak berbuat apa-apa dan hanya diam sahaja sambil memerhatikan perbuatan Responden kerana takut dipukul oleh Responden;
IV
(iv) selepas selesai memakaikan pampers, Responden telah menyuruh mangsa untuk tidur dan tiba-tiba mangsa telah muntah buih-buih dan Responden menyuruh SP12 membersihkan mangsa dan menyuruh mangsa berpindah tempat tidur;
v
mangsa telah muntah buih-buih kali kedua dan SP12 memaklumkan kepada Responden tetapi Responden tidak mengambil apa-apa tindakan;
VI
(vi) SP12 menyatakan hampir setiap hari Responden memukul mangsa dengan rotan di semua bahagian badan mangsa. Selain itu, Responden juga ada memukul mangsa menggunakan tangan;
VII
(vii) SP12 pernah nampak Responden menendang mangsa di bahagian kaki, punggung dan badan. Kadang-kadang Responden melempang mangsa dan perkara tersebut berlaku hampir setiap hari;
VIII
(viii) SP12 pernah nampak Responden mencubit mangsa di bahagian lengan dan perut mangsa; dan
IX
(ix) SP12 pernah nampak Responden memijak mangsa di bahagian kaki dan perut serta dada beberapa hari sebelum mangsa meninggal dunia. [12] Siasatan oleh pegawai penyiasat menunjukkan Responden telah menyebabkan kematian mangsa dengan niat menyebabkan kecederaan-kecederaan tubuh badan mangsa yang pada lazimnya boleh menyebabkan kematian mangsa. Responden telah melakukan kesalahan sebagaimana pertuduhan pilihan yang dihadapkan ke atas Responden. HUKUMAN TERHADAP RESPONDEN [13] Responden telah mengaku salah bagi pertuduhan pilihan (P70) di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Di atas pengakuan salahnya, Responden didapati bersalah dan disabitkan bagi pertuduhan pilihan tersebut dan telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama sepuluh (10) tahun bermula dari tarikh tangkap (1 Januari 2021). SAMA ADA HUKUMAN YANG DIJATUHKAN MENCUKUPI DAN SETIMPAL DENGAN KESALAHAN RESPONDEN [14] Pihak Perayu telah merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara. Isu yang berbangkit dalam rayuan ini adalah sama ada hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah mencukupi dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Responden, setelah mengambil kira fakta dan keadaan dalam kes Responden. TPR bagi pihak Perayu menghujahkan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah sangat tidak mencukupi dan tidak setimpal dengan kesalahan Responden. [15] Pada hemat kami, hakim bicara mempunyai budi bicara dalam menjatuhkan sesuatu hukuman terhadap pesalah yang didapati bersalah dan disabitkan bagi suatu kesalahan. Namun, budi bicara hakim bicara hendaklah dilaksanakan secara kehakiman mengambil kira prinsip penghukuman yang betul dan berdasarkan asas perundangan yang kukuh. Pada amalannya, mahkamah atasan atau rayuan tidak akan mencampuri hukuman yang dijatuhkan kecuali hakim bicara telah terkhilaf dalam mengguna pakai prinsip penghukuman atau asas perundangan yang betul dalam menjatuhkan suatu hukuman tersebut. [16] Dalam rayuan ini, hakim bicara telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama sepuluh (10) tahun bermula dari tarikh tangkap terhadap Responden. Pada hemat kami, hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah sangat tidak mencukupi. Hakim bicara telah terkhilaf dan tidak mempertimbangkan dengan secukupnya prinsip penghukuman dan faktor-faktor pemberatan hukuman yang dihujahkan oleh TPR. KEPENTINGAN AWAM [17] Pada hemat kami, hakim bicara tidak memberikan penekanan utama kepada aspek kepentingan awam. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah terlalu ringan dan sangat tidak mencukupi. Kepentingan awam menghendaki satu hukuman yang berat dijatuhkan terhadap Responden yang telah melakukan kesalahan dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang telah menyebabkan kematian mangsa. Responden telah didapati bersalah dan disabitkan bagi pertuduhan pilihan melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Di atas sabitannya, Responden boleh dijatuhkan hukuman pemenjaraan sehingga tiga puluh (30) tahun dan boleh juga dikenakan denda. [18] Hukuman berat yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Responden hendaklah dijatuhkan ke atas Responden untuk memberi pengajaran kepada Responden dan juga kesan pencegahan kepada masyarakat umum supaya tidak melakukan perbuatan yang serupa di masa hadapan. Dalam rayuan ini, mangsa yang meninggal dunia ialah cucu Responden yang berusia lima (5) tahun lebih semasa kejadian dan tinggal di bawah jagaan Responden sejak tahun 2017 akibat perpisahan ibu bapanya. [19] Aspek kepentingan awam sentiasa diberi keutamaan sebelum suatu hukuman dijatuhkan oleh hakim bicara. Hakim Hilbery dalam R v Ball [1951] 35 CR APP R 164 telah memutuskan bahawa : “In deciding the appropriate sentence a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it”. [20] Pada hemat kami, aspek kepentingan awam menghendaki hakim bicara menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang lebih berat terhadap Responden. Hakim bicara tidak mengambil kira aspek kepentingan awam. Sebaliknya di dalam alasan penghakimannya, hakim bicara telah terkhilaf dan memutuskan seperti berikut: “[22] Mahkamah berpendapat bahawa 10 tahun penjara dari tarikh tangkap adalah memadai dan cukup memberi pengajaran kepada tertuduh. Pemenjaraan yang panjang tidak akan memulihkan tertuduh yang merupakan ibu kepada 5 orang anak di mana kesemua anaknya menetap di Malaysia. [23] Mahkamah juga berpendapat pemenjaraan lebih dari 10 tahun adalah tidak wajar dan tertuduh patut diberi peluang kedua untuk memulakan satu hidup baru bersama keluarganya. ….. [27] Setelah mempertimbang secara menyeluruh hujahan yang dibuat oleh pihak peguam dan tertuduh sendiri serta faktor pemberatan yang dihujahkan oleh pihak TPR, Mahkamah ini memutuskan bahawa hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh tangkap (1.1.2021) adalah setimpal dengan kesalahan serta fakta dan memadai untuk mengimbangi kepentingan hukuman, pencegahan dan pemulihan.” KESERIUSAN KESALAHAN [21] Pada hemat kami, hakim bicara juga telah terkhilaf kerana gagal memberi pertimbangan yang secukupnya kepada aspek keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh Responden. Perbuatan Responden yang mengakibatkan kematian cucunya (seorang kanak-kanak) di bawah jagaannya menunjukkan pelanggaran kepercayaan dan tanggungjawab yang terletak pada Responden. Kecederaan-kecederaan yang dialami oleh mangsa menurut keterangan SP11 adalah konsisten dengan penderaan yang berpanjangan yang dilakukan oleh Responden. [22] Malahan keterangan kakak mangsa (SP12) iaitu saksi mata menunjukkan perbuatan Responden yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas mangsa seperti berikut: i) memasukkan getah paip di dalam dubur mangsa semasa memandikan mangsa; ii) menendang mangsa di bahagian punggung semasa mangsa turun daripada tandas duduk; iii) memijak peha mangsa semasa memakaikan pampers untuk mangsa; iv) menyebabkan mangsa muntah buih-buih kali pertama dan kali kedua akibat kecederaan-kecederaan yang dialami mangsa dan tiada tindakan diambil oleh Responden untuk mendapatkan rawatan segera perubatan; v) memukul mangsa dengan rotan dan tangan hampir setiap hari di semua bahagian badan mangsa; vi) menendang mangsa di bahagian kaki, punggung dan badan termasuk perbuatan melempang mangsa; vii) mencubit mangsa di bahagian lengan dan perut mangsa; dan viii) memijak mangsa di bahagian kaki dan perut serta dada mangsa beberapa hari sebelum mangsa meninggal dunia. [23] Pada hemat kami, hakim bicara patut memberikan pertimbangan yang secukupnya ke atas faktor keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh Responden dalam menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang lebih berat. Sebaliknya hakim bicara di dalam alasan penghakimannya telah menerima rayuan peringanan hukuman oleh Responden, antaranya berkaitan dengan kesihatan Responden dan memutuskan seperti berikut: “[21]….
5
Mahkamah menerima rayuan peringanan hukuman terhadap tertuduh berkaitan kesihatan. Kesihatan tertuduh telah dijelaskan oleh peguam dalam hujahan mereka bahawa tertuduh mengalami tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi ketika dalaam tahanan. Perkara ini akan lebih menyukarkan beliau jika menjalani tempoh pemenjaraan yang panjang.
6
Tertuduh telah berada dalam penjara selama 4 tahun sejak tarikh tangkap dan ini sudah semestinya telah pun memberi pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh selama berada dalam penjara.” KECEDERAAN-KECEDERAAN YANG DIALAMI MANGSA [24] Pada hemat kami, hakim bicara telah terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan yang secukupnya terhadap kecederaan-kecederaan yang dialami oleh mangsa yang telah mengakibatkan kematian mangsa. SP11 dalam keterangannya menyatakan terdapat tiga puluh empat (34) kesan parut dan juga enam puluh (60) kesan kecederaan pada badan mangsa. Badan mangsa juga mempunyai beberapa kesan kecederaan “tram line” yang disebabkan oleh objek yang berbentuk silinder seperti rotan. [25] SP11 juga menyatakan kesan-kesan kecederaan pada badan mangsa yang merupakan kesan penderaan yang berpanjangan dan terdapat juga kesan kecederaan yang baru. Kemungkinan koyakan (“perforation”) pada usus mangsa berlaku beberapa hari sebelum mangsa meninggal dunia akibat daripada koyakan pada usus mangsa dan cecair usus telah melimpah ke dalam rongga badan mangsa dan menyebabkan jangkitan. Perbuatan Responden yang menyebabkan kecederaan ke atas usus mangsa sehingga mengalami koyakan adalah perbuatan yang sangat kejam dilakukan oleh Responden terhadap cucunya sendiri. [26] Pada hemat kami, hakim bicara patut memberikan pertimbangan yang secukupnya ke atas kecederaan-kecederaan yang dialami oleh mangsa dalam menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang lebih berat terhadap Responden. Mangsa mengalami pelbagai kecederaan yang serius dan mengancam nyawa mangsa. Mangsa juga menjadi mangsa penderaan oleh Responden yang sepatutnya menjaga mangsa dengan baik dan penuh kasih sayang. Justeru hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah sangat tidak mencukupi dengan kesalahan yang dilakukan oleh Responden. TREND HUKUMAN BAGI KESALAHAN YANG SERUPA [27] Pada hemat kami, hakim bicara tidak mengikuti trend hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah atasan bagi kesalahan yang serupa. Dalam penghujahan TPR, trend hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah atasan bagi kesalahan yang serupa adalah dalam lingkungan 15 tahun ke 20 tahun pemenjaraan. Di antara nas-nas yang dirujuk oleh kami sepertimana dalam hujahan TPR ialah PP v Kandasan Sankaran & Anor [2010] 1 CLJ 596 [pemenjaraan selama tujuh belas (17) tahun]; Kesavan Baskaran v PP [2008] 6 CLJ 390 (pemenjaraan selama lapan belas (18) tahun); PP v Karthiselvan Vengatan [2009] 4 CLJ 632 (pemenjaraan selama dua puluh (20) tahun); PP v Beiti binti Abdul Sawab [S-05-275-2010] (pemenjaraan selama lima belas (15) tahun); PP v Ramakrishnan Subramaniam & Ors [2012] 9 CLJ 443 [pemenjaraan selama sebelas (11) tahun, lima belas (15) tahun dan lapan belas (18) tahun]; PP v Amil bin Mohd Shah [N-05-46-2010] [pemenjaraan selama lima belas (15) tahun] dan lain-lain nas yang berkaitan. [28] Pada hemat kami, hakim bicara telah terkhilaf dalam alasan penghakimannya mengenai trend hukuman bagi kesalahan yang serupa dan memutuskan seperti berikut: “[26] Mahkamah ini turut mengambil kira tren hukuman dalam kes-kes serupa. Sebagai contoh, dalam kes PP v Lu Kin Koh [2009] 1 LNS 407 dan PP v Dayu Arjuna Mohd Saman (BA-45B-5-02/2023), hukuman penjara yang dikenakan adalah 10 tahun bagi kesalahan di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang melibatkan kecederaan maut tanpa niat membunuh…” [29] Pada hemat kami berdasarkan trend hukuman yang dihujahkan oleh TPR, hukuman pemenjaraan yang lebih berat patut dikenakan terhadap Responden. Mangsa seorang kanak-kanak dan berada di bawah jagaan dan tanggungjawab Responden semasa kejadian. Mangsa juga telah mengalami pelbagai kecederaan yang dilakukan oleh Responden yang telah mengakibatkan kematian mangsa. KESIMPULAN [30] Setelah menimbangkan keseluruhan penghujahan pihak Perayu dan Responden dan berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, kami sebulat suara membenarkan rayuan Perayu terhadap hukuman. [31] Hukuman sepuluh (10) tahun pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah diketepikan dan digantikan dengan hukuman lima belas (15) tahun pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap (1 Januari 2021). Bertarikh 13 Julai 2026 -sgd-MEOR HASHIMI BIN ABDUL HAMID HAKIM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA Kaunsel: Bagi pihak Perayu : Mohd Zain bin Ibrahim Timbalan Pendakwa Raya Bagi pihak Responden : Choong Kak Seng Belinda Low Siet Yan [Tetuan Gooi & Azura]
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.