(iii) menyentuh kemaluan mereka. [37] Sekiranya keterangan tersebut diterima sebagai benar, Mahkamah ini tidak melihat bagaimana dapat dihujahkan bahawa unsur penggunaan kekerasan di bawah seksyen 349 dan seksyen 350 Kanun Keseksaan tidak wujud. [38] Oleh itu, isu sebenar bukanlah sama ada perlakuan yang didakwa itu merupakan penggunaan kekerasan. [39] Isu sebenar ialah sama ada perlakuan tersebut benar-benar berlaku. [40] Dengan hormat, Mahkamah Majistret telah menggabungkan kedua-dua persoalan tersebut sehingga menghasilkan dapatan bahawa kerana mangsa tidak menunjukkan reaksi tertentu, maka elemen kekerasan jenayah tidak dibuktikan. [41] Pada pandangan Mahkamah ini, pendekatan tersebut merupakan suatu salah arah dari sudut undang-undang. Percanggahan, demeanour, kelewatan laporan polis, alibi dan kelemahan siasatan [42] Mahkamah ini menerima bahawa terdapat beberapa percanggahan dan ketidakselarasan dalam keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan. [43] Walau bagaimanapun, Mahkamah Majistret sendiri telah memutuskan bahawa percanggahan-percanggahan yang dikenal pasti hanyalah discrepancies dan bukannya contradictions yang material. [44] Setelah dapatan tersebut dibuat, Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut tidak lagi mampu memusnahkan keseluruhan asas kes Pendakwaan. [45] Berhubung isu demeanour pula, Mahkamah Majistret memberi perhatian kepada fakta bahawa SP3 kerap meminta soalan diulang dan SP6 kadangkala berdiam diri semasa pemeriksaan balas. [46] Pada pandangan Mahkamah ini, keadaan tersebut tidak semestinya menunjukkan bahawa keterangan mereka tidak boleh dipercayai, lebih-lebih lagi apabila melibatkan saksi kanak-kanak yang memberi keterangan mengenai peristiwa yang dikatakan berlaku beberapa tahun sebelumnya. [47] Mengenai kelewatan laporan polis, Mahkamah ini menerima bahawa kelewatan merupakan faktor yang relevan. Walau bagaimanapun, kelewatan semata-mata tidak secara automatik menjadikan sesuatu aduan seksual tidak benar. [48] Berhubung isu alibi dan kelemahan siasatan pula, Mahkamah ini menerima bahawa siasatan yang lebih menyeluruh mungkin dapat membantu menjelaskan beberapa aspek kes. [49] Namun demikian, notis alibi bukanlah keterangan. Pada masa keputusan di akhir kes Pendakwaan dibuat, tiada saksi pembelaan dipanggil dan tiada keterangan alibi dikemukakan. [50] Oleh itu, kemungkinan kewujudan alibi tidak boleh diberikan nilai probatif yang mengatasi keterangan langsung yang telah diberikan oleh SP3 dan SP6. Sama ada keterangan Pendakwaan mampu menyokong suatu sabitan jika tidak dipatahkan [51] Mahkamah ini mendapati bahawa terdapat suatu kesukaran untuk menyelaraskan dapatan Mahkamah Majistret di perenggan-perenggan yang menyatakan bahawa percanggahan yang dikenal pasti tidak material dan bahawa terdapat kelompangan untuk menidakkan keterangan SP3 dan SP6, dengan dapatan akhirnya bahawa tiada kes prima facie diwujudkan. [52] Jika percanggahan yang dikenal pasti bukanlah percanggahan material dan jika keterangan SP3 serta SP6 masih tidak dapat diketepikan sepenuhnya, maka persoalan seterusnya ialah sama ada keterangan tersebut, jika tidak dipatahkan, mampu menyokong suatu sabitan. [53] Pada pandangan Mahkamah ini, jawapan kepada persoalan tersebut adalah jelas dalam bentuk afirmatif. [54] Keterangan SP3 dan SP6 merupakan keterangan langsung mengenai perlakuan yang menjadi asas kepada pertuduhan. [55] Sekiranya keterangan tersebut diterima dan tidak dipatahkan melalui pembelaan, setiap elemen pertuduhan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan adalah berupaya dibuktikan. [56] Dalam keadaan sedemikian, suatu kes prima facie telah diwujudkan dan Responden sepatutnya dipanggil membela diri. KESIMPULAN DAN PERINTAH [57] Setelah menimbangkan keseluruhan rekod rayuan dan alasan penghakiman yang dirayu, Mahkamah ini mendapati bahawa Mahkamah Majistret telah tersalah arah dalam beberapa aspek material termasuk: